Tuesday, October 25, 2016

7 CARA MUDAH HINDAR MENGANTUK DI PEJABAT...

Gambar hiasan...

Umum mengetahui bahawa tidur adalah satu keperluan dalam hidup selain makan. Ini kerana pada waktu itu badan dapat berehat daripada menjalankan kerja-kerjanya.

Tidur juga mampu memberikan tenaga yang akan digunakan apabila melakukan aktiviti harian. Bagaimanapun ada ketikanya rasa mengantuk tetap menyerang walaupun telah mendapatkan waktu tidur yang cukup. Ada yang terpaksa bersengkang mata walaupun tubuh sudah minta direhatkan terutama sekali tatkala berada di pejabat.

Berikut adalah beberapa tip yang sesuai dipraktikkan bagi mengurangkan rasa mengantuk ketika di pejabat.

1. Mandi Sinar Matahari...

Sinar matahari adalah kaedah semula jadi untuk membuka mata yang sedang mengantuk. Sekiranya mata mula berasa berat, maka segeralah cari sinar matahari yang menembusi cermin pejabat anda. Biarkan wajah dan tubuh anda mengenai sinaran tersebut dan selepas itu rasailah perubahannya.

2. Minum Banyak Air...

Salah satu punca yang membuatkan mata mudah mengantuk adalah disebabkan dehidrasi. Apabila anda berhadapan masalah tersebut maka perasaan mengantuk, bingung dan mudah lupa menguasai. Penyelesaiannya adalah dengan minum banyak air bagi mengembalikan kesegaran mata dan tubuh. Justeru, pastikan botol minuman anda sentiasa berisi dengan air, ya!

3. Ambil Sarapan...

Terdapat satu kajian mendapati individu yang mengambil sarapan lebih bertenaga daripada aspek mental mahupun fizikal. Ini kerana, pengambilan sarapan sebenarnya membantu menurunkan hormon kartisol yakni hormon stres yang menjadi punca utama mengantuk. Oleh itu, sebelum masuk ke pejabat, pastikan perut telah diisi dengan makanan yang sesuai (tidak terlalu berat) bagi mengelakkan mata semakin berat.

4. Berjalan Kaki...

Adakah anda pernah tertidur apabila duduk dalam tempoh masa yang agak lama walaupun ketika menaip di hadapan komputer. Usah terkejut kerana ia perkara normal dan biasa terjadi. Cara mengatasinya cukup mudah iaitu bangun dari kerusi dan berjalan seketika di sekitar ruang kerja anda secara perlahan.

5. Tarik Nafas Dalam...

Apabila mata mulai rasa mengantuk, cuba cara ini. Duduk pada posisi relaks kemudian tarik nafas perlahan-lahan sedalam yang mungkin dan hembus untuk enam ke-10saat. Dipercayai, ia mampu meningkatkan pengaliran oksigen di dalam aliran darah sekali gus membuatkan mata kembali celik dan bertenaga.

6. Mendengar Muzik...

Ramai tahu bahawa muzik adalah terapi yang baik pada tubuh. Muzik juga dipercayai membantu meningkatkan kembali tenaga yang kian berkurangan akibat mengantuk. Bagaimanapun pastikan lagu yang didengar itu bukanlah irama yang membuai perasaan hingga membuatkan anda lebih seronok tidur daripada bekerja.

7. Meregangkan Tubuh...

Mungkin ada yang sukar atau malas berjalan di sekitar ruang kerja bagi menghilangkan mengantuk. Tidak mengapa, masih ada kaedah lain yang boleh dicuba. Antara teknik yang dicadangkan ialah regangkan seketika tubuh setiap setengah jam menggunakan regangan yang mudah dilakukan selain tidak mengganggu teman-teman sekerja lain. Pastinya selepas itu, mata dan tubuh anda akan kembali bersemangat untuk bekerja semula.

No comments:

Post a Comment