Pages

Tuesday, December 29, 2015

GUANTANAMO MEMBAWA TERRY KEPADA ISLAM...

Siapa yang tidak tahu dengan Teluk Guatanamo di Cuba? Pastinya bagi yang sering mengikuti perkembangan dunia Islam mengenali dengan jelas tempat ini. Di sinilah berdirinya bangunan penjara yang sangat mengerikan dengan penjagaan yang begitu ketat dan terkawal.

Bangunan yang dibina oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) bertujuan memenjarakan para tokoh dan mujahidin Islam yang dianggap sebagai manusia paling berbahaya di dunia sebagai pengganas.

Sebahagian besar daripada tahanan di penjara ini adalah Muslim, dengan latar belakang yang pelbagai berasal dari Negara Iraq dan Afghanistan serta kepulauan Arab. Di penjara ini jugalah dunia telah dikejutkan dengan pelbagai kisah penyeksaan, penghinaan, pembunuhan dan pelbagai lagi bentuk kezaliman yang dilakukan terhadap banduan-banduan hanya kerana mereka membawa satu identiti... Islam.

Mereka yang menjadi penghuni di dalam bangunan ini dipandang jijik, dihina dengan layanan melangkau fitrah seorang manusia hatta sekalipun seekor haiwan. Itulah nasib yang diterima oleh mereka yang bergelar banduan di penjara ini.

Walaupun begitu, mujur sebahagian besar masyarakat dunia memandang dengan reaksi negatif kewujudan penjara Guatanamo. Tuntutan agar penjara ini ditutup mengalir deras terhadap kerajaan AS sehingga Presiden AS, Barrack Obama menyambut baik tuntutan tersebut.

Sekalipun dilingkari dengan kisah-kisah yang jelik dan pahit dari penjara tersebut, namun masih terdapat lagi beberapa kisah indah yang menjadi penawar bagi umat Islam. Kisah yang berlaku terhadap salah seorang pengawal penjara, Terry Holdbrooks menjadi satu yang bermakna pada dirinya.

Kehidupan para tahanan banduan dalam penjara itu sememangnya memberi kesan dan pengaruh yang besar dalam hidup Terry yang pada mulanya hidup terumbang-ambing, sementalah lagi kedua-dua ibu bapanya yang berpisah sejak dia berusia tujuh tahun.

Dilahirkan di Phoenix, Arizona iaitu salah sebuah negeri di Amerika Syarikat dan terkenal dengan gurunnya pada 32 tahun yang lalu, dia sama sekali tidak pernah mendengar tentang Islam. Apatah lagi mengetahuinya sebagai sebuah agama.

Ini kerana dia tidak pernah kenal tentang kewujudan tuhan selama membesar di sana. Kehidupan junkies yang dilaluinya saban waktu telah membawanya kepada dunia yang penuh dengan maksiat.

Memasuki usia dewasa seusai pendidikan menengah, dia memohon kerja sebagai tentera kerana timbul kesedaran untuk berubah. Akhirnya dia diterima menyertai badan beruniform tersebut tetapi ditugaskan ke Guatanamo pada tahun 2003. Ketika itu usianya baru 19 tahun.

Walaupun itu merupakan tugasan yang pertama sebagai tentera, Terry tetap menerimanya sekalipun tahu tempat tersebut merupakan tempat paling berbahaya kerana dihuni oleh manusia paling buruk di antara yang terburuk.

Hal ini disebabkan dia sebelumnya telah menyaksikan rakaman video peristiwa 11 September 2001 yang menyaksikan umat Islam membuat serangan terhadap bangunan World Trade Center.

Dia juga turut berasakan di penjara itu nanti akan bertemu dengan orang-orang yang AS anggap sebagai musuh yang kejam dan berbahaya. Di benak fikirannya hanya satu, dia pasti bertemu dengan pemandu Osama bin Laden, jurumasaknya serta orang-orang yang akan membunuhnya jika mereka punyai peluang dan kesempatan.

GUANTANAMO AKU DATANG...

Sampai sahaja di Guatanamo, seribu pertanyaan dan persoalan berlegar di benak fikirannya. Ketika itu buat pertama kalinya, dia bertemu dengan seorang tahanan yang usianya baru menjangkau usia 16 tahun. Tahanan tersebut menyatakan bahawa dia sama sekali tidak pernah melihat laut dan tidak pun mengetahui yang bumi ini berbentuk bulat. Lalu timbul persoalan adakah anak muda itu tahu tentang rencana dunia gagasan pemerintah As iaitu 'War of Terror' (gerakan global memerangi pengganas).

Daripada persoalan kecil yang timbul itu akhirnya membawa satu perubahan yang besar dalam hidupnya. Perlahan-lahan dia Cuba mengenali Islam yang mula bercambah dalam jiwanya. Ketika para pengawal lain menyibukkan diri dengan alkohol dan gambar porno, Terry banyak memanfaatkan waktunya untuk berinteraksi dengan tahanan yang selama ini dianggap oleh pemerintah AS sebagai pengganas.

Dengan bermodalkan senyuman, membuatnya cepat ramah dengan warga penghuni Guatanamo hingga dia dikenal sebagai pengawal yang baik. Terry mula membicarakan soal latar belakang politik, etnik, moral, agama dan juga budaya mereka. Hasil daripada diskusi itu memberinya banyak pencerahan. Dan daripada para warga Guatanamo inilah, dia mulai mendapatkan informasi tentang Islam secara mendalam.

Keadaan ini secara tidak langsung membuatkan dia mengalami kejutan budaya kerana selama ini dia tidak tahu sama sekali tentang Islam apatah lagi konsep ketuhanan.

Setahun sebagai pengawal penjara ia telah mengubah hidupnya secara total. Satu malam, Terry memberanikan diri berjumpa dengan jeneral penjara buat kali kedua menyatakan hasratnya untuk memeluk Islam.

Terry tidak puas hati kerana pertemuan pertamanya dengan jeneral penjara, hasratnya ditolak mentah-mentah. Namun untuk kali kedua, dia mahu berbicara panjang lebar.

"Dengar adik! Adakah awak faham perkara ini akan mengubah keseluruhan hidup awak? Awak tidak boleh lagi minum arak, merokok dan makan babi. Melakukan persetubuhan di luar nikah, serta menonton porno. Awak kena belajar bahasa Arab, perlu solat lima kali sehari, belajar agama dan perlu ikut segala yang disuruh Allah. Bukan itu sahaja, awak tidak boleh lagi bersama kami di sini, rakan dan keluarga awak pasti akan membenci dan hidup awak akan susah," amaran Jeneral.

Suatu petang pada 29 Disember 2003, setelah hampir setahun mengkaji dan memahami tentang Islam, dia akhirnya membulat tekad dengan membuat satu keputusan yang sangat besar mengucapkan syahadah. Dengan disaksikan beberapa orang rakan, Terry akhirnya kembali kepada fitrah seorang manusia.


Seorang tahanan yang menjadi mentornya selama di sana telah memimpin upacara sederhana pengucapan syahadahnya. Lantas dengan ucapannya itu dia memutuskan untuk tidak lagi melakukan segala jenis maksiat termasuk kebiasaannya mengambil minuman keras yang selama ini menjadi rutinnya.

Terry berasakan ia seperti lahir kembali seusai kalimah syahadah meniti di bibir. Dengan pengislamannya, maka dia menukar namanya kepada Mustafa Abdullah. Baginya sesuatu itu tidak mudah buatnya, apalagi untuk mendirikan solat lima waktu di penjara Guatanamo. Namun begitu ia tidak membuatnya menyerah bahkan bertambah mantap untuk tetap kukuh berada dalam Islam.

Sesaat dia merasa dirinya terlalu kerdil di hadapan tahanan Guatanamo. Lantas hatinya berbisik, selama aku bergelar pengawal penjara, berasa malu bertimpa-timpa.

Walaupun tubuh mereka berada di balik jeriji besi, akan tetapi sebenarnya para tahanan itu jiwanya jauh lebih merdeka dariku. Aku ni fizikalnya bebas tetapi jiwa terpenjara dengan peraturan tentera. Sampai bila...?"


Terry bergambar bersama isteri tercinta...

Pada musim panas tahun 2004, Terry berasakan dirinya tidak lagi sesuai untuk berada di Guatanamo lalu meninggalkan tempat tersebut dengan berhenti sebagai tentera. Kini dia sudah pun berkahwin dan sedang melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (Phd) dalam bidang Teologi Islam. Harapan dan tekadnya hanya satu semoga satu masa nanti Amerika akan menjadi lebih baik dan menjadi pemangkin kepada sinar Islam.

Sumber : Al Islam
Susunan : Mohd Azrin Wahid

3 WASIAT RASULULLAH MENGUBAT JIWA...


Tiga wasiat Rasulullah agar melatih jiwa redha menerima qadak dan qadar. Jika kesemua wasiat itu diamalkan nescaya kita akan berasa betapa besarnya nikmat Allah dan sentiasa redha dengan-Nya. Inilah kunci bahagia dan rasa puas walau diuji dengan seribu satu macam masalah serta musibah. Tiga wasiat ini adalah terapi nabawi bagi penyakit jiwa dan latihan untuk redha.

PERTAMA: Abu Hurairah berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Orang mukmin yang kuat lebih baik dan dicintai Allah daripada mukmin yang lemah. Pada masing-masing mereka terdapat kebaikan. Bersemangatlah meraih apa yang bermanfaat bagimu. Mintalah pertolongan kepada Allah. Jangan berasa lemah. Jika kamu tertimpa sesuatu, jangan katakan, "Seandainya saya lakukan begini, pasti begini dan begini." Tetapi katakanlah, "Allah telah mentakdirkannya. Apa yang Allah kehendaki pasti Dia lakukan." Kerana kata, 'seandainya' membuka peluang amal bagi syaitan." (HR Muslim).

Hadis itu menjelaskan, barang siapa hendak mendapatkan kecintaan dan keredhaan Allah, maka harus memperkuatkan keimanannya dan bersungguh- sungguh melatih jiwa menjadi kuat. Memperkayakan dirinya dengan ilmu dan memperkuatkan fizikalnya dengan kekuatan lain yang bermanfaat untuk membentuk peribadi Muslim yang dicintai Allah.

