Saturday, April 30, 2011

BELAJARLAH BERSYUKUR !!!





Seandainya sahabatku, jika engkau bangun pagi ini dan merasa sihat walafiat, itu petandanya engkau beruntung dari jutaan orang yang mungkin ajalnya tiba pada setiap detik, jam, hari, minggu dan bulan...

Jika sahabatku tidak pernah merasai detik cemas bahaya perang, letupan bom, kesepian di penjara, kesakitan akibat disiksa atau kebuluran, ketahuilah bahawa, anda berada beberapa langkah di hadapan lebih maju berbanding berjuta-juta orang di dunia yang hidup merana akibat jenayah perang dan persengketaan...



Seandainya sahabatku dapat menghadiri ceramah politik atau keagamaan tanpa merasa takut dicemuh, dihina, ditangkap, disiksa atau dibunuh, beruntunglah kerana berjuta-juta orang di dunia ini dinafikan hak asasi dan kebebasan hidupnya...


Seandainya sahabatku memiliki makanan dalam peti sejuk, baju-baju digantung dalam almari pakaian dan memiliki atap yang memayungi tempat berehat, anda dikira lebih kaya daripada berjuta-juta penduduk planet bumi ini yang tidak berumah, merempat, bergelandangan dan orang pelarian...


Sahabatku, jika anda memiliki wang simpanan di bank, dalam dompet dan mampu menikmati pelbagai hidangan menu kegemaran di restoran, anda termasuk kelompok manusia kaya di dunia. Sebab, ramai lagi manusia yang kelaparan, kebuluran dan meminta-minta makanan dari orang lain...



Sahabatku, jika orang tua anda masih hidup dan menikmati kebahagiaan kehidupan berkeluarga, maka anda termasuk insan yang luar biasa kerana ramai lagi keluarga yang bercerai berai, pasangan ditinggalkan, isteri dan anak jadi mangsa penderaan dan anak-anak yatim piatu...


Sahabatku, jika anda mampu mengangkat kepala dan melemparkan senyuman dibibir, ketahuilah bahawa anda manusia paling bertuah di planet bumi ini kerana merasai hidup sejati kerana sebahagian besar orang lain diluar sana, ramai yang hidup menderita dan berduka nestapa...



Aduhai sahabatku!!! Jika anda terbaca pesanan ini, ketahuilah bahawa, anda insan paling beruntung jika dibandingkan dengan jutaan manusia yang masih buta huruf yang tidak tahu membaca dan menulis...

Sahabatku!!! Nikmatilah hari-hari yang indah ini dibawah sinaran matahari atau malam yang dilimpahi cahaya sang rembulan sambil menghitung dan mensyukuri nikmat Allah di atas segala kurniaan dan nikmat-Nya sejak kita dilahirkan ibu sehingga menginjak usia dewasa...

Friday, April 29, 2011

KELLIE'S CASTLE

Siapa yang belum pernah sampai ke Kellie's Castle?

3 tahun lepas, aku sekeluarga pergi ke majlis kahwin anak saudara di Batu Gajah. Dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, kira-kira jam 5 petang, kami sempatlah singgah sebentar di Kellie's Castle ni kerana ianya terletak di tepi jalan besar sebelah kanan menuju ke Tol Gopeng , Perak.

Setelah meletakkan kereta, aku terus menuju kekaunter untuk membeli tiket masuk yang berharga RM15 bagi orang dewasa dan RM10 bagi kanak-kanak dibawah umur 12 tahun.

Walaupun kata orang tempat ini sangat menyeramkan ,tetapi bagi kami sekeluarga tidak pula mengalami perasaan takut ketika berada disini. Habis semua tempat didalamnya kami jelajah dan naik sampai keatas bumbungnya untuk melihat pemandangan dipersekitarannya.

Tetapi berlainan pula ketika aku menghantar kakak aku pulang kerumahnya di Batu Gajah setelah dibenarkan keluar IJN selepas menjalani pembedahan jantung pada tahun 2010 lalu .

Aku memulakan perjalanan dari IJN, pukul 8 malam dan pasti akan menempuh Kellies Castle ini sekitar jam 10 malam nanti. Apa yang lebih membimbangkan pula ialah apabila aku akan berpatah balik untuk pulang ke Kuala Lumpur kira-kira jam 12 tengah malam dalam keadaan diri berseorangan tanpa ditemani sesiapa. Bagaimana aku akan menghadapinya?

Tetapi, syukur Alhamdulillah, sehingga aku tiba dirumah kira-kira jam 2 pagi, tiada apa-apa yang berlaku. Namun disepanjang perjalanan, mulut aku tidak henti-hentinya membaca semua ayat-ayat Quran yang aku hafal sehinggalah aku melepasi kawasan ini.

Tetapi manusia tetap juga manusia, ia mudah lupa, begitu jugalah dengan aku ini, setelah bebas dari zon yang menyeramkan itu, aku pun tidak lagi membaca ayat-ayat suci al-Quran tetapi yang menemankan aku selepas itu adalah lagu-lagu dan muzik kegemaran aku.

Sejarah Kellie's Castle

Bangunan Istana Kellie atau Rumah Kellas telah dibina pada tahun 1910 oleh seorang peladang getah terkemuka British bernama William Kellie Smith. Bangunan tiga tingkat dibina mengikut reka bentuk sebuah istana Moghul di bandar Agra, India. Tukang-tukang binaan bangunan tersebut dibawa khas dari Madras.

William Kellie Smith adalah dari sebuah desa di Skotlandia yang dikenali sebagai Kellas. Pada tahun 1890, ketika berusia 20 tahun, Smith tiba sebelum Tanah Melayu membangun. Di Tanah Melayu, beliau bertemu dengan seorang pemilik tanah bernama Alma Baker, yang telah memenangi konsesi dari pemerintah negara untuk menghapus 360 hektar hutan di Perak. Dengan keuntungan besar yang dibuat dari perniagaan bersama ("bisnes venture") dengan Alma Baker, Smith mula menanam pohon getah dan menceburi dalam industri perlombongan timah. Sewaktu dengan itu, ia menjadi pemilik Perumahan Kinta Kellas dan Kinta Kellas Tin Dredging Company.

