Sunday, May 25, 2014

SIRI KISAH-KISAH NASIHAT DAN PERUMPAMAAN....


Setelah suami Rabi'ah al-Adawivah meninggal, maka Hasan al-Basri dan teman-temannya datang ke rumah Rabi’ah al-Adawiyah lalu dipersilakan mereka masuk. Kemudian ditutup Rabi'ah tabir dan dia duduk di belakangnya seraya berkata:


"Siapa yang paling pintar di antara kalian maka dia adalah suami saya."

Maka mereka menjawab: "Hasan al-Basri".

Maka soal jawabpun bermula :

Rabi'ah: "Bila dapat menjawab pertanyaanku maka aku adalah milikmu.

Hasan segera berkata: "Tanyalah semoga aku dapat menjawab".

Rabi'ah: "Apabila aku mati dan keluar dari dunia, apakah aku nanti keluar dengan beriman atau tidak?".

Hasan: "ltu masalah ghaib dan tidak seorangpun yang mengetahui kecuali Allah"

Rabi'ah: "Bila aku telah terletak di liang kubur dan ditanya Malaikat Mungkar dan Nangkir, apakah aku nanti dapat menjawab atau tidak?".

Hasan: "ltu juga hal yang ghaib dan tidak ada yang mengetahui, kecuali Allah"

Rabi'ah: "Apabila orang yang telah dikumpulkan di hari kiamat dan diberikan kepada mereka cacatan amal masing-masing, dengan tangan kanankukah atau tangan kirikukah aku akan menerima catatan amalanku?”

Hasan: "Itupun barang ghaib juga."

Lalu Rabi'ah berkata: "Hai Hasan, barang siapa tidak dapat menjawab empat pertanyaan yang saya ajukan, jangan berfikir untuk dapat mengahwini saya."

Kemudian Rabi’ah berkata untuk terakhir kalinya:

"Hai Hasan, dalam berapa bahagiankah Allah mencipta akal?".

Hassan: "Sepuluh bahagian, sembilan untuk laki-laki dan satu jenis untuk wanita".

Rabi’ah. "Dalam berapa bahagiankah Allah mencipta syahwat?".

Hasan. "Sembilan bahagian untuk wanita dan satu bahagian untuk lelaki."

Rabi’ah: "Hai Hasan, aku dapat menguasai Sembilan syahwat dengan satu bahagian akal, sedang kamu pihak lelaki tidak dapat menguasai satu bahagian syahwat dengan sembilan akal yang kamu dapat"

Lalu keluarlah Hasan dari rumah Rabi'ah dengan tangis dan air mata yang bercucuran.

 SEPULUH JENIS ORANG ISLAM YANG KEJAM...

 Sufyan Athsauri berkata : "Sepuluh macam daripada kekejaman itu ialah apabila:"
  • Seorang yang berdoa untuk dirinya sendiri dan tidak mendoakan anak-anaknya dan kaum mukmin.
  • Seorang yang pandai membaca A1-Quran, tetapi tiap harinya tidak membaca seratus ayat.
  • Seorang yang masuk masjid lalu keluar dan tidak sembahyang dua rakaat. (Sunat Tahyatul-Masjid).
  • Seorang yang berjalan melalui kuburan kemudian tidak memberi salam dan mendoakan ahli kubur.
  • Seseorang yang sampai di sebuah kota pada hari Jumaat kemudian tidak sembahyang jemaah.
  • Seseorang yang di daerahnya di datangi oleh seorang alim, tiba-tiba tidak mahu belajar apa-apa daripadanya.
  • Dua orang yang bertemu di perjalanan dan masing-masing tidak menanyakan nama kawannya itu.
  • Seorang diundang pada jamuan tiba-tiba tidak datang.
  • Pemuda yang tidak ada kerja dan tidak mahu belajar ilmu dan kesopanan.
  • Seorang yang kenyang sedang dia tahu bahawa tetangganya lapar, tetapi tidak diberi dari makannya itu.
NASIHAT LUQMAN KEPADA ANAKNYA...

Satu hari Luqman Al-Hakim ditanya oleh anaknya:
Pak, apakah sebaik-baik perangai bagi manusia?"
"Jawab Luqman: "Agama."
Bertanya lagi si anak: "Kalau perangai itu dua?".
Jawab Luqman: "Agama dan harta."
Bertanya si anak lagi: "Kalau tiga?".
Jawab Luqman: "Agama, harta dan malu."
Bertanya lagi si anak: "Kalau empat?".
Jawab Luqman: "Agama, harta, malu dan budi pekerti yang baik."
Si anak terus bertanya lagi: "Kalau perangai itu lima?".
Jawab Luqman: "Agama, harta, malu, budi pekerti yang baik dan pemurah".
Bagaimana kalau perangai itu enam?". Tanya si anak lagi.
"Wahai anak kesayanganku, kalau lima perangai itu terkumpul pada "seseorang, maka dia adalah orang yang suci, terpelihara (taqwa kepada kepada Allah), dilindungi Allah s.w.t. dan bebas dari syaitan."

