Wednesday, August 6, 2014

PAK RAIS GUNA TUKUL BESI RAWAT SAKIT GIGI...


Seorang wanita berguling-guling mengerang kesakitan di ruang tamu rumahnya. Dia menahan azab yang amat sangat. Telah seminggu gigi gerahamnya berlubang.

"Aduh bang, tolonglah, sakit benar gigi ni! Dah tak tahan lagi, berdenyut-denyut," ngomel wanita itu. Kedua-dua belah tangannya menekup pipi. Mukanya berkerut-kerut dan kadangkala mengeluh menahan sengsara.

Sejak beberapa hari lalu, si isteri telah mula sakit tetapi tidaklah seteruk hari ini. Kasihan melihat isterinya, si suami mengambil keputusan menemui seorang dukun sakit gigi berdekatan rumahnya di Gemas, Negeri Sembilan. Tambahan pula di kampung itu kemudahan klinik gigi hanya seminggu sekali. Tiada pilihan, terpaksalah menemui dukun itu.

"Abang ke rumah Pak Rais," kata si suami lantas menunggang motosikalnya menuju tempat tinggal dukun sakit gigi itu yang hanya beberapa kilometer dari rumahnya.

"Pak, orang rumah saya sakit gigi. Teruk nampaknya. Tengah berguling-guling di rumah tu," kata si suami selepas salam yang diberi disambut Pak Rais.

"Dah berapa lama?" tanya Pak Rais.

"Seminggu... gigi tu berlubang. Tapi hari ini yang teruk sangat sakitnya sampai meraung-raung," kata lelaki itu lagi.

Pak Rais terus bertanyakan nama penuh isterinya. Suami itu pun memberikannya.

"Tunggu ya. Aku ke dalam sekejap," kata Pak Rais kepada lelaki itu.

Beberapa minit kemudian dia keluar semula dengan membawa sekeping papan selebar 10 cm x 20 cm. Di tangan sebelah lagi dipegangnya sebatang paku lebih kurang 10 sentimeter panjang bersama tukul besi. Di atas papan itu tercacak beberapa batang paku lain. Ada di antaranya telah pun berkarat.

Pak Rais duduk membetulkan sila. Dia meletakkan papan itu betul-betul di depannya. Tangan kiri memegang sebatang paku sementara di tangan kanan tukul besi.

Dengan mulut terkumat-kamit, Pak Rais mengetuk paku di tangan dengan tukul besi tiga kali. Tok! Tok! Tok! Paku melekat dan tercacak pada papan.

"Sekarang balik, isteri kamu tak ada apa-apa. Tapi papan dan kayu ni biarkan di sini sampai dia sembuh betul. Kalau dah baik nanti cakap dengan aku, boleh dicabut pakunya," kata Pak Rais kepada lelaki itu.

Selepas mengucapkan terima kasih, lelaki itu bergegas ke rumah. Setibanya, dia terperanjat mendapati isterinya telah pulih malah boleh melakukan kerja harian seperti biasa.

"Kaedah yang pakcik gunakan ini dapat menghilangkan sakit gigi dengan cepat. Lebih kurang setengah jam saja," kata Pak Rais ketika ditemui baru-baru ini. Aneh sungguh caranya mengubat sakit gigi.

Kata Pak Rais, dia membayangkan papan tempat paku dicacak itu adalah gigi pesakit dan paku pula adalah 'pembunuh' ulat yang terdapat dalam lubang gigi. Menurut beliau lagi, dia mempelajari cara-cara mengubati sakit gigi dari Tok Batin suku kaum Orang Asli di Pahang dan Negeri Sembilan.


"Semasa belajar tu, Tok Batin beritahu pakcik supaya makrifatkan (membayangkan) papan itu sebagai gigi pesakit. Pakcik juga dinasihatkan supaya membayangkan pesakit itu sedang menganga ketika paku diketuk.

"Kemudian pakcik bayangkan yang pakcik ketuk tu adalah lubang gigi yang ada 'ulat'. Ketuk supaya 'ulat' tu mati. Ketuk ni sebagai syarat saja. Tapi pak cik kena tahu dulu nama penuh pesakit," katanya lagi.

Menurut Pak Rais lagi, telah beribu-ribu pesakit yang sembuh melalui cara rawatannya itu. Tapi apabila diminta melihat papan-papan lama yang dipenuhi paku, Pak Rais hanya tersenyum.

"Ini saja yang ada. Selepas pesakit sembuh papan tu tak ada guna lagi. Lalu isteri pak cik buat pelapik siang ikan," katanya terkekeh-kekeh ketawa kelucuan.


Menurut Pak Rais selepas dirawat pesakit tidak akan diserang sakit gigi lagi walaupun berlubang. "Biasalah gigi luruh apabila umur meningkat," tambah Pak Rais.

