Thursday, March 6, 2014

HIKAYAT 1001 MALAM EPISOD 8 - 12

Kisah 1001 malam yang aku siarkan ke dalam blog ini dari episod 1 hingga 7 rupa-rupanya mempunyai ramai peminat.. Banyak email yang diterima bertanya kenapa aku tidak menyambung lagi episod-episod yang seterusnya.

Sebenarnya aku memang nak sambung lagi tapi aku nak tengok respon dulu dari pembaca, samada mereka berminat nak baca atau tidak, kalau minat, aku sambung tapi kalau tak minat, setakat episod 7 sajalah. Memandangkan dah ada yang bertanya dan tidak mahu menghampakan mereka, maka aku akan sambung semula kisahnya. Untuk pengetahuan semua, kisah 1001 malam ini episodnya sampai 63 dan jumlah mukasuratnya 243 halaman, walaubagaimanapun setiap episod, ceritanya pendek-pendek. 

Supaya pembaca puas membacanya, aku akan muatkan sekurang-kurangnya lima episod sekaligus dalam satu posting. 

Kepada mereka yang baru berjumpa blog ini dan berminat nak membacanya, maka aku bagi link episod 1 dan 2 dan seterusnya disini. Sila klik

XXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXX

EPISOD 8 : KAHWIN DENGAN JIN...

Ketika malam tiba, dan sang raja telah menyelesaikan hubungan asmaranya dengan Syahrazad, berkata Dinarzad, "Kak, teruskanlah sambungan ceritamu."

hamba mendengar, wahai Raja yang bijaksana, lelaki tua yang membawa dua ekor anjing itu berkata kepada jin:

Akhirnya kami sampai di sebuah kota pelabuhan. Kami memasuki kota itu dan menjual barang-barang kami, sehingga kami memperolehi keuntungan sepuluh dinar untuk setiap dinar. Lalu kami membeli barang-barang lain, dan ketika kami tiba di tepi laut kembali untuk berlayar, aku berjumpa dengan seorang gadis yang berpakaian koyak-rabak dan dalam keadaan kelaparan. Gadis itu mencium tanganku dan berkata:

"Wahai tuanku, berbelas kasihanlah padaku dan tolonglah aku. Aku akan memberi imbalan padamu kelak."

Aku menjawab, "Aku bersedia membantumu tanpa mengharapkan imbalan darimu."

Gadis itu berkata, "Wahai tuanku, nikahilah aku, berilah aku pakaian dan bawalah aku pulang bersamamu dengan perahu ini sebagai isterimu, sebab aku ingin menyerahkan diriku kepadamu.

Kelak aku akan memberi imbalan kepadamu atas kebaikan dan belas kasihmu, dengan kehendak Tuhan yang Maha Besar."

Ketika aku mendengar kata-katanya, aku merasa kasihan padanya, hingga aku bersedia menikahinya. Aku membelikan pakaian yang mahal untuknya dan kami hidup bersama sebagai suami isteri. Lalu aku membawanya naik ke perahu, menyiapkan tempat tidur untuknya, dan menyempurnakan pernikahan kami. Kami berlayar berhari-hari dan bermalam-malam, dan aku kerana amat mencintainya, tinggal bersamanya siang dan malam dengan menjauhkan diri dari kedua abangku. Sementara itu mereka berdua begitu cemburu dan iri terhadapku kerana semakin bertambahnya barang-barang dagang dan kekayaanku.

Akhirnya mereka menginginkan semua kekayaanku. Mereka memutuskan untuk mengkhianatiku dan, kerana godaan syaitan, mereka malah merancang untuk membunuhku. Suatu malam mereka menanti sampai aku tertidur di samping isteriku, lalu me­reka mengheret kami berdua dan membuang ke laut.

Ketika aku terbangun kerana terkejut apabila bersentuhan dengan air laut, kulihat isteriku berubah menjadi jin perempuan dan membawaku keluar dari laut menuju sebuah pulau. Ketika pagi tiba, dia berkata:

"Wahai suamiku, aku telah memberi imbalan kepadamu dengan menyelamatkanmu agar tidak tenggelam, sebab aku adalah jin yang beriman kepada Tuhan. Ketika aku melihatmu di tepi laut, aku jatuh cinta padamu dan mendatangimu dengan menyamar sebagai seorang gadis, dan ketika aku mengutarakan perasaan cintaku, engkau menerimaku. Kini aku harus membunuh kedua abangmu kerana pengkhianatan mereka."