Kemudiannya beliau kembali ke rumah beliau untuk berkahwin dengan orang Skotland tercinta, Agnes, dan isterinya dibawa ke Malaysia pada tahun 1903. Tahun berikutnya, pasangan ini diberkati dengan anak perempuan mereka yang bernama Helen. Selama bertahun-tahun selepas itu, Agnes berusaha untuk hamil, tapi gagal. William Smith terlalu mengharapkan seorang anak lelaki sebagai waris untuk mengambil alih kerajaan itu di Kepulauan Melayu. Setelah bertahun-tahun selepas itu, akhirnya Agnes telah melahirkan seorang anak lelaki bernama Anthony, pada tahun 1915. Kelahiran anaknya adalah peringkat awal bagi keuntungan yang lebih besar untuk William Smith. Bagi merayakan kelahiran Anthony, William Smith telah memutuskan untuk memperluaskan rumahnya. Smith memulai perancangan untuk cadangan istana besar yang dirancangkan untuk digelar sebagai Rumah Kellas (Kellas House), sempena rumahnya di Scotland.

Bangunan ini mempunyai 14 buah bilik, sebuah bilik bawah tanah dan terowong rahsia itu juga dilengkapkan dengan lif yang pertama di dibina Tanah Melayu. Di tingkat kedua pula akan dibina sebuah padang tenis berlantaikan simen.

Berita mengenai bangunan ini pernah disiarkan dalam akhbar London Financer pada 15 September 1911. Akhbar itu mengatakan Kellas House itu merupakan bangunan yang paling unik di seluruh Timur Jauh, sama ada dari segi bentuk ataupun besarnya.

Bangunan ini tidak sempat disiapkan setelah Kellie Smith meninggal dunia di Pelabuhan Lisbon, Portugal pada 11 Disember 1926. Bangunan yang kekal dalam keadaan 'sedang dibina' telah menjadi tarikan pengunjung ke Batu Gajah kerana keunikannya.

Perancangan dan pembinaan awal

Oleh kerana terlalu taksub dengan agama Hindu dan budaya India, Smith merancang rumah ini bagi berbentuk mirip senibina orang-orang Madras, dengan semua batu bata dan seramik diimport dari India. Dia turut membawa sejumlah besar pekerja buruh India dalam impiannya untuk membina Rumah Kellas menurut seni bina India asli. Bangunan ini dapat dilalui dari jalan utama dengan berjalan menyeberangi jembatan yang melintasi sungai.

Tetapi bukan hanya kos mengimport bahan dan buruh dari luar negeri untuk membina rumah itu yang menarik perhatian pelancong tempatan dan asing. Dalam banyak hal yang luar biasa mengenai Istana Kellie adalah lif yang pertama di Malaya, yang menghubungkan sayap kanan sampai ke lantai atas, dan adanya dua terowong yang menganjur di bawah sungai dekatnya. Salah satunya adalah terowongan yang menghubungkan ke beberapa candi Hindu tidak jauh dari rumah utama. Di tingkat dua, Smith merancang untuk membangun sebuah lapangan tenis dalaman - sebuah projek bercita-cita tinggi walaupun pada piwaian hari ini. Pada tingkat tertinggi, ada halaman untuk bersantai. Puri ini adalah untuk menjadi pusat berhibur pemilik ladang koloni kaya yang telah menetap di Malaya. Rumahnya unik malah turut dilaporkan di akhbar London pada tarikh 15 September 1911.


Dipetik dari Wikipedia


Istana Kellie's menyimpan seribu misteri

Istana Kelli'e tetap berdiri megah walaupun sudah berusia seabad

Puncak Istana Kellie

Dipuncak ini lah aku naik untuk menikmati
pemandangan di persekitaran bangunan ini

Istana Kellie berseri-seri dengan warna keemasan


Ruang dalam Istana Kellie

Apa kaitan kain merah ini dengan Istana Kellie?

Sebuah corridor yang dibina di Istana Kellie

Sebuah anak sungai mengalir lesu di tepi Istana Kellie
menambahkan lagi keindahannya


Istana Kellie tetap setia menanti pengunjungnya

Tuesday, April 26, 2011

KEINSAFAN, KETAKWAAN DAN KEREDHAAN



Rashid melipat sejadah. Dia baru saja menunaikan solat Asar berimamkan bapa mertuanya, Haji Sarip. Sudah tiga hari dia bercuti di kampung. Esok dia harus memulakan tugas seperti biasa. Setelah bersalaman dengan ibu dan bapa mertua. Rashid dan isterinya, Zakiah meminta diri untuk pulang.Tidak lama kemudian, kereta Wira Aeroback yang dipandu meluncur di jalanraya. Perjalanan dijadualkan akan mengambil masa lebih 2 jam..Bersama dengan isteri yang dikahwininya dua tahun yang lalu.

Mungkin belum rezeki, mereka belum dikurniakan cahaya mata.Rashid tidak memikirkan sangat soal zuriat kerana perkahwinan mereka masih muda. Lagipun mereka berdua sama-sama bekerja. Cadangnya setelah ekonomi mereka kukuh sedikit, barulah merancang untuk menerima cahaya mata.Hampir sejam berlalu, Rashid membelok memasuki lebuhraya. Bahang matahari sudah mengendur. Keremangan petang membuatkan cuaca lebih nyaman. Ketika mengerling ke wajah isterinya, Rashid tersenyum. Zakiah sudah terlena.

Rashid menghidupkan radio. Mendengar lagu untuk mengatasi perasaan mengantuk. Ketika jam menunjukkan pukul 7:30 malam, Zakiah membuka mata. Dilirik wajah suaminya sepintas lalu. Sudah masuk waktu Maghrib. Kalau tidak dingatkan, pasti suaminya tidak akan berhenti untuk menunaikan solat Maghrib.
“Dah Maghrib, bang. Berhenti sekejap.”
Wajah Rashid kelihatan keruh. Membayangkan perasaan kurang senang mendengar permintaan isterinya. Zakiah sedia maklum. Suaminya bukan sembahyang sepanjang waktu. Hanya di depan kedua orang tuanya. Malahan di depan orang tuanya sendiri, Rashid tidak pernah sembahyang. Zakiah kesal dengan sikap suaminya, sudah puas dia memberikan nasihat tetapi langsung tidak mempan.

