Thursday, November 28, 2013

KELAPO GONCANG PANCANG (SODAP BONAR)...

Jam sudah menunjukkan pukul 12 tenghahari, aku bersama anakku Amsyar dan sepupunya Amal masih lagi berada di tepi Sungai Timun, melihat beberapa orang sedang memancing udang galah, seperti yang aku ceritakan dalam artikel sebelum ini bertajuk "Memancing Udang Galah Di Sungai Timun, Negeri Sembilan" bahawa aku ke Sungai Timun semula pada pagi itu adalah kerana gambar yang dirakam malam tadi tak berapa terang sebab flash kamera ada problem. Tak seronok rasanya nak bagi kawan-kawan tengok gambar yang tak cantik dan gelap pula, lebih menyedihkan, udang sekor pun tak dapat, jadi tak dapatlah nak tunjukkan gambar udang pada para pembaca. Kalau gambar cantik boleh la cover sikit artikel tu.

Selepas berpuashati dapat merakam beberapa keping gambar di tepi sungai, aku pun mengajak Amsyar dan Amal balik ke rumah ibu mertuaku di Rembau kerana isteriku telah beberapa kali menelefon suruh pulang makan tengahari kerana katanya empat ekor ayam kampung peliharaan ibu telah siap disembelih pagi tadi dan telahpun siap dimasak kari, manakala sebahagiannya pula digoreng untuk hidangan kami, bersama beberapa menu yang lain.

Ketika tiba di Kampung Hj. Sulaiman, Panchang, kira-kira 20 km ke pekan Rembau, anakku Amsyar minta singgah di kedai untuk membeli air minuman kerana katanya dia haus. Walaupun tadi dah beli air mineral sorang sebotol tapi katanya tak cukup dan sekarang nak beli lagi tapi kali ni nak air tin bergas pula. 

Aku pun memperlahankan kereta lalu memasuki perkarangan sebuah pasar mini yang kelihatannya hanya ada sebuah sahaja di situ. Pelanggan pun tidaklah berapa ramai ketika itu. Kebetulan pula bersebelahan pasar mini itu ada sebuah kedai minuman, jadi hasrat aku untuk membeli air minuman tin dibatalkan sebaliknya aku  nak minum di sini sahaja sambil berehat-rehat kerana perut pun belum lapar lagi nak makan tengahari.

"Apa minuman special yang ada kat sini?" aku bertanya kepada seorang anak muda yang sedang menyusun beberapa buah cawan plastik untuk kegunaan pelanggan.

Sambil aku bertanya, mata aku memerhatikan keadaan sekeliling gerai yang kelihatannya sangat bersih. Kerusi meja yang disediakan hanya ada 3 buah di dalam dan dua buah lagi terletak di luar berhadapan pasar mini. Maklum lah kawasannya tidaklah luas sangat.

Sebelum pemuda itu menjawab, aku terpandang beberapa biji buah kelapa muda yang ada di dalam bakul di situ dan terus berkata: "Saya nak minum air kelapa muda".

Sambil itu dalam hati berkata juga yang akupun sebenarnya dah lama tidak minum air kelapa muda, cuaca panas macam ni memang best lah minum air kelapa muda. 

"Nak yang biasa ke atau nak yang special". Pemuda itu bertanya sambil melemparkan senyuman manis.

"Yang special tu macam mana?". aku terus bertanya.

"Kalau yang special, dalamnya kita letak ais cream, Harga segelas RM3.30" sambung pemuda itu.

"Ok, bagi yang special tiga gelas, kami nak minum kat sini" kata ku lagi sambil menarik kerusi lalu duduk.

Anakku Amsyar dan sepupunya Amal tidak membantah sebaliknya memberi isyarat bagus kepadaku kerana memesan air kelapa muda special juga untuk mereka, walaupun pada asalnya mereka berdua aku dengar bercakap dalam kereta tadi nak beli air 100+.

Sebenarnya  sebelum ini aku tidak berapa kisah dengan air kelapa muda kerana tidak ada apa yang istimewa dengannya melainkan ianya hanya satu jenis minuman buah-buahan sama seperti fresh orange, apple juice, air belimbing dan sebagainya yang biasa aku order. Tapi bila aku terpandang banner yang direntang di luar dan dalam kedai dengan slogannya "KELAPA GONCANG PANCHANG (SODAP BONAR), aku jadi tertarik dan ingin mencuba. 

Aku perhati dengan penuh minat cara-cara pemuda itu menyediakan air kelapa muda untuk kami. Mula-mula ia memasukkan beberapa keping isi kelapa muda kedalam blender, lepas tu dia masukkan ais batu, air dan gula lalu campuran tadi dikisar sehingga hancur dan sebati. Selepas itu mesin blender tadi di angkat lalu digoncang-goncang untuk lebih sebati. Selepas itu air kelapa muda tadi diceduk menggunakan senduk lalu memasukkan ke dalam cup plastik yang telah disediakan. Oleh kerana tadi, aku nak yang special, maka pemuda itu memasuk dan meletakkan ice cream di bahagian atas di dalam cup plastik lalu menghidangkan kepada kami.   

Tanpa membuang masa dan membaca Bismillahirrahmanirrahim, kami bertiga pun mula menyedut air Kelapo Gonchang Panchang secara perlahan-lahan. Sruppp....sruppp...sruppp...secara serentak kami menyedut dan sebaik sahaja air kelapa mencecah di lidah, mata kami semua terpejam kerana kelazatannya yang amat sangat dan tidak dapat digambarkan, selain itu rasanya yang lemak manis membuatkan kami terus menghirup sedikit demi sedikit secara perlahan-lahan untuk terus menikmati keenakkannya. 

Selepas beberapa ketika, aku memandang semula ke arah banner yang direntang di dalam kedai dan terus berkata kepada Amsyar dan Amal: "Memang betullah dia bubuh nama air kelapa muda ni  'KELAPO GONCANG PANCHANG, SODAP BONAR', memang sedap pun" kataku terus ketawa...   

"Dah berapa lama jual air kelapa ni" Aku bertanya kepada pemuda itu (sebenarnya nama dia pun aku lupa nak tanya).

"Dah dua tahun dah" katanya menjawab soalan ku tadi.

Pelanggan sudah pun ramai dan masing-masing mengambil tempat dan ada setengahnya pula berdiri kerana tak cukup kerusi. Mataku terpaku ke arah dinding dan terpandang satu sign yang dilekatkan berbunyi 'Free Wi-Fi Internet Access'. Bukan itu saja pemilik kedai ini juga adalah agen BSN (Bank Simpanan Nasional) kerana aku perhatikan ada satu logo BSN dilekat kat dinding itu juga.

