Saturday, November 26, 2011

NABI MUHAMMAD S.A.W. MAKHLUK PERTAMA KELUAR DARI KUBUR...

Rasulullah s.a.w. dalam satu hadisnya telah membuat satu penghuraian mengenai satu ayat quran dalam surah al-Insyiqaaq ayat 1-2 yang maksudnya: "Apabila langit terbelah dan patuh pada TuhanNya, dan sudah semestinya langit itu patuh."

Rasulullah s.a.w. bersabda yang ertinya : "Aku adalah orang yang pertama keluar dari kubur. Ketika baru saja duduk didalam kubur, tiba-tiba aku dibukakan pintu langit tepat diatas kepalaku sehingga aku boleh melihat Arasy.

"Lalu aku dibukakan pintu dari bawah sehingga aku boleh melihat bumi sehingga lapis ke tujuh dan tanah yang basah.

"Lalu aku dibukakan pintu disebelah kananku sehingga aku boleh melihat syurga dan tempat tinggal para sahabatku.

"Kemudian bumi di bawahku bergerak. Aku bertanya : Ada apa denganmu, wahai bumi? Bumi menjawab: "Aku diperintahkan Tuhanku untuk memuntahkan semua yang ada didalam perutku. Aku disuruh untuk mengosongkan diri seperti keadaanku semula dan tidak ada apa-apanya. Dan itulah makna firman Allah dalam surah al-Insyiqaaq ayat 4 dan 5 yang maksudnya : Dan memuntahkan apa yang didalamnya dan menjadi kosong dan patuh kepada Tuhannya dan sudah semestinya patuh.

Dengan kata lain, bumi tunduk kepada perintah Allah, kerana sebagai makhluk, ia memang harus tunduk dan patuh.

Mengenai dengan sangkakala, disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Nabi s.a.w. bersabda yang yang ertinya: "Demi Allah yang jiwaku berada didalam genggamanNya, sesungguhnya besarnya Sangkakala Malaikat Israfil itu seluas langit dan bumi."

Bahkan ada yang meriwayatkan, jika Sangkakala itu diletakkan dibumi, maka hujung yang satu berada di timur dan hujung satunya lagi berada di barat.

Begitulah yang telah dihuraikan dalam sebuah kitab agama yang menerangkan tentang keadaan Sangkakala tersebut.

Tiupan Sangkakala ini berbeza pendapat dari para ulama besar. Ada setengah ulama mengatakan tiga kali tiupan dan ada yang mengatakan dua kali tiupan. Ulama pertama berpendapat, kali pertama tiupan mengejutkan makhluk dilangit dan dibumi. Tiupan kedua, mematikan semua makhluk kecuali yang dikehendaki oleh Allah manakala tiupan yang ketiga yang akan membangkitkan semula semua manusia dari kubur masing-masing.

Bagaimanapun itu semuanya dalam ilmu Allah Taala, akal kita tidak sampai kesana. Yang pastinya Sangkakala itu akan ditiup oleh Malaikat Israfil apabila tiba hari akan kiamat kelak. Kita sebagai umat Islam hendaklah yakin dan beriman bahawa tiupan Sangkakala itu akan terjadi.

Didalam Al Quran, Allah s.w.t. ada menerangkan dalam banyak surah berhubung dengan Sangkakala ini.

Diantara ayat-ayat tersebut adalah dalam ayat az-Zumar ayat 68 yang maksudnya: "Kemudian ditiup Sangkakala sekali lagi , tiba-tiba mereka berdiri menunggu (keputusan masing-masing).


Sumber: Majalah Hidayah

ADA "DUA MALAM" MENJADIKAN MANUSIA MENANGIS...

Kita biasa mendengar ulama dan ustaz-ustaz bercerita tentang Sakaratul Maut. Maksudnya ialah, pada sat-saat akan berakhirnya roh seseorang itu keluar dari jasadnya.

Sakaratul Maut bererti seseorang yang sedak "Nazak" , kata orang-orang kita. Apabila seseorang itu hampir akan menghembuskan nafasnya yang akhir, maka itu yang disebut sebagai Sakaratul Maut.

Saat-saat Sakaratul Maut juga ada huru-haranya. Banyak disebutkan dalam kitab-kitab agama yang membicarakan bab roh terpisah dari jasad.