Sementara itu, berkata Wahab Munabbih: "Orang yang jahat perangai dan jahat budi pekerti itu seumpama tembikar pecah yang tidak dapat ditampal dan tidak dapat dijadikan tanah liat kembali."

Al-Fudhail pula berkata: "Aku lebih suka bersahabat dengan orang derhaka tetapi baik budi pekertinya daripada bersahabat dengan seorang yang beribadat tetapi jahat budi pekertinya."

Ibnu Abbas pula pernah ditanya: "Apakah kemuliaan itu?"

Jawab Abnu Abbas: "Kemuliaan itu ialah seperti yang dijelaskan oleh Allah s.w.t. dalam Surah A1-Hujarat ayat 13:


Maksudnya: "Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kalian disisi Allah ialah orang paling bertaqwa"

Selanjutnya Ibnui Abbas berkata lagi: "Setiap bangunan mempunyai dasar dan dasar Islam itu adalah budi pekerti yang baik."

PERSAMAAN MANUSIA DENGAN ALAM...

Dikatakan bahawa susunan falak dan buruj adalah seperti susunan manusia. Sebagaimana falak dibahagi menjadi 12 buruj maka manusia juga mempunyai 12 lubang, iaitu 2 lubang telinga, 2 lubang hidung, 2 lubang mata, 2 lubang jalan kotoran, 2 buah dada, 1 mulut dan 1 pusat. 6 buruj dari sebelah utara dan 6 buruj lagi dari sebelah selatan.

Dalam falak ada 7 bintang dan dalam tubuh manusia juga ada 7 kekuatan. Iaitu pendengaran, penglihatan, perciuman, perasaan, penyentuhan, pemikiran dan pembicaraan.

Karana itu gerak manusia adalah gerak daripada bintang-bintang. Lahirmu seperti terbitnya dan matimu seperti matinya.

Ini adalah perumpamaan dengan alam raya yang ada di atas.

Ada pula perumpamaan dengan alam bawah, maka jasadmu seperti bumi, tulangmu seperti gunung, otakmu seperti lombong, keringat mu seperti parit-parit, dagingmu seperti debu, rambutmu seperti pohon-pohon, mukamu seperti Masyrik (timur), punggungmu seperti Maghrib (barat), kanannya seperti selatan, kirinya seperti utara, jiwamu seperti angin, kata-katamu seperti hujan, marahmu seperti mendung, tidurmu seperti mati, jagamu seperti hidup, mudamu seperti musim panas dan masa tuamu seperti musim hujan.

Maka Maha Berkah ALLAH s.w.t. dan Dia Sebaik-baik Pencipta . Dan Dia telah menciptakan tangan yang ada di dalamnya 35 tulang dan pada telapak kaki demikian juga.

PERKAHWINAN YANG DIHARAMKAN...

Gambar hiasan...

1. PERKAHWINAN MUT'AH
Perkahwinan Mut'ah ialah apabila seseorang lelaki dan seorang wanita berkahwin atas dasar perjanjian bahawa perkahwinannya itu hanya untuk sementara waktu, baik seminggu, sebulan ataupun setahun dan penceraian terjadi bila waktu yang ditentukan itu habis. 


Perkahwinan mut'ah ini adalah salah, tidak sah menurut syara'. Perkahwinan semacam ini termasuk dosa besar, kerana tidak berbeza dengan zina. Sebab, asas atau dasar yang melandasi perkahwinan adalah keteguhan ikatan, kemantapan, melahir dan memelihara keturunan serta mendidik anak-anak. Sedangkan perkahwinan mut'ah bersifat sementara tidak ubah seperti perzinaan yang berakhir dengan perpisahan dan kehancuran rumahtangga. 


Di zaman permulaan Islam, perkahwinan mut'ah dibolehkan kerana ramai kaum muslimin menyertai dalam perjuangan menegakkan agama Allah dan meninggalkan isteri-isteri mereka pergi ke negeri lain dalam masa waktu yang lama sekali, sehingga mereka terpaksa hidup membujang dan tidak ada yang menguruskan kehidupannya seharian. 


Pada zaman jahiliah, perkahwinan mut'ah merupakan adat kebiasaan yang dilakukan orang di mana-mana. Akan tetapi agama Islam menetapkan ketentuan hukum melalui cara peringkat demi peringkat, akhirnya mengharamkan perkahwinan mut'ah secara mutlak dan untuk selama-lamanya. 

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda:




Larangan perkahwinan mut'ah ditegaskan enam kali dalam berbagai kesempatan, agar larangan atau pengharaman itu mempunyai kekuatan hukum yang kukuh dan agar kaum muslimin mengetahui persoalannya dengan jelas. Dengan perkahwinan mut'ah, tidak ada soal waris-mewarisi diantara dua orang suami-isteri, kerana perkahwinan itu sendiri salah dan apa sahaja yang ditegakkan atas dasar kebatilan adalah salah.


