Ronald Ridenhour.
Kekejaman di May Lai mungkin terkubur begitu sahaja sekiranya tidak kerana Ronald Ridenhour. Ridenhour menulis surat kepada ramai ahli politik, termasuk kepada Presiden Nixon menceritakan kekejaman yang berlaku di May Lai.
Walaupun suratnya secara amnya tidak diambil endah, seorang wakil rakyat bernama Morris Udall mengambil maklum surat Ridenhour dan meminta Jabatan Pertahanan membuat siasatan. Tetapi maklumat yang dikumpulkan Ridenhour adalah maklumat sekunder, yang diperolehi daripada penceritaan oleh rakan-rakannya yang pernah berkhidmat dalam Kompeni “C”.
Walaupun suratnya secara amnya tidak diambil endah, seorang wakil rakyat bernama Morris Udall mengambil maklum surat Ridenhour dan meminta Jabatan Pertahanan membuat siasatan. Tetapi maklumat yang dikumpulkan Ridenhour adalah maklumat sekunder, yang diperolehi daripada penceritaan oleh rakan-rakannya yang pernah berkhidmat dalam Kompeni “C”.
Akhirnya, siasatan oleh Jabatan Pertahanan berjaya membawa kepada pendakwaan atas tuduhan membunuh dengan niat ke atas Leftenan William Calley dan 25 orang anggota lain, termasuk pegawai pemerintah Kapten Ernest Medina. Tetapi kekejaman ini masih belum diketahui rakyat Amerika. Dalam bulan November 1969, Jeneral William Peers dilantik untuk mengetuai penyiasatan mengenai pembunuhan di May Lai serta penyembunyian dan penyekatan maklumat yang berkaitan dengan pembunuhan tersebut. Peers dipilih sebagai penyiasat kerana:
- Beliau bertugas di Pentagon sebagai Ketua Pasukan Simpanan dan Pengawal Kebangsaan dan dengan itu tidak terlibat dengan rantaian pemerintahan pasukan terlibat,
- Beliau bukan seorang graduan dari West Point, dan bebas dari tuduhan dipengaruhi oleh frateniti pegawai-pegawai lepasan West Point
- Beliau biasa bertugas di Vietnam sebagai Jeneral memerintah (Divisyen ke-4 Infantri), dan
- Beliau mempunyai reputasi sebagai seorang yang adil dan berpandangan objektif.
Peers menjalankan tugas dengan tekun dan bekerja 6 hari dalam seminggu. Beliau menemubual 398 orang saksi dan mengumpulkan kenyataan sepanjang 20,000 muka. Dalam bulan September 1969, Peers dan pasukan penyiasatnya pergi melihat sendiri May Lai 4. Walaupun pada awalnya Peers tidak yakin kebenaran yang dinyatakan dalam surat Ridenhour, lawatannya ke Vietnam memberikan kesedaran bahawa kekejaman sebenar adalah jauh lebih menyayat daripada apa yang diceritakan Ridenhour. Laporan Peers yang dikeluarkan pada bulan Mac 1970 mengkritik kepimpinan atasan tentera yang menyembunyikan kekejaman yang berlaku dan mengecam hebat pembabitan William Calley dan Ernest Medina, dua orang pegawai yang terlibat.
Pembongkaran Cerita Pembunuhan
Seymour Hersh...
Wartawan penyiasat bebas Seymour Hersh pertama kali membongkar cerita May Lai 4: A Report on the Massacre and Its Aftermath and Cover-up: The Army's Secret Investigation of the Massacre at May Lai 4 mengenai pembunuhan beramai-ramai di May Lai setelah mengadakan percakapan mendalam dengan Ronald Ridenhour.
Kisah pembunuhan pertama kali dibongkarkan pada 12 November 1969. Pada 20 November, majalah Time, Life dan Newsweek semuanya membuat liputan mengenai pembunuhan itu dan CBS menyiarkan wawancara dengan Paul Meadlo, seorang daripada tentera yang terlibat. Akhbar The Plain Dealer di Cleveland pertama kalinya menyiarkan foto yang terang-terang menunjukkan mayat mangsa, termasuk kanak-kanak yang dibunuh. Penyiaran gambar itu tidak membolehkan kerajaan Amerika Syarikat membuat helah untuk mengaburi rakyat Amerika dan warga dunia daripada mengetahui kebenaran pembunuhan itu.
Cerita pembunuhan ini menyemarakkan penentangan rakyat Amerika kepada Perang Vietnam. Pergerakan Keamanan Amerika menuntut Tentera Amerika diundurkan sepenuhnya daripada Vietnam. Pembantah-pembantah kerahan tenaga tentera menggunakan insiden pembunuhan ini untuk memfailkan keengganan berkhidmat dengan mendapatkan status Pembantahan Naluri (conscientious objector).
