Showing posts with label kematian. Show all posts
Showing posts with label kematian. Show all posts

Tuesday, August 24, 2021

ADAB MENZIARAHI ORANG SAKIT...

MENZIARAHI orang sakit hukumnya sunat, guna penghibur kesedihannya kerana kegembiraan orang sakit itu dapat juga menjadi ubat. 


Dari Abu Hurairah, berkata Nabi s.a.w. Hak seorang Islam atas orang Islam yang lain, ada 5 iaitu:

1. Menjawab salam 
2. Menziarahi orang sakit 
3. Menghantarkan jenazah 
4. Mengabulkan undangan dan  
5. Mendoa akan orang bersin
Riwayat Bukhari dan Muslim.

Orang yang menziarahi orang sakit hendaklah mendoakan agar sakitnya lekas sembuh dan menganjurkan supaya dia bertaubat dari segala dosa, membayar hutang (jika ada) dan berwasiat. Si sakit hendaklah baik sangka kepada Allah, kerana ia mengetahui bahawa Allah bersifat pengasih, penyayang dan pengampun.


Dari Abu Hurairah, berkata Rasullullah s.a.w., Allah s.w.t. telah berfirman "Aku menurut bagaimana persangkaan hambaKu kepadaKu" Riwayat Bukhari dan Muslim.

Berziarah atau melawat orang sakit itu sunat dan besar pahalanya kerana ia adalah menghiburkan hati orang yang sakit itu, menghiburkan hati keluarganya dan sebagai ujian berlatih menanam perasaan muhibah kasih sayang antara satu sama lain.

Adab Menziarahi Orang Sakit:

Sebagaimana juga ibadat-ibadat yang lain mempunyai syarat dan rukun serta adab, maka menziarahi orang sakit juga mcmpunyai adab yang tersendiri untuk diikuti agar ziarah itu mengikuti kehendak-kehendak Islam.

Maka di antara adab-adab menziarahi orang sakit itu ialah:

1. Orang yang berziarah itu sayugia jangan duduk lama-lama di sisi orang yang sakit itu. Cara yang sebaik-baiknya adalah sekadar memberi nasihat kepadanya supaya ia bersabar dan redha atas Qadha Allah Ta'ala, jangan dibawa mengerang atau mengeluh, tetapi dengan membanyakkan zikir kepada Allah supaya dapat pahalanya, lima kalimah suci yang patut dibaca oleh orang-orang yang sakit itu iaitu:


2. Setelah duduk disisinya rasalah tangannya, dahinya dan bertanyakan khabar bagaimana sakitnya dan bagaimana kedudukannya;

3. Zahirkan simpati kepadanya seolah-olah kita juga merasa sebagaimana ia merasakannya;

4. Sunat didoakan orang yang sakit itu supaya segera sembuh, tetap iman, tahan sabar dan sunat dipegang kepala atau tangannya lalu membaca doa seperti yang pernah dibacakan oleh junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. itu kalimah:


Maksudnya: Ya Allah hilangkanlah penyakitnya, Wahai Tuhan bagi manusia, sembuhkanlah, Engkaulah yang menyembuhkan, tidak ada sembuhan melainkan sembuhan dari-Mu jua, suatu sembuhan yang tidak meninggalkan sebarang penyakit. 

Dengan nama Allah yang memiliki tanah bumi kami, dengan air liur setengah di antara kami maka disembuhkan penyakit kami.

Dengan nama Allah, aku mendoakan kamu dan Allahlah yang menyembuhkan engkau daripada segala penyakit yang ada pada engkau dan daripada kejahatan semburan pada tali yang tersimpul daripada kejahatan-kejahatan orang yang dengki apabila ia dengki.

Ya Allah, sembuhkanlah akannya dan sihatkanlah.