Al-Baihaqi meriwayatkan: Ketika Ja'far bin Muhammad r.a. ditanya tentang perkahwinan mut'ah beliau menjawab: "Perkahwinan mut'ah itu sendiri merupakan perzinaan", kerana perkahwinan semacam itu tidak bertujuan lain kecuali memuaskan hawa nafsu dan sama sekali tidak bertujuan memperolehi keturunan dan tidak mengindahkan pemeliharaan anak-anak. 

Selain itu, perkahwinan muta'ah sangat membahayakan kedudukan wanita, kerana wanita dipandang sebagai barang yang dapat berpindah dari satu tangan ke tangan yang lain. Bagi anak-anak yang lahir dari perkahwinan mut'ah, bahayanya lebih besar lagi, kerana mereka tidak akan mempunyai tempat berlindung yang tetap dan mantap serta tidak terurus pendidikan dan pelajarannya.


Semuanya itu akibat perkahwinan yang sejak awal lagi diniat dengan penceraian setelah beberapa lama kedua belah pihak dapat memenuhi kepuasan seksualnya. Meskipun ada setengah ulama memandang sah akad nikah yang tidak disertai syarat perceraian (talak), tetapi Allah s.w.t dengan tegas telah berfirman: 


 


Niat bercerai yang tersembunyi di dalam perkahwinan mut'ah itu jelas merupakan penipuan dan pemalsuan. Di dalamnya terkandung unsur-unsur perosak yang menghancurkan ikatan suci. Ikatan yang mempunyai erti terpenting dan terbesar dalam kehidupan manusia itu diubah menjadi tempat sekadar untuk memuaskan hawa nafsu. 


Rasulullah s.a.w. mengutuk dan melaknati lelaki dan wanita yang kahwin "pura-pura" dengan tujuan hendak mengecapi kelazatan syahwat semata-mata. Perbuatan seperti itu pasti akan mengakibatkan timbulnya rasa permusuhan dan kebencian, bahkan menghilangkan kepercayaan orang-orang yang dengan jujur dan bersungguh-sungguh hendak membangunkan kehidupan rumahtangga.


Perkahwinan yang diridhai oleh Allah s.w.t dan dikehendaki olehNya ialah perkahwinan yang memelihara kesucian atau kehormatan suami-isteri dan perkahwinan disertai dengan niat ikhlas hendak membangun kehidupan rumahtangga atas dasar saling harga-menghargai dan saling bantu membantu antara dua orang suami-isteri, iaitu perkahwinan yang bertujuan membangun keluarga muslim sebagai sebahagian dari keluarga umat Islam seluruhnya.


2. PERKAHWINAN TAHLIL ATAU LEBIH DIKENALI DI MALAYSIA 
DENGAN ISTILAH PERKAHWINAN 'CINA BUTA'... 


Perkahwinan tahlil ialah perkahwinan yang dilakukan oleh seorang lelaki dengan seorang janda yang telah tiga kali ditalak (atau dijatuhi talak tiga) oleh suaminya sesudah janda itu berakhir masa 'iddahnya. Setelah janda yang berkahwin itu digauli, lalu dia dicerai agar dapat dinikah lagi oleh bekas suaminya yang pertama. 


Tegasnya ialah, perkahwinan tahlil ini tidak lain hanyalah perkahwinan formal untuk menghindari ketentuan hukum Allah secara formal. Sebab, Allah mengharamkan lelaki menikah kembali dengan isterinya yang telah tiga kali dicerainya (atau telah dijatuh talak tiga), sebelum bekas isterinya itu kahwin lagi dengan lelaki lain dan kemudian dicerai oleh lelaki lain itu. Demikianlah ketentuan hukum Allah sebagaimana termaktub di dalam Al-Qur'anul-Karim (S. Al- Baqarah: 230). 


Perkahwinan tahlil merupakan perbuatan keji dan termasuk dosa besar. Allah mengharamkan perkahwinan semacam itu, melaknati pelakunya dan menganggap perkahwinan itu tidak sah (batil). Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Tirmuzi dengan isnad Hasan dan Sahih (baik dan benar) berasal dari Ibnu Mas'ud r.a., mengatakan:



"Rasulullah s.a.w. melaknati orang yang melakukan perkahwinan tahlil (al-halil-lelaki) dan orang yang hendak dihalalkan olehnya (al-halilah-wanita)."


Bahkan si muhallil diibaratkan seperti kambing jantan yang dipinjam sementara waktu"! Mengenai hal itu terdapat sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah, bahawasanya Rasulullah s.a.w. pernah bertanya kepada para sahabatnya:




Khalifah 'Umar Ibnul-Khatthab r.a. dengan tegas mengatakan: "Kalau dihadapkan kepadaku seorang al-halil dan seorang al-halilah, kedua-duanya pasti ku kenakan hukuman rejam, kerana kedua-duanya adalah penzina". Allah meridhai apa yang dikatakan oleh Ibnu Taimiyyah: Bahawa agama Allah jauh lebih mulia dan lebih suci daripada hanya sekadar mengharamkan hubungan seksual yang tidak sah sehingga orang perlu meminjam seekor kambing untuk memenuhi keinginannya.