Pengadilan Mahkamah Tentera
Tragedi May Lai merupakan satu kesukaran bagi tentera Amerika Syarikat ketika itu kerana ia perbicaraan May Lai berkisar dan memaksa Amerika Syarikat menilai semula dirinya dan mengkaji semula pertanggungjawaban cara mana askar-askarnya melakukan perang dan juga menilai semua sebab-sebab penglibatan Amerika dalam Perang Vietnam. Pada 17 Mac 1970, Tentera Darat Amerika Syarikat membuat pendakwaan ke atas 14 orang tentera yang terlibat kerana menyekat maklumat mengenai pembunuhan itu. Kebanyakan daripada pendakwaan ini kemudiannya digugurkan.
Pembelaan Calley diketuai oleh George Latimer, yang sudah berumur 70 tahun dan mempunyai masalah pendengaran. Dia dibantu oleh sepasukan peguam tentera dan awam. Walaupun George Latimer mempunyai rekod yang baik, ramai berpendapat dia sudah terlalu tua untuk mengendalikan kes ini. Pendakwaan dibuat oleh Kapten Aubrey Daniel, seorang tentera kerahan yang ketika itu berkhidmat sebagai peguam perbicaraan di Fort Benning. Beliau dilihat sebagai tidak mempunyai pengalaman mencukupi untuk mengendalikan kes berprofil tinggi.
Calley dikenakan pertuduhan di bawah Artikel 118, Kod Keadilan Tentera Diselaraskan (Uniform Code of Military Justice) dengan tuduhan membunuh bukan penempur. Calley mengaku tidak bersalah. Kapten Daniel memulakan penghujahannya. Daniel memanggil lebih dari 24 orang saksi memberikan keterangan untuk memberikan gambaran keadaan dan ketegangan yang berlaku sebelum dan semasa peristiwa di May Lai itu. Keterangan paling menjahanamkan diberikan oleh Prebet Paul Meadlo yang memberikan keterangan dengan syarat dia dikecualikan daripada dikenakan pendakwaan. Meadlo berada di sisi Calley semasa peristiwa di May Lai dan memberikan penceritaan yang terperinci mengenai pembunuhan yang dibuat.
Selepas sebulan bermulanya perbicaraan, peguam bela memulakan hujah pembelaan. Tetapi Latimer tidak keruan, dan strategi pembelaan bercelaru dan berkisar di antara dakwaan Calley yang hanya menurut perintah dan Calley tidak membunuh. Calley memberikan keterangan bahawa dia diarahkan untuk ke May Lai dan menghapuskan musuh. Itu tugasannya pada hari berkenaan dan dia tidak berhenti untuk memberikan pertimbangan dalam konteks lelaki, perempuan ataupun kanak-kanak. Mereka dianggapkan sama sahaja dan diberikan layanan seperti mana-mana askar musuh.
Kapten Daniel menutup kesnya dengan memanggil Kapten Ernest Medina memberikan keterangan saksi. Medina menafikan memberikan arahan supaya membunuh orang awam bukan penempur. Selepas empat bulan dan 104 orang saksi dipanggil memberi keterangan, juri beredar untuk membuat pertimbangan. Mereka mengambil masa 13 hari untuk membuat pertimbangan. Perbicaraan Calley berkisar kepada sifat seorang insan Calley sendiri. May Lai dilihat sebagai satu pengajaran mengenai moral dan tanggungjawab individu. Ramai yang terkejut dengan rasa simpati yang ditunjukkan oleh masyarakat am kepada Calley.
Kebanyakan rakyat Amerika tidak berpuashati dengan keputusan perbicaraan Calley. Mereka melihat Calley sengaja dipersalahkan oleh tentera yang enggan menerima tanggungjawabnya dengan kekejaman yang dilakukannya. Walaupun tentera Amerika cuba mendakwa Ernest Medina dan 24 orang yang lain, pertuduhan mereka digugurkan dan Calley seorang sahaja yang dihukum, sedangkan beliau “hanya menurut arahan ketuanya”.
Pandangan ramai yang melihat penganiayaan Calley memaksa Presiden Nixon untuk campur tangan dan meringankan hukuman yang dijatuhkan, dan meletakkan Calley di bawah tahanan rumah di Fort Benning dan bukannya dipenjarakan. Rayuan-rayuan yang dibuat berjaya mengurangkan hukumannya kepada tempoh penjara 10 tahun. Pada 10 September 1975, Calley diberikan parol selepas menjalani tahanan selama 3 ½ tahun.