Ketika aku mendengar apa yang dikatakannya, aku sangat hairan dan berterima kasih kepadanya, seraya berkata:

"Mengenai keinginanmu untuk membunuh kedua abangku, aku merayu kepadamu agar jangan melakukannya, sebab aku tidak menginginkan mereka berdua mati." Tetapi dia terus berkata, "Aku akan terbang mengejar mereka sekarang, menenggelamkan kapal mereka dan membiarkan mereka mati.



Aku menyabarkannya seraya berkata, "Demi Tuhan, jangan engkau lakukan hal itu. Peribahasa mengatakan, berbuat baiklah terhadap orang yang mencelakakanmu. Apapun yang terjadi, mereka adalah saudara-saudaraku."

Akhirnya aku berjaya menyabarkannya. Setelah itu, dia membawaku terbang hingga aku sampai di bumbung rumahku. Aku segera turun dan menggali kembali wang yang kutanam. Lalu aku membuka kembali kedaiku.

Pada malam harinya aku begitu terkejut melihat dua ekor anjing terikat. Ketika aku melihatnya, dua ekor anjing itu mendatangiku, meratap dan menggosok-gosokkan kepalanya ke kakiku. Aku begitu terkejut ketika tiba-tiba isteriku muncul dan berkata:

"Wahai suamiku, inilah kedua abangmu."

Aku bertanya, "Siapa yang telah menyihir kedua abangku ini hingga mereka menjadi anjing?"

Isteriku menjawab, "Aku memanggil kakakku dan menyuruhnya untuk melakukan hal itu. Mereka akan berada dalam keadaan begini selama sepuluh tahun, dan selepas itu mereka akan kembali berubah menjadi manusia."

Kemudian isteriku memberitahukan di mana aku boleh menjumpai kakaknya untuk melepaskan sihir itu sesudah sepuluh tahun.

Sepuluh tahun telah berlalu, dan aku bersama-sama kedua abangku berupa dua ekor anjing ini, sedang dalam perjalanan menjumpai jin itu untuk melepaskan sihir yang telah mengubah wujud kedua abangku. Tetapi dalam perjalanan ini, aku telah berjumpa dengan pedagang yang akan engkau bunuh ini, bersama dengan lelaki tua yang membawa kijang dan seorang lagi lelaki tua. Ketika aku bertanya kepada mereka, mereka menjawab bahawa sebentar lagi si pedagang akan engkau bunuh. Oleh itu aku memutuskan untuk tidak pergi sehingga aku mengetahui apa yang akan terjadi antara engkau dengan pedagang itu. Inilah kisahku. Bukankah kisah ini cukup menghairankan?"

Jin itu kemudian menyimpan pedangnya seraya berkata: "Demi Tuhan, kisah itu amat aneh dan menghairankan. Aku serahkan kepadamu satu pertiga tuntutanku terhadap pedagang ini atas kejahatannya."

Lalu lelaki tua berikutnya berkata, "Wahai jin, jangan kecewakan aku. Jika aku menceritakan kepadamu sebuah kisah yang juga cukup aneh dan menghairankan, mahukah engkau menyerahkan satu pertiga lagi tuntutanmu terhadap si pedagang ini atas kejahatannya?"

Jawab jin itu, "Ya, baiklah."

Berkata lelaki tua itu, "Wahai jin, dengarkanlah kisahku...."

Tetapi fajar menyinsing, dan Syahrazad menghentikan ceritanya, membiarkan sang raja tertanya-tanya sambungan dari ceritanya. Lalu Dinarzad berkata, "Sungguh menarik dan indah ceritamu." Berkata Syahrazad, "Esok malam ceritanya lagi menarik, jika raja masih membiarkan aku hidup." Sang raja menganggukkan kepalanya.
XXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXX

EPISOD 9 : JIN MEMBEBASKAN PEDAGANG


Ketika malam tiba, dan sang raja telah menyelesaikan hubungan asmaranya dengan Syahrazad, berkata Dinarzad, "Kak, teruskanlah sambungan ceritamu."

Hamba mendengar, wahai Raja yang bijaksana, lelaki tua itu menceritakan kisahnya yang aneh dan menghairankan.

Setelah lelaki tua itu menceritakan segala kisah aneh yang dialaminya hingga dia berjumpa dengan si pedagang, jin itu merasa sangat hairan dan hanyut dalam kegembiraan.

Jin itu pun berkata, "Aku serahkan padamu satu pertiga dari tuntutanku terhadap si pedagang atas kejahatannya."

