Tuesday, May 31, 2011

SIKSANYA SAAT SAKARATUL MAUT

Rakaman video kuliah subuh yang bertajuk 'Siksanya Saat Sakaratul Maut' ini dibuat diatas houseboat semasa XPDC kami di Tasik Kenyir pada Januari 2011. Ianya disampaikan oleh Ustaz Nasaruddin yang turut sama dalam XPDC tersebut.

Terima kasih diucapkan kepada beliau kerana dapat memberikan satu tazkirah yang sangat menarik dan menginsafkan.

Sama-samalah kita mendengar tazkirah yang akan disampaikan oleh beliau melalui video di bawah ini.





Thursday, May 26, 2011

MAJLIS KESYUKURAN

Hari ini 25 Mei, 2011, jam 1 tengahari aku telah mengadakan sedikit jamuan makan tengahari untuk kawan-kawan seperjuangan sebagai tanda kesyukuran ku terhadap beberapa peristiwa yang berlaku sepanjang bulan Mei ini.

Ianya sangat penting dalam diari hidupku kerana ianya ada yang pahit, manis, gembira dan sedih yang dicatatkan seperti berikut :-

  1. Selamat pindah ke office baru di tingkat 5 bermula 7/5
  2. Selamat dalam kemalangan motosikal berhampiran bulatan Kelab Lumba Kuda, Sg. Besi pada 11/5/2011 ketika pulang dari kerja (kecederaan lutut dan tangan)
  3. Selamat pulang dari laut ketika mencandat sotong pada 16 & 17/5
  4. Ulangtahun kelahiranku - 19/5
  5. Anakku Alia selamat mendaftar masuk di UITM, Arau, Perlis pada 20/5/2011
  6. Ibuku dalam keadaan sihat ketika aku pulang menziarahinya pada 21 & 22/5
Jamuan makan tengahari telah diadakan di Restoran Haslam, Jalan Pahang, Kuala Lumpur dengan dihadiri serama 13 orang staf Bahagian Inspektorat dan Pembangunan Ladang.

Kesemua mereka amat bermakna bagiku kerana banyak membantu dalam urusan kerja-kerja seharian di pejabat. Jika salah seorang dari mereka ini cuti, maka kami yang lain akan merasa sunyi dan merasa kehilangan.

Apa yang dibelanjakan pada hari ini tidak dapat membalas jasa-jasa mereka kepadaku. Semoga persahabatan kami berkekalan sehingga ke hujung nyawa.

Menu :-
  1. Kari ikan tenggiri
  2. Ayam masak merah
  3. Ayam kampong goreng
  4. Ikan kembong dan ikan keli bakar
  5. Sup Cendawan
  6. Sayur goreng
  7. Ulam
  8. Buah-buahan
  9. Fresh orange
  10. Nasi puteh
Selamat Menjamu Selera.

Kaum wanita dari kiri : Fiza, Liyana, Ramlah, Amal, Idah dan Aishah
Kaum lelaki yang turut serta : Sulaiman, Rahman, Hashim, Zainol, Azizi dan Nizwan.
Tidak dapat hadir : Rafia Olhusni (Menghadiri Bengkel Odit di Hotel Flamingo)
dan Mahawa (tidak dapat meninggalkan bantal peluk tidornya waktu rehat tengahari)


Restoran Haslam terletak berhampiran
Hospital Tawakal, Kuala Lumpur.


Restoran Haslam juga terletak berhadapan
dengan Pejabat Parti Islam Se Melaysia (PAS)
Takbir...Takbir...Takbir...
Anakku Alia no 4 dari kiri bergambar bersama kawan-kawannya
di Hari Graduasi di Sekolah mereka sebelum bertolak ke Stadium Bukit Jalil


Monday, May 23, 2011

MENCANDAT DI PULAU KAPAS

Pengalaman mencandat sotong pada bulan Mei tahun 2010 masih lagi segar didalam ingatanku kerana itulah pertama kali aku berpeluang merasai keseronokannya kerana ia dilakukan di laut dalam yang sangat mencabar terutama bagi diriku yang bukan dilahirkan didalam keluarga nelayan dan kampungku pula agak berjauhan dengan lautan.

Walaupun aku biasa 'memancing' semasa kecil tanpa pengetahuan keluarga di paya-paya, sungai-sungai serta lombong-lombong tinggal yang amat merbahaya tetapi 'mencandat' sangat asing bagi diriku kerana aku tidak pernah mendengarnya sebelum ini.

Itulah yang dikatakan rezeki apabila pada suatu hari, En. Sulaiman seorang pegawai ditempat aku bertugas yang berasal dari Terengganu mengajak aku untuk bersama kawan - kawannya mencandat sotong di Pulau Kapas, Terengganu pada 16 dan 17 Mei 2011. Semua kemudahan disediakan oleh mereka termasuk makan minum, sewa bot, peralatan mencandat dan lain-lain perbelanjaan.