"Wah!!! hebat betul kedai kelapo ni, siap ada Wi-Fi lagi, canggih betul, mesti anak muda ni jenis terpelajar dan celik IT. tahu akan keperluan pelanggannya terutama anak muda yang sentiasa hendak melayari internet walau di mana saja. Manakan tidak, sekarang ini masing-masing dah ada S4 lah S3 lah, i-phone lah, aku sendiripun pakai cokia (bukan nokia) punya hand phone tapi boleh lah access internet".

Aku pun trylah online kerana open password. Aku buka youtube nak tengok movie. "Eh laju la, tak buffering pun dan movie lancar je" aku berkata kepada pemuda itu.

"Mungkin traffic tak jem lagi, orang pun tak ramai, line lajulah" kata pemuda itu merendah diri. Selepas selesai minum aku terus berkata: "Tolong bungkus 8 cup lagi, saya nak bawa balik, nak bagi yang kat rumah pulak rasa" 

"Baik" jawab pemuda itu ringkas sambil terus tersenyum...

Setelah menerima air Kelapo Goncang Panchang dan mengira harganya iaitu (3 cup minum dan 8 cup bungkus = 11 cup X RM3.30) aku pun membayar harganya sebanyak RM36.30. Pemuda itu pun mengucapkan terima kasih kepada ku dan meminta serta berharap supaya aku datang lagi di lain kali.

Aku pun menganggukkan kepala tanda setuju dan berjanji akan datang lagi jika ada kelapangan lalu melambai tangan kepadanya dan terus menuju ke kereta untuk pulang.

Kepada sesiapa yang ingin nak raso air kelapo mudo, datang lah kat Panchang ni. Plannya ada kat bawah dan carilah kedai ni sampai jumpo...   

Sebelum tu tengoklah beberapa keping gambar yang sempat aku rakam untuk kalian mencuci mata...


Banner yang di pasang di dalam kedai....

Adik Amal berjalan masuk ke dalam kedai 
untuk menikmati air Kelapo Goncang....

Buah-buah kelapa muda segar menanti 
pengunjung yang ingin menikmatinya...

Pemuda berbaju hijau dan rakannya sedang menyediakan 
air Kelapo Goncang untuk kami bertiga...
(Tapi aku lupo pulak nak tanyo namo nyo...)

Beberapa jenis lagi menu minuman yang disediakan...

Pemuda ni juga sedang menyiapkan 8 cup lagi 
untuk aku bawak balik ke rumah untuk keluarga...

Kalau order yang special, ice cream
 diletakkan di atas...baru lah sodap mengancam...

Ice Cream...

Baru siap 4 cup...

 
Ini gelas aku...dah nak habis baru teringat nak ambil gambar....


Sambil menunggu minuman disediakan, 
bolehlah kita on line apa-apa yang patut...

Plan ke lokasi kedai Kelapo Goncang Pancang...

Wednesday, November 27, 2013

MEMANCING UDANG GALAH DI SUNGAI TIMUN, NEGERI SEMBILAN...

Pengalaman memancing di Laut Dalam, di Kuala Terengganu, memancing ikan di Tasik Kenyir dan Tasik Banding serta mencandat sotong di Pulau Kapas telah banyak meninggalkan kenangan manis dalam hidup aku, walaupun ianya tidaklah berbaloi kerana memerlukan perbelanjaan yang besar berbanding hasil tangkapan yang diperolehi, tetapi ianya tidaklah menjadi soal sangat kerana apa yang penting adalah kepuasan semasa melakukan aktiviti tersebut terutama sekali apabila dilakukan bersama rakan-rakan seperjuangan yang mempunyai minat yang sama.

Sepanjang berada di tengah-tengah lautan, hanya iringan doa dari keluarga serta rakan-rakan yang tidak dapat turut bersama yang telah menyuntik semangat kami untuk terus tabah menempuh gelora serta ombak ganas yang bila-bila masa sahaja boleh membahayakan keselamatan kami. Namun itu semua merupakan satu pengalaman yang sangat berharga dan tidak dapat dilupakan. 

Sebagai menghargai pengorbanan keluarga, malam minggu lepas, aku telah membawa mereka semua ke Pengkalan Nelayan Sungai Timun yang terletak di Kuala Linggi, Negeri Sembilan yang sangat terkenal dengan udang galahnya untuk kami memancing dan menghabiskan masa bersama-sama di malam minggu.

Sungai Timun merupakan lokasi tempat kaki pancing memburu udang galah. Pemancing yang pernah datang ke sini mengakui udang galah di sungai ini adalah antara yang terbaik. Untuk mendapatkan tangkapan lumayan, aku menyarankan supaya pemancing memancing dari atas bot. Ini memudahkan mereka bergerak dan mencari lubuk yang sesuai. Walaubagaimanapun kami pada malam itu tidaklah menyewa bot tetapi hanya memancing di atas jeti yang telah dibina khas bagi kemudahan penduduk tempatan, nelayan dan kaki pancing mencari rezeki. Tetapi ia sangat terhad dan pemancing tidak merasai pengalaman sebenar memancing udang galah.

Jeti kayu bertiang batu konkrit itu dibina lebih daripada 10 tahun lalu oleh kerajaan negeri bagi merangsangkan ekonomi penduduk setempat. Orang-orang bandar (Kuala Lumpur, Selangor dan Singapura) selalu datang ke sini untuk memancing dan melihat keindahan kerlipan kunang-kunang pada waktu malam. Kepada pelancong, Kebiasaannya mereka naik bot waktu senja dan pulang tiga atau empat jam kemudian. Ada juga datang mahu tengok buaya. 

Di sini terdapat lebih kurang 50 lubuk menarik yang dihuni udang galah di sepanjang Sungai Kempas iaitu yang menganjur tiga kilometer ke selatan dari jeti Pangkalan Kempas sehingga ke simpang tiga ke Sungai Timun dan dua kilometer ke utara. 

Antaranya ialah lubuk Datuk Keramat yang dikatakan menjadi lokasi kemestian kaki pancing untuk menambat bot bagi mencuba nasib. Kebiasaannya selepas lima atau enam ekor udang galah besar dinaikkan, sang bedal (buaya) akan muncul tidak jauh daripada bot dan pemancing yang memahaminya akan meninggalkan lubuk berkenaan. 

Hendak memancing di Sungai Timun perlu mengetahui keadaan cuaca dan jangan sesekali turun ke sungai sekiranya Bandar Seremban hujan kerana air yang mengalir akan masuk ke sungai itu. Air yang membawa lumpur menyebabkan sungai berkeladak serta sejuk. Akibatnya udang galah lebih suka bersembunyi di sarang. Selain udang galah, ikan baung dan belukang turut menghuni sungai berkenaan. Sekiranya air pasang pemancing turut boleh memperoleh gelama. 

