Monday, August 4, 2014

PAKU KARAT BOLEH LUMPUHKAN BADAN...


Kecederaan akibat terpijak paku atau apa saja objek tajam yang berkarat tidak boleh dipandang ringan. Tanpa rawatan yang sesuai, ia bukan sahaja membawa kemudaratan serius tetapi juga boleh membawa maut.

Sekalipun paku atau objek tajam yang dipijak itu bersih dan tidak berkarat, tetapi kesannya tetap membahayakan. Paku itu mungkin terdedah kepada tanah, habuk atau najis yang boleh memudaratkan kesihatan jika pengubatan diabaikan. Kecederaan akibat terpijak paku boleh membawa kepada berbagai-bagai komplikasi yang mengancam nyawa. Ia membawa risiko diserang penyakit tetanus dan juga infeksi di bahagian kaki termasuk gangrene yang menyebabkan kaki terpaksa dipotong.

Menurut Dr. Hyzan Mohd. Yusuf, pensyarah dan pakar bedah ortopedik dan trauma dari Jabatan Ortopedik dan Traumatologi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, kecederaan akibat terpijak paku berkarat mendedahkan seseorang itu kepada sejenis organisme berbahaya dikenali sebagai Clostridium tetani yang membawa kepada tetanus.

 

Penyakit itu biasanya menyerang dalam tempoh empat hingga empat belas hari dan menyebabkan seseorang itu mengalami gangguan saraf dan kekejangan otot, bermula di bahagian muka sebelum merebak ke leher, badan, tangan dan kaki.

Clostridium tetani, yang juga terdapat pada serpihan besi, jarum dan objek-objek lain yang berkarat atau terdedah pada tanah, debu atau najis, masuk ke dalam tubuh manusia melalui luka-luka kecil. Ia mengeluarkan sejenis toksin dikenali sebagai exotoxin tetanospasmin dan exotoxin tetanolysin yang menyerang saraf dan mengakibatkan kekejangan otot.

Menurut Dr. Hyzan, mereka yang diserang tetanus biasanya berkeadaan gelisah, sukar mengunyah makanan, rahang terkunci atau apa yang biasa disebut terkancing gigi dan mengalami kontraksi otot-otot muka menyebabkan mulut berkeadaan herot dikenali sebagai risus sardonicus.

Di samping itu, pesakit tetanus juga menghadapi risiko diserang sawan dan sakit-sakit otot. Jika pengubatan terus diabaikan atau kaedah rawatan tidak sempurna, gangguan pernafasan akan berlaku berpunca daripada kekejangan otot di bahagian pernafasan dan akhirnya membawa maut.

Selain daripada tetanus, mereka yang terpijak paku berkarat juga terdedah pada infeksi di bahagian kaki. Kecederaan seumpama itu boleh menyebabkan tapak kaki bernanah.


Tanpa rawatan yang sesuai, penanahan boleh merebak ke bahagian tulang dikenali sebagai osteomyelitis, satu komplikasi yang biasanya berlaku dalam jangka panjang dan mengambil masa bertahun-tahun lamanya untuk diubati.

Tanda-tanda awalnya ialah bahagian yang luka terasa sakit, bengkak dan bernanah hingga menyebabkan seseorang itu demam. Rawatan segera melibatkan pembedahan memotong tulang yang rosak merupakan satu-satunya cara untuk mengubatinya.

Kesan akibat terpijak paku berkarat adalah lebih teruk jika pesakit menghidap penyakit diabetes kerana komplikasi akibat terlebih gula dalam darah menyebabkan pesakit tidak berasa sakit walaupun kakinya luka teruk.

Keadaan itu boleh membawa kepada gangrene, iaitu kematian di bahagian kaki. Infeksi di tapak kaki menyebabkan luka cepat bernanah dan melarat ke bahagian atas hingga mengganggu fungsi-fungsi saluran darah. Kurang daya tahan tubuh badan akibat diabetes juga menyebabkan luka cepat merebak tetapi tidak terasa sakit kerana kesemua tisu di bahagian kaki mati.

Kaki akhirnya menjadi hitam dan terpaksa dipotong demi menyelamatkan nyawa. Ia dipotong sama ada di bahagian bawah atau di atas lutut bagi mengelakkan infeksi merebak ke organ-organ penting lain seperti hati, pundi ginjal, buah pinggang dan jantung.

Satu lagi komplikasi berbahaya akibat kecederaan terpijak paku berkarat ialah gas gangrene, iaitu sejenis jangkitan yang kerapnya berlaku di kalangan pesakit-pesakit diabetes berpunca daripada sejenis organisme dipanggil Clostridium welchii.

