Wednesday, February 12, 2014

GADIS MENJADI TUA...


Ketika usia remaja, wajah yang cantik serta kulit yang mulus sentiasa menjadi impian bagi golongan wanita. Malah, kawasan tersebut juga diberi penjagaan yang lebih rapi. Namun impian bagi setiap wanita ini tidak mampu dikecap oleh Ita Susilawati, gadis yang berasal dari Pulau Bandring, Indonesia. Mana tidaknya, dia yang baru berusia 19 tahun kini kelihatan seperti 70 tahun!

Perubahan yang dialami oleh Susilawati ini menggemparkan seluruh penduduk kampungnya. Penyakit misteri itu membuatkan fizikalnya menderita kerana kantung mata yang sepatutnya tegang, sudah jatuh sehingga hampir menutupi matanya. Manakala di bahagian perut pula muncul benjolan sebesar penumbuk yang amat menyakitkan.

 
Satu-satunya puteri kepada pasangan Ramlia dan Durrahman ini begitu sedih mengenang nasibnya. Jika dahulu Susilawati mempunyai susuk tubuh badan yang cantik serta sihat, tapi kini dia bukan saja disisihkan penduduk kampung, malah suami juga telah lari meninggalkan dirinya. 

Menurut ibu gadis berkenaan, dia menyedari anaknya menghidapi penyakit misteri itu sejak dua tahun kebelakangan ini. Gadis yang lincah serta periang itu tiba-tiba menjadi pendiam dan tidak mahu bergaul dengan masyarakat sekeliling. Selain rasa malu yang menebal, keadaan fizikal tangan dan kedua-dua belah kaki Susilawati yang tidak mampu bergerak, telah membantutkan pergerakannya. 

Penyakit aneh tersebut mula terjadi selepas badan Susilawati ditumbuhi gejala bintik-bintik merah dan ditambah dengan rasa panas. Seminggu kemudian, gejala itu dilihat semakin menjadi-jadi. Kulitnya mula melepuh, terutamanya di dada dan perut. Namun peliknya, kejadian aneh itu terjadi ketika usia pernikahannya baru memasuki tiga bulan. 

Susilawati pernah dirawat secara perubatan moden dan juga kaedah tradisional di daerahnya. Namun hasilnya masih lagi sia-sia. Hampir 50 orang pakar perubatan tradisional termasuklah pakar paranormal sudah ditemui, tetapi tiada perubahan kepada Susilawati. Dia masih lagi berada dalam keadaan yang sama. Kulitnya semakin berkerepot dan disebabkan itu dia kini sering dipanggil nenek. 

 
Timbul persoalan, apakah sebenarnya yang telah menimpa diri Susilawati? Adakah pada usia semuda itu boleh mengalami tahap penuaan seperti seorang nenek? 

Lantaran terlampu ramai yang cuba merawat Susilawati, pelbagai andaian telah dilontarkan oleh para doktor dan pakar perubatan tradisional tentang keanehan ini. Mengikut Dr. Adam Malik dari Hospital Sakit Umum (RSU), Pirngadi Medan, Indonesia, Susilawati kemungkinan menghidapi penyakit alergi terhadap persekitaran. Bagaimanapun, itu hanyalah andaian sahaja kerana factor sebenar masih lagi tidak mampu dijelaskan. Sebelum itu, Susilawati pernah dirawat di hospital lain. Setelah enam bulan dirawat, penyakit misteri tersebut tidak juga mampu diubati, dan dia akhirnya dirujuk kepada Dr. Adam. 

 

Kes yang dihadapi oleh Susilawati ini sebenarnya jarang-jarang berlaku dan di dunia kemungkinan ia melibatkan nisbah 1:2 juta setiap kelahiran. Di Peru misalnya, seorang kanak-kanak, Aracely Diaz, yang berumur lapan tahun mengalami penyakit penuaan seakan-akan Susilawati. Wajah Diaz juga berubah menjadi seperti seorang nenek yang telah berusia 80 tahun. 

 

Menurut ahli genetik dari Institut Perubatan Geriatrik, Peru, Eva Klein, fenomena tersebut kemungkinan disebabkan oleh penyakit progeria yang berpunca daripada masalah mutasi gen. la berlaku apabila genetik yang dimiliki seseorang itu mengalami proses penuaan yang lebih cepat berbanding proses penuaan normal. Bagaimanapun, penghidap progeria jarang mengalami penuaan di bahagian mata. 




 Justeru, kes Susilawati masih lagi menjadi tanda tanya di kalangan pakar perubatan dan kulitnya akan terus berkerepot.



Dipetik dari Majalah Infiniti Mei 2011

No comments:

Post a Comment