Walaupun pada malam itu kami tidak memperolehi seekor udang pun, tetapi kami sangat berpuashati kerana dapat memancing udang di Sungai Timun yang sangat terkenal itu.


Gambar-gambar rakaman kurang memuaskan kerana
 flash pada malam tersebut ada sedikit problem... 

Sign board Pengkalan Nelayan Sungai Timun...

Blogger sedang memancing dari atas jeti...


Anak-anak turut serta...


Jeti yang dibina kira-kira 10 tahun lalu 
banyak memberikan kemudahan kepada kaki pancing...

Papan tanda amaran dan peraturan yang perlu
 dipatuhi oleh semua pengunjung...



Adik Azamuddin sedang menunggu pancingnya 
dengan sabar dan berharap ada rezeki untuknya malam ini...

Dari kiri: Salina, Alia dan Yati (adik iparku) 
tetap sabar menemani kami memancing...

Adik Ajib dapat merasa seolah-olah jorannya sedang dipagut... 


Dari kiri: Rini, Amsyar dan Amal...

Beberapa buah bot tiada penyewa...

Adik Ajib membawa umpan cacing untuk menawan udang galah...

Alia turut mencuba nasib...



Anak-anak sibuk memasang umpan di mata kail masing-masing...

Yati (adik ipar) juga mencuba nasib...


Oleh kerana aku tak puashati sebab gambar yang diambil sebelah malam tak terang, esok pagi aku pergi semula ke Sungai Timun dan merakam gambar-gambar di sebelah siang pula untuk memuaskan hati semua pembaca..








Jeti tempat kami memancing malam tadi....






Sambil melayan udang galang, pemancing dihiburkan 
dengan nyanyian karaoke pada sebelah malam sahaja.


LAYAN VIDEO YANG DI DOWNLOAD DARI YOUTUBE 



Pelepasan benih udang galah di Sungai Timun

Buaya Sungai Timun

Udang Sungai Timun

SELAMAT MENONTON DAN SEMOGA TERHIBUR...

Saturday, November 16, 2013

ANAK BAPAK...

 

Boss aku sangat suka sedutan filem Anak Bapak ini. Dia minta aku edit filem P. Ramlee ini dan ambil part, P. Ramlee pergi melawat ladang getah milik bapanya A.R Tompel. Boss aku kata semasa dia beri kursus motivasi kepada Pengurus-Pengurus Kawasan dia akan jadikan sedutan filem ini sebagai motivasi kepada mereka supaya mengambil berat akan permasalahan yang dihadapi oleh buruh ladang dan beri bantuan apa yang boleh kepada mereka.

Atas bantuan rakan setugasku En. Anis Abdol Rahman, maka video ini berjaya diedit sepertimana yang dikehendaki oleh boss. 

Pada pandangan aku, buruh-buruh yang ada di Syarikat tempat aku bertugas telah diberi segala kemudahan yang secukupnya. Kemudahan rumah kongsi yang selesa, gaji yang dibayar sangat lumayan dengan syarat mereka mesti rajin bekerja, 

Tapi jangan buruh saja yang diberi perhatian, kebajikan Pengurus-Pengurus ladang juga hendaklah diambil berat kerana mereka inilah yang menjadi nadi syarikat. Jika mereka boikot  kerana tidak berpuashati, maka Syarikat akan menanggung rugi.

Monday, November 11, 2013

APA ITU SAKA...


Jin dan iblis punca penyakit saka - gambar hiasan...


Saka berpunca daripada dendam iblis kepada manusia. Cara iblis membalas dendam adalah dengan menyesatkan manusia mengikut kepercayaan penduduk setempat, misalnya penduduk di Nusantara percaya dengan batu, kayu pokok, gunung dan busut. Sebagaimana yang diketahui sebelum dijadikan manusia, bumi ini telah dihuni oleh jin. Merekalah yang duduk di gunung, batu, kayu, pokok dan busut. Kemudian nabi Adam diutus dan umat manusia menyebar di seluruh muka bumi. Apabila benda-benda itu disembah secara tidak langsung ia memuja jin.

Disebabkan janji iblis pada Allah untuk menyesatkan manusia seperti yang disebut di dalam surah alA'raaf ayat 16-17, bermaksud, Iblis berkata: Oleh sebab Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus. Kemudian aku datangi mereka dari hadapan mereka serta dari belakang mereka dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur."

Dengan alasan itu iblis terus menyesatkan manusia setelah dihalau keluar dari syurga kerana keengganannya sujud pada nabi Adam. Di bumi, iblislah yang mengajar jin bagaimana untuk menguasai manusia. Dialah yang mengajar kepada jin ilmu tentang kebal, kekuatan, pendinding, perdukunan, perbidanan dan rawatan.

Perjanjian manusia dan jin pun bermula. Jin berjanji akan membantu orang yang memujanya termasuklah menjaga rumah keluarga, jadi kebal menjadi pendekar, hulubalang atau orang yang hebat serta luar biasa.

Orang Melayu, apabila ia berdamping dengan jin mereka memberinya nama mengikut tugasan yang diberikan seperti polong, puntianak, hantu raya, toyol dan lain-lain lagi. Tapi sebenarnya itu semuanya adalah jin yang termasuk di dalamnya syaitan dan iblis. Ia jelas disebut di dalam surah al-Khafi ayat 50, “Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat; Sujudlah kamu kepada Adam, maka sujudlah mereka kecuali iblis. Dia adalah daripada golongan jin maka ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya."

Jin itu pula ada beberapa jenis iaitu yang duduk di langit, tanah, sungai, pokok semuanya berbeza fungsinya. Ada juga orang dahulu-dahulu hendakkan cantik, ketika itulah iblis datang mencucuk dan memberi ilham kepada manusia dalam bentuk mimpi. Maka bermimpilah orang itu berjumpa seorang puteri di Gunung Ledang atau sebagainya. Maka di dalam mimpi itu dikatakan bahawa ada barang yang disorokkan di satu-satu tempat maka disuruh mengambilnya tapi bersyarat. Apabila syarat itu dituruti maka jin itu akan meresap ke dalam tubuh dan ia akan bergerak mengikut aliran darah. Rasulullah bersabda, "Sesungguhnya syaitan itu meresap masuk di dalam diri manusia itu menerusi aliran darahnya." (HR Bukhari dan Muslim).

