Pages

Saturday, November 29, 2014

MENJEJAKI MAKAM SULTAN MAHMUD MANGKAT DIJULANG...


Sedutan Filem Sultan Mahmud Mangkat DiJulang
yang menunjukkan saat-saat genting di mana Laksamana Bentan
sedang menikam Baginda Sultan ketika sedang dijulang
dan berakhir dengan kemangkatannya... 


Walaupun Kisah Sultan Mahmud Mangkat DiJulang telah hampir 315 tahun berlalu (2014-1699), namun kisahnya sehingga ini masih terus diceritakan dari satu generasi ke satu generasi yang lain. Kisah ini merupakan satu kisah benar dan tragedi yang sangat menyayat hati terutamanya kepada nasib malang yang menimpa Megat Seri Rama atau lebih dikenali dengan nama gelarannya Datuk Laksamana Bentan yang menuntut bela di atas kematian isterinya Dang Anum atas perintah Sultan Mahmud. 

Kisah ini juga telah difilemkan pada tahun 1961 dan ia dijadikan bahan rujukan serta tontonan generasi masa kini untuk dijadikan pengajaran yang sangat berguna, kita juga boleh menyaksikan bagaimana kekejaman, kezaliman dan ketidakadilan sering dilakukan kepada rakyat sehingga ke hari kiamat.   

Baru-baru ini aku telah mengambil kesempatan untuk mengunjungi tempat bersejarah ini ketika melakukan lawatan kerja selama 3 hari di Daerah Kluang, Mersing dan Kota Tinggi, bersama Team Pelupusan Harta Syarikat dari 25 hingga 27 November 2014. Lawatan dibuat di hari terakhir lawatan kami sebelum bertolak pulang ke Kuala Lumpur.   

 
Papan Tanda Makam Sultan Mahmud Mangkat DiJulang...

Kompleks Makam Sultan Mahmud Mangkat DiJulang...

Turut bersama dalam lawatan ke tempat bersejarah ini ialah Mohd Farizal Awang dari Bahagian Pentadbiran Ibu Pejabat Kuala Lumpur, serta Shahrul dan Jaafar dari Pejabat Pengurus Besar Wilayah Johor. 

Menurut Jaafar yang telah berkhidmat hampir 20 tahun di Johor Bharu, inilah kali pertama ia menjejakkan kakinya ke Makam Sultan Mahmud Mangkat DiJulang dan Makam Laksamana Bentan di Daerah Kota Tinggi ini mungkin atas sebab-sebab tertentu yang hanya beliau sahaja yang mengetahuinya.

Dengan bantuan penduduk setempat, kami akhirnya dapat menjejaki ketiga-tiga makam bersejarah ini termasuk makam Dang Anum, isteri Laksamana Bentan yang terletak bersebelahan dengan makam suaminya itu.

 Penulis (kiri) bergambar bersama Jaafar 
di atas tangga di pintu pagar masuk ke makam...

Bagi mengimbas kembali tragedi menyayat hati yang berlaku suatu ketika dahulu, maka sudilah kiranya peminat-peminat blog ini membaca kisah yang akan aku ceritakan ini.

Sebenarnya, kisah Sultan Mahmud Mangkat Dijulang telah menjadi sebuah legenda yang sangat masyhur. Ini bukannya kisah dogengan, ia kisah benar yang berlaku di Kota Tinggi, pada tengah hari Jumaat tahun 1699. Sultan Mahmud Syah ditikam sampai mati oleh Laksamana baginda sendiri, seorang pahlawan dari Bentan, kepulauan Jawa, bernama Megat Seri Rama. 

Penulis (kiri) bergambar bersama En. Jaafar atas tangga makam 
dan batu tanda pemberitahuan...

Papan Tanda Pemberitahuan...

Kisah Pilu ketika hujan panas hampir reda itu sangat menggemparkan, selain sultan, beberapa orang pengiring baginda turut ditikam oleh Laksamana Bentan yang hilang pertimbangan kerana terlalu marah, setelah isteri beliau yang mengandung anak sulung dihukum bunuh atas arahan sultan, hanya kerana mengidam untuk makan seulas nangka yang diambil dari taman diraja.