Ia juga bersetuju memberi peluang kepada 3 lagi rakan yang lain untuk menyertainya. Berdasarkan minat kami yang sama, maka aku pun mengajak kawan-kawan setugasku iaitu Rafia Olhusni, Che Hashim Che Derahman dan Hafizi untuk menyertaiku.

Kami bertolak pada hari Isnin 16 Mei 2011 pukul 11 pagi dan tiba di Jeti LKIM Chendering , Marang, Terengganu pada pukul 5 petang. Tepat jam 6 petang, bot yang membawa kami semua beransur-ansur meninggalkan jeti dan belayar selama satu jam ke tengah-tengah lautan untuk mencandat.

Selain bot kami, aku dapati ada lebih dari 20 bot lain yang berlabuh untuk mencandat di persekitaran kami. Terasa seperti pesta air pula apabila cahaya lampu menerangi semua bot yang ada tanpa sedikit pun mengganggu kehadiran sotong-sotong yang datang berkawan dan dapat dilihat di kejernihan air laut.

Bot kami tidak duduk di satu tempat sahaja sebaliknya akan berubah-ubah tempat apabila tekong mendapati sotong di tempat itu tidak banyak ataupun tekong merasa perlu untuk kami berubah tempat selepas 1 jam berlabuh. Ini bagi mengelakkan kami semua merasa bosan.

Begitulah seronoknya kami sepanjang malam itu sampai kepagi dan ada yang terus mencandat tanpa menghiraukan waktu tidur.

Kami ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada En. Sulaiman dan rakan-rakannya kerana memberi peluang kepada kami untuk mencandat sotong bersama-sama kumpulannya. Tak lupa juga kepada keluarga En. Sulaiman terutama isterinya yang menyediakan makan tengahari untuk kami sebelum pulang ke Kuala Lumpur dengan memasak sotong segar yang kami candat, kari ayam kampung yang mereka ternak, daging pinang masak pedas, sayur serta ikan goreng.

Budi baik kalian semua akan tetap diingati dan semoga kita bertemu lagi di lain-lain program yang akan datang.

Saksikan video-video serta gambar-gambar kami pergi mencandat sotong di Pulau Kapas Terengganu pada 16 dan 17 Mei 2011.


Tambah Imej





AJ dan En. Sulaiman diatas bot yang sedang belayar

Rakan-rakan dari Terengganu
sibok menyiapkan peralatan untuk mencandat

En. Harun (baju biru) staf FELCRA Niaga
dan anaknya (baju merah) turut sama

Masing-masing tidak sabar menanti bot berlabuh

En. Sulaiman sedang memerhatikan
rakannya mengikat mata pancing


Menunggu sotong dan juga ikan meragut
mata pancing dengan penuh sabar

Rakan-rakan 'tuan rumah' dari Terengganu

Ada yang mengambil peluang
belajar mengendalikan bot

Gambar diambil dari tingkat atas.

Dari kiri : Hafizi, AJ dan En. Sulaiman
sedang berbual-bual dengan pelbagai topik menarik

Hafizi rakan setugasku juga berasal
dari Besut, Terengganu? Kelantan?

AJ bersama petugas bot

Petugas bot mula melakukan tugas-tugas
penyediaan makan malam

AJ dan En. Sulaiman menikmati makan malam
berlaukkan ayam masak pedas

Sebuah lagi bot sedang belayar
bersama-sama kami untuk tujuan yang sama

Laut kelihatan tenang pada waktu hampir maghrib

Bulan pun telah mula menampakkan dirinya

Hashim telah mula menunjukkan
belangnya dalam mencandat sotong

Sotong kedua darinya

Sotong ketiga dari Hashim

Rafia Olhusni juga pakar dalam bab mencandat ni..
buktinya beliau juga berjaya mendapat sotong yang bersaiz besar

Besar dan panjang....he... he...he...

Hasil tangkapan kami, walaupun tidak banyak
tapi bersyukurlah terhadap apa yang dikurniakan


Bukan saja sotong, ikan dan kepah juga didaratkan...
bukan kami tapi nelayan yang sama pulang

Menikmati sarapan pagi di kantin LKIM Chendering
sebelum pulang Ke Kuala Lumpur

Dua orang nelayan melepaskan
penat lelah dengan bermain dam aji

Saturday, May 14, 2011

TAZKIRAH PAGI JUMAAT



Sudah menjadi amalan Pihak Syarikat di mana pada setiap pagi Isnin dan Jumaat sebelum semua pegawai dan staf memulakan tugas, satu tazkirah mengenai hadis dan terjemahan ayat-ayat suci Al-Quran akan dibacakan bertujuan memberi peringatan, nasihat dan ilmu kepada semua yang mendengarnya.

Pada 13 Mei 2011, saya telah membuat satu rakaman 'Tazkirah Pagi Jumaat', yang disampaikan oleh Tn. Hj. Zainuddin b. Muhammat, seorang Pegawai di Syarikat kami dengan tajuk 'Mintalah Kepadaku'.