Padahal orang yang suka kahwin banyak itu tidak berniat berkahwin dan tidak ingin hidup bersama perempuan yang dikahwininya. Perbuatan seperti itu jelas merupakan pelacuran dan perzinaan, sebagaimana yang dikatakan Rasulullah s.a.w.:




Hal itu merupakan kejahatan yang paling tercela dan tidak mungkin dapat diterima oleh orang-orang yang berfikir. Jauh sekali perbuatan itu boleh dibenarkan oleh syari'at para Nabi, lebih-lebih oleh syari'at yang tertinggi dan termulia, iaitu syari'at Islam yang dibawakan oleh Muhammad Rasulullah s.a.w.


Perkahwinan dengan seorang janda yang te!ah tiga kali dicerai atau ditalak tiga kali oleh suaminya, dipandang sah jika lelaki yang mengahwininya itu benar-benar atas kemahuannya sendiri dan benar-benar bertujuan hendak hidup bersama seumur hidup. 


Ia menggaulinya dengan sepenuh hati dan perasaan, sehingga mengecapi kemanisan madu isterinya dan isterinya pun mengecapi kemanisan madu suaminya. Apabila suami-isteri itu berkahwin dengan niat ikhlas dan kehendaknya sendiri, kemudian suaminya meninggal dunia atau mencerainya berdasarkan alasan yang diterima akal, barulah bekas suaminya yang pertama di halalkan berkahwin kembali dengan bekas isterinya itu setelah berakhir masa 'iddahnya.


3. PERKAHWINAN SYIGHAR


Pada zaman jahiliyah, seorang lelaki dapat mengahwinkan anak atau saudara perempuan yang berada di bawah jagaannya dengan lelaki lain atas dasar imbalan yang sama atau secara timbal-balik. Misalnya: Si A mengahwinkan anak atau saudara perempuannya dengan Si B, sebagai imbalannya Si B mengahwinkan anak saudara perempuannya dengan Si A. 


Berdasarkan perjanjian di dalam perkahwinan timbal-balik itu, maka baik Si A maupun Si B bebas dari kewajipan membayar maskahwin. Perkahwinan yang berupa pertukaran barang dagangan itulah yang disebut dengan "Perkahwinan Syighar". Perkahwinan begini jelas salah serta diharamkan oleh agama Islam.
Berlainan keadaannya dengan perkahwinan timbal-balik itu masing-masing lelaki yang berkenaan membayar maskahwin sebagaimana yang ditetapkan oleh hukum syara'. Dalam hal ini perkahwinan adalah sah dan benar menurut syara', kerana bukan berupa perkahwinan syighar.


4. PERKAHWINAN YANG DIHARAMKAN DALAM 
KEADAAN IHRAM, BAIK IHRAM HAJI MAHUPUN IHRAM UMRAH


Orang yang berada dalam keadaan ihram, baik ihram haji maupun ihram umrah, tidak dihalalkan melakukan perkahwinan, samada perkahwinan itu dilakukannya sendiri maupun diwakilkan kepada orang lain. Akad nikah perkahwinan harus ditangguhkan sehingga ihram berakhir. Pernikahan yang dilakukan dalam masa ihram adalah batal, tidak sah dan pelakunya adalah berdosa.


5. PERKAHWINAN SEMENTARA


Pengertian atau ta'rif (definisi) perkahwinan sementara ialah perkahwinan dimana di dalam ijab-kabul akad nikah diikrarkan ucapan atau kata-kata yang baik dan menunjukkan maksud hendak membangun kehidupan suami-isteri sebagaimana lazimnya menurut syara', tetapi bersamaan dengan itu disertai maksud yang menunjukkan pembatasan waktu perkahwinan, yakni perkahwinan itu hanya berlaku selama waktu tertentu panjang ataupun pendek. Misalnya, seorang lelaki berkahwin dengan seorang wanita untuk selama waktu tertentu seperti sepulu hari, sebulan, dua bulan dan sebagainya kurang atau lebih dari itu. 


Hukum perkahwinan seperti ini adalah batal, tidak sah menurut syara', kerana dalam akad nikahnya disertai maksud yang menunjukkan pembatasan waktu berlakunya. Perkahwinan untuk waktu-waktu yang terhad itulah yang membuat perkahwinan itu tidak baik bagi pembangunan kehidupan suami-isteri.
Perkahwinan sementara pada hakikatnya sama dengan perkahwinan mut'ah, atau sekurang-kurangnya sama erti dan tujuannya kerana tujuan perkahwinan sementara tidak berbeza dengan tujuan perkahwinan mut'ah. Perkahwinan sementara tidak memenuhi salah satu syarat yang diperlukan bagi perkahwinan yang berkekalan, iaitu ta'biid (tanpa batas waktu).


