Saturday, December 31, 2011

ORANG YANG BAIK DARI KETURUNAN YANG BAIK...

Pada tahun 149 Hijrah, Syaqiq al Bakri seorang alim berangkat ke Baitullah untuk menunaikan haji. Namun di tengah perjalanan, ia berhenti sebentar di kota Qadisyiah bersama rombongannya. Dalam kesibukan di tempat peristirehatannya, Syaqiq memerhatikan orang-orang hilir mudik yang corak pakaiannya beragam.

Tiba-tiba, pandangannya tertumpu pada seorang pemuda. Wajahnya cerah bercahaya menampakkan pesona dan karisma. Padahal seluruh badannya dibalut kain guni yang kasar. kakinya pun hanya mengenakan terompah kayu. Pemuda itu duduk sendirian tersisih dari keramaian kota.

Dalam hati, Syaqiq berkata bahawa si pemuda itu pastilah berpura-pura menjadi seorang sufi. Dengan begitu, orang akan hiba melihatnya. Terlintas di hati Syaqiq untuk menguji pemuda itu. Jika tidak ketahuan, Syaqiq justeru malah akan mencela dan mengkritik tajam atas sikap berpura-pura pemuda itu.

Namun tatkala Syaqiq mendekati, tiba-tiba ia mendengar pemuda itu berkata: "Hai Syaqiq! Tidakkah kau tahu bahawa Allah s.w.t. telah berfirman dalam kitabNya yang mulia, "Hai orang-orang yang beriman, jauhilah banyak buruk sangka (terhadap orang lain) kerana setengah dari buruk sangka itu berdosa." (al-Hujarat:12).

Setelah membacakan firman itu, pemuda tersebut bangun dan beranjak dari tempatnya. Tentu saja Syaqiq tersinggung dengan perkataan pemuda tadi. Tapi, ia sendiri bingung, entah dari mana pemuda itu dapat membaca isi hatinya.

Sungguh ajaib. Dia mengetahui nama Syaqiq padahal Syaqiq sendiri sama sekali tidak pernah bertemu dengannya. Syaqiq yakin, pemuda itu salah seorang soleh yang termasyhur. Merasa ingin mengenal lebih jauh, Syaqiq segera mengejarnya dari belakang. Tapi rupanya dia lebih cepat dari Syaqiq sampai ia pun tidak lagi melihatnya.

"Kemanakah ia menghilang diantara kerumunan orang disitu?" bisiknya dalam hati. Gagal menemui pemuda tadi, Syaqiq segera melanjutkan perjalanan bersama rombongan dari Qadisyiah menuju ke Arafah. Begitu sampai disana, tanpa diduga, sekali lagi Syaqiq bertemu dengan pemuda itu. Kali ini Syaqiq melihat dia sedang khusyuk mengerjakan solat. Sementara anggota-anggota badannya bergoncangan dan air matanya mengalir.

Syaqiq terharu. Ia pun berusaha mendekati pemuda tadi dan duduk di dekatnya menunggu dia selesai solat. Syaqiq kagum, dalam hati ia berkata bahawa pemuda itu sangat khusyuk solatnya. Begitu solat selesai, pemuda itupun lalu menoleh ke arah Syaqiq dan berkata, "Hai Syaqiq, bacalah firman Allah "Dan sesungguhnya Aku (Allah) adalah Maha Pengampun kepada sesiapa saja yang kembali kepadaKu, beriman kepadaKu mengerjakan amal soleh, kemudian dia mencari jalan yang benar." (Thaha:82).

Dalam hati, Syaqiq terus merenung membaca firman tersebut. Sementara seperti biasa, kali ini pemuda tersebut telah menghilang lagi, bahkan Syaqiq sangat bermasalah mencarinya, mengingati begitu ramainya orang yang hilir mudik.

Ketika Syaqiq berada di Mina, Syaqiq sekali lagi berpeluang menemui pemuda itu di satu tempat mengambil air, Syaqiq segera mendatanginya. Ketika itu pemuda itu sedang menghulurkan bekas mengambil air dibawanya. Tanpa diduga tempat bekas air itu terlepas dari tangannya. Entah apa yang dilakukannya saat itu, pemuda itu langsung mengangkat kepalanya ke arah langit dan berdoa: "Kepada Engkau aku kembali bila aku merasakan kehausan, DaripadaMu jua kuminta makanan bila aku merasakan kelaparan. Ya Allah, Ya Tuhanku, Aku tidak punya bekas selainnya, janganlah Engkau ambil dia dari tanganku!"

Begitu selesai memanjatkan doa, ajaib, tempat air itu beransur naik seolah-olah ada mata air yang sedang mengisinya dari bawah. Pemuda itu lalu mencelupkan tangannya ke dalam tempat air tadi. Dia lalu meminum air itu sepuas-puasnya bahkan air itu boleh digunakan untuk berwuduk. Ia pun langsung menunaikan solat empat rakaat.

