Gambar hiasan...
Dalam al-Quran, terdapat satu
kisah pertemuan antara Nabi Musa a.s. dengan Nabi Khidir a.s. untuk mempelajari
ilmu laduni. Rasanya elok jika kisah ini dikupas sebagai pendedahan dan panduan
dalam memahami perkara-perkara aneh dan luarbiasa ini. Kisah ini diabadikan
oleh Allah s.w.t. dalam surah
Al-Kahfi bermula ayat 60-82. Menurut
Imam al-Razi dalam tafsirnya, Nabi Musa a.s. bertanya kepada Allah s.w.t.,
adakah terdapat manusia yang lebih alim dari baginda. Lalu Allah s.w.t.
berfirman bahawa ada seorang hamba yang lebih alim iaitu Khidir. Nabi Musa a.s.
lalu memohon kepada Allah s.w.t. untuk bertemu dan belajar daripada Khidir.
Para ulama berselisih pendapat tentang siapakah Khidir ini. Ada yang mengatakan
beliau adalah wali Allah. Namun majoriti berpendapat bahawa beliau salah
seorang nabi.
PERJALANAN MUSA YANG JAUH UNTUK BERTEMU KHIDIR
Kita mulakan kisah ini dengan
meneliti firman Allah s.w.t. dalam surah
Al-Kahfi, ayat 60, “Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada muridnya: ‘Aku
tidak akan berhenti (berjalan) sebelum sampai di pertemuan dua buah lautan;
atau aku akan terus berjalan sampai bertahun-tahun .”
Ayat di atas menceritakan
beberapa syarat penting untuk bertemu Khidir. Syarat yang pertama ialah
bersungguh-sungguh dan kesabaran yang tinggi. Itulah yang dipamerkan oleh nabi
Musa a.s. Baginda berazam tidak akan berhenti berjalan walaupun terpaksa
bertahun-tahun semata-mata untuk bertemu Khidir. Syarat kedua, sifat merendah dan
tawaduk. Walaupun Musa sudah bergelar rasul dan mempunyai murid dan pengikut
yang ramai, baginda tetap merendah diri untuk berguru dengan seorang nabi yang
bukan bertaraf rasul. Yang ketiga, masa dan lokasi pertemuan adalah rahsia dan
tiada siapa boleh menentukannya kecuali Allah s.w.t. Nabi Musa hanya diperintahkan membawa bekalan
dan berjalan terus sehingga sampai pertemuan antara dua laut yang baginda
sendiri tidak tahu di mana dan bila.
Ketiga-tiga syarat di atas jelas
menunjukkan bahawa untuk bertemu dengan nabi Khidir bukan semudah yang di
sangka . Hatta nabi Musa yang bergelar ulul azmi pun terpaksa menempuh
perjalanan yang jauh dan sukar sebelum diizinkan Allah s.w.t. bertemu dengan
nabi Khidir. Oleh itu, sekiranya ada yang mendakwa selalu dikunjungi nabi
Khidir, maka perhatikanlah tahap kesungguhan dan keazaman yang ada pada orang
itu. Jika ternyata dia seorang yang tiada kesungguhan dan tiada sifat mujahadah
dalam melawan hawa nafsu, maka dakwaan tersebut perlu dinilai semula.
TITIK PERTEMUAN MUSA DAN KHIDIR
SUATU YANG RAHSIA
Kita sambung kisah seterusnya
dengan meneliti firman Allah s.w.t. dalam ayat 61-65, “Maka ketika mereka berdua
sampai di pertemuan dua buah laut itu, maka mereka berdua terlupa akan hal
ikannya, lalu ikan itu melompat mengambil jalannya ke laut itu. Tatkala mereka
berjalan melampaui tempat itu, berkata lah Musa kepada muridnya, “Bawalah ke
mari makanan tengahari kita; sesungguhnya kita merasa letih kerana perjalanan
kita ini.” Muridnya menjawab, “ Tahukah kamu tatkala kita mencari tempat
berlindung di batu tadi, maka sesungguhnya aku lupa (menceritakan tentang) ikan itu dan tidak
adalah yang melupakan aku untuk menceritannya kecuali syaitan dan ikan itu
mengambil jalannya ke laut dengan cara yang aneh sekali.” Musa berkata, “Itulah
(tempat) yang kita cari; lalu keduanya kembali, mengikut jejak mereka semula.
Lalu mereka bertemu dengan seorang hamba di antara hamba-hamba Kami, yang telah
Kami berikan kepadanya rahmat dari sisi Kami, dan yang telah Kami ajarkan
kepadanya ilmu dari sisi Kami.”
