Thursday, October 9, 2014

TERIMA KASIH ALLAH KERANA PENGLIHATAN INI...

Seorang budak lelaki buta duduk di tangga sebuah bangunan, di hujung kakinya ada topi yang ditelentangkan. Di leher budak itu tergantung sebuah coretan, "Saya buta, bantulah saya." Setelah beberapa jam membatu di situ hanya ada beberapa keping duit syiling saja di dalam topinya hasil sedekah orang yang lalu lalang.

Sejak tadi seorang lelaki memerhatikan gelagat budak lelaki itu. Kemudian dia terfikir sesuatu lalu dihampiri budak lelaki itu dan meletakan beberapa keping duit syiling ke dalam topi tersebut. Sebelum beredar dia mengambil coretan yang tergantung di leher budak itu dan menulis beberapa perkataan di atasnya. Kemudian dia menyangkutkan kembali kertas itu ke leher budak buta itu.

Orang yang lalu lalang di situ berhenti dan membaca sedikit coretan yang telah dibuat oleh lelaki itu dan meletakkan beberapa keping syiling ke dalam topi. Tidak lama kemudian topi itu pun penuh, ramai yang menderma.

Tengah hari itu lelaki yang menukar coretan itu datang lagi untuk melihat apa yang sudah berlaku. Budak lelaki buta itu kenal bunyi tapak kasut orang yang menghampirinya. Ya, lelaki itulah yang telah mengubah coretan pada kertas yang tergantung di lehernya. Lalu dia bertanya, "Abangkah yang telah mengubah coretan yang saya buat pagi tadi? Apa yang abang tulis?"

Lelaki itu menjawab, "Abang hanya menulis apa yang benar. Saya cakap apa yang adik cakap tetapi dalam cara yang berbeza."

Lalu lelaki itu membacakan apa yang telah ditulisnya, "Hari ini sungguh indah. Malang, saya tidak mampu untuk melihatnya."

Bukankah yang ditulis mempunyai maksud yang sama tetapi disampaikan dengan cara yang berbeza. Kedua-dua coretan itu menyatakan bahawa budak lelaki itu buta. Coretan yang pertama, "saya buta, bantulah saya". Manakala coretan yang kedua membawa maksud kita bertuah kerana Allah mengizinkan kita untuk mampu melihat. Coretan yang kedua itu lebih menyentuh hati.

Firman Allah s.w.t.:

"Dan Dialah jua yang mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur tapi) amatlah sedikit kamu bersyukur." (Al-Mu'minun:78). 

Pengajaran dari kisah ini:-

  1. Setiap apa yang kita mohon samada kepada Allah atau manusia hendaklah jelas.
  2. Kita perlu bersyukur walaupun menerima pemberian yang sedikit.
  3. Manusia biasa melihat dengan mata kasar, manakala manusia buta melihat dengan matahati.  

Dipetik dari Majalah Al-Islam 9/2014

3 comments:

  1. Lemas dgn gangguan org buta diirini yg celik dtg meminta sedekah di gerai mkn terutamanya di Kg. Baru....DBKL tlg pantau sbb skrg mkin parah...malu pd pelancong asing...

    ReplyDelete
  2. Penjual bangla pun ramai...ganggu org nak mkn....

    ReplyDelete
  3. Tak yah la berkira sgt...bagi singgit tak luak pun....

    ReplyDelete