Tuesday, December 15, 2015

HANG TUAH MEMANG WUJUD...


Hang Tuah memang wujud. Itu pendapat Pengerusi Institut Kajian Sejarah dan Patxiotisme Malaysia (1KSEP), Prof Datuk Dr Mohd Jamil Mukmin yang berpegang kepada kajian dilakukan beberapa sejarawan tempatan serta bukti dokumen yang disokong pengkaji dari luar negara.

Beliau berkata, bukti kebenaran serta kewujudan pahlawan Melayu terulung itu diterangkan secara jelas dalam teks klasik Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah.

"Bukan semata-mata Hang Tuah wujud pada zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka, malah kisah kepahlawanannya turut diceritakan dalam banyak dokumen penting di luar negara.

Sokongan bukti

"Saya tidak berniat untuk sangkal pandangan yang mendakwa Hang Tuah tidak wujud, tetapi adalah lebih kukuh jika dakwaan itu disertakan dengan dapatan kajian serta bukti yang menyokong setiap pandangan dikemukakan," katanya yang ditemui BH di Muzium Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), di sini semalam.

Beliau mengulas pandangan terbaru dibangkitkan Prof Emeritus Dr Ahmat Adam, Jumaat lalu, yang mendakwa Hang Tuah tidak wujud, sebaliknya hanya watak fiksyen dalam teks klasik Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah.

Mohd Jamil berkata, polemik kewujudan Hang Tuah bukan sesuatu yang baru diperdebatkan oleh sejarawan dan tokoh akademik, malah sudah dimulakan sekitar tahun 1960-an lagi.

Dakwaan nama

Ditanya berhubung dakwaan nama Hang Tuah disebut sebagai 'Tuha' yang bermaksud tua atau ketua pemimpin, beliau berpendapat, nama Hang mewakili nama gelaran pembesar di Melaka, manakala Tuah pula singkatan 'bertuah'.

"Orang dulu-dulu menamakan seseorang berpandukan keadaan sekeliling dan kesesuaian pada individu. Sebab itulah nama Tuah diberikan, mewakili orang bertuah dan berani," katanya sambil menambah, IKSEP bercadang menganjurkan seminar antarabangsa mengenai Hang Tuah pada September tahun depan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Duyong (PESAWAD), Khalid Hussin, berkata pandangan mengenai kewujudan Hang Tuah bukan berpandukan kepada satu sumber semata-mata, sebaliknya ia sejarah Melayu yang paling kuat.


"Terserah kepada sejarawan itu untuk menimbulkan semula polemik yang mengatakan Hang Tuah tidak wujud kerana beliau sendiri seorang profesor. Namun, perlu diakui ada banyak kajian dan ahli akademik dari Malaysia, Indonesia, Jepun, China, Belanda dan Inggeris yang menyokong kewujudan Hang Tuah," katanya.

Terbukti empayar terhebat

Khalid, 52, yang mendakwa waris ke-12 Hang Tuah, berkata Melaka sudah terbukti antara empayar terhebat di rantau ini suatu ketika dahulu dan ia turut diakui dunia Barat melalui teks sejarah yang me nyebut mengenai kewujudan sultan dan bendahara di Melaka.

"Saya minta sejarawan supaya jangan beri kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat. Usah kita nafikan kehebatan bangsa Melayu," katanya yang turut merancang mengunjungi makam Hang Tuah yang didakwa disemadikan di Palembang, Indonesia, pada Mac tahun depan.

Sumber : BH...
Penulis : Fairuz Zaidan...

1 comment:

  1. Assalam..7thn yg lps sya mndgr dr seorg warga emas,mkm hang tuah yg sbnr ada di sblh siam..mkm2 tokoh sejarah skrg byk yg replika krn tidak mahu unsur khurafat berlaku..tmpat yg sbnr hnya bbrp org yg tahu..wallahhu'aqlam!

    ReplyDelete