Saturday, December 26, 2015

"KAU INGAT AKU TAK BOLEH MASUK?"...


Bagi sesetengah kita, Allah s.w.t kurniakan kelebihan dengan menampakkan benda-benda ghaib yang tidak kelihatan pada orang lain. Walaupun ramai yang menginginkan kelebihan itu kerana berhajat sangat hendak melihat makhluk-makhluk halus ciptaan-Nya dengan alasan untuk memantapkan iman, tetapi kita tidak tahu apakah hikmah sebenarnya Allah menampakkan perkara-perkara ghaib itu kepada insan-insan terpilih ini. Adakah Allah ingin menguji hamba-hambanya itu atau Allah ingin menaikkan darjat mereka atau mereka-mereka ini masih ragu-ragu akan ayat-ayat Al Quran yang Allah telah menjelaskan melalui surah Al Baqarah ayat 3 yang terjemahannya berbunyi:

"Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara ghaib dan mendirikan sembahyang serta membelanjakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka"

Bagi melanjutkan cerita di atas, di bawah ini ada satu kisah menarik yang ingin dikongsikan oleh En. Mohd Shahdan Sarkan yang menceritakan pengalamannya berhadapan dengan makhluk yang tidak diundang ini seperti yang tersiar di majalah Mastika keluaran Oktober 2015.

Mari kita ikuti kisahnya...      

CUTI persekolahan baru saja bermula. Kebetulan adik ipar saya yang menetap di Negeri Sembilan mempelawa kami bertandang ke rumahnya. "Bolehlah tinggal dalam dua tiga hari," katanya dalam talian.

Beria-ia benar ajakannya. Malam itu, saya berbincang dengan isteri.  Memang lama juga tidak menjengah ke sana, lagi-lagi semenjak mereka  berpindah rumah.

"Bolehlah abang mohon cuti awal" kata isteri.  Anak-anak memang seronok, boleh berjumpa sepupu mereka. Terus saja saya beritahu adik ipar yang kami setuju. Ya, mereka menanti.

Esok pagi saya telefon pejabat, mohon cuti tiga hari. Isteri mula berkemas barang apa yang patut dibawa.  Ayam itik sudah saya lepas dari kandang. Tahulah ia mengais mencari makan sendiri. Kucing pula telah dipesan pada jiran agar tolong tengok-tengokkan.

Selepas Zuhur kami bergerak. Terus ke pinggir pekan Nilai ke kawasan perumahan sederhana. Ketibaan kami disambut meriah. Maklumlah, lama tidak ketemu. Mereka tinggal di rumah apartmen bertingkat. Kebanyakan pemastautin adalah orang Melayu. Ada juga tingkat tanpa penghuni seperti tingkat tiga dan empat. Tak tahu apa sebabnya. Rumah adik ipar di tingkat bawah.

Saya saja-saja menjengah ke  tingkat atas yang tiada penghuni.  Sunyi, suram, gelap dan lembap  situasinya. Bau hapak dan hamis begitu meloyakan tekak. Bagai mahu termuntah pun ada.

Tiba-tiba pancaindera telinga menangkap bunyi suara orang berbual. Diselangi batuk-batuk orang tua. Di posisi lain terdengar derai tawa kanak-kanak terkekeh-kekeh. Suara mereka bergema dan seperti ditujukan pada saya.

Rasa seram menyerkup sekujur tubuh. Pantas saya menuruni anak tangga, namun ketiga-tiga nada suara tadi terus terngiang-ngiang di pendengaran. Siapa agaknya mereka? Bukankah di tingkat itu tiada manusia yang menghuninya.

Saya bertanya pada adik ipar untuk kepastian. Memang tingkat atas itu tidak berpenghuni. Telah lama kosong. Tingkat tiga ada segelintir yang duduk. Patut pun sampah sarap berselerakan. Tikus-tikus banyak berkeliaran.

Saya sekadar menggumam. Kami bercadang akan tinggal tiga, empat hari di situ. Adik ipar gembira, katanya bolehlah kami pergi berkelah ke Port Dickson. Anak-anak menyambut baik cadangan. Sudah tentu mereka seronok bila dapat tahu akan mandi-manda di tepi pantai.

MALAM itu cuaca agak panas. Kipas siling yang berputar ligat seakan tidak memberi impak. Saya berkain pelekat sahaja. Hati rasa menggelisah. Bagai ada benda yang tidak kena. Dingin malam tetapi tubuh berpeluh.

Melalui tingkap yang terkuak langsirnya, saya perhati suasana malam yang suram. Saya cuba memejamkan mata, namun enggan terlelap walau sepicing pun. Ah, lebih nyaman tidur di rumah sendiri. Hati berdetak begitu. Saya paling ke arah isteri, anak-anak. Lena mereka tidur.

Fikiran mula menerawang pada peristiwa siang tadi. Suara-suara yang saya dengari. Makhluk haluskah mereka, atau jin syaitan? Mungkin juga hantu. Dalam minda menjalar ke arah itu dan ditambah kepenatan memandu, akhirnya saya tertidur.