Seorang Muslim harus berusaha mendapatkan sesuatu yang bermanfaat baginya, meminta pertolongan Allah, tidak merasa lemah. Menyerahkan segala urusannya kepada Allah dalam apa yang Allah takdirkan untuknya. Tidak boleh marah dan mengeluh terhadap musibah yang menimpa. Tidak boleh memberikan peluang syaitan menggoda dengan mengatakan, "Seandainya saya mengatakan begini dan begitu."

KEDUA: Jabir bin Abdullah berkata, Rasulullah mengajari kami solat istikharah untuk memutuskan segala sesuatu sebagaimana mengajari al-Quran. Baginda bersabda, "apabila seseorang di antara kalian mempunyai rencana untuk mengerjakan sesuatu, hendaklah melakukan solat sunat (Istikharah) dua rakaat kemudian bacalah doa ini, "Ya Allah, sesungguhnya aku memohon petunjuk kepada-Mu dengan ilmu-Mu, memohon ketetapan dengan kekuasaan-Mu dan aku memohon kurniaan-Mu yang sangat agung kerana sesungguhnya Engkau Berkuasa sedang aku tidak berkuasa sama sekali, Engkau Mengetahui sedangkan aku tidak, dan Engkau yang mengetahui hal yang ghaib. Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini (lalu menyebutkan secara langsung urusan yang dimaksudkan) lebih baik bagi diriku dalam agama, kehidupan dan akhir urusanku atau mengucapkan: baik dalam waktu yang dekat mahupun yang akan datang maka tetapkanlah ia bagiku dan mudahkanlah ia untukku. Kemudian, berikan berkah kepadaku dalam menjalankannya. Jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini buruk bagiku dalam agama, kehidupan dan akhir urusanku  atau mengucapkan: Baik dalam waktu yang dekat mahupun yang akan datang maka jauhkanlah urusan itu daripadaku dan jauhkanlah aku darinya, serta tetapkanlah yang baik itu bagiku di mana pun kebaikan itu berada. Kemudian jadikanlah aku orang yang redha dengan ketetapan tersebut." (HR Bukhari).

Doa itu mengajar dan melatih jiwa menjadi kuat agar redha dengan qadak dan qadar serta pasrah dengan takdir yang Allah tentukan. Takdir yang Allah tentukan untuk kita adalah yang terbaik dan amat bermanfaat.

KETIGA: Rasulullah s.a.w. bersabda, "Lihatlah orang yang di bawah kalian. Jangan lihat orang yang di atas kalian. Sesungguhnya itu lebih pantas agar kalian tidak memandang rendah atas nikmat Allah yang diberikan kepada kalian." (HR Muslim).

"Jika salah seorang dari kalian melihat orang yang dilebihkan nikmatnya atas dirinya dalam harta dan postur tubuh, hendaklah dia melihat orang yang di bawahnya." (HR Bukhari).

Hadis itu mengandungi ubat bagi penyakit hasad dan keluh kesah tentang takdir Allah. Jiwa orang yang suka melihat kenikmatan orang lain tidak akan pernah merasa rela. Setiap kali mendapatkan kekayaan dan kedudukan dia menjadi leka dan terus menginginkan kekayaannya bertambah serta rindunya kepada harta yang banyak semakin mendalam. Jika kita ikut wasiat Rasulullah itu maka akan terasa betapa besarnya nikmat yang Allah kurniakan, rela, puas dan bahagia meski diuji. Kehidupan menjadi stabil. (Sumber dipetik dari Iman Kepada Qadar - Prof. Dr. Ali Muhammad Ash-shallabi).

Sumber : Al Islam

SIAPAKAH PENGHUNI LANGIT?...


Hadis ini diteruskan dengan ungkapan, "Nescaya penduduk langit akan merahmati (menyayangi) kalian." Al-lmam al-Mubarakfuri berkata, "iaitu Allah Taala."

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa maksudnya ialah mereka yang menetap di langit iaitulah para malaikat kerana mereka sering meminta pengampunan untuk orang-orang yang beriman.

Allah Taala berfirman (Surah Ghafir ayat 7), maksudnya: "Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji Tuhan mereka; dan beriman kepada-Nya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa merayu): "Wahai Tuhan kami, rahmat-Mu dan ilmu-Mu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut Jalan-Mu dan peliharalah mereka daripada azab neraka."

Seterusnya al-lmam al-Mubarakfuri menjelaskan bahawa rahmat para malaikat untuk penduduk bumi adalah doa para malaikat untuk mereka agar dikurniakan rahmat iaitu kasih sayang dan maghfirah iaitu keampunan. Ini berdasarkan firman Allah Taala (Surah al-Syura ayat 5) yang bermaksud: "Dan mereka memohon ampun bagi makhluk-makhluk yang ada di bumi."

Berdasarkan penerangan ini, dapatlah dirumuskan bahawa terdapat dua pendapat bagi maksud man fis sama iaitu secara literalnya bermaksud 'dia atau mereka yang berada di langit'; iaitu pendapat pertama: Allah Taala.

Manakala pendapat kedua: Para malaikat. Namun huraian yang diberikan menunjukkan beliau cenderung kepada pendapat yang kedua iaitu maksud 'yang berada di langit' adalah para malaikat.

Walau bagaimanapun, boleh sahaja kita memahami maksud 'dia atau mereka yang berada di langit' adalah Allah Taala dengan mengambil kira bahawa Allah Taala tidak berada di dalam langit. Bahkan Allah Taala berada di atas arasy-Nya berasingan daripada makhluk-Nya. Firman Allah Taala dalam Surah al- Rahman ayat 5, bermaksud: "Tuhan yang Maha Pemurah yang berada di atas Arasy."

Inilah akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah menurut apa yang diterangkan oleh al-lmam Abul Hasan al-Ash'ari rahimahullah dalam dua kitabnya yang terakhir iaitu Maqalat al-lslamiyyin dan al-lbanah 'an Usui al-Diyanah.

Melihat kepada pandangan kedua, iaitu 'dia atau mereka yang berada di langit' adalah para Malaikat; dapatlah kita faham bahawa para Malaikat hidup di dalam tujuh petala langit. Di antara dalil yang menunjukkan keberadaan para malaikat di dalam langit adalah sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Langit telah merengek dan memang wajar langit merengek. Ini kerana setiap ruang empat jari pasti ada seorang malaikat yang meletakkan dahinya, sujud untuk Allah. (Hadis riwayat al- lmam at-Tirmizi, No. 2312 dan beliau berkata: Hasan Gharib).

LANGIT ITU TUJUH LAPISAN…

Begitulah kebesaran Allah Taala diperlihatkan kepada kita melalui bilangan malaikat yang begitu ramai yang memenuhi ruang langit di atas kita. Langit itu sendiri dinyatakan oleh Allah Taala sebagai tujuh petala langit.

Allah Taala berfirman dalam Surah at-Talaq ayat 12, yang bermaksud: "Allah yang menciptakan tujuh petala langit dan (la menciptakan) bumi seperti itu; perintah Allah berlaku terus-menerus di antara alarm langit dan bumi. (Berlakunya yang demikian) supaya kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu, dan bahawa sesungguhnya Allah tetap meliputi ilmu-Nya akan tiap-tiap sesuatu."

Begitulah kita beriman dengan apa yang Allah Taala beritakan kepada kita di dalam al-Quran al-Karim. Kita meyakini bahawa langit itu merangkumi tujuh petala langit atau tujuh lapisan langit. Namun, bagaimanakah keluasan lapisan pertama, kedua dan seterusnya? Hanya Allah Taala yang mengetahui perkara ghaib ini. Jika kita menjumpai dalil yang sahih tentangnya, ayuh kita beriman. Tetapi, jika kita tidak menjumpai apa-apa, maka serahkanlah urusan itu kepada Allah Taala.

Apa yang penting bagi kita adalah jika kita termasuk dalam golongan mereka yang sering merahmati makhluk-makhluk ciptaan Allah Taala, maka Allah Taala yang berada di atas Arasy dan para malaikat yang memenuhi ruang tujuh petala langit akan merahmati kita. Inilah yang kita dambakan dan inilah yang perlu kita usahakan secara bersungguh-sungguh dan berterusan. Semoga kita semua termasuk kumpulan yang sering merahmati dan sentiasa berkasih sayang.

Sumber : Al Islam

KAMBING TEMUI KOPI...


MENIKMATI sarapan pagi terasa lebih nikmat jika ditemani secawan kopi panas. Kopi ‘0' kurang gula kaww atau mungkin secawan kopi susu. Perghh! Aromanya, menusuk tajam ke rongga hidung. Rasanya, sudah cukup membuatkan penggemar kopi terpejam mata saat menikmati hirupan pertama. Nikmatnya, hrmm tak terkata!

Tidak usah bercerita tentang hebatnya kopi kerana ternyata kopi mempunyai pelbagai keistimewaan selain tahan mengantuk. Antaranya, meningkatkan metabolisme tubuh, menstabilkan emosi, mengurangkan berat badan, berfungsi sebagai antioksida dan banyak lagi. Namun, di sebalik penangan kopi, tahukah anda kambing adalah makhluk pertama yang mula-mula menjumpai kopi

Menurut rekod,sejarah penemuannya bermula di Ethiopia sekitar abad ke-11. Ketika itu, seorang penggembala kambing berasa hairan melihat tingkah laku ternakannya yang begitu aktif selepas makan sejenis buah beri berwarna merah. Melihat keadaan itu, dia lantas melakukan uji kaji ke atas buah berkenaan dengan merebus dan meminum airnya. Ternyata, air rebusan itu menjadikan tubuhnya lebih bertenaga dan segar. Maka terhasillah 'qohwah'.

Orang-orang Ethiopia menyediakan 
kopi Arabican secara tradisional...

Sekian lama kopi berada di negara terbabit, ia kemudiannya dibawa ke Yaman sekitar abad ke-14. Di sana, minuman ajaib itu menjadi sangat terkenal dalam kalangan ahli sufi. Mereka menjadikan minuman itu sebagai alternatif terbaik untuk kekal cergas ketika melakukan ibadah-ibadah khusus pada satu pertiga malam. Sepanjang tempoh itu, kopi tidak dijual, ia hanya ditanam untuk kegunaan sendiri. Sehingga abad ke-15, kopi kemudiannya dibawa masuk ke Mekah dan juga Turki.

