Tuesday, December 15, 2015

HANG TUAH AKHIRI HAYAT DI PALEMBANG...


Penyelidikan terbaru oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) mengenai Hang Tuah menunjukkan jejak terakhir pahlawan Melayu itu berakhir dl Temasik (kini Singapura) pada tahun 1511 ketika berusia 80 tahun.

Bagaimanapun, pahlawan itu mungkin berpindah ke Riau, Indonesia selepas itu, sebelum mengakhiri hayatnya di Palembang yang disokong dakwaan penduduk yang menemui kuburnya.

Penemuan itu menimbulkan kemungkinan kubur Hang Tuah yang selama ini didakwa di Tanjung Keling, Melaka mungkin hanya makam peringatannya.

Penyelidikan itu mengenal pasti Hang Tuah dilahirkan pada tahun 1431 dan mengesahkan ke wujudannya melalui kajian empirikal yang kali pertama menggunakan sumber dan artifak luar negara, berbanding kajian sebelum ini berasaskan nukilan tempatan seperti Hikayat Hang Tuah.

Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Emeritus Dr Hashim Musa yang mengetuai penyelidikan itu bagaimanapun berkata, penemuan kubur perlu dibuktikan melalui pengesahan asid deoxyribonucleic (DNA) keluarga Hang Tuah dengan tulang dari kubur berkenaan.

Profesor Emeritus Dr Hashim Musa...

Bukti pernah jejaki Jepun

Kajian turut menemukan bukti Hang Tuah pernah menjejakkan kaki ke Okinawa, Jepun selain kehebatan dan kekuatan Laksamana Melaka itu digeruni beberapa pihak termasuk penakluk dari Portugal, Alfonso de Albuquerque.

"Satu catatan peribadi pelayar itu menyatakan ketika menakluk Melaka tahun 1511, seorang laksamana lelaki berusia 80 tahun dengan reputasi hebat serta berpengetahuan berhijrah ke Singapura selepas kejatuhan Melaka.

"Satu lagi catatan apotekari (ahli perubatan) Portugis yang berada di Melaka ketika itu, Tome Pires menyatakan ketika Siam menyerang Melaka, Sultan Mansur Shah menghantar seorang laksamana dan berjaya menumpaskan 200 tentera Siam secara berseorangan.

"Walaupun catatan itu tidak menyebut nama Hang Tuah, berdasarkan nama Sultan yang memerintah Melaka ketika itu membuktikan pahlawan Melayu itulah yang dimaksudkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran hasil penyelidikannya bersama Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM, Dr Rohaidah Kamaruddin melalui buku Hang Tuah : Catatan Okinawa, di sini semalam.

Ia dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Sen Dr Ahmad Zahid Hamidi, sempena hari Anugerah Buku Negara 2015.

Hashim berkata, pihaknya ke Okinawa bulan lalu bagi meneliti dan mengkaji sebilah keris luk sembilan yang ditemui pada tahun 2002 di Kuil Engakuji, dalam daerah itu.

Surat ditulis Hang Tuah

Pasukannya turut menemui dokumen rasmi 19 surat Empayar Ryukyu ' Rekidai Hoan' berkaitan perutusan antara kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dan kerajaan di bawah jajahan China ketika itu. Tiga surat dalam dokumen berkenaan ditulis sendiri oleh Hang Tuah.

Hang Tuah ke Ryukyu (sekarang Okinawa) selama beberapa minggu bagi pihak Sultan Melaka untuk menjalin hubungan diplomatik selain berniaga. Surat Hang Tuah itu tertulis senarai hadiah yang dibawa bersamanya termasuk keris berluk sembilan.

Generasi ke 12 Hang Tuah, Ismail Mohamed Yaacob, 50, berkata penemuan itu membuktikan sejarah yang dipertikaikan sebelum ini bukanlah dongeng.

"Saya sedia memberikan kerjasama dalam kajian membabitkan Hang Tuah bagi memudah serta mengukuhkan sebarang penemuan baharu," katanya.

Sumber : BH
Penulis : Mohd Hamizar Hamid & Ahmad Suhael Adnan...

No comments:

Post a Comment