Selepas kemangkatan Sultan Mahmud ibni Almarhum Sultan Ibrahim Syah, Sultan Melaka terakhir   (1488-1511), putera kedua baginda telah ditabalkan menjadi Sultan Johor I pada tahun 1528 dengan gelaran Sultan Alauddin Riayat Syah. Selepas peristiwa Sultan Mahmud II, yang lebih dikenali Sultan Mahmud Mangkat DiJulang tahun 1699 itu, Kesultanan Melayu Johor telah diambil oleh Keturunan Bendahara (1699-1816), kemudian beralih tangan kepada keturunan Temenggung Abd. Rahman, Sultan Johor Riau (1816), dan diwarisi oleh Sultan Mahmud Iskandar, Sultan Johor yang telah mangkat baru-baru ini.

 
 Penulis (kiri) dan Shahrul mensedekahkan 
bacaan surah Al Fatihah kepada Al Marhum Sultan Mahmud II...

Perihal tragedi yang menimpa Sultan Johor yang masyhur ini, telah diceritakan terus menerus, lepas satu ke satu generasi sampai ke hari ini. Selepas hampir 4 kurun peristiwa ini berlaku, kisah Sultan Mahmud mangkat dijulang ini masih menjadi kisah yang sangat diingati oleh penduduk-penduduk asal Kota Tinggi, lebih-lebih lagi orang-orang keturunan Bentan sendiri yang masih takut terkena sumpah jika memijak tanah Kota Tinggi. 

Peristiwa Yang Terjadi...

Catatan sejarah Johor purbalaka ada meriwayatkan tatlaka hujan panas mulai turun mencurah-curah pada hari Jumaat dalam tahun 1699, orang-orang besar Istana telah melarang Sultan Mahmud II, daripada menunaikan sembahyang Jumaat di masjid yang terletak tidak berapa jauh daripada istana baginda. Cakap-cakap orang telah sampai kepengetahuan Datuk Bendahara Tun Abd. Majid, bahawa Laksamana Bentan (Megat Seri Rama) yang baru pulang daripada menjalankan titah sultan menghapuskan lanun-lanun di kepulauan Riau telah mengetahui perihal kematian isterinya (Dang Anum) yang sedang sarat mengandung sulung itu.

Datuk Bendahara khabarnya telah mengadap baginda dalam keadaan basah kuyup untuk menyampaikan rasa tidak sedap hatinya dan menasihatkan baginda supaya tidak keluar daripada Balai Rong seri sebagaimana kebiasaaannya. Baginda juga telah diberi ingatan oleh Bendahara supaya berhati-hati dengan menambahkan bilangan pengawal diRaja semasa berangkat menunaikan sembahyang Jumaat.

Hujan panas masih belum reda, tatkala Sultan Mahmud Syah II berkira-kira untuk berangkat meninggalkan istana buat kali yang terakhir, seorang pengiring baginda telah datang dan menyembahkan sebilah keris untuk dipakai oleh baginda sebagai langkah berjaga-jaga. Baginda turun dari istana dan memasuki usungan yang diangkat oleh empat orang pengiring dengan dikelilingi oleh ramai pengawal istana. Di pertengahan jalan, hujan mulai teduh, tapi masih renyai-renyai, awan agak mendung dan mentari beransur-ansur hilang di balik awan yang muram seolah-olah sedang beradu. Sebagaimana minggu-minggu sebelum itu, baginda akan diturunkan agak jauh dari masjid tetapi pada hari Jumaat yang malang itu, pengawal-pengawal istana baginda berkeras mahukan baginda diusung hingga ke tangga masjid. Dan saat-saat akhir hayat baginda pun tiba, Megat Seri Rama telah hilang pertimbangan, hanya menanti masa untuk menuntut hutang darah.

 Papan Tanda Masjid Al Hadi, Kg. Makam, Kota Tinggi Johor...

 Di Masjid inilah (Masjid Al Hadi) dikatakan berlakunya 
peristiwa Sultan Mahmud Mangkat DiJulang...