Kopi Mocha dipercayai berasal dari Yaman  
dan rasanya sangat sedap. Cubalah!...

Revolusi kopi mula berlaku di Istanbul. Orang-orang Turki telah memperkenalkan satu kaedah 'bru' untuk membuat kopi menjadi lazat. Mereka memanggang biji kopi dan mengisarnya untuk rasa yang lebih pekat. Rasanya jauh lebih sedap daripada kaedah rebusan tradisional yang digunakan hampir 4,000 tahun. Orang- orang Istanbul juga turut menukar nama qohwah kepada 'kahve' mengikut keupayaan lidah bangsa mereka. Istanbul juga turut menjadikan kopi sebagai minuman utama di mahkamah hingga tertubuhnya jawatan pembuat kopi.

Sehingga kurun ke-17, rumusan tentang kesedapan kopi mula meresap ke seluruh Eropah. Bermula dengan Venice sekitar tahun 1615, air kopi mula dijual di kaki-kaki lima. Disebabkan kopi mampu menjadikan seseorang lebih bertenaga, kedai-kedai kopi mula menjadi tumpuan ilmuwan-ilmuwan, golongan pemikir, penyair, saintis, orang-orang ternama dan ramai lagi individu hebat. Dari situlah wujudnya kedai kopi yang menjadi tumpuan untuk membincangkan isu-isu semasa sebagaimana kita lihat pada hari ini.Tengok saja di kampung-kampung, kedai kopi pasti penuh.

Kopi dipercayai terkenal ke seluruh dunia 
sekitar lewat abad ke-17...

Kemudian, sekitar tahun 1669, kopi turut dibawa masuk ke Paris. Dari perkataan qohwah ke kahve. la diubah lagi menjadi Cafe. Istilah ini juga mengikut pelat lidah budaya mereka. Kemudian, ia ditukar lagi kepada Coffee setelah masuk ke London. Juga mengikut keupayaan lidah bangsa mereka. Nama akhir bagi coffee itu terus diguna hingga ke hari ini dan tidak lagi diubah.

Sejarah kewujudan kopi tidak terhenti setakat di London. Menurut rekod, sekitar tahun 1683, kopi 'tiba-tiba' muncul di Vienna, la bukan dibawa masuk untuk didagangkan sebaliknya kopi ditinggalkan oleh tentera-tentera Turki setelah keluar dari Vienna. Orang-orang Austria tidak tahu apa yang perlu dilakukan dengan 500 guni biji kopi yang ditinggalkan hingga ada cadangan untuk membuang saja ke dalam laut. Mereka menyangka biji kopi hanyalah makanan haiwan ternakan musuh mereka.

Walaubagaimanapun, seorang mata-mata daripada bangsa Austria mendapat tahu tentang berita itu  Dia yang pernah ditugaskan mengintip tentera-tentera Turki satu masa dulu sangat sinonim dengan kopi. Lalu, meminta biji-biji kopi berkenaan untuk dijadikan minuman dan diberi kepada semua orang secara percuma. Sejak itu, kopi menjadi terkenal dan dinikmati oleh semua masyarakat di negara itu.

Dalam 'banyak-banyak' sejarah kemunculan kopi di Eropah, kemasukan kopi ke Belanda paling unik. Orang-orang Dutch memang hebat. Mereka dapat mengagak bahawa kopi boleh memberi pulangan lumayan kepada mereka satu hari nanti. Mereka kemudiannya menjadikan biji kopi sebagai barang dagangan paling bernilai berbanding minuman. Kopi mula-mula masuk ke negara itu sekitar abad ke-17dari Yaman.

Kopi menjadi barangan dagangan bernilai 
selepas memasuki Negara Holland...

Jika anda masih ingat sejarah pendudukan Belanda di Sumatera, tentu anda akan berjumpa dengan kopi. Kedatangan Belanda ke rantau Indonesia adalah bersama kopi. Mereka membawa biji kopi untuk ditanam di kepulauan Jawa. Dari situlah ia diperkenalkan ke negaranya sendiri serta beberapa buah negara lain. Bagaimanapun, kopi di Belanda tidak dijual di kaki-kaki lima sebaliknya ia dijual secara eksklusif di kedai bertaraf lima bintang dan hanya dinikmati oleh ahli-ahli perniagaan. Beberapa tahun kemudian, ia dibawa masuk ke Amerika dan negara-negara lain melalui perdagangan.

Sumber  : Majalah Infiniti
Susunan : Nurul Fadhlin Che Ismail

Monday, December 28, 2015

MAGISNYA AZAN...


Apabila azan berkumandang, semua orang tahu, itu tanda telah masuk waktu solat. Di Malaysia, kita boleh dengar laungan azan di mana-mana. Jauh daripada maksud itu, ramai yang tidak tahu azan ini mempunyai suatu hikmah tersendiri.

Banyak peristiwa yang berlaku di sekeliling kita memperlihatkan azan itu sangat ajaib. Antaranya kisah seorang lelaki yang terselamat ketika berlaku tsunami pada tahun 2004 lalu. Ketika kejadian, mangsa hanya sempat melihat ahli keluarganya nazak di depan mata tanpa dapat berbuat apa-apa.Teringat pesan arwah ibu supaya melaungkan azan ketika ditimpa musibah, lelaki itu akhirnya dihanyutkan ke kawasan lebih selamat.

Pada tahun tersebut juga, negara kita pernah dikejutkan dengan kehilangan sebuah helikopter di Bario, Sarawak. Pelbagai usaha menjejak sudah dilakukan, namun tidak jumpa juga. Hal itu mengundang bantuan beberapa buah negara asing dalam misi murni ini. Bagaimanapun, tiada sebarang petunjuk ditemui. Akhirnya, seseorang tampil membantu dengan melaungkan azan. Pelik tapi benar, tidak lama kemudian, bangkai pesawat berkenaan tiba-tiba kelihatan di lubuk hutan.

Sementara itu, bagi kes mangsa lemas pula, laungan azan adalah kaedah alternatif yang digunakan selepas misi pencarian tidak bertemu sebarang petunjuk. Kebiasaannya ahli Penyelamat menggunakan kaedah ini selepas menemui jalan buntu menjejak mangsa. Lazimnya, orang tertentu akan diminta tampil ke sesuatu lokasi yang dipercayai sambil melaungkan azan. Walaupun perkara ini tidak masuk akal, tapi banyak kes mangsa lemas berjaya ditemui menggunakan kaedah ini.

Baru-baru ini, sebuah video telah jadi viral di Internet, la berkaitan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang hilang, tiba-tiba muncul semula selepas azan dilaungkan. Kejadian ini dipercayai berlaku di Selatan Thailand. Lebih menghairankan, lokasi kanak-kanak itu ditemui adalah kawasan semak-samun yang dilalui pasukan penyelamat beberapa kali. Persoalannya, kenapa azan mampu membuatkan mereka yang hilang ini ditemui semula?

Menurut, Pengasas Spiritual NLP Malaysia, Dr. Azhar Sarip, di dunia ini terdapat empat zon gelombang Beta, Alpha, Theta dan Delta. Kesemua gelombang itu mengandungi frekuensi tersendiri daripada gelombang negatif kepada gelombang positif. Azan pula berada dalam zon gelombang theta iaitu gelombang rendah yang bersifat menenangkan dan positif.

Berbalik kepada persoalan, makhluk halus, jin dan syaitan semuanya memiliki gelombang beta iaitu gelombang paling negatif. Secara saintifiknya, gelombang positif mampu menakluki gelombang negatif. Dalam hal ini, gelombang theta yang dilaungkan melalui azan akan memecahkan gelombang beta menyebabkan mangsa boleh ditemui semula. Oleh sebab itu, azan menjadi pilihan untuk mencari individu hilang.

Begitu juga azan digunakan ketika berlaku bencana. Asalnya Bumi kita bersifat theta kerana banyak pokok, gunung-ganang dan haiwan yang menenangkan Bumi. Walau bagaimanapun, hari demi hari ia mula menghala ke beta kerana sering berlaku pembunuhan, penebangangan dan kemusnahan. Hasilnya banyak permasalahan, peperangan dan bencana terjadi. Oleh itu, dengan hanya laungan azan musibah dapat ditenangkan. Sebab itulah, azan bersahut-sahutan di seluruh dunia.

Azan sangat penting untuk mententeramkan alam...

Hal yang sama juga berlaku dalam konsep spiritual agama Islam. Azan sering dikaitkan dengan solat yang mana mengerjakannya pada awal waktu dapat membina gelombang theta. Fitrahnya, solat akan didirikan selepas azan. Pada ketika itu Bumi berada dalam gelombang theta. Oleh itu, solat yang didirikan sejurus selepas azan membuatkan ia termasuk ke dalam gelombang itu. Ini secara tidak langsung tubuh kita akan selari dengan paksi Bumi. Hasilnya, solat lebih berkualiti, tenang dan khusyuk.

Bayi juga bersifat theta...

Apabila sudah berjaya mencapai ke tahap itu, tubuh akan menghasilkan tiga hormon, Melatonin, Endorphin dan Serotonin secara semula jadi. Ketiga-tiga hormon itu dapat mencegah dan melawan pelbagai penyakit jika dirembeskan dengan betul. Hormon Melatonin berfungsi sebagai Pengawal trafik dalam sistem badan kita seperti mengawal tidur, mengawal tekanan dan mengoksidakan radikal bebas yang boleh merosakkan sel-sel badan.

Apabila seseorang terkena kanser bermakna Melatonin tidak mampu lagi mengawal sel-sel badan atau dalam bahasa mudahnya pengawal trafik gagal menjalankan tugas menyebabkan sel-sel berlanggar sesama sendiri. Oleh kerana itu, penghidap kanser tahap satu dan dua, dinasihatkan sentiasa mempraktikkan azan supaya gelombang otak dapat direndahkan dan hormon Melatonin boleh dihasilkan.