Selesai solat, dia lantas menggengam pasir dari tempat itu dan dibubuhkannya kedalam bekas itu dengan air yang ada di dalamnya lalu diapun meminumnya. Sungguh, Syaqiq terpesona oleh perbuatan pemuda tadi. Takjubnya bukan main terhadap apa yang telah diperbuat pemuda itu. Dia minum apa yang ada dalam bekas itu setelah membubuh segenggam pasir di dalamnya.

Syaqiq lantas memutuskan untuk mendekatinya dan berkata, "Berilah aku sedikit rezeki yang diberikan Allah kepadamu!" Syaqiq ingin tahu apa yang sebenarnya di dalam wadah yang di makannya pemuda itu. Pemuda itu pun lantas menoleh kearah Syaqiq. Namun tatapannya seolah berkata bahawa sesuatu tengah terjadi pada diri Syaqiq.

"Wahai Syaqiq! Nikmat Allah itu terlalu banyak yang diberikan pada kita, baik yang nampak mahupun tidak. Bersihkanlah hatimu dan jangan suka menduga apa-apa!"

Pemuda itu lalu memberi Syaqiq bekas itu dan Syaqiq pun meminumnya . Rasanya seperti bubur yang manis dan enak serta baunya harum pula. Syaqiq senang bukan main. Apalagi rasa bubur yang dimakannya itu lazat tak terkira.

Demi Allah, aku belum pernah merasakan bubur yang begitu lazat seumur hidupku seperti yang sedang kumakan ini. Aku terus menjamah bubur itu sampai aku merasa kenyang, bahkan rasa kenyang di perutku boleh tahan berhari-hari sampai sampai aku tidak menginginkan makanan lain saat itu," ujar Syaqiq.

Setelah kenyang dan puas, Syaqiq pun mengembalikan bekas tersebut kepada pemuda itu. Si pemuda itu pun lalu pergi. Seperti yang sudah-sudah, kali ini pun tidak kelihatan lagi batang hidungnya sampai berada di Mekah.

Pada salah satu malam di Mekah, Syaqiq sekali lagi melihat pemuda itu di pinggir kubah air zam zam. Dia sedang berdiri menunaikan solat penuh khusyuk. Rentang waktu solatnya lama sekali, hingga Syaqiq mendengar keluh kesah dan suara tangisannya yang sungguh memilukan siapa saja yang berada disampingnya.

Pemuda itupun terus solat rakaat demi rakaat sampai muncul waktu fajar barulah dia berhenti. Kemudian disambung pula dengan bertasbih dan berzikir. Tatkala waktu Subuh tiba, pemuda itu turut berjemaah dengan rombongan Syaqiq. Selepas solat Subuh, dia lalu tawaf mengelilingi Kaabah tujuh kali pusingan, kemudian dia menepikan dirinya dari tempat tawaf menuju ke suatu tempat di pinggir masjid.

Syaqiq begitu ghairah dan mengikutinya dari belakang untuk melihat apa yang akan diperbuatnya sesudah itu. Syaqiq melihat dia duduk dan orang-orang banyak mengelilinginya. Syaqiq menduga, mereka bertemu setiap tahun di sana. Sebab dalam perjalanan menuju Baitullah Syaqiq tidak melihat seorangpun dari mereka dalam rombongan.

Syaqiq lalu ikut duduk disitu mengelilinginya. Sementara orang-orang semakin ramai berdatangan membanjiri dari berbagai arah masjid itu. Rasa ingin tahu membuak dalam hati Syaqiq untuk mengetahui siapakah pemuda itu. Namun tidak terlintas sedikitpun dalam benaknya untuk bertanya siapakah gerangan dirinya.

"Wahai saudaraku, boleh aku bertanya sedikit?" Syaqiq menghampiri salah seorang yang mengerumuni pemuda itu. "Boleh."

"Siapa pemuda ini?" tanya Syaqiq. "Kau belum tahu?" Syaqiq menggelengkan kepala.

"Dia adalah Musa b. Ja'afar b. Muhammad b. Ali b. Hussain b. Ali b. Abi Thalib." jawab lelaki yang ditanya Syaqiq seraya tersenyum.

"Oh, dari keturunan Ali Zainul Abidin b. Hussain. Orang yang disebelah Syaqiq itu tersenyum seraya berkata, "Orang yang baik dari keturunan yang baik!"

Semoga Allah menurunkan rahmat dan keberkahan dari mereka sekelian serta mengurniakan manfaat bagi kita di dunia dan akhirat. Amin.


Sumber : Majalah Hidayah.


Wednesday, December 28, 2011

KEDAHSYATAN DOSA MEMBUNUH...

Pihak polis sedang mengusung satu mayat yang baru dijumpai
untuk dibawa ke hospital bagi dibedah siasat...Gambar hiasan.