Tatkala sultan hampir dengan tangga masjid dan masih lagi di atas usungan, Megat Seri Rama dengan tanpa berlengah lagi terus menerkam dan menikam baginda tepat pada perut sultan, darah merah pekat membuak-buak membasahi pakaian baginda sultan dan menitis jatuh di atas tanah, beriringan dengan titis hujan air hujan yang membasahi bumi. 

Sebuah keluhan pilu kedengaran. Baginda mengerang kesakitan, bisa keris yang telah diperasap limau, pantas menyelinap ke segenap urat saraf Sultan Mahmud yang malang itu. Megat Seri Rama bagaikan dirasuk, habis pengawal diraja ditikam, orang ramai yang datang untuk bersembahyang Jumaat pada hari itu bertempiran lari menyelamatkan diri. 

Di saat sakaratulmaut sudah menghampiri, Sultan Mahmud II sempat mencabut kerisnya dan melontarkan ke tanah lalu terkena di hujung ibu jari Megat Seri Rama. Demi kedaulatan raja yang tinggi, luka yang sedikit itu meninggalkan bisa yang bukan kepalang. Laksamana Bentan sempat mengerang hanya seketika sebelum jatuh menemui ajal tidak lama kemudian. Sumpahan seorang sultan yang penuh daulat "Aku sumpah tujuh keturunan Bentan akan muntah darah kalau pijak bumi Kota Tinggi" yang benar-benar terjadi selepas itu apabila jika keturunan Bentan memijak kaki ke tanah Kota Tinggi. Baginda mangkat sebelum diturunkan dari atas usungan.

 Papan Tanda susunan jasad yang dikuburkan disini...
Kubur Sultan Mahmud berkedudukan di nombor tujuh
 (kubur yang besar sekali)...

En. Jaafar membalas dendam dan minta gambarnya banyak dirakam 
untuk menebus kesilapannya yang tidak pernah datang berkunjung 
ke makam ini walaupun telah 20 tahun bertugas di Johor Bharu...

 
Shahrul (kiri), Jaafar dan Farizal bergambar kenang-kenangan 
di Kompleks Makam Sultan Mahmud Mangkat DiJulang...

 Kawasan tanah perkuburan penduduk tempatan di kawasan berhampiran 
Kompleks Makam Sultan Mahmud Mangkat DiJulang...


Kisah sedih ini tercatat dalam Sejarah Johor oleh Tun Sri Lanang sebagai "Sultan Mahmud Mangkat Dijulang" Baginda mangkat dalam usia yang sangat muda iaitu 24 tahun dan menaiki taktha pada tahun 1685. Kemangkatan baginda yang tidak meninggalkan zuriat menyebabkan pembesar Johor pada masa itu bermuafakat untuk melantik Bendahara Tun Habib Abd. Majid menjadi Sultan Johor yang baru dengan gelaran Sultan Abd. Jalil IV (1699-1718) dan semenjak itu berakhirlah titisan zuriat Sultan Mansur Syah, Sultan Melaka yang mengasaskan kesultanan Johor semenjak 1428.

Kisah ini akan kekal menjadi peristiwa yang paling tragis dan akan tetap diingati oleh seluruh rakyat Malaysia.

 Papan tunjuk arah ke Makam Laksamana Bentan...

 
 Batu tanda yang menceritakan secara ringkas kisah tragedi 
Sultan Mahmud Mangkat DiJulang di dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris...

 Batu Nisan Makam Laksamana Bentan....  

 
Penulis sedang membacakan suratul Al Fatihah untuk 
disedekahkan kepada roh Laksamana Bentan dan 
semoga ianya ditempatkan bersama roh para solehin...Amin.

Makam Laksamana Bentan yang banyak berjasa tetapi akhirnya 
mati dibunuh akibat terkena lontaran keris Sultan yang berdaulat 
lalu terkena di ibu jari kakinya dan muntah darah dan akhirnya menemui ajal...

Makam Dang Anum, isteri Laksamana Bentan...
Ia mati dibunuh atas perintah Sultan Mahmud kerana murka 
buah nangkanya ditebuk oleh penjaga kebun Sultan untuk diambil seulas
bagi diberikan kepadanya yang mengidam ketika mengandungkan anak sulung...    

Batu tanda turut diukir kisahnya dalam bahasa Mandarin...  
 