Jangkitan di tapak kaki cepat merebak ke paha dalam masa satu atau dua hari sahaja dan menjadi punca penanahan otot dikenali sebagai myonecrosis. Pesakit yang diserang gas gangrene biasanya demam panas dan tidak sedarkan diri. Mereka juga mengalami dehidrasi serta ketidakseimbangan elektrolit atau garam dalam tubuh badan.


Satu-satunya cara untuk mengubati penyakit itu ialah dengan melakukan pembedahan dan memberi ubat antibiotik. Bagi kes-kes yang ekstrem, pesakit terpaksa menjalani rawatan rapi di wad rawatan intensif. Tanpa rawatan yang sesuai, komplikasi yang lebih teruk boleh berlaku seperti koma dan pesakit akhirnya meninggal dunia.

Insiden terpijak paku berkarat boleh berlaku di mana-mana sama ada di dalam atau di luar rumah, di pejabat, di tapak-tapak pembinaan atau tempat pembuangan sampah atau di taman permainan atau perumahan yang baru dibuka.

Dr. Hyzan menekankan betapa pentingnya setiap individu memakai kasut setiap kali berada di luar rumah demi keselamatan diri sendiri.

"Luka akibat terpijak paku berkarat mungkin nampak kecil pada mata kasar tetapi kesannya boleh mengancam nyawa," katanya.

Sumber : Mastika, di tulis oleh Pn. Azizah Ismail...

30 comments:

  1. assalam. tumpang tanya ye. saya masih muda belasan tahun, saya terpijak besi karat yang halus menyebabkan kaki saya luka, mungkin dalam, luka kecil menyebabkan kaki saya bengkak dan sakit pada bhgian jari bila disentuh, apa yang perlu saya buat? dah dapatkan rawatan di hospital tapi masih membengkak

    ReplyDelete
    Replies
    1. Assalam tn.
      Saya petik perenggan ke empat dari bawah artikel di atas. Tn dinasihatkan segera buat rawatan ulangan jika masih tidak sembuh. Semoga urusan tn dipermudahkan. In Shaa Allah. Amin

      'Satu-satunya cara untuk mengubati penyakit itu ialah dengan melakukan pembedahan dan memberi ubat antibiotik. Bagi kes-kes yang ekstrem, pesakit terpaksa menjalani rawatan rapi di wad rawatan intensif. Tanpa rawatan yang sesuai, komplikasi yang lebih teruk boleh berlaku seperti koma dan pesakit akhirnya meninggal dunia.'

      Delete
    2. Rawatan ulangan perlu dibuat jika masih belum sembuh.

      Delete
  2. Assalamualaikum ..saya nk tanya, kalau kita pijak benda tajam ,tapi tak brp karat sgt dkt bengkel ,bahaya juga atau tak ya? Dia berdenyut ,darah bnyk keluar.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Setiap kecederaan yang kita alami mesti pergi ke hospital jumpa doktor. Kalau ikut artikel ni jika kita terkena benda tajam terutama besi yang berkarat risikonya amat tinggi jika tidak dirawat dengan segera.

      Delete
  3. Assalam....saya terpijak paku di tapak kaki...ada kah kena cucuk

    ReplyDelete
    Replies
    1. Biasanya doktor akan beri suntikan bagi mencegah ia dari terus melarat.

      Delete
  4. Kalau terpijak paku bekrat yg berlapis dengan selipar. Luka tidak berapa teruk tpi kaki ada rsa lenguh ,nak buat rawatan jugak je

    ReplyDelete
  5. Rawatan segera perlu dibuat walaupun kita rasa ia tak berapa teruk. Nasihat doktor sangat perlu terutama yang berkaitan kecederaan akibat tertusuk benda tajam yang berkarat.

    ReplyDelete
  6. sudah seminggu lebih saya terluka besi berkarat di lengan,terasa sakit urat dan otot,apa yang patut saya buat?

    ReplyDelete
    Replies
    1. En. Hanif tak boleh biarkan dan perlu berjumpa doktor dengan segera.

      Delete
    2. Assalam nk tanya, apa nama suntikan yg kena bagi kalau terpijak paku berkarat,n tolong translatekan

      Delete
  7. Kalau saya tercucuk paku yg dah karat kat tapak tangan and luka dia sikit je.. kene jumpa doktor iuga ke?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Lebih baik segera jumpa doktor sbb doktor lebih tau apa yg perlu dibuat

      Delete
  8. Assalamualaikum , sebelum tu nk tanya la kalau situasi mcm saya skrg ni, tadi saya tekena pisau halus yg bekarat sikit, mcm tercocok sikit pada jadi n luka halus, adakah saya patut buat suntikan melalui doktor?