5. Sunat dibaca ketika menziarahi orang sakit yang ada harapan sembuh dengan kalimah:


6. Nasihatkan supaya bersabar kerana sakit itu mendapat pahala yang banyak dan ini sebagai cubaan semata-mata

7. Jangan makan makanan yang dihadiahkan orang kepdaanya atau makanan yang disediakan untuknya kerana apabila dimakan maka hilanglah pahala ziarah itu - (Bahrul Mazi Jilid 7 Masaalah 8)

8. Senangkanlah hatinya dengan nasihat jangan susah hati. Insyaallah penyakit ini akan sembuh.

Tujuan Ziarah Orang Sakit:

1. Dapat menghiburkan hati orang yang sakit itu, kerana adanya penziarah maka orang sakit itu merasa ada orang yang bersimpati;

2. Mengurangkan bebanan sakitnya dan memberikan harapan kepadanya

3. Mendoakan semoga segera sembuh;

4. Membawa makanan/minuman yang sesuai dan

5. Membantu meringankan penderitaan batinnya dan kalau boleh membantu untuk perbelanjaan keluarganya.

Hikmah Ziarah

Di samping Islam menggalak menziarahi orang sakit bukan sekadar mendapatkan pahala sunat semata-mata tetapi di sebaliknya ada terselit hikmat padanya iaitu:

1. Mendapat kasih sayang dari Allah s.w.t sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. daripada Abu Hurairah yang bermaksud bahawasanya seorang lelaki menziarahi saudaranya di dalam sebuah kampung, maka Allah perintahkan satu malaikat supaya memerhatikan lelaki itu dan bertanya ke manakah engkau? Jawabnya, aku ingin menziarahi saudaraku di kampung ini. Malaikat itu menyambung, apakah sebabnya engkau ziarahi dia? Adakah sesuatu sebab? Jawabnya tidak ada, hanya aku kasihkan dia kerana Allah sahaja. Malaikat itu berkata, bahawasanya aku adalah pesuruh Allah datang kepadamu menceritakan bahawasanya Allah kasih akan dikau sebagaimana engkau kasih akan dia.

Selain daripada itu perlu diingat bahawa menziarahi orang-orang yang soleh adalah terlebih afdhal;


Maksudnya: Barangsiapa yang menziarahi orang sakit, ataupun ziarah saudaranya kerana Allah s.w.t. maka terdengarlah suara yang memanggil dan mengatakan bagus dan bagus langkahmu, dan ambillah tempat tinggalmu di dalam syurga.


Maksudnya: Berilah makanan kepada orang yang lapar, ziarahilah orang sakit dan lepaskanlah orang tawanan.

2. Menjauhkan daripada api neraka sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Anas r.a. yang maksudnya: Sesiapa yang mengambil wudhu dan memeliharanya dengan baik rukunnya kemudian menziarahi saudaranya yang sakit kerana untuk mendapatkan pahala nescaya Allah jauhkannya daripada api neraka sejauh 70 tahun perjalanan dan

3. Mendapat rahmat dari Allah s.w.t. sebagaimana Jabir r.a. meriwayatkan sebuah hadis, Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Barangsiapa menziarahi orang sakit nescaya sentiasa mendapat rahmat hingga ia duduk, setelah ia duduk Allah tutupi ia dengan nikmat dan keredhaannya.

Masa Berziarah

1. Janganlah ziarah di waktu sipesakit sedang tidur atau waktu makan, datangilah waktu yang bersesuaian dengan keadaan pesakit itu seperti waktu rehat dan bersedia menerima tetamu.

2. Tidak terlalu lama di sisi pesakit kecuali pesakit menghendaki ia berada disisinya.

3. Bolehlah membawa buah tangan seperti makanan jika bersesuaian, jika tidak boleh makan, maka eloklah tidak membawa makanan.