En. Jaafar (kiri) sedang menyatakan sesuatu...
mungkin tentang batu tanda kisah tragedi 
 tersebut kepada Farizal (tengah) dan Shahrul...

Bergambar kenangan di tepi sungai Kg. Makam kira-kira 1/2 km
dari Kompleks Makam Sultan Mahmud Mangkat DiJulang...

Jeti pendaratan di tepi sungai Kg. makam...

Beberapa penduduk tempatan memancing ikan di tepi sungai Kg. Makam...

Pemandangan dari Makam Laksamana Bentan ke bandar Kota Tinggi, Johor...


Team Pelupusan Harta Syarikat bergambar
ketika berada di Daerah Mersing, Johor...

Dari kiri: Boboi, Isorudin, AJ, Abu dan Farizal...

dan kiri sekali Mohd Zikri... 
Tiada dalam gambar ialah Shahrul...

Monday, November 24, 2014

UPACARA MENGHALAU JIN DAN SYAITAN...

Dalam keluaran artikel yang lepas, aku ada menceritakan tentang kisah rumah adik aku yang telah mengalami gangguan Jin dan Syaitan semenjak ia mendiaminya bersama keluarga selama hampir sepuluh tahun yang lalu.

Kepada mereka-mereka yang baru membaca kisah ini dan ingin mengetahui kisah yang diceritakan sebelumnya, maka silalah klik di sini... Selepas membaca kisah permulaannya itu, maka bolehlah terus menyambung bacaan pada episod yang seterusnya yang akan aku kisahkan di bawah ini. 

Selepas adik aku menceritakan masalah yang dihadapinya itu, maka aku pun pulang ke Kuala Lumpur dan berjanji kepadanya untuk membawa seorang Ustaz yang aku kenali yang aku yakin dengan izin Allah s.w.t., beliau boleh menyelesaikan masalah gangguan Jin dan Syaitan yang selama ini telah mengganggu kehidupan mereka sekeluarga. Ustaz yang dimaksudkan ialah Ustaz Abdul Halim b. Zakaria yang sangat berpengalaman dalam ilmu perubatan Islam. Beliau juga merupakan pakar kaunseling dalam menyelesaikan masaalah rumahtangga kepada pasangan yang hampir bercerai. 

Aku dan abang aku Joe telah membuat satu temu janji dengan ustaz Halim untuk memohon khidmat dan bantuannya dalam menyelesaikan rumah adik aku yang diganggu Jin dan Syaitan itu. Dalam pertemuan itu, aku telah menceritakan segala-galanya kepada ustaz Halim sepertimana yang telah diceritakan oleh adik aku itu. Abang Joe hanya mendengar dan menganggukkan kepala membenarkan kata-kataku itu. Setelah bercerita panjang, akhirnya ustaz Halim bersetuju untuk memulihkan rumah adik aku itu dan dia menetapkan pada hari Sabtu 22 Nov, 2014 jam 10 malam.

Pada hari yang dijanjikan iaitu Sabtu 22 November 2014 jam 2 petang, aku bersama abang Joe telah memulakan perjalanan pulang ke Taiping dengan kereta yang aku sendiri memandunya manakala Ustaz Halim pula memaklumkan ia akan bertolak pada jam 5 petang nanti dari Sentul, Kuala Lumpur kerana ia sedang melakukan rawatan kepada salah seorang pesakitnya.

Perjalanan kami diiringi dengan hujan yang sangat lebat disertai dentuman petir yang agak kuat membuatkan aku sentiasa berhati-hati semasa memandu bagi mengelakkan kemalangan. Akibat hujan lebat itu juga, kami telah bertemu dengan satu kemalangan berhampiran Tanjung Malim di mana sebuah lori treler 12 tayar telah terbalik di sebelah kiri lebuhraya. Kami bernasib baik kerana lori treler tersebut tidak menghalang laluan dan kami dapat meneruskan perjalanan dengan selamat. Jika kami lewat 15 minit atau setengah jam selepas kemalangan itu, sudah tentulah kami akan terlambat kerana terperangkap dalam kesesakan lalulintas akibat kemalangan itu.

