Tuesday, October 14, 2014

ADILA (AKU, DIA DAN LAGU)...



Lagu yang didownload ini adalah salah sebuah lagu yang aku dengar petang semalam di radio dalam rancangan Adila (Aku, dia dan lagu) yang sangat popular sekarang ini.

Salah satu kisah yang menyentuh perasaan adalah seperti di bawah....

Semalam balik kerja memandu kereta sejauh 25km, ikut MRR2. Jalan jem, hujan lebat, boringnya...dengar klasik Nasional rancangan Adila (Aku, Dia dan Lagu). Best juga kisah-kisah lama.

Ada satu kisah tu tak ingat tajuk apa. Ceritanya berkisar tentang kekeluargaan. Seorang Imam dan guru agama mengajar di kampung. Beliau beristeri dua, punya anak lebih kurang 13 orang....Anak yang sulung mengusahakan sawah...Dua orang adiknya berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Al Azhar, Mesir. Tapi biasalah dalam setandan kelapa tu tentu ada yang busuk...

Begitulah yang terjadi. Adik yang kecil tak minat nak belajar, tiap pagi, macam pergi sekolah tetapi sebenarnya melencong ke tempat lain bersama kawan-kawan. Aktiviti mereka sepanjang hari adalah mandi sungai, merayau-rayau dan mencuri buah di kebun orang... 

Satu hari, mereka terserempak dengan seorang pakcik yang sedang mengait buah sentol di kebunnya. Buahnya sangat lebat. Budak-budak tadi tak lepas peluang lalu menawarkan diri untuk membantu. Pakcik tu bersetuju, lagipun budak-budak tu jirannya jugak. Apa yang peliknya, pakcik tu hanya ambil sepuluh biji sahaja manakala selebihnya diberi pada budak-budak tadi. Apa lagi gembiralah mereka mendapat buah yang banyak. 

Masa nak bawa balik, timbul masalah kerana mereka tidak membawa bakul. Jadi masing-masing menanggalkan seluar yang dipakai untuk membungkus buah tersebut dan pulang dengan hanya memakai seluar dalam sahaja. 

Dalam perjalanan pulang hujan lebat, tetapi mereka terus berjalan kaki sambil menggendong buah sentol yang banyak itu. Tiba di sebuah warung, rupanya ramai yang berteduh di situ menanti hujan teduh. Di antaranya adalah abang budak tadi. Apabila melihat keadaan adiknya yang hanya memakai seluar dalam dengan menggendong buah sentol. maka terlintas di fikirannya yang adiknya telah mencuri, lalu timbul perasaan marah serta malu yang amat sangat di atas perbuatan adiknya itu. Ya lah! mana tak malunya kerana anak seorang imam dan guru mengaji boleh jadi macam tu. 

Tanpa menghiraukan keadaan sekeliling, si abang yang seperti kerasukan telah membelasah adiknya dengan sebatang buluh yang ada di tangan. Apa lagi....si adik yang kena belasah tadi telah meraung kesakitan akibat pukulan si abang yang bertubi-tubi sehingga buluh yang digunakan itu patah dan hancur.... 

Setelah puas memukul, adik yang dipukul tadi terjelepok ke tanah tak bermaya lalu diusung balik kerumah. Pada malamnya, si adik tidak dapat tidur lena kerana menahan kepedihan di badannya yang luka-luka akibat dipukul petang tadi. Kesedihan makin terasa kerana tiada seorangpun adik beradiknya yang datang merawat atau memberi bantuan samada untuk menyapu ubat dan sebagainya. Keadaan itu mungkin kerana semuanya takut pada abangnya. 

Menjelang dinihari, barulah seorang kakaknya datang menjenguk. Melihatkan keadaan adiknya yang parah itu, timbul perasaan kasihan di hatinya lalu memberikan rawatan. Sambil merawat, si kakak mengambil kesempatan memberikan nasihat supaya adiknya tidak lagi mengulangi perbuatan dan kerja yang tidak berfaedah itu. Si kakak juga mahu adiknya mengubah sikap dan memikirkan masa depannya. 

Bermula dari saat itulah adiknya mula menyesal akan apa yang telah berlaku dan mula merasa insaf. Beliau telah berjanji pada kakaknya akan menumpukan perhatian terhadap pelajaran yang telah lama ditinggalkan.

Walaupun keputusan peperiksaan yang diambil kurang memberangsangkan, tetapi akhirnya berkat usaha gigihnya itu telah membuahkan hasil dan beliau akhirnya berjaya juga menjadi seorang guru di sebuah sekolah bantuan kerajaan sehinggalah beliau bersara sekarang ini dan menghabiskan sisa-sisa hidupnya di kampung halaman.... 

Nasihat beliau kepada adik-adik di luar sana supaya tidak menjadi sepertinya dan hargailah pengorbanan ibu dan ayah yang bersusah payah mencari rezeki demi membesarkan anak-anak dan juga memberikan didikan yang sempurna dunia dan akhirat sebagai bekalan di masa hadapan. 

Begitulah serba sedikit kisah yang aku dengar petang itu. Jika ada kesilapan semasa menyampaikan kisah tersebut sepertimana yang dibacakan oleh juruhebah yang bertugas pada petang itu maka maafkanlah aku. Ambillah secara positif terhadap apa yang hendak disampaikan semoga dosa kita diampun dan diberi petunjuk dan hidayah oleh Allah swt. Aminnnn....

4 comments:

  1. Saya pun teringin nak joint Adila...byk kenagan masa kecik2 dulu...

    ReplyDelete
  2. Ade ke sesiapa yg boleh tulis kisah saye utk Adila?

    ReplyDelete
  3. Boleh la...sedih jugak la bace...

    ReplyDelete
  4. Adila... Pegh, best la kisah dan lagu kat radio klasik ni. DJ yang baca pun best, kadang2 siap tangkap leleh apa lagi bila dendangkan lagu yang kena dengan cerita yang dibaca . Aku pun sebak gak. Hehe..

    ReplyDelete