Dan situlah jin membiak di dalam diri anak Adam. Harus maklum bahawa pembiakan jin ini berbeza dengan pembiakan manusia. Jika manusia mesti ada pasangan dan pernikahan dan boleh melahirkan zuriat tetapi jin tidak begitu. Di dalam hadis juga ada disebutkan, jin juga beranak pinak sebagaimana halnya anak Adam bahkan jumlah mereka jauh lebih banyak.

Begitu juga halnya dengan syaitan, mempunyai keturunan dan Allah mengecam golongan manusia yang menjadikan keturunan syaitan sebagai pemimpin. Hal itu secara jelasnya disebut di dalam surah al-Khafi ayat 50 bermaksud, "..Patutkah kamu mengambil dia dan keturunan-keturunannya sebagai pemimpin selain daripada-Ku sedang mereka adalah musuhmu? Amat buruklah iblis itu sebagai pengganti (dari Allah) bagi orang-orang yang zalim."

"Di situ memang sudah jelas bahawa jin mempunyai keturunan dan beranak pinak. Jin akan membiak apabila terangsang dengan sikap manusia walaupun sekadar mengatakan bersetuju untuk didampingi. Perasaan gembira kita menerima pendamping itu pun sudah cukup untuk menyebabkan jin itu terangsang maka ia membiaklah," 

Jin juga boleh membiak apabila manusia seronok dengan maksiat, terhibur dengan majlis tari-menari, pesta-pesta dan bersorak kegembiraan. Maka ketika tepuk sorak manusia bergema, itulah saatnya jin terangsang dan ia akan membiak. Begitu juga halnya dengan pergaduhan adik-beradik, suami isteri dan perkelahian akan membantu jin. Tenaga atau getaran yang dikeluarkan dari pergaduhan itu akan menyebabkan jin beranak pinak.

Selain itu sikap, tingkah laku dan perbuatan seharian yang negatif adalah pil kesuburan untuk jin terus membiak. Setiap sesuatu yang disarankan Rasulullah agar jangan marah, bertelagah, tergesa-gesa, waswas dan semua sifat negatif ada sebabnya. Salah satu sebabnya adalah untuk mengelakkan jin itu terus membiak di dalam badan manusia.

SAKA ITU SEPERTI DNA

Saka ada tiga jenis iaitu yang diwarisi dari keturunan, saka yang dipelajari dan saka dari sihir yang tidak dibuang. Saka boleh datang dengan mempelajari silat kebatinan, ilmu perdukunan, perbidanan, mengurut dan mengandam. Kebanyakan silat memang ada saka mengikut ritual yang dijalankan.

Saka juga boleh datang apabila seseorang kena sihir. Hal itu terjadi apabila sihir itu tidak dibuang, lama kelamaan ia akan menjadi saka. Misalnya kena santau berubat tetapi tidak dihabiskan. Jin santau itu yang sudah beranak pinak di dalam badan akan masuk ke dalam aliran darah akan dipindahkan pula kepada anak dan generasi yang seterusnya.

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. bahawa jin itu masuk ke dalam badan manusia melalui aliran darah. Jadinya apabila jin sudah berada di dalam badan maka ia akan mengikut peredaran darah kita ke seluruh badan. Aliran darah itu umpama lebuh raya bagi jin. Seperti mana lebuh raya yang ada R&R, maka aliran darah itu pun ada benda yang sama. Bagi aliran darah, R&R adalah organ penting, kelenjar dan nadi yang terdapat pada seluruh badan. Pada titik itulah syaitan atau jin akan duduk kerana pada tempat itu ada getaran.

Yang pastinya apabila jin bersarang di organ penting, ia akan menimbulkan kepincangan fungsi organ. Jin akan menguasai tubuh badan manusia menerusi organ yang menjadi sarang. Misalnya jika ia duduk di bahagian pankreas maka akan terjadi kencing manis. Begitu juga halnya jika duduk pada kelenjar maka ia akan mengganggu hormon. Manakala di jantung akan menyebabkan sakit jantung dan singgah di payu dara akan menjadi kanser. Begitulah hal seterusnya amat licik permainan jin itu.

Sebagaimana yang telah diterang­kan pada awal tadi, jin itu masuk ke dalam tubuh manusia melalui aliran darah. Maka apabila anak-anak Adam itu berkahwin dan mempunyai zuriat maka jin itu secara tidak langsung akan diturunkan kepada generasi seterusnya. Ia seumpama genetik yang boleh diturunkan daripada nenek moyang hinggalah kepada anak cucu dan cicit.

"Jin itu akan diturunkan kepada keturunan kita secara spontan tanpa ada persetujuan waris atau syarat. Selama ini ramai yang menyangka, saka itu tidak akan melekat kepada waris jika dia menolak untuk menjadi tuannya. Sebenarnya anak pinak jin itu sudah pun mendiami tubuh keturunan manusia yang mempunyai saka sejak awal lagi. Meminta tuan itu hanya sebagai tipu helah saja.

"Ia diturunkan kepada anak cucu dan cicit tanpa disuruh atau dipaksa. Saka itu ada pada semua keturunan nenek moyang yang pernah berjanji setia dengan jin. Hanya yang mengelirukan apabila jin itu bermain-main dengan meminta tuan pada anak sulung. Saka itu akan diwarisi segenap keturunan pemiliknya sampai kiamat jika tidak dibuang," terangnya.

Bagi yang merasakan saka itu karut dan ingin terus menyimpannya kerana tidak mendatangkan mudarat, iblis tidak akan pemah putus asa untuk menyesatkan manusia. Itu janji yang termaktub di dalam al-Quran. Mungkin hari ini tidak nampak kesannya walaupun sedar di badan mempunyai saka. Kita masih lagi boleh beribadat, tidak pernah tinggal solat, alim, tok guru, tok imam tapi kita tidak menyedari bahawa iblis mencucuk jarumnya perlahan-lahan.

Mungkin bukan hari ini ataupun tahun depan. Bagaimana kalau ia terjadi di saat kematian datang menjemput? pada pengakhiran hidup ini apabila tua, jatuh sakit dan membawa kepada strok kemudian sakit tua hingga nyanyuk. Apabila nyanyuk, koma dan strok ketika tua nanti bila masanya kita hendak beribadat dan mengucap? 

Akhir kalam, bukankah kita akan sesat kerana tidak mampu lagi mengucap Yang menjadi kuncinya adalah pada akhir hidup kita, sesat itulah tujuan iblis. Walaupun ulama besar, imam, tok guru tetapi pada akhir kehidupan terlantar koma. Jadi, bila masanya kita hendak mengucap ketika hendak menghadap Allah. 