Tentang pantang larang Pak Rais berkata, "sikit saja..., cuma jangan sekali-kali dicabut paku yang tercacak pada papan sebelum sakit gigi tu sembuh. Kalau dah baik, cabutlah, tak apa-apa," katanya ringkas.

Pak Rais berkata, jika dicabut paku itu sebelum sakitnya sembuh, gigi yang sakit itu akan lebih parah. Kerana itulah Pak Rais tidak mengizinkan pesakit membawa pulang papan itu.

"Dulu Pak Rais bagi bawa balik, tapi sekarang tak lagi. Takut kalau paku tu tertanggal, bertambah teruk sakitnya, pak cik juga yang susah," katanya lagi.

Pak Rais lalu menceritakan kisah bagaimana seorang pesakitnya yang meminta membawa balik papan itu dan dengan tidak sengaja paku pada papan itu tertanggal.

"Pesakit tu ingin sangat menyimpan papan yang berpaku itu. Mulanya pakcik tak mahu beri tapi dia mendesak. Dengan hati yang berat pak cik bagilah," katanya.

Bagaimanapun beberapa hari selepas itu Pak Rais didatangi suami pesakit itu menjemputnya ke rumah. "Sakit gigi isteri saya tambah parah," katanya.

Pak Rais kaget mendengarnya. Dia bergegas ke rumah wanita itu. Terperanjat besar dia apabila melihat pesakit itu menonggeng-nonggeng menahan sakit.

Apabila ditanya, wanita itu memberitahu Pak Rais, papan yang berpaku itu terjatuh secara tak sengaja dan pakunya tercabut.

"Papan tu dia letak atas almari, ingatkan selamat, tak ada orang ambil. Tapi entah macam mana, pagi tu masa dia nak cari mancis atas almari. Ketika meraba-raba itulah papan berpaku itu jatuh dan pakunya tercabut," katanya lagi.

Sejak itu Pak Rais amat berhati-hati mengenai papan dan paku yang digunakannya. Dia akan menyimpannya baik-baik dan hanya menanggalkan paku itu apabila mendapat tahu pesakitnya telah betul-betul sembuh.

Sehingga kini telah lebih 30 tahun Pak Rais merawat beribu-ribu orang yang menderita sakit gigi di sekitar Gemas melalui kaedah itu.

"Insya-Allah boleh baik. Setakat ini mereka puas hati dengan khidmat saya," kata Pak Rais sambil tersenyum. —

Artikel oleh Khairunnisa Sulaiman. 
Foto: Jaffri Rahman. 
Mastika

10 comments:

  1. salam.. mcm mna nk cari/contact pak rais ni ye? sbb anak saya kerap skt gigi tp dktr xbg cbut sbb bru 3thn..terima kasih

    ReplyDelete
    Replies
    1. Assalam En. Faizal. Cuba pergi ke pekan Gemas dan bertanyakan tentang Pak Rais. Agaknya mungkin ramai yg kenal beliau kerana kepakarannya mencabut gigi dgn kaedah tersebut...

      Delete
  2. salam en.ahmad. kebanyakan penduduk disekitar gemas tidak mengenali beliau. cuma ada seorng makcik yg berniaga mknn berhampiran mahkamah mejistret gemas telah mengatakn bahawa beliau telah berpindah ke kelantan..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Assalam En. Faizal. Terima kasih kerana berkongsi maklumat dalam blog ini. Nampaknya En. Faizal bersungguh2 hendak mencari Pak Rais. Kepada sesiapa yang mengenalinya pohon hubungi saya seperti alamat email yg diberikan untuk disampaikan kepada En. Faizal yg berminat utk mendapatkan khidmatnya. Terima kasih...

      Delete
  3. salam boleh dapatkan alamat atau no phone pakcik ni tak

    ReplyDelete
  4. Salam.. ade masalah sakit gigi nk khidmat ni bole hubungi 0174849454 iklas bole bntu paku gigi.. sy pon x percaya dulu tp setelah sembuh lepas paku gigi terus belajar.. tq

    ReplyDelete
  5. Assalammualaikum tuan
    Mohon dikongsikan no tel hamba Allah berkenaan, sya skrg sakit gigi

    Moga Allah merahmati semua

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wassalam Linda. Pak Rais ni dah tak tahu di mana dia sekarang. Cuba telefon no 0174849454 spt cadangan Lin Lina dalam komen beliau di atas.

      Delete
  6. Sesiapa yang ingin dapat rawatan sakit gigi buleh hubungi 0194934301 cikgu shah

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kpd mereka yg terbaca komen tn, boleh la dorang contact nnti jika berhajat. Tq

      Delete