Monday, March 7, 2016

KERANA SEEKOR KUCING...

Gambar sekadar hiasan...

Para sahabat pernah mengajukan pertanyaan kepada Rasulullah s.a.w. "Wahai Rasulullah, apakah kami akan mendapat pahala jika berbuat baik kepada haiwan?" Lalu Rasulullah menjawab, "Ya, (berbuat baik) kepada semua makhluk bernyawa akan mendapatkan pahala." (Hadis riwayat al-Bukhari).

Setelah lama berkahwin, doa seorang lelaki agar dia dan isterinya mendapatkan cahaya mata dimakbulkan. Lahirnya seorang putera adalah perkara yang paling menggembirakan dalam hidup mereka.

Walaupun tidak berharta, hari-hari yang dilalui dipenuhi kebahagiaan. Mereka tatang putera itu dengan penuh kasih sayang. Tidak putus-putus lelaki itu bersyukur kepada Allah s.w.t atas kehadiran permata hati mereka.

Akan tetapi, kegembiraan mereka mula diuji. Anak yang baru berusia setahun itu tiba-tiba jatuh sakit. Pelbagai ikhtiar cuba dilakukan. Bermacam-macam jenis perubatan mereka cuba. Sayangnya, keadaan anak tunggal mereka bukan semakin baik, bahkan kian buruk.

Pasangan itu jadi tidak keruan. Wang simpanan telah habis untuk mengubati anak mereka. Hidup mereka dirundung kesedihan. Tiada lagi tawa gembira seperti sebelumnya.

"Ya Allah, Kau berilah kekuatan untuk kami menghadapi ujian ini. Sesungguhnya, kami sudah tidak berdaya memberikan rawatan untuk anak kami yang masih kecil," rintih lelaki itu dalam doanya setiap hari.

Anak mereka semakin kritikal. Suhu badannya meningkat. Badannya lembik, tidak bermaya. "Keadaan anak kecil ini sangat parah. Tidak ada apa yang dapat saya bantu. Jika suhu badannya tidak juga turun menjelang pagi esok, kemungkinan besar hayatnya tak panjang," beritahu seorang tabib. Dia juga buntu bagaimana harus merawat anak kecil itu. Sudah pelbagai ubat diberi, tetapi tiada perubahan.

Malam menjelma, lelaki itu tidak mammpu memejamkan mata. Dia berduka. Hanya mampu menatap sayu wajah si isteri yang berlinangan air mata di sebelah anak tunggal mereka.

Bagi menenangkan hati, lelaki itu mengambil wuduk dan mengerjakan solat. Mengadu kepada yang Maha Esa keperitan hatinya, meminta diberikan jalan terbaik dalam menghadapi dugaan ini.

Selesai solat, dia mengambil keputusan untuk keluar rumah. Lelaki itu mahu berjalan-jalan seketika bagi menenangkan hati, sambil mencari jalan bagaimana hendak merawat anaknya.

Sewaktu sedang berjalan tanpa arah tujuan di malam hari, sayup-sayup telinganya terdengar sebuah ceramah yang sedang diadakan di sebuah surau.

"Rasulullah pernah bersabda, ubatilah orang yang sakit di antara kamu dengan sedekah..." (Hadis riwayat at-Thabrani dan Baihaqi).

Kata-kata itu menusuk jauh ke dalam sanubarinya. Sedekah? ]ika aku hendak bersedekah, kepada siapa? Bagaimana hendak melakukannya jika kehidupanku juga sukar? Pertanyaan itu menusuk ke dalam kalbunya.

Dengan rasa kecewa, dia berjalan pulang. Wajahnya muram. Sebaik sampai di pintu rumah, dia terdengar bunyi seekor kucing. Entah dari mana datangnya, haiwan kecil itu terus mengiau, seakan memberitahu ia sedang kelaparan.

Lelaki itu masuk ke dalam rumah menuju dapur. Hanya ada sedikit roti dan susu masih berbaki. Lalu dibawanya keluar makanan itu dan diletakkan di hadapan kucing tersebut. Dengan lahapnya haiwan itu menjamah rezeki yang dihidangkan. Sesekali, ia mengiau seakan mengucapkan terima kasih kepada lelaki itu.

Ketika Subuh menjelang, lelaki itu dikejutkan oleh isterinya. Ada sedikit riak ceria di wajah si isteri.