Memang benar ada yang mengatakan bahawa orang strok pun boleh mendengar apabila diajar mengucap. Masalahnya, bolehkah kita pastikan bahawa dia juga turut mengucap seperti yang diajarkan. Itulah sebenarnya permainan syaitan untuk menyesatkan manusia pada saat kematian.

"Seperkara lagi yang amat membimbangkan dewasa ini, menularnya penyakit kanser. Saya percaya bahawa kanser adalah satu penyakit moden yang ada hubung kaitnya dengan saka. Ia memang berasas, jika kita kaji semula kebolehan jin yang boleh menjelajah ke langit untuk mencuri dengar berita dari langit. Hanya setelah Rasulullah diutus barulah aktiviti itu terhalang.

"Dengan pengetahuan itulah mereka menjadikannya senjata untuk menyesatkan manusia. Tidak mustahillah jika jin sudah mengetahui hal yang akan berlaku pada masa akan datang. Iblis tahu pada akhir zaman nanti ada satu teknologi moden dalam bidang perubatan iaitu kimoterapi. Dan pengetahuan itulah jin saka itu mencipta satu penyakit yang boleh dirawat dengan kimo.

"Memanglah kimo itu untuk membunuh sel kanser tapi bukan sekadar itu, ia juga membunuh sel yang sihat. Apabila semua sel sihat pun mati, apa lagi yang tinggal? Tidak ada apa-­apa. Akhirnya kimo membawa pada keadaan yang menyedihkan iaitu koma dan meninggal. Soalnya sempatkah kita mengucap saat nyawa dicabut? Jika tidak, faham-faham sajalah. Itulah sebabnya saka itu harus dibuang agar di akhir hayat nanti ia tidak akan menyesatkan kita.

TANDA-TANDA ORANG YANG MEMPUNYAI SAKA

  • Menderita penyakit yang tidak ada punca. Sakit tetapi apabila pergi ke hospital doktor kata tidak sakit. Begitu juga halnya dengan sakit jantung tanpa diketahui puncanya tiba-tiba dapat serangan jantung.

  • Sakit yang dideritai berpanjangan dan berulangulang. Misalnya gastrik, kencing manis, darah tinggi, migrain yang tidak akan sembuh dan kekal di dalam badan penghidapnya. Hilang hanya seketika kemudian datang semula.

  • Menderita penyakit misteri yang berpanjangan. Asyik terkena sihir saja, nampak sihat tetapi sebenarnya sedang sakit. Ada ketikanya tidak boleh tengok matahari, sentiasa hendak tidur, lemah, lesu dan sakit pada badan yang tidak diketahui sebabnya.

  •  Penyakit keturunan seperti kemurungan, gout dan gila.

  • Jodohnya panas. Bertunang putus, susah dapat jodoh, ada orang suka tetapi akhirnya tidak jadi, kadang­kadang sama-sama suka tapi akhirnya tidak jadi kahwin. Semua itu ada kaitannya dengan saka, ia mengganggu perasaan orang lain.

  •  Sukar mendapat zuriat, kadang-kadang sudah kahwin bertahun-tahun tetapi masih tidak mendapat cahaya mata. Apabila saka itu sudah ada di dalam badan maka ia tidak mahu berkongsi dengan orang lain apabila sudah dapat makan dari tubuh manusia. Ada yang boleh mengandung, tetapi sering keguguran, biasanya dari pengalaman mengatasi masalah saka biasanya perempuan yang menghadapi masalah itu berhadapan dengan saka jin nenek. Anak hilang di dalam kandungan itu juga disebabkan oleh saka itu dinamakan saka bunian atau saka kayangan, ia jenis hanuman.

  • Mempunyai emosi yang tidak stabil, sering beremosi, / cepat merajuk, cepat marah, sensitif yang keterlaluan, cemburu keterlaluan dan cepat naik angin.

  • Jauh daripada Allah, semakin lama makin liat untuk melakukan ibadat. Ada juga kes yang apabila diberi sepotong ayat al-Quran dan zikir untuk diamalkan mereka tidak mampu mengamalkannya, rasa panas, malas, mengantuk sangat hingga tidak mampu melakukannya.

  • Di dalam keluarga ada anak-anak yang sangat nakal, kecil-kecil sudah melawan orang tua dan terlalu degil.

  • Salah satu tanda lelaki yang mempunyai saka ialah isteri orang sangat tertarik kepadanya dan bukan anak dara. Lelaki itu dipandang manis, sekali pandang sudah terpikat terutamanya isteri orang. Itu semuanya kerja saka, jika berjaya maka satu kejayaan besar bagi iblis memporak-perandakan rumah tangga anak Adam. Berhati-hati dengan lelaki yang mempunyai daya penarik!

Friday, November 8, 2013

BELAJAR ILMU LADUNI DARIPADA NABI KHIDIR A.S. ...

Gambar hiasan...

Dalam al-Quran, terdapat satu kisah pertemuan antara Nabi Musa a.s. dengan Nabi Khidir a.s. untuk mempelajari ilmu laduni. Rasanya elok jika kisah ini dikupas sebagai pendedahan dan panduan dalam memahami perkara-perkara aneh dan luarbiasa ini. Kisah ini diabadikan oleh Allah s.w.t.  dalam surah Al-Kahfi  bermula ayat 60-82. Menurut Imam al-Razi dalam tafsirnya, Nabi Musa a.s. bertanya kepada Allah s.w.t., adakah terdapat manusia yang lebih alim dari baginda. Lalu Allah s.w.t. berfirman bahawa ada seorang hamba yang lebih alim iaitu Khidir. Nabi Musa a.s. lalu memohon kepada Allah s.w.t. untuk bertemu dan belajar daripada Khidir. Para ulama berselisih pendapat tentang siapakah Khidir ini. Ada yang mengatakan beliau adalah wali Allah. Namun majoriti berpendapat bahawa beliau salah seorang nabi.  

PERJALANAN MUSA YANG JAUH UNTUK BERTEMU KHIDIR


Kita mulakan kisah ini dengan meneliti  firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Kahfi, ayat 60, “Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada muridnya: ‘Aku tidak akan berhenti (berjalan) sebelum sampai di pertemuan dua buah lautan; atau aku akan terus berjalan sampai bertahun-tahun .”

