Monday, February 29, 2016

PENGAKUAN SEORANG LELAKI CURANG...

Gambar sekadar hiasan...

LELAKI curang? Itu biasa. Lelaki memang tabiatnya mengurat. Pantang tengok perempuan dahi licin, semua dia nak try. Sedihnya, perempuan yang jadi mangsa. Tertipu dengan godaan suami orang. Terpedaya dengan fiil suami yang pijak semut tak mati bila di depan isteri tapi ligatnya nauzubillah bila di belakang isteri.

Lebih parah, alasan lelaki zaman sekarang berlaku curang cukup sukar diteka. Lihat sahaja betapa bodohnya bekas suami Hally Berry, Eric Benet, apabila sanggup meninggalkan salah seorang wanita tercantik dan berjaya di Hollywood. Atau Hugh Grant yang memilih untuk berasmara dengan pelacur jalanan sedangkan dia memiliki kekasih jelita seperti aktres Elizabeth Hurley.

Jadi, siapa lelaki paling curang di dunia?

Kata peneliti, lelaki Perancis merupakan pencinta terbaik di dunia. ; Malangnya cinta mereka bukan cinta sejati. Kajian mengenai kecurangan yang dilakukan oleh French institute of Public Opinion (IFOP) mendapati seorang bagi setiap dua lelaki di negara itu mengaku curang terhadap isteri masing-masing.

Keadaan ini bukan sesuatu yang mengejutkan. Rakyat Perancis sememangnya terkenal dengan sikap curang sejak tahun 1970-an lagi. Ketika itu, kadar kecurangan di negara itu adalah 19 peratus. Kini peratusan itu meningkat dengan ketara apabila 55 peratus daripada warga lelaki di negara itu mengaku mencurangi pasangan mereka.

Jadi lelaki Perancis sangat bertuah. Sekurang-kurangnya itulah yang dialami Presiden Francois Hollande. Apabila skandalnya bersama aktres jelita Julia Gayet didedahkan oleh majalah Closer awal tahun ini, rakyat langsung tidak menyalahkannya. Bagi mereka adalah normal buat seorang lelaki untuk berlaku curang terhadap pasangannya. Malah, kajian mendapati warga Perancis adalah golongan paling mudah memaafkan individu curang.

Lelaki di India juga sama. Tinjauan global laman web persahabatan dan temu janji, CupidBay.com, mendapati 49 peratus lelaki di negara itu mencari peluang untuk menjalinkan hubungan seksual secara aktif di Internet.

Berada di kedudukan seterusnya adalah lelaki Pakistan. Seramai tujuh peratus suami berketurunan Pakistan menggunakan Internet untuk mencari temu janji membuat hubungan di luar pernikahan. Ini diikuti dengan lelaki Mesir dan Arab Saudi yang mencatat enam dan lima peratus.

Di Indonesia pula, kira-kira 25 peratus daripada lelaki berkahwin 4 didapati berlaku curang terhadap pasangannya. Data itu diperolehi menerusi kajian mengenai kecurangan yang dilakukan oleh Universiti Indonesia, pimpinan pakar psikologi, Vudiana Ratnasari. Kebanyakan kes curang itu melibatkan para suami di kota besar seperti Jakarta yang telah berkahwin lebih dari sepuluh tahun.

Lelaki Belgium pula sangat bertuah kerana dibenarkan curang. Bagi rakyat negara itu, memiliki kekasih bukanlah satu kesalahan bagi lelaki berkahwin. Para suami boleh melakukannya tanpa perlu berahsia daripada isteri. Curang dibenarkan kerana kekasih dianggap sebagai antidepresan, atau terapi yang boleh menghilangkan stres bagi lelaki.

JIKA lelaki Perancis dan India dicap sebagai lelaki curang, lelaki Korea pula dikenal pasti sebagai lelaki paling setia. Kenapa? Ini kerana kerajaan Korea memantau penggunaan telefon bimbit di kalangan warganya. Setiap data dan aktiviti penggunaan telefon dirakam oleh kerajaan.

Jadi, apabila lelaki berlaku curang, para isteri boleh melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa dan meminta dibukakan rakaman percakapan serta SMS telefon bimbit suami mereka.