A
NTARA berita yang biasa kita saksikan di dada akhbar dan kaca televisyen saban hari ialah kes-kes pembunuhan. Ia seolah-olah telah menjadi berita wajib yang menghiasi warta jenayah sumber-sumber berita yang ada. Bagaikan tidak ada penghujungnya, kes-kes pembunuhan dilihat makin menjadi-jadi sehingga ada kes yang tidak mendapat liputan media kerana mungkin tiada 'nilai komersial' lagi.

Islam telah menganggap pembunuhan sebagai dosa yang amat besar. Sehingga orang yang membunuh dan juga yang terlibat dengan pembunuhan tersebut dijanjikan dengan balasan yang amat dahsyat sekali. Bukan sahaja balasan seksaan yang berat menunggu mereka di akhirat, bahkan hukuman tegas pasti akan dijatuhkan sekiranya didapati bersalah. Betapa beratnya balasan di akhirat dapat diperhatikan dengan ancaman untuk menjadikan si pembunuh sebagai penghuni neraka selama-lamanya dan mendapat kutukan serta kemurkaan Allah SWT.

Firman Allah SWT: Dan barang siapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Neraka Jahanam. Dia akan kekal di dalamnya, dan Allah SWT murka kepadanya, dan mengutuknya serta menyediakan azab yang besar baginya. (an-Nisa': 93)

Mereka yang terlibat atau bersubahat menjayakan pembunuhan tersebut juga tidak terlepas daripada hukuman yang berat dan terhindar daripada rahmat Allah SWT sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW: "Barang siapa yang membantu untuk membunuh seorang Muslim walaupun dengan satu kata (ucapan), maka dia akan menjumpai Allah SWT dalam keadaan tertulis di antara kedua belah matanya 'orang yang putus asa dari rahmat Allah SWT. (riwayat Ahmad)

Sebagaimana yang kita tahu, Allah SWT telah menetapkan detik kematian seseorang itu termasuklah cara kematiannya. Kesemua yang berkaitan dengan kehidupan dan kematian telah termaktub dan tertulis di sisi Allah SWT. Hanya Dia yang mengetahui segalanya. Justeru, Allah SWT melarang kita dari mendahuluinya dalam menetapkan kematian seseorang.

Inilah hakikatnya yang berlaku kepada orang yang melakukan pembunuhan. Mereka seolah-olah ingin mendahului Allah SWT dalam menetapkan detik kematian, mendahului malaikat dalam mencabut nyawa manusia.

Imam Az-Zahabi telah menyenaraikan dosa membunuh manusia sebagai dosa kedua terbesar selepas dosa syirik kepada Allah SWT.

Beliau merujuk kepada firman Allah SWT: Dan mereka yang tidak menyembah Tuhan yang lain beserta Allah SWT, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah SWT kecuali disebabkan dengan kebenaran... (al-Furqan: 68)

Bagi menghalang berlakunya pembunuhan, Islam telah mendatangkan langkah pencegahan bermula dari awal lagi. Islam telah mendidik manusia supaya kasih-mengasihi, sayang-menyayangi serta saling menghormati di antara satu sama lain.

Islam juga melarang daripada mempunyai penyakit-penyakit hati seperti berikut;

1- Cinta kepada dunia dan benci kepada kematian (hubbu dunya wakarahiyatul maut): Cinta kepada dunia dapat melahirkan sifat tamak kepada pangkat, harta benda dan sebagainya dan benci kepada kematian menyebabkan seseorang itu alpa kepada pembalasan di akhirat.

2- Cemburu dan iri hati: Iri hati ialah sifat yang muncul akibat dari perasaan ego dan sombong sehingga tidak boleh melihat orang lain melebihinya. Lalu digunakan pelbagai cara untuk menjatuhkan orang tersebut termasuklah melalui pembunuhan.

3- Dendam kesumat: Terdapat di kalangan kita yang sukar memaafkan dan melupakan kesalahan. Lantas ia akan menyebabkan rasa tidak puas hati. Apabila perasaan ini dipendamkan, ia akan mencetuskan dendam yang berpanjangan.

Ketiga-tiga sifat di atas adalah antara punca utama berlakunya kes-kes pembunuhan. Walaupun hukuman yang layak bagi si pembunuh ialah hukuman mati, namun masih terdapat di kalangan kita yang sanggup melakukannya tanpa rasa takut dan gentar.

Justeru, untuk menghentikan jenayah ini, ia perlu bermula di hati. Pembersihan hati perlu bermula dengan pendidikan dan pengurusan hati untuk mengelakkan penyakit-penyakit yang tiada ubatnya. Ia adalah kaedah terbaik bagi mencegah berlakunya pembunuhan.


Sumber : Utusan Malaysia

Al-QURAN BONGKAR RAHSIA PEMBINAAN PIRAMID...

