Tuesday, March 4, 2014

SAMSENG JEPUN PELUK ISLAM...


SIAPA sangka, dahulu dia seorang anggota Mafia Yakuza. Sebut saja namanya, ramai samseng menggeruninya. Ke mana saja pergi, dia diiringi berpuluh-puluh kumpulan samseng yang terkenal di Jepun.

Namun, setelah 30 tahun bergelumang dengan jenayah, akhimya dia mendapat hidayah dari Allah SWT. Kini, Shaykh menjadi seorang iman terkenal di sebuah masjid di Tokyo.

Shaykh Abdullah, 48, mengakui selepas memeluk Islam, dia mula mengambil tahu tentang ajaran Islam. Hidupnya tidak lagi bergelumang dengan dosa dan semakin tenang, sanggup merantau ke Arab Saudi untuk menjalani ibadat haji.


"Sepanjang 30 tahun, saya banyak melakukan aktiviti yang menyalahi undang-undang. Saya terlibat dengan pengaduhan sehingga sanggup membunuh," ujarnya kesal.

Katanya, ketika itu dia tidak terfikir memeluk Islam. Sebelum ini dia dilahirkan dalam keluarga Buddha. Namun, dia sendiri tidak mengamalkan ajaran Buddha.

Masa hariannya dihabiskan dengan pergaduhan, pembunuhan, minum arak dan menjadikan wanita sebagai pemuas nafsu. Dia tidak pernah terfikir untuk menjadi orang baik.

Setelah puas bergelumang dengan aktiviti jenayah, akhirnya timbul hasrat untuk meninggalkan aktiviti itu setelah umurnya meningkat 40 tahun. Dia mula mengambil kira soal hidup dan mati.

Ketika itu baru terfikir untuk menjalani kehidupan biasa walaupun hasratnya ditegah oleh rakan-rakannya. Setelah melihat umat Islam sembahyang berjemaah beramai-ramai di beberapa masjid di Tokyo, hatinya mula terbuka untuk mengenali Islam.

Setelah mendapat tunjuk ajar dari beberapa rakan barunya yang beragama Islam, Shaykh atau nama asalnya, Takazawa mula memeluk Islam dengan mengucap dua kalimah Syahadah.

Dia menukar namanya dari Takazawa kepada Shaykh Abdullah. Nama itu diberikan oleh imam yang menglslamkannya. Sejak itu, Shaykh mula melupakan zaman silamnya.

Setelah belajar agama di sebuah masjid di Tokyo, dia berpeluang mengikut beberapa pendakwah Islam merantau ke beberapa negara sehingga sampai di Arab Saudi.

Di situlah dia berpeluang menjalani ibadat haji bersama umat Islam dari seluruh dunia. Shaykh sangat kagum dan teruja dengan suasana di Madinah dan Mekah.

Setelah beberapa bulan berada di Mekah, dia bersama pendakwah dari negaranya pulang ke tanah air. Sepanjang dua tahun berada di Bandar Tokyo, dia dipilih menjadi imam di sebuah masjid di situ.

Jepun mempunyai penduduk yang ramai dan padat. Sehingga kini jumlah penduduknya mencecah 127,000,000 orang. Jumlah penduduk Jepun yang memeluk Islam meningkat kepada 20,000 orang.

Jumlah umat Islam di Jepun semakin meningkat dari masa ke semasa. Lebih 20 buah masjid besar di dirikan di seluruh Jepun. Shaykh antara imam paling popular di Tokyo.

Kata Shaykh, dia sedang berusaha membawa beberapa rakan Yakuza yang setia kepadanya untuk di Islamkan. Ramai rakan-rakannya pernah menyuarakan hasrat mereka untuk pulang ke pangkal jalan dan memeluk Islam.

"Ramai rakan-rakan lama saya yang menjadi ahli Yakuza berhasrat untuk keluar dari kumpulan mafia dan menjalani kehidupan baru. Mereka sudah bosan menjadi samseng jalanan dan ingin berubah menjadi seorang yang baik dan mendapat keredaan Allah SWT, "jelasnya.

Sehingga kini, Shaykh berjaya mengIslamkan lebih 500 orang dalam tempuh lima tahun. Kebanyakkan mereka terdiri dari ahli kumpulan Mafia, remaja terbiar dan penduduk tempatan yang tidak mempunyai pegangan agama. 

Sumber : Mingguan Warta Perdana...

1 comment:

  1. Hidayah itu milik ALLAH. DIA boleh anugerahkan hidayah kepada sesiapa yang DIA kehendaki. Kita yang mengaku Islam ni, peliharalah iman dan akidah kita sebaik-baiknya....

    ReplyDelete