Ayat di atas mengisahkan
dugaan-dugaan di hadapi oleh Musa dalam perjalanannya untuk bertemu Khidir.
Yang pertama ialah keletihan yang dialaminya setelah menempuh perjalanan yang
amat jauh. Ketika tertidur akibat kepenatan, berlaku satu peristiwa aneh. Ikan
yang dibawa mereka sebagai bekalan tiba-tiba hidup melompat berenang ke laut.
Peristiwa ini disaksikan oleh muridnya Yushak bin Nun. Malangnya, syaitan telah
menjadikan beliau lupa untuk menceritakan hal tersebut kepada nabi Musa.
Lalu mereka meneruskan perjalanan
yang jauh sehingga nabi Musa sekali lagi keletihan. Kejadian ini menunjukkan
pertemuan dengan nabi Khidir bukan sahaja akan diuji dengan kesusahan dan
kepayahan , malah syaitan akan turut datang untuk menggagalkannya. Oleh itu,
sekiranya seseorang mendakwa sering bertemu dengan nabi Khidir tanpa melalui
sebarang ujian dan dugaan, maka kita perlu bertanya adakah yang datang itu
benar-benar nabi Khidir atau syaitan yang cuba memesongkan kita? Sama-sama kita
fikirkan.
SYARAT UNTUK BELAJAR DARI KHIDIR
Kisah ini diteruskan dengan
firman Allah s.w.t. dalam ayat 66-70, “ Musa berkata kepada hamba Allah itu,
“Bolehkah aku mengikutimu supaya kamu mengajarkan kepadaku ilmu dari apa yang
telah Allah ajarkan kepada kamu?” Jawab hamba Allah itu, “Sesungguhnya kamu
Musa sekali-kali tidak sanggup sabar bersamaku. Dan bagaimana kamu dapat
bersabar atas sesuatu yang kamu belum mempunyai pengetahuan yang cukup tentang
hal itu.” Musa pun menjawab, “Insya-Allah kamu akan mendapati aku seorang yang
sabar dan tidak akan menentang kamu dalam sesuatu urusan pun. Hamba Allah itu
berkata, “Jika kamu mengikutku maka janganlah kamu menanyakan kepadaku tentang
sesuatu apapun, sampai aku sendiri menerangkannya kepadamu.”
Dari ayat di atas, terdapat
perbezaan antara permintaan Musa yang penuh dengan kesopanan dengan jawapan
Khidir yang tegas menyatakan, Musa tidak akan mampu bersabar dengannya. Dialog
ini membuka satu rahsia besar yang menjadi syarat utama untuk seseorang
dikurniakan ilmu laduni iaitu sifat kesabaran yang tinggi dan sifat redha
dengan apa yang terjadi. Sejak awal lagi, Khidir telah mengingatkan Musa akan
hal ini. Jika nabi Musa yang dikurniakan ilmu dari kitab Taurat dan mukjizat
yang hebatpun tidak mampu bersabar, inikan pula kita manusia biasa yang sangat
cetek ilmu. Jika nabi Musa yang
dikurniakan kelebihan dapat berdialog secara terus dengan Allah s.w.t. pun
dikenakan syarat supaya jangan bertanya, bagaimana pula dengan kita yang sering
mempersoalkan ketentuan dan takdir Allah s.w.t. Oleh itu, sekiranya seseorang
mendakwa mempelajari ilmu laduni tanpa dilengkapi sabar dan redha, maka kita
perlu menyiasat adakah yang mengajar itu benar-benar nabi Khidir.
UJIAN PERTAMA : KHIDIR MEROSAKKAN KAPAL
Dilanjutkan kisah ini dengan
firman Allah s.w.t. dalam ayat 71-73: “Maka berjalanlah keduanya, hingga
tatkala keduanya menaiki bahtera lalu Khidir melubanginya. Musa berkata:
“Mengapa kamu melubangi bahtera itu yang akibatnya kamu menenggelamkan penumpang
nya? Sesungguhnya kamu telah berbuat
sesuatu kesalahan yang besar.” Dia (Khidir) berkata, “Bukankah aku telah
berkata, “Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sabar bersama dengan aku.”
Musa berkata, “Janganlah kamu menghukum aku kerana kealpaanku dan janganlah
kamu membebani aku dengan sesuatu kesulitan dalam urusanku.”