Dalam hadis-hadis Nabi s.a.w. juga ada dijelaskan tentang masalah ini. Ada disebutkan dalam sebuah hadis iaitu diantara banyak hadis Nabi s.a.w. ialah sebuah hadis dari Jabir b. Abdullah bahawa Rasulullah s.a.w bersabda ertinya :

"Janganlah kamu mengharap-harap akan kematian kerana huru-hara kematian itu sangatlah dahsyat."

Ini adalah hadis dari Nabi s.a.w. sendiri yang menerangkan tentang berlakunya huru hara ketika terjadinya Sakaratul Maut. Bagaimana bentuk huru-hara itu?

Ketika Umar Ibnul Khatab r.a. sesudah ditikam, seorang sahabat berkata kepadanya: "Aku berharap semoga kulitmu tidak tersentuh api neraka."

Umar diam sejenak dan kemudian lalu memandang kepadanya sambil berkata : "Sesungguhnya orang yang kamu anggap tertipu, memang orang tertipu. Demi Allah, seandainya aku punya apa yang ada di bumi, akan aku gunakan untuk menebus dahsyatnya huru-hara maut."

Abu Darda' r.a. mengatakan pula : "Ada tiga orang yang membuatkan aku tertawa kerana lucu dan ada tiga hal yang membuat aku menangis sedih.

Tiga orang yang membuat aku tertawa kerana lucu adalah :

  • Orang yang masih mengangan-angankan dunia, pada hal dia sedang diburu oleh maut.
  • Orang yang lalai tetapi tidak merasa dia lalai.
  • Orang yang tertawa, namun dia tidak tahu apakah Allah meredhainya atau murka kepadanya.
Sementara itu yang ketiga lagi yang membuatkan aku menangis ialah :

  • Berpisah dengan orang yang tercinta seperti Nabi Muhammad s.a.w. berpisah dengan sahabat-sahabatnya
  • Menghadapi huru-hara kematian dan
  • Berdiri di hadapan Allah pada hari semua yang tersembunyi akan terungkap dan aku tidak tahu nasibku samada ke syurga atau ke neraka.
Sebuah lagi hadis yang diriwayatkan oleh Muhammad dari Anas b. Malik bahawa ia berkata:

"Mahukah kamu aku ceritakan tentang dua jenis hari dan dua jenis malam dimana seluruh makhluk belum pernah mendengarnya, iaitu :

  • Hari pertama : "Ketika kamu didatangi oleh Malaikat pembawa khabar dari Allah yang mungkin membawa redhaNya atau murkaNya.
  • Hari Kedua : "Hari ketika dimana Tuhanmu menyerahkan buku catatan amal kepadamu."
Kemudian malam pertama pula : "Dimana ketika kamu menginap di kubur yang belum pernah dialami sama sekali dan kedua : "Malam esoknya terjadi hari kiamat."

Beberapa hadis diatas sudah cukup untuk kita mengambil iktibar.


Sumber : Majalah Al Hidayah.

Friday, November 11, 2011

MEMBUKA RAHASIA ALAM MALAIKAT BHG. 5


MALAIKAT MUNKAR DAN NAKIR.

Malaikat Munkar dan Nakir adalah termasuk dua diantara sepuluh malaikat yang wajib diketahui dan di imani. Kedua malaikat ini bertugas mengajukan pertanyaan-pertanyaan kepada para mayit yang baru saja dikuburkan.

SIFAT-SIFAT MEREKA.

Diriwayatkan dalam sebuah hadis, tatkala mayit dimasukkan ke dalam kubur, maka datanglah dua malaikat yang hitam-hitam, kedua matanya melorok, pandangannya menakutkan, suaranya seperti guntur yang menyambar, kedua taringnya boleh menggali bumi. Lalu keduanya datang kepada mayit sekitar kepalanya...sampai akhir hadis tersebut...

PERTANYAAN KUBUR.

Diantara hadis yang menyebutkan adanya pertanyaan kubur adalah terjemahannya seperti berikut : Dan sesungguhnya mayit itu akan mendengar bunyi kasut orang yang bertakziah, ketika mereka kembali dari menghadiri pemakaman. Lalu ia ditanya oleh malaikat :


Ertinya : Siapa Tuhan kamu? Apa agama kamu? dan siapa Nabi kamu.?

Jika mayat itu termasuk orang Islam maka ia akan menjawab :

Ertinya: Tuhanku Allah, agamaku Islam dan Nabiku Muhammad s.a.w.