Adab Menziarahi Orang Yang Sakit Tenat:

Orang yang sakit tenat ertinya harapan untuk sembuh sudah tidak ada lagi. Dan kita dapat memahami bahawa keadaannya terlalu uzur dan kematian sudah terlalu hampir. Kalau kita perhatikan bulu kening sudah jatuh ke bawah tidak lagi terletak di atas tulang dahi, hidungnya pun sudah lembik manakala tapak kakinya sudah tidak tegak lagi. Maka patutlah dilakukan beberapa perkara umpamanya hendaklah diberi pengharapan yang Allah akan mengampunkan dosanya.

Penghargaan yang terakhir ialah sangka baik terhadap Allah. jangan biarkan si sakit itu bercakap yang bukan-bukan sehingga menimbulkan perasaan putus asa terhadap rahmat Allah s.w.t.

Maka si penziarah hendaklah:

1. Memperkatakan hanya perkara-perkara yang baik sahaja kerana malaikat a.s. akan mengaminkan apa yang kita ucapkan;

2. Memendekkan masa duduk dan mengurangkan bising dalam erti kata jangan membuat bising. Nabi s.a.w. pernah bcrsabda kepada sahabat yang datang menziarahi baginda sedang sakit dcngan sabdanya yang bermaksud "bangunlah kamu semua tinggalkan daku" kerana Nabi s.a.w. tidak mahu mereka membuat bising di sisinya...Wallahuaklam

Tuesday, April 9, 2013

ALLAHYARHAM JAMALUDDIN B. ABDUL AZIZ DALAM KENANGAN....

Pagi  Isnin 8 April 2013, seperti biasa saudara Jamaluddin b. Abdul Aziz, 47 hadir ke pejabatnya di Cawangan P&P (Penyatuan dan Pemulihan) & Tanam Semula, tingkat 6 untuk menjalankan tugas-tugas harian beliau.

Pada kebiasaannya, wajah beliau nampak ceria dan tenang. Semua orang tahu beliau seorang yang peramah. Setiap  orang yang bertemunya akan disapa dan ditanya khabar walaupun baru pertama kali berjumpa.  Sikapnya yang peramah membuatkan ia disenangi oleh semua rakan-rakan di pejabat.   

Satu lagi sifatnya yang harus dipuji ialah, beliau sangat suka menolong kawan-kawan yang di timpa masalah di jalanraya seperti kerosakan kereta atau kemalangan. Jika kita menghubunginya untuk meminta bantuan, ia tidak pernah menolaknya dan segera datang untuk membantu sehingga masalah yang di hadapi selesai.  Minatnya di dalam sukan permotoran terutamanya motosikal berkuasa tinggi membuatkan ia ramai kawan diluar sana. Keadaan ini memudahkan beliau menghubungi kawan-kawanya bagi meminta pertolongan yang berkaitan masalah di jalanraya.

Beliau sering melibatkan diri di dalam aktiviti sosial yang dianjurkan oleh kelab sukan atau aktiviti persendirian. Kelibatnya sering di lihat di semua aktiviti dan ada ketikanya beliau akan mengambil bahagian dalam acara-acara pertandingan yang di gemarinya. 

Namun di pagi isnin itu, wajahnya kelihatan pucat dan tidak bermaya, kawan-kawan yang bertemu dengannya dapat merasakan perubahan itu. Ada yang menasihatkan supaya pergi mendapatkan rawatan doktor. Kepada kawan-kawan rapatnya, dia mengakui bahawa dirinya tidak berapa sihat kerana mengalami sakit perut.   

Selepas hampir dua jam di pejabat kerana menyelesaikan beberapa tugas penting, Ia dapat merasakan keadaan kesihatannya semakin meruncing walaupun kawan-kawan yang berhampiran tidak menyedarinya. Ia lalu mengambil keputusan untuk berjumpa ketua jabatannya bagi memohon kebenaran pulang ke rumahnya yang terletak lebih kurang 1 kilometer dari pejabat iaitu di Blok C14, Seksyen 10, Bandar Baru Wangsa Maju untuk berehat sebelum ke klinik bersama isterinya yang kebetulan bercuti pada hari itu.