Entah berapa lama saya terlelap sehinggalah saya tersentak bila mendengar bunyi bising dari arah luar. Bunyi berkeriut seperti orang yang sedang mengayun buaian yang telah berkarat. Semakin lama semakin kuat dan jelas bunyinya.

la benar-benar mengganggu lelap saya. Siapa pula yang bermain buai di tengah-tengah malam buta begini? Saya perhati jam, sudah pukul 3.45 pagi. Hanya saya seorang yang terjaga. Anak-anak dan isteri bagai tidak terkesan oleh bunyi bising itu. Tidur mereka tetap damai dan lena.

Dari kejauhan sayup-sayup ter dengar suara lolongan anjing bersahut-sahutan. Sayu dan panjang. Bunyi keruit itu tetap kuat, tidak berkurang. la mula membuat hati saya panas. Mengganggu saya untuk menyambung lena.

Saya menuju jendela lalu membukanya sedikit. Sejuk angin malam menampar muka. Saya memandang ke luar. Ada taman permainan di situ. Tidak pula saya perasan taman itu semasa baru tiba siang tadi. Mungkin kerana saya mengikut laluan hadapan.

Bunyi berkeriut itu datang dari arah taman tersebut. Pandangan agak suram. Saya tertanya-tanya mengapa tidak diletak lampu di situ agar terang pandangan. Hmm… mungkin ada, cuma telah rosak. Mata saya melilau ke sebelah kiri. Walau suasana suram malap, saya masih mampu melihat sesosok tubuh sedang mengayun buaian. Rambutnya panjang hingga menyapu tanah. Berpakaian putih kusam tanpa kelihatan kakinya.

Yang peliknya, ia sekadar duduk sahaja namun buaian itu terbuai laju. Seakan ada orang yang tolong mengayunkan, tetapi tiada sesiapa di situ kecuali sesosok tubuh  itu. la terus berbuai tanpa perasan saya sedang memerhati.

Ya, akhirnya saya sedar benda apakah itu. Ah, tiba-tiba saja bau  wangi bunga melur bercampur bau busuknya bangkai menerjah lubang hidung. Perlahan-lahan saya cuba menutup tingkap. Bunyi keriut engsel yang sudah lama tidak di minyak menarik perhatian makhluk itu. Ah, kacau. Tadi sewaktu membukanya tidak pula jendela itu berbunyi.

Makhluk itu bagai tersentak lantas memandang tepat ke arah saya. la merenung saya dengan mata memancar merah saga. Mungkin marah bila ada orang yang melihatnya. Tidak sanggup saya melawan pandangan makhluk itu. Tubuh saya menggigil. Tangan terkial-kial mahu merapatkan tingkap walau bukaannya tidak sebesar mana. Itulah bahana takut.

Tiba-tiba makhluk itu bersuara "Kau ingat kalau tutup rapat aku tak boleh masuk?" Suaranya bergema di tirai malam. Berderau  darah saya dibuatnya. Meremang  semua bulu. Badan menggigil bagai kena sampuk.

Selepas berjaya mengatupkan jendela, langsung saya melompat ke katil menyelubungi sekujur badan dengan selimut. Bagaimana jika benar makhluk itu naik ke atas, mencekik atau menghisap darah saya sampai kontang?

Sudah pasti saya akan tinggal arwah. Huii... takutnya saya. Mulut cuba membaca ayat-ayat suci. Tetapi entah merecok apa-apa. Terkumat kamit tanpa butir percakapan. Sekadar amin... amin...

Dalam kalut ketakutan itu, saya tertidur. Bila terjaga sudah pukul 7.00 pagi. Terpisat-pisat dan mamai dibuatnya. Nasib baik tidak demam. Selepas melayan juadah pagi, saya turun ke bawah. Mahu melihat taman permainan itu.

Memang betul ada taman permainan kanak-kanak di situ. Namun sekali lagi darah saya berderau. Apa yang saya nampak malam tadi tidak sama dengan yang ada di depan kini. Taman itu tidak terurus lagi menyedihkan. Semua peralatan sudah tidak boleh diguna. Berkarat, rosak serta patah-patah. Buaian telah putus talinya, berkeadaan senget sebelah, jelas tidak boleh digunakan. Rumput yang panjang dan takungan air terdapat di sana sini. Begitu daif.

Tapi, bagaimana malam tadi semuanya kelihatan elok, bagus serta berfungsi? Saya tidak mampu memikirkannya. Apakah mata saya tersilap, atau...

Akhirnya tengah hari itu juga saya mengajak isteri bersiap pulang ke rumah, walaupun dibantah. Saya tidak berani ambil risiko terhadap 'benda' asing yang tinggal di situ. Harap adik ipar tidak berkecil hati.

Jadual perlu dirombak. Lain kalilah kita berkelah di Port Dickson. Anak-anak mula kecewa. Isteri pula membebel mendesak dan bertanya. Saya kata, pulang nanti akan saya cerita. Dalam perjalanan pulang, saya berharap janganlah makhluk itu ikut kami sampai ke rumah.

Adakah adik ipar dan mereka yang tinggal di situ pernah mengalami kejadian aneh yang saya alami? Entahlah. Tidak pula saya tanyakan pada mereka. 

Sumber : Mastika
Pengarang : Mohd Shahdan Sarkan

No comments:

Post a Comment