Piramid

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Dan berkatalah Firaun: Wahai kaumku, aku tidak mengetahui Tuhan bagimu selain aku. Maka bakarlah wahai Haman untukku tanah liat kemudian buatkanlah untukku bangunan yang tinggi agar aku dapat naik melihat Tuhan Musa, dan sesungguhnya aku benar-benar yakin bahawa dia (Musa) orang-orang pendusta. (al-Qasas: 38).

Daripada penjelasan ayat al-Quran di atas jelaslah bahawa selama ini manusia menjadi hairan dan kagum bagaimanakah bangunan-bangunan yang dibinakan oleh Firaun iaitu piramid dapat berdiri megah dan perkasa di bumi Mesir pada zaman pemerintahannya hingga kini.

Apakah rahsia di sebalik pembinaan piramid itu?

Akhbar Amerika Times edisi 1 Disember 2006, telah menyiarkan berita saintifik yang mengesahkan bahawa Firaun telah menggunakan tanah liat untuk membina piramid. Menurut kajian tersebut, disebutkan bahawa batu-batu yang digunakan untuk membuat piramid adalah daripada tanah liat yang dipanaskan sehingga membentuk batuan keras yang sukar dibezakan dengan batu asalnya.

Para saintis mengatakan bahawa Firaun mahir dalam bidang ilmu kimia dalam menguruskan tanah liat sehingga menjadi batu. Teknik yang mereka gunakan sangat misteri jika dilihat dari kodifikasi nombor di batu yang mereka tinggalkan.

Profesor Gilles Hug dan Dr. Michael Barsoum, menegaskan bahawa piramid yang paling besar di Giza, dibuat daripada dua jenis batuan yang terdiri daripada batu semula jadi dan batu-batu yang dibuat secara manual hasil daripada olahan tanah liat.

Baru-baru ini majalah Journal of American Ceramic Society memaparkan artikel kajian mengenai bagaimanakah Firaun membina piramid di Mesir yang mengkagumkan itu sebagai peninggalan sejarah tamadun dunia.

Kajian itu menegaskan, bahawa Firaun menggunakan tanah jenis slurry untuk membina monumen yang tinggi, termasuk piramid. Justeru itu tidak mungkin bagi seseorang untuk mengangkat batu besar dan berat ribuan kilogram. Seterusnya pada dasar piramid, Firaun menggunakan batu semula jadi atau batu alam.

Lumpur tersebut merupakan campuran lumpur kapur yang dipanaskan dengan wap air garam dan akan menghasilkan wap air sehingga terbentuknya campuran tanah liat. Kemudian olahan itu dituangkan ke dalam tempat yang disediakan di dinding piramid. Lumpur yang sudah diadun mengikut saiz yang dikehendaki itu dibakar, lalu diletakkan di tempat yang sudah disediakan di dinding piramid.

Sehubungan itu, Profesor Davidovits telah mengambil sampel batu piramid yang terbesar untuk dilakukan analisis dengan menggunakan mikroskop elektron terhadap batu tersebut. Hasilnya, beliau menegaskan bahawa batu itu diperbuat daripada lumpur. Selama ini tanpa penggunaan mikroskop elektron, ahli geologi belum mampu untuk membezakan antara batu alam semula jadi dengan batu buatan manusia.

Penemuan oleh Davidovits adalah hasil kajian yang memakan masa kira-kira 20 tahun. Sebelum kajian yang begitu lama terhadap piramid Bosnia, Piramid Matahari dan menjelaskan bahawa batu-batunya diperbuat daripada tanah liat. Ini memperkuatkan lagi keyakinan bahawa kaedah ini tersebar luas di masa yang lalu.

TANAH LIAT...

Sebelum ini, seorang saintis Belgium, Guy Demortier, telah bertahun-tahun mencari jawapan daripada pembuatan batu besar yang tersergam di puncak-puncak piramid. Beliau berkata:, "Setelah bertahun-tahun melakukan kajian dan penyelidikan, sekarang barulah saya yakin bahawa piramid yang terletak di Mesir diperbuat dengan menggunakan tanah liat."

Bukti-bukti dari kajian menunjukkan kepada kita bahawa bangunan-bangunan raksasa, patung-patung raksasa dan tiang-tiang yang ditemui dalam tamadun canggih zaman silam, juga dibina daripada 'tanah liat'.

Pembongkaran misteri piramid tersebut adalah hasil daripada mukjizat al-Quran yang telah berbicara sejak ribuan tahun dahulu sebelum para saintis dan ilmuan dunia menemukan rahsia tersebut.

Hairan dan ajaib, sejak 1,400 tahun yang lampau, Nabi Muhammad SAW dan beratus tahun selepas berakhirnya Dinasti Firaun di Mesir, memberitahu bahawa Firaun membina monumen yang megah dan tersohor itu yang dikenali sebagai piramid dengan menggunakan tanah liat.