Ayat ini membuktikan kebenaran
peringatan awal yang diberikan oleh Khidir kepada Musa. Tindakan aneh Khidir
memecahkan dinding bahtera milik nelayan yang ditumpangi secara percuma itu
menimbulkan persoalan di hati Musa. Sebab itulah Musa telah diberi peringatan
agar berdiam diri dan merahsiakan sahaja apa yang terlintas di hati. Kisah ini
sebenarnya memberi pengajaran bahawa seseorang yang dikurniakan ilmu laduni
perlu bersabar dan menahan diri dari mempersoalkan apatah lagi bercerita
tentang keajaiban dan keanehan ilmu kepada sesiapa. Oleh itu, sekiranya kita
mendakwa memperolehi ilmu laduni dan asyik menceritakannya kepada orang, maka
kita perlu bertanya adakah benar itu ilmu laduni? Sama-sama kita fikirkan.
UJIAN KEDUA : KHIDIR MEMBUNUH KANAK-KANAK
Kisah tersebut disambung Allah
s.w.t. melalui firman-Nya dalam ayat 74-76, “Maka berjalanlah keduanya; hingga
tatkala keduanya berjumpa dengan seorang anak, maka Khidir membunuhnya. Musa
berkata: “Mengapa kamu membunuh jiwa yang bersih itu, bukan kerana dia membunuh
orang lain? Sesungguhnya kamu telah melakukan suatu yang mungkar .” Khidir
berkata, “Bukankah sudah kukatakan kepadamu, bahawa sesungguhnya kamu tidak
akan sabar bersamaku?” Musa berkata, “Jika aku bertanya kepadamu tentang
sesuatu sesudah (kali) ini, maka janganlah engkau memperbolehkan aku
menyertaimu, sesungguhnya kamu sudah cukup memberikan uzur kepadaku.”
Jika tadi Musa diuji oleh Khidir
dengan kerosakan pada harta, sekarang Musa diuji pula dengan pembunuhan yang
dilakukannya ke atas seorang kanak-kanak. Sebagai seorang nabi yang memahami
syariat, Musa dengan lantang bertanya Khidir tentang perkara itu. Lantas Khidir
mengingatkan Musa bahawa dia tidak akan mampu bersabar bersamanya. Begitulah
ujian demi ujian yang harus dilalui oleh seseorang yang ingin mendapatkan ilmu
dan hikmah dari nabi Khidir. Sabar dan redha sebenarnya kunci kepada ilmu
laduni. Justeru, seharusnya kita fikirkan adakah tahap kesabaran kita mencapai
tahap kesabaran nabi Musa yang tergolong dalam salah seorang rasul yang
mempunyai keazaman yang teguh (ulul Azmi)?
UJIAN KETIGA : KHIDIR MEMBAIKI TEMBOK
Allah s.w.t. seterusnya berfirman
dalam ayat 77-78, “Maka keduanya berjalan; hingga tatkala keduanya sampai
kepada penduduk suatu negeri, mereka minta dijamu kepada penduduk negeri itu,
tetapi penduduk negeri itu tidak mahu menjamu mereka, kemudian keduanya
mendapatkan dalam negeri itu dinding rumah yang hampir roboh, maka Khidir
menegakkan dinding itu. Musa berkata, “Jikalau kamu mau, nescaya kamu mengambil
upah untuk itu.” Khidir berkata, “Inilah perpisahan antara aku dengan kamu. Aku
akan memberitahukan kepadamu tujuan perbuatan-perbuatan yang kamu tidak dapat
sabar terhadapnya.”
Dalam kejadian terakhir ini,
kedua-duanya tiba di sebuah desa dalam keadaan tersangat letih, haus dan lapar.
Mereka berdua meminta makanan daripada penduduk desa itu, tetapi penduduk desa
enggan menjamu mereka. Dalam keadaan itu, Khidir berusaha membina semula
dinding sebuah rumah yang hampir roboh di desa itu. Perbuatannya membuatkan
Musa kehairanan lalu bertanya mengapa tidak diambil upah atas kerjanya itu.
Peristiwa ini menunjukkan seorang yang ingin berguru atau bersahabat dengan
Khidir mestilah mempunyai sifat ikhls yang tinggi. Dia seharusnya tidak
menjadikan sikap buruk seseorang sebagai penghalang untuk dia berbakti kepada
orang lain.
