Sunday, October 19, 2014

KONSERT HAYAT 45 TAHUN SENIMAN RAMLI SARIP...

Ketika Ramli Sarip bersama kumpulannya Sweet Charity dari Singapura sedang popular di lewat tahun 1970an, umur aku masa tu dalam lingkungan 19 tahun. Pada tahun 1979, banyak kumpulan-kumpulan muzik lahir bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Ini nak menggambarkan betapa banyaknya kumpulan muzik pada ketika itu.

Jika kumpulan muzik yang terkenal seperti Sweet Charity dengan konsep rock dan Black Dog Bone pula dengan lagu-lagu balada dan pop berasal dari Singapura, Di Malaysia pula kumpulan muzik yang terkenal adalah seperti Carefree, Blues Gang dan Alleycats,

Sebelum kumpulan-kumpulan muzik ini muncul, lagu-lagu hiburan yang bermain di corong-corong radio Malaysia pada tahun 1970an banyak di dominasi oleh penyanyi-penyanyi solo dari Indonesia seperti Broery Marantika, Bob Tutupoli, Eddy Silitongga dan banyak lagi, manakala kumpulan muzik pula adalah seperti D'LLOYD, The Mercy's, Fovourites Group, Koes Plus dan sebagainya.

Setelah lahirnya kumpulan muzik ini maka peminat-peminat di Malaysia pun mula beralih arah dan meminati muzik tempatan. Di corong-corong radio pula sudah kedengaran lagu-lagu dari kumpulan muzik tempatan dan di antara lagu hits pada masa itu adalah Rindu Bayangan (Carefree), Apo Nak di Kato (Blues Gang) dan Andainya Aku Pergi Dulu (Alleycat's). Walaubagaimanapun Kumpulan Sweet Charity dan Black Dog Bone tetap mengungguli seni hiburan di Malaysia.

Kenapa aku berkata begitu? Sebabnya ialah apabila Kumpulan Sweet Charity ataupun Black Dog Bone dari Singapura datang membuat persembahan 'live concert' Di Stadium Negara, Kuala Lumpur. Kita boleh lihat peminat-peminat dari seluruh pelusuk tanahair dan juga dari Singapura dan Berunai  akan memenuhi stadium. Jika kita berada di luar stadium, kita boleh dengar gegak gempita sorakan peminat-peminat yang ada di dalamnya. Mereka bersorak, bertepuk tangan dan menjerit-jerit bagai histeria apabila penyanyi dan pemuzik yang disanjungi membuat persembahan.

Bagi aku pula, kegilaan pada muzik agak terbatas kerana bukan semua muzik atau lagu yang aku minat. Lagu-lagu rock yang sentimental aku boleh terima walaubagaimanapun yang metal pula bergantung kepada melodi dan iramanya, kalau melodi dan iramanya sedap didengar walaupun sedikit bingit dan disusuli dengan liriknya yang puitis dan berunsur ketuhanan aku boleh terima dan akan menghayati sepenuhnya apabila didendangkan.

Lagu-lagu rock Sweet Charity yang heavy metal seperti Penunggu, Ribut, Batu, Musibah dan banyak lagi tetap segar di ingatan walaupun sudah hampir 30 tahun berlalu. 

Kini Ramli Sarip tidak lagi bersama Sweet Charity dan sekarang bergerak secara solo, banyak album solo beliau dihasilkan dan lagu-lagu popular beliau ialah seperti Keliru, Panah Beracun, Perjalanan Hidup, Istilah Bercinta, Doa Buat Kekasih dan sebagainya. Walaubagaimanapun jasa anggota Sweet Charity tetap tidak dilupakan. Jika ada kesempatan dan ada tawaran untuk membuat konsert, mereka akan bergabung semula bagi mengembalikan nostalgia untuk peminat-peminat setianya termasuklah aku sendiri. 

LATAR BELAKANG KUMPULAN SWEET CHARITY...  