Jika ditinjau daripada kejadian Nabi Adam sebagai bapa manusia dan menjadi khalifah di bumi, adalah juga berasal daripada penciptaan tanah liat yang ditiupkan roh oleh Allah SWT dan wujudlah sebagai manusia yang pertama di permukaan bumi.

Daripada pemaparan hakikat ayat al-Quran di atas, jelaslah membuktikan bahawa Nabi Muhammad SAW tidaklah berbicara mengikut hawa nafsunya melainkan hidayah dan petunjuk daripada Allah SWT yang menciptakan Firaun dan menenggelamkan dia di Laut Merah bersama tenteranya.

Malah Allah juga menyelamatkan Nabi Musa as daripada kekejaman Firaun menuju tanah dan bumi Palestin yang didambakan sampai sekarang dan seterusnya hari kemudian.


Sumber : Utusan Malaysia

Monday, December 26, 2011

AMALAN DAN IBADAH PENYELAMAT DI HARI KEMUDIAN...

Ada sebuah hadis yang agak panjang yang menerangkan tentang hari kiamat. Nabi s.a.w. menceritakan bagaimana umatnya berdepan dengan pelbagai masalah.

Hadis tersebut menyebut bahawa daripada Abdur Rahman b. Samurah r.a. berkata: "Sekali peristiwa, Rasulullah s.a.w. keluar lalu bersabda yang ertinya: "Sesungguhnya aku telah bermimpi ajaib malam semalam. Aku telah melihat seorang dari umatku telah didatangi oleh Malaikat Maut untuk mengambil nyawanya, maka Malaikat itu telah terhalang oleh ketaatannya kepada kedua ibu bapanya."

"Aku juga telah melihat seorang dari umatku telah disediakan untuk menerima seksa kubur, maka dia telah diselamatkan oleh wuduknya."

"Aku juga melihat seorang dari umatku telah dikerumuni oleh syaitan-syaitan, maka ia telah dibebaskan dari bahayanya oleh Zikrullah."

"Aku juga melihat seorang dari umatku sedang ditimpa dahaga yang berat, setiap kali dia mendatangi sesuatu telaga, dia dihalang dari meminumnya, maka segera menjelang puasanya serta memberinya minuman hingga ia merasa puas."

"Aku juga melihat seorang umatku mengunjungi para Nabi yang ketika itu sedang duduk berkumpul, setiap kali dia mendekati mereka, dia diusir dari situ maka menjelmalah mandi junubnya sambil memimpin ke kumpulan ku seraya menunjuknya duduk disisiku."

"Aku juga melihat seorang dari umatku dikabusi oleh suasana gelap gelita, di hadapannya gelap, di kanannya gelap, dikirinya gelap, dikepalanya gelap di bawahnya juga gelap sedangkan dia dalam keadaan bingung, maka menjelmalah Haji dan Umrahnya, lalu mengeluarkannya dari suasana gelap gelita itu dan memasukkannya kedalam suasana yang terang benderang."

"Aku juga melihat seorang dari umatku berbicara dengan kaum muslimin, akan tetapi tidak seorangpun mahu membalas bicaranya, maka menjelmalah Silaturrahimnya seraya menyeru orang-orang itu katanya: "Wahai kaum mukminin, sambutlah bicaranya, lalu mereka pun bicara dengannya."

"Aku juga melihat seorang dari umatku menepis-nepis bahang api dan percikkannya dari muka nya, maka segera menjelmalah sedekahnya lalu menutupi muka dan kepalanya dari bahaya api itu."

"Aku juga melihat seorang dari umatku sedang diseret oleh Malaikat Zabaniyah kemerata tempat, maka menjelmalah amal makruf nahi mungkarnya seraya menyelamatkannya dari cengkamannya serta menyerahkannya pula kepada Malaikat Rahmat."

"Aku melihat juga seorang dari umatku sedang merangkak-rangkak, antaranya dengan Tuhannya dipasang hijab (tabir), maka menjelmalah budi pekertinya seraya memimpinnya sehingga dibuka hijab tadi dan masuklah ia kehaderat Allah s.w.t."

"Aku juga melihat seorang dari umatku terheret ke sebelah kiri oleh buku catatannya, maka menjelmalah perasaan takutnya kepada Allah lalu tertukarlah buku catatannya kearah kanan."

"Aku juga melihat seorang dari umatku terangkat timbangannya, maka menjelmalah anak-anaknya yang mati kecil lalu menekan timbangannya itu sehingga menjadi berat pula."

"Aku juga melihat seorang dari umatku sedang berdiri di pinggir Jahannam, maka menjelmalah perasaan gerunnya terhadap seksa Allah Ta'ala lalu membawa jauh dari tempat itu."

"Aku juga melihat seorang dari umatku terjerumus kedalam api neraka, maka menjelmalah air matanya yang pernah mengalir kerana takutkan Allah Ta'ala lalu menyelamatkannya dari api neraka itu."

