Monday, March 10, 2014

HIKAYAT 1001 MALAM EPISOD 13 - 20...

EPISOD 13 : CARA MEMASUKKAN JIN KE DALAM KENDI  


Ketika malam tiba, dan sang raja telah menyelesaikan hubungan asmaranya dengan Syahrazad, berkata Dinarzad, "Kak, teruskanlah sambungan ceritamu." Sang raja berkata, "Hendaklah itu merupakan sambungan dari kisah si nelayan bersama jin Nabi Sulaiman." Syahrazad menyahut, "Dengan senang hati, tuanku."

Hamba mendengar, wahai Raja yang bijaksana, si nelayan itu berkata, "Demi nama Tuhan yang Maha Kuasa, katakan padaku, apakah engkau betul-betul berada di dalam kendi ini?"

Jawab jin," Ya benar. Aku telah dipenjara di dalam kendi ini."

Kata si nelayan, "Kau berdusta. Sebab kendi ini terlalu kecil, bahkan tangan dan kakimu saja tidak boleh masuk. Bagaimana mungkin kendi yang sekecil ini boleh engkau masuki sedangkan tubuhmu begitu besar?"

Jin itu menjawab, "Demi Tuhan, aku berada di dalamnya. Tidakkah engkau percaya bahawa aku berada di dalamnya?"

Jawab si nelayan, "Tentu saja aku tidak percaya, kecuali engkau mahu membuktikannya."

Mendengar itu, si jin menggoyangkan tubuhnya dan segera berubah menjadi asap yang bergulung-gulung, menyebar ke laut, ke seluruh daratan, lalu sedikit demi sedikit mulai memasuki kendi itu. Ketika asap itu hilang seluruhnya, jin itu berteriak dari dalam kendi, "Wahai nelayan, kini aku berada di dalam kendi. Apakah engkau mempercayaiku sekarang?"

Nelayan itu segera mengambil tutup timah yang mengandungi cap Nabi Sulaiman dan terus menutupkannya pada mulut kendi itu. Lalu ia berkata lantang, "Wahai jin, kini katakan kepadaku, dengan cara bagaimana engkau ingin mati. Sebab aku akan melemparkanmu ke dasar laut ini, aku akan membangun rumah di sini untuk menghalang sesiapa saja daripada mengambil kendi ini dan memperingatkan para nelayan supaya jangan mengambil kendi ini sebab di dalamnya ada jin yang akan membunuh sesiapa saja yang mengambilnya dan menariknya keluar."

Ketika jin itu mendengar apa yang dikatakan si nelayan dan mendapati dirinya terpenjara kembali, ia berusaha untuk keluar tetapi tidak boleh sebab telah ditutup oleh penutup timah yang mengandungi cap Nabi Sulaiman. Jin itu kini menyedari bahawa si nelayan telah menipunya, lalu ia berkata:

"Wahai nelayan, janganlah engkau melakukan hal ini terhadapku. Aku hanya bergurau saja denganmu."

Nelayan itu berkata, "Engkau berdusta, engkau yang paling kotor dan jahat di antara semua jin."

Si nelayan mula bersiap sedia untuk melemparkan kendi itu ke laut. Jin itu berteriak, "Jangan...jangan...!"

Tetapi nelayan itu menjawab, "Aku bermaksud me­lemparkanmu ke laut. Pertama kali engkau tinggal di sana selama lapan ratus tahun. Kali ini aku akan membiarkanmu tinggal sehingga hari kiamat. Tidakkah pernah kukatakan kepadamu, 'Biarkan aku hidup, dan Tuhan akan membiarkanmu hidup. Binasakan aku, dan Tuhan akan membinasakanmu.' Tetapi engkau menolak, dan berdegil pada pendirianmu untuk mencelakakanku dan membunuhku. Kini giliranku untuk mencelakakanmu."

Jin itu berkata, "Wahai nelayan, jika engkau membuka kendi ini, aku akan memberimu upah dan membuatmu kaya raya." Si nelayan menjawab, "Engkau berdusta, engkau pembohong! keadaanmu dan keadaanku kini seperti keadaan Raja Yunan dan orang bijak Duban."

Jin itu bertanya, "Bagaimana kisahnya?"

Maka berceritalah nelayan itu dengan panjang lebar mengenai kisah Raja Yunan bersama orang bijak Duban:

Wahai jin, dahulu kala hiduplah seorang raja bernama Yunan, yang memerintah di negeri Zuman, iaitu sebuah kota di Parsi. Raja itu terserang penyakit kusta. Telah banyak doktor dipanggil untuk mengubati penyakitnya, namun semua ubat-ubatan tersebut gagal menyembuhkan penyakitnya.

Suatu hari datanglah ke kota itu seorang bijak bernama Duban. Orang bijak ini gemar membaca buku-buku falsafah, sastera dan kedoktoran dari Yunani, Parsi, Turki, Arab, Byzantium, Syria dan Ibrani, dan mempelajari berbagai ilmu sehingga ia digelari sebagai orang bijak Duban. Dengan itu dia telah mahir dalam semua ilmu, mulai dari filsafat hingga pengetahuan tentang tanaman dan daun-daunan yang berkhasiat, yang berbahaya mahupun yang bermanfaat.

Beberapa hari setelah dia tiba di kota Raja Yunan, orang bijak itu mendengar tentang sang raja dan penyakit kustanya dan mendengar pula bahwa para doktor dan orang-orang bijak Iainnya tidak mampu menyembuhkannya. Pada hari berikutnya, ketika fajar menyingsing dan matahari terbit, si orang bijak Duban memakai pakaiannya yang terbaik, pergi mengunjungi Raja Yunan dan, setelah memperkenalkan dirinya, ia berkata, "Yang Mulia, hamba telah mendengar tentang penyakit yang menyerang tubuh Paduka dan mendengar banyak doktor telah merawat Paduka tanpa menemukan jalan untuk menyembuhkan Paduka Yang Mulia, hamba dapat menyembuhkan Paduka tanpa memberi Paduka pil untuk diminum ataupun salap untuk dioleskan."

Ketika sang raja mendengarnya, ia terus berkata, "Jika engkau berjaya, aku akan memberimu kekayaan yang cukup untuk engkau nikmati bersama cucu-cucumu. Aku akan memberikan cenderamata kepadamu, dan aku akan menjadikanmu kawan dan sahabatku."