Sementara itu, jika diperhatikan di hospital, pesakit yang berada dalam keadaan sakit, gelisah dan serabut, doktor akan menyuntik morfin sebagai penenang. Tetapi sebenarnya, tubuh kita sudah memiliki morfin semula jadi untuk ketenangan jiwa yang dikenali sebagai Endorphin atau morfin. Akhir sekali, hormon Serotonin yang bertindak sebagai agen ceria badan dikeluarkan. Tanpanya, kita mengalami tekanan dan murung hingga boleh membunuh diri.

Tahukah anda, kesemua hormon-hormon itu hanya boleh di dapati semasa tubuh berada dalam gelombang theta. Istimewanya, gelombang itu berkait rapat dengan azan dan solat pada awal waktu kerana keseimbangan tubuh boleh dicapai ke tahap maksima. Malangnya, kebanyakan daripada kita bersolat dalam gelombang beta iaitu solat lewat waktu. la menyebabkan pelbagai penyakit jiwa menimpa.

Sumber  : Majalah Infiniti
Susunan : Nurul FadhlinChe Ismail

Sunday, December 27, 2015

DARI TONG SAMPAH KE PENTAS PERAGAAN...


‘TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu'. Mungkin itulah perumpamaan paling tepat diberikan kepada pemenang ratu cantik, Khanittha Mint Phasaeng setelah menjuarai tempat pertama dalam pertandingan ratu cantik. Miss Unsensored News Thailand 2015 anjuran Dermadict pada 25 September tahun lalu. Kemenangan itu sekali gus mengubah nasibnya sebagai pengutip sampah.

Tiada siapa pernah menyangka, gadis comot, berbau busuk, kotor, berbaju koyak, berambut kusut, tiba-tiba melangkah penuh anggun, cantik, malah berkeyakinan tinggi saat meniti pentas peragaan. Ketika namanya diumumkan juri sebagai pemenang, air mata Mint tidak henti-henti mengalir membayangkan wajah ibu serta adik-beradik silih berganti dalam keadaan comot dan kotor.

Ironinya, orang yang berjaya datang daripada kehidupan silam yang menyedihkan. Begitu juga Mint. Hidupnya penuh dengan air mata. Dia juga hanya dibesarkan oleh ibunya, Orothai Pormaun yang bekerja sebagai pengutip sampah setelah bercerai dengan bapanya ketika Mint masih kecil.

Ketika berusia 14 tahun, Mint terpaksa berhenti sekolah semasa di peringkat Mathayom 3. Hidupnya terumbang-ambing tanpa pelajaran. Namun, Mint tidak pernah kesal kerana dia tahu ibunya susah untuk membesarkan mereka sekeluarga. Sebaliknya, gadis cantik itu sanggup turun padang berpanas hujan bersama ibunya mengutip sampah demi sesuap nasi. Bukan itu saja, di usia yang masih muda, Mint sudah melakukan banyak kerja dalam satu masa. Antaranya, menjual baju terpakai dan menjadi penari..

Akibat hidup yang kian menyempit, Mint telah dijaga oleh ibu saudara yang juga tinggal di kawasan berdekatan. Meskipun begitu, Mint tetap terus bekerja membanting tulang mencari rezeki. Setiap kali selepas habis menari, Mint akan terus terkejar-kejar mendapatkan ibunya yang berada di sekitar tempat-tempat pembuangan sampah.

Namun, lebih kurang pertengahan tahun lalu bapa saudara Mint mencadangkan gadis berusia 17 tahun itu menyertai pertandingan ratu cantik. Pada pandangan bapa saudaranya, mungkin itu peluang baik untuk Mint mengubah nasib keluarganya. Ternyata tanpa diduga, Mint yang sebelum itu tidak pernah menyertai mana-mana pertandingan 'Catwalk' terbukti berjaya merangkul gelaran ratu cantik Miss Unsensored News Thailand 2015.


Malah, namanya menjadi viral serta-merta selepas tanpa segan silu mengaku sebagai anak seorang pengutip sampah yang hidup melarat. Perkara itu sebenarnya tidak pernah diwar-warkan oleh Mint ketika dalam pertandingan. Akan tetapi, selepas gambar ratu cantik itu sujud di kaki ibunya di hadapan deretan tong-tong sampah, benar-benar meruntun hiba hati pembaca menyebabkan namanya terus'boom!'.


Begitu pun, nama Mint bukan hanya terkenal di negaranya sahaja, bahkan di seluruh dunia termasuk di Malaysia, Eropah dan beberapa buah negara lain. Semuanya kerana ketaatan, kemurnian serta kehidupan gadis cantik itu mengakui latar belakang kehidupannya bersama keluarga di bandar itu. sudahlah cantik, berhati murni pula.

Meskipun begitu, siapa sangka bidalan 'disangka panas sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari' selalu terjadi. Nikmat yang di kecapi hanya sementara apabila beberapa minggu selepas dinobatkan sebagai pemenang, pihak penganjur tiba-tiba menghubunginya untuk menarik balik gelaran ratu cantik. Perkara itu bukan hanya memeranjatkan Mint, bahkan semua peminat di negara terbabit.


Menurut saudara Mint, Know, penarikan gelaran ratu cantik disebabkan penipuan maklumat ketika mengisi borang penyertaan dahulu. Dalam borang berkenaan, Mint menulis dia belajar hingga tamat Mathayom 6 sedangkan ratu cantik itu hanya belajar sehingga tahap Mathayom 3 sahaja.

Pada awalnya pihak penganjur menerima panggilan dari sebuah universiti yang mahu menaja biasiswa untuk Mint menyambung pelajaran. Namun, selepas disemak, ternyata Mint tidak menghabiskan persekolahannya menyebabkan gelaran itu terpaksa ditarik balik, katanya. Oleh itu, pihak penganjur meminta Mint memulangkan semula BAHT 30,000 atau RM3,600 yang dimenanginya dalam pertandingan itu.


Bagaimanapun, Mint mengakui, wang kemenangan itu telah diagihkan kepada keluarganya untuk membeli keperluan hidup. Justeru selepas perbincangan lanjut dilakukan, pihak penganjur bersetuju menjadikan wang itu sebagai hadiah untuknya malah turut membenarkan Mint menyimpan mahkota kemenangan. Akan tetapi, pihak penganjur meminta Mint memulangkan semula kalung sutera yang diterimanya.


Kesal atas apa yang terjadi, Mint telah memohon maaf secara terbuka kepada pihak penganjur atas kesilapan yang dilakukan. Akui Mint, borang permohonan itu sebenarnya telah diisi oleh bapa saudaranya. Namun, tetap mengaku salah kerana tidak menyemak semula borang berkenaan sebelum menghantarnya kepada penganjur program.

Sumber : Majalah Infinity
Penulis  : Nurul Fadhlin Che Ismail 

MADU WARNA WARNI...

Madu berwarna-warni yang ditemui pada tahun 2010...

BENARKAH wujud madu yang dikatakan berwarna-warni? Agak-agaknya, jika dijual di pasaran, warna apa yang menjadi pilihan ramai?  Maklum saja, keunikan sesuatu perkara boleh menjadi daya penarik kepada orang ramai untuk mendekatinya. Silap-silap, ada yang melabelkan madu ini sebagai salah satu makanan 'hipster'.

Adakah ia benar-benar wujud? Bagaimana rupa bentuk madu ini? Untuk pengetahuan anda, madu warna-warni ini pernah wujud pada tahun 2012 di kawasan penternakan lebah di Ribeauville, Perancis. Awalnya, perkara ini hanya menjadi buah mulut masyarakat setempat kerana berasa teruja dengan warna madu yang terhasil. Betapa tidak, selama hidup, hanya menemui madu berwarna coklat cair dan kuning gelap. Jadi, apabila ternampak cecair manis ini dalam warna berlainan, pasti siapa pun akan teruja.

Sudah tentu para pembaca ingin mengetahui warna apa yang dikatakan pelik ini bukan? Keunikan madu ini terhasil dalam dua warna utama iaitu biru dan hijau. Namun begitu, penternak lebah turut menjumpai cecair manis berwarna kuning cair dan coklat kemerahan gelap pada sarang serangga tersebut.

Keadaan itu menyebabkan timbul kesangsian terhadap piawaian madu ini. Apakah ia mematuhi standard kualiti yang ditetapkan atau berbahaya kepada manusia? Dari sudut fizikal, warna madu itu cukup cantik dan ia sudah boleh menarik perhatian pembeli namun penternak tidak berani berbuat apa-apa kerana belum ada dalam sejarah mereka menemui madu sebegitu.

Menurut cerita para penternak lebah di kawasan berkenaan, cecair yang dikeluarkan oleh serangga itu bukanlah madu biasa. Hasil siasatan yang dilakukan oleh mereka membawa kepada penemuan bukti sebenar.

Mengejutkan, kumpulan lebah yang diternak rupa-rupanya memilih sebuah kilang industri penghasilan coklat sebagai lokasi persinggahan harian. Kedudukan kilang coklat yang terletak kira-kira empat kilometer dari kawasan penternakan memudahkan rutin harian serangga kecil itu. Sisa cecair gula-gula coklat yang berada di ruang terbuka telah menarik minat serangga ini untuk mengumpulkan nektar daripadanya. Maka, tidak hairanlah apabila zat manis yang terhasil pada sarang lebah yang ditemui memiliki warna yang berbeza dengan rona madu yang biasa kita temui.

Apakah kaitan gula coklat dengan penemuan madu pelik...

Sebelum itu, golongan penternak lebah di Ribeduville telah mengalami kerugian tinggi akibat kematian serangga tersebut semasa musim sejuk. Jadi, situasi madu berwarna unik ini sekali lagi menimbulkan polemik. Justeru Presiden Persatuan Pemeliharaan Lebah, Alain Freih mendedahkan keputusan kimia madu berwarna-warni ini.  Ahli kimia mengesahkan madu itu mempunyai kualiti rendah.

Alain freih menunjukkan madu pelik 
yang terhasil pada papan sarang lebah...