"Tadi aku bermimpi. Aku sedang mendakap anak kita di sebuah tempat yang indah. Tiba-tiba datang seekor burung hitam yang besar dari langit. la cuba menyambar anak kita. Aku jadi takut. Tidak tahu apa harus dilakukan.

"Tiba-tiba, muncul seekor kucing kecil. la menyerang burung itu tanpa henti. Walaupun ia cedera dan aku fikir, tidak mungkin kucing itu akan memenanginya. Tetapi, ia langsung tidak berganjak daripada cuba mempertahankan kami berdua. la terus menyerang hingga akhirnya burung itu terbang jauh dan menghilang.



"Apabila aku terbangun tadi, aku melihat putera kita sudah mula membuka mata. Bibirnya memanggil ibu. Bahkan, suhu badannya juga sudah mula turun," cerita isterinya.

Lelaki itu lantas merasa tubuh anaknya. Benar, tidak lagi panas seperti sebelumnya. Lelaki itu segera keluar rumah. Matanya melilau mencari kucing yang diberi makan malam tadi. Tapi, tidak kelihatan di mana-mana.

Menjelang siang, anaknya sudah mula mahu makan dan menyusu. Beberapa hari kemudian, kesihatan anak itu kian baik dan akhirnya sembuh.

Berjuraian air mata lelaki itu bermunajat. Dia tidak tahu, apakah kerana sedekahnya yang tidak seberapa terhadap kucing itu menyebabkan anaknya semakin sihat. Yang pasti, air matanya terus berjuraian tanda bersyukur ke hadrat Allah melihat anaknya kembali pulih.

Sunday, March 6, 2016

KISAH SEORANG PAKCIK BUTA...

Gambar sekadar hiasan...

SEORANG lelaki jatuh cinta dengan seorang wanita cantik. Bukan saja mempunyai raut wajah menawan, bahkan sifat wanita itu yang rajin beribadah amat memikat hatinya. Maka, berkahwinlah mereka berdua.

Lelaki itu berasa beruntung dianugerahkan seorang isteri jelita, taat perintah agama dan patuh kepada suami. Mereka hidup bahagia. Lelaki itu merupakan seorang pedagang. Apabila keluar berniaga, isterinya akan menanti kepulangannya di rumah.

Suatu hari, lelaki itu keluar berdagang ke kota yang agak jauh selama beberapa purnama. Sepeninggalannya, berlaku serangan wabak penyakit menular di kawasan rumah mereka. Isterinya turut terkena penyakit itu.

Akibatnya, wajah si isteri yang dahulunya cantik bertukar menjadi buruk. Kulit hitam, mengelupas. Keadaan itu masih belum diketahui oleh suaminya. Dia amat risau apabila suaminya pulang nanti jika melihat wajahnya yang dahulu bak bidadari kini sudah bertukar rupa menjadi hodoh.

Setelah beberapa purnama, si suami pulang ke rumah. Dalam perjalanan,dia mendapat khabar berita tentang wabak penyakit yang melanda kampung halamannya.

Namun, sebelum sampai ke rumah, beliau kemalangan. Lelaki itu terjatuh dan kepalanya terhentak ke batu. Akibatnya, matanya tidak dapat melihat lagi.

Hari berganti hari. Masa berlalu. Mereka suami isteri hidup bahagia dan kasih sayang mereka bertambah erat dari hari ke sehari. Si isteri tidak lagi gusar tentang rupanya yang hodoh kerana mata si suami tidak lagi dapat melihat. Cinta mereka terus utuh.

Apabila sudah tua, ternyata si isteri pergi dulu menyambut seruan llahi. Lelaki itu amat sedih sewaktu berada di tanah perkuburan, melihat satu-satunya wanita yang dicintainya dikebumikan. Lama dia menyendiri di situ, mengenang memori manis saat mereka hidup berdua.

Setelah itu, dia bangun dan berjalan hendak pulang ke rumah. Di pertengahan jalan, seorang pemuda menghampiri lelaki itu, 

"Pak cik hendak ke mana?"

"Aku hendak pulang ke rumah," jawabnya.

"Kalau begitu, biarlah saya tolong hantarkan," pelawa si pemuda.

"Tak mengapa. Aku boleh pulang sendiri," kata lelaki itu tersenyum.

Pemuda itu kehairanan dan bertanya, "Kan pak cik buta, tak nampak jalan. Bagaimana pak cik hendak pulang? Sebelum ini, saya lihat setiap hari arwah mak cik akan memimpin pak cik ke mana saja pergi. Bukan kah begitu?"