Lalu sang raja memberikan jubah kehormatan kepada orang bijak itu, melayaninya dengan baik, seraya bertanya kepadanya, "Dapatkah engkau benar-benar menyembuhkanku dari penyakit kusta ini tanpa memberi ubat untuk kuminum atau salap untuk kuoleskan?"

Orang bijak itu menjawab, "Ya, hamba akan menyembuhkan Paduka dari luar."

Sang raja hairan, dan dia mulai merasa hormat dan sayang kepada orang bijak itu. Dia berkata, "Nah, orang bijak, laksanakan apa yang telah engkau janjikan."

Orang bijak itu menjawab, "Hamba mendengar dan patuh. Hamba akan melakukannya esok pagi, jika Tuhan Yang Maha Kuasa mengijinkan."

Lalu orang bijak itu pergi ke kota, menyewa sebuah rumah, dan di sana dia menyuling dan menyaring ubat-ubatan. Kemudian dengan pengetahuan dan kemahiran yang sangat hebat, dia membuat sebuah palu dengan ujungnya melengkung, melubangi palu itu, dan juga pegangannya, serta mengisi pegangan tersebut dengan ubat-ubatan yang telah dibuatnya. Dia pun membuat sebuah bola. Setelah dia menyempurna dan mempersiapkan segalanya, pada hari berikutnya dia mengunjungi Raja Yunan dan mencium tanah di hadapannya....

Tetapi fajar menyingsing, dan Syahrazad terdiam. Lalu adiknya, Dinarzad, berkata, "Sungguh kisah yang sangat indah!" Syahrazad menyahut, "Esok malam aku akan menceritakan kepadamu sesuatu yang lebih aneh dan Iebih menghairankan, jika raja masih mengijinkan aku dan membiarkan aku hidup!" 


**********************************************************************************

EPISOD 14 : RAJA YUNAN BERSAMA ORANG BIJAK DUBAN

Ketika malam tiba, dan sang raja telah menyelesaikan hubungan asmaranya dengan Syahrazad, berkata Dinarzad, "Kak, teruskanlah sambungan ceritamu." Sang raja berkata, "Hendaklah itu merupakan sambungan dari kisah si orang bijak Duban." Syahrazad menyahut, 

"Dengan senang hati, tuanku."

Hamba mendengar, wahai sang Raja yang bijaksana, si nelayan itu berkata kepada jin itu Orang bijak Duban mendatangi Raja Yunan dan memintanya bermain kuda ke lapangan dan bermain dengan bola dan palu itu. Sang raja segera naik kuda, dikawal oleh para bendahara, para pangeran, para wazir, dan para bangsawan dan orang-orang terkemuka. Ketika sang raja telah duduk, si orang bijak Duban masuk, menyerahkan palu itu kepadanya, dan berkata, "Wahai Raja yang bahagia, ambillah palu ini, peganglah dengan tangan Paduka, dan sementara Paduka berkuda di lapangan, peganglah genggamnya erat-erat dengan tangan Paduka. dan pukullah bola itu. Bermain kudalah sehingga Paduka berkeringat, menyebar ke pergelangan tangan Paduka, dan beredar ke seluruh tubuh Paduka. Setelah Paduka berkeringat dan ubat itu menye­bar dalam tubuh Paduka, kembalilah ke istana Paduka, mandi, dan tidurlah. Paduka akan bangun dalam keadaan sihat, dan demikianlah cara hamba menyembuhkan Paduka."

Raja Yunan mengambil palu dari orang bijak Duban dan menaiki kudanya. Para pengawal melemparkan bola itu ke hadapan sang raja, yang dengan memegang genggaman itu erat-erat di tangannya, mengikuti bola tersebut dan berusaha dengan penuh semangat untuk menangkap dan memukulnya. Dia terus menarik kudanya mengikuti bola itu dan memukulnya hingga telapak tangan dan bahagian-bahagian tubuhnya yang lain mula berkeringat, manakala ubat itu mula keluar dari genggaman tangannya dan mengalir ke seluruh tubuhnya. Ketika si orang bijak Duban merasa yakin bahwa ubat itu telah keluar dan menyebar ke seluruh tubuh sang raja, dia menasihatkannya untuk kembali ke istana dan segera mandi. Sang raja mandi dan membasuh seluruh tubuhnya. Lalu memakai pakaiannya.

Sedangkan si orang bijak Duban tidur malam hari di rumahnya. Keesokan harinya, dia pergi ke istana untuk menjumpai raja. Ketika dipersilakan masuk ke dalam istana, dia mencium tanah di hadapan sang raja lalu membacakan sajak berikut:

Kebaikan yang Paduka tanamkan sangat besar;
Sebab siapa lagi selain 
Paduka yang dapat menjadi bapa mereka ?
Milik Padukalah wajah yang cahayanya cemerlang menghapuskan malam 
yang gelap dan seram.
Selamanya bersinar wajah Paduka yang gemilang;
Sedangkan wajah dunia masih suram.
Paduka menghujani kami dengan banyak kurnia,
Bagaikan awan yang menghujani bebukitan yang dahaga,
Meluaskan kemurahan hati Paduka,
Mencerminkan kehebatan Paduka. 


Selepas si orang bijak Duban selesai membaca sajak itu, raja berdiri dan memeluknya. Lalu dia mendudukkan orang bijak itu di sampingnya, dan dengan penuh perhatian dan senyum, mengajaknya berbincang-bincang. Lalu sang raja menganugerahkan jubah kehormatan kepada si orang bijak, memberinya hadiah-hadiah dan derma, dan mengabulkan segala keinginannya.. Sebab ketika sang raja memandang dirinya di cermin pada pagi hari selepas mandi, dia melihat tubuhnya telah bersih dari penyakit kusta, bagaikan sebersih dan semurni perak.

Mengenang jasa-jasa si orang bijak Duban, ketika pagi hari itu sang raja bersama si orang bijak pergi ke balaman istana dan duduk di atas singgasananya, dia dikawal oleh pafa fflantcri, para pengawal istana dan pembesar kerajaan lainnya. Lalu sang raja berdiri, memeluk si orang bijak, dan mendudukkannya di sampingnyaya, di atas singgasana. Dia memperlakukannya dengan penuh hormat dan minum serta makan bersamanya...

Tetapi fajar menyingsing, dan Syahrazad, menhentikan ceitanya. Lalu adiknya, Dinarzad, berkata, "Kak, sungguh indah kisah itu!" Syahrazad menjawab, "Sambungan kisah itu lebih aneh dan lebih menghairankan lagi, jika sang raja mengijinkanku dan aku masih hidup hingga esok malam, aku akan menceritakan kepadamu sesuatu yang lebih aneh lagi."