Ayat di atas menceritakan beberapa syarat penting untuk bertemu Khidir. Syarat yang pertama ialah bersungguh-sungguh dan kesabaran yang tinggi. Itulah yang dipamerkan oleh nabi Musa a.s. Baginda berazam tidak akan berhenti berjalan walaupun terpaksa bertahun-tahun semata-mata untuk bertemu Khidir. Syarat kedua, sifat merendah dan tawaduk. Walaupun Musa sudah bergelar rasul dan mempunyai murid dan pengikut yang ramai, baginda tetap merendah diri untuk berguru dengan seorang nabi yang bukan bertaraf rasul. Yang ketiga, masa dan lokasi pertemuan adalah rahsia dan tiada siapa boleh menentukannya kecuali Allah s.w.t.  Nabi Musa hanya diperintahkan membawa bekalan dan berjalan terus sehingga sampai pertemuan antara dua laut yang baginda sendiri tidak tahu di mana dan bila.

Ketiga-tiga syarat di atas jelas menunjukkan bahawa untuk bertemu dengan nabi Khidir bukan semudah yang di sangka . Hatta nabi Musa yang bergelar ulul azmi pun terpaksa menempuh perjalanan yang jauh dan sukar sebelum diizinkan Allah s.w.t. bertemu dengan nabi Khidir. Oleh itu, sekiranya ada yang mendakwa selalu dikunjungi nabi Khidir, maka perhatikanlah tahap kesungguhan dan keazaman yang ada pada orang itu. Jika ternyata dia seorang yang tiada kesungguhan dan tiada sifat mujahadah dalam melawan hawa nafsu, maka dakwaan tersebut perlu dinilai semula.


TITIK PERTEMUAN MUSA DAN KHIDIR SUATU YANG RAHSIA

Kita sambung kisah seterusnya dengan meneliti firman Allah s.w.t. dalam ayat 61-65, “Maka ketika mereka berdua sampai di pertemuan dua buah laut itu, maka mereka berdua terlupa akan hal ikannya, lalu ikan itu melompat mengambil jalannya ke laut itu. Tatkala mereka berjalan melampaui tempat itu, berkata lah Musa kepada muridnya, “Bawalah ke mari makanan tengahari kita; sesungguhnya kita merasa letih kerana perjalanan kita ini.” Muridnya menjawab, “ Tahukah kamu tatkala kita mencari tempat berlindung di batu tadi, maka sesungguhnya aku lupa  (menceritakan tentang) ikan itu dan tidak adalah yang melupakan aku untuk menceritannya kecuali syaitan dan ikan itu mengambil jalannya ke laut dengan cara yang aneh sekali.” Musa berkata, “Itulah (tempat) yang kita cari; lalu keduanya kembali, mengikut jejak mereka semula. Lalu mereka bertemu dengan seorang hamba di antara hamba-hamba Kami, yang telah Kami berikan kepadanya rahmat dari sisi Kami, dan yang telah Kami ajarkan kepadanya ilmu dari sisi Kami.”

Ayat di atas mengisahkan dugaan-dugaan di hadapi oleh Musa dalam perjalanannya untuk bertemu Khidir. Yang pertama ialah keletihan yang dialaminya setelah menempuh perjalanan yang amat jauh. Ketika tertidur akibat kepenatan, berlaku satu peristiwa aneh. Ikan yang dibawa mereka sebagai bekalan tiba-tiba hidup melompat berenang ke laut. Peristiwa ini disaksikan oleh muridnya Yushak bin Nun. Malangnya, syaitan telah menjadikan beliau lupa untuk menceritakan hal tersebut kepada nabi Musa.

Lalu mereka meneruskan perjalanan yang jauh sehingga nabi Musa sekali lagi keletihan. Kejadian ini menunjukkan pertemuan dengan nabi Khidir bukan sahaja akan diuji dengan kesusahan dan kepayahan , malah syaitan akan turut datang untuk menggagalkannya. Oleh itu, sekiranya seseorang mendakwa sering bertemu dengan nabi Khidir tanpa melalui sebarang ujian dan dugaan, maka kita perlu bertanya adakah yang datang itu benar-benar nabi Khidir atau syaitan yang cuba memesongkan kita? Sama-sama kita fikirkan.

SYARAT UNTUK BELAJAR DARI KHIDIR

Kisah ini diteruskan dengan firman Allah s.w.t. dalam ayat 66-70, “ Musa berkata kepada hamba Allah itu, “Bolehkah aku mengikutimu supaya kamu mengajarkan kepadaku ilmu dari apa yang telah Allah ajarkan kepada kamu?” Jawab hamba Allah itu, “Sesungguhnya kamu Musa sekali-kali tidak sanggup sabar bersamaku. Dan bagaimana kamu dapat bersabar atas sesuatu yang kamu belum mempunyai pengetahuan yang cukup tentang hal itu.” Musa pun menjawab, “Insya-Allah kamu akan mendapati aku seorang yang sabar dan tidak akan menentang kamu dalam sesuatu urusan pun. Hamba Allah itu berkata, “Jika kamu mengikutku maka janganlah kamu menanyakan kepadaku tentang sesuatu apapun, sampai aku sendiri menerangkannya kepadamu.”

Dari ayat di atas, terdapat perbezaan antara permintaan Musa yang penuh dengan kesopanan dengan jawapan Khidir yang tegas menyatakan, Musa tidak akan mampu bersabar dengannya. Dialog ini membuka satu rahsia besar yang menjadi syarat utama untuk seseorang dikurniakan ilmu laduni iaitu sifat kesabaran yang tinggi dan sifat redha dengan apa yang terjadi. Sejak awal lagi, Khidir telah mengingatkan Musa akan hal ini. Jika nabi Musa yang dikurniakan ilmu dari kitab Taurat dan mukjizat yang hebatpun tidak mampu bersabar, inikan pula kita manusia biasa yang sangat cetek ilmu.  Jika nabi Musa yang dikurniakan kelebihan dapat berdialog secara terus dengan Allah s.w.t. pun dikenakan syarat supaya jangan bertanya, bagaimana pula dengan kita yang sering mempersoalkan ketentuan dan takdir Allah s.w.t. Oleh itu, sekiranya seseorang mendakwa mempelajari ilmu laduni tanpa dilengkapi sabar dan redha, maka kita perlu menyiasat adakah yang mengajar itu benar-benar nabi Khidir.

UJIAN PERTAMA : KHIDIR MEROSAKKAN KAPAL

Dilanjutkan kisah ini dengan firman Allah s.w.t. dalam ayat 71-73: “Maka berjalanlah keduanya, hingga tatkala keduanya menaiki bahtera lalu Khidir melubanginya. Musa berkata: “Mengapa kamu melubangi bahtera itu yang akibatnya kamu menenggelamkan penumpang nya?  Sesungguhnya kamu telah berbuat sesuatu kesalahan yang besar.” Dia (Khidir) berkata, “Bukankah aku telah berkata, “Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sabar bersama dengan aku.” Musa berkata, “Janganlah kamu menghukum aku kerana kealpaanku dan janganlah kamu membebani aku dengan sesuatu kesulitan dalam urusanku.”