Semua data tersebut boleh dijadikan bukti kukuh dalam perbicaraan perceraian. Apabila terbukti mereka benar-benar curang, semua harta akan menjadi hak isteri dan anak-anak sepenuhnya tanpa sedikit pun akan diberikan kepada mereka. Inilah yang ditakuti lelaki Korea.

Tidak seperti lelaki di negara Eropah yang lain, lelaki Ireland tergolong dalam kelompok setia. Mereka menyanjung ikatan perkahwinan dan menentang hubungan tanpa nikah. Mereka percaya perkahwinan bahagia yang ditunjangi kesetiaan akan membuatkan lelaki memiliki tahap kesihatan yang baik, panjang umur dan kurang stres.

Bagaimana dengan lelaki Malaysia? Adakah mereka pencinta setia seperti lelaki Korea atau kasanova bak lelaki Perancis? Tepuk dada tanya minda!

Jika benar-benar setia tak mungkin ada kes seperti pembunuhan Norita Samsuddin atau kes pembunuhan seorang pensyarah beristeri, Bakaruddin Busu, yang rentung dibakar oleh teman lelaki kekasihnya.

Jika tak setia pula takkan ada perkahwinan seutuh Datuk Jamil Sulong dan Datuk Rosnani Jamil yang usia perkahwinan mereka mencecah 61 tahun. Jadi fikir-fikirkanlah!

Dalam melakukan kecurangan, usia bukan penghalang bagi lelaki. Kecurangan sering berlaku di kalangan pasangan muda. Namun, itu bukan bermakna lelaki berusia tidak berlaku curang.

Lelaki pertengahan usia curang kerana ingin mengembalikan kegembiraan atau mendapatkan kembali keyakinan yang semakin hilang akibat pertambahan umur. Atas sebab itulah, tinjauan sosial American Sexual Behavior mendapati para suami berusia 40, 50, dan 60 tahun masih berlaku curang. Bak kata pepatah, tua-tua keladi, makin tua makin menjadi.

Statistik juga menunjukkan bahawa lelaki kacak lebih cenderung untuk berlaku curang. Namun, bukan bermakna lelaki kurang tampan tidak akan curang. Bahkan, ramai lelaki muka pecah rumah memiliki teman wanita. Kenapa? Kerana mereka bijak memancing wanita dengan kekayaan dan pengaruh yang mereka ada.

Satu lagi persoalan dalam menghadapi masalah lelaki curang adalah keturunan. Benarkah bapa borek anak rintik? Mungkin ya, mungkin tidak.

Memang benar ada lelaki yang menjalinkan hubungan dengan ramai wanita kerana bapanya memiliki ramai kekasih atau isteri lebih daripada satu. Namun ada juga lelaki yang setia pada seorang isteri meskipun dia didedahkan dengan suasana itu sejak kecil lagi.

Sebenarnya, sesiapa pun boleh berlaku curang jika dia memilih untuk melakukannya. Jadi, siapa lelaki paling curang? Fikir dan nilaikan sendiri!

DALAM mengharungi cabaran untuk kekal setia terhadap pasangan, sebuah buku berkaitan dengan curang berjudul Pengakuan Seorang Lelaki Curang telah diterbitkan. Buku ini menumpukan kepada gejala tersebut di kalangan lelaki. Pun begitu, ia bukan hendak memburuk-burukkan lelaki.

Sebaliknya ia mengupas isu curang di kalangan lelaki dalam skop yang lebih luas. Bermula dengan sejarah curang, tanggapan masyarakat sejak zaman dahulu dan hukuman terhadap pelakunya.

Jika anda tertanya-tanya tentang punca kecurangan, buku ini memberikan jawapan menerusi kajian-kajian saintifik yang dilakukan oleh ahli akademik seantero dunia. Sekiranya anda mempunyai keinginan untuk mengetahui sejauh mana kesetiaan pasangan atau mahu menghentikan kecurangan pasangan, buku ini dapat dijadikan rujukan.

Terdapat tip-tip yang boleh diaplikasikan untuk mendapatkan rumah tangga bahagia selain kaedah memaafkan suami curang bagi mengembalikan kepercayaan. Kupasan tentang hukuman pula diharap dapat menyedarkan orang ramai bahawa curang adalah kesalahan serius bukan sahaja dari segi agama, tetapi juga dari sudut undang-undang.