************************************************************************************

EPISOD 15 : HADIAH DAN JUBAH UNTUK SI ORANG BIJAK DUBAN 

Ketika malam tiba, dan sang raja telah menyelesaikan hubungan asmaranya dengan Syahrazad, berkata Dinarzad, "Kak, teruskanlah ceritamu." Syahrazad menyahut, "Dengan senang hati."

Hamba mendengar, wahai Raja yang bahagia, Raja Yunan memberi hadiah-hadiah kepada si orang bijak, memberinya jubah kehormatan, dan mengabulkan keinginan-keinginannya.

Pada petang harinya, Raja Yunan memberikan seribu dinar kepada orang bijak dan menyuruhnya pulang. Sang raja, yang takjub akan kepandaian si orang bijak Duban, berkata kepada dirinya sendiri, "Orang ini telah menyembuhkanku dari luar, tanpa memberikan ubat untuk kuminum atau salap untuk kuoleskan. Kepandaiannya jelas merupakan suatu kemahiran yang hebat, yang wajar mendapat penghormatan dan hadiah. Dia akan menjadi sahabatku, orang kepercayaanku, dan sahabat dekatku."

Lalu sang raja berangkat tidur pada malam itu, merasa bahagia atas kesembuhannya dari penyakitnya, atas kesihatannya badannya. Ketika pagi tiba dan hari terang, sang raja memasuki istananya dan duduk di atas singgahsananya, dikawal oleh para pengawal, sementara para pangeran, wazir, dan bangsawan istana duduk di sebelah kanan dan kirinya. Lalu sang raja memanggil si orang bijak, dan ketika orang bijak itu masuk dan mencium tanah di hadapannya, sang raja berdiri untuk menghormatinya, mendudukkan di sampingnya, dan menjemputnya untuk makan bersamanya.

Sang raja amat menghormati si orang bijak, menunjukkan perhatiannya, dan menganugerahkan kepadanya jubah kehormatan dan banyak hadiah lainnya. Sepanjang hari itu sang raja bercakap-cakap dengan si orang bijak, lalu memberinya wang seribu dinar. Orang bijak itu pulang dan bermalam bersama isterinya, merasa sangat bahagia dan bersyukur kepada Tuhan Yang Maha Kuasa.

Pagi harinya, sang raja masuk ke istananya, para pangeran serta wazir datang menghadapnya. Kebetulan Raja Yunan mempunyai seorang wazir yang jahat, serakah, dan iri hati. Ketika dilihatnya si orang bijak berhasil mengambil hati sang raja, dan mendapatkan banyak wang dan jubah kehormatan, dia merasa takut sang raja akan memecatnya dan menunjuk orang bijak itu untuk menggantikan kedudukannya. Oleh itu, dia menjadi iri hati kepada si orang bijak dan memendam niat buruk terhadapnya.

Wazir yang dengki itu mendekati sang raja dan, sambil mencium tanah di hadapannya, berkata, "Wahai Raja yang Bijaksana dan Penguasa yang amat dikasihi, atas kebaikan hati Paduka dan dengan rahmat Padukalah hamba merendahkan diri hamba. Jika hamba tidak dapat memberikan pada Paduka nasihat dalam masalah yang besar, hamba bukanlah anak kepada bapa hamba. Jika Raja yang agung dan Penguasa yang mulia mempunyai masalah, hamba akan menyelesaikan masalah itu."

Mendengar itu, sang raja merasa terganggu dan bertanya, "Na­sihat apa yang ingin kamu sampaikan?"

Wazir itu menjawab, "Yang Mulia, sesungguhnya orang yang tidak memikirkan akibatnya, tidak akan beruntung. Hamba telah melihat Yang Mulia melakukan suatu kesalahan, sebab Paduka telah jatuh cinta dan amat sayang kepada musuh Paduka yang datang untuk menghancurkan kekuasaan Paduka dan mencuri kekayaan Paduka. Sesunguhnyalah, Paduka telah bermurah hati dan memberikan padanya banyak kebaikan tetapi hamba khuatir bahwa orang itu akan membahayakan Paduka."

Sang raja bertanya, "Siapa yang kamu tuduh, siapa yang kamu fikirkan, dan kepada siapa kamu menunjuk dengan jarimu?"

Wazir itu menjawab, 'Jika Paduka tertidur, bangunlah, sebab hamba menunjukkan jari hamba kepada si orang bijak Duban, yang telah datang dari Byzantium."

Sang raja menjawab, "Jahanam, apakah dia musuhku? Bagiku dia adalah yang paling setia, yang paling dekat, orang yang paling kusayangi, sebab orang bijak ini telah menyembuhkan penyakitku hanya dengan menyuruhku memegang sesuatu dengan tanganku dan telah membebaskan diriku dari penyakit yang tidak berjaya diubati oleh para tabib dan orang bijak lainnya. Di seluruh dunia, di timur maupun barat, dekat maupun jauh, tidak ada arang yang seperti dia, tetapi kamu justeru mempunyai fikiran lain. Sejak hari ini dan seterusnya, aku akan memberinya seribu dinar setiap bulan, sebagai tambahan untuk bahagian dan gajinya yang biasa. Bahkan jika aku harus membahagi kekayaan dan kerajaanku dengannya, itu pun masih kurang dari apa yang sepatut diterimanya. Kukira kamu mengatakan apa yang telah kamu katakan itu karena kamu iri padanya. Ini hampir serupa dengan keadaan yang terjadi dalam kisah yang diceritakan oleh wajir Raja Sindbad, iaitu ketika sang raja ingin membunuh anaknya sendiri....

Tetapi fajar menyingsing, dan Syahrazad menghentikan ceritanya. Dinarzad berkata, "Alangkah anehnya ceritamu ini." Syahrazad menyahut, "Esok malam ceritanya lebih aneh lagi, jika raja masih mengijinkan aku hidup hingga esok."

***************************************************************************

EPISOD 16 : KISAH SUAMI DAN BURUNG BEO

Ketika malam tiba, dan sang raja telah menyelesaikan hubungan asmaranya dengan Syahrazad, berkata Dinarzad, "Kak, teruskanlah ceritamu." Syahrazad menyahut, "Baiklah."
Hamba mendengar, wahai Raja yang bijaksana, wazir Raja Yunan itu bertanya, "Wahai Rajazaman ini, ampunilah hamba, tetapi apa yang dikatakan oleh wazir Raja Sindbad kepada raja itu ketika dia ingin membunuh anaknya sendiri?"