"Aku juga melihat seorang dari umatku sedang meniti Shirat (titian) manakala seluruh tubuhnya bergoncang seperti bergoncangnya dedaun yang ditiup angin, maka menjelmalah baik sangkanya terhadap Allah Ta'ala lalu mententeramkan goncangannya itu dan mudah lah ia meniti sehingga kehujung titian."

"Aku juga melihat seorang umatku sedang meniti Shirat, kadangkala ia merangkak dan kadangkala ia meniarap, maka menjelmalah sembahyangnya menyeru kepadaku lalu aku pun memimpin tangannya dan mengajaknya berdiri dan meniti sehingga ke hujung titian itu."

"Aku juga melihat seorang umatku hampir tiba di pintu syurga dan dengan tiba-tiba pintunya tertutup maka menjelmalah penyaksiannya bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, lalu terbukalah pintu-pintu syurga itu untuknya sehingga ia boleh memasukinya."

"Aku juga melihat ada ramai orang digunting-gunting lidahnya, maka aku bertanya Jibril a.s. siapakah gerangan mereka itu?, maka Jibril menjawab: "Mereka itulah yang suka membawa mulut kesana kemari dan aku melihat orang-orang yang digantung dengan lidah-lidahnya, maka aku bertanya Jibril, siapakah gerangan mereka itu?, maka jawab Jibril: "Mereka itulah orang-orang yang melempar tuduhan terhadap kaum muslimin, mukminin dan mukminat dengan tuduhan tanpa bukti."

Hadis ini telah disebut oleh imam as-Sayuti didalam kitabnya "Sharhus-Shudur", sambil berkata, ia telah dikeluarkan oleh at-Tabrani di dalam kitab "Al-Kabir".

Begitu pula dengan "Al Hakim", dan At-Tarmizi didalam kitab "Nawadirul-Ushul" dan al-Isfaani di dalam kitabnya "at-Tarqhib".

Saturday, December 24, 2011

KEMATIAN YANG SESUAI DENGAN DOANYA...

Petang menjelang, seperti biasa pada hari Khamis, Siti sudah mempersiapkan segalanya. Sepinggan nasi, semangkuk sayur, lauk sekadarnya serta secawan teh pun telah dihidangkan di meja makan. Rupanya menu yang disajikan hari ini sudah cukup untuk berbuka puasa nanti tatkala Azan Maghrib berkumandang.

Perempuan ini memang melakukannya sendiri, tidak meminta bantuan kepada orang lain meski pun umurnya sudah meningkat dan fizikalnya juga sudah lemah.

Dia ikhlas melakukannya. Bukan anak-anaknya tidak peduli terhadap keperluan Siti, malahan anak-anaknya seringkali menawarkan diri untuk tinggal bersama dan memenuhi keperluan sehari-hari bersama dalam keadaan seadanya.

Mohammad, anaknya yang sulung pun berkali-kali memohon agar ibunya tak perlu melakukan aktiviti tersebut dan menikmati hari-harinya berkumpul bersama keluarga, tapi Siti rupanya tidak mahu menyusahkan orang lain termasuk anak-anaknya.

Dia ingin lebih masa lapang untuk beribadah, bersolat, berzikir, membaca al-Quran dan sebagainya. Amalan begitu telah lama dilakukan sejak lama suaminya meninggal dunia, dia mengisi sisa-sisa hidupnya dengan amalan-amalan yang lebih berkah di rumah kecil yang sederhana.

Dia ingin dibuatkan pondok sendiri, agar boleh melakukan aktiviti hariannya dengan tenang. Dan rumah atau pondok itu bersebelahan dengan rumah anak sulungnya. Bagi perempuan ini, bukan harta dan kekayaan yang akan dibawa nanti ke akhirat, namun amalan-amalanlah yang nanti akan dipertanggungjawabkannya.

Dia sedar nanti di akhirat tidak ada yang boleh menolong dirinya kecuali amalan baik yang dilakukannya semasa didunia. Maka dia ingin sisa umurnya tidak disia-siakan untuk bergumul dengan persoalan duniawi yang pasti tak akan habisnya.

Dunia, menurutnya tempat bagi umat manusia untuk berlindung barang sejenak, tempat untuk mempersiapkan bekal untuk menghadapi kehidupan yang lebih kekal, yakni di akhirat. Setiap hari sebahagian besar waktunya dihabiskan untuk mendapat redhaNya. Untuk mencukupi keperluan sehari-hari, dia membuat makanan ringan seperti kerepek atau jagung goreng yang dibungkus dalam plastik dan diletakkan ke beberapa gerai dan kedai terdekat.

Hal ini dilakukan setiap pagi setelah menunaikan solat Dhuha dan mengaji Quran. Hampir tak pernah dilewatkannya setiap habis solat fardhu beserta solat sunat Qabliyah dan Ba'diyahnya, dia lanjutkan dengan zikir kemudian dilanjutkan dengan membaca al-Quran.