MALAIKAT YANG MENDATANGI MAYAT
SEBELUM MUNKAR DAN NAKIR DATANG.

Sebelum malaikat Munkar dan Nakir datang kedalam kubur orang yang baru dikebumikan, terlebih dahulu mayat itu di datangi oleh malaikat bernama "Ruman". Wajahnya bercahaya bagaikan matahari lalu ia duduk dan berkata kepada si mayit: "Tulislah semua yang pernah engkau lakukan, baik berupa kebajikan mahupun yang berupa kejahatan."

Lalu simayit berkata: "Dengan apa aku menulis, mana qalamku?, apa dakwat/tintaku?"

Maka malaikat itu berkata: "Hendaklah engkau jadikan air liur engkau sebagai tinta dan jari engkau sebagai qalam."

Lalu mayat itu berkata: "Apa yang akan aku tuliskan sedang aku tidak punya buku?"

Lalu malaikat itu memotong sebahagian dari kain kafan mayit itu kemudian memberikannya kepada si mayit. Malikat itu kemudian berkata: "Inilah buku engkau, maka sekarang tulislah!"

Kemudian si mayit pun menulis segala perbuatannya yang berbentuk kebaikan dengan lancar dan senang hati. Namun ketika sampai pada penulisan tentang perbuatan jahatnya, ia merasa enggan dan malu lalu berhenti menulisnya.

Maka malaikat yang ditugaskan itu berkata: "Hai orang yang bersalah! mengapa engkau tidak malu kepada Tuhan yang menciptakan kamu sewaktu kamu mengerjakan kejahatan didunia? padahal hari ini engkau malu kepadaku?" Lalu malaikat itu mengambil besi dan dipukulkan kepada si mayit.

Maka si mayit itu berkata: "Bebaskan aku sehingga aku menulisnya." Lalu si Mayit menulis segala perbuatan jahatnya semasa didunia. Kemudian si mayit diperintahkan menggulung dan menyetempel. Setelah digulung, si mayat berkata: "Dengan apa aku mengecopnya padahal padaku tidak ada setempel,"

Maka malaikat berkata: "Setempellah dengan kuku engkau." Sesudah selesai lalu dikalungkangkan semua catatan itu pada si mayit sampai hari kiamat. Sesudah itu masuklah malaikat Munkar dan Nakir ke dalam kubur si mayit untuk pertanyaan seterusnya.

Thursday, November 10, 2011

DZUL QARNAIN , YAKJUJ DAN MAKJUJ...


Kebanyakan manusia itu apabila berkuasa ke atas orang, dia akan memperlakukan mereka dengan sikap yang zalim dan tidak berlaku adil terhadap mereka. Ini pula yang dilakukan oleh Firaun terhadap Musa dan Namrud terhadap Ibrahim. Pada kesudahannya, mereka yang zalim dan tidak adil itu mendapat hukuman seksaan dari Tuhan yang Maha Berkuasa lagi Maha Perkasa.

Walaupun demikian, masih ada sekelompok orang yang mendapat anugerah kekuasaan, keadilan dan rahmat dari Allah, dan sebahagian di antara mereka adalah Dzul Qarnain, raja yang adil lagi beriman.

Dzul Qarnain adalah seorang lelaki yang dilahirkan pada zaman dahulu kala, dan dia berasal dari keturunan Sam bin Nuh a.s. dia hidup di istana ayahnya dan termasuk salah seorang raja. Ketika ayahnya meninggal, dia pun menggantikan kedudukan ayahnya sebagai raja.

Pada suatu hari Dzul Qarnain pergi bersama pasukannya untuk mencari hakikat iman, sehingga dia bertemu dengan Nabi Ibrahim a.s. melalui Nabi Ibrahimlah dia memeluk Islam dan bertawaf mengelilingi Kaabah bersamanya, sehingga akhirnya dia kembali lagi ke negerinya.

Nama Dzul Qarnain adalah Hurmus, namun dia menyukai gelaran Dzul Qarnain (orang yang mempunyai dua tanduk), sebab dia telah berkeliling menjelajahi belahan dunia timur dan barat, hingga akhirnya sampai ke tempat dua tanduk matahari (Qarnai Syams). Demikianlah, sebab seandainya anda melihat matahari (di tempat itu), nescaya anda akan melihatnya terbit seakan-akan memiliki dua tanduk banteng (yang dalam ilmu astronomi dikenali dengan sebutan Corona, ed.)