Beberapa kilometer kemudian, Rashid membelok masuk ke tempat rehat. Zakiah kurang yakin suaminya akan turut sama menunaikan solat Maghrib. Selalunya Rashid lebih rela menunggu di dalam kereta atau membasahkan tekak di medan selera. Tempat rehat kelihatan sesak dengan kenderaan. Rashid tidak menemui ruang untuk memarkir kereta. Dia menghentikan kereta, meminta Zakiah turun.

“Abang tak turun sekali?” tanya Zakiah penuh harapan.

“Kiah pergilah… abang tunggu kat sini. Tak ada parking,”
jawab Rashid mudah. Sepeninggalan Zakiah yang turun bersama beg berisi telekung, Rashid memejamkan mata. Tempat parking masih penuh. Dia terlelap seketika, terjaga semula sewaktu Zakiah membuka pintu kereta. Perjalanan diteruskan.
“Abang tidur?” tegur Zakiah.
“Ha… terlelap sekejap. Letih rasa badan ni.”
“Kalau abang letih, biar Kiah bawak.”

“Tak apa… kalau tak tahan sangat Kiah bawaklah nanti.”
Zakiah tidak membantah. Lagipun dia sendiri terasa penat.
Hujan mulai turun membasahi jalan. Rashid memperlahankan kereta. Memandu dalam keadaan jalan licin mengundang risiko. Namun malang tidak berbau. Rashid sudah berhati-hati tetapi ada pemandu lain yang kurang memikirkan keselamatan diri dan orang lain. Secara tiba-tiba Rashid merasakan sesuatu merempuh bahagian belakang keretanya. Dentuman yang amat kuat kedengaran. Serentak dengan itu kereta yang dipandunya melambung sebelum menghempas jalan dengan bahagian atas ke bawah. Apabila sudah menyedari apa yang sebenarnya berlaku, Rashid berusaha keluar. Namun kakinya tersepit sedangkan Zakiah di sebelahnya tidak sedarkan diri.

“Ya Allah… selamatkan kami… ” bisiknya perlahan. Terasa mukanya basah, darah merah mengalir. Orang ramai datang membantu mengeluarkan Zakiah terlebih dulu. Kemudian giliran Rashid tetapi usaha mereka gagal kerana kaki Rashid tersepit.

“Tersepit… tak boleh tarik… Kena tunggu bantuan. Kita bawa dulu yang perempuan ke hospital.” Rashid berdoa dan berdoa tanya henti agar Allah S.W.T menyelamatkan Zakiah dan dirinya.

“Bertahan, encik. Kami sudah memanggil bomba!”
Anehnya Rashid tidak merasakan kesakitan yang sewajarnya. Boleh dikatakan kakinya tidak terasa dihimpit oleh sesuatu. Namun dia gagal untuk menggerakkannya.
“Tolong saya, encik… ” pinta Rashid dengan nada sayu.
“Mengucap… cik… berdoa kepada Allah… cik akan selamat.”
“Sabar encik… tak lama lagi pasukan penyelamat akan sampai.” Kata-kata memberi semangat silih berganti menusuk telinganya. Dengan keremangan malam, Rashid melihat begitu ramai yang mahu membantu. Syukur.
Pandangannya tertumpu pada seorang lelaki yang memakai jubah serba putih. Berserban dan berjanggut lebat. Kelihatan mulutnya terkumat-kamit sambil tangannya memegang tasbih.
“Ya Allah… selamatkanlah aku… “

Bunyi siren agak melegakan Rashid. Bantuan sudah tiba. Pasukan bomba dengan tangkas mengeluarkan alat kelengkapan untuk membebaskan Rashid dari himpitan. Beberapa minit berlalu, kemudian suasana menjadi sunyi apabila salah seorang anggota bomba bersuara.
“Kakinya tak tersepit apa-apa. Pelik… kenapa tak boleh keluar?”

Usaha untuk mengeluarkan Rashid terhenti. Semua yang ada di situ kebingungan. Mereka tidak mampu menarik Rashid keluar, sedangkan tidak ada apa-apa yang menghimpitnya. Rashid sendiri kebingungan. Bencana apa yang sedang menimpanya.

“Ini bukan kerja manusia macam kita… kena panggil orang yang tahu… ”

terdengar sebuah pendapat. Rashid semakin gementar. Doanya tidak putus-putus. Ketika mulutnya terkumat-kamit berdoa, tiba-tiba dia merasakan seseorang berjongkok di sebelahnya. Rashid berpaling, agak tersentak melihat lelaki berjubah tadi berada di sebelahnya.

“Tuan… tolong saya tuan… “
“Saya tak boleh menolong, Yang Berkuasa hanyalah Allah Taala… “
“Saya tak berhenti berdoa, tuan. Tolonglah saya, tuan… “
“Kamu berdoa kepada siapa?” Rashid terdiam. Aneh bunyi pertanyaan lelaki itu. Dalam keadaan cemas begitu, Rashid merasakan bukan tempatnya untuk bergurau. Apatah lagi lelaki itu kelihatan seperti orang alim.
“Sudah tentulah pada Allah.”

“Tetapi Allah bukanlah Tuhan kamu!”
Rashid tidak mampu hendak menggerakkan sebarang anggota. Kalau tidak, sudah pasti dia akan mengerjakan lelaki itu. Nampak saja alim, tetapi bercakap seperti orang yang tidak berilmu.

“Bukankah selama ini kamu tak pernah menyembah Allah. Kamu hanya mendirikan sembahyang di depan mentua kamu. Sedangkan di belakang mereka, kamu tidak pernah ingat pada Allah. Tidakkah kamu malu meminta pertolongan dari Allah. Kenapa kamu tidak meminta pertolongan dari mentua kamu!”

Tenggorok Rashid terasa amat kering. Dia ingin bersuara, memohon ampun atas kesilapannya selama ini, tetapi tidak ada suara yang keluar.