Dalam senyum pahit bersisa, lelaki tua itu menjawab, 

"Sebenarnya, aku bukan buta. Sudah lama aku boleh melihat kembali. Tapi, aku sengaja pura-pura buta. Semuanya aku lakukan kerana tidak mahu hati isteriku tersentuh dan berasa sedih apabila tahu aku boleh melihat wajahnya. Aku tidak mahu dia menangis. Walaupun aku tahu rupanya buruk, namun aku amat mencintainya. Kerana itu sepanjang lebih 40 tahun ini, aku biarkan dia terus memimpin tanganku, agar dia gembira dan kami sama-sama menikmati kehidupan ini bersama." 

RAHSIA POKET KECIL DI SELUAR JEANS...

Levi's Strauss...

RASANYA semua orang memiliki seluar jean. Okey, ambil seluar anda, kemudian perhatikan poket kecil yang terdapat di bahagian sebelah kanan.

Terfikir tak di fikiran tentang fungsi poket kecil ini? Sekali pandang poket kecil ini seakan tiada fungsi selain hanya tampalan untuk menambah aksesori gaya pemakainya.

Pada perokok tegar, mungkin digunakan untuk menyimpan pemetik api. Namun, jangan tidak percaya, dari poket comel ini, kita boleh membaca sejarah seluar jean ini dihasilkan.

la dipopularkan oleh seorang pemuda bernama Levi Strauss pada tahun 1880 iaitu lapan tahun selepas jean masuk ke Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1872.

Jean pertama kali dihasilkan di Genoa, Itali pada tahun 1560-an. Seluar ini dipakai oleh angkatan tentera laut. Orang Perancis menyebut seluar ini dengan sebutan 

'bleu de Genes', yang bererti biru Genoa.

Walaupun jenis tekstil ini pertama kali dihasjlkan dan digunakan di Eropah, jean kemudiannya dipopularkan di AS oleh Levi Strauss. Beliau merupakan seorang pemuda berusia dua puluh tahun yang berdagang ke San Francisco sebagai peniaga pakaian. Ketika itu, AS sedang dilanda demam emas.

Tetapi, sebaik tiba di California, semua barangnya habis terjual. Apa yang tinggal hanya sebuah khemah diperbuat daripada kain kanvas.

Disebabkan minat berniaga, Levi Strauss menggunting kain kanvas tadi sebelum dijahit menjadi beberapa helai seluar. Seluar yang siap, kemudiannya dijual kepada para pekerja lombong emas.

Dan ternyata, pelombong emas menyukainya. Seluar ini tahan lama, lasak dan tak mudah koyak. Merasa mendapat peluang, Strauss menyempurnakan penemuannya dengan memesan bahan dari Genoa yang disebut 'Genes' oleh Strauss menjadi 'Blue Jeans'.

Sejak itu, para pelombong mula menyukai seluar buatan Strauss. Mereka menobatkan seluar itu sebagai seluar rasmi para pelombong.

Para pelombong emas menyebut seluar Strauss dengan 'those pants of Levi's ' atau 'Celana Si Levi '. Sebutan inilah yang memulakan tanda dagang seluar jean pertama di dunia.

Naluri perniagaan Strauss yang mula membuak-buak, membuatkannya mengajak pengusaha berjaya, Jakob Davis untuk menjadi rakan kongsi.

Pada tahun 1880, kerjasama itu akhirnya menghasilkan sebuah kilang seluar jean pertama di dunia. Produk reka bentuk mereka yang pertama adalah Levi’s 501.

Rekaan seluar pertama itu memang dikhaskan bagi para pelombong emas. Seluar ini mempunyai lima poket. Dua di belakang dan dua di depan selain satu poket kecil dalam poket depan sebelah kanan.


Disebabkan seluar ini dicipta untuk pelombong, poket kecil itu sebenarnya bukan dibuat sebagai aksesori atau sekadar suka-suka. Saku atau poket comel, dicipta supaya pelombong boleh menyimpan butiran-butiran emas yang berukuran kecil. 

Wednesday, March 2, 2016

PEMANDU VAN JENAZAH...

Gambar sekadar hiasan...

TENGAH hari itu saya diminta oleh pihak hospital untuk menghantar jenazah seorang wanita berusia awal 30-an ke kampung kelahirannya di sekitar Ayer Tawar, Perak.