Ayat ini membuktikan kebenaran peringatan awal yang diberikan oleh Khidir kepada Musa. Tindakan aneh Khidir memecahkan dinding bahtera milik nelayan yang ditumpangi secara percuma itu menimbulkan persoalan di hati Musa. Sebab itulah Musa telah diberi peringatan agar berdiam diri dan merahsiakan sahaja apa yang terlintas di hati. Kisah ini sebenarnya memberi pengajaran bahawa seseorang yang dikurniakan ilmu laduni perlu bersabar dan menahan diri dari mempersoalkan apatah lagi bercerita tentang keajaiban dan keanehan ilmu kepada sesiapa. Oleh itu, sekiranya kita mendakwa memperolehi ilmu laduni dan asyik menceritakannya kepada orang, maka kita perlu bertanya adakah benar itu ilmu laduni? Sama-sama kita fikirkan.


UJIAN KEDUA : KHIDIR MEMBUNUH KANAK-KANAK

Kisah tersebut disambung Allah s.w.t. melalui firman-Nya dalam ayat 74-76, “Maka berjalanlah keduanya; hingga tatkala keduanya berjumpa dengan seorang anak, maka Khidir membunuhnya. Musa berkata: “Mengapa kamu membunuh jiwa yang bersih itu, bukan kerana dia membunuh orang lain? Sesungguhnya kamu telah melakukan suatu yang mungkar .” Khidir berkata, “Bukankah sudah kukatakan kepadamu, bahawa sesungguhnya kamu tidak akan sabar bersamaku?” Musa berkata, “Jika aku bertanya kepadamu tentang sesuatu sesudah (kali) ini, maka janganlah engkau memperbolehkan aku menyertaimu, sesungguhnya kamu sudah cukup memberikan uzur kepadaku.”

Jika tadi Musa diuji oleh Khidir dengan kerosakan pada harta, sekarang Musa diuji pula dengan pembunuhan yang dilakukannya ke atas seorang kanak-kanak. Sebagai seorang nabi yang memahami syariat, Musa dengan lantang bertanya Khidir tentang perkara itu. Lantas Khidir mengingatkan Musa bahawa dia tidak akan mampu bersabar bersamanya. Begitulah ujian demi ujian yang harus dilalui oleh seseorang yang ingin mendapatkan ilmu dan hikmah dari nabi Khidir. Sabar dan redha sebenarnya kunci kepada ilmu laduni. Justeru, seharusnya kita fikirkan adakah tahap kesabaran kita mencapai tahap kesabaran nabi Musa yang tergolong dalam salah seorang rasul yang mempunyai keazaman yang teguh (ulul Azmi)?

UJIAN KETIGA : KHIDIR MEMBAIKI TEMBOK

Allah s.w.t. seterusnya berfirman dalam ayat 77-78, “Maka keduanya berjalan; hingga tatkala keduanya sampai kepada penduduk suatu negeri, mereka minta dijamu kepada penduduk negeri itu, tetapi penduduk negeri itu tidak mahu menjamu mereka, kemudian keduanya mendapatkan dalam negeri itu dinding rumah yang hampir roboh, maka Khidir menegakkan dinding itu. Musa berkata, “Jikalau kamu mau, nescaya kamu mengambil upah untuk itu.” Khidir berkata, “Inilah perpisahan antara aku dengan kamu. Aku akan memberitahukan kepadamu tujuan perbuatan-perbuatan yang kamu tidak dapat sabar terhadapnya.”

Dalam kejadian terakhir ini, kedua-duanya tiba di sebuah desa dalam keadaan tersangat letih, haus dan lapar. Mereka berdua meminta makanan daripada penduduk desa itu, tetapi penduduk desa enggan menjamu mereka. Dalam keadaan itu, Khidir berusaha membina semula dinding sebuah rumah yang hampir roboh di desa itu. Perbuatannya membuatkan Musa kehairanan lalu bertanya mengapa tidak diambil upah atas kerjanya itu. Peristiwa ini menunjukkan seorang yang ingin berguru atau bersahabat dengan Khidir mestilah mempunyai sifat ikhls yang tinggi. Dia seharusnya tidak menjadikan sikap buruk seseorang sebagai penghalang untuk dia berbakti kepada orang lain. 

Apa yang diharapkannya hanyalah keredhaan Allah s.w.t., bukannya habuan dunia. Ada ulama mengatakan, pertanyaan Musa kepada Khidir tentang kejadian pertama (merosakkan bahtera) dan kejadian kedua (membunuh kanak-kanak) masih boleh dimaafkan oleh Khidir kerana Musa buat demikian demi kebaikan umat dan berlandaskan hukum syariat. Namun, apabila Musa mempersoalkan bayaran upah atas kerja yang dilakukan, pertanyaan tersebut mempunyai unsur keduniaan dan kepentingan diri. Pertanyaan itulah yang menjadi titik pemisah antara mereka berdua. Oleh itu bagi seseorang yang benar-benar belajar ilmu laduni dari nabi Khidir, sudah pasti dia dapat memahami dan mengerti akan makna sebenar ikhlas dan ihsan.

RAHSIA KENAPA KHIDIR MEROSAKKAN BAHTERA

Bagi menghuraikan rahsia perbuatan nabi Khidir, Allah s.w.t. berfirman dalam ayat 78-79. “Adapun bahtera itu adalah kepunyaan orang-orang miskin yang bekerja di laut dan aku sengaja merosakkan bahtera itu, kerana di hadapan mereka ada seorang raja yang merampas tiap-tiap bahtera.”

Perbuatan Khidir merosakkan bahtera nelayan merupakan salah satu cabang ilmu laduni yang berupa kasyaf. Dengan kurniaan tersebut, Khidir dapat melihat apa yang sedang berlaku di pelabuhan yang jauh dari lokasi mereka berada. Khidir melihat setiap bahtera yang sampai di pelabuhan tersebut diperiksa oleh raja. Bahtera-bahtera yang berkeadaan elok akan dirampas, manakala bahtera yang rosak dan berlubang akan dibiarkan. Oleh sebab itu, Khidir sengaja melubangi bahtera itu agar raja tidak akan merampasnya.