Apa yang diharapkannya hanyalah
keredhaan Allah s.w.t., bukannya habuan dunia. Ada ulama mengatakan, pertanyaan
Musa kepada Khidir tentang kejadian pertama (merosakkan bahtera) dan kejadian
kedua (membunuh kanak-kanak) masih boleh dimaafkan oleh Khidir kerana Musa buat
demikian demi kebaikan umat dan berlandaskan hukum syariat. Namun, apabila Musa
mempersoalkan bayaran upah atas kerja yang dilakukan, pertanyaan tersebut
mempunyai unsur keduniaan dan kepentingan diri. Pertanyaan itulah yang menjadi
titik pemisah antara mereka berdua. Oleh itu bagi seseorang yang benar-benar
belajar ilmu laduni dari nabi Khidir, sudah pasti dia dapat memahami dan
mengerti akan makna sebenar ikhlas dan ihsan.
RAHSIA KENAPA KHIDIR MEROSAKKAN
BAHTERA
Bagi menghuraikan rahsia
perbuatan nabi Khidir, Allah s.w.t. berfirman dalam ayat 78-79. “Adapun bahtera
itu adalah kepunyaan orang-orang miskin yang bekerja di laut dan aku sengaja
merosakkan bahtera itu, kerana di hadapan mereka ada seorang raja yang merampas
tiap-tiap bahtera.”
Perbuatan Khidir merosakkan
bahtera nelayan merupakan salah satu cabang ilmu laduni yang berupa kasyaf.
Dengan kurniaan tersebut, Khidir dapat melihat apa yang sedang berlaku di
pelabuhan yang jauh dari lokasi mereka berada. Khidir melihat setiap bahtera
yang sampai di pelabuhan tersebut diperiksa oleh raja. Bahtera-bahtera yang
berkeadaan elok akan dirampas, manakala bahtera yang rosak dan berlubang akan
dibiarkan. Oleh sebab itu, Khidir sengaja melubangi bahtera itu agar raja
tidak akan merampasnya.
Di kalangan ahli sufi, kasyaf ini
dikenali sebagai Toyyu al-Zaman iaitu hijab pandangan zahir dilipat atau
diangkat sehingga seseorang mampu melihat apa yang sedang berlaku di satu
tempat yang jauh dari tempat ia berada. Saidina Umar r.a. pernah dikurniakan
kasyaf ini sehingga beliau dapat melihat tentera Islam yang berada kira-kira
500 km dari Madinah dalam keadaan bahaya. Bagaimanapun, kasyaf sebegini hanya
terjadi sekali sekala dan tidak boleh diprogramkan. Oleh kerana itu, pada malam
Saidina Umar dibunuh, beliau tidak nampak musuh yang hendak menikamnya walaupun
musuh itu berada di belakang beliau.
Sekiranya seseorang dikurniakan
kasyaf sebegini, ia perlu disembunyikan dan tidak boleh dihebahkan. Itulah yang
ditunjukkan oleh nabi Khidir a.s. Baginda tidak menceritakan apa yang
dilihatnya kepada Musa sehingga menyebabkan Musa tidak dapat bersabar atas
tindakkannya itu. Oleh itu, sekiranya seseorang itu mendakwa dikurniakan kasyaf
dan ia dihebah-hebahkan kepada orang lain, itu menandakan kasyaf tersebut bukan
ilmu laduni, tetapi adalah kasyaf dari jin dan syaitan.
RAHSIA KENAPA KHIDIR MEMBUNUH
BUDAK
Allah s.w.t. mengungkapkan rahsia
seterusnya dalam ayat 80-81, “Dan adapun anak itu maka kedua orang tuanya adalah
orang-orang mukmin dan kami khuatir bahawa dia akan mendorong orang tuanya itu
kepada kesesatan dan kekafiran. Dan Kami menghendaki supaya Tuhan mereka
mengganti bagi mereka dengan anak yang lebih baik kesuciannya dari anaknya itu
dan lebih dalam dari kasih sayangnya (kepada ibu dan bapaknya)”
Dalam kejadian ini, nabi Khidir
dikurniakan kasyaf sehingga dapat melihat apa yang akan berlaku di masa lepas
dan masa hadapan. Ini dikenali sebagai Toyyu al-Zaman iaitu hijab pandangan
zahir dilipat atau diangkat sehingga boleh melihat merentasi masa. Menurut Imam
al-Khazin dalam kitabnya Lubab al-Ta’wil fi Ma’ni Al-Tanzil, budak yang dibunuh
nabi Khidir a.s. bernama Haisur. Ibu dan bapanya adalah orang yang soleh.