Kami tiba pada jam 5.30 petang selepas hampir tiga jam aku memandu dan terus 'lepak' dan melepaskan penat di kedai makan yang diusahakan oleh seorang lagi adik kami iaitu Amri. Kedai makan beliau sangat terkenal kepada seluruh penduduk di Pekan Simpang, Taiping  dan juga ada pelanggannya yang datang dari Ipoh dan Pulau Pinang. Untuk makluman pembaca, menu utama di kedainya adalah "Koayteow Koboi" yang sangat terkenal itu dan menjadi igauan kepada mereka-mereka yang pernah menikmatinya. Artikel mengenai Koayteow Koboi beliau telah aku ceritakan di dalam blog ini. Kepada mereka-mereka yang ingin mengetahui kisahnya itu, sila klik di sini dan bahagian 2 di sini...

Selepas hampir 30 minit kami 'lepak' di kedai Koayteow Koboi, kamipun bertolak ke bandar Taiping yang sangat indah dan nyaman. Bandar Taiping juga dikenali sebagai "Bandar Warisan". Di bandar inilah aku bersekolah dan menghabiskan usia remajaku bersama-sama rakan sebaya seperti mandi sungai, mandi air terjun di kawasan perkelahan di bawah kaki Bukit Larut, berjoging, berbasikal dan mendaki Bukit Larut yang sentiasa dikunjungi ramai. Pelancong-pelancong yang datang ke Bandar Taiping ini tidak akan lengkap lawatan mereka jika mereka tidak mendaki bukit ini atau menaiki land rover yang disediakan dengan sedikit bayaran yang dikenakan. 

Tujuan aku dan abang Joe ke Bandar Taiping yang terletak kira-kira 6 km dari rumah emak dan ayah di Simpang yang pada ketika ini sudah tidak berpenghuni lagi setelah kematian mereka, adalah untuk menikmati 'Yong Tau Foo' di sebuah 'Food Court' yang dikatakan sangat lazat yang terletak di belakang Balai Bomba Taiping. Kami turut disertai oleh seorang lagi abang kami iaitu Abang Izhar serta keluarga dan juga adik kami yang rumahnya akan dipulihkan sebentar lagi. 

Ketika sedang menikmati makan malam di 'Food Court' tersebut, Ustaz Halim telah menelefon memaklumkan bahawa dia sudahpun tiba dan meminta kami menunggunya di Kampung Air Kuning, Changkat Jering untuk melakukan upacara menghalau Jin dan Syaitan seperti yang telah dirancangkan itu. Jam ketika itu telahpun menunjukkan pukul 10 malam. Setelah bertemu, kamipun terus bergerak ke rumah adik bagi memulakan upacara.

Upacara Menghalau Jin dan Syaitan

Ketika tiba di rumah adik, kami disambut oleh suaminya dan anak-anak. Sebaik Ustaz tiba di pintu pagar rumah, Ustaz terus berkata: "Pokok ni nak kena tebang", sebab kat pokok ni lah tempat 'dia', kalau tak tebang akan jadi masalah sebab dia dah lama duduk kat situ".

Ustaz terus menyambung kata: "Pokok ni bukan setakat tebang saja tapi tunggul dan akarnya kena korek buang", pokok ni pokok Semambu, orang India memang suka tanam pokok ni sebab dia puja untuk sembahyang dia". 

Apabila Ustaz beritahu yang pokok ni pokok Semambu, aku lantas teringat yang aku selalu disuruh oleh arwah emak untuk cari pokok semambu kalau ada yang kena demam campak ketika kami kecik-kecik dulu. Kata arwah emak, daun pokok semambu sangat mujarab untuk menyembuhkan penyakit demam campak, tapi kata arwah mak lagi, apapun semua Allah yang izinkan, kalau Allah tak izinkan, kita tiada upaya untuk menyembuhkan penyakit. 

"Apa-apa pokok pun boleh tanam tapi kalau tanam depan rumah, tak payah lah tanam pokok besar-besar sebab akar dia boleh merosakkan rumah", lagipun pokok besar-besar ni biasalah, memang Jin suka tinggal di situ, tambah pulak kalau kita dok puja-puja dia, hmmm...memang seronoklah dia" kata Ustaz lagi.