Tradisi ini dilakukan sejak muda hingga sekarang. Kerana dia juga percaya bahawa dengan meluangkan masa dengan al-Quran boleh menghindarkan dirinya dari menjadi "nyanyuk" atau pelupa apabila usia makin tua kelak.

Setiap ada kegiatan keagamaan selalu diikutinya. Solat berjemaah Maghrib, Isyak dan Subuh disurau atau masjid, hampir tak pernah ditinggalkan kecuali ada keuzuran seperti hujan lebat atau keadaan badan yang tidak sihat.

Demikian pula solat Tahajjud juga dilakukannya setiap malam di pertiga akhir hingga Subuh tiba. Tak ketinggalan berpuasa sunat Isnin dan Khamis yang sangat dianjurkan oleh Nabi s.a.w. pun tak pernah ditinggalkannya

Perasaan Siti sudah lega kerana makanan untuk berbuka puasa sudah terhidang. Nasi, sayur, lauk serta segelas teh juga sudah terhidang di meja. Tinggal menunggu azan maghrib tiba. Biasanya saat maghrib tiba, dia akan berbuka puasa terlebih dahulu dengan meminum teh dilanjutkan dengan solat baru kemudian makan nasi.

Mengingat waktu Maghrib sedia tiba, sementara dia tak ingin menunda-nunda Solat Maghrib, maka segera dia mengambil wuduk. Dibelakang rumah Siti ada bilik mandi tertutup terbuat dari anyaman buluh. Disebelahnya, terdapat tempayan kecil yang disanggah empat batang bambu tua. Cucunyalah yang biasa membantunya mengambilkan air telaga sebelah untuk mengisi tempayan untuk mandi.

Selesai berwuduk, Siti membaca doa sambil menengadahkan kedua tangannya. Kedua matanya menatap ke langit. Kain tudung yang diselempangkan di kepala melambai tertiup angin petang. Perempuan ini tidak tahu bahawa apa yang dilakukannya adalah wuduk yang terakhir kalinya, kerana sehabis berdoa ketika kakinya hendak melangkah, dia terantuk batu dan jatuh. Dia tak sempat menjaga keseimbangan tubuhnya. Tangannya pun tak sempat berpegangan pada buloh atau bilik di sampingnya.

Baju panjang serta kain yang dipakainya pun basah oleh curahan air. Badannya membentur tanah serta batu-batu kecil. Sambil menahan rasa sakit, dia masih sempat memanggil cucunya yang kebetulan bermain bola plastik di belakang rumah. Mendengar suara orang terjatuh kemudian diikuti suara keluhan minta tolong, kedua-dua cucu Siti segera menghentikan permainannya bergegas menuju arah panggilan tersebut. Mereka terlihat embah atau nenek mereka sedang terbaring di bilik mandi.

"Astaghfirullah embah, kenapa jadi begini?" kata Yip, 15, terkejut melihat keadaan neneknya.

"Tolong...!" kata Siti merayu menahan rasa sakit kerana tubuhnya terbentur dengan tanah dan bebatuan dibilik mandi.

"Tak apa embah, kita bawa ke dalam rumah!" kata Eko.

Keduanya langsung memimpin nenek mereka dan membaringkannya diatas anjung. Segera setelah kejadian itu, mereka memberitahukan khabar jatuhnya nenek kepada ibu bapanya masing-masing.

Sejurus kemudian, sebilangan keluarga telah berkumpul. Mengetahui keadaan Siti yang tengah kepayahan anaknya bermaksud menghulurkan segelas minuman untuk membatalkan puasa Siti. Tapi Siti menolaknya dengan alasan masih puasa, dan Azan Maghrib belum tiba.

"Belum masuk Maghrib. Aku ingin puasaku penuh." jawabnya sambil terketar-ketar.

Tak lama kemudian Azan Maghrib pun berkumandang. Sementara di rumah atau pondok Siti tersebut telah berkumpul sejumlah orang, terutamanya anak-anak serta cucu-cucunya yang ingin mengetahui keadaannya yang sesungguhnya. Hati mereka was-was membayangkan hal-hal yang tak diinginkan terjadi pada Siti jatuh sedemikian rupa. Kalau dulu-dulunya pernah sakit demam, biasanya pening-pening atau sengal-sengal saja atau masuk angin.

Itupun cukup ditempel koyok saja atau minum ubat dibelinya dari gerai berdekatan. Dan demam yang dirasakannya pun lambat laun segera menghilang. Tapi kali ini, lain dari yang sudah-sudah. Rasa cemas dan khuatir mulai menyelimuti keluarga. Mereka berusaha menyedarkan Siti. Sekali lagi mereka menyuakan segelas minuman untuk mengisi perutnya yang kosong setelah seharian berpuasa. Si ibu hanya memberi isyarat, tak keluar kata-kata dari mulutnya.