Raja Yunan berkata kepada wazir itu, "Ketika Raja Sindbad, yang terhasut oleh seseorang yang iri hati, ingin membunuh anak­nya sendiri, wazirnya berkata kepadanya, "Janganlah Paduka lakukan apa yang akan Paduka sesali nantinya."

Aku pernah mendengar khabar bahwa ada seseorang yang sangat cemburu, yang mempunyai isteri yang amat cantik. Sang isteri tidak pernah mengijinkan suaminya untuk berperang dan meninggalkannya seorang diri. Tetapi pada suatu hari dia terpaksa juga harus melakukan perjalanan. Maka dia memutuskan untuk pergi ke pasar membeli seekor burung beo, dan membawanya pulang. Burung beo itu pandai, berpengetahuan luas, cerdas dan tajam ingatannya. Setelah yakin dengan daya ingatan burung beonya, dia pun pergi melakukan perjalanan selama beberapa hari. 

Ketika dia selesai dengan urusannya lalu pulang kembali ke rumahnya, dia mendekati burung beonya dan menanyainya tentang isterinya selama ditinggalkannya pergi. Mulalah burung beo itu mercerita dari hari kesehari tentang yang telah dilakukan isterinya dengan kekasihnya dan bagaimana keduanya bermesra-mesraan sepanjang kepergiannya. Ketika sang suami mendengar cerita burung beo itu, dia menjadi sangat marah, lalu mendatangi isterinya dan memukulinya. Kerana menyangka bahawa salah seorang pelayannya telah memberitahu suaminya tentang apa yang dilakukannya dengan kekasihnya selama kepergian suaminya, sang isteri menyoal pelayan-pelayannya satu persatu. dan mereka semua bersumpah bahawa mereka telah mendengar burung beo itulah yang memberitahu suaminya.

Ketika sang isteri mendengar bahawa burung beo itulah yang telah memberitahu suaminya, dia memerintahkan salah seorang pelayannya untuk mengambil batu gerinda dan menggerinda di bawah kandang, lalu memerintahkan pelayan kedua untuk memercikkan air di atas kandang, dan memerintahkan pelayan ketiga untuk membawa cermin baja dan berjalan berulang-alik sepanjang malam.

Malam itu sang suami pergi keluar, dan ketika dia pulang keesokan harinya, dia mendekati burung beonya, berbicara dengannya, dan menanyakan tentang apa yang telah terjadi selama kepergiannya malam itu. Burung beo itu menjawab, "Tuan, maafkan saya sebab semalam, sepanjang malam, saya tidak dapat mendengar atau melihat dengan jelas kerana sangat gelap, hujan lebat, disertai guruh dan guntur."

Oleh kerana waktu itu musim panas, maka ia segera membantah burung beonya, "Celakalah engkau, sekarang bukan musim hujan."

Burung beo itu berkata, "Ya, demi Tuhan, sepanjang malam saya melihat apa yang saya katakan padamu."

Akhirnya ia berkesimpulan bahawa burung beo itu telah berbohong mengenai isterinya dan telah menuduhnya berdusta. Ia menjadi sangat marah, menangkap burung beo itu dan, setelah mengeluarkannya dari kandang, memukulnya di atas tanah dan membunuhnya. Tetapi setelah burung beo itu mati, sang suami mendengar dari para jirannnya bahawa burung beo itu telah mengatakan hal yang sebenarnya tentang isterinya, dan dia sangat menyesali kerana telah ditipu oleh isterinya untuk membunuh burung beo itu.

Akhirnya Raja Yunan menyimpulkan, "Wazir, perkara yang sama akan terjadi padaku...."

Tetapi fajar menyingsing, dan Syahrazad menghentikan ceritanya. Dinarzad berkata, "Alangkah aneh dan indahnya kisah itu!" Syahrazad menyahut, "Ini belum apa-apa berbanding dengan apa yang akan kuceritakan kepadamu esok malam, jika sang raja mengijinkan aku dan membiarkan aku hidup, aku akan menceritakan kepadamu sesuatu yang lebih menghairankan." Sang raja berkata kepada dirinya sendiri, "Demi Tuhan, ini benar-benar sebuah kisah yang menghairankan."

******************************************************
EPISOD 17 : KISAH ANAK RAJA DAN JIN PEREMPUAN

Malam berikutnya Dinarzad berkata kepada kakaknya Syahrazad, "Kak, ceritalah jika engkau belum mengantuk, ceritakan kepada kami salah satu kisahmu yang indah." Syahrazad menyahut, "Dengan senang hati." Raja Syahrayar menambahkan, "Hendaklah cerita itu sambungan dari kisah Raja Yunan, wazir dan orang bijak Duban, dan tentang si nelayan, jin, dan kendi itu." Syahrazad menyahut, "Dengan senang hati."

Hamba mendengar, wahai Raja yang bahagia, Raja Yunan berkata kepada wazirnya yang iri hati itu, "Setelah sang suami membunuh burung beo itu dan mendengar dari jirannya bahawa burung beo itu telah mengatakan hal yang sebenarnya, dia merasa sangat menyesal. Kamu juga, wazirku, kerana iri pada orang yang bijaksana ini, ingin agar aku membunuhnya dan menyesal dikemudian hari, sebagaimana penyesalan suami itu setelah dia membunuh burung beonya."

Ketika wazir itu mendengar apa yang dikatakan oleh Raja Yunan, dia menyahut, "Wahai raja yang agung, bahaya apa yang ditimbulkan oleh orang bijak ini terhadap hamba? Sungguh, dia tidak membahayakan hamba sama sekali. Hamba mengatakan kepada Paduka semua ini karena terdorong rasa cinta dan takut pada Paduka. Jika Paduka tidak dapat melihat kejujuran hamba, biarlah hamba musnah sebagaimana wazir yang menipu anak sang raja."

Raja Yunan bertanya kepada wazirnya, "Bagaimana boleh begitu?"