Maka, dengan sebulat suara mereka sepakat untuk memaklumkan kes tersebut kepada pihak perusahaan coklat berkenaan. Atas faktor tanggungjawab, kilang coklat ini bertindak menyimpan kesemua sisa manisan berwarna-warni ke dalam bekas tertutup. Selain itu, kawasan perindustrian itu turut dibersihkan bagi mengelakkan kedatangan semula 'tetamu kecil' ini. la sekaligus menyelesaikan masalah.

Sementara itu, penghasilan madu unik ini bukanlah pertama kali berlaku. Sebaliknya, sejenis madu berwarna merah telah ditemui awal pada tahun 2010 di Red Hook, Brooklyn, Amerika Syarikat. Menurut salah seorang penternak lebah, Cerise Mayo, penemuan tersebut dipercayai berpunca daripada jus ceri maraschino yang dihasilkan oleh kilang berhampiran. Awalnya, dia dan rakan-rakan berasa sukar untuk mempercayainya. Bagaimanapun, selepas sampel cecair merah tersebut dianalisis oleh pakar pemeliharaan lebah New York, ternyata ia berpadanan dengan jus buah yang dinyatakan.

Kehadiran cecair berwarna ini bukan sesuatu yang menggembirakan semua orang. Kekecewaan jelas terpancar di kalangan para penternak terbabit. Situasi aneh yang sepatutnya memberi pulangan kepada mereka rupanya hanyalah mimpi ngeri. Mereka terpaksa berdepan dengan hasil yang merosot ekoran cecair merah yang terdapat dalam sarang bukan nektar. la diklasifikasikan sebagai cecair yang tidak menepati ciri yang ditetapkan. Lebih mengecewakan lagi apabila ujian kimia menunjukkan cecair itu mengandungi rasa logam selain rasa manis yang terlalu jika dibandingkan dengan madu asli.

Madu berwarna-warni, unik atau menakutkan...

Insiden yang berlaku pada 2010 dengan 2012 cuma berbeza daripada zat manis dalam kandungan sarang sahaja. Ujian piawaian tetap menolak hasil cecair berwarna-warni ini untuk dikategorikan sebagai madu yang boleh dijual kepada orang ramai. 

GUA SON DOONG BOLEH BERSIUL...


Gua Son Doong... 

KEANEHAN sebuah gua terletak di Phong Nha-Ke Bang National Park, Bo Trach, dalam wilayah Ouang Binh di Vietnam telah menggemparkan orang ramai. Gua yang dinamakan Gua Son Doong ini disifatkan sebagai menakutkan kerana sering mengeluarkan suara-suara aneh.

Sebelum orang ramai mengetahui keanehan itu, tiada seorang pun baik orang luar mahupun rakyat tempatan menyedari akan keberadaan Gua Son Doong. Hanya beberapa tahun kebelakangan ini, penduduk baru sahaja mengetahui akan kewujudan tempat tersebut. Itu pun, setelah ia ditemukan tanpa sengaja oleh seorang lelaki tempatan, bernama Ho Khanh pada tahun 1991.

Sebagai penemu terawal, Ho Khanh sangat teruja untuk memberitahu soal penemuan itu kepada masyarakat umum, terutama penduduk tempatan. Namun, tidak ada seorang pun yang berani menjejakkan kaki ke sana kerana kebanyakan penduduk tempatan beranggapan gua itu berhantu.

Difahamkan, berdiri di pintu masuk gua sahaja sudah cukup membuatkan bulu roma merinding ketakutan. Mana tidaknya, Gua Son Doong dikatakan mengeluarkan suara-suara aneh berupa seperti siulan, muncul dari dalam gua sepanjang hari. Ditambah pula, suhu persekitaran gua yang dingin menimbulkan lagi perasaan seram sejuk. Dengan kata lain, bunyi-bunyian aneh dan keadaan persekitaran gua telah menciptakan kesan anomali yang sangat menyeramkan kepada siapa sahaja yang datang ke sini.

Gua Son Doong disifatkan sebagai menakutkan 
kerana sering mengeluarkan suara-suara aneh...

Kerana kepercayaan itu, bertahun-tahun penduduk tempatan meyakini bahawa gua tersebut berpenunggu. Malah, bertahun-tahun juga mereka hidup dalam ketakutan dan sering menjauhkan diri dari mendekati termpat yang dikatakan berhantu itu.Tapi, sejauh manakah kebenaran dakwaan penduduk kampung berhubung keanehan gua tersebut?

Ternyata, kepercayaan yang melampau pada perkara-perkara ghaib terkadang menjadi penghalang kepada penemuan besar yang terhidang di depan mata. Itulah yang terjadi kepada penduduk tempatan di sini. Rasa takut mereka pada hal-hal yang tidak diketahui hujung pangkalnya menyebabkan tiada seorang pun anak tempatan berani masuk dan cuba menyingkap misteri suara ganjil itu.

Sehinggalah semuanya terkuak pada tahun 2009. Itu pun, selepas sekumpulan saintis dari British Cave Research Association memutuskan untuk mengkaji misteri alam dalam Gua Son Doong. Hasil kajian yang diketahui oleh Howard Limbert, bermula dari 10 hingga 14 April 2009, mengesahkan bahawa gua tersebut memang mengeluarkan bunyi seperti siulan.

Bagaimanapun, penemuan saintifik menunjukkan sesuatu di luar daripada sangkaan penduduk. Me- nurut Limbert, bunyi ganjil itu bukanlah suara penunggu gua atau hantu seperti mana yang ditakuti oleh penduduk. Akan tetapi, ia sebenarnya berasal daripada tiupan angin dan deruan aliran sungai yang deras dalam gua. Itulah punca-punca bagaimana bunyi itu terhasil dan bergema sehingga boleh didengari di pintu masuk gua.

Saintis mengesahkan bahawa suara aneh itu 
sebenarnya berasal daripada tiupan angin dan 
deruan aliran sungai yang deras di dalam gua...

Limbert dan pasukannya bukan sahaja berjaya membongkar misteri suara aneh yang digeruni penduduk, malah lebih daripada itu. Rupanya, ramai tidak sedar bahawa Gua Son Doong menyimpan sesuatu yang sangat berharga.

Hasil daripada penelitian yang dijalankan, alangkah terkejutnya mereka apabila mendapati gua tersebut ternyata terlalu luas. Berdasarkan kiraan yang dibuat, gua berkenaan memiliki lima kali lebih luas daripada gua terbesar di Vietnam, iaitu Phong Nha. Bahkan, setelah diukur dengan teliti didapati keluasannya jauh lebih besar daripada gua terbesar di dunia, iaitu Gua Rusa di Sarawak, dengan ukuran panjang dua kilometer (km), tinggi 100 meter (m) dan lebar 90 m.

Gua Son Doong pula memiliki keluasan lima kilometer panjang, tinggi 200 m dan lebar 150 m. Dengan ukuran dimensi ini, ia telah dinobatkan sebagai gua terbesar di dunia, sekaligus mengalahkan pemegang rekod sebelumnya.

Menurut Limbert, ekspedisi memasuki Gua Son Doong adalah sangat sulit. Sungguhpun begitu, kesukaran yang dihadapi terbayar apabila mereka sekali lagi menemukan 'harta terpendam' di dalam gua tersebut. Kali ini apa pula?

Tidak pernah difikirkan oleh para pengkaji bahawa dalam gua yang sangat luas itu terbentang hutan dan sungai di dalamnya.

Persoalan bagaimana hutan boleh wujud di dalam gua tersebut terus dikaji oleh pasukan ini. Dan dapatan kajian menunjukkan, beberapa bahagian atap atau bumbung gua telah runtuh. Tidak diketahui secara tepat bila runtuhan itu berlaku. Dalam hal ini, pengkaji menyatakan kemungkinan ia terjadi sejak beberapa abad dahulu. Keruntuhan bahagian siling itu telah membenarkan air hujan dan matahari masuk sehingga tumbuhan boleh hidup di situ.

Hutan kecil yang wujud di dalam Gua So Doong...

Selain wujud hutan kecil yang menghijau, gua ini turut dihiasi padang alga. Alga ini dikirakan muncul kerana adanya kolam pada zaman kuno. la menyelimuti sebahagian lantai gua sehingga membuatkan kawasan itu terlihat seperti permaidani yang sangat indah. Pengkaji menamakan kawasan ini sebagai Garden of Edam.

Sebahagian lantai gua yang dilitupi alga...

Menariknya di sini, selain daripada spesies serangga kecil, terdapat juga haiwan lain seperti monyet dan kelawar. Gua Son Doong turut menyimpan keindahan kristal yang luar biasa, terbentuk dari titisan air dari ratusan tahun dahulu. Malah, mengandungi beberapa formasi stalagmit tertinggi di dunia, iaitu melebihi 70 m.

Antara pemandangan indah yang terdapat di dalam Gua Son Doong...

Dan difahamkan, terdapat banyak lagi rahsia alam tersembunyi di dalam Gua Son Doong. Tinggal lagi, menunggu masa untuk disingkap satu persatu.

Sumber : Majalah Infinity
Penulis  : Rosminah Haji Bakkang

RUMAH TUMPANGAN IBNU SALUL...

Gambar sekadar hiasan...

IBNU Salul berang. Dia merenung tajam lelaki di hadapanya. Ditangan lelaki tersebut ada segenggam wang. Namun, Ibnu Salul tidak berpuas hati kerana jumlahnya tidak seperti yang diharapkan.

"Sesungguhnya wang sebanyak ini adalah hasil kerja separuh hari, bukan sehari penuh!" ujar Ibnu Salul. Dia benar-benar marah. Matanya terjegil.

Kerana tidak mahu dituduh menggelapkan wang, maka pekerja di hadapannya itu mencelah, "Tahukah tuan kenapa hasil sekarang ini merosot?"

"Ya, aku tahu! Semua ini gara-gara Muhammad! la menyebabkan orang-orang menjauhi hamba-hamba wanitaku kerana terpengaruh dengan ajaran yang diseru olehnya bentak Ibnu Salul. Kemarahannya meluap-luap.

Ketika amarahnya masih membuak, Ibnu Salul mendengar orang memanggil namanya. Dia menjengah ke luar. Beberapa orang lelaki sedang tercegat berdiri di muka pintu.

Mereka tidak lain dan tidak bukan adalah pembesar-pembesar Bani Tamim yang selalu menginap tempat Ibnu Salul setiap kali datang berdagang.