Perjalanan saya kali ini ditemani oleh salah seorang sahabat bernama Azli yang juga merupakan pembantu perubatan yang sama bertugas dengan saya di hospital tersebut.

Mengikut cerita yang saya dengar, jenazah itu tersimpan hampir dua minggu lamanya di bilik mayat kerana ada pertikaian antara beberapa pihak berhubung status si mati yang dilihat agak mengelirukan.

Ceritanya begini, melalui beberapa sumber yang saya dengar, arwah meninggal dunia akibat mengambil dadah secara berlebihan di rumah sewanya di Kuala Lumpur. Sebelum itu, arwah dikatakan 'berparti' bersama rakan-rakannya, namun setelah dilihat tidak sedarkan diri, arwah dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Arwah menemui ajalnya ketika dalam perjalanan ke hospital. Dari ketika mayatnya ingin dibedah siasat doktor yang bertugas telah terlihat beberapa lukisan tattoo yang banyak tertera di anggota badannya.

Pihak hospital menghubungi keluarga arwah di kampung untuk memaklumkan berita tersebut dan meminta agar mereka datang ke hospital untuk mengenal pasti jenazah arwah. Memang benar! Setelah ibu bapa arwah datang ke hospital untuk sesi pengecaman, mereka mengesahkan jenazah tersebut memang merupakan anak mereka.

Namun demikian pihak hospital terpaksa menangguhkan dahulu proses membawa pulang jenazah tersebut, kerana ada beberapa perkara lain yang perlu disiasat terutamanya bila mengetahui arwah tinggal bersama rakan-rakan yang bukan beragama Islam. Mereka bimbang kalau-kalau arwah ada menukar status agama.

SAYA memandu kenderaan jenazah petang itu dalam keadaan tenang. Walaupun perjalanan agak jauh, sudah menjadi asam garam kehidupan saya sejak ditugaskan memandu van jenazah. Sudah setiap ceruk rantau saya pergi, baik ke utara, selatan mahupun pantai timur.

Lagipun kebiasaannya setiap perjalanan saya akan ditemani oleh sahabat baik saya, Azli. Tidak wujud rasa takut, bosan mahupun mengantuk kerana Azli memang pandai berceloteh. Ada saja topik perbualannya sehinggakan kami terlupa yang jenazah ada bersama-sama di belakang.

Saya memasang alunan ayat-ayat suci Al-quran di dalam kenderaan sambil berbual-bual kosong dengan Azli. Walaupun jam baru menunjukkan angka 4.00 petang, namun langit di luar hitam pekat.

Kilat dan petir sudah mula sabung-menyabung. Lebih kurang 200 meter di hadapan saya sudah lihat hujan turun dengan lebatnya. Saya mula memasang siren dan memegang stereng dengan sekemas- kemasnya.

Saya merempuh hujan lebat tersebut dengan bacaan bismillah. Azli diam membatukan sambil matanya memandang tajam ke arah jalan raya di hadapan. Pada waktu begini kami perlu berhati-hati kerana jika hujan turun lebat, pandangan di hadapan agak terbatas.

Sedang kami berdua tekun melihat jalan di hadapan, tiba-tiba kedengaran bunyi gegaran yang cukup kuat dari arah belakang. Kemudian saya rasa kenderaan yang saya pandu seolah-olah digoncang dengan kuat oleh sesuatu...

GROOMMM... GROOMMMM... GROOMMMM...

Tubuh saya dan Azli terhuyung-hayang ke kiri dan ke kanan. Azli memandang saya dengan seribu persoalan. Saya dapat melihat wajahnya yang bertukar pucat ketika itu. Saya memegang stereng dengan kemas, takut-takut kalau kenderaan yang saya pandu ini tiba-tiba hilang kawalan pula.

"Bang, kenapa pulak dengan van ni? Tiba-tiba aje bergoncang dan terhuyung-hayang macam ni? Tayar pecah ke?" soal Azli dengan penuh tanda tanya.

"Ishhh, taklah... kalau tayar pecah mesti ada bunyi, lepas tu pulak mesti kenderaan ni tak balance langsung. Mungkin sebab banyak terlanggar air bertakung kat jalan raya ni kut..." jawab saya cuba meredakan ketegangan.