Wazir itu menjawab: Dikisahkan, wahai Raja yang bahagia, dahulu kala hiduplah seorang raja yang mempunyai seorang anak yang senang berburu dan menjerat haiwan. Sang pangeran mempunyai seorang wazir yang dilantik oleh ayahnya, untuk mengikutinya ke mana saja dia pergi. Suatu hari sang pangeran pergi bersama pelayan-pelayannya ke hutan belantara. Ketika kebetulan dia melihat seekor haiwan buas, wazir itu mendorongnya untuk mengejarnya. Sang pangeran mengejar haiwan itu dan terus melakukan pengejaran hingga dia kehilangan jejaknya dan mendapati dirinya sendirian di tengah hutan belantara, tanpa mengetahui jalan yang harus ditempuh. Tiba-tiba dalam kebingungan dia berjumpa dengan seorang gadis yang sedang berdiri di jalan berurai air mata. Ketika sang pangeran muda bertanya, "Dari mana engkau berasal?"

Gadis itu menjawab, "Saya adalah anak seorang raja India. Saya sedang menaiki kuda di hutan belantara ketika saya tertidur dan dalam tidur saya terjatuh dari kuda dan mendapatkan diri saya sendirian dan tak berdaya di sini."

Sang pangeran muda yang mendengar apa yang dikatakannya, merasa kasihan padanya, dan menaikkannya ke atas kudanya sambil meneruskan perjalanan. Ketika mereka melalui reruntuhan sebuah bangunan, gadis itu berkata, "Wahai tuanku, saya ingin rehat di sini." Sang pangeran membiarkannya turun dan gadis itu pergi mendatangi reruntuhan itu. Lalu sang pangeran berjalan mengi­kutinya, tanpa mengetahui siapa gadis itu sebenarnya. Tiba-tiba dilihatnya bahawa gadis itu adalah jin perempuan, yang berkata kepada anak-anaknya, "Aku membawakan untuk kamu seorang pemuda yang baik dan gemuk."

Mereka menyahut, "Ibu, bawalah dia kepada kami, agar kami dapat memakan isi perutnya."

Ketika pangeran muda mendengar apa yang mereka katakan, dia gementar ketakutan. Kerana mengkhuatirkan nyawanya, dia lari keluar. Jin perempuan itu mengikutinya dan bertanya, "Mengapa engkau takut?"

Sang pangeran mengatakan padanya tentang keadaannya dan kesukaran yang dihadapinya seraya berkata, "Aku telah diperlakukan dengan tidak adil."

Jin itu menjawab, "Kalau engkau merasa diperlakukan tidak adil, mintalah pertolongan kepada Tuhan Yang Maha Kuasa, dan Dia akan melindungimu dari bahaya."

Sang pangeran muda menengadahkan wajahnya ke langit....

Tetapi fajar menyingsing, dan Syahrazad menghentikan ceritanya. Dinarzad, berkata, "Alangkah aneh dan indahnya kisah itu!" Syahrazad menyahut, "Ini belum apa-apa berbanding dengan apa yang akan kuceritakan kepadamu esok malam! Kisahnya lebih aneh dan lebih menghairankan."


*******************************************************

EPISOD 18 : MATINYA SI ORANG BIJAK 

Ketika malam tiba, dan sang raja telah menyelesaikan hubungan asmaranya dengan Syahrazad, berkata Dinarzad, "Kak, teruskanlah ceritamu." Syahrazad menyahut, "Baiklah."

Hamba mendengar, wahai sang Raja, wazir itu berkata kepada Raja Yunan:

Sang pangeran muda menengadahkan wajahnya ke langit dan berkata, "Wahai Tuhan, tolonglah aku untuk mengalahkan musuhku, sebab segala sesuatu itu ada dalam kekuasaan-Mu."

Ketika jin itu mendengar doanya, dia menyerah dan pergi, manakala sang pangeran kembali dengan selamat kepada ayahnya dan menceritakan kepadanya tentang sang wazir dan bagaimana dia mendorongnya untuk mengejar haiwan buruan dan membuatnya bertemu dengan jin perempuan.

Dengan marah sang raja memanggil wazir yang dilantiknya untuk anaknya itu dan memerintahkan untuk membunuhnya.

Lalu wazir yang iri hati kepada si orang bijak Duban itu menambahkan, "Wahai Paduka yang mulia, jika Paduka terlalu mempercayai, berkawan, dan memberi hadiah-hadiah kepada orang bijak itu, dia akan merencanakan untuk menghancurkan Paduka dan menyebabkan Paduka kehilangan segala-galanya. Paduka hendaknya menyedari bahawa hamba mengetahui dengan pasti bahawa dia adalah seorang agen asing yang datang untuk menghancurkan Paduka. Tidakkah Paduka melihat bahawa dia menyembuhkan Paduka dari luar, semata-mata dengan sesuatu yang Paduka pegang dengan tangan?"

Raja Yunan, yang mulai terpengaruh dengan kata-kata wazirnya menyahut, "Engkau benar, wazir. Orang bijak itu mungkin seperti yang kamu katakan, datang untuk menghancurkan aku. Dia yang menyembuhkan aku dengan sesuatu yang kupegang, mungkin juga dapat membunuhku dengan sesuatu yang kucium."

Lalu raja menyoal wazir itu, "Wazir dan penasihatku yang bijaksana, bagaimana aku seharusnya bertindak sekarang?"

Wazir itu menjawab, "Titahkan untuk memanggilnya dan membawanya ke hadapan Paduka, dan jika dia datang, penggallah kepalanya. Dengan cara ini, Paduka akan memperolehi keamanan dan terpenuhi keinginan Paduka."

Sang raja berkata, "Ini adalah nasihat yang baik." Lalu dia menitahkan untuk memanggil si orang bijak Duban, yang datang dengan segera. Masih terbayang kebahagiaan di wajah si orang bijak Duban kerana hadiah-hadiah, wang, dan jubah-jubah yang pernah diberikan raja kepadanya. Ketika dia masuk, dia menunjuk dengan tangannya ke arah raja dan membaca sajak berikut ini:

Jika hamba lalai berterima kasih kepada Paduka,
Lalu buat siapa hamba mencipta puisi dan prosa ini?
Paduka memberi hadiah-hadiah sebelum hamba minta,
Tanpa penundaan dan tanpa alasan.
Bagaimana mungkin hamba tidak memuji
perbuatan Paduka yang mulia,
Yang tercetus secara peribadi di hadapan rakyat
Hamba berterima kasih karena perbutan-perbuatan
Paduka dan hadiah-hadiah Paduka,
Yang, walaupun mereka membengkokkan
punggung hamba, menenggelamkan perhatian hamba. 


Raja bertanya, "Wahai orang bijak, tahukah engkau mengapa aku menitahkanmu menghadapku?"

Orang bijak itu menyahut, "Tidak, wahai raja yang bijaksana."