Ibnu Salul segera keluar untuk menemui mereka. Gusarnya terhadap Muhammad sedikit reda kerana kehadiran lelaki-lelaki ini sudah pasti menambahkan pendapatannya hari itu.

"Manakah perempuan yang dulu pernah kamu hantar untuk kami, wahai Ibnu Salul?" tanya salah seorang pembesar Bani Tamim. “Perempuan yang mana satu? Mereka begitu ramai..." jawab Ibnu Salul. Nadanya lunak, menunjukkan amarahnya yang semakin reda.

"Perempuan kamu yang paling cantik!”

Apakah dia itu Masikah?" tanya lbnu Salul kembali.

"Ya, dia! Tidak salah lagi..."Jawab salah seorang lelaki itu dengan riak wajah yang tersengih.

"Kalau begitu, aku akan hantar dia kepada kamu bersama wanita-wanita lain."

"Segerakannya wahai Ibnu Salul. Nanti kami akan memberikan wang sebagai upah kepadanya," jawab lelaki Bani Tamim itu.

Tanpa membuang masa, Ibnu Salul segera mengarahkan pekerja lelakinya memanggil Masikah bersama hamba-hamba wanitanya yang lain. Selain Masikah, dia sendiri akan memilih beberapa lagi wanita cantik untuk dihantar kepada rombongan pedagang itu untuk mendapat upah yang lumayan.

Namun, pekerja lelakinya telah menyatakan sesuatu yang sangat mengejutkan Ibnu Salul.

"Masikah tidak mahu lagi melakukan perkara itu, tuan. Dia telah meluruskan fikirannya” kata lelaki berkenaan.

Ibnu Salul kembali berang. Serta-merta darahnya mendidih. Dia bangkit dan menuju ke bilik Masikah. Pintu bilik yang separuh tertutup itu diterajang dengan kakinya.

Sebaik daun pintu terkuak, dia melihat hamba wanitanya itu sedang menunaikan solat. Ibnu Salul tercengang. Kali ini, perasaan marahnya sudah tidak dapat dikawal lagi.

"Celaka kamu Masikah! Muhammad rupanya telah mempengaruhi kamu!" bentak Ibnu Salul.

"Tidak," jawab Masikah yang terkejut dengan kehadiran tuannya. "Baginda telah menunjukkan jalan terang kepadaku tentang kebenaran."Suaranya sedikit bergetar.

Jawapan Masikah membuatkan Ibnu Salul tak tentu arah. Lagaknya bagai dirasuk. Masikah dihenyak semahu-mahunya. Tubuhnya disepak terajang. Pipinya dilempang sehingga berdarah. Kaki Masikah dilibas dengan belantan. Kemudian, Ibnu Salul keluar sambil mendengus geram.

Pekerja lelaki kemudian masuk ke bilik Masikah bersama seorang wanita lain. Mereka kasihan melihat Masikah yang dibelasah teruk dan menasihatinya supaya melayan pedagang-pedagang Bani Tamim itu jika tidak mahu dipukul oleh Ibnu Salul.

"Demi Allah! Aku tak akan menderhaka terhadap Allah lagi walaupun tubuhku dipotong-potong!" tegas Masikah.

Sebenarnya, Masikah sudah lama menjadi hamba wanita Ibnu Salul. Dia dipaksa melayan nafsu lelaki, dan dari situlah Ibnu Salul memperolehi upah.

Sebelum Rasulullah berhijrah ke Madinah, Ibnu Salul sudah memaksa hamba-hamba wanitanya daripada kaum Yahudi untuk bekerja sebagai pelacur, termasuk Masikah. Dia telah membuka rumah pelacuran, yang mana di bahagian depannya dikibarkan bendera merah. Para pedagang dan kabilah-kabilah yang merantau sering datang ke sini untuk melampiaskan nafsu.

Selepas peristiwa hijrah berlaku, Masikah telah mendekati wanita-wanita kaum Ansar. Dari situlah dia mendapat hidayah dan bertemu dengan jalan Allah. Dia juga dapat merasai kebenaran ajaran yang dibawa oleh Rasulullah.

Sehinggalah pada suatu hari, Masikah berasakan sudah sampai masanya untuk bertaubat dan lari daripada jerutan dosa. Akhirnya, dia tekad melarikan diri dari rumah pelacuran itu dan menuju ke rumah seorang wanita tua yang pernah menceritakan kepadanya tentang al-Quran. Wanita itu tinggal seorang diri dan menerima Masikah dengan tangan terbuka.

Keesokan hari, wanita itu membawa Masikah ke Masjid Nabawi untuk bertemu dengan Rasulullah. Di pekarangan masjid, mereka teIah terserempak dengan Abu Bakar As-Siddiq.

Abu Bakar terhenti dan sempat melihat keadaan Masikah yang luka. Kemudian, wanita tua yang bersama Masikah menceritakan yang ia adalah perbuatan Ibnu Salul yang telah memaksa Masikah untuk melacur.

Abu Bakar kemudian masuk semula ke dalam masjid dan telah menceritakan apa yang telah dialami oleh Masikah. Mendengar penjelasan itu, Rasulullah diam seketika. Kemudian, turunnya wahyu daripada Allah yang berbunyi;

"Dan jangan kamu memaksa hamba-hamba wanitamu untuk melakukan pelacuran (sedang mereka sendiri inginkan kesucian kerana kamu berkehendakkan kesenangan hidup di dunia. Dan barang siapa yang memaksa mereka, maka sesungguhnya Allah (sesudah paksaan yang dilakukan kepada mereka) Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (Surah an-Nur; ayat 33).

Masikah menyedari bahawa ayat tersebut telah diturunkan berkaitan dengan dirinya. Maka, hatinya menjadi semakin teguh kepada Islam.

Sementara itu, berita tentang Masikah telah tersebar ke seluruh pelosok Madinah dan orang ramai mengetahui bahawa Ibnu Salul bertindak kejam terhadap hamba wanitanya.

Sejak peristiwa itu, perniagaan rumah pelacuran Ibnu Salul semakin merosot dan akhirnya terpaksa ditutup kerana tidak mendapat sambutan.

Saturday, December 26, 2015

KENAPA MEMANDU DI SEBELAH KANAN DAN KIRI JALAN?...


PERNAH kah anda tertikir kenapa di dunia ini ada kereta yang pemanduannya sebelah kiri jalan dan ada pula yang di sebelah kanan? Di Malaysia kita mengamalkan sistem pemanduan di sebelah kiri jalan. Dari mana sistem sebegini terhasil?

Dikatakan ia bermula apabila pengembara bimbang jika mereka diserang dalam perjalanan ke sesuatu destinasi. Memandangkan manusia lebih banyak menggunakan tangan kanan, pengembara lebih gemar berjalan di sebelah kiri apabila berjalan dengan orang yang datang dari arah hadapan.

Ini kerana kebanyakan orang memegang atau membawa pedang di sebelah kanan. Dengan itu, mereka sentiasa bersedia untuk berlawan jika diserang. Begitu juga kesateria yang menunggang kuda dan memegang tombak di tangan, dia akan cuba berada di sebelah kiri.

Selain itu, amalan ini mulanya hanya satu adat tetapi menjadi rasmi pada tahun 1300 oleh Paus Boniface VII yang tidak inginkan pergaduhan di kalangan penziarah Kristian. Ketika itu mereka dalam perjalanan ke Rom untuk perayaan Jubli.

Bagi mengelakkan pergaduhan, Paus Boniface VII mengarahkan pengikutnya berada di sebelah kiri sebelum semua penduduk mengikut peraturan ini di Britain termasuklah apabila mereka memandu. Pemanduan di sebelah kanan pula bermula apabila peneroka-peneroka mula datang ke Amerika Syarikat.

Mulanya mereka memandu kereta kuda bertutup di sebelah kiri kerana percaya itu adalah adat resam bangsa Eropah. Tapi sebenarnya tidak. Perkara ini berlaku ada kaitan dengan bagaimana kereta kuda bertutup yang dipanggil 'skune prairi' atau kereta kuda bertutup Conestoga dipandu.

Memandangkan tiada tempat duduk di hadapan jadi pemandu yang mengawal kuda atau lembu jantan akan duduk di sebelah kiri di belakang haiwan itu. la merupakan posisi paling bagus untuk pemandu yang menggunakan tangan kanan bagi mengawal haiwan tersebut dengan cemeti.

Apabila ada dua kereta kuda bertembung, mereka akan bergerak ke arah kanan masing-masing. Tujuanya supaya pemandu akan dapat melihat hab tayar kereta di sebalah kiri untuk mengelakkan berlanggar antara satu sama lain.

Pada tahun 1972, satu undang-undang telah diluluskan untuk mengesahkan adat resam memandu di sebelah kanan. Seratus tahun selepas itu, kereta mula dicipta dan stereng diletakkan di sebelah kiri seperti yang diamalkan oleh pemandu kereta kuda bertutup Conestoga.

Sejumlah 34 peratus daripada jumlah pemandu di dunia memandu di sebelah lorong kiri seperti Malaysia, Jepun, New Zealand dan Uganda manakala 66 peratus lagi iaitu seperti negara Jerman, Belanda, Jordan dan Iran memandu di sebelah lorong kanan.

Mengikut jarak perjalanan pula, kira-kira 28 peratus memandu di sebelah kiri, dan 72 peratus di sebelah kanan meskipun asalnya kebanyakan lalu lintas memandu di sebelah kiri di seluruh dunia. Negara terbaru menukar pemanduan dari sebelah kanan ke sebelah kiri ialah Apia, Samoa iaitu sebuah negara pulau di Lautan Pasifik.

la menukar laluannya pada 8 September 2009, tepat pukul 6.00 pagi waktu tempatan. Pertukaran tersebut dilakukan supaya selaras dengan amalan di Australia dan New Zealand bagi membolehkan kira-kira 180,000 rakyat Samoa yang tinggal di dua negara berjiran itu menghantar semula kereta terpakai kepada ahli keluarga mereka ke negara sendiri. 

Sumber : Mastika

"KAU INGAT AKU TAK BOLEH MASUK?"...