Lelaki berjubah itu hanya tersenyum, kemudian bangun dan meninggalkan Rashid. Rashid berusaha untuk memanggil, ingin memaklumkan bahawa dia menyesal tetapi mulutnya tidak mampu lagi dibuka. Sedangkan kesakitan mula terasa.Sesuatu yang amat berat menghimpit sehingga dia tidak mampu bernafas. Rashid cuba meronta tetapi usahanya hanya sia-sia. Tidak lama kemudian dia tidak sedarkan diri.

“Abang… bang! Abang!!” , sayup-sayup terdengar suara memanggilnya dari jauh.
“Abang !!! … bang !! Abang !!!, suara tersebut didengarinya semakin jelas. Itu suara Kiah.
Perlahan Rashid membuka mata. Wajah isterinya memenuhi pandangan.
Syukurlah isterinya selamat. Rashid memanjatkan kesyukuran di dalam hati. Akhirnya mereka mampu keluar dari bencana.
“Sedapnya tidur… naik serak suara Kiah mengejutkan abang… “
Tidur? Rashid terpinga-pinga. Segera dia memandang sekeliling. Ya Allah!
Dia masih berada di tempat rehat.
“Kiah tunggu sekejap… abang nak solat Mahgrib!” kata Rashid sambil terkocoh-kocoh membuka pintu kereta. Zakiah tercengang, senyuman merekah di bibirnya.

Anas menceritakan beliau mendengar Rasulullah S.W.T bersabda :-
“ALLAH S.W.T BERFIRMAN : AKU TANGGUHKAN MALAPETAKA YANG SEHARUSNYA DITIMPA KE ATAS SESUATU DAERAH APABILA AKU LIHAT DI SITU ADA ORANG YANG KERAP KEMASJID, KASIH ANTARA SATU SAMA LAIN DEMI KEPENTINGAN DAN BERSEDIA MEMOHON AMPUN PADA WAKTU TENGAH MALAM”.

Monday, April 25, 2011

PENTING! JIKA 'ANU' MAYAT BERKHATAN!...

Ustaz Abdul Hamid Abdul Ghani, 46, antara individu bertuah yang terlibat dalam pengurusan jenazah negarawan Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, bekas Perdana Menteri Pertama.

Beliau juga orang yang bertanggungjawab menguruskan jenazah Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Ghafar baba dan Almarhum Yang di Pertuan Agong, Sultan Salahuddin ibni Almarhum Sultan Abdul Aziz Shah yang juga Sultan Selangor.


Malah Ustaz Abdul Hamid pernah menguruskan jenazah mangsa Highland Tower yang tumbang pada 11 Disember 1993 dan helikopter Nuri yang terhempas di Genting Sempah pada tahun 2007.

Sehingga hari ini beliau telah menguruskan hampir 3,000 jenazah bermula dari memandi , mengapan sehinggalah mengebumikan …

Saya sudah lali berjumpa bermacam-macam rupa mayat yang sudah busuk, berlendir, berulat, rentung, hancur dan berkecai.Mula-mula saya ditugaskan memandikan jenazah di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada tahun 1987.

Bayangkan dalam sebulan, lebih kurang antara lapan hingga limabelas mayat yang perlu dimandi dan dikapan sebelum dikebumikan. Mayat yang saya urus, kebanyakannya mayat yang tidak dituntut waris, mangsa bunuh, mangsa kemalangan, mangsa bencana dan lain-lain lagi.

Walaupun sudah banyak mayat yang saya uruskan, namun saya tidak pernah kenal latar belakang mereka. Malah ada mayat bukan rakyat tempatan atau warga asing. Kadang-kadang, mayat yang saya uruskan, pihak polis pun tidak tahu apa bangsa dan agamanya kerana ketiadaan dokumen pengenalan diri.

Jadi saya laksanakan tugas ini sebagai tanggungjawab seorang Islam. Saya mesti laksanakan tugas sebaik mungkin biarpun pada mulanya berasa gementar dan loya berhadapan dengan keadaan mayat yang sungguh mengerikan.

Maka langkah pertama yang saya ambil adalah melihat terlebih dahulu ‘anu’ si mayat tersebut. Sekiranya ‘anu’ si mayat berkhatan maka kami akan uruskan mayat tersebut mengikut cara Islam.

Langkah mengenalpasti anunya ini bertujuan untuk mengenal pasti agama yang dianuti si mayat. Saya akui pada zaman moden sekarang, orang bukan Islam turut berkhatan demi menjaga kesihatan namun hal ini bukanlah suatu isu yang hendak dipertikaikan.

Mana mungkin mayat yang dikhatan itu dibiarkan begitu saja. Andai kata mayat itu benar-benar seorang Islam, siapa pula yang hendak menjawabnya nanti? Jadi setiap mayat-mayat yang kami dapati berkhatan maka kami uruskannya dengan cara Islam demi melaksanakan fardhu kifayah.

Pada suatu malam selepas saya menguruskan jenazah, saya terlena. Saya bermimpi dua ekor ular sebesar peha berwarna kehitaman muncul dan cuba membelit tubuh saya. Setiap kali ular itu menyerang, saya menepis dan melawannya dengan membaca ayat-ayat al-Quran. Lama juga saya bertarung dengan dua ekor ular itu sampailah kesubuh.

Bermacam-macam ayat yang saya baca supaya ular itu lari. Berpeluh-peluh badan saya mengelak dan menepis serangan ular hitam itu, sampai lemah tubuh saya dibuatnya.

Alhamdulillah, akhirnya ular itu mengalah dan menghilang begitu sahaja. Mengapa ular itu hendak membelit saya? Entahlah. Perkara ini mungkin berlaku disebabkan ada mayat yang saya uruskan sebelum ini ada mengamalkan ilmu hitam atau amalan yang berunsurkan khurafat dan jin. Sejak itu saya berhati-hati, bimbang mimpi aneh berulang lagi.

Antara kejadian yang tidak dapat dilupakan, sewaktu saya menguruskan mayat mangsa runtuhan bangunan pangsapuri mewah Highland Tower yang tumbang 17 tahun lalu. Dalam tragedi 11 Disember 1993 itu seramai 48 orang terbunuh.



Mayat mangsa runtuhan Highland Tower
turut diuruskan Ustaz Abdul Hamid Abdul Ghani.