Hurmus memakai topi besi yang pada bahagian atasnya diberi sepasang tanduk, sehingga dia digelar sebagai orang yang bertanduk seperti Dzul Qarnain.

Allah menganugerahkan kepada Dzul Qarnain para menteri yang terdiri dari kalangan ahli iman dan kebenaran, antara lain ialah Khidir a.s. yang menjadi menteri dan penasihat peribadinya. Dzul Qarnain berkeliling menjelajahi dunia bersama Khidir dan Khidir mengajarnya sebahagian dari ilmu Allah yang tidak diketahui oleh sesiapa pun selain dirinya.

Dzul Qarnain menyediakan pasukan untuk menyeru manusia kepada Allah, yang terus dipimpinnya. Dia meletakkan Khidir di barisan depan pasukannya. Bersama mereka turut juga salah satu malaikat, bernama Zanafil yang memberitahu kepada Dzul Qarnain tentang satu tempat menakjubkan yang di dalamnya terdapat mata air bernama Maul Hayat seperti Tirta Kehidupan. Barang siapa yang minum dari mata air tersebut, maka dia akan dikurniai hidup dalam kurun waktu yang cukup lama.

Zanafil menyebutkan di mana letaknya mata air kehidupan itu kepada Dzul Qarnain, sehingga Dzul Qarnain berniat untuk pergi ke sana. Dia pun berangkat bersama pasukannya menuju ke arah sana hingga mereka tiba di satu lembah yang penuh dengan bahaya dan kegelapan.

Khidir mendapatkan petunjuk untuk sampai ke mata air kehidupan itu, sehingga dia dapat meminumnya, namun Dzul Qarnain tidak berjaya mendapatkannya kerana dia tidak dapat melihatnya.

Sementara itu, dalam istana yang tidak disebutkan letaknya, Dzul Qarnain bertemu dengan sejumlah malaikat, kemudian mereka memberinya seketul batu yang sangat berharga. Dzul Qarnain lalu memperlihatkan batu itu kepada para perajurit dan ulamanya untuk bertanyakan kepada mereka tentang khasiatnya. Batu itu adalah seketul batu kecil. Mereka kemudian meletakkan batu itu di telapak tangan Dzul Qarnain, dan mereka juga meletakkan seribu batu kecil di telapak tangannya yang lain, dan ternyata batu berharga yang digenggam di telapak tangan itu terasa lebih berat.

Khidir berkata kepada Dzul Qarnain: “Inilah gambaran tentang keadaan anak cucu Adam yang tidak pernah berasa kenyang, hingga dia dikuburkan di tanah.”

Dzul Qarnain mengerti pelajaran yang diberikan oleh para malaikat itu. Sesungguhnya itu adalah gambaran kehidupan di dunia yang pendek, sementara anak cucu Adam, seberapa pun Allah telah memberinya kekayaan, tetap saja dia akan bersikap tamak terhadap harta dan kekayaan, hingga dia masuk ke dalam kubur. Tidak ada sesuatu pun yang dapat mengisi perutnya, selain hanya tanah. Ya hanya tanah, bukan yang lain.

Demikianlah, Allah telah menganugerahkan segala sesuatu kepada Dzul Qarnain. Dia telah menganugerahkan kepadanya pengetahuan dalam bidang agama, kerajaan dunia, kekuatan, senjata dan para pengawal yang terdiri dari para ulama yang sentiasa membimbingnya ke jalan kebaikan dan kebenaran.

Dzul Qarnain terus berdoa kepada Allah dalam wisata keimanannya. Dia memimpin terus pasukannya untuk mencari orang-orang yang belum beriman, agar dia boleh menyebarkan keimanan dan keadilan di muka bumi, juga agar dapat menunjukkan manusia ke jalan Allah yang lurus.

Dzul Qarnain telah mempelajari semua bahasa penduduk bumi, sehingga dia boleh bercakap-cakap dengan semua bangsa melalui bahasa mereka masing-masing. Dia juga mengetahui semua arah perjalanan dan itu diketahuinya berkat hidayah Allah yang diberikan kepadanya.

Dzul Qarnain sampai di belahan barat bumi, tempat matahari terbenam. Dia kemudian melihat matahari itu seolah-olah terbenam di mata air berlumpur (‘ainun ham’ah); dia melihatnya tenggelam ke dalam tanah yang hitam kerana matahari itu sangat panas dan seolah-olah membakarnya.