Namun takdir Allah telah menentukan segala-galanya. Kira-kira jam 10.30 pagi, kami semua di kejutkan dengan berita bahawa En. Jamaluddin b. Abdul Aziz yang baru bersama-sama kami sebentar tadi telah pergi menemui Ilahi buat selama-lamanya. Ia di serang penyakit jantung secara tiba-tiba ketika tiba dirumah dari pejabat dan rebah lalu meninggal dunia di pangkuan isteri dan anak-anak tercinta.      

Ramai rakan-rakan yang bertemunya pagi tadi seakan tidak percaya dengan berita yang baru di terima malah ada yang menganggapnya sebagai satu gurauan. Ada yang terus percaya dengan berita tersebut dan tidak dapat menahan sebak lalu menangis teresak-esak mengenangkan seorang rakan yang baik telah pergi menemui Tuhanya dalam usia 47 tahun.

Setelah keadaan kembali tenang dan pengumuman telah dibuat, kami semua bergegas ke rumahnya untuk menziarah dan mengucapkan salam takziah untuk keluarganya. Kumpulan yang tiba awal di rumah Allahyarham telah mengadakan bacaan Yassin dan tahlil arwah.

Bapa Allahyarham telah memaklumkan bahawa jenazah akan dibawa ke masjid Abu Ubaidah Al Jarrah yang lebih di kenali sebagai Masjid Seri Rampai untuk dimandi, dikapan dan disembahyangkan. Jenazah seterusnya akan dibawa ke Seksyen 3, Bandar Baru Bangi untuk disemadikan kerana keluarga Allahyarham menetap di sana.   

Semua tugas-tugas memandi, mengapan dan sembahyang jenazah selesai kira-kira jam 3 petang. Setelah jenazah dimasukkan kedalam kenderaan jenazah maka berpisahlah kami semua teman-teman dengan Allahyarham buat selama-lamanya. Hanya bacaan ayat-ayat suci dan doa yang dapat kami sedekahkan untuk Allahyarham dengan harapan semoga roh beliau di tempatkan bersama-sama orang yang soleh.

Al Fatihah.....Aminnnnn......

Saksikan gambar-gambar yang sempat di rakam di rumah Allahyarham dan di masjid. Terima kasih juga diucapkan kepada En. Abdul Majid b. Mohd Yusof dari Bahagian Khidmat Teknikal kerana sudi menyumbangkan gambar-gambar yang dirakam olehnya untuk tatapan kita bersama.

 
Kelihatan ramai kawan-kawan yang datang berziarah
 di rumah Allahyarham  yang terletak di Blok C14
Seksyen 10, Bandar Baru Wangsa Maju, 
Kuala Lumpur..





Jenazah telah selesai disembahyangkan 
di Masjid Abu Ubaidah Al Jarrah (Masjid Seri Rampai) dan
akan dibawa ke Seksyen 3,Bandar Baru Bangi untuk disemadikan...



*************************************************************
 
GAMBAR-GAMBAR DI BAWAH INI ADALAH KENANGAN MANIS 
ALLAHYARHAM DALAM AKTIVITI SOSIAL YANG DISERTAINYA...

 
Allahyarham Jamaluddin b. Abdul Aziz
(26/8/66 - 8/4/2013)
47 Tahun...
Gambar diambil dalam program 
Mencandat Sotong di Pulau Kapas, 
Kuala Terengganu pada bulan April 2010.


Gaya Allahyarham semasa mencandat sotong...


  Dari kiri: Allahyarham Jamaluddin, AJ, Najib dan Shahrul. 
Kami semua berada di dalam bot yang sedang belayar 
ke tengah laut  untuk mencandat....


Allahyarham bersama keluarga dalam program 
memancing ikan di Rawang, Selangor pada bulan 10, 2011...
 
Isteri Allahyarham, No. 4 dari kiri... 