Saya ditugas menguruskan lebih kurang 10 orang mangsa yang terbunuh. Antaranya mayat seorang lelaki yang tidak berkepala, puas pasukan penyelamat cari kepalanya tapi tidak berjumpa. Keadaan mayat lelaki itu memang teruk, sudah berlendir. Lendirnya warna hitam macam air longkang, sangat busuk. Saya pegang badannya, melekit, perutnya sudah pecah. Bila saya lihat anunya, sah dia orang Islam.

Saya lihat kulit dan daging dibahagian rusuknya pula sudah tidak ada sehingga menampakkan tulang temulang. Yang tinggal hanya sedikit daging di bahagian lengan dan pahanya sahaja. Itu pun sudah hampir reput.

Bau mayat tersebut memang dahsyat. Saya tidak tahu hendak gambarkan betapa busuk bau mayat itu sampaikan kawan saya yang bertugas dengan saya masa itu termuntah. Biarpun masa itu saya memakai penutup hidung tapi baunya masih dapat dihidu. Menusuk ke lubang hidung. Bila saya jirus dengan air, kulitnya macam hendak tanggal, ulat yang ada pula gugur satu per satu dari badannya.

Ulat terlalu banyak, saya tidak dapat buang, kesemua ulat memamah dagingnya. Dibawah kulit lengan dan pahanya saya boleh lihat ulat-ulat itu bergerak-gerak. Ulat itu macam ulat nangka tapi saiznya besar sedikit berwarna kekuningan. Saya jirus mayat itu dengan air sabun supaya bau busuk berkurangan kemudian saya kapan dan uruskan pengebumiannya.


Memang sedih, selain mayat tersebut ada juga mangsa runtuhan pangsapuri tersebut tangan dan kakinya sudah putus dan tercabut. Entah kemana perginya anggota badan yang hilang itu, mungkin sudah hancur ditimpa batu bata. Jadi saya terpaksa uruskan juga jenazahnya mengikut cara Islam setelah melihat anunya bersunat.

Pernah beberapa tahun lalu saya uruskan mayat mangsa kemalangan maut di Kuala Lumpur. Kepalanya sudah leper macam pinggan kemik, mungkin dilenyek bas atau lori. Matanya tersembul. Sebiji lagi matanya sudah hancur. Otaknya tersembur keluar. Baunya hanyir. Bila saya selak, anunya berkhatan, maka saya uruskan dia cara Islam.

Memanglah jika lemah semangat, boleh pengsan. Sebab, ada juga mayat mangsa kemalangan yang sudah hancur. Dagingnya macam sudah dicincang-cincang. Saya sendiri sampai keliru yang mana tangan dan yang mana kaki! Memang rumit hendak uruskan mayat seperti ini. Semua tulangnya patah-patah. Jadi saya terpaksa lapikkan dengan sehelai kain supaya apabila air dijirus daging-dagingnya tidak hanyut atau tercicir.

Walaupun dagingnya bertaburan, saya kena kutip dan kebumikan. Saya tidak tahu kemalangan apa yang menimpa mayat ini sehinggakan tubuhnya hancur macam kena gilis kereta api. Setiap kali saya jirus air, air yang turun tetap kemerah-merahan, bermaksud air bercampur dengan darah. Gambarannya seperti kita membasuh daging untuk dibuat kenduri. Tetapi seteruk mana sekalipun, tetapi jika anunya berkhatan saya tetap uruskan secara orang Islam.

Selain itu, saya juga pernah menguruskan mayat orang Islam yang mati terbakar. Mayat yang terbakar selalunya berkeadaan keras. Untuk kes ini, saya akan lihat dulu bagaimana keadaan mayat tersebut. Sekiranya mayat itu rentung maka saya tidak boleh buat apa-apa.

Pernah suatu hari saya terima mayat yang rentung, hangit baunya. Saya tidak boleh memandikan mayat itu kerana bila saya jirus air, tubuh mayat itu jadi lebur macam abu. Jadi saya terus tanam sahaja. Yang penting kena sahkan anu mayat itu berkhatan atau tidak. Kalau ya berkhatan, saya uruskan cara orang Islam.

Sama jugalah dalam kejadian helikopter terhempas di Genting Sempah. Semua orang tahu, hampir seminggu barulah kesemua mayat mangsa dijumpai. Kalau sudah seminggu, faham-faham sahajalah bagaimana keadaannya.

Bahagian muka, leher dan perut adalah bahagian yang paling cepat reput. Jumlah mayat mangsa enam orang semuanya. Jadi terus terang saya hanya uruskan lima sahaja, yang satu lagi memang saya tidak sanggup! Saya tidak sanggup! Memang saya tidak sanggup! Nak tahu kenapa?
Sebab mayat itu seorang perempuan. Jadi biarlah ustazah uruskan jenazahnya…
Mastika Okt. 2010

KENAPA KUBUR HAJJAH SIAH BERCAHAYA?




Selepas berbuka puasa pada malam 1 Ramadan 2002, Tajuddin Ali, 31, berbual-bual dengan seorang rakannya bernama Ahlid di halaman rumahnya sambil menghembus asap rokok berkepul-kepul.Entah apa yang dibualkan mereka tapi mereka berdua rancak bercerita sementara menunggu masuknya waktu solat fardu Isyak.

Sedikit demi sedikit malam mula berlabuh, suasana jadi kelam. “Fuuuhh!” Tajuddin menghembus asap rokok melepas ketagihan sejak siang tadi. Matanya memandang kearah tanah perkuburan yang terletak di depan rumahnya di Parit 1C, Sungai Manik, Teluk Intan, Perak yang mula diselubungi malam.

Keadaan tanah perkuburan itu kelam, tiada apa yang kelihatan melainkan beberapa batang pokok kayu yang tinggi menjulang dan rendang nampak berbalam. Namun, dalam kegelapan malam tu tiba-tiba Tajuddin terlihat muncul satu cahaya aneh berwarna biru dari kawasan perkuburan.

Cahaya aneh berbentuk bulat seperti disuluh lampu limpah itu menjadi semakin besar dan menaik sehingga menjulang melebihi tiga meter. Cahaya itu tidak jauh dari mereka, lebih kurang 100 meter sahaja dari halaman rumahnya. Kawannya, Ahlid turut menyaksikan perkara yang sama, ternampak cahaya itu muncul dari batu nisan disalah sebuah kubur di situ.