"Jom, ustaz nak masuk rumah, nak tengok di dalam pulak" kita dah lewat ni" kata Ustaz lalu terus masuk. Ustaz meninjau seluruh rumah sampai ke bilik dan dapur..."

"Hmmmm... memang ada" tak boleh biar ni, kena pulih cepat", Mari kita mulakan sekarang dengan membaca Yassin beramai-ramai", bawak semua yang Ustaz suruh sediakan...garam kasar, lada hitam, cuka dan air mineral yang dibeli dan sebuah baldi" kata ustaz memberi arahan. 

Setelah bahan-bahan telah disediakan dan diletakkan di hadapan Ustaz, kami pun mula membaca Surah Yassin secara beramai-ramai sehingga ke akhirnya. Selepas itu ustaz meneruskan bacaan ayat-ayat Al Quran, panjang ustaz baca, aku kira dekat setengah jam jugaklah...kami yang tak hafal hanya mendengar dengan penuh khusyuk...ada antara ayat-ayat Al Quran tu aku hafal jugak sikit-sikit dan tahu maknanya...bacaan ustaz sangat lancar seperti seorang hafiz quran. 

Setelah selesai baca al Quran, aku tengok ustaz mencampurkan garam kasar tadi dengan lada hitam di dalam sebuah bekas, lepas tu ustaz gaulkan bagi sebati, kemudian ustaz bukak penutup botol cuka dan menghembus secara perlahan-lahan di mulut botol cuka tu. Lepas tu ustaz campur cuka tadi dengan air mineral dalam jug plastik dan mintak tuan rumah kacau ikut lawan jam. Selepas itu ustaz minta supaya dimasukkan dalam bekas 'spray' yang biasa kita guna masa nak seterika baju.    

"Sekarang, ustaz nak sebar dan tabur garam kasar yang dicampur lada di setiap penjuru rumah dan minta seorang untuk 'spray' air cuka tadi di setiap penjuru rumah, sebelum tu, tolong buka semua pintu, tingkap yang ada termasuk pintu dapur di belakang" Ustaz memberi arahan lagi...

"Masa ustaz nak sebarkan semua tu, mintak 3 orang untuk 'azan', sorang di pintu depan, sorang di tengah dan sorang di pintu belakang".

Aku yang sedari tadi memerhatikan, lalu ambil peranan untuk melaung azan di ruang tengah, manakala abang Joe di hadapan dan seorang lagi abang aku iaitu abang Din di pintu dapur di belakang...

Selepas menyebar di dalam rumah, ustaz teruskan sebaran di luar rumah pula dan juga di setiap penjuru sambil adik iparku (tuan rumah) melakukan 'spray' termasuk di tiang-tiang yang ada. Apabila sampai di pokok semambu tu, aku lihat ustaz membaling garam dengan lada hitam ke pokok semambu tu dalam keadaan menunjukkan muka marah. Tujuannya aku rasa supaya Jin tu takut dan lari jauh-jauh dari pokok semambu tu.

Setelah ustaz berpuashati akan tugas-tugas yang di buat, maka ustaz menghendaki air di dalam baldi yang telah dicampur lada hitam dan tiga biji limau purut dibuat mandi kepada semua penghuni rumah selama tiga hari berturut-turut. Begitu juga, taburan garam dan 'spray' air cuka hendaklah dibuat dua malam lagi bagi mencukupkan 3 kali termasuk malam ini.

Sebelum ustaz mengakhiri tugasnya, ustaz sudi memberikan kepada kami sedikit tazkirah. Di antara yang ditekankan oleh ustaz ialah supaya  kami kembali ke jalan Allah, tekun melakukan ibadat terutama solat, membaca Al Quran, berzikir, beristighfar, jauhkan diri dari sifat dengki dan irihati, mencari rezeki yang halal, jangan syirik kepada Allah, jauhi riba, berbakti kepada kedua ibu bapa dan selalulah pulang untuk menziarahi mereka.