Bagi generasi yang tidak mengenali Ramli Sarip dan juga kumpulan Sweet Charity maka di bawah ini disertakan serba sedikit latar belakang mereka.

Kumpulan Sweet Charity merupakan sebuah kugiran yang mula ditubuhkan di Singapura pada tahun 1967 oleh anggota asalnya iaitu Ramli Sarip (Vokal), Rosli Mohalim (Lewat 70'an Gitar) Joe Salim (Gitar), Wahid Warren (Bass), Syed Hassan Al-Attas (Allahyarham, bass) dan Rahman Sarbani (Drum).

Sweet Charity banyak mengadakan Roadshow dan di Fun Fair di seluruh Singapura dalam tahun 70an-80an dan Sweet Charity jugalah yang mempopularkan muzik rock sehingga mereka dilabel sebagai Deep Purple dan Santana Singapura. 

Kebanyakan kumpulan rock generasi baru seperti Search, Lefthanded dan lain-lain yang seangkatan dengannya menjadikan lagu-lagu Sweet Charity sebagai lagu awal mereka sebelum meneroka jauh ke bidang muzik rock tanahair. Lagu-lagu seperti Kamelia, Teratai, Sejuta Wajah, Hilang Gelap Terbitlah Terang cukup memberikan kesan yang begitu mendalam terhadap industri rock yang baru menapak di rantau ini ketika itu. 

Lagu Kamelia (lagu asal  Ebiet G. Ade) telah diberi suntikan irama yang lebih 'keras' dengan suara nyaring dan serak basah Ramli Sarip.

Walaupun membawa imej rock ala Deep Purple tetapi mereka amat kuat berpegang pada agama Islam, pernah terjadi di satu show di Ipoh, seorang promoter konsert telah menyuruh seorang budak menghantarkan arak sebagai hadiah dari promoter, tetapi alangkah terkejutnya budak itu kerana didapati ahli kumpulan Sweet Charity sedang solat @ sembahyang berjemaah sebelum konsert bermula.

Pada tahun 1986, Sweet Charity juga turut membintangi filem yang bertemakan cetak rompak iaitu filem Kembara Seniman Jalanan arahan Nasir Jani. Pada tahun yang sama, Ramli Sarip berpisah dengan kumpulan Sweet Charity dan menukar haluan menjadi penyanyi solo dengan album solonya yang pertama - RAMLI SARIP yang popular dengan lagu Panah Beracun.

Anggota-anggota yang lain masih meneruskan kumpulan Sweet Charity sehingga lahirnya sebuah album dengan menampilkan seorang penyanyi wanita bernama Zaitun yang berjudul 'Sweet Charity '88'. 

Walaupun mereka telah lama tidak bersatu, tetapi pada tahun 1996, mereka telah melakukan 'reunion' dan bersama atas nama Sweet Charity dan yang paling masyhur sewaktu di Stadium Negara, KL. Tampil dengan irama rock sejati tetapi masih mengekalkan unsur-unsur kemelayuan sebagai contoh seperti lagu Bulat-Bulat,Jangan Tunggu Lama-Lama, Zakiah dan banyak lagi.
     
KONSERT HAYAT 45 TAHUN SENIMAN RAMLI SARIP

Pada 17 Oktober 2014, aku bersama isteri berpeluang menyaksikan persembahan Ramli Sarip sempena 45 tahun perjalanan seni beliau yang diadakan di Panggong Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur. Tiket kami berdua yang berharga RM263.00 seorang serta makan malam ditaja oleh Bank Pembangunan Malaysia Bhd. (BPMB).

Kami sangat berbesar hati atas tajaan itu dan mengucapkan terima kasih kepada pegawai-pegawai BPMB seperti Asrul, Yani, Fida serta seluruh Bahagian Treasury bank tersebut yang berusaha mendapatkan tiket untuk kami dan lain-lain mereka yang terpilih.  

Pemuzik professional yang mengiringi beliau pada malam itu di ketuai oleh Man Kidal, salah seorang pemain gitar terbaik yang pernah dilahirkan di era 80an, 90an dan sehingga ini.