Demikianlah jenis-jenis perkahwinan yang diharamkan menurut hukum syara', sebagaimana yang telah dipersetujui oleh jumhur ulama ahli Fiqah.


Seorang ulama Fiqah sahabat lmam Abu Hanifah bernama Zafr, berpendapat bahawa perkahwinan sementara dapat berlaku sepanjang hidup dan syarat pembatasan waktu dapat dihapuskan kemudian, kerana maksud dalam ijab kabul akad nikah itu sendiri dibenarkan untuk membangun kehidupan suami-isteri. 


Pendapat Zafr itu tidak diterima, kerana ijab kabul perkahwinan sementara disertai dengan syarat yang tidak baik, itu syarat yang menunjukkan waktu yang terhad. dengan demikian maka sekalipun perkahwinan itu sah dan boleh dijalankan dalam masa waktu tidak terbatas tetapi di batalkan oleh syarat yang tidak sesuai. Perkahwinan yang sah dan benar ialah perkahwinan yang tidak disertai syarat yang tidak baik. Misalnya, seorang lelaki berkata kepada seorang wanita: "Aku berkahwin dengan engkau, tetapi setelah lewat waktu sebulan engkau ku talak". Perkahwinan itu sah, tetapi syarat itu batal.

Zafr membuat perbezaan antara perkahwinan sementara dengan perkahwinan mut'ah, kerana dalam ijab kabul perkahwinan mut'ah menggunakan lafaz "atamatta" ("aku berniat mut'ah"), sedangkan dalam ijab kabul perkahwinan sementara menggunakan lafaz "nikah" atau lafaz lain yang sama erti. Dengan demikian maka Zafr memandang sah perkahwinan tersebut kedua (perkahwinan sementara) dan tidak menyatakan sah perkahwinan tersebut pertama (perkahwinan mut'ah).

Lain halnya dengan jumhur ulama Fiqah, dalam hal ketetapan hukum mereka tidak membezakan antara perkahwinan sementara dengan perkahwinan mut'ah, kerana dalam dua jenis perkahwinan itu terdapat dorongan yang satu dan sama. Masalah pokok didalam akad nikah adalah makna dan tujuan, bukan kata-kata atau lafaz.

Kami berpendapat, yang benar dalam hal itu ialah pendapat jumhur ulama ahli Fiqah, iaitu yang tidak memandang sah perkahwinan sementara, iaitu jenis perkahwinan yang serupa dengan perkahwinan mut'ah. Tidak ada alasan untuk membezakan dua jenis perkahwinan tersebut, kerana masing- masing mengandungi pengertian sementara dengan pembatasan selama waktu tertentu.

Kerana itu, akad nikah dua jenis perkahwinan itu batal dan tidak sah, sebab tidak memenuhi salah satu persyaratan yang sah dan benar, iaitu ta'biid (tanpa batas waktu). Persyaratan ta'biid itu sangat penting, kerana atas dasar persyaratan itulah tujuan perkahwinan dapat diwujudkan, dan akan dapat mewujudkan pula tujuan kemanusiaan dan kemasyarakatan di mana perkahwinan disyari'atkan.

Dalil-dalil atau alasan-alasan yang menetapkan perkahwinan sementara tidak sah, sama dengan dalil-dalil dan alasan-alasan yang dikemukakan oleh para ulama yang mengharamkan perkahwinan mut'ah, kerana dua jenis perkahwinan itu sama- sama mencakupi pengertian sementara dan dalam batas waktu tertentu.

Kerana itu wajarlah jika dalam hal mengharamkan dan tidak mengiktiraf perkahwinan sementara, dasar hukumnya diambil dari ketetapan hukum yang mengharamkan perkahwinan mut'ah.

Sumber : Mutiara Perkahwinan Menurut Ajaran Islam...

Friday, May 23, 2014

EPAL BA' KELALAN RANUM DI SEBALIK GUNUNG...

Dulu masa kecil-kecil di sekitar tahun 60an, payah aku nak dapat makan buah epal sebab harganya mahal. Ayah pula tak mampu nak beli. Kalau belipun tak cukup sebab adik beradik ramai.

Kalau epal ayah tak mampu beli, memang logiklah sebab ia merupakan buah yang dimport dari luar negara dan harganya tentulah mahal. Bukan saja buah import, buah-buahan tempatan pun kami payah juga nak makan sebab ayah tak ada kebun buah-buahan. Atok dan opahpun tak ada kebun juga. Memang kami tak punya apa-apa langsung. Harta yang bernilai bagi emak dan ayah ialah kami anak-anaknya seramai 16 orang.

Ayah dan emak sangat bersyukur kerana kami semua tidak banyak memberikan masalah kepada mereka sehinggalah kami semua meningkat dewasa dan membina kerjaya masing-masing serta keluarga.

