Sunday, December 27, 2015

GUA SON DOONG BOLEH BERSIUL...


Gua Son Doong... 

KEANEHAN sebuah gua terletak di Phong Nha-Ke Bang National Park, Bo Trach, dalam wilayah Ouang Binh di Vietnam telah menggemparkan orang ramai. Gua yang dinamakan Gua Son Doong ini disifatkan sebagai menakutkan kerana sering mengeluarkan suara-suara aneh.

Sebelum orang ramai mengetahui keanehan itu, tiada seorang pun baik orang luar mahupun rakyat tempatan menyedari akan keberadaan Gua Son Doong. Hanya beberapa tahun kebelakangan ini, penduduk baru sahaja mengetahui akan kewujudan tempat tersebut. Itu pun, setelah ia ditemukan tanpa sengaja oleh seorang lelaki tempatan, bernama Ho Khanh pada tahun 1991.

Sebagai penemu terawal, Ho Khanh sangat teruja untuk memberitahu soal penemuan itu kepada masyarakat umum, terutama penduduk tempatan. Namun, tidak ada seorang pun yang berani menjejakkan kaki ke sana kerana kebanyakan penduduk tempatan beranggapan gua itu berhantu.

Difahamkan, berdiri di pintu masuk gua sahaja sudah cukup membuatkan bulu roma merinding ketakutan. Mana tidaknya, Gua Son Doong dikatakan mengeluarkan suara-suara aneh berupa seperti siulan, muncul dari dalam gua sepanjang hari. Ditambah pula, suhu persekitaran gua yang dingin menimbulkan lagi perasaan seram sejuk. Dengan kata lain, bunyi-bunyian aneh dan keadaan persekitaran gua telah menciptakan kesan anomali yang sangat menyeramkan kepada siapa sahaja yang datang ke sini.

Gua Son Doong disifatkan sebagai menakutkan 
kerana sering mengeluarkan suara-suara aneh...

Kerana kepercayaan itu, bertahun-tahun penduduk tempatan meyakini bahawa gua tersebut berpenunggu. Malah, bertahun-tahun juga mereka hidup dalam ketakutan dan sering menjauhkan diri dari mendekati termpat yang dikatakan berhantu itu.Tapi, sejauh manakah kebenaran dakwaan penduduk kampung berhubung keanehan gua tersebut?

Ternyata, kepercayaan yang melampau pada perkara-perkara ghaib terkadang menjadi penghalang kepada penemuan besar yang terhidang di depan mata. Itulah yang terjadi kepada penduduk tempatan di sini. Rasa takut mereka pada hal-hal yang tidak diketahui hujung pangkalnya menyebabkan tiada seorang pun anak tempatan berani masuk dan cuba menyingkap misteri suara ganjil itu.

Sehinggalah semuanya terkuak pada tahun 2009. Itu pun, selepas sekumpulan saintis dari British Cave Research Association memutuskan untuk mengkaji misteri alam dalam Gua Son Doong. Hasil kajian yang diketahui oleh Howard Limbert, bermula dari 10 hingga 14 April 2009, mengesahkan bahawa gua tersebut memang mengeluarkan bunyi seperti siulan.

Bagaimanapun, penemuan saintifik menunjukkan sesuatu di luar daripada sangkaan penduduk. Me- nurut Limbert, bunyi ganjil itu bukanlah suara penunggu gua atau hantu seperti mana yang ditakuti oleh penduduk. Akan tetapi, ia sebenarnya berasal daripada tiupan angin dan deruan aliran sungai yang deras dalam gua. Itulah punca-punca bagaimana bunyi itu terhasil dan bergema sehingga boleh didengari di pintu masuk gua.

Saintis mengesahkan bahawa suara aneh itu 
sebenarnya berasal daripada tiupan angin dan 
deruan aliran sungai yang deras di dalam gua...

Limbert dan pasukannya bukan sahaja berjaya membongkar misteri suara aneh yang digeruni penduduk, malah lebih daripada itu. Rupanya, ramai tidak sedar bahawa Gua Son Doong menyimpan sesuatu yang sangat berharga.

Hasil daripada penelitian yang dijalankan, alangkah terkejutnya mereka apabila mendapati gua tersebut ternyata terlalu luas. Berdasarkan kiraan yang dibuat, gua berkenaan memiliki lima kali lebih luas daripada gua terbesar di Vietnam, iaitu Phong Nha. Bahkan, setelah diukur dengan teliti didapati keluasannya jauh lebih besar daripada gua terbesar di dunia, iaitu Gua Rusa di Sarawak, dengan ukuran panjang dua kilometer (km), tinggi 100 meter (m) dan lebar 90 m.

Gua Son Doong pula memiliki keluasan lima kilometer panjang, tinggi 200 m dan lebar 150 m. Dengan ukuran dimensi ini, ia telah dinobatkan sebagai gua terbesar di dunia, sekaligus mengalahkan pemegang rekod sebelumnya.

Menurut Limbert, ekspedisi memasuki Gua Son Doong adalah sangat sulit. Sungguhpun begitu, kesukaran yang dihadapi terbayar apabila mereka sekali lagi menemukan 'harta terpendam' di dalam gua tersebut. Kali ini apa pula?

Tidak pernah difikirkan oleh para pengkaji bahawa dalam gua yang sangat luas itu terbentang hutan dan sungai di dalamnya.

Persoalan bagaimana hutan boleh wujud di dalam gua tersebut terus dikaji oleh pasukan ini. Dan dapatan kajian menunjukkan, beberapa bahagian atap atau bumbung gua telah runtuh. Tidak diketahui secara tepat bila runtuhan itu berlaku. Dalam hal ini, pengkaji menyatakan kemungkinan ia terjadi sejak beberapa abad dahulu. Keruntuhan bahagian siling itu telah membenarkan air hujan dan matahari masuk sehingga tumbuhan boleh hidup di situ.

Hutan kecil yang wujud di dalam Gua So Doong...

Selain wujud hutan kecil yang menghijau, gua ini turut dihiasi padang alga. Alga ini dikirakan muncul kerana adanya kolam pada zaman kuno. la menyelimuti sebahagian lantai gua sehingga membuatkan kawasan itu terlihat seperti permaidani yang sangat indah. Pengkaji menamakan kawasan ini sebagai Garden of Edam.

Sebahagian lantai gua yang dilitupi alga...

Menariknya di sini, selain daripada spesies serangga kecil, terdapat juga haiwan lain seperti monyet dan kelawar. Gua Son Doong turut menyimpan keindahan kristal yang luar biasa, terbentuk dari titisan air dari ratusan tahun dahulu. Malah, mengandungi beberapa formasi stalagmit tertinggi di dunia, iaitu melebihi 70 m.

Antara pemandangan indah yang terdapat di dalam Gua Son Doong...

Dan difahamkan, terdapat banyak lagi rahsia alam tersembunyi di dalam Gua Son Doong. Tinggal lagi, menunggu masa untuk disingkap satu persatu.

Sumber : Majalah Infinity
Penulis  : Rosminah Haji Bakkang

No comments:

Post a Comment