Sejak saya bertugas sebagai tukang mandi mayat peneroka lebih 20 tahun, bermacam-macam jenis mayat telah saya sucikan termasuk kanak-kanak, orang tua dan penagih dadah.
Saya juga pernah memandikan mayat empat orang HIV. Tapi bagi saya, pengalaman begitu biasa saja tanpa sedikit pun meninggalkan apa-apa kesan kepada diri saya.
Tapi, ada beberapa kejadian yang tidak dapat saya lupakan berlaku pada 1990. Ketika itu saya memandikan mayat seorang peneroka bekas Special Constable (SC) pencen yang berbadan besar.
Apabila saya selak kain penutup mayat, muka arwah senyum. Lalu saya tanya jiran-jirannya. Apa amalan pakcik ini, mayatnya senyum!
Jirannya memberitahu saya, semasa hayatnya, arwah kalau balik dari kebun membawa seikat rambutan dia akan memberi kepada budak-budak sehingga tinggal tangkai. Inilah amalan harian bekas SC pencen itu apabila balik ke rumahnya. Kalau dia balik bawa buah tangan, dihadiahkan kepada anak jiran-jirannya dahulu sebelum masuk rumah.
Kadang-kadang, tiada apa yang dibawa untuk anak-anak dan isterinya.
Apabila imbas diri ini, saya rasa kedekut sikit berbanding arwah. Biasanya kita bungkus, jangan ternampak anak-anak jiran sebab hendak bawa balik beri makan anak dan isteri. Tetapi arwah tidak begitu.
Sifat pemurahnya sukar ditandingi sesiapa. Kalau kebetulan hari itu arwah bawa kuih-muih, dia akan bagi semua anak jirannya merasa sehingga kosong plastik.
Rupa-rupanya amalan bekas SC ini ikhlas. Arwah bersedekah ikhlas walaupun sebesar biji zarah. Maka itu, tidak hairanlah wajah arwah tersenyum manis semasa saya memandikan jenazahnya. Inilah pertama kali saya lihat mayat tersenyum!
Kejadian mayat tersenyum berikut juga amat berkesan kepada saya. Saya termenung dan merasa insaf dengan apa yang dilihat. Mayat yang saya bakal uruskan ini seorang peneroka biasa.
Biasanya orang akan bersangka buruk sebab si polan ini bukanlah kaki masjid. Semasa hayatnya, boleh tahan jugalah…
Selepas sakit kira-kira lima tahun, arwah jarang muncul di khalayak ramai.
Arwah asingkan diri. Dulu kerap minum di kedai. Pada hari-hari terakhir sebelum meninggal, arwah tidak suka bercampur orang ramai lagi. Kalau minum, cepat-cepat balik macam ada urusan penting.
Pada malam Khamis, beliau nazak. Esoknya, anak lelaki peneroka ini memberitahu ayahnya sudah meninggal dunia pukul 5.00 pagi sebelum solat Subuh. Saya pun pergi menziarahi jenazahnya dan membacakan al-Fatihah.
Bila saya tengok, muka arwah tersenyum. Matanya tertutup rapat. Pukul 8.30 pagi saya mandikan mayatnya. Jenazahnya lembut. Bila saya bersihkan, muka lebih manis selepas dimandikan. Selepas dikapan dan disembahyang jenazah, arwah selamat dikebumikan.
Selepas habis bacaan talkin saya tanya anak lelaki arwah, mengapa muka ayahnya tersenyum? Sebab arwah ayahnya bukan kaki masjid, kadang-kadang Jumaat pergi… saya cemburu, sebab saya rasa lebih bagus dari arwah.
Anaknya memberitahu pada malam sebelum meninggal ayahnya tiba-tiba saja meminta supaya menghantar balik ke Kelantan untuk belajar pondok, mengaji al-Quran dan kitab. Niat arwah sebelum meninggal hendak belajar mengaji, menghafaz al-Qurandan belajar kitab-kitab. Saya merasa malu apabila mendengar pengakuan anak arwah ini.
Biarpun niat arwah tidak kesampaian, tapi Allah tetap mencatat pahala untuk niat baiknya. Patutlah arwah jarang muncul di kedai kopi, rupa-rupanya arwah sedang mendalami agama, membaca al-Quran, beribadat kepada Allah.
Nasihat saya, jangan kita bersangka buruk kepada seseorang. Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Allah tetap menerima taubat kita selagi belum tiba saat sakaratulmaut mencabut nyawa kita.
Kejadian berikut juga amat menginsafkan saya. Kira tahun lepas itu, saya memandikan jenazah seorang penagih tegar yang baru keluar pusat serenti.
Saya tengok kaki, tangan pucat lesi. Tapi mukanya tersenyum! Lalu saya tanya mak arwah pemuda ini, kenapa muka anaknya tersenyum?
Emaknya dengan lelehan air mata memberitahu sebelum anaknya meninggal, arwah meminta ampun, cium kakinya, cium tangan. Arwah suruh ibunya peluk erat-erat. Arwah beritahu dia tak lama lagi hendak pergi! Ibunya beritahu dia redha dunia akhirat dan ampunkan segala kesalahan arwah.
Saya terharu mendengar cerita ibu ini. Arwah meninggal di atas pangkuan ibunya.
Saya terperanjat, sebab penagih tegar orang benci. Tapi nasib arwah dapat keredhaan ibunya. Nasihat saya kepada pembaca jangan kita perasan kita ini rajin buat ibadat. Jangan kata orang lain tak elok, kononnya aku orang baik, jangan! Sekali lagi saya nasihat, jangan hukum orang begini. Hanya Allah yang tahu nasib kita di akhirat kelak!