Selain tazkirah, ustaz juga ada memberi beberapa petua dan kaedah dalam merawat penyakit seperti stroke, jantung, saka, sihir, gout dan sebagainya. Ustaz juga telah membuat satu lakaran tentang tubuh manusia dan menunjukkan tempat-tempat sensitif yang sering dimasuki Jin dan ambil kesempatan untuk mendatangkan penyakit dan kita perlu berwaspada serta berhati-hati akan kejahatan Jin yang sentiasa mendatangkan kemudaratan kepada manusia.

Upacara menghalau Jin dan Syaitan serta tazkirah oleh Ustaz Halim Zakaria berakhir pada jam 2.30 pagi dan pada malam itu aku dan abang Joe tidur di rumah abang Izhar kerana pagi esok (Ahad, 23 Nov 2014) kami hendak ke Kulim, Kedah kerana seorang anak saudara kami iaitu Ahmad Faizal akan melangsungkan akad nikahnya dengan gadis pilihannya bernama Nadia di Masjid Mahang selepas solat Zohor.

Saksikan gambar-gambar yang sempat dirakam sepanjang upacara menghalau Jin dan syaitan itu.
               
Inilah pokok semambu yang dikatakan oleh Ustaz Halim 
tempat kediaman Jin yang ditanam dan dipuja di hadapan rumah
oleh pemilik terdahulu sebelum dijual kepada adik...

Pembacaan surah Yassin secara beramai-ramai sedang dibuat...
"Minta maaflah, sebab gambar bacaan Yassin  yang aku upload ni
 banyak sangat, bukan apa nama pun baca Yassin, jadi
 gambar baca Yassin kenalah bubuh banyak sikit ...Tak pa la kan....)





Abang Izhar (kacamata) dan Abang Joe (baju ungu) 
sedang membaca surah Yassin...

Abang Din dan isterinya Kak Asni (baju merah) 
baru tiba selepas 10 minit bacaan Yassin dijalankan...


Bacaan doa selepas Ustaz selesai membaca Al Quran...


Ustaz sedang menuang cuka ke dalam jug plastik 
dan akan dicampur air untuk semburan di dalam rumah...

Zaini diminta untuk mengacau campuran tadi ikut pusingan lawan jam...


Tugas-tugas taburan garam dan lada hitam yang telah bercampur sedang dibuat...
  
Ustaz turut menabur garam kasar dan lada hitam di dalam bilik air...
Turut kelihatan di belakang ialah Abang Din sedang melaungkan azan...

Azan sedang dilaungkan di ruang hadapan (Abang Joe) 
manakala di ruang tengah pula, siapa lagi kalau bukan aku...

Kak Asni sedang memerhatikan tugas-tugas yang sedang dilakukan...

Ustaz dan Zaini turut melakukan taburan dan semburan di dalam bilik...

"Dulu masa kecik-kecik aku selalu azan di surau.
Nampaknya sampai sekarang azan yang aku laungkan masih merdu lagi..."






Ustaz meneruskan taburan di luar rumah selepas di dalam dah selesai...

Ustaz kelihatan sedang membaling garam kasar dan lada hitam 
ke pokok semambu yang dimaksudkan...





Zaini pula melakukan semburan di semua penjuru 
yang ada dan juga di semua tiang rumah...

Kak Midah (kakak ipar) sedang berbual dengan birasnya Kak Asni
sambil diperhatikan oleh Romina...


Selepas selesai upacara menghalau Jin dan Syaitan, 
sekarang Ustaz Halim memberikan penerangan tentang penyakit pula...
Kelihatan beliau sedang membuat lakaran tentang tubuh manusia...


Ustaz Halim Zakaria memberikan penerangan tentang penyakit Stroke...

Gambar lakaran tubuh manusia yang dilukis 
oleh ustaz untuk menerangkan tentang penyakit...

Gambar di bawah ini adalah gambar pernikahan anak saudara ku Ahmad Faizal dan Nadia
dan ia ada kaitan sepertimana yang sebutkan di perenggan akhir artikel diatas...



Ahmad Faizal dan gadis yang baru dinikahinya Nadia bergambar 
di hadapan Masjid Mahang, Kulim, Kedah......
"Didoakan semoga jodoh mereka kekal sehingga ke akhir hayat...Aminnnn...

Sila klik Untuk ke Bahagian Akhir