Allah mewahyukan kepada Dzul Qarnain: “Kamu boleh menyeksa atau boleh berbuat kebaikan terhadap mereka, sebab mereka orang-orang yang kafir.

Dzul Qarnain berkata: “Adapun orang yang aniaya, maka kami kelak akan menyeksanya, kemudian dia dikembalikan kepada Tuhannya, lalu Tuhan mengazabnya dengan azab yang tiada taranya. Adapun orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka baginya pahala yang terbaik sebagai balasan, dan akan kami titahkan kepadanya (perintah) yang mudah dari perintah-perintah kami.”

Dzul Qarnain bukanlah seorang Nabi, tetapi Allah telah mengilhamkannya tentang apa yang harus dilakukan dan katakan. Demikian itu sebab Allah mencintainya kerana ketaatannya kepada Allah, kebaikannya dalam beramal, dan kesolehannya. Setelah sampai ke tempat matahari terbenam, dia ingin sampai ke tempat matahari terbit. Maka berangkatlah dia bersama pasukannya yang besar lagi sangat kuat untuk melihat keanehan-keanehan baru di bumi Allah.

Pasukan Dzul Qarnain berjalan kearah matahari terbit untuk menyaksikan keajaiban-keajaiban makhluk Allah, dan mereka pun menjadi penakluk negeri demi negeri yang dilaluinya. Kepada orang-orang yang kafir, mereka menyeksa atau membunuh, hingga mereka beriman kepada Allah. Di dalam perjalanan, Dzul Qarnain melihat orang-orang mukmin menyembah Allah dan menjemput kedatangannya, kemudian dia tinggal bersama mereka selama beberapa tahun untuk mengajar syariat Nabi Ibrahim a.s.

Alangkah indah makhluk Allah yang Dzul Qarnain temui dalam perjalanannya, gunung yang menjulang tinggi, lautan yang sangat luas, padang pasir yang kuning tandus, tanah yang hijau dan makhluk-makhluk yang tidak pernah dilihatnya sebelum itu, ada yang boleh terbang dan ada pula yang hidup di muka bumi atau bersarang di dalam lubang-lubang di bawah tanah.

Dua belas tahun lamanya perjalanan ini, hingga akhirnya Dzul Qarnain sampai di tempat matahri terbit. Di sana dia melihat keanehan makhluk Allah yang lain. Dia menemui sesuatu kaum yang tidak beralas kaki dan tidak pula berpakaian. Di antara mereka dan matahari tidak ada penutup atau penghalang. Tidak ada rumah yang mereka tinggal dan dijadikan pelindung dari terik panas matahari.

Dzul Qarnain menemui tulang-belulang, kemudian dia bertanya kepada penduduk kawasan itu tentang tulang-belulang tersebut. Mereka menjawab: “Ini adalah tulang-belulang perajurit yang sampai ke sini lebih dahulu daripada kamu. Mereka terbakar terik matahari yang panas sehingga mereka mati.”

Dzul Qarnain memandang penduduk kawasan ini dan dia menemui mereka menggali tanah, sampai mereka membina rumah-rumah di bawah tanah itu. Mereka berlindung di dalam rumah tersebut dari sengatan matahari. Jika matahari telah terbenam, maka mereka pun keluar dari rumahnya seperti haiwan ternak yang akan digembala di tanah pertanian.

Dzul Qarnain kemudian mengajar mereka cara membina rumah yang boleh melindungi mereka dari sengatan matahari. Dia pun mengajak mereka untuk menyembah Allah, zat yang maha esa. Kebanyakan dari mereka beriman kepada Allah semata-mata, yang tiada sekutu bagi-Nya. Setelah itu perjalanan Dzul Qarnain berlanjut. Dia berangkat memimpin pasukannya untuk mencari tempat-tempat yang baru dan makhluk-makhluk yang lain untuk diajak menyembah Allah.

Yakjuj dan makjuj adalah makhluk Allah yang aneh dan asing. Mereka mempunyai bentuk, ukuran dan fizikal, yang membuatkan manusia terkejut dan hairan bila melihat mereka. Mereka berasal dari keturunan Yafits bin Nuh a.s. Allah memanjangkan usia mereka dan meramaikan keturunannya.