Sang raja berkata, "Aku memanggilmu ke sini untuk membunuh dan mencabut nyawamu."

Dengan penuh hairan si orang bijak Duban bertanya, "Mengapa Paduka berkeinginan membunuh hamba, disebabkan kejahatan apa kiranya?"

Sang raja menjawab, "Aku telah mendengar berita bahawa engkau seorang mata-mata dan engkau datang untuk membunuhku. Hari ini aku akan memerintahkan untuk membunuhmu sebelum engkau membunuhku. Aku akan membunuhmu untuk makan siang sebelum engkau membunuhku untuk makan malam."

Lalu sang raja memanggil pengawal dan memerintahkannya, dengan mengatakan, "Penggal kepala orang bijak ini dan jauhkan aku darinya!"

Ketika orang bijak itu mendengar apa yang dikatakan raja, dia tahu kerana dia disayangi raja, seseorang merasa iri padanya, lalu merencanakan untuk melenyapkannya, dan berdusta pada raja, agar dia dibunuh atau disingkirkan. Maka orang bijak itu pun menyedari bahawa raja itu tidak bijaksana, tidak pandai menilai, dan tidak dapat berfikir dengan baik, dan dia akan dipenuhi oleh rasa penyesalan, walaupun sesalan itu tidak ada gunanya lagi. Dia berkata kepada dirinya sendiri, "Tidak ada kekuatan dan kekuasaan, kecuali di tangan Tuhan Yang Maha Besar, Yang Maha Kuat. Aku telah melakukan perbuatan baik tetapi dibalas dengan perbuatan jahat."

Sementara itu, raja berteriak kepada algojo, "Penggal hingga putus kepalanya!"

Orang bijak itu memohon, "Ampunilah hamba, wahai raja yang mulia, dan Tuhan akan mengampuni Paduka; hancurkan hamba, maka Tuhan pun akan menghancurkan Paduka."

Si orang bijak Duban mengulangi perkataan itu berkali-kali, tetapi sang raja menolak, dan terus ingin membunuhnya. Raja Yunan berkata kepada orang bijak itu, "Orang bijak, engkau harus mati, sebab engkau telah menyembuhkan aku hanya dengan sebuah genggaman, dan aku khuatir engkau akan membunuhku dengan apa saja."

Orang bijak itu menyahut, "Inilah balasan untuk hamba dari Yang Mulia. Paduka membalas kebaikan dengan kejahatan."

Raja berkata, 'Jangan membuang-buang masa; engkau harus mati hari ini tanpa penundaan lagi."

Ketika si orang bijak Duban merasa yakin bahawa dia akan mati, dia menjadi sedih dan duka, matanya pun basah oleh air mata. Dia menyalahkan dirinya sendiri kerana telah melakukan kebaikan pada orang yang tidak patut menerimanya dan kerana telah menanam benih di tanah yang gersang, lalu ia membaca syair berikut:

Maimunah adalah gadis bodoh,
Meskipun dia keturunan orang bijak,
Dan banyak orang yang berlagak pandai 
Bagaikan benih di tanah kering yang belum dibajak.

Algojo mendekati si orang bijak, menutup matanya, mengikat tangannya dan segera mengangkat pedangnya. Sementara si orang bijak menangis, mengungkapkan penyesalannya, dan memohon, "Demi Tuhan, Yang Mulia, ampunilah hamba,. dan Tuhan akan mengampuni Paduka; hancurkanlah hamba, dan Tuhan akan menghancurkan Paduka." Lalu dengan berlinang air mata dia membaca lagi syair berikut:

Mereka yang menipu menikmati kejayaan,
Sedangkan aku dengan nasihat yang sejati gagal
dan dibalas dengan kehinaan.
Jika aku hidup, aku tidak akan
mengungkapkan sesuatu pun;
Jika aku mati, maka terkutuklah semua orang,
Orang-orang yang memberi nasihat buruk.

Lalu si orang bijak menambahkan, "Inikah balasan hamba dari Paduka? Ini bagaikan balasan dari si buaya."



Raja bertanya, "Bagaimana kisah buaya itu?"

Si orang bijak menjawab, "Hamba dalam keadaan tidak siap untuk menceritakan sebuah kisah kepada Paduka. Demi Tuhan, ampunilah hamba, dan Tuhan akan mengampuni Paduka. Hancurkan hamba, dan Tuhan akan menghancurkan Paduka." Lalu si orang bijak meratap dengan sedih.

Beberapa orang bangsawan mendekati raja dan berkata, "Kami memohon agar Paduka mengampuni orang ini demi kami, sebab menurut pandangan kami, dia tidak melakukan apa-apa kesalahan hingga layak mendapat hukuman ini."

Raja menjawab, "Kamu tidak tahu alasannya mengapa aku ingin membunuhnya. Kukatakan kepada kamu bahawa jika aku mengampuninya, aku akan mati, sebab aku khuatir dia yang menyembuhkan penyakitku dengan pengobatan luar, yang mengalahkan orang-orang bijak Yunani, hanya dengan menyuruhku memegang sebuah genggaman, dapat membunuhku pula dengan apa pun yang kusentuh. Aku harus membunuhnya, untuk melindungi diriku sendiri dari kejahatannya."

Si orang bijak Duban memohon lagi, "Demi Tuhan, wahai Paduka, ampunilah hamba, maka Tuhan akan mengampuni Paduka. Hancurkan hamba, dan Tuhan akan menghancurkan Paduka."

Sang raja berkeras, "Aku harus membunuhmu."

Ketika orang bijak itu menyedari bahawa dia pasti akan mati, dia berkata, "Hamba mohon Paduka menunda hukuman hingga hamba pulang, meninggalkan petunjuk-petunjuk untuk pemakaman hamba, melaksanakan kewajiban-kewajiban hamba, membahagi-bahagikan sedekah, dan menyumbangkan buku-buku ilmiah dan ilmu pengubatan hamba kepada orang-orang yang berhak menerimanya. Hamba mempunyai sebuah buku berharga berjudul Rahsia dari Segala Rahsia, yang ingin hamba serahkan kepada Paduka untuk Paduka simpan dalam perpustakaan Paduka."

Raja bertanya, "Apakah rahsia buku itu?" Orang bijak itu menjawab, "Buku itu mengandungi rahsia- rahsia yang tak terhitung bilangannya, tetapi yang paling utama buku pada halaman enam, membaca tiga baris dari halaman kiri, dan berbicara kepada hamba, maka kepala hamba akan berbicara dan menjawab apa pun yang Paduka tanyakan."