Batu nisan di sebelah kepala kubur Hajjah Siah ini
pernah mengeluarkan cahaya aneh lapan tahun lalu



Terkedu Tajuddin menyaksikan peristiwa itu sehingga sebahagian kawasan tanah perkuburan menjadi terang benderang seperti disuluh dengan lampu limpah. Hampir lima minit mereka berdua menyaksikan cahaya aneh itu bermula dari warna biru, berubah menjadi kekuningan, kemerahan kemudian beransur-ansur sirna.


Cahaya apakah itu?

Menggigil dan berpeluh Ahlid sehingga tidak dapat berkata apa-apa. Sebaik sahaja cahaya itu hilang mereka berdua berlari ke dalam rumah. “Kau nampak tak apa yang aku nampak tadi Lid?” soal Tajuddin.

“Ya, aku nampak Din,” beritahu Ahlid terketar-ketar.
“Ishhhk…! Pelik betullah cahaya apa tadi tu?” soal Tajuddin lagi.
“Entahlah Din, jangan-jangan hantu tak?” balas Ahlid.
“Ishhhk…! Merepeklah, bulan puasa mana ada hantu!” balas Tajuddin.

Akibat terlalu takut, malam itu Ahlid tidak berani hendak balik tidur ke rumahnya sebaliknya bermalam di rumah Tajuddin. Keesokan harinya hebohlah seluruh pekan Teluk Intan memperkatakan tentang kejadian kubur bercahaya di Sungai Manik.

Penduduk kampung, Zainal Abidin, 41,
menunjukkan kubur Hajjah Siah yang
didakwa pernah mengeluarkan cahaya

Malam berikutnya, berduyun-duyunlah penduduk kampung berkumpul berhampiran tanah perkuburan Islam Parit 1C selepas berbuka puasa. Mereka tergiur ingin melihat cahaya apakah yang telah disaksikan Tajuddin dan Ahlid, semalam.

Masing-masing bersidai didepan tanah perkuburan Islam itu dengan harapan dapat melihat cahaya muncul dari kubur tersebut. Masing-masing tertunggu-tumggu bilakah cahaya itu bakal muncul!

Ada juga yang merasa ragu-ragu, kalau-kalau Tajuddin sengaja mahu memperdayakan orang-orang kampung dengan mereka-reka cerita berkenaan. Kira-kira pukul 8.00 malam, tiba-tiba muncullah cahaya aneh yang ditunggu-tunggu. Maka bertambah gemparlah seluruh penduduk Sungai Manik apabila menyaksikan peristiwa aneh itu.

Benarlah dakwaan Tajuddin dan Ahlid apabila sebahagian besar penduduk dapat menyaksikan sendiri cahaya yang terpancar, muncul dari celah-celah batu nisan seorang wanita tua bernama Hajah Siah Haji Tamin.

Malam tersebut, cahaya aneh muncul lebih kurang dua hingga lima minit dan menerangi hampir sebahagian tanah perkuburan Islam Parit 1C, Sungai Manik. Peristiwa pelik ini sangat menakjubkan dan tersebar dengan begitu cepat bukan sahaja ke seluruh pelosok negeri Perak tetapi seluruh Negara.

Sejak itulah juga kubur Hajah Siah menjadi tumpuan ramai. Pengunjung tidak kira dari Melaka, Pulau Pinang mahupun Johor turut datang semata-mata mahu menyaksikan cahaya yang didakwa terbit dari batu nisan di bahagian kepala milik arwah Hajah Siah.

Tapi… dalam keajaiban kejadian Allah ini terdapat pula yang cuba berniat jahat. Geram betul Tajuddin apabila ada pihak tertentu yang datang bertujuan cuba mendapatkan nombor ekor.

Orang luar yang tidak dikenali siap membawa pen dan kertas. Malah ada desas-desus menyatakan ada pihak ingin mencuri batu nisan tersebut! Tajuddin mengakui kejadian yang berlaku hampir lapan tahun lalu amat menakjubkan sepanjang hidupnya.

Peliknya, cahaya tersebut biasanya muncul antara pukul 8.00 malam hingga 10.00 malam dan jangka masa muncul antara dua hingga lima minit sahaja. Pada mulanya ramai yang pelik mengapa cahaya ini muncul pada waktu berkenaan. Tetapi selepas mendengar cerita sebenar barulah ramai yang merasa takjub dengan allahyarham Hajah Siah.

Sebenarnya pada waktu berkenaanlah, arwah Hajah Siah suka membaca al-Quran semasa hayatnya. Ceritanya lagi, Allahyarham Hajah siah yang berasal dari Parit 4A, Sunga Manik merupakan seorang yang warak dan alim ketika hidupnya. Arwah seorang yang memiliki budi pekerti yang baik dan gemar ‘bersahabat’ dengan al-Quran.

Untuk mendapatkan kepastian, Tajuddin membawa kami menemui dua anak arwah, Haji Muhammad Haji Othman, 69, dan anak bongsunya, Jamaliah Haji Othman, 67.


Haji Muhammad menunjukkan tasbih
yang sering digunakan arwah ibunya

Sambil dihidangkan secawan kopi, kami bertanya apakah ibadah yang selalu diamalkan oleh arwah ketika hayatnya sehingga kuburnya mengeluarkan cahaya untuk dijadikan iktibar kepada pembaca?

Jamaliah tersenyum sambil memberitahu bahawa arwah ibunya meninggal dunia sebelum azan maghrib 8 Disember 2002 di Hospital Teluk Intan ketika berusia 80 tahun, beliau tidak mengamalkan apa-apa ibadah yang istimewa. Jamaliah juga tidak mahu terlalu memuji ibunya bimbang dianggap riak pula.

Pada Jamaliah, apa yang diamalkan arwah ibunya biasa saja seperti amalan umat Islam lain iaitu melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya.

Misalnya, semasa hayatnya, arwah Hajah Siah sentiasa menjaga solat lima waktu sehari semalam sebagaimana yang diperintahkan Allah kepada setiap hamba-Nya. Arwah ibunya juga sering kali bersolat sebaik masuk waktu tanpa melengah-lengahkan dengan hal-hal keduniaan.