Adapun ukuran mereka, sebahagian di antara mereka ada yang tingginya sejengkal, ada yang tingginya setinggi pokok beringin dan ada pula tinggi dan lebarnya sama. Yang lain ada yang boleh tidur dengan membentangkan salah satu daun telinganya untuk dijadikan sebagai alas tidurnya, dan menjadikan selimutnya dengan daun telinga yang lain. Mereka mempunyai taring seperti binatang buas, cakar seperti kucing, dan rambut panjang yang melindungi dan menjaga mereka dari terik matahari musim panas dan sejuknya cuaca musim sejuk. Tidaklah salah seorang dari mereka mati sebelum melahirkan seribu orang anak.

Mereka adalah orang-orang kafir yang tidak beriman kepada Allah, suka merompak, dan malas bekerja, serta suka mengganggu dan merugikan manusia yang ada berdekatannya. Mereka memakan tanaman, biji-bijian, dan binatang ternakan milik manusia. Jika mereka minum air, maka tidak ada yang tertinggal sedikit pun.

Mereka tinggal bersebelahan dengan sekelompok manusia biasa di satu tempat yang bernama ‘Baina As-Saddain’ (di antara dua dinding). Jika malam tiba, mereka keluar menuju kebun-kebun yang hijau, kemudian mereka memakan tanaman dan buah-buahannya, serta mencuri binatang ternakan.

Setiap kali orang itu menyimpan biji-bijian atau hasil tuaian mereka, yakjuj dan makjuj selalu merompaknya hingga penduduk di daerah itu kelaparan dan terasa sangat ketakutan kepada mereka.

Dzul Qarnain datang ke ‘Baina As-Saddain.’ Di sana dia menemui manusia yang sedang merasakan pahitnya kehidupan kerana yakjuj dan makjuj. Akan tetapi, Dzul Qarnain menghadapi masalah, sebab dia tidak boleh memahami bahasa orang-orang itu dan mereka pun tidak memahami bahasanya. Akhirnya Allah menunjukkan kepada suatu cara yang dengannya mereka boleh memahami apa yang dikehendaki. Mereka menawarkan satu tawaran kepadanya. Mereka berkata: “Sesungguhnya yakjuj dan makjuj itu orang-orang yang membuat kerosakan di muka bumi, maka dapatlah kami memberikan suatu pembayaran kepadamu supaya kamu membuat dinding antara kami dan mereka?”

Dzul Qarnain menjawab: “Apa yang telah dikuasakan oleh Tuhanku kepadaku adalah lebih baik, maka tolonglah aku dengan kekuatan (manusia dan alat-alat) agar aku membuat dinding diantara kamu dan mereka.”

Dzul Qarnain memohon pertolongan pertama kali kepada Allah, kemudian meminta pertolongan kepada manusia. Maksudnya adalah untuk mengajar mereka bahawa kekuatan iman adalah yang pertama dan kekuatan manusia yang kedua, dan mulalah Dzul Qarnain membina dinding yang dibantu oleh perajuritnya dan orang-orang tersebut.

Dzul Qarnain berkata: “Berilah aku potong-potongan besi, yakni potongan besi yang besar.

Mereka kemudian memberikan potongan besi itu. Dzul Qarnain pun mula mengukur jarak di antara kedua-dua (puncak gunung), iaitu gunung yang mengelilingi kawasan tersebut, kemudian memerintahkan mereka menggali tanah, sehingga dia boleh membuat asas dinding yang kukuh.

Selanjutnya, mereka menggali tanah itu bersama Dzul Qarnain, hingga penggalian mereka sampai ke permukaan air yang terkandung di dalam perut bumi. Dzul Qarnain menggali tanah untuk asas ini panjangnya mencapai seratus farsakh, dengan kedalaman mencapai lima puluh farsakh. Setelah itu Dzul Qarnain mula menanam batu yang keras, pasir dan air, untuk asas itu di dalam galian ini, yang berfungsi untuk mengeratkan pasir dan batu.

Dzul Qarnain kemudian menyalakan api yang sangat besar dengan bantuan orang-orang itu. Setelah api panas, tembaga diletakkan di atasnya sehingga mencair kerana terbakar oleh api. Tembaga yang sudah cair itu kemudian dituangkan ke atas batu yang ada di dalam galian itu, sehingga tembaga itu menjadi seperti akar yang menghujam di kedalaman bumi.

Ketika asas itu sudah dibenamkan ke dalam tanah dan galian pun sudah ditimbun, Dzul Qarnain membiarkannya sampai tembaga itu menyatu. Inilah asas yang kuat, yang diatasnya akan dibina dinding.