Raja merasa sangat hairan dan berkata, "Mungkinkah jika aku memenggal kepalamu dan, seperti kamu katakan, membuka buku itu, membaca baris ketiga, dan berbicara dengan kepalamu, ia akan berbicara padaku? Inilah keajaiban dari segala keajaiban."

Lalu raja mengijinkan orang bijak itu pergi dan menyuruhnya pulang sambil dikawal.

Orang bijak itu menyelesaikan urusan-urusannya dan pada hari berikutnya dia kembali ke istana raja. Maka di sana sudah berkumpul para pangeran, para wazir, bangsawan-bangsawan istana dan perwira-perwira militer serta rombongan raja, para pelayan dan rakyat jelata. Si orang bijak Duban masuk, membawa sebuah buku tua dan sebotol kohl (Kosmetik yang biasa dipakai oleh wanita-wanita Timur Tengah, terutama wanita Muslim, untuk menghitamkan kelopak mata mereka.) yang mengandungi serbuk. Dia duduk, meminta diambilkan sebuah pinggan besar, dan menuang keluar serbuk itu dan meratakannya di atas pinggan. Lalu dia berkata kepada sang raja, "Ambillah buku ini, dan jangan membukanya hinggalah hukuman ke atas hamba dilaksanakan. Setelah kepala hamba dipenggal, titahkan untuk meletakkannya di atas pinggan besar dan perintahkan agar ia ditekankan pada serbuk ini. Lalu bukalah buku itu dan mulailah menanyakan kepada kepala hamba sebuah pertanyaan, dan ia akan menjawab pertanyaan Paduka. Tidak ada kekuatan dan kekuasaan kecuali di tangan Tuhan, Yang Maha Besar, Yang Maha Agung. Demi Tuhan, ampunilah hamba, dan Tuhan akan mengampuni Paduka; hancurkan hamba, dan Tuhan pun akan menghancurkan Paduka."

Sang raja menjawab, "Aku harus membunuhmu, terutama untuk melihat bagaimana kepalamu akan berbicara kepadaku." Lalu raja mengambil buku itu dan memerintahkan algojo untuk segera memenggal kepala si orang bijak. Algojo itu menghayunkan pedangnya dan, dengan sekali hentakan, jatuhlah kepala itu di tengah pinggan besar. Ketika dia menekankan kepala itu pada serbuk tersebut, darahnya berhenti mengalir. Lalu si orang bijak Duban membuka matanya dan berkata, "Nah, Paduka, bukalah buku itu."

Ketika sang raja membuka buku itu, dia mendapati halaman-halamannya melekat bagaikan digam. Maka dia memasukkan jarinya ke dalam mulutnya, membasahinya dengan ludahnya, lalu membuka halaman pertama. Seterusnya dia membuka halaman-halaman berikutnya dengan penuh kesukaran hingga dia telah membuka tujuh halaman. Tetapi ketika melihat ke dalam buku itu, dia tidak menemukan tulisan apa pun di dalamnya, hingga dia berseru, "Wahai orang bijak, aku tidak melihat tulisan apa pun dalam buku ini."

Orang bijak itu menjawab, "Bukalah lebih banyak halaman lagi."

Raja membuka beberapa halaman lagi tetapi masih belum menemukan apa-apa. Sementara sang raja terus membuka halaman buku itu, serbuk itu menyebar ke seluruh tubuhnya - sebab buku dan serbuk itu telah dibubuhi racun dan sang raja mulai menggelepar, goyang dan kejang....

Tetapi fajar menyingsing, dan Syahrazad menghentikan ceritanya. Dinarzad berkata, "Kak, alangkah aneh dan menariknya kisah itu." Syahrazad menyahut, "Esok malam ceritanya lagi menarik dan aneh, jika sang raja mengizinkan dan membiarkan aku hidup."


*********************************************************

EPISOD 19 : MATINYA SANG RAJA

Ketika malam tiba, dan sang raja telah menyelesaikan hubungan asmaranya dengan Syahrazad, berkata Dinarzad, "Kak, teruskanlah ceritamu." Sang raja menambahkan, "Hendaklah itu lanjutan kisah tentang si orang bijak dan raja." Syahrazad menyahut, "Baiklah, dengan senang hati." 

Hamba mendengar, wahai sang Raja, ketika si orang bijak Duban mengetahui bahawa ubat yang mengandungi racun itu telah menyebar ke seluruh tubuh raja dan sang raja menggelepar dan kejang, dia mulai membacakan sajak berikut:

Telah lama mereka memerintah kita 

Dengan sewenang-wenang,
Tetapi tiba-tiba lenyaplah kekuasaan mereka yang kuat.
Kalau saja mereka adil, mereka pasti hidup bahagia,
Tetapi mereka menindas,
Dan hukuman takdir menimpa mereka,
Dengan kehancuran yang patut mereka terima,
Dan esok hari dunia mengejek mereka, 


Ketika kepala si orang bijak selesai membaca sajak itu, sang raja jatuh dan mati, dan pada saat yang sama kepala si orang bijak itu mati pula....

Tetapi fajar menyingsing, dan Syahrazad menghentikan ceritanya. Dinarzad, berkata, "Kak, sungguh menarik kisah itu!" Syahrazad menyahut, "Ini belum apa-apa berbanding dengan apa yang akan kuceritakan kepadamu besok malam, jika aku masih hidup!"

********************************************************************************


EPISOD 20 : NELAYAN MENGELUARKAN JIN DARI DALAM KENDI


Malam berikutnya, ketika sang raja telah bermesra dengan Syahrazad, Dinarzad berkata, "Kak, jika engkau belum mengantuk, ceritakan kepada kami salah satu ceritamu yang indah untuk mengisi malam." Sang raja menambahkan, "Hendaklah itu kelanjutan dari kisah nelayan dan jin." Syahrazad menyahut, "Dengan senang hati."

Hamba mendengar, wahai sang Raja, si nelayan berkata kepada jin itu, "Kalau saja raja itu mengampuni si orang bijak, Tuhan pasti akan mengampuninya dan dia akan tetap hidup, tetapi dia menolak dan berkeras untuk membunuh si orang bijak, dan Tuhan Yang Maha Agung membunuhnya pula. Engkau juga, wahai jin, jika dari awal tadi bersedia mengampuniku, aku pun pasti akan mengampunimu. Tetapi engkau menolak dan berkeras untuk membunuhku. Oleh itu, aku akan menghukummu dengan membiarkanmu berada di dalam kendi ini dan melemparkanmu kembali ke dasar laut"

Jin itu berseru, "Wahai nelayan, jangan lakukan itu. Ampunilah aku dan selamatkan aku dan jangan salahkan aku atas perbuatan dan kejahatanku terhadapmu. Jika aku berbuat buruk, hendaklah engkau berbuat baik. Seperti kata pepatah, 'Berbaik hatilah kepada orang yang mencelakakanmu. Jangan lakukan apa yang dilakukan Imamah terhadap 'Atikah."