Che Hashim Deraman sedang 'menjual minyak' kepada
gadis-gadis yang turut serta dalam aktiviti memancing di Rawang. 
Allahyarham Jamaluddin (baju biru) hanya memerhati 
gelagat Che Hashim dari jauh sahaja...

Dari kiri: Allahyarham Jamaluddin, Mat Isa, AJ dan Johan. 
Kami baru tiba di Airport Miri dalam 
XPDC mendaki Gunung Mulu, Sarawak pada tahun 2008...

Allahyarham Jamaluddin bersama
En. Wan Mokhtar di kaki Gunung Mulu.

Allahyarham Jamaluddin (baju merah) sedang menikmati 
makan malam di cafe Royal Mulu, Sarawak...

En. Zulkifli Ariffin bergambar bersama Allahyarham di Airport Miri... 

Allahyarham Jamaluddin bergambar ramai 
bersama peserta XPDC sebelum mendaki Gunung Mulu...

Allahyarham menaiki bot panjang untuk keperkampungan Penan, 
Mulu, Sarawak. Di tengahnya adalah Pak Lah dan Noslan...  

Pasukan pendaki sedang mendengar taklimat dari En. Wan Mokhtar...
Turut kelihatan adalah Allahyarham Jamaluddin (baju merah)...

Gambar menunjukkan Allahyarham bersama 
peserta XPDC di dalam Gua Mulu...

Allahyarham Jamaluddin berehat di kolam renang
 tempat penginapan kami di Royal Mulu. 
Di sebelahnya ialah Mr. AJ, Mazlan (baju jalur)
dan Saratjuddin (baju merah)...

Thursday, September 22, 2011

SEMOGA ROHMU DI CUCURI RAHMAT...

Keratan akhbar Harian Metro bertarikh 21 September, 2011
melapurkan kematian Mat Desa b. Hashim...
(Klik pada imej untuk lebih jelas)


Keratan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 21 September, 2011
melapurkan kematian Mat Desa b. Hashim...
(Klik pada imej untuk lebih jelas)

Semalam 20 September 2011, jam 1.26 petang, aku menerima satu berita sedih melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dari abang aku Shamsuddin memaklumkan bahawa sepupu kami iaitu Mat Desa b. Hashim maut dipanah petir ketika memancing bersama-sama kawan-kawannya di Puteri Harbour, Nusajaya, Johor Baharu.

Berita kejadian tersebut telah disiarkan di Radio Klasik Nasional petang semalam dan telah juga disiarkan melalui suratkhabar Harian Metro dan Utusan Malaysia hari ini.

Allahyarham Mat Desa ni adalah anak kepada Pak Cik Hashim iaitu abang kepada ibu kami dan keluarganya menetap di Aulong, Taiping, Perak. Kali akhir aku mengunjungi ayahnya (Pakcik Hashim) dan ibunya (Makcik Satariah) ialah pada bulan Julai 2011 iaitu 2 minggu sebelum ketibaan bulan Ramadhan baru-baru ini.

Kali akhir aku bertemu dengan Allahyarham pula ialah kira-kira 10 tahun lalu ketika aku menghadiri satu majlis khenduri kahwin anak saudara aku di Sekudai, Johor. Ketika itu aku mengambil peluang dan berkesempatan menziarahinya dikediamannya di Johor.

Allahyarham Mat Desa ini telah meninggalkan kampung halamannya hampir 25 tahun yang lalu dan telah menetap di Johor setelah berumahtangga dengan isterinya iaitu Pn. Fauziah bt. Yahya.

Beliau juga bergiat aktif dibidang dakwah dengan menyertai jemaah tabligh dan sering bersama kumpulannya berdakwah ke seluruh Semenanjung sehingga keluar Negara.

Setiap tahun, aku tidak pernah ketinggalan menerima SMS darinya mengucapkan selamat Hari Raya tapi tahun ini tiada SMS lagi darinya sehinggalah aku menerima