“Misalnya, sebelum masuk waktu solat Maghrib lagi mak dah ambil air sembahyang, kemudian duduk menunggu di atas sejadah sambil membaca al-Quran. “Bila azan Isyak selesai, mak terus solat. Lepas solat sambung lagi mengaji al-Quran. Masa mak banyak dihabiskan dengan membaca al-Quran!

“Tengah malam mak selalu bangun buat solat Tahajud dan waktu pagi solat sunat Dhuha. Tiap-tiap hari itulah amalan mak!” cerita Jamaliah. Kami juga dimaklumkan Jamaliah, dalam setahun ibunya berkhatam al-Quran, lima hingga enam kali. Pada bulan puasa sahaja arwah ibunya khatam al-Quran sebanyak dua kali.

“Mak selalu amalkan baca surah Yasin, al-Waqiah dan surah al-Mulk. Tiga surah ini pasti mak baca pada tiap-tiap hari. Kira amalan wajib bagi mak!” tambah Jamaliah.

Amalan lain yang turut menjadi darah daging arwah Hajah Siah ialah berzikir. “Mak berzikir tak kira waktu pagi, petang atau siang. Malam pula saya tengok mak berzikir. Tasbih memang tak lekang dibilang dan dibawanya ke mana-mana."

“Tengah berkebun pun mak bawa tasbih juga, kalau dia nak mencangkul dan menebas dia sangkutkan tasbih pada lehernya!” beritahu Haji Muhammad pula.

Zikir yang selalu diamalkan arwah ialah zikir harian yang selalu diamalkan Imam al-Ghazali. “Setiap kali berzikir arwah mak buat seribu kali setiap hari!” beritahu Jamaliah.

Selain berzikir apa lagi amalan yang paling disukai arwah Hajah Siah?

“Ishhhk! Amalan ini memang berat, susah orang nak buat. Tapi arwah mak suka sangat buat. Mak suka sangat bersedekah kepada anak-anak yatim dan kepada masjid. “Mak sedekah bukan sikit tapi banyak. Arwah mak pernah sedekah sampai RM1000 untuk bina masjid. Kalau bab sedekah arwah mak memang tak sayang duit, hairan saya.

“Arwah mak ada pesan pada kami, kalau orang datang minta sedekah jangan dihampakan. Beri biarpun sikit!” ujar Haji Muhammad pula.

Semasa hayatnya, arwah Hajah Siah selalu berpesan kepada Haji Muhammad dan Jamaliah supaya rajin-rajinlah membaca al-Quran. Itulah saja penolong ketika berada di alam kubur.

“Kata mak, kalau kita rajin baca al-Quran, nanti bila dah meninggal, dalam kubur akan bercahaya terang-benderang seperti disuluh lampu. Sebab itulah saya tak terkejut sangat bila orang heboh bercerita kubur mak saya bercahaya!” jelas Jamaliah pula.

Begitulah cerita daripada anak-anak arwah Hajah Siah yang kami temui di rumah mereka di Parit 4A, Sungai Manik, Teluk Intan.

Hmm… macam mana dengan amalan kita?

Bolehkah kita tandingi kehebatan Hajah Siah, sembahyang lima waktu tepat pada waktunya, selalu baca al-Quran, setiap tahun khatam lima enam kali, berzikir seribu kali sehari dan memperbanyakkan bersedekah jariah?

Al-Fatihah buat arwah Hajah Siah. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Amin.