    ReplyDelete
  9. Assalamualaikum,adakah terpijak paku memberikan kesan selepas 10 tahun??

    ReplyDelete
    Replies
    1. Assalamualaikum...
      Jika diberi rawatan segera dan kuman2 jangkitan dapat dibasmikan In Shaa Allah pesakit akan sembuh seperti sediakala dalam beberapa hari sahaja selepas rawatan...

      Delete
  10. Asalam, ayah saya petang tadi terpijak paku karat walaupun sedikit. Hanya berdarah sedikit sahaja, perlukan berjumpa doktor?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Assalamualaikum saudara/saudari.
      Sepatutnya tidak menunggu lama jika terpijak paku karat tetapi terus sahaja dibawa berjumpa doktor kerana paku karat sangat membahayakan kesihatan.

      Delete
  11. Assalamuaikum saya nak tanye adakah boleh membawak pada jangkitan kuman bila pisau yg karat terkena kat perut akibat samun Dan adakah akan mengakibatkan seseorg pesakut itu maut....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Assalamualaikum. Yer...jika tidak dirawat segera, pisau karat tersebut boleh memberi kesan jangkapanjang terhadap kesihatan
      sesiapa sahaja yang mengalaminya.

      Delete
  12. Saya terpijak paku karat ketika membersihkan belakang rumah.. memang tiada darah apa2 dan saya tak tahu perlu dapatkan suntikan selepas itu beberapa bln selepas itu kaki saya melepuh dibtempat tertusuk paku baru saya google dan perlu ke doktor.. tadi saya ke klinik swasta dapatkan suntikan dan diberi ubat antibiotik.. doktor kata suntikan sepatutnya 24jam selepas terkena paku.. saya bimbang, doktor jgk mengatakan mungkin akan ada kesan selepas 5 atau 10 tahun kemudian..yaAllah terus saya jadi down.. teringakatkan anak2 masih kecil.. doktor boleh bantu saya apa lagi rawatan susulan yg perlu saya ambil atau ape2 langkah

    ReplyDelete
  13. Pagi tadi Sy terpijak paku berkarat semasa berada di kebun sy terus basuh dgn air pada tempat luka tersebut selama beberapa minit..awalnya tiada ape2 perubahan atau kesakitan di akibat tusukan paku tersebut tetapi bermula petang bahagian lutut sy terasa sakit bila bergerak..adakah sakit dibahagian lutut ini berpuunca dri tusukan paku berkarat tersebut

    ReplyDelete
  14. Assalamu'alaikum ijin copas terimakasih

    ReplyDelete
  15. Salam..lengan terluka disebabkan bnda berkarat..ad rasa lenguh pada otot...perlukan rawatan atau tidak ye?mksd sy drh mngalir kurg baik..

    ReplyDelete
  16. Anak saya umur 10 tahun..Hari ni Hari 3 dia dapat rawatan cucuk Di lengan kerana terpijak paku berkarat..tempat dia cucuk jadi bengkak besar Dan kemerahan..pada.hari pertama cucuk Doktor bagi ubat tahan sakit Dan antibotik.hari kedua tengok lengan tempat cucuk jadi merah Dan bengkak..Hari ketiga saya bawa jumpa Doktor tersebut katanya..dalam 100 orang kemungkinan seorang Akan jadi mcm ni.katanya..ubat to masuk ke otot...so Hari ni Doktor bg sapu bengkak dgn ubat kecut bengkak..katanya kalu tak surut 2 hingga 3 Hari perlu jumpa dia balik..saya seorang ibu sangat risau

    ReplyDelete
    Replies
    1. Subhanallah...tak sangka sampai jadi mcm tu. Harap pn Aida bersabar dan sentiasa pantau anak pn utk lihat perkembangannya dan ikutlah nasihat doktor. Mudah2an anak pn kembali pulih sprt sediakala. In Shaa Allah...

      Delete
  17. Assalamualaikum.saya nak tanya.mak saya tercucuk paku karat dan seorang pesakit diabetes.beliau dah cucuk dan makan ubat antibiotik tetapi setelah 3 hari tercucuk paku tersebut.tetapi kaki beliau masih bengkak,sakit dan bernanah.beliau juga demam.adakah beliau terkena infeksi dan apa yang harus saya lakukan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau ikut dari citer tn memang mak tn ada simpton tu. Jgn tggu lgi terus pergi ke hospital utk dptkan rawatan segera. Moga Allah memberi kesembuhan segera kpd ibu tn.

      Delete