Bagi sesetengah kita, Allah s.w.t kurniakan kelebihan dengan menampakkan benda-benda ghaib yang tidak kelihatan pada orang lain. Walaupun ramai yang menginginkan kelebihan itu kerana berhajat sangat hendak melihat makhluk-makhluk halus ciptaan-Nya dengan alasan untuk memantapkan iman, tetapi kita tidak tahu apakah hikmah sebenarnya Allah menampakkan perkara-perkara ghaib itu kepada insan-insan terpilih ini. Adakah Allah ingin menguji hamba-hambanya itu atau Allah ingin menaikkan darjat mereka atau mereka-mereka ini masih ragu-ragu akan ayat-ayat Al Quran yang Allah telah menjelaskan melalui surah Al Baqarah ayat 3 yang terjemahannya berbunyi:

"Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara ghaib dan mendirikan sembahyang serta membelanjakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka"

Bagi melanjutkan cerita di atas, di bawah ini ada satu kisah menarik yang ingin dikongsikan oleh En. Mohd Shahdan Sarkan yang menceritakan pengalamannya berhadapan dengan makhluk yang tidak diundang ini seperti yang tersiar di majalah Mastika keluaran Oktober 2015.

Mari kita ikuti kisahnya...      

CUTI persekolahan baru saja bermula. Kebetulan adik ipar saya yang menetap di Negeri Sembilan mempelawa kami bertandang ke rumahnya. "Bolehlah tinggal dalam dua tiga hari," katanya dalam talian.

Beria-ia benar ajakannya. Malam itu, saya berbincang dengan isteri.  Memang lama juga tidak menjengah ke sana, lagi-lagi semenjak mereka  berpindah rumah.

"Bolehlah abang mohon cuti awal" kata isteri.  Anak-anak memang seronok, boleh berjumpa sepupu mereka. Terus saja saya beritahu adik ipar yang kami setuju. Ya, mereka menanti.

Esok pagi saya telefon pejabat, mohon cuti tiga hari. Isteri mula berkemas barang apa yang patut dibawa.  Ayam itik sudah saya lepas dari kandang. Tahulah ia mengais mencari makan sendiri. Kucing pula telah dipesan pada jiran agar tolong tengok-tengokkan.

Selepas Zuhur kami bergerak. Terus ke pinggir pekan Nilai ke kawasan perumahan sederhana. Ketibaan kami disambut meriah. Maklumlah, lama tidak ketemu. Mereka tinggal di rumah apartmen bertingkat. Kebanyakan pemastautin adalah orang Melayu. Ada juga tingkat tanpa penghuni seperti tingkat tiga dan empat. Tak tahu apa sebabnya. Rumah adik ipar di tingkat bawah.

Saya saja-saja menjengah ke  tingkat atas yang tiada penghuni.  Sunyi, suram, gelap dan lembap  situasinya. Bau hapak dan hamis begitu meloyakan tekak. Bagai mahu termuntah pun ada.

Tiba-tiba pancaindera telinga menangkap bunyi suara orang berbual. Diselangi batuk-batuk orang tua. Di posisi lain terdengar derai tawa kanak-kanak terkekeh-kekeh. Suara mereka bergema dan seperti ditujukan pada saya.

Rasa seram menyerkup sekujur tubuh. Pantas saya menuruni anak tangga, namun ketiga-tiga nada suara tadi terus terngiang-ngiang di pendengaran. Siapa agaknya mereka? Bukankah di tingkat itu tiada manusia yang menghuninya.

Saya bertanya pada adik ipar untuk kepastian. Memang tingkat atas itu tidak berpenghuni. Telah lama kosong. Tingkat tiga ada segelintir yang duduk. Patut pun sampah sarap berselerakan. Tikus-tikus banyak berkeliaran.

Saya sekadar menggumam. Kami bercadang akan tinggal tiga, empat hari di situ. Adik ipar gembira, katanya bolehlah kami pergi berkelah ke Port Dickson. Anak-anak menyambut baik cadangan. Sudah tentu mereka seronok bila dapat tahu akan mandi-manda di tepi pantai.

MALAM itu cuaca agak panas. Kipas siling yang berputar ligat seakan tidak memberi impak. Saya berkain pelekat sahaja. Hati rasa menggelisah. Bagai ada benda yang tidak kena. Dingin malam tetapi tubuh berpeluh.

Melalui tingkap yang terkuak langsirnya, saya perhati suasana malam yang suram. Saya cuba memejamkan mata, namun enggan terlelap walau sepicing pun. Ah, lebih nyaman tidur di rumah sendiri. Hati berdetak begitu. Saya paling ke arah isteri, anak-anak. Lena mereka tidur.

Fikiran mula menerawang pada peristiwa siang tadi. Suara-suara yang saya dengari. Makhluk haluskah mereka, atau jin syaitan? Mungkin juga hantu. Dalam minda menjalar ke arah itu dan ditambah kepenatan memandu, akhirnya saya tertidur.

Entah berapa lama saya terlelap sehinggalah saya tersentak bila mendengar bunyi bising dari arah luar. Bunyi berkeriut seperti orang yang sedang mengayun buaian yang telah berkarat. Semakin lama semakin kuat dan jelas bunyinya.

la benar-benar mengganggu lelap saya. Siapa pula yang bermain buai di tengah-tengah malam buta begini? Saya perhati jam, sudah pukul 3.45 pagi. Hanya saya seorang yang terjaga. Anak-anak dan isteri bagai tidak terkesan oleh bunyi bising itu. Tidur mereka tetap damai dan lena.

Dari kejauhan sayup-sayup ter dengar suara lolongan anjing bersahut-sahutan. Sayu dan panjang. Bunyi keruit itu tetap kuat, tidak berkurang. la mula membuat hati saya panas. Mengganggu saya untuk menyambung lena.

Saya menuju jendela lalu membukanya sedikit. Sejuk angin malam menampar muka. Saya memandang ke luar. Ada taman permainan di situ. Tidak pula saya perasan taman itu semasa baru tiba siang tadi. Mungkin kerana saya mengikut laluan hadapan.

Bunyi berkeriut itu datang dari arah taman tersebut. Pandangan agak suram. Saya tertanya-tanya mengapa tidak diletak lampu di situ agar terang pandangan. Hmm… mungkin ada, cuma telah rosak. Mata saya melilau ke sebelah kiri. Walau suasana suram malap, saya masih mampu melihat sesosok tubuh sedang mengayun buaian. Rambutnya panjang hingga menyapu tanah. Berpakaian putih kusam tanpa kelihatan kakinya.

Yang peliknya, ia sekadar duduk sahaja namun buaian itu terbuai laju. Seakan ada orang yang tolong mengayunkan, tetapi tiada sesiapa di situ kecuali sesosok tubuh  itu. la terus berbuai tanpa perasan saya sedang memerhati.

Ya, akhirnya saya sedar benda apakah itu. Ah, tiba-tiba saja bau  wangi bunga melur bercampur bau busuknya bangkai menerjah lubang hidung. Perlahan-lahan saya cuba menutup tingkap. Bunyi keriut engsel yang sudah lama tidak di minyak menarik perhatian makhluk itu. Ah, kacau. Tadi sewaktu membukanya tidak pula jendela itu berbunyi.

Makhluk itu bagai tersentak lantas memandang tepat ke arah saya. la merenung saya dengan mata memancar merah saga. Mungkin marah bila ada orang yang melihatnya. Tidak sanggup saya melawan pandangan makhluk itu. Tubuh saya menggigil. Tangan terkial-kial mahu merapatkan tingkap walau bukaannya tidak sebesar mana. Itulah bahana takut.

Tiba-tiba makhluk itu bersuara "Kau ingat kalau tutup rapat aku tak boleh masuk?" Suaranya bergema di tirai malam. Berderau  darah saya dibuatnya. Meremang  semua bulu. Badan menggigil bagai kena sampuk.

Selepas berjaya mengatupkan jendela, langsung saya melompat ke katil menyelubungi sekujur badan dengan selimut. Bagaimana jika benar makhluk itu naik ke atas, mencekik atau menghisap darah saya sampai kontang?

Sudah pasti saya akan tinggal arwah. Huii... takutnya saya. Mulut cuba membaca ayat-ayat suci. Tetapi entah merecok apa-apa. Terkumat kamit tanpa butir percakapan. Sekadar amin... amin...

Dalam kalut ketakutan itu, saya tertidur. Bila terjaga sudah pukul 7.00 pagi. Terpisat-pisat dan mamai dibuatnya. Nasib baik tidak demam. Selepas melayan juadah pagi, saya turun ke bawah. Mahu melihat taman permainan itu.

Memang betul ada taman permainan kanak-kanak di situ. Namun sekali lagi darah saya berderau. Apa yang saya nampak malam tadi tidak sama dengan yang ada di depan kini. Taman itu tidak terurus lagi menyedihkan. Semua peralatan sudah tidak boleh diguna. Berkarat, rosak serta patah-patah. Buaian telah putus talinya, berkeadaan senget sebelah, jelas tidak boleh digunakan. Rumput yang panjang dan takungan air terdapat di sana sini. Begitu daif.

Tapi, bagaimana malam tadi semuanya kelihatan elok, bagus serta berfungsi? Saya tidak mampu memikirkannya. Apakah mata saya tersilap, atau...

Akhirnya tengah hari itu juga saya mengajak isteri bersiap pulang ke rumah, walaupun dibantah. Saya tidak berani ambil risiko terhadap 'benda' asing yang tinggal di situ. Harap adik ipar tidak berkecil hati.

Jadual perlu dirombak. Lain kalilah kita berkelah di Port Dickson. Anak-anak mula kecewa. Isteri pula membebel mendesak dan bertanya. Saya kata, pulang nanti akan saya cerita. Dalam perjalanan pulang, saya berharap janganlah makhluk itu ikut kami sampai ke rumah.

Adakah adik ipar dan mereka yang tinggal di situ pernah mengalami kejadian aneh yang saya alami? Entahlah. Tidak pula saya tanyakan pada mereka. 

Sumber : Mastika
Pengarang : Mohd Shahdan Sarkan

Friday, December 25, 2015

KELIBAT WANITA DI JALAN GEMAS-PALONG, NEGERI SEMBILAN...