Mereka yang terlibat dengan penyiasatan ke atas tragedi May Lai, termasuk Jeneral Peers melihat campur tangan ini sebagai usaha menutup keburukan oleh Presiden Nixon dan pihak tentera. Siasatan ke atas kekejaman yang serupa dilakukan oleh Kompeni “B” di May Lai pada hari yang sama dan akhirnya dipendam dan dilupakan begitu sahaja.
Tetapi, dua hari selepas mahkamah menjatuhkan hukuman, Presiden Richard M. Nixon memerintahkan supaya Calley dilepaskan dari penjara dan dikenakan hukuman tahanan rumah selama tiga setengah tahun di markasnya di Fort Benning, Georgia. Calley kemudiannya diperintah bebas oleh seorang Hakim Mahkamah Persekutuan.
Sebagai pembelaan, Calley berkata dia hanya mengikut perintah yang diberikan oleh ketuanya, Kapten Ernest Medina. Dakwaan ini disangkal keras oleh Medina yang menyatakan beliau tidak pernah memberi perintah untuk membunuh orang awam. Pertuduhan terhadap Medina digugurkan kesemuanya.
Kebanyakan daripada 26 orang aksar yang pada asalnya dikenakan pertuduhan akhirnya dibebaskan kerana bukti yang tidak mencukupi. Hanya Leftenan Calley sahaja yang disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukum.
Pembelaan Calley bercanggah dengan peraturan perlaksanaan perang seperti yang ditetapkan semasa Perbicaraan Perang Nuremberg dan Perbicaraan Perang Tokyo. Tribunal ketika itu mewujudkan duluan (precedent) bahawa tidak ada sesiapa yang boleh dikecualikan daripada hukuman Jenayah Perang semata-mata kerana memberikan alasan bahawa dia hanya menurut perintah.
Tetapi Setiausaha Tentera Darat di Jabatan Pertahanan Amerika disebutkan oleh New York Times sebagai berkata hukuman Calley diringankan kerana dia benar-benar percaya bahawa dia hanya menjalankan tugas yang diarahkan kepadanya. Ini bercanggah dengan standard yang ditetapkan semasa Perbicaraan Perang Nuremberg dan Perbicaraan Perang Tokyo di mana askar-askar Jerman dan Jepun dijatuhkan hukuman bunuh kerana melakukan kesalahan yang serupa. (“Learning From My Lai: A Proposal on War Crimes” New York Times By Burke Marshall and Joseph Goldstein Published Apr. 2, 1976 Pg. 26)
Kesan Akibat Pembunuhan
Perubahan lebih nyata adalah dari segi pandangan ramai mengenai Perang Vietnam sendiri. Serangan Tet yang dilancarkan dalam tahun 1968 oleh Viet Cong membawa kesedaran kepada rakyat Amerika Syarikat bahawa Amerika tidak ada peluang untuk menang dalam Perang Vietnam. Kesan daripadanya, Presiden Richard M. Nixon kini mencari jalan keluar melalui meja perundingan. Pembunuhan di May Lai menyentap minda rakyat Amerika Syarikat yang sebelum itu disajikan alasan bahawa Amerika Syarikat melibatkan diri dalam Perang Vietnam kerana mahu menegakkan keadilan dan melindungi rakyat Vietnam Selatan daripada kekejaman Komunis Vietnam Utara.
Selepas May Lai, berita kekejaman-kekejaman lain mula dibongkarkan. Rakyat yang sebelumnya pasif kini secara terbuka membahaskan moral peperangan di Vietnam.
Sebilangan pengamat ketenteraan menyimpulkan bahawa tragedi di May Lai menunjukkan keperluan wujud pemimpin yang lebih berkesan untuk memimpin askar-askar di Vietnam. Apabila Perang Vietnam berlarutan, bilangan pegawai yang berpendidikan tinggi dan berpengalaman semakin berkurangan setelah mengambil kira kecelakaan dan kepulangan ke Amerika Syarikat selepas tamat tempoh perkhidmatan di Vietnam.
Pengamat ketenteraan mendakwa kekurangan calon-calon yang berpendidikan tinggi untuk dijadikan pegawai tentera adalah disebabkan bilangan mereka yang melanjutkan pelajaran di universiti dan yang mereka yang memilih untuk berkhidmat dalam wilayah Amerika Syarikat sahaja. Dengan itu, kualiti calon-calon untuk perlantikan sebagai pegawai muda semakin menurun. William Calley umpamanya adalah seorang mahasiswa yang keciciran dan menganggur sebelum memasuki tentera yang dilatih tergesa-gesa untuk perkhidmatan perang di Vietnam.