Tiga kejadian di atas banyak memberi keinsafan kepada saya. Tapi saya ingin ceritakan dua lagi kisah yang melibatkan wanita sebelum meninggal dunia.
Pada tahun 2009, pukul 9.00 pagi kebetulan saya sengaja lalu ke rumah orang kenduri kahwin. Pagi itu saya berselisih dengan seorang isteri peneroka berusia 40-an berbaju kurung berwarna pink. Isteri peneroka ini memang lawa. Kulit kuning langsat.
Lama saya pandang. Cantik betul. Pada pendapat saya kecantikannya sungguh luar biasa , macam bidadari. Saya berkata dalam hati, hari ini lawa sungguh. Pelik.
Kira-kira pukul 1.00 tengah hari, saya mendapat tahu isteri peneroka yang berselisih dengan saya pagi tadi telah meninggal dunia.
Saya terperanjat! Saya jumpa suaminya secara peribadi dan bercerita tentang kecantikan luar biasa isterinya sebelum meninggal dunia.
Rupa-rupanya bukan saya seorang melihatnya. Seorang lagi peneroka bercerita perkara yang sama melihat kecantikan wanita itu.
Semasa hayatnya isteri peneroka ini rajin bergotong-royong, suka bersedekah dan ikhlas kerana Allah.
Kejadian terakhir yang sungguh berkesan berlaku pada tahun 2000. Petang berkenaan selepas Asar saya lihat seorang anak dara yang belum kahwin sungguh cantik.
Berkali-kali saya berbisik, cantik sungguh anak dara ini. Saya tidak pernah tengok anak dara secantik ini. Manis! Saya merasa pelik sunguh.
Esoknya, saya diberitahu anak dara cantik yang saya lihat petang semalam telah meninggal dunia selepas Subuh. Gadis berusia 20-an itu terjatuh di bilik air akibat tumor otak. Pagi itu isteri saya, Fatimah Mohd., 63, yang tolong memandikan mayat arwah anak dara ini. Wajahnya macam bermekap. Cantik betul, kata isteri saya.
Kenapa wajah arwah ini secantik bidadari?
Saya pernah jumpa ayah arwah dan beritahu anaknya cantik sungguh sebelum meninggal. Menurut ayahnya, pagi itu sebelum masuk bilik air, arwah beri makan kucing, peluk kucing.
Selepas itulah arwah jatuh pengsan. Selama ini arwah sayang sangat kepada kucing. Arwah tidak pernah berpisah dengan kucing kesayangannya.
Bukankah kucing antara binatang kesayangan Nabi Muhammad s.a.w. Sesiapa yang kasihankan kucing akan diberi pahala oleh Allah.
Mudah-mudahan segala cerita ini dapat memberi serba sedikit pedoman dan iktibar sebelum kita dipanggil menghadap Allah, meninggalkan dunia yang fana ini!
Mastika Jan 2011
Teringat aku satu kisah dizaman dahulu dimana penggali kubur terlalu ghairah melihat satu mayat wanita yang sangat cantik yang baru dikebumikan olehnya.
ReplyDeleteAkibat godaan Syaitan ia lalu meyetubuhi mayat wanita tersebut. Ketika perbuatan itu sedang dilakukan tiba-tiba mayat wanita cantik itu dapat berkata-kata dan mengeji perbuatan penggali kubur itu.
Kerana terkejut dengan kejadian tersebut penggali kubur merasa sangat berdosa dan ingin bertaubat dan memohon ampun atas kesalahannya itu. Ia lalu pergi berjumpa Rasulullah saw. untuk meminta nasihat dan keampunan tetapi Rasulullah saw. sangat marah dengan perbuatannya itu dan menghalaunya.
Akibat sedih dengan hal yang menimpa dirinya, ia lalu membawa diri kepadang pasir yang tandus dan kering kontang untuk memohon keampunan dan berserah diri kepada Allah atas dosanya yang dikatakan lebih besar dari sebuah gunung itu.
Dia akhirnya meninggal dunia dipadang pasir itu. Diatas rasa penyesalannya yang bersungguh-sungguh itu Allah lalu mengampuni dosanya dan memerintahkan Malaikat Rahmat membawa dan menempatkannya didalam Syurga.
Allah mengutuskan Malaikat Jibril untuk mewahyukan peristiwa tersebut kepada Rasulullah saw.
Rasulullah saw merasa malu diatas perbuatannya dan memohon ampun kepada Allah.
Moral dari kisah ini ialah seseorang itu tidak boleh menghukum seseorang yang lain diatas sesuatu dosa yang dilakukannya itu kerana Allah lebih mengetahui apa yang manusia tidak mengetahuinya. Sesungguhnya Allah itu maha pengasih lagi maha penyayang.
Saya mohon maaf jika terdapat kesilapan dalam penceritaan ini. terutama dizaman Nabi manakah kisah ini berlaku samada dizaman Nabi Musa as atau zaman Rasulullah saw.
kesimpulannya jangan menghina orang lain dan memperlekehkan orang lain kerana kita nasib dia dengan allah
DeletePernah baca kisah ini...
ReplyDeleteIanya sangat menginsafkan...
Subhanallah.tersentuh hati saya.Saya mendoakan kakak saya pun memperolehi hadiah seperti ini dari Allah kerana dia sanggup mengambil kucing yang lumpuh untuk dipelihara.Kalau org lain tak sanggup nak memelihara kucing yg lumpuh itu.Moga Allah ampunkan dosa-dosa kakak saya yg kecil atau pun besar.Amin
ReplyDeletemmaf tersalah tulis kita tidak tahu nasib dia dengan allah
ReplyDelete