Lalu jin itu melepaskan si pedagang dan pergi. Si pedagang menyalami ketiga-tiga orang tua itu sambil mengucapkan terima kasih atas jasa-jasa mereka mempengaruhi jin itu sehingga membebaskannya. Mereka bertiga berpisah, masing-masing mengambil jalan yang berlainan.

Si pedagang turun ke mata air, berwuduk dan melakukan sujud syukur. Pedagang itu naik ke atas kudanya, menarik talinya hingga kudanya berlari dengan begitu kencang seakan-akan turut merasakan kegembiraan atas selamat nya tuannya daripada angkara murka jin. Kini dia dapat kembali pulang dan berkumpul bersama anak-anak dan isterinya.

Tetapi ada kisah yang lebih aneh dan lebih menghairankan daripada kisah itu, iaitu kisah si nelayan bersama jin Nabi Sulaiman...

Tetapi fajar menyinsing, dan Syahrazad menghentikan ceritanya. Lalu Syahrazad berkata lagi, "Esok malam ceritanya lagi menarik, indah dan menyenangkan, jika raja masih mengijinkan aku hidup hingga esok." Sang raja menjadi sangat terrtarik mengikuti cerita Syahrazad.

XXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXX

EPISOD 10 : KISAH NELAYAN BERSAMA JIN NABI SULAIMAN


Ketika malam tiba, dan sang raja telah menyelesaikan hubungan asmaranya dengan Syahrazad, berkata Dinarzad, "Kak, teruskanlah sambungan ceritamu." Sang raja berkata, "Hendaklah itu merupakan sambungan dari kisah si nelayan bersama jin Nabi Sulaiman." Syahrazad menyahut, "Dengan senang hati, tuanku."

Diriwayatkan, wahai Raja yang bijaksana, bahawa ada seorang nelayan yang sudah sangat tua, yang mempunyai seorang isteri dan tiga orang anak perempuan. Pekerjaannya sehari-hari adalah menjaring ikan di tepi pantai.

Pada suatu hari, ketika bulan masih memancarkan sinarnya, nelayan tua itu keluar dari rumahnya dengan membawa jaring penangkap ikan. Dia tiba di pinggir desa dan melangkah ke tepi laut. Lalu dia menyinsingkan lengan bajunya dan terjun ke laut hingga ke paras pinggangnya. Dia melemparkan jaringnya dan menunggu hingga jaring itu tenggelam. Selepas itu ditariknya tali jaring secara perlahan-lahan, tetapi jaring itu semakin berat hingga ia tidak mampu lagi menariknya.

Kerana yakin bahawa jaringnya berjaya menjerat ikan besar, ia naik ke darat, memacakkan sebuah kayu dan mengikatkan tali-tali jaringnya di kayu itu. Lalu ia membuka pakaiannya, menyelam ke dalam air, dan berenang mengelilingi jaringnya. Tetapi ketika ia mengangkat jaringnya, alangkah terkejutnya ia kerana seekor bangkai keldai tersangkut di jaringnya. Nelayan itu merasa sangat sedih dan kecewa kerana keldai busuk itu telah mengoyak-rabakkan jaringnya. Dengan sedih ia berkata kepada dirinya sendiri, "Tiada kekuatan dan tiada kekuasaan kecuali milik Allah. Sungguh, ini adalah tangkapan yang sangat aneh." Lalu dia mulai bersyair:


Wahai engkau yang berani menghadapi bahaya dalam gelap

Kurangilah usahamu, sebab rezeki itu tidak datang
Lihatlah si nelayan yang menjalankan tugasnya 
Ketika bintang-bintang di malam hari
sedang berkedap-kedip

Dengan terus menatap pada jalanya yang hanyut 
Sehingga dia kembali, puas dengan tangkapan malamnya 
Seekor ikan yang mulutnya terluka jerat maut itu 
Dan menjualnya pada orang yang tidur di malam hari 
Terbebas dari udara sejuk dan akrab dengan doa malam 
Puji syukur pada Tuhan yang memberi rahmat dan menahannya

Yang ini menebar jala, dan yang lain memangsa ikannya...

Tetapi fajar menyinsing, dan Syahrazad menghentikan ceritanya. Dinarzad berkata, "Alangkah anehnya ceritamu, kak." Syahrazad menyahut, "Esok malam ceritanya lebih aneh lagi, jika raja masih mengijinkan aku hidup hingga esok."

XXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXX

EPISOD 11 : JIN YANG TERPENJARA DI DALAM KENDI


Ketika malam tiba, dan sang raja telah menyelesaikan hubungan asmaranya dengan Syahrazad, berkata Dinarzad, "Kak, teruskanlah sambungan ceritamu."

Hamba mendengar, wahai Raja yang bijaksana, ketika si nelayan selesai membaca syair tersebut, ia segera mendorong keldai itu keluar dari jaringnya. Ia menjahit kembali jaringnya yang telah koyak. Selepas itu ia terjun kembali ke laut hingga ke paras pinggangnya dan melemparkan jaringnya. Pelan-pelan ditariknya tali jaring itu ke atas, tetapi kali ini jaringnya semakin berat seakan-akan seekor ikan besar telah terjerat di dalamnya hingga ia tidak kuat untuk menariknya. Kerana menyangka bahawa jaringnya berjaya menjerat ikan besar, nelayan itu sangat senang. Ia segera naik ke darat dan memacakkan sebuah kayu lalu mengikatkan tali jaringnya di kayu itu. Kemudian ia menyelam ke dalam air, berusaha menarik jaring itu ke atas. Tetapi malangnya di jaring itu ia tidak melihat ikan atau binatang laut lainnya, melainkan sebuah kendi besar yang isinya adalah lumpur dan pasir.

Nelayan itu merasa sedih, dan dengan air mata yang membasahi pipinya, ia berkata kepada dirinya sendiri, "Ini adalah hari yang sangat aneh! Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nya jugalah kami akan kembali." Lalu si nelayan membaca syair:
Wahai nasib yang menderaku, bersabarlah
Atau kalau engkau tak mampu,
sekurang-kurangnya jujurlah
Aku pergi mencari sepotong roti
Bintang-bintang Pleiad (rangkaian bintang-bintang dalam kumpulan bintang Taurus) banyak dipuja orang bodoh Sementara orang-orang suci duduk dalam kegelapan.

Lalu dengan marah, si nelayan melemparkan kendi itu ke dalam laut dan menjahit kembali jaringnya yang koyak. Ia memohon ampun kepada Allah dan kembali terjun ke laut. Untuk ketiga kalinya, ia melemparkan jaringnya dan membiarkannya tenggelam. Tetapi ketika ia menariknya kembali, hatinya menjadi sedih sebab yang terjerat di jaringnya hanyalah botol-botol kosong, batu-batu, tulang-belulang dan sampah sarap. Ketika ia melihat ke langit, matahari telah mulai muncul, pagi menjelang dan hari mulai terang. Sambil meratapi nasibnya yang malang ia berkata: "Wahai Tuhan, Engkau mengetahui bahawa aku hanya memiliki sebuah jaring. Aku telah melemparkannya sebanyak tiga kali, dan setiap itu pula jaringku rosak. Wahai Tuhan, biarkan laut membantuku, sebagaimana Engkau biarkan ia membantu Nabi Musa."

Nelayan tua itu lalu menjahit jaringnya yang koyak dan melemparkannya kembali ke laut. Ketika ia menariknya, terasa jaringnya sangat berat sehingga ia tidak kuat menariknya. Sambil mengucapkan, "Tiada daya dan kekuatan melainkan milik Allah," ia menyelam ke dasar laut dan menarik jaringnya ke atas. Alangkah terkejutnya ia kerana di dalam jaringnya terdapat sebuah kendi berwarna kuning keemas-emasan dengan tutup kendi yang panjang seperti leher. Kendi itu ditutupi dengan timah yang dicap dengan sebuah cincin, yang tak lain adalah cincin Nabi Sulaiman. Ketika
si nelayan melihat kendi ajaib itu, hatinya merasa senang dan berkata kepada dirinya sendiri, "Aku akan menjualnya di pasar tembaga, sebab harganya pasti mahal."

Nelayan itu berusaha memindahkan kendi itu, tetapi kendi itu sangat berat hingga ia tidak mampu menggerakkannya apalagi mengangkatnya. Ketika melihat pada penutup kendi yang terbuat dari timah, si nelayan berkata, "Aku akan membuka penutup kendi ini, membuang sebahagian isinya dan membawanya ke pasar tembaga."

Lalu si nelayan mencabut pisau dari pinggangnya dan membuka penutup kendi. Dia memegang penutup kendi itu, memiringkan kendi itu ke tanah untuk mengeluarkan sebahagian isinya. Tetapi ketika tidak ada suatu benda pun yang keluar, si nelayan mulai hairan.