Turut dijemput membuat persembahan serta mengiringi beliau ialah anggota-anggota asal Sweet Charity seperti Rosli Mohalim (Lead Gitar), Rahman Sarbani (Drum) dan Ahmad Jaafar (Keyboard).

Artis-artis undangan pada malam itu ialah Aris Ariwatan, Dayang Nurfaizah, Jari (peniup trompet dan Seksafone) dan Ahmad Albar penyanyi asal lagu Zakiah dari Indonesia.  

Saksikan gambar-gambar yang sempat dirakam pada malam tersebut. Rakaman video tidak dibenarkan oleh Pihak Penganjur atas faktor bussiness. 

Tiket konsert yang berharga RM263.00 seorang...

Banner yang dipasang di Istana Negara tentang konsert yang akan diadakan...

Ramli Sarip sedang membuat persembahan selama lebih dari 2 jam...





Di antara ribuan penonton yang hadir termasuk 
Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron dan Ratu Rock Ella...




Salina (isteri) bergambar kenangan bersama Ratu Rock Ella...


Penulis bergambar bersama replika Ramli Sarip, lagenda Rock...



Para penonton tidak melepaskan peluang 
untuk bergambar di ruang legar Istana Budaya...



Penulis bersama isteri Salina turut tidak melepaskan peluang 
untuk bergambar bersama...

Penulis bergambar bersama anggota asal Sweet Charity yang terdiri dari 
Rahman Sarbani (Drummer), Rosli Mohalim (Lead Guitar) 
dan Ahmad Jaafar (Keyboard)...

15 comments:

  1. Walaupun tidak pernah berjumpa Ramli Sarip tapi kau tetap pujaan hatiku...

    ReplyDelete
  2. kenangan mengusik jiwa...tkasih ramli sarip & sweet charity...aku membesar bersama lagu2 kamu....

    ReplyDelete
  3. Minat sgt dgn ramli sarip...semoga beliau sihat dan hidup bahagia...Amin

    ReplyDelete
  4. Dari Ipoh naik moto cupcai ke stadium negara thn 1996 5 jam nak tgok sweet charity...berbaloi walaupun kebas seluruh bdn....

    ReplyDelete
  5. Saya hadir sama, konsert yg memukau

    ReplyDelete
  6. "Walaupun membawa imej rock ala Deep Purple tetapi mereka amat kuat berpegang pada agama Islam, pernah terjadi di satu show di Ipoh, seorang promoter konsert telah menyuruh seorang budak menghantarkan arak sebagai hadiah dari promoter, tetapi alangkah terkejutnya budak itu kerana didapati ahli kumpulan Sweet Charity sedang solat @ sembahyang berjemaah sebelum konsert bermula"......Tahniah Sweet Charity....

    ReplyDelete
  7. Love u Ramli Sarip and i miss sweet charity

    ReplyDelete
  8. salam hangat dari kami ijin menyimak sahabat

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam kembali...
      Saya mengijinkan jaket kulit utk menyimak....Tq....

      Delete
  9. Lagu yg paling aku suka dlm album solo ramli sarip adalah seperti Tajam-tajam, keliru, tanpamu, jikalau berkasih, tersendiri, kepastian, selamat malam, kumiliki bayanganmu (duet dgn Dato' Khatijah Ibrahim). Kalau tak salah lebih kurang 91 buah lagu semuanya.....

    ReplyDelete
  10. salam hangat dari kami ijin menyimak sahabat dari kami pengrajin jaket kulit

    ReplyDelete
    Replies
    1. Assalam Jaket Kulit...
      Saya tak berapa faham akan maksud tuan...
      Boleh beri maksud yg sebenar....

      Delete
  11. Lagu2 ramli sarip mempunyai maksud yang mendalam bagi yang memahaminya...

    ReplyDelete
  12. Sweet Charity band kegemaran sejak kecil. Ramli Sarip & siapa lagi kalau bukan Rosli Mohalim...?

    ReplyDelete