Matanya memang masih mampu menatap anak-anak dan cucunya yang petang itu hampir berkumpul semua di rumahnya. Namun rasanya tenaganya awal Maghrib itu sudah jauh berkurang, untuk menggerakkan badan pun sangat berat dan susah. Dia tawakkal kepada Allah s.w.t.

Dari raut mukanya seakan megatakan, "Ya Allah, kalau pun saat ini juga Engkau memanggilku, aku siap menghadapMu. Akan tetapi jika masih diberi umur panjang, aku bersyukur mungkin masih ada waktu untuk memperbaiki diri dan mempersiapkan bekal saat menghadapMu nanti."

Sesungguhnya keluarganya berharap keadaan Siti menjadi lebih baik. Tapi yang terjadi sebaliknya. Reaksinya terhadap orang sekitar semakin menurun. Untuk bercakap saja sudah tak mampu hanya gerakan tangan dan isyarat matanya sahaja.

Anak-anaknya pun hanya mampu memicit-micit atau mengurut-ngurut tubuhnya barangkali rasa sakit setelah jatuh tadi boleh berkurangan. Namun rupanya Malaikat pencabut nyawa telah mencatat bahawa malam ini juga akan mengambil nyawa Siti. Sementara keluarga juga tak mampu lakukan apa-apa, kecuali mendoakan agar ibu mereka diberikan kemudahan dalam segalanya.

Seluruh keluarga juga hanya mampu pasrah kalau kini ibu mereka yang sekaligus menjadi teladan kepada mereka sudah tidak ada lagi.

Waktu terus berdetik, perempuan tua yang terbaring di atas anjung rumah itu akhirnya menghembuskan nafas terakhir. Siti meninggal pada hari Khamis malam Jumaat tahun 1993. Kini peribadinya yang selama ini menjadi teladan bagi anak-anak sepeninggalan ayah mereka telah kembali ke Rahmatullah dalam keadaan tenang.

MASA HIDUPNYA...

Menurut cucunya Yip, Siti termasuk orang tua yang mengajarkan kesederhanaan dan tidak suka menunjuk-nunjuk. Prinsip hidup untuk mengabdi kepada Allah Maha Pencipta tampaknya menjadi pegangan kukuhnya.

Hari-harinya penuh dengan bekerja, bergaul dengan masyarakat serta beribadah. Dia tak ingin menggantungkan kepada orang lain, termasuk anak-anaknya sendiri meskipun keadaan fizikalnya sudah lemah dalam soal memenuhi keperluannya sendiri.

Siti juga faham bahawa orang tak mampu hidup sendiri tanpa bantuan orang lain. Dia juga ramah kepada sesiapapun dan cuba tidak membuat masalah dengan mereka. Baginya kenikmatan dan anugerah yang telah diberikan oleh Allah kepadanya haruslah disyukuri. Bagaimana cara mensyukurinya...Ya... dengan menunjukkan ketaatan kepada Allah menjalankan apa-apa yang diredhaiNya dan meninggalkan semua yang menjadi kemurkaanNya.

Dia selalu ingat bahawa manusia diciptakan hanyalah untuk mengabdikan diri kepada Allah, bukankah Allah s.w.t. telah berfirman, "Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu." (Az-Zariyat:56).

Keadaan embah atau neneknya itu sangat sederhana, dia menyara dirinya dengan sumber yang terrbatas. namun itu tidak membuatnya pernah mengeluh. Menurut Yip, justru kemiskinan hidup dijadikannya penyebab untuknya semakin mendekatkan diri kepada Allah. Bahkan di setiap kesempatan, dia memanjatkan doa agar diberi kemudahan saat menghadap kepada Illahi Rabbi. Dia sering berucap kepada anak-anaknya dan tetangga agar dirinya meninggal dalam keadaan yang baik, mudah dan tak mahu menyusahkan orang lain.

Harapan itu rupanya didengar dan dikabulkan oleh Allah s.w.t. Siti meninggal dunia pada hari Khamis malam Jumaat dalam keadaan suci selepas berwuduk dan setelah menyelesaikan puasa sunat Khamis.

"Dia juga berpesan kepada cucunya agar kelak sudi dibacakan surah Yassin dan Al-Mulk apabila dia meninggal dunia kelak." ujar Yip.

Sementara Mohammad, anak tertua dari Siti, meminta kepada keluarga dan saudara-saudaranya untuk mengikhlaskan kepergiannya. Jasadnya mungkin telah tiada, namun dia meninggalkan jejak-jejak dan pelajaran baik yang boleh diteladani.

Kesederhanaan, sikap tawadduk, kesolihan serta pesanan-pesanannya agar tidak terlalu berlebihan dalam memandang dunia, kerana dunia hanyalah sementara dan kehidupan yang sesungguhnya yang lebih kekal adalah kehidupan di akhirat.

Mudah-mudahan ia diterima di sisiNya dan mendapat kerahmatan. Amin...


Sumber : Majalah Hidayah.