Monday, December 28, 2015

MAGISNYA AZAN...


Apabila azan berkumandang, semua orang tahu, itu tanda telah masuk waktu solat. Di Malaysia, kita boleh dengar laungan azan di mana-mana. Jauh daripada maksud itu, ramai yang tidak tahu azan ini mempunyai suatu hikmah tersendiri.

Banyak peristiwa yang berlaku di sekeliling kita memperlihatkan azan itu sangat ajaib. Antaranya kisah seorang lelaki yang terselamat ketika berlaku tsunami pada tahun 2004 lalu. Ketika kejadian, mangsa hanya sempat melihat ahli keluarganya nazak di depan mata tanpa dapat berbuat apa-apa.Teringat pesan arwah ibu supaya melaungkan azan ketika ditimpa musibah, lelaki itu akhirnya dihanyutkan ke kawasan lebih selamat.

Pada tahun tersebut juga, negara kita pernah dikejutkan dengan kehilangan sebuah helikopter di Bario, Sarawak. Pelbagai usaha menjejak sudah dilakukan, namun tidak jumpa juga. Hal itu mengundang bantuan beberapa buah negara asing dalam misi murni ini. Bagaimanapun, tiada sebarang petunjuk ditemui. Akhirnya, seseorang tampil membantu dengan melaungkan azan. Pelik tapi benar, tidak lama kemudian, bangkai pesawat berkenaan tiba-tiba kelihatan di lubuk hutan.

Sementara itu, bagi kes mangsa lemas pula, laungan azan adalah kaedah alternatif yang digunakan selepas misi pencarian tidak bertemu sebarang petunjuk. Kebiasaannya ahli Penyelamat menggunakan kaedah ini selepas menemui jalan buntu menjejak mangsa. Lazimnya, orang tertentu akan diminta tampil ke sesuatu lokasi yang dipercayai sambil melaungkan azan. Walaupun perkara ini tidak masuk akal, tapi banyak kes mangsa lemas berjaya ditemui menggunakan kaedah ini.

Baru-baru ini, sebuah video telah jadi viral di Internet, la berkaitan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang hilang, tiba-tiba muncul semula selepas azan dilaungkan. Kejadian ini dipercayai berlaku di Selatan Thailand. Lebih menghairankan, lokasi kanak-kanak itu ditemui adalah kawasan semak-samun yang dilalui pasukan penyelamat beberapa kali. Persoalannya, kenapa azan mampu membuatkan mereka yang hilang ini ditemui semula?

Menurut, Pengasas Spiritual NLP Malaysia, Dr. Azhar Sarip, di dunia ini terdapat empat zon gelombang Beta, Alpha, Theta dan Delta. Kesemua gelombang itu mengandungi frekuensi tersendiri daripada gelombang negatif kepada gelombang positif. Azan pula berada dalam zon gelombang theta iaitu gelombang rendah yang bersifat menenangkan dan positif.

Berbalik kepada persoalan, makhluk halus, jin dan syaitan semuanya memiliki gelombang beta iaitu gelombang paling negatif. Secara saintifiknya, gelombang positif mampu menakluki gelombang negatif. Dalam hal ini, gelombang theta yang dilaungkan melalui azan akan memecahkan gelombang beta menyebabkan mangsa boleh ditemui semula. Oleh sebab itu, azan menjadi pilihan untuk mencari individu hilang.

Begitu juga azan digunakan ketika berlaku bencana. Asalnya Bumi kita bersifat theta kerana banyak pokok, gunung-ganang dan haiwan yang menenangkan Bumi. Walau bagaimanapun, hari demi hari ia mula menghala ke beta kerana sering berlaku pembunuhan, penebangangan dan kemusnahan. Hasilnya banyak permasalahan, peperangan dan bencana terjadi. Oleh itu, dengan hanya laungan azan musibah dapat ditenangkan. Sebab itulah, azan bersahut-sahutan di seluruh dunia.

Azan sangat penting untuk mententeramkan alam...

Hal yang sama juga berlaku dalam konsep spiritual agama Islam. Azan sering dikaitkan dengan solat yang mana mengerjakannya pada awal waktu dapat membina gelombang theta. Fitrahnya, solat akan didirikan selepas azan. Pada ketika itu Bumi berada dalam gelombang theta. Oleh itu, solat yang didirikan sejurus selepas azan membuatkan ia termasuk ke dalam gelombang itu. Ini secara tidak langsung tubuh kita akan selari dengan paksi Bumi. Hasilnya, solat lebih berkualiti, tenang dan khusyuk.

Bayi juga bersifat theta...

Apabila sudah berjaya mencapai ke tahap itu, tubuh akan menghasilkan tiga hormon, Melatonin, Endorphin dan Serotonin secara semula jadi. Ketiga-tiga hormon itu dapat mencegah dan melawan pelbagai penyakit jika dirembeskan dengan betul. Hormon Melatonin berfungsi sebagai Pengawal trafik dalam sistem badan kita seperti mengawal tidur, mengawal tekanan dan mengoksidakan radikal bebas yang boleh merosakkan sel-sel badan.

Apabila seseorang terkena kanser bermakna Melatonin tidak mampu lagi mengawal sel-sel badan atau dalam bahasa mudahnya pengawal trafik gagal menjalankan tugas menyebabkan sel-sel berlanggar sesama sendiri. Oleh kerana itu, penghidap kanser tahap satu dan dua, dinasihatkan sentiasa mempraktikkan azan supaya gelombang otak dapat direndahkan dan hormon Melatonin boleh dihasilkan.

Sementara itu, jika diperhatikan di hospital, pesakit yang berada dalam keadaan sakit, gelisah dan serabut, doktor akan menyuntik morfin sebagai penenang. Tetapi sebenarnya, tubuh kita sudah memiliki morfin semula jadi untuk ketenangan jiwa yang dikenali sebagai Endorphin atau morfin. Akhir sekali, hormon Serotonin yang bertindak sebagai agen ceria badan dikeluarkan. Tanpanya, kita mengalami tekanan dan murung hingga boleh membunuh diri.

Tahukah anda, kesemua hormon-hormon itu hanya boleh di dapati semasa tubuh berada dalam gelombang theta. Istimewanya, gelombang itu berkait rapat dengan azan dan solat pada awal waktu kerana keseimbangan tubuh boleh dicapai ke tahap maksima. Malangnya, kebanyakan daripada kita bersolat dalam gelombang beta iaitu solat lewat waktu. la menyebabkan pelbagai penyakit jiwa menimpa.

Sumber  : Majalah Infiniti
Susunan : Nurul FadhlinChe Ismail

No comments:

Post a Comment