Paling menarik tentulah pengakuan-pengakuan para suami, isteri dan orang ketiga yang terlibat dalam gejala tersebut. Paparan kisah dan pengalaman yang dikongsi itu bukanlah untuk membuka pekung atau memalukan sesiapa. Sebaliknya, ia bertujuan untuk memberi pengajaran dan panduan kepada masyarakat dalam menjalani kehidupan seharian.

Buku Pengakuan Seorang Lelaki Curang kini telah berada di pasaran. Dengan setebal 210 halaman, ia dijual dengan harga RM15 senaskhah. Apa lagi, dapatkan segera di kedai-kedai berhampiran. Sebarang pertanyaan boleh hubungi bahagian langganan di talian 03-8924 3988/3843 /3972 ©

Thursday, February 25, 2016

KAPAL ANGKASA CHALLENGER MELETUP DI UDARA...



Video saat-saat Challenger meletup selepas 73 saat dilancarkan...

Kepada mereka-mereka yang berumur dalam lingkungan sekurang-kurangnya tujuh tahun pada 1986, tentu masih ingat akan tragedi yang menimpa kapal angkasa Challenger yang meletup di udara selepas kira-kira 73 saat berlepas dari Kennedy Space Centre Florida, Amerika Syarikat.

Lebih menyayat hati apabila salah seorang yang diberi peluang untuk menyertai misi ke angkasa lepas itu ialah seorang guru wanita di salah sebuah sekolah di Amerika Syarikat yang turut terkorban dengan disaksikan oleh kaum keluarga, sahabat handai, serta ribuan murid-muridnya semasa pelancaran itu dibuat dan seterusnya meletup di udara.

Challenger ialah sebuah roket angkasa kedua milik NASA yang memulakan penerbangan sulung pada tahun 1983. Sepanjang tempoh perkhidmatannya, kapal angkasa itu telah melakukan penerbangan ulang-alik selama sembilan kali sebelum melakukan tugas terakhir pada 28 Januari 1986. Misi terakhir itu sekali gus memusnahkan tugasan ke-25 NASA.

Untuk mengikuti detik-detik cemas tentang peristiwa itu maka marilah kita sama-sama membaca kisahnya seperti di bawah semoga kita dapat mengambil iktibar darinya. 

THREE... TWO... One... suara dari bilik kawalan National Aeronautics and Space Administration (NASA) kedengaran jelas dalam ruang kokpit kapal angkasa Challenger. Ketujuh-tujuh orang anak kapal, Ellison S. Onizuka, Sharon Christa McAuliffe, Greg Jarvis, Judy Resnik, Michael J. Smith, Dick Scobee dan Ron McNair bersedia di tempat duduk masing-masing ketika pesawat mula meninggalkan padang Kennedy Space Centre, Florida. Tidak sampai dua minit 'melawan graviti', tiba-tiba boommm! roket hancur di ruang udara.


Asap berkepul-kepul di ruang udara...

Api marak di ketinggian lebih 80 kilometer bersama kepulan asap tebal bagaikan sebuah belon udara panas. Bau udara segar musim sejuk mula bertukar hangit. Suasana yang sebelum itu dihiasi kicauan burung, hilang entah ke mana. Tidak sampai beberapa saat letupan berlaku, serpihan demi serpihan mula 'menghujani' permukaan laut yang terletak bersebelahan pusat angkasa.

Ahli keluarga/sahabat handai, kru NASA, pelajar sekolah, media massa serta orang ramai yang menyaksikan insiden itu dari padang Kennedy Space Centre hanya terpaku membisu. Masing-masing mendongak ke ruang udara. Terkejut, berdebar dan takut bercampur baur bagai tidak menyangka sedang menonton adegan ngeri di depan mata masing-masing. Seketika kemudian, tangisan ahli keluarga mula kedengaran nyaring.



Tragedi Challenger yang meragut nyawa kesemua anak kapal hampir 30 tahun lalu telah meninggalkan kesan yang sangat mendalam kepada rakyat Amerika Syarikat. Bukan hanya mereka yang berada di tempat kejadian, bahkan penonton yang menyaksikan perlepasan pesawat secara langsung dari kediaman masing-masing turut merasai debaran detik-detik cemas itu termasuklah seorang jurutera NASA Elmerthomas yang mati akibat serangan jantung sewaktu melihat pelancaran dari rumahnya.