Dengan izin Allah s.w.t. Khidir dapat melihat apa yang telah dilakukan oleh
budak ini pada masa lepas dan masa akan datang. Budak ini selalu mencuri dan
apabila dewasa, dia akan menjadi kafir dan memaksa kedua-dua orang tuanya
kepada kekufuran. Peristiwa ini menunjukkan, Khidir a.s. adalah seorang yang
sangat berhati-hati dalam soal iman dan akidah. Baginda tidak akan membiarkan
seseorang memaksa seorang yang lain melakukan kekufuran. Oleh itu sekiranya
seorang yang mendakwa dirinya dikurniakan ilmu laduni dengan tujuan untuk bermegah dan menunjukkan
kehebatan diri, sudah pasti orang itu akan dihukum oleh nabi Khidir lantaran
perbuatan bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk itu sebahagian dari perbuatan
kufur.
RAHSIA KENAPA KHIDIR MEMBINA
SEMULA TEMBOK
Berkenaan rahsia tembok, Allah
s.w.t. berfirman dalam ayat 82, “Adapun dinding rumah itu adalah kepunyaan anak
yatim di kota itu, dan di bawahnya ada harta benda simpanan bagi mereka berdua,
sedang ayahnya seseorang yang soleh, maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka
sampai kepada kedewasaannya dan mengeluarkan simpanannya itu, sebagai rahmat
dari Tuhanmu; dan bukanlah aku melakukannya itu menurut kemahuanku sendiri.
Demikian itu adalah tujuan perbuatan-perbuatan yang kamu tidak dapat sabar
terhadapnya.”
Apa yang diungkapkan Khidir
menunjukkan, pengetahuan baginda tentang sesuatu yang ghaib adalah kurniaan
secara langsung daripada Allah s.w.t. Ini adalah bukti bahawa ilmu laduni tidak
boleh dipelajari atau diwarisi. Ia dikurniakan terus dari Allah s.w.t. untuk
hamba-hamba-Nya yang mempunyai sifat ikhlas hati dan kesabaran yang tinggi. Sesiapa
yang mendakwa dapat mempelajari ilmu laduni dari seseorang, sesungguhnya
dakwaan tersebut adalah batil.
Demikianlah pelajaran dan
pengajaran yang didapati dari kisah pengembaraan nabi Musa dan nabi Khidir. Walaupun
kelihatan seolah-olah Musa gagal memperolehi ilmu laduni, sebenarnya tidak
begitu. Hasil ujian yang dilalui Musa ketika bersama Khidir, baginda
dikurniakan kasyaf yang istimewa iaitu dibukakan hijab pandangan batin sehingga
dapat melihat kekurangan diri sendiri seperti rasa besar diri, gopoh, kurang
mujahadah, kurang syukur, kurang keyakinan kepada Allah s.w.t. dan pentingkan
diri. Hasilnya, Allah s.w.t. kurniakan ilmu laduni yang lebih istimewa secara
terus ke dalam hati baginda iaitu sifat tawadduk, sabar, mujahadah, ikhlas, syukur,
tawakal, redha dan muhabbah.
Sifat-sifat tersebut lebih
penting kerana ia akan mendekatkan diri kita kepada Allah s.w.t. Ia lebih
bernilai berbanding mendapat ilmu kasyaf suwari (iaitu kebolehan melihat
gambaran sesuatu yang telah atau akan berlaku) yang hanya bersifat duniawi.
Inilah yang dianjurkan dalam Islam agar kita dapat mengenal kekurangan diri
memperbaikinya agar menjadi hamba Allah yang benar-benar bertakwa.
Berdasarkan kisah ini, para ulama
tasawuf mengatakan sekiranya seseorang ingin memperbaiki hati yang rosak dan
dipenuhi sifat mazmumah, maka dia perlu mencari seorang guru mursyid yang
memahami syariat dan hakikat. Mudah-mudahan guru tersebut dapat membantu kita
mengenalpasti kekurangan diri dan membimbing proses pembersihannya (tazkiyah
an-Nafs). Apabila hati telah bersih, maka mudahlah cahaya ilmu Allah untuk
menyuluh masuk. Apabila cahaya ini sudah menerangi hati, maka ia akan
menyuburkan sifat-sifat mahmudah sebagaimana yang dikurniakan kepada nabi Musa
a.s. Itulah sebahagian cahaya dari pelbagai cahaya ilmu laduni milik Allah
s.w.t yang sebenar.
Oleh Dr. Mahyuddin b. Ismail
Pensyarah Kanan Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan
Universiti Malaysia Pahang.
Universiti Malaysia Pahang.
Majalah Al-Islam 10/2012
Terbaik
ReplyDelete