Sebenarnya kisah-kisah mistik, seram dan cerita-cerita hantu sentiasa menjadi topik perbincangan hangat di mana-mana sahaja baik di kedai kopi, restoran-restoran hingga ke hotel-hotel mewah. 

Kisah-kisah itu diceritakan ketika mereka-mereka yang merasai pengalaman itu membuka cerita ketika bertemu rakan-rakan ketika pulang bercuti di kampung dan sebagainya.

Biasanya ia akan menjadi panas jika ada di antara mereka yang mendengar tidak mempercayainya dan menganggap ia cuma khayalan. Lebih memburukkan keadaan jika kawan yang bercerita itu diperlekehkan oleh rakan-rakan. Suasana yang sebelum itu nampak harmoni boleh bertukar menjadi tegang apabila ada di antara mereka yang mentertawakannya.

Walaupun jalan ceritanya sama seperti waktu kejadian, tempat kejadian, rupa makhluk yang menjelma atau yang difilemkan tetapi peminat-peminat cerita seram tidak pernah jemu mendengarnya dan berharap suatu hari mereka juga akan mengalaminya. Pada ketika itu barulah mereka rasa puas di hati kerana dapat mengalaminya sendiri atau tidak mahu mendengarnya lagi kerana terlalu takut atau trauma sepanjang hayat. 

Pengalaman Ahmad Badrul Hisham, 27 yang pernah mengalaminya sangat menyeramkan dan ia benar-benar terjadi ketika ia melalui jalan Gemas-Palong ketika pulang dari menziarahi ibunya di Taman Desa Permai, Gemas, Negeri Sembilan.

Untuk mengetahui lebih lanjut, marilah kita sama-sama membaca kisahnya seperti yang diceritakan oleh beliau baru-baru ini...       

AHMAD Badrul Hisham, 27, mundar mandir di ruang tamu rumah ibunya yang terletak di Taman Desa Permai, Gemas, Negeri Sembilan. Sesekali matanya mengerling ke arah dinding. Jam menunjukkan pukul 7.10 malam. Sebentar sahaja lagi azan Maghrib akan berkumandang.

Ahmad Badrul Hisham, 27...

"Tak payahlah balik hari ini. Balik esok jelah. Ibu tak sedap hatilah kamu balik seorang diri malam-malam ni," luah ibunya seakan-akan dapat membaca apa yang sedang bermain dalam minda Badrul. Anak muda bersosok sederhana itu hanya mendiamkan diri tanpa memberikan sebarang respons.

Sebenarnya, memang sejak awal lagi Badrul sudah rasa tidak sedap hati. Dia mula menyesal kerana tidak memandu kereta ke rumah ibunya. Tetapi bila memikirkan yang dia harus tiba awal di sekolah pada keesokan hari, Badrul meneruskan niatnya untuk pulang ke kuarters malam itu juga.

"Tak apalah bu, takut esok terbangun lewat, lambat pula sampai ke sekolah. Lagipun jalan itu Along dah biasa lalu tak ada apa-apa rasanya, kata Badrul yang bekerja sebagai seorang kerani di Sekolah Kebangsaan (SK) Palong 2.

Sudah menjadi kebiasaan buat Badrul untuk pulang ke rumah orang tuanya pada setiap hujung minggu jika ia tidak ke rumah isterinya di Seremban. Selalunya dia akan pulang semula ke kuarters guru yang didiaminya di SK Palong 2 pada waktu petang atau tengah hari. Namun hari ini, seakan-akan ada sesuatu yang menghalang Badrul daripada berbuat demikian.

USAI mengerjakan solat Maghrib, lelaki berkumis nipis itu menghidupkan enjin motosikal jenis Honda miliknya. Sebaik enjin motosikal panas, Badrul memulakan perjalanan ke Felda Palong 2 yang mengambil masa lebih kurang 35 minit dari kawasan rumah ibu beliau.

Namun, rasa tidak sedap hatinya makin menjadi-jadi. Sebelum ini bukan Badrul tidak pernah pulang pada waktu malam, cuma hari ini entah mengapa rasanya lain benar. Tapak tangannya mula berpeluh-peluh.

Jalan yang dilaluinya malam itu gelap pekat. Hanya lampu motosikalnya sahaja yang menerangi laluan. Sepanjang perjalanan, Badrul perasan tidak banyak kereta yang melalui jalan tersebut sedangkan waktu itu jam baru pukul 8.00 malam. Pelik! Kepalanya tidak memikirkan perkara lain, melainkan mahu segera tiba ke destinasi. Minyak dipulas hingga maksimum. Dalam kegelapan malam, motosikalnya meluru laju membelah jalan raya.

WALAUPUN sudah separuh perjalanan, namun rasa berdebar masih lagi belum hilang dari benak Badrul. Serba-serbi rasa tak kena. Tunggang menegak tak kena, duduk menyenget pun tak kena. Sungguh, hatinya betul-betul tak keruan.

"Ah, tak ada apa-apalah. Mainan perasaan saja kut," getus Badrul untuk menyedapkan hati. Dia tidak mahu terus melayan perasaan yang tidak enak itu. Yang penting, dia mahu sampai ke rumah.

Namun, sebaik melintasi Jabatan Perhilitan yang terletak berhampiran Kampung Londah, mata Badrul tiba-tiba terlihat satu kelibat putih terbang melintasi motosikalnya. Besarnya lebih kurang satu depa lelaki dewasa.


"Apa benda pulak tu... jangan-jangan..."kata Badrul dengan nada yang tersekat-sekat. Dengan serta-merta mindanya mula mengimbas kisah-kisah seram yang pernah didendangkan oleh penduduk setempat. 

Di kawasan itu, ada yang pernah terserempak dengan perempuan berjalan seorang di tepi jalan. Bila ditoleh, perempuan itu tiba-tiba hilang. Ada juga yang mendakwa pernah ternampak pasar yang riuh dalam kawasan ladang getah. Sama juga apabila mereka toleh ke belakang, pasar yang meriah itu tiba-tiba hilang.

"Aduh... janganlah kacau aku..." bisik Badrul. Dia mula membaca ayat-ayat suci al-Quran di dalam hati. Baca yang mana ingat sahaja. Itu pun agak terabur dek kerana perasaan takut yang menyinggah.

Tangannya terus sahaja memulas tombol minyak. Sesekali matanya menjeling ke arah cermin sisi untuk melihat kelibat tadi. Tapi, bayangan itu hilang entah ke mana. Ghaib dalam kegelapan malam.

Namun, sewaktu motosikal Badrul melintasi kawasan perkuburan di Kampung Londah, hidungnya tiba-tiba menangkap bau wangi. Bau yang macam mana, susah hendak dia terangkan. Tapi, memang wangi.

Belum sempat bau itu hilang, matanya seakan melihat sesuatu di tepi jalan. Badrul memberanikan diri untuk menoleh. Sah, ada wanita berpakaian putih sedang berdiri di situ. Rambutnya panjang, namun mukanya dipalingkan daripada pandangan Badrul. Dia sendiri tidak tahu adakah wanita itu kelibat yang melintasinya tadi, atau...

Hatinya serta-merta menjadi kecut. Tanpa berlengah, dia cuba memecut. Tetapi, motosikalnya seolah-olah hilang upaya. Seperti ada 'benda' berat sedang menumpang di belakangnya.


Badrul tukar ke gear rendah. Masih juga sama, seperti ada kuasa kuat yang sedang menarik dari arah belakang. Badrul tidak peduli, dia gagahkan juga memulas tombol minyak, namun keadaan motosikalnya seperti ‘lemah syahwat'. Enjin mengaum, tapi terlalu berat untuk bergerak.

Kalau betul kau ada kat belakang aku...cepatlah turun!" kata Badrul separuh berbisik.

Kereta yang datang daripada arah bertentangan pula semuanya memberikan 'high-beam' setiap kali berselisih dengannya. Mungkin mereka pun ternampak 'penumpang' yang tidak diundang itu. Kalau ikutkan hati, hendak saja dia berpatah balik. Tetapi Badrul sudah pun separuh perjalanan. Kalau dia berpatah balik sekalipun, jaraknya sama sahaja. Lelaki itu gagahkan diri, walaupun pada ketika itu jantungnya seperti mahu tercampak keluar. Tuhan sahaja yang tahu betapa menggigilnya tubuh Badrul pada ketika itu.

Sewaktu  motosikalnya semakin menghampiri kawasan Felda Palong 5, sayup-sayup kedengaran azan Isyak berkumandang dari masjid berhampiran.  Motosikal Badrul yang tadinya bergerak perlahan seperti basikal tua, tiba-tiba sahaja meluncur laju ke hadapan. Berat yang menumpang seolah-olah sudah terbang pergi.

Dia tidak putus-putus mengucapkan syukur di dalam hati. Kurang sepuluh minit kemudian, Badrul tiba di kuarters guru SK Palong 2. Segera dia menerpa masuk ke rumah dan berselubung dalam selimut.

Tubuhnya masih menggigil. Fikirannya kusut. Bukannya dia tidak biasa dengan laluan di situ, tapi...

Semua penduduk di sekitar tahu, laluan tersebut bukan sembarangan. Sudah banyak berlaku kejadian misteri di situ. Macam-macam cerita pelik yang mereka dengar.

Contohnya, sebelum masuk ke kawasan Felda, terdapat sebuah jambatan yang di bawahnya merupakan laluan kereta api. Pernah seorang pemuda yang pulang lewat malam ternampak seorang lelaki sedang berdiri dengan joran di tangannya. Bila ditanya, jawabnya 'tengah memancing'. 

Memancing apa namanya di laluan kereta api tengah-tengah malam buta?

Khabarnya kawasan itu dahulu adalah kubu Jepun. Sewaktu acara 'tolak tanah' pun banyak senjata lama termasuk peluru mortar yang ditemui.

Apa-apa pun, Badrul bersyukur kerana si 'penumpang' hanya duduk diam di belakang. Bayangkan kalau dia menyergah, mungkin di situ juga dia terkencing dan pengsan!


"Itulah, ibu dah pesan, tak mahu dengar!" bentak ibunya sewaktu mengetahui perkara sebenar. 

Sumber : Mastika Mac 2015