Dalam misi itu, kapal angkasa Challenger telah membawa seorang guru, Christa McAuliffe sebagai tetamu khas yang bakal menjadi 'orang biasa' pertama menjejakkan kaki ke angkasa. Sepanjang berada di sana, McAuliffe perlu berhubung dengan pelajar sekolah tentang keadaan dan pengalamannya di samping membuat beberapa penyelidikan. Program itu kemudiannya akan ditayangkan secara langsung menerusi saluran televisyen. Namun, semua itu hanyalah sebuah mimpi.

Sebelum tragedi hitam itu berlaku, Challenger sepatutnya berlepas pada 22 Januari 1986. Akan tetapi, disebabkan oleh masalah teknikal serta suhu yang terlalu rendah menyebabkan misi terpaksa ditunda sehingga enam hari. la berikutan risiko peralatan-peralatan tertentu yang tidak boleh berfungsi akibat membeku. Keadaan itulah yang berlaku pada pagi hari kejadian.

Malam sebelum pelancaran, amaran telah diberitahu oleh jurutera reka bentuk enjin pesawat syarikat Morton Thiokol, Roger Boisjoly kepada NASA di Kennedy Space Centre dan Marshall Space Centre. Dia meminta supaya membatalkan misi pelancaran roket dalam cuaca sejuk kerana bimbang dengan kemungkinan yang boleh berlaku. Namun, amaran itu tidak diendahkan oleh pihak NASA kerana sudah terlalu lama menangguhkan misi berkenaan.

Pagi itu, jurutera serta pakar-pakar yang bertugas membuat tinjauan seperti biasa. Semuanya dalam keadaan normal melainkan beberapa bahagian bawah badan kapal angkasa yang diselaputi ais. Langkah keselamatan diambil dengan mencairkan bahagian tersebut sehingga masa pelancaran terpaksa ditunda lagi dua jam berikutnya. Sekitar jam 11:39 pagi, NASA tetap berdegil mahu melancarkan roket berkenaan. Dalam tempoh 73 saat di udara. Challenger meletup tanpa amaran lagi.

Ketika kejadian, pihak berkuasa tidak terus menjalankan kerja-kerja pencarian sebaliknya mereka mengambil masa selama 24 jam untuk memastikan kesemua komponen dari bangkai Challenger jatuh ke permukaan bumi sepenuhnya sebelum operasi menyelamat dilakukan.

Dalam masa yang sama, Presiden Ronald Reagan juga turut menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Khas untuk menyiasat punca kejadian. Antara yang terlibat ialah William P.Roger, Neil Armstrong, David C. Acheson, Eugene E.Covert, Richard P. Feynman, Robert B. Hotz, Donald J. Kutyna serta beberapa orang pakar berkaitan. Mereka mengambil masa selama 120 hari untuk mengesan punca tragedi.

Hasil siasatan menunjukkan, getah O-Ring yang menghubungkan antara tangki minyak dan kapal angkasa membeku pada masa perlepasan. Keadaan itu memberi tekanan kepada bahagian tertentu menyebabkan beberapa buah komponen gagal berfungsi. Bagai api disimbah minyak, tekanan itu telah merangsang tangki simpanan cecair pembakar lalu meletup sekelip mata tanpa sempat tanda lampu amaran menyala di ruang kokpit.

SELEPAS KEJADIAN

Selepas insiden itu, NASA tidak lagi menghantar ahli astronomi ke angkasa selama lebih dua tahun.Dalam tempoh itu, mereka telah menjalankan kajian dan memperbaiki mutu kapal angkasa baru. Akhirnya, pelancaran pertama selepas tragedi dibuat pada bulan September 1988. Dalam misi itu, NASA telah menyelenggarakan teleskop angkasa Hubble serta membina Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS). 

Tuesday, February 23, 2016

SINGKAP MISTERI 'MASJID JIN'...


Masjid Lama Panchang Bedena di sini, menyimpan misteri tersendiri kerana bukan setakat dikunjungi penduduk setempat, tetapi dipercayai turut diimarahkan 'makhluk' lain.

Berikutan pelbagai perkara aneh berlaku di masjid yang dibina sejak 1905 itu, penduduk setempat turut menggelarnya sebagai 'masjid jin'.

Kejadian jemaah yang tertidur dalam masjid khususnya di hadapan mimbar, diangkat atau dialihkan ke tempat lain didakwa perkara biasa berlaku di situ.

Malah, ada penduduk mendakwa pernah bertembung makhluk ghaib yang dipercayai jin ketika beribadat di situ.