Kini ayah dan emak telahpun pergi meninggalkan kami semua menyahut seruan Ilahi. Al fatihah untuk kedua-dua orang tuaku.  

Zaman telah berubah. Buah-buahan bukan lagi merupakan benda yang susah didapati atau dibeli kerana ianya sudah menjadi buah yang 'biasa-biasa' dan bersepah dijual di pasar-pasar terutamanya pasar malam, Bukan di pasar malam atau di pasaraya besar sahaja, di tepi-tepi jalan pun ramai orang yang menjualnya malah kualitinya lebih baik dan segar dari yang dijual di pasaraya kerana ianya dipetik terus dari pokok di dusun mereka sendiri yang berhampiran seperti buah durian, manggis, rambutan, mangga dan sebagainya.

Sekarang ini, banyak majalah-majalah yang menerbitkan artikel mengenai tanaman buah-buahan cara moden dan komersial seperti yang ingin aku kongsikan bersama para pembaca yang budiman. Kali ini kisah yang akan dipaparkan ialah mengenai projek tanaman epal yang diusahakan oleh Pak Tagal Paran di kebunnya di Ba' Kelalan, Lawas, Miri, Sarawak.

Mari kita ikuti kisahnya...



Ketika penduduk lain gigih mengusahakan tanaman padi bukit, Tagal Paran atau lebih mesra dengan panggilan Pak Tagal telah memilih epal sebagai tanaman 'ranum di sebalik gunung' di tanah ladangnya di Ba' Kelalan, Sarawak. 


Pak Tagal Paran...

“Do’ MECING TUNGE' BA'KELA-LAN", demikian ungkapan mesra orang gunung dari suku kaum Lun Bawang untuk mengucapkan 'selamat datang' kepada sesiapa jua terutama para pelawat yang berkunjung ke Ba'Kelalan, iaitu sebuah daerah pendalaman tanah tinggi bergunung ganang yang terletak di bahagian Timur Laut Negeri Sarawak, Bumi Kenyalang.

Jika sesiapa yang hendak berkunjung melihat panorama lembah epal Ba'Kelalan, pilihan perjalanan terbaik ialah dengan menggunakan pesawat MASWings daripada bandaraya Miri menuju ke bandar Lawas yang mengambil masa 45 minit, sebelum menaiki semula pesawat dari Lawas menuju ke Ba'Kelalan yang akan mengambil masa selama 40 minit. 

Ba'Kelalan terletak bersebelahan dengan Sabah di bahagian utaranya dan tidak jauh pula dengan negara Brunei Darussalam serta dipisahkan oleh banjaran Apo Duat di bahagian timur dengan Kalimantan Barat, Indonesia telah menjadikan Kampung Buduk Nur amat dikenali sebagai salah satu daripada tiga buah kampung di situ sebagai pusat tanaman epal terbesar di negara ini. 



Populariti dan keharuman nama Ba'kelalan bagaikan sinonim dngan seorang warga emas yang cukup dihormati oleh masyarakat Lun Bawang disitu. Ketika penduduk lain gigih megusahakan tanaman padi bukit, Tagal Paran atau lebih mesra dengan panggilan Pak Tagal telah memilih epal sebagai tanaman 'ranum di sebalik gunung' di tanah ladangnya di Ba' Kelalan, Sarawak. 

Kini populariti ladang epal seluas tiga hektar yang diusahakannya sejak lebih 20 tahun lalu itu mengatasi populariti beras adan iaitu beras berkualiti tinggi yang juga ikon produk dari penempatan suku kaum Lun Bawang itu.


Kejayaan tersebut menjadikan lelaki berusia 79 tahun itu sebagai individu 'terpenting' dan paling popular setiap kali masyarakat Ba'Kelalan menerima kunjungan pelawat. 

 

Wartawan Majalah Agro Malaysia terpanggil untuk menelusuri dan mengimbas kembali sejarah penanaman epal di Ba'Kelalan. Menjejakkan kaki selama empat hari bermula 7 Mac 2012 di tanah tinggi Ba'Kelalan ini telah menemukan kami dengan Pak Tagal Paran iaitu insan gigih yang dianggap wira epal di negara ini. Tagal Paran telah meneruskan legasi adiknya Angrew Balang Paran yang telah membawa masuk epal ke tengah-tengah Pulau Borneo sekitar tahun 1974 semasa adiknya melawat Jawa Timur, Indonesia.

Pak Tagal sebenarnya boleh tersenyum riang kerana berkat kepercayaan adiknya sendiri untuk beliau menyambung usaha melestarikan ladang epal telah menjadikan Ba’ Kelalan sebagai ‘apple valey yang mempunyai potensi besar menerjah pasaran epal dunia. 