Azli mengangguk-angguk tanda faham, namun dari riak wajahnya saya tahu dia masih tidak berpuas hati dengan jawapan saya sebentar tadi. Saya memandang jalan raya di hadapan. Hujan di luar nampaknya semakin menggila seolah-olah tiada tanda untuk berhenti dalam waktu terdekat ini.

Ketika suasana di dalam kenderaan bertukar sunyi, tiba-tiba saya perasan seolah-olah ada suatu objek yang mengganggu dan menghalang pandangan saya ke belakang melalui cermin sisi di hadapan. Saya mula berdebar-debar dan rasa tidak sedap hati.

Saya menguatkan semangat dan cuba memberanikan diri menoleh ke belakang. Alangkah terkejutnya saya apabila saya melihat satu lembaga berpakaian putih dan berambut panjang sedang duduk tunduk di sisi keranda, seolah-olah sedang bertafakur di atas pemergian jenazah.

Jantung saya berdegup kencang. Saya cuba menoleh untuk kali kedua kerana ingin memastikan apa yang saya lihat sebentar tadi adalah sesuatu yang sahih.

Memang sah! Lembaga itu masih wujud. Saya mendiamkan diri sambil membaca ayat-ayat suci Al- quran, peluh mula membasahi dahi dan baju yang saya pakai.

Azli yang perasan dengan sikap saya memandang saya dengan seribu persoalan, lantas tanpa berfikir panjang terus menoleh ke belakang untuk melihat sendiri apa yang saya tinjau sebentar tadi. Dan sebaik dia memandang ke belakang, matanya terus terbeliak seolah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.

"Bang... apa tu, bang? Apa tu?" tanyanya pada saya dengan suara yang terketar-ketar.

Saya akui memang saya amat takut ketika itu. Kaki saya sendiri menggigil dan menggeletar ketika menekan pedal minyak. Namun sebagai seorang yang diberi amanah dan kepercayaan untuk menggalas tugas ini, saya cuba bersikap tenang.

Saya tidak mahu keadaan menjadi lebih kelam-kabut, silap hari bulan kenderaan yang saya pandu hilang kawalan dan boleh mengakibatkan kemalangan.

"Baca aje apa-apa yang kau tau, Li.. Insya-Allah takde apa-apa berlaku. Ini semua kerja syaitan yang nak menakut-nakutkan kita," jawab saya cuba menenangkan keadaan.

Saya lihat mulut Azli berkumat-kamit membaca sesuatu. Saya sendiri tidak tahu ayat atau surah apa yang dibacanya kerana bunyi hujan lebat yang menimpa bumbung kenderaan menjadikan pendengaran saya agak terbatas.

Sedang saya sendiri asyik mengalunkan ayat-ayat suci Al-quran, tiba-tiba saya terdengar sayup-sayup suara tangisan yang mendayu-dayu dari arah belakang. Bunyi tangisan tersebut amat syahdu sekali, seolah-olah sengaja dilagukan sedemikian rupa.

Bulu tengkuk saya meremang tinggi. Demi Allah! Saya tidak pernah diuji sedemikian rupa. Azli semakin tak keruan, dia memandang saya seolah-olah meminta pandangan apa yang perlu dilakukannya ketika itu. Mukanya pucat lesi, kiranya jika ditoreh memang langsung tiada darah yang meleleh keluar.

"Sabar Li... sabar... ini semua kerja syaitan. Kau kuatkan semangat, baca aje apa-apa yang kau tahu...," saya sedaya upaya cuba memberikan semangat kepadanya.

Suara tangisan tersebut berlarutan hampir lima minit lamanya, saya cekalkan hati dan kuatkan semangat untuk terus memandu. Hujan di luar juga semakin reda, mungkin akan berhenti sedikit masa lagi. Nun jauh di hadapan saya dapat lihat keadaan jalan raya juga sudah bertukar terang. Alhamdullillah, saya menarik nafas lega.

Azli masih rancak membaca ayat-ayat suci Al-quran. Suara tangisan yang mendayu dari lembaga putih di belakang kenderaan juga sudah semakin tidak kedengaran.

Saya memberanikan diri menoleh ke belakang. Alhamdullillah, saya mengurut dada kelegaan. Makhluk tersebut sudah hilang dari pandangan. Saya menyeka peluh di dahi. Baru tenang rasa hati saya.

Sumber :  Buku Pemandu Van Jenazah Siri 2...

Tuesday, March 1, 2016

MAYATNYA MENGHITAM, KEMBANG BAGAI BELON...