Pengerusi Jawatankuasa Masjid Lama Panchang Bedena, Shamsul Kamar Samad, 43, berkata gelaran masjid jin bermula apabila penduduk mendakwa ketika awal pembukaannya, kawasan itu sentiasa kelihatan terang pada waktu malam, seolah-olah ada orang sedang menggunakannya.

Beliau berkata, ketika itu suara orang berzikir dan alunan bacaan al-Quran juga dikatakan sering kedengaran pada waktu malam dan subuh, sedangkan tiada penduduk kampung berada di masjid berkenaan.

"Sejak itu, ia digelar masjid jin kerana penduduk percaya ada makhluk ghaib lain menghuni kawasan ini turut menjadikannya sebagai tempat untuk beribadah.

'Berjemaah' dengan jin

"Beberapa penduduk yang singgah untuk solat di masjid ini juga berkongsi pengalaman 'berjemaah' dengan jin, kerana mendengar bacaan zikir berkumpulan namun apabila menoleh, mereka hanya bersendirian," katanya.

Shamsul Kamar yang menguruskan masjid itu sejak lebih 10 tahun lalu berkata pelbagai pengalaman sukar dipercayai dikongsikan penduduk kampung terbabit.

"Pada 2007 ketika masjid ini sedang dibaik pulih, pekerja yang terbabit dalam urusan berkenaan mendakwa dialihkan ketika tidur di hadapan mimbar.

Mimbar di dalam Masjid Lama Panchang Bedena... 

"Pekerja itu mendakwa menumpang tidur kerana kepenatan tetapi apabila tersedar dia berada di bawah tangga masjid sedangkan sebelum itu dia berbaring di hadapan mimbar," katanya.

Shamsul Kamar berkata, beliau sendiri pernah terdengar seakan bunyi tapak kaki orang berjalan ke arahnya ketika mengemas bersendirian tetapi tidak ada penduduk yang datang.

"Mungkin mainan perasaan tetapi saya tidak nafikan mungkin jin menggunakan masjid ini untuk beribadah. Namun, mereka tidak pernah mengganggu jemaah. Paling penting niat kita untuk beribadah kepada Allah di masjid ini," katanya.

Penduduk dan ahli jawatankuasa masjid mempercayai situasi itu mampu berlaku kerana al-Quran menerusi ayat 56 surah Az-Zariyat yang bermaksud: "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku

Batang pinang, rumbia

Shamsul Khamar berkata, masjid itu dibina bekas ketua kampung yang digelar Penghulu Orang Jawa.

Katanya, ketika awal pembinaan, masjid terbabit dibina menggunakan batang pinang sebagai lantai dan dinding serta beratap rumbia.

"Namun, pada 1979, masjid ini dibaik pulih menggantikan binaan asal yang rosak tetapi empat tiang seri dikekalkan kerana masih kukuh walaupun sudah berusia lebih 100 tahun, selain ia juga tidak boleh dipaku.

"Pada 2007, masjid ini sekali lagi berubah wajah dan dibesarkan dengan menggantikan dinding dan bumbung dengan kayu cengal yang dibawa khas dari Terengganu dengan bantuan Muzium Negeri," katanya.

Reka bentuk binaan jeriji tingkap 
yang menghiasi Masjid Lama Panchang Bedena...

Masih mengekalkan ciri unik selain memaparkan konsep tradisional Melayu terutama struktur binaan dindingnya yang tidak menggunakan paku, Masjid Lama Panchang Bedena kini diletakkan di bawah pemantauan Muzium Negeri sebagai Harta Warisan Negara.

Selain pengalaman serta kejadian mistik yang berlaku di masjid jin, kolam yang digali sebagai kemudahan jemaah mengambil wuduk juga dikatakan tidak pernah kering walaupun sudah berusia lebih 100 tahun.

Pada masa sama, masjid itu kini semakin kurang digunakan terutama sejak masjid baharu kampung itu dibina pada 2007, terletak kira-kira tiga kilometer dari situ.

Sumber : BH
Penulis Norashikin Leman

Monday, February 22, 2016

KISAH UNTUK RENUNGAN...IBU ATAU ANAK? ANAK ATAU IBU?...


Gambar sekadar hiasan...

Kisah ini utk renungan kita bersama.