 

Sekurang-kurangnya 5 juta tan epal telah ditanam di seluruh dunia pada tahun 2005 dengan Negara Cina mencatatkan pengeluar terbesar epal dunia diikuti Amerika Syarikat, Iran, Turki, Rusia, Itali, India, Perancis, Chile dan Argentina. Malaysia telah menemukan epalnya di suatu daerah tanah tinggi di Ba’ Kelalan yang diusahakan oleh keluarga Tagal Paran.

Walaupun Pak Tagal juga memiliki sawah padi yang menghasilkan beras adan di situ, namun beliau kelihatan lebih menumpukan perhatian terhadap epal sebagai tanaman utama di tanah ladangnya yang bersebelahan dengan lapangan terbang kecil di Ba'Kelalan, Lawas. 


"Tiada orang lain yang akan dicari, mereka semua mahu mendengar cerita epal daripada Pak Tagal," ujar Sang Sigar, iaitu guru penolong kanan Sekolah Kebangsaan Ba'Kelalan yang sempat kami temui.

Setiap tahun ribuan pelancong akan berkunjung ke Ba'Kelalan. Masa paling sibuk adalah ketika festival menuai epal yang diadakan pada bulan April setiap tahun.

Ba'Kelalan pada ketinggian kira-kira 1,000 meter dari aras laut mempunyai suhu rendah sepanjang tahun yang membolehkan epal atau nama saintifiknya Malus Domestica serta tanaman lain seperti strawberi, anggur, limau dan tomato hidup subur di situ.

Umum menyedari tentang kewujudan epal di Ba'Kelalan tetapi tidak ramai yang mengetahui keistimewaan epal tempatan itu. Pengalaman memetik dan menikmati epal segar di ladang Rata Farm Sdn. Bhd. milik Pak Tagal itu telah meninggalkan kenangan manis buat sesiapa yang berkunjung ke situ.

Hasil kaedah pertanian yang dipertingkatkan, terdapat empat jenis epal yang terhasil iaitu Manalagi, Tropikal, Anna dan Rome Beauty yang ditanam di situ hampir menyamai kualiti epal yang diimport.


Menurut Pak Tagal, sebanyak 1.5 tan epal dituai daripada 3,000 pokok epal pada setiap musim. Setiap pokok boleh menghasilkan sekurang-kurangnya 300 biji epal. Namun, jumlah itu hanya mencukupi untuk pasaran di sekitar Miri, Lawas, Kota Kinabalu dan Brunei. Menyedari bahawa tanaman epal di sini semakin mendapat perhatian, maka Pak Tagal menyatakan hasratnya untuk pergi ke Indonesia mengambil benih-benih baru untuk memperluaskan lagi tanamannya.

"Permintaan sangat tinggi dan antara yang paling mendapat sambutan adalah epal jenis Manalagi kerana rasanya yang manis, rangup dan bau yang harum. la dijual pada harga RM10.00 sekilogram.

"Dari segi saiz epal di sini tidaklah terlalu kecil. Berat lebih kurang 200 gram sebiji dan yang paling berat pernah dituai adalah 500 gram," jelas Pak Tagal Iagi.
Selain rasanya yang sedap, keistimewaan epal Ba'Kelalan juga adalah kerana mempunyai dua musim sedangkan di negara-negara beriklim sejuk lain, epal hanya berbuah sekali setahun. 


 


Rahsianya melalui teknik 'musim sejuk tiruan' yang dilakukan dengan menanggalkan daun-daun pokok secara manual. Selepas daun digugurkan, pokok epal biasanya akan berbunga dan berbuah semula. Teknik ini hanya boleh dilakukan beberapa minggu selepas musim menuai," jelas beliau.

Selain itu, kelebihan epal Ba'Kelalan juga adalah kerana penggunaan racun serangga yang minimum, malah langsung tidak menggunakan pengilat lilin seperti kebanyakan buah epal yang diimport.

Cuma cabaran utama pada masa kini adalah kerja-kerja pemasaran kerana kawasan ini bergantung kepada pengangkutan udara (MASWing) tiga kali seminggu iaitu pada hari Isnin, Rabu dan juga hari Sabtu, manakala jalan darat yang menghubungkan Bandar Lawas dengan Ba'Kelalan hanya boleh dimasuki dengan kenderaan pacuan empat roda secara adventure dengan mengambil masa selama empat jam. 


 


Perjalanan balik kami meninggalkan lembah epal Ba'Kelalan dengan menggunakan jalan darat menuju ke Lawas membuatkan kami semakin terpesona menikmati keindahan flora dan suasana rimba di sepanjang laluan pergunungan.

Perjalanan menggunakan kenderaan pacuan empat roda yang dipandu oleh Bronie amat meyakinkan kami untuk datang kembali ke bumi Ba'Kelalan.

"Laluan darat yang telah dibina menghubungkan Ba'Kelalan dengan Lawas telah dapat membantu bagi merubah masa depan epal di Ba'Kelalan," ujar Pak Tagal dengan penuh harapan.