Nelayan itu bertanya, "Apa yang dilakukan Imamah terhadap 'Atikah?" 

Jin itu menyahut, "Kini bukan waktu yang tepat dan penjara yang sempit ini bukan tempat yang sesuai untuk menceritakannya, tetapi aku akan menceritakannya kepadamu setelah engkau membebaskan aku."

Nelayan itu berkata, "Aku harus melemparkanmu ke laut. Tidak mungkin aku membiarkanmu keluar dan membebaskanmu, sebab aku tadi telah memohon padamu dan memanggil- manggilmu, tetapi engkau menolak dan berkeras untuk membunuhku, tanpa ada kesalahan atau kejahatanku yang patut mendapatkan hukuman, kecuali bahawa aku telah membebaskanmu. Ketika engkau memperlakukan aku seperti itu, aku sedar bahawa engkau memang kotor sejak dilahirkan, dan engkau mempunyai sifat buruk, yang akan selalu membalas kebaikan dengan kejahatan. Setelah aku melemparkanmu ke laut, aku akan membangun sebuah pondok di sini dan hidup di dalamnya demi engkau, sehingga jika ada orang yang menarikmu keluar, aku akan menceritakan kepadanya tentang apa yang aku derita kerana perbuatanmu dan aku akan menasihatinya untuk melemparkanmu kembali ke laut dan membiarkanmu musnah atau merana di sana sampai akhir zaman; engkau yang paling kotor di antara semua jin."

Jin itu menyahut, "Bebaskan aku kali ini, dan aku bersumpah tidak akan pernah mengganggu atau berbuat jahat terhadapmu, malahan aku akan membuatmu kaya."

Ketika si nelayan mendengar itu, ia memerintahkan jin itu bersumpah dan berjanji bahawa jika nelayan itu melepaskannya dan membiarkannya keluar, dia tidak akan berbuat jahat terhadapnya melainkan akan mengabdi dan bersikap baik kepadanya. Setelah si nelayan yakin akan sumpah jin itu, dengan menyuruhnya bersumpah demi nama Tuhan Yang Maha Besar, dia membuka tutup kendi itu, dan asap pun mulai membumbung.

Ketika asap itu telah seluruhnya keluar dari kendi, ia menyatu dan berubah kembali menjadi jin, yang segera menendang kendi itu jauh-jauh dan membuatnya melayang ke tengah laut. Ketika si nelayan melihat apa yang telah dilakukan jin itu, ia merasa pasti bahawa dirinya akan menghadapi bencana dan kematian. Si nelayan membasahi bibirnya dan berkata, "Ini adalah alamat buruk." Lalu ia mengumpulkan keberaniannya dan berseru, "Jin, engkau telah berjanji dan mengucapkan sumpahmu. Jangan mengkhianati ku. Kembalilah, agar Tuhan Yang Maha Besar tidak menghukummu karena pengkhianatanmu. Jin, aku ulangi padamu apa yang dikatakan orang bijak Duban kepada Raja Yunan, 'Ampuni aku, dan Tuhan akan mengampunimu, hancurkan aku, dan Tuhan akan menghancurkanmu pula."

Ketika jin itu mendengar apa yang dikatakan si nelayan, dia tertawa, dan ketika si nelayan berseru lagi, "Jin, ampuni aku."

Jawab jin itu, "Wahai nelayan, ikutilah aku."

Maka nelayan itu mengikutinya, hampir tidak percaya akan kebebasannya. Akhirnya mereka tiba di sebuah gunung di luar kota. Mereka mendaki menuju sisi lainnya dan tiba di sebuah hutan belantara, yang di tengah-tengahnya terdapat sebuah tasik yang dikelilingi empat bukit. Jin itu berhenti di dekat tasik dan memerintahkan si nelayan untuk menebarkan jalanya dan memancing. Nelayan itu memandang ke tasik dan takjub ketika melihat ikan dengan beraneka warna, putih, merah, biru dan kuning. Dia menebarkan jalanya, dan ketika menariknya, dia mendapati empat ekor ikan di dalamnya; yang satu merah, satunya lagi putih, biru, dan ada pula yang berwarna kuning. Ketika dilihatnya ikan-ikan itu, dia sangat kagum dan gembira. Jin itu berkata kepadanya, "Bawalah ikan-ikan itu menghadap raja di kotamu dan tawarkan kepadanya, nescaya dia akan memberimu wang yang cukup untuk membuatmu kaya. Maafkan aku, sebab aku tidak mengetahui cara lain untuk membuatmu kaya. Tetapi jangan memancing di sini lebih dari sekali sehari." Lalu, sambil berkata, "aku akan merindukanmu," jin itu menendang tanah dengan kakinya hingga tanah itu merekah dan menelannya. 


pertemuannya dengan jin itu dan ikan yang berwarna-warni. Dia segera berangkat ke kota dan memasuki istana raja. Ketika dia menawarkan ikan itu kepada raja, sang raja memandangnya dengan penuh kehairanan.... 

Tetapi fajar menyingsing, dan Syahrazad menghentikan ceritanya. Dinarzad berkata, "Alangkah aneh dan indahnya kisah itu!" Syahrazad menyahut, "Ini belum apa-apa berbanding dengan apa yang akan kuceritakan kepadamu esok malam, jika sang raja mengizinkan aku dan membiarkan aku hidup, aku akan menceritakan kepadamu sesuatu yang lebih menghairankan.


Episod 21-25 atau 
Kembali ke Episod 1 dan 2 Di sini...

Di petik dari buku
Himpunan Kisah-kisah Aneh dan Lucu

6 comments:

  1. Penasaran nih....mana sambungannya..?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Oh..SebieKelatte minat nak baca kisah ni. Ingat takde...Nantilah kalau rajin saya sambung...

      Delete
  2. Cepetan yah nunnggu itu menyakitkan😭😭

    ReplyDelete
  3. Sudah ada sambungannya episod 21-25.
    makasih yer sudi membacanya...

    ReplyDelete