Tiba-tiba dari kendi itu keluar asap, yang bergulung-gulung ke atas dan menyebar ke seluruh permukaan tanah. Asap itu semakin bertambah banyak hingga menutupi laut dan naik ke atas hingga mencapai awan dan menutupi sinar matahari pagi. Lama sekali asap itu bergulung-gulung keluar dari kendi, kemudian asap itu berubah menjadi sebuah lembaga hitam, dan ia adalah jin, dengan kakinya terpacak di bumi dan kepalanya menyentuh awan. Kepala jin itu bagaikan batu besar, lehernya seperti sebuah terowongan, matanya bagaikan lampu kereta. Pendek kata, jin itu memiliki rupa yang amat mengerikan. Ketika si nelayan melihat jin itu, ia gemetar ketakutan, mulutnya terkunci rapat, manakala air ludahnya kering.

Jin itu berkata, "Wahai Sulaiman, Nabi Allah, maafkan aku, ampunilah aku. Aku tidak akan lagi membantahmu dalam sebarang urusan dan aku akan mematuhi segala perintahmu...."

Tetapi fajar menyinsing, dan Syahrazad menghentikan ceritanya, membiarkan sang raja tertanya-tanya sambungan dari ceritanya. Lalu Dinarzad berkata, "Sungguh menarik dan indah ceritamu." Berkata Syahrazad, "Esok malam ceritanya lagi menarik, jika raja masih membiarkan aku hidup." Sang raja menganggukkan kepalanya.
xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

EPISOD 12 : JIN YANG AKAN MEMBUNUH NELAYAN



Ketika malam tiba, dan sang raja telah menyelesaikan hubungan asmaranya dengan Syahrazad, berkata Dinarzad, "Kak, teruskanlah sambungan ceritamu."

Hamba mendengar, wahai Raja yang bijaksana, ketika si nelayan mendengar perkataan jin itu, ia merasa hairan seraya bertanya:

"Wahai jin, apa yang engkau katakan? Telah lebih daripada dua ribu lapan ratus tahun sejak Nabi Sulaiman meninggal dunia, dan kini kita hidup berabad-abad selepas zaman Nabi Sulaiman. Bagaimana sebenarnya kisahmu, dan mengapa engkau berada di dalam kendi ini?"

Ketika jin itu mendengar keterangan si nelayan, ia berteriak, "Bergembiralah!"

Nelayan itu bertanya, "Oh, hari yang sangat mem- bahagiakan?"

Jin itu berkata, "Bergembiralah, sebab sebentar lagi engkau akan kubunuh!"

Nelayan itu terkejut seraya berkata, "Engkau sepatutnya merasa malu kerana mengucapkan kata-kata seperti itu. Menga­pa engkau ingin membunuhku, sedangkan aku adalah orang yang



membebaskanmu dan membawamu dari dasar laut dan mengembalikanmu ke dunia ini?"

Jin itu menjawab, "Katakanlah, apa permintaanmu sekarang!"

Nelayan itu merasa senang dan bertanya, "Apa yang hendak kuminta daripadamu?"

Jin itu menjawab, "Katakan padaku, dengan cara bagaimana engkau ingin mati, dan cara kematian yang bagaimana pula yang engkau inginkan daripadaku untuk kupilih?"

Kata nelayan itu, "Apa kejahatanku? Inikah imbalanmu setelah aku membebaskanmu?"

Jawab jin itu, "Wahai nelayan, dengarkan kisahku."

Jawab nelayan, "Ceritakan secara ringkas saja, sebab aku mempunyai banyak urusan."

Jin itu berkata, "Hendaklah engkau mengetahui bahawa aku adalah salah satu daripada jin-jin yang menderhaka dan amat gemar melawan. Aku, bersama-sama dengan jin raksasa yang bernama "Sakhr", telah memberontak melawan Nabi Sulaiman bin Dawud. Nabi Sulaiman telah mengutus jin yang bernama Asif ibn-Barkhiya untuk menangkapku, dan dia berjaya mengalahkan aku dan membuat aku terhina di hadapan Nabi Sulaiman. 


Ketika Nabi Su­laiman melihatku, dia berdoa kepada Tuhan agar melindungi dirinya daripada kejahatanku dan memerintahkanku supaya bertaubat, tetapi aku menolak nasihat tersebut. Oleh itu Nabi Sulaiman mengambil kendi kuningan ini, memasukkan aku ke dalamnya dan menutupnya dengan penutup timah yang diatasnya dituliskan nama Allah Yang Maha Kuasa. Lalu Nabi Sulaiman memerintahkan tenteranya yang terdiri daripada golongan jin untuk melemparkan aku ke tengah laut. 