Seorang lelaki berjalan mundar-mandir di lorong hospital, gelisah akan keadaan isterinya yang akan melahirkan anak sulung mereka. Setelah beberapa jam ia menunggu, tak jua terdengar tangisan bayi. Tiba-tiba, seorang doktor berjalan tergopoh-gopoh keluar dari ruang persalinan menuju kearahnya. 

“Bagaimana keadaannya doktor?” tanyanya penuh harap.

“Maaf encik, kami sudah berusaha, keadaannya amat kritikal. Si ibu sudah tak sedarkan diri! ” jawab doktor itu.

“Jadi bagaimana doktor …?”

“Kami tak mungkin dan berupaya untuk menyelamatkan keduanya, tapi masih ada harapan. Kami hanya punya satu pilihan, menyelamatkan si ibu atau menyelamatkan si bayi!” Lelaki tersebut kebingungan dan tak dapat berkata-kata. “Maaf encik, setiap saat amat berharga, tolong cepat untuk membuat pilihan!” desak doktor itu. 

Akhirnya dengan berat hati lelaki itupun berkata dengan nada sayu, “Doktor, saya sangat bingung … Saya serahkan sepenuhnya kepada doktor. Tolong lakukan yang terbaik!” pintanya. Doktor pun bergegas kembali ke ruang persalinan. Nampaknya dia sudah berpengalaman menangani masalah darurat atau kritikal seperti ini.. Dan dia tahu apa yang harus dilakukannya.

Ini adalah salah satu contoh, bagaimana keyakinan beragama boleh mempengaruhi keputusan disaat genting.

Bagi seorang doktor beragama kristian/katolik, ia akan berusaha menyelamatkan si anak, dan mengorbankan si ibu.

Bagi doktor muslim, ia akan berusaha menyelamatkan si ibu, dan mengorbankan si bayi.

Memang benar, dua-duanya adalah pilihan yang sukar, tapi itulah jalan terakhir dan muktamat.

Mengapa ia boleh berlaku seperti demikian? Dalam ajaran kristian, setiap manusia yang lahir sudah membawa dosa, doktrin ini dikenal dengan “dosa waris” atau “dosa asal”. Manusia yang lahir sudah menanggung dosa Nabi Adam dan Hawa. Untuk menebusnya ia harus mengikuti seorang penyelamat yakni penebus dosa (Ketua Paderi atau Pope).

Doktor Kristian itu akan berjuang sedaya upaya untuk menyelamatkan si anak, agar dia dapat lahir dengan sihat dan selamat walaupun sebaliknya terpaksa mengorbankan si ibu . Doktor berharap, setelah anak itu lahir ia akan mendapat kesempatan untuk dibaptiskan, untuk tujuan menebus dosanya. Jika si anak meninggal sebelum dibaptiskan, anak itu akan masuk neraka. Sebab, dosanya belum sempat ditebus.

Dalam ajaran Islam, setiap manusia lahir dalam keadaan fitrah/suci. Doktor muslim akan berjuang menyelamatkan si ibu, kerana dia tidak bimbang yang bayi akan masuk neraka. Dengan terselamatkannya si ibu, insyaAllah setelah sihat kembali akan dikurniai kekuatan untuk mengandung lagi dan mudah-mudahan mendapatkan ganti yang lebih baik, yang lebih soleh. Sedangkan anak yang tak sempat terselamatkan, biarlah ia kembali kepada Allah dalam keadaan suci. Mungkin lebih baik sekiranya bayi itu tidak dilahirkan di dunia yang penuh tipu daya ini agar hidupnya kelak tidak menjadi orang yang tersesat.

Demikianlah, dalam keadaan serba salah lelaki itu tak sempat untuk memastikan agama doktor tadi. Dan ia sudah berserah sepenuhnya kepada doktor itu.

Di dunia ini ada banyak agama dan kepercayaan. Pemahaman kita terhadap ajaran agama yang kita anut, akan menentukan jalan hidup kita.

Itu sebabnya amat penting bagi kita orang Islam menentukan yang bakal menerima kelahiran anak kita adalah seorang doktor muslim.

Sejak bangun tidur, kita sudah dihadapkan kepada pilihan.
1. Meneruskan tidur, atau bangun sholat subuh?
2. Untuk lunch dahulu, atau sholat zohor dahulu?
3. Setelah habis kerja, adakah terus pulang ke rumah, atau singgah ke gerai kopi/disco dahulu?
4. Ikut terlibat melakukan pecah amanah, atau dimusuhi rakan sekerja?
5. Menyegerakan berkahwin, atau menundanya dulu?
6. Hidup mulia di sisi Allah, atau mulia dalam pandangan manusia?
7. Dan banyak lagi…..