Dzul Qarnain kemudian memulakan pekerjaan lain diatas asas itu. Dia membina dinding itu dengan memancangkan tiang-tiang besi diatasnya, kemudian untuk kali keduanya dia menyalakan api dan mencairkan tembaga itu. Setelah itu, dia menuangkan tembaga yang sudah mencair di atas besi, sehingga antara besi yang leburan tembaga membentuk dinding menyatu di antara kedua gunung tersebut dengan sangat kukuh dan kuat, sehingga tidak akan seorang pun yang menghancurkannya bahkan yakjuj dan makjuj sekalipun.

Dzul Qarnain berkata: “(Dinding) ini adalah rahmat dari Tuhanku, maka apabila sudah datang janji Tuhanku, Dia akan menjadikannya hancur luluh dan janji Tuhanku itu adalah benar.”

Keesokan harinya yakjuj dan makjuj berusaha menghancurkan dinding itu untuk memakan tanaman dan merompak biji-bijian milik manusia yang berdekatan dengan mereka. Namun mereka tidak sanggup melakukannya, kuku-kuku dan taring-taring mereka tidak mampu menghancurkan dinding yang kukuh itu.

Sesungguhnya Allah telah menentukan bagi mereka suatu waktu untuk keluar menuju ke dunia manusia dan menghancurkan dinding tersebut.

Sebelum hari kiamat terjadi, Allah menjadikan tiga tanda untuknya. Diantara tanda-tanda kiamat itu ialah keluarnya yakjuj dan makjuj dari dinding tersebut dan mereka bermaharajalela di dunia manusia.

Setiap hari mereka selalu berusaha menghancurkan dinding tersebut sampai-sampai mereka selalu melubanginya dengan lubang yang kecil agar mereka boleh melihat sinar matahari. Apabila hari telah petang, pemimpin mereka berkata: “Pulanglah! Kamu akan menggalinya (lagi) esok.”

Keesokan harinya mereka kembali menuju dinding itu, namun mereka menjumpainya telah kembali seperti asal, tanpa lubang dan tanpa sinar matahari, kemudian mereka menggalinya lagi dari asal. Mereka terus menerus melakukan itu, hingga datangnya janji Allah, iaitu pada saat pemimpin mereka berkata: “Pulanglah! Kamu akan menggalinya lagi esok, jika Allah menghendakinya.”

Janji Allah yang diberitakan melalui lisan Dzul Qarnain itu akan tiba, sehingga dinding itu akan menjadi hancur luluh, seolah-olah kalimat Insya-Allah (jika Allah berkehendakkan) adalah satu kalimat yang menyimpan rahsia. Apabila mereka kembali ke tempat itu, mereka menemui lubang tersebut masih utuh kemudian mereka melubanginya lagi, hingga lubang yang mereka gali makin besar dan akhirnya hancurlah dinding itu semuanya.

Mereka kemudian keluar menuju penduduk bumi, memakan tanaman, biji-bijian dan haiwan ternakan mereka, serta meminum air mereka hingga tidak ada setitik air pun yang tertinggal di muka bumi ini. Ketika itu kaum muslim berada di satu tempat sedang berkumpul bersama Nabi Isa a.s. yang akan turun pada akhir zaman nanti. Ketika itu kaum muslim membawa bekalan makanan mereka dan haiwan ternakan, termasuk ternakan seperti kambing mereka.

Adapun yakjuj dan makjuj, setelah mereka memakan tanaman yang ada di muka bumi dan meminum airnya, mereka melemparkan anak panahnya ke langit yang kemudian anak panah itu kembali kepada mereka dalam keadaan berdarah. Salah seorang dari mereka berkata: “Kami telah mengalahkan penduduk bumi dan langit.”

Selanjutnya, Allah mengirimkan kuman-kuman kecil yang disebut naghaf (ulat yang menyerang punuk unta dan mematikannya). Kuman inilah yang akan memusnahkan yakjuj dan makjuj sampai keakar-akarnya tanpa ada yang tertinggal.

Apabila mereka telah musnah semuanya, maka barulah kaum muslim keluar dari tempatnya (namun dunia telah dipenuhi oleh bangkai yakjuj dan makjuj yang baunya amat busuk,). setelah itu turunlah hujan yang membersihkan muka bumi dari bangkai yakjuj dan makjuj.