Aku berada di dasar laut selama dua ratus tahun, dan aku berkata kepada diriku sendiri, "Barangsiapa yang membebaskan aku dalam tempoh dua ratus tahun ini, aku akan menjadikannya kaya raya." Tetapi dua ratus tahun telah berlalu dan diikuti oleh dua ratus tahun berikutnya, namun tak seorang pun yang membebaskan aku. Lalu aku bersumpah pada diriku sendiri, "Barangsiapa membebaskanku, akan kubukakan baginya seluruh kekayaan bumi ini." Tetapi empat ratus tahun telah berlalu dan tak seorang pun yang membebaskanku. 

Ketika aku memasuki seratus tahun berikutnya, aku bersumpah pada diriku sendiri, "Barangsiapa membebaskanku selama seratus tahun ini, aku akan menjadikannya raja di bumi, menjadikan diriku sebagai pelayannya, dan setiap hari akan mengabulkan tiga permin- taannya." Tetapi seratus tahun itu pun, ditambah abad-abad seterusnya, tak seorang pun yang membebaskanku. Lalu aku menjadi marah, murka dan dendam seraya bersumpah kepada diriku sendiri, "Barangsiapa yang membebaskanku sejak saat ini ataupun pada abad-abad yang akan datang, aku akan membunuhnya dengan cara yang paling kejam atau membiarkannya memilih sendiri cara kematian yang diinginkannya." Tak lama kemudian engkau datang dan membebaskan aku. Nah sekarang, katakan kepadaku dengan cara bagaimana engkau ingin mati."

Ketika si nelayan mendengar apa yang dikatakan jin itu, dia menjawab, "Sesungguhnya kami adalah milik Tuhan dan kepada-Nyalah kami akan kembali. Selepas bertahun-tahun berlalu, kini aku telah membebaskanmu sekarang. Maafkan aku, dan Tuhan akan memberikan kepadamu keampunan. Binasakan aku, dan Tuhan akan mendatangkan kepadamu seseorang yang akan membinasakanmu pula."

Jin itu menjawab, "Memang demikian. Sekarang katakan padaku, dengan cara bagaimana engkau ingin mati?"

Ketika si nelayan merasa pasti bahawa ia akan mati di tangan jin biadab itu, ia menangis dan meratapi nasibnya seraya berkata:

"Wahai anak-anakku, semoga Tuhan tidak memisahkan kita satu sama lain."

Lalu nelayan itu berkata kepada jin, "Demi Tuhan, bebaskanlah aku sebagai imbalan bagiku yang telah membebaskanmu serta mengeluarkanmu dari kendi ini."

Jawab jin itu, "Kematianmu adalah imbalan bagimu kerana telah membebaskanku dan membiarkan aku keluar."

Nelayan itu berkata, "Aku telah berbuat baik kepadamu, manakala engkau telah bersiap sedia untuk berbuat jahat kepadaku."

Jin itu berkata, "Cepatlah, sebab seperti yang telah kukatakan, aku harus membunuhmu."

Lalu nelayan itu berfikir, "la hanya jin, sedangkan aku manusia, yang telah dikurniakan oleh Allah akal yang membuat aku lebih tinggi dan lebih unggul daripada jin. Ia boleh saja menggunakan tipu muslihatnya terhadapku. Sekarang, aku akan menggunakan akalku pula untuk menandingi tipu muslihatnya. Lalu si nelayan bertanya kepada jin:

"Haruskah engkau membunuhku?"

"Ya," jawab jin.

"Demi nama Allah yang Maha Kuasa, sebelum engkau membunuhku, mahukah engkau menjawab dengan jujur jika aku bertanya padamu tentang sesuatu?"

"Tanyalah, dan cepat!" jawab jin itu dengan marah.... Tetapi fajar menyinsing, dan Syahrazad menghentikan ceritanya. Dinarzad berkata, "Alangkah anehnya ceritamu ini." Syahrazad menyahut, "Esok malam ceritanya lebih aneh lagi, jika raja masih mengijinkan aku hidup hingga esok.



Episod 13  hingga 20 Di sini


Dipetik dari buku 
Himpunan Kisah-Kisah Lucu dan Aneh...

No comments:

Post a Comment