"Kerja-kerja penyelidikan (R&D) amat perlu dilakukan bagi memastikan kualiti epal ini. Buat masa ini tugas menguruskan ladang bergantung kepada pengalaman dua pekerja Indonesia yang dibawa masuk dari Jawa Timur. 


"Saya percaya, banyak pihak di luar sana yang berminat untuk datang membuat kajian tentang tanaman epal yang pertama di Malaysia yang hanya terdapat di sini (Ba'Kelalan)," jelasnya sambil menuding jari ke arah dua orang pelajar dari Universiti Malaysia Sabah yang sedang melakukan praktikal selama tiga bulan di ladangnya.

Siti Wardah, 20, dari Kelang, Selangor dan Marthina Kutu keturunan suku kaum Bidayuh dari Serian, Sarawak, merupakan dua orang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) ketika ditemui berkata, projek ini bertujuan mengkaji aspek-aspek berkaitan penanaman epal di kawasan itu. 


 


Kajian yang dilakukan termasuk pemeriksaan kesesuaian dan kesuburan tanah, keamatan cahaya, kandungan klorofil daun dan mengenal pasti baka-baka yang terbaik.

"Selain itu, kami juga akan merekodkan jenis-jenis penyakit yang menyebabkan kecacatan dan kerosakan pada pokok-pokok epal dan cara untuk mengatasi masalah ini" jelas mereka lagi.

"Kami menghabiskan masa sepanjang hari di kebun Pak Tagal, walaupun ladang ini tidak luas, tetapi banyak perkara yang boleh kami pelajari," akui Siti Wardah yang lebih senang dengan panggilan Wada.
Sementara itu, Pak Tagal menyatakan bahawa pihak Jabatan Pertanian dan juga MARDI pernah datang ke ladangnya untuk membuat kajian dan penyelidikan mengenai penanaman epalnya, namun begitu, beliau merasakan masih banyak usaha yang perlu dilakukan oleh pihak berkuasa untuk menjadikan epal sebagai pasaran baru negara ini.

Di samping itu, beliau juga akan mengusahakan penubuhan sebuah koperasi epal Ba'Kelalan yang bertujuan untuk mengaplikasikan tanah-tanah yang dimiliki oleh penduduk tempatan untuk penanaman epal secara komersial.

Menurutnya usaha ini memerlukan keazaman dan juga kesediaan pemilik-pemilik tanah yang terbabit dengan menceburkan diri dalam koperasi yang bakal ditubuhkan supaya Ba'Kelalan muncul sebagai 'lembah epal ranum di sebalik gunung' yang mampu mengetengahkan Malaysia sebagai salah sebuah negara pengeluar epal terbesar di rantau ini.

Jika impian ini menjadi kenyataan, Ba'Kelalan bukan sahaja dikenali sebagai lembah epal ranum di sebalik gunung, malah ia muncul sebagai satu lagi produk agro pelancongan yang bakal menggamit kedatangan pelancong dari seluruh dunia.

Akomodasi penginapan Apple Lodge adalah satu-satunya inap desa yang terdapat di Ba'Kelalan milik keluarga Tagal Paran. Lokasinya yang bersebelahan dengan lapangan terbang kecil Ba'Kelalan telah menjadikan Apple Lodge sebagai mahligai epal yang menjadi tumpuan kedatangan pelancong yang ingin menikmati keindahan dan kedamaian sepanjang mereka berada di Ba'Kelalan.

Apple Lodge tidak hanya berada di Kampung Buduk Nur, Ba'Kelalan malah ia juga terdapat di bandaraya Miri. Mutang Tagal (anak Pak Tagal) yang juga pemilik firma guaman Mutang & Sam di Miri merupakan orang penting dalam syarikat Tagal S Paran Holdings (M) Sdn. Bhd. yang mengendalikan Apple Lodge di Ba'Kelalan dan juga di Miri.

Beliau yang pernah menjadi Ahli Parlimen Limbang/Lawas selama dua penggal sekitar tahun 80an juga merupakan seorang tokoh korporat yang bertangungjawab menguruskan rangkaian perniagaan milik keluarganya Semaring Group yang berteraskan perniagaan oil & gas, pembinaan & hartanah, kuari, perkhidmatan marin dan perkapalan. Syarikat kumpulan ini juga begitu aktif dalam bidang agro pelancongan yang dikendalikan oleh Borneo Jungle Safari Sdn. Bhd.

Manakala empayar Tagal Paran bukan sahaja dominan dengan perladangan epalnya, malah keluarga Pak Tagal juga amat dikenali sebagai penggerak komuniti Lun Bawang yang membawa sinergi masa hadapan kepada Ba' Kelalan yang menjadi syurga tersembunyi pendalaman Sarawak. Kepada mereka yang menggemari keindahan flora dan fauna, sungai, gunung dan hutan safari, eloklah kita semua bertandang ke Ba'Kelalan sambil menikmati manisan dan kerangupan epalnya.





Dipetik dari Majalah Agro Malaysia...