Di kalangan ahli sufi, kasyaf ini dikenali sebagai Toyyu al-Zaman iaitu hijab pandangan zahir dilipat atau diangkat sehingga seseorang mampu melihat apa yang sedang berlaku di satu tempat yang jauh dari tempat ia berada. Saidina Umar r.a. pernah dikurniakan kasyaf ini sehingga beliau dapat melihat tentera Islam yang berada kira-kira 500 km dari Madinah dalam keadaan bahaya. Bagaimanapun, kasyaf sebegini hanya terjadi sekali sekala dan tidak boleh diprogramkan. Oleh kerana itu, pada malam Saidina Umar dibunuh, beliau tidak nampak musuh yang hendak menikamnya walaupun musuh itu berada di belakang beliau.

Sekiranya seseorang dikurniakan kasyaf sebegini, ia perlu disembunyikan dan tidak boleh dihebahkan. Itulah yang ditunjukkan oleh nabi Khidir a.s. Baginda tidak menceritakan apa yang dilihatnya kepada Musa sehingga menyebabkan Musa tidak dapat bersabar atas tindakkannya itu. Oleh itu, sekiranya seseorang itu mendakwa dikurniakan kasyaf dan ia dihebah-hebahkan kepada orang lain, itu menandakan kasyaf tersebut bukan ilmu laduni, tetapi adalah kasyaf dari jin dan syaitan.

RAHSIA KENAPA KHIDIR MEMBUNUH BUDAK

Allah s.w.t. mengungkapkan rahsia seterusnya dalam ayat 80-81, “Dan adapun anak itu maka kedua orang tuanya adalah orang-orang mukmin dan kami khuatir bahawa dia akan mendorong orang tuanya itu kepada kesesatan dan kekafiran. Dan Kami menghendaki supaya Tuhan mereka mengganti bagi mereka dengan anak yang lebih baik kesuciannya dari anaknya itu dan lebih dalam dari kasih sayangnya (kepada ibu dan bapaknya)”

Dalam kejadian ini, nabi Khidir dikurniakan kasyaf sehingga dapat melihat apa yang akan berlaku di masa lepas dan masa hadapan. Ini dikenali sebagai Toyyu al-Zaman iaitu hijab pandangan zahir dilipat atau diangkat sehingga boleh melihat merentasi masa. Menurut Imam al-Khazin dalam kitabnya Lubab al-Ta’wil fi Ma’ni Al-Tanzil, budak yang dibunuh nabi Khidir a.s. bernama Haisur. Ibu dan bapanya adalah orang yang soleh. Dengan izin Allah s.w.t. Khidir dapat melihat apa yang telah dilakukan oleh budak ini pada masa lepas dan masa akan datang. Budak ini selalu mencuri dan apabila dewasa, dia akan menjadi kafir dan memaksa kedua-dua orang tuanya kepada kekufuran. Peristiwa ini menunjukkan, Khidir a.s. adalah seorang yang sangat berhati-hati dalam soal iman dan akidah. Baginda tidak akan membiarkan seseorang memaksa seorang yang lain melakukan kekufuran. Oleh itu sekiranya seorang yang mendakwa dirinya dikurniakan ilmu laduni  dengan tujuan untuk bermegah dan menunjukkan kehebatan diri, sudah pasti orang itu akan dihukum oleh nabi Khidir lantaran perbuatan bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk itu sebahagian dari perbuatan kufur.  

RAHSIA KENAPA KHIDIR MEMBINA SEMULA TEMBOK

Berkenaan rahsia tembok, Allah s.w.t. berfirman dalam ayat 82, “Adapun dinding rumah itu adalah kepunyaan anak yatim di kota itu, dan di bawahnya ada harta benda simpanan bagi mereka berdua, sedang ayahnya seseorang yang soleh, maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka sampai kepada kedewasaannya dan mengeluarkan simpanannya itu, sebagai rahmat dari Tuhanmu; dan bukanlah aku melakukannya itu menurut kemahuanku sendiri. Demikian itu adalah tujuan perbuatan-perbuatan yang kamu tidak dapat sabar terhadapnya.”

Apa yang diungkapkan Khidir menunjukkan, pengetahuan baginda tentang sesuatu yang ghaib adalah kurniaan secara langsung daripada Allah s.w.t. Ini adalah bukti bahawa ilmu laduni tidak boleh dipelajari atau diwarisi. Ia dikurniakan terus dari Allah s.w.t. untuk hamba-hamba-Nya yang mempunyai sifat ikhlas hati dan kesabaran yang tinggi. Sesiapa yang mendakwa dapat mempelajari ilmu laduni dari seseorang, sesungguhnya dakwaan tersebut adalah batil.

Demikianlah pelajaran dan pengajaran yang didapati dari kisah pengembaraan nabi Musa dan nabi Khidir. Walaupun kelihatan seolah-olah Musa gagal memperolehi ilmu laduni, sebenarnya tidak begitu. Hasil ujian yang dilalui Musa ketika bersama Khidir, baginda dikurniakan kasyaf yang istimewa iaitu dibukakan hijab pandangan batin sehingga dapat melihat kekurangan diri sendiri seperti rasa besar diri, gopoh, kurang mujahadah, kurang syukur, kurang keyakinan kepada Allah s.w.t. dan pentingkan diri. Hasilnya, Allah s.w.t. kurniakan ilmu laduni yang lebih istimewa secara terus ke dalam hati baginda iaitu sifat tawadduk, sabar, mujahadah, ikhlas, syukur, tawakal, redha dan muhabbah.

Sifat-sifat tersebut lebih penting kerana ia akan mendekatkan diri kita kepada Allah s.w.t. Ia lebih bernilai berbanding mendapat ilmu kasyaf suwari (iaitu kebolehan melihat gambaran sesuatu yang telah atau akan berlaku) yang hanya bersifat duniawi. Inilah yang dianjurkan dalam Islam agar kita dapat mengenal kekurangan diri memperbaikinya agar menjadi hamba Allah yang benar-benar bertakwa.

Berdasarkan kisah ini, para ulama tasawuf mengatakan sekiranya seseorang ingin memperbaiki hati yang rosak dan dipenuhi sifat mazmumah, maka dia perlu mencari seorang guru mursyid yang memahami syariat dan hakikat. Mudah-mudahan guru tersebut dapat membantu kita mengenalpasti kekurangan diri dan membimbing proses pembersihannya (tazkiyah an-Nafs). Apabila hati telah bersih, maka mudahlah cahaya ilmu Allah untuk menyuluh masuk. Apabila cahaya ini sudah menerangi hati, maka ia akan menyuburkan sifat-sifat mahmudah sebagaimana yang dikurniakan kepada nabi Musa a.s. Itulah sebahagian cahaya dari pelbagai cahaya ilmu laduni milik Allah s.w.t yang sebenar.

Oleh Dr. Mahyuddin b. Ismail
Pensyarah Kanan Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan
Universiti Malaysia Pahang.
Majalah Al-Islam 10/2012