Tiga yang telah Allah haramkan baginya syurga: Orang yang ketagih arak, si penderhaka kepada ibu bapa dan si dayus yang membiarkan maksiat dilakukan oleh ahli keluarganya." - (hadis riwayat Ahmad).

SEWAKTU arwah mak long meninggal dunia di hospital, tiada saudara-mara yang berada di sampingnya. Sebelum itu, sudah lebih dua minggu mak long terlantar sakit di hospital. Menurut kata doktor, mak long menderita penyakit lemah jantung.

Saya yang mendapat berita kematian mak long daripada salah seorang jirannya segera bersiap untuk melawat jenazah. Biarpun saya hanyalah berpangkat anak buah, namun saya agak rapat dengannya.

Dalam kepala saya terbayang wajah mak long yang bujur sirih, kulitnya yang putih bersih. Badanya pula kecil molek. Terimbau kenangan ketika masih kecil bersama mak long. Perlahan-lahan saya seka air mata yang berlinang.

Setibanya kami di hospital, saya lihat jenazah mak long sudah siap sedia untuk dibawa pulang. Tidak mahu mengganggu prosedur pihak hospital, saya hanya memerhatikan jenazahnya yang dilitupi kain putih.

"Tak apalah, jom kita tunggu jenazah mak long di rumah," kata suami yang berdiri di sisi saya.

JENAZAH yang tiba diangkat dan diletakkan di tengah rumah. Saya meninjau mencari kelibat anak- anak mak long, tapi tiada seorang pun yang kelihatan. Hanya ada beberapa orang penduduk kampung yang turut membantu dalam urusan penyediaan barangan untuk mengapankan jenazah.

Waktu itu, saya ambil peluang untuk melihat wajah mak long. Saya selak perlahan kain yang menutupi Wajahnya, dalam hati saya menahan sebak.

"Ish, ini bukan mak long. Dia orang salah ambil jenazah ke?" bisik hati kecil saya.

Mana tidaknya, mak long yang saya kenali kecil molek orangnya. Namun jenazah yang saya lihat itu mengembang, bagai belon yang diisi angin. Wajah pula tiada langsung iras seperti mak long. Sebaliknya, mayat itu hitam legam dengan keadaan mata separuh tertutup. Lidahnya pula terjelir sehingga hampir ke dagu.

Astaghfirullah, tak mungkin itu mak long saya!

Waktu itu perasaan saya bercampur-baur. Jika benar itu jenazah mak long, sebak hati saya melihat keadaannya. Dalam hati saya berdoa agar ALLAH mempermudahkan segala urusan mak long. Perlahan-lahan saya cuba rapatkan mata arwah menggunakan kedua-dua ibu jari.

"Ya Allah, Kau mudahkanlah. Jangan disusahkan..." doa saya berkali-kali dalam hati. Alhamdulillah, mata mak long kembali tertutup rapat, tetapi lidahnya kekal terjelir.

Saya cuba juga untuk masukkan semula lidahnya, tetapi tak berhasil. Saya takut hendak memaksa kerana tahu arwah baru sahaja berhadapan seksa dicabut nyawa. Sudah pasti seluruh anggota tubuhnya masih sakit.

Kubur Iain-Iain

Bagi yang sudah lama menetap di kampung kami, pastinya kenal dengan mak long. Walaupun usianya sudah menginjak ke 60-an, mak long masih lagi berpakaian seperti anak dara. Rugged! Rambutnya diwarnakan perang, gayanya tak ubah seperti anak remaja.

Sebenarnya, mak long baik orangnya. Dia rajin membantu jika ada yang memerlukan pertolongan. Cuma satu silapnya, mak long langsung tidak mahu mengamalkan ajaran Islam.

Malahan, anak-anaknya juga hidup tidak berlandaskan agama. Lapan orang anak Mak long semuanya berpelesiran. Setiap seorang daripada mereka ada 'anak tidak sah taraf'.

Bukan tiada yang menegur kelakuan mereka, namun semuanya kembali terdiam apabila Mak long pula yang bertempik marah.

"Tak payah nak tegur-tegur aku. Kau jaga hal kau, aku jaga hal aku. Mati nanti kubur masing-masing. Tak payah nak berlagak alim!" Mak long berang apabila ada di antara penduduk kampung yang tidak tahan melihat perlakuan anak-anaknya cuba menasihati.