Kita akan sering dihadapkan pada pilihan-pilihan yang lebih sukar, dan melibatkan akibat atau natijah yang sangat ditakuti. Kesimpulannya perbanyakkanlah muhasabah diri dan tambahkan ilmu dengan majlis² ILMU. Mudah²an selamat kita semua di dunia & di akhirat.

DOA SEORANG ADIK...

Gambar sekadar hiasan...

Dua lelaki bersaudara bekerja di sebuah kilang kicap dan sama-sama belajar agama Islam untuk sama-sama mengamalkan ilmunya dalam kehidupan sehari-hari sebanyak mungkin.

Mereka berjalan kaki mengaji ke rumah gurunya yang jaraknya sekitar 10 kilometer dari rumah peninggalan orang tua mereka.

Suatu ketika si abang berdo’a memohon rezeki untuk membeli sebuah kereta supaya dapat dipergunakan sebagai pengangkutan dia dan adiknya bila pergi mengaji. Allah mengabulkannya, tak lama kemudian sebuah kereta dapat dia miliki disebabkan mendapat bonus dari perusahaannya bekerja.

Lalu si abang berdo’a memohon seorang isteri yang sempurna, Allah mengabulkannya, tak lama kemudian si abang bersanding dengan seorang gadis yang cantik serta baik perangainya.

Kemudian berturut-turut si abang berdo’a memohon kepada Allah akan sebuah rumah yang selesa, pekerjaan yang layak, dan lain-lain dengan tekad supaya bisa lebih ringan dalam mendekatkan diri kepada Allah.

Dan Allah selalu mengabulkan semua do’anya itu.

Sementara itu si adik tidak ada perubahan sama sekali dan hidupnya tetap sederhana, tinggal di rumah peninggalan orang tuanya yang dulu dia tempati bersama dengan abangnya. Namun kerana abangnya seringkali sibuk dengan pekerjaannya sehingga tidak dapat mengikuti pengajian dan si adik seringkali harus berjalan kaki untuk mengaji ke rumah guru mereka.

Suatu saat si abang merenung dan membandingkan perjalanan hidupnya dengan perjalanan hidup adiknya, dan dia teringat adiknya selalu membaca selembar kertas apabila dia berdo’a menandakan adiknya tidak pernah hafal bacaan untuk berdo’a.

Lalu datanglah ia kepada adiknya untuk menasihati adiknya supaya selalu berdo’a kepada Allah dan berupaya untuk membersihkan hatinya, kerana dia merasa adiknya masih berhati kotor sehingga semua do’anya tiada dikabulkan oleh Allah azza wa jalla.

Si adik berasa terharu dan bersyukur sekali mempunyai abang yang begitu menyayanginya dan dia mengucapkan terima kasih kepada abangnya atas nasihat itu.

Suatu saat ketika si adik meninggal dunia, si abang terasa sedih kerana sehingga sampai akhir hayat , adiknya itu masih tidak ada perubahan pada nasibnya. Jadi dia merasa bimbang kalau adiknya itu meninggal dalam keadaan kotor hatinya sehubungan do’anya yang tidak pernah terkabul.

Si abang menguruskan rumah peninggalan orang tuanya sesuai dengan amanah adiknya untuk dijadikan sebuah masjid. Tiba-tiba matanya tertuju pada selembar kertas yang terlipat dalam sajadah yang biasa dipakai oleh adiknya yang berisi tulisan do’a, diantaranya Al-fatihah, Solawat, do’a untuk guru mereka, do’a selamat dan ada kalimah di akhir do’anya:

“Yaa, Allah. tiada sesuatupun yang luput dari pengetahuan Mu, Ampunilah aku dan abang ku, kabulkanlah segala do’a abang ku, bersihkanlah hati ku dan berikanlah kemuliaan hidup untuk abangku di dunia dan di akhirat, ”

Si abang berlinang air mata dan haru-biru memenuhi dadanya, terharu dan tidak menyangka, ternyata adiknya tak pernah satu kalipun berdo’a untuk memenuhi nafsu duniawinya.