Marilah kita semua menghayati tazkirah yang disampaikan oleh beliau semoga kita mendapat manafaat darinya. Amin.

Friday, May 13, 2011

DENDAM SI GAJAH.


Sejarah sistem rel di Tanah Melayu telah membuka lembarannya pada 1 Jun 1885 apabila jalan kereta api yang pertama, menghubungkan Taiping dengan Port Weld (Kuala Sepetang), telah dibuka dengan rasminya oleh Sir Hugh Low – Residen Perak ketika itu. Tujuan utama aliran itu dibina adalah untuk menghubungkan kawasan perlombongan di Larut dengan pelabuhan terdekat iaitu Port Weld.

Tidak berhenti di situ, pihak British seterusnya membina laluan kereta api di sepanjang Pantai Barat Semenanjung Tanah Melayu. Sehinggalah pada tahun 1905, landasan kereta api dari utara ke selatan siap sepenuhnya yang menghubungkan stesen Butterworth ke Melaka.


Pada peringkat awal sistem pengangkutan ini beroperasi, iaitu ketika zaman sebelum merdeka, ia sering menerima ancaman dan serangan luar jangkaan. Bukan sekadar serbuan daripada pengganas komunis, tetapi juga ancaman daripada haiwan liar. Paling tragis, serangan sekumpulan gajah yang naik minyak dan mengamuk dengan menyerang kereta api yang sedang meluncur laju di atas landasan.


Menurut Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malayasia, Datuk Ibrahim Ismail, kejadian tersebut berlaku pada tahun 1894, membabitkan perjalanan kereta api penumpang dari Ipoh, Perak menuju ke Kuala Lumpur. Kereta api wap itu membawa tiga gerabak penumpang yang kebanyakannya terdiri daripada saudagar serta tauke lombong yang baru pulang meninjau beberapa lokasi perlombongan di Perak.


Sebaik tiba di Teluk Anson – kini dikenali sebagai Teluk Intan – kereta api yang dipandu oleh seorang warga Inggeris itu diserang oleh seekor gajah jantan bersama sekawan gajah lain yang menunggu di laluan kereta api itu. Gajah jantan tersebut telah merempuh kereta api yang sedang bergerak itu secara berhadapan – dengan cara menyondol.



Rempuhan itu telah menghasilkan momentum yang amat kuat sehingga kereta api berkenaan tergelincir dan gerabaknya terkeluar daripada landasan. Beberapa batang besi rel juga turut tercabut serta patah.


Ketika kejadian, kereta api berkuasa wap itu dipandu antara 40 hingga 50 batu sejam dan ia dianggap laju bagi keupayaan enjin kelas wap. Menurut Ibrahim, model kereta api wap yang terbabit dalam rempuhan gajah itu adalah sama dengan model kereta api yang dipamerkan di Muzium Negara ketika ini.



Dengan muatan tiga gerabak penumpang yang mempunyai kelajuan seperti itu, sukar untuk dibayangkan kekuatan seekor gajah yang mampu ‘menumpaskan’ sebuah kereta api.



Berdasarkan kepada cerita lisan, gajah jantan berkenaan dikatakan mempunyai susuk yang besar, lebih besar daripada gerabak kereta api. Penduduk setempat percaya, gajah jantan itu mengamuk untuk menuntut bela di atas kematian anaknya yang dirempuh kereta api di kawasan yang sama, beberapa tahun sebelum itu.



Kemudian pada tahun 1588, seekor gajah betina pula maut dilanggar kereta api ketika menyelamatkan sekumpulan gajah lain yang sedang melintasi laluan rel. Dikatakan, gajah betina itu merupakan anak kepada gajah jantan tersebut.



Jelas Ibrahim lagi, gajah sememangnya dikenali antara haiwan yang sangat pantanga atau terlalu sensitif melihat cahaya pada waktu malam. Secara kebetulan, kejadian itu juga berlaku antara lewat petang dan senja, iaitu sekitar pukul 5.00 hingga 7.00 petang. Hutan tebal yang menyelubungi kawasan tersebut menjadikan suasana sekeliling agak gelap.



Bagaimanapun, akibat rempuhan yang sangat kuat secara berdepan, gajah jantan itu mati di tempat kejadian. Dua orang pekerja kereta api warga India turut tebunuh. Manakala penumpang lain yang menaiki gerabak belakang hanya mengalami cedera ringan.


Sehingga kini, kejadian tersebut masih diingati oleh penduduk di sekitar Teluk Intan, Perak. Bagi memperingati sejarah tersebut, tengkorak gajah terbabit telah diawet dan disimpan di Muzium Perak yang terletak di Bandar Taiping untuk tatapan umum. Tulang paha gajah itu ditempatkan di Muzium KTMB, manakala gadingnya difahamkan telah dibawa pulang ke England oleh pihak British ketika itu.


Dipetik dari majalah Infiniti, Mei 2011