Mastika Dis 2010

Wednesday, April 20, 2011

TUKANG SANTAU NAZAK TERIMA AZAB



Suatu petang, saya melawat seorang tua di kampung kami bernama Pak Mat yang sedang nazak di rumahnya. Badan orang tua itu tidak ubah seperti mayat hidup. Tubuhnya sangat kurus macam papan sekeping.
Menurut anaknya, ayahnya sudah beberapa bulan terlantar di rumah. Sudah beberapa kali ayahnya seakan-akan hendak meninggal dunia tetapi masih bernyawa.
Pada hari pertama ayahnya sakit, keluarganya menyangka ayahnya hampir saat hendak meninggal. Jiran-jiran membacakan surah Yasin di rumah. Tetapi keadaannya tetap begitu sehingga berbulan-bulan.
Masa mula-mula sakit dulu orang ramai berkunjung melawat Pak Mat. Tapi sekarang tiada lagi sesiapa melawat sebab orang kampung menganggap Pak Mat sakit tua.
Balik dari melawat Pak Mat saya ceritakan keadaan itu kepada mak. Mak terkejut mendengar berita Pak Mat sedang sakit tenat tetapi masih bernyawa.
“Huh! Padan muka dia. Dulu jahat sangat. Sekarang rasakanlah!” balas mak.
Saya terkejut mendengar kata-kata mak. Kenapa pula mak marah-marah kepada Pak Mat sedangkan orang tua itu sedang bertarung nyawa. Tak patut mak cakap begitu!
“Kenapa pula mak cakap macam tu? Kan orang tua tu tengah nazak, nak meninggal!” kata saya.
Saya mengagak tentu ada sesuatu peristiwa pernah terjadi pada mak. Mungkin Pak Mat pernah lakukan perbuatan yang dibenci mak. Kalau tidak, takkanlah mak boleh keluarkan kata-kata kesat seperti itu.
“Dia buat apa dulu mak?” soal saya.
“Kau tengok bapak kau tu. Kau ingat dia tergaru-garu tu sebab penyakit kulit biasa ke? Kalau kau nak tau, orang itulah yang buat bapak kau jadi macam ni!” balas mak.
Saya jadi pelik memikirkan apa sebenarnya yang terjadi. Bapa saya dari dulu memang mempunyai penyakit kulit yang tidak pernah sembuh. Puas berubat. Jumpa berpuluh bomoh pun tak dapat menyembuhkannya. Habis ubat hospital dicuba tetapi masih tidak berkesan.
Saya Tanya mak lagi, apa Pak Mat buat pada ayah dulu?
“Panjang ceritanya… kisah ni masa mak muda-muda dulu!” beritahu mak.
Mengikut cerita mak, semasa zaman muda dulu, isteri Pak Mat pernah tergila-gilakan ayah. Tetapi ayah tidak berminat dengan cinta isteri Pak Mat. Cinta isteri Pak Mat ditolak oleh ayah. Tapi isteri Pak Mat tetap gila bayang. Mak bercerita isteri Pak Mat pernah membayangkan sedang berasmara dengan ayah ketika bersama suaminya.
Sewaktu mula terkena santau, mak memberitahu ayah terlangkah sesuatu yang pelik di luar rumah. Rupa benda yang dilangkah ayah seperti paku, miang buluh, kaca dan beberapa lagi peralatan bomoh.
Pada sebelah malamnya sesuatu yang pelik berlaku pada ayah. Seluruh tubuh ayah terasa gatal. Ayah menggaru-garu sampai ke siang. Sepanjang malam ayah tak boleh tidur.
Esoknya, mak memberitahu badan ayah dipenuhi luka dan darah akibat digaru. Serata badan habis dipenuhi bintik-bintik gatal. Badan ayah terasa bisa seperti dilumur dengan miang buluh.
Mak bercerita, ayah melarang abang supaya jangan melangkah benda yang dilangkahi ayah semalam yang masih terdapat di luar rumah kami. Tetapi abang berdegil dan tidak mengendahkan larangan ayah.
Kata mak, abang tidak percaya dan menganggap semua itu karut dan dongeng belaka. Tapi, sebaik abang melangkah, berlaku pula satu kejadian pelik. Mak memberitahu, abang pula mengadu sakit ari-ari dan tidak boleh kencing.
Pelik! Puas abang meneran tidak juga kencing sepanjang hari. Esoknya sama. Hampir seminggu abang tidak kencing. Akhirnya kata mak selepas berubat dengan seorang ustaz, abang boleh kencing semula.
Tapi penyakit ayah terasa bisa dan miang seluruh badan tetap tidak juga sembuh. Kata mak, sudah berpuluh orang bomoh dicuba untuk berubat tetapi tiada yang berjaya. Ayah pernah pergi sampai ke Terengganu untuk berubat.
Di sana kata mak, ayah berubat dengan seorang bomoh. Melalui bomoh itulah ayah diberitahu terkena santau perbuatan orang yang dengki hendak menghancurkan keluarga kami.
Walaupun mak tahu siapa orang yang menyantau ayah tapi perkara itu sengaja didiamkan. Mak tidak mahu kecoh. Mak tidak mahu bergaduh dan mengeruhkan keadaan. Bagi ayah biarlah Allah saja yang membalas perbuatan orang yang menyantaunya.
Begitulah kisah yang diceritakan mak. Saya termenung mendengarnya. Paling mengejutkan kejadian santau ini berlaku kepada ayah saya sendiri.
Bayangkanlah sampai hari ini ayah masih menderita akibat disantau 18 tahun lalu. Rupa-rupanya kisah santau ini benar-benar wujud. Selama ini saya sendiri tidak percaya. Malah saya percaya ramai lagi orang tidak percaya apabila diberitahu ada yang terkena santau.
Malah ada orang tidak percaya apabila diberitahu azab santau begitu dahsyat sekali.
Tapi yang paling mengejutkan saya, orang yang terlibat membuat kerja santau kepada ayah ialah lelaki tua yang pernah saya melawatnya. Saya mula terasa marah. Mengapa orang tua itu sanggup membuat kerja yang dilaknat lagi dikutuk Allah itu? Tidak terfikirkah orang tua itu akibat buruk yang akan menimpanya kelak, menerima balasan Allah?
Tanpa diduga beberapa hari selepas saya melawat, anak-anak Pak Mat datang beramai-ramai ke rumah kami. Anak-anaknya dengan rendah hati menjemput kami sekeluarga ke rumah mereka.
Menurut anak-anak Pak Mat ada perkara penting yang hendak dibincangkan mengenai orang tua mereka yang sedang azab. Kami sekeluarga bersetuju untuk datang.
Sampai di rumah Pak Mat, kedua-dua orang tua saya terkejut melihat keadaannya. Tulang rusuk Pak Mat boleh dibilang dengan jari. Pipinya cengkung dan bunyi dengkuran nafasnya begitu kuat.
Mak lalu bertanya mengapa keluarga Pak Mat menjemput kami. Anak-anak Pak Mat memberitahu ayah mereka ingin meminta maaf kepada keluarga kami di atas perbuatan lampaunya.
Isteri dan anak-anak Pak Mat menangis teresak-esak memujuk kami supaya memaafkan saja perbuatan tersebut. Anak-anaknya menyatakan mungkin ayah mereka susah hendak meninggal selagi kesalahannya tidak dimaafkan oleh ibu dan ayah saya.
Mak pada mulanya agak dingin. Mak tidak mahu memaafkan Pak Mat apabila mengenangkan perbuatannya menyeksa ayah melaui santau. Tapi mak kalah dengan pujukan ayah.
Kata ayah tidak ada gunanya berdendam dengan orang yang tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Biarkanlah rohnya pergi dengan aman dan tenang. Selagi mak dan ayah tidak memaafkan Pak Mat selagi itulah orang tua itu hidup seperti mayat bernyawa.
Lagipun kata ayah perbuatan yang dilakukan Pak Mat sudah berbelas tahun berlalu. Tiada guna dendam mendendam. Akhirnya mak dan ayah bersetuju memaafkan perbuatan Pak Mat.
Bagi mak biarlah kisah ini menjadi pengajaran dan teladan bagi anak-anaknya yang masih hidup. Mak mengingatkan biar betapa kuat seseorang setiap yang hidup pasti akan mati.
Dua minggu selepas mak dan ayah memaafkan perbuatan Pak Mat, orang tua itu meninggal dunia. Biarpun orang tua itu sudah dimaafkan dan meninggal tetapi ayah saya masih lagi menderita akibat perbuatannya.
Walaupun kisah ini sebenarnya telah lama berlaku tetapi elok saya ceritakan untuk kita bersama-sama mendapat iktibar dan tidak melakukan kerja-kerja syaitan.
Bukankah Allah telah berfirman, sihir itu adalah perbuatan keji dan mengikut jejak langkah syaitan?

Mastika Sept. 2010