Apabila terjadi hari kiamat, yakjuj dan makjuj masuk ke dalam neraka, sebagai balasan atas perbuatan buruk dan kekafiran mereka kepada Allah.

Dzul Qarnain kembali ke negerinya setelah berjaya dalam wisata keimanannya, kemudian malaikat maut datang kepadanya untuk mencabut nyawanya yang suci. Dzul Qarnain pun menitipkan wasiat kepada ibunya. Dia berkata: “Ibu, apabila aku mati, maka buatlah jamuan makan dan undanglah kesemua wanita-wanita yang ada di kota ini, kemudian katakanlah kepada mereka: “ Ibu yang pernah kehilangan putera atau puterinya tidak boleh memakan hidangan makanan ini.”

Ketika Dzul Qarnain wafat, ibunya pun membuat apa yang dipesan oleh puteranya itu, lalu mengundang semua wanita yang ada di kota. Sesudah mereka datang dan jamuan telah dihidangkan, si ibu berkata kepada mereka: “Ibu yang pernah kehilangan putera atau puterinya tidak boleh memakan hidangan ini.”

Ternyata tidak ada seorang pun dari mereka yang menghulurkan tangannya kearah hidangan itu, kemudian si ibu berkata: “Aneh, setiap daripada kamu rupanya pernah kehilangan orang yang dikasihinya?”

Mereka menjawab: “Ya!”

Akhirnya si ibu takut bahawa puteranya yang telah hidup selama seribu tahun itu ingin mengajarnya bahawa semua orang itu akan meninggal dunia dan bahawa dirinya bukanlah salah seorang ibu yang kehilangan puteranya.

Sumber : Himpunan Kisah-Kisah Menarik Daripada Al Quran.

GANJARAN MENGIMARAHKAN MASJID DAN TIGA KELEBIHAN SAIDINA ALI...



GANJARAN MENGIMARAHKAN MASJID.

Di zaman Rasulullah s.a.w. ada seorang wanita hitam bernama Ummu Mahjan. Dia selalu melapangkan diri membersihkan masjid Rasulullah s.a.w.

Pada suatu hari ketika Rasulullah s.a.w . sedang ke perkuburan, baginda melihat sebuah perkuburan baru, maka Rasulullah s.a.w. bertanya, “Kuburan siapa ini, wahai para sahabat?” Mereka yang hadir disitu menjawab, “Ini kuburan Ummu Mahjan, ya Rasulullah.”

Rasululllah s.a.w. langsung menangis begitu mendengar berita tersebut, lalu baginda menyalahkan para sahabatnya. “Kenapa kamu tidak memberitahuku akan kematiannya supaya aku dapat menyolatinya?”

Mereka menjawab, “Ya Rasulullah, pada waktu itu matahari sedang terik sekali.”

Rasulullah s.a.w. terdiam sahaja mendengar jawapan tersebut. Lalu baginda berdiri dan solat kepada mayat yang sudah ditanam beberapa hari itu dari atas kuburnya, seraya bersabda, “Bila ada diantara kamu yang meninggal dunia, beritahukan kepadaku sebab orang yang ku solati didunia, solatku itu akan menjadi syafa’at baginya di akhirat.”

Sesudah berkata demikian, Rasulullah saw kemudian memanggil Ummu Mahjan dari atas kuburnya. Sabdanya, “Assalamualaikum ya Ummu Mahjan! Pekerjaaan apa yang paling bernilai dalam daftar amalmu?

Rasulullah saw diam sejenak. Tidak lama kemudian baginda berkata, “Dia menjawab bahawa pekerjaannya membersihkan masjid Rasulullah s.a.w. adalah pekerjaan yang paling bernilai di sisi Allah. Allah Taala berkenan mendirikan rumah untuknya di syurga dan dia kini sedang beristirehat di dalamnya.”
.................................................................................................................................

TIGA KELEBIHAN SAIDINA ALI.

Nabi s.a.w. pernah bersabda kepada Ali b. Ali Talib r.a, “Wahai Ali, Allah Taala telah memberikan tiga kelebihan untukmu. Pertama, kamu dikahwinkan dengan Fatimah, pemimpin wanita penduduk syurga, kedua, kamu dikurniai Al Hassan dan Al Hussain dimana keduanya menjadi pemimpin pemuda penduduk syurga dan ketiga menjadi menantu Muhammad, pemimpin umat yang terdahulu dan yang terakhir. Ini bukan suatu kesombongan.