"Anak sendiri tak reti jaga, ada hati nak tegur anak orang!" sampai begitu sekali marahnya mak long setiap kali ada yang cuba menegur kelakuannya.

Sebagai anak saudara kepada mak long, tipulah kalau saya tak terasa dengan perlakuannya. Pernah juga saya cuba menegur, tapi ibu saudara saya itu hanya dengar endah tak endah.

Saya bersyukur segala urusan mak long akhirnya dipermudahkan llahi. Cuma, hati saya terkilan apabila tiada seorang pun anak arwah yang turut serta dalam urusan 'menghantar' ibu mereka ke alam sana.

Setahu saya, Mak long sangat sayangkan anak-anaknya. Semasa hayatnya masih ada, beliau akan cuba sedaya upaya memenuhi permintaan mereka. Begitu sekali kasih seorang ibu. Tetapi anak-anaknya pula, entahlah...

Kubur mendap, berlubang...

Beberapa bulan setelah mak long dikebumikan, saya dikejutkan dengan kedatangan seorang jiran ke rumah saya.

"Kak Za, kalau ada masa tolonglah lawat kubur mak cik Ros tu. Kesian saya tengok. Saya nak sampaikan pada anak-anak dia tak berani. Akak tau jelah perangai dia orang macam mana," adu Azmil anak kepada jiran arwah Mak long.

"Kenapa pulak dengan kubur mak long akak tu? Nisan dia tumbang ke?" soal saya pada Azmil. Setahu saya, anak-anaknya pernah memberitahu kubur ibu mereka sudah siap dibina dan dipacakkan nisan bertulis.

"Saya tak nak cakap di sini kak, takut orang kata bawa mulut pula. Bila-bila akak senang pergilah melawat kuburnya tu," beritahu Azmil sebelum berlalu pergi.

Petang itu juga saya pergi ke kubur arwah. Mengucap panjang bila saya lihat keadaan kuburnya. Tanah kubur mak long mendap ke bawah sehingga boleh nampak penutup liang lahadnya di dalam.

"Astaghfirullah! Abang, boleh tak carikan tanah? Kita kambus sikit kubur mak long ni?" pinta saya pada suami.

Mujurlah suami ada membantu. Lalu kami kambus kembali kubur itu dengan tanah baru sehingga ia meninggi seperti kubur-kubur yang lain. Dalam hati saya tidak putus-putus berdoa supaya dosa mak long diampunkan.

Beberapa hari kemudian, saya datang lagi ke kubur arwah. saya terkejut kerana keadaannya masih mendap. Aneh. Sedangkan saya sudah kambus sebelum itu dan tiada langsung lubang.

Namun bila datang kali kedua tidak sampai seminggu selepas dikambus, kubur mak long mendap semula. Tanah yang saya kambus sudah tiada, bahkan berlubang pula di tengahnya.

Tak silap saya, hampir lima enam kali juga saya berulang alik menambah tanah di kubur mak long. Ada juga saya beritahu perkara itu pada anak-anaknya, namun jawapan yang saya terima nyata mengecewakan.

"Dah nasib mak memang macam tu. Kak Zah nak kami buat macam mana lagi?" kata Sarah, anak kedua mak long. Dia hanya acuh tidak acuh dengan perkara itu.

Walaupun sudah hampir sepuluh tahun kejadian itu berlaku, hingga hari ini ia masih segar dalam ingatan saya. Dan sampai sekarang, anak-anak arwah mak long masih berperangai serupa.

Sudah puas ditegur, namun semuanya tak makan saman. Penduduk kampung juga sudah lali melihat perbuatan maksiat yang mereka lakukan dalam rumah peninggalan arwah ibu mereka.

Terbaru, saya dengar orang kampung bising-bising bila dikatakan rumah mak long sudah mula jadi 'port' penagih dadah.

Saya hanya mampu berdoa dari jauh. Saya sudah jenuh menegur mereka, malah saya pula yang diherdik. Semoga mereka mendapat hidayah sementara masih hidup di dunia ini.

NOTA: Saya dalam kisah di atas hanya ingin dikenali sebagai Zaharah. Beliau merupakan anak saudara kepada si mati yang diceritakan dalam kisah di atas. Kejadian yang sudah berlaku lebih 10 tahun itu diceritakan semula dengan harapan dijadikan pengajaran buat pembaca.

Sumber : Mastika Dis 2014
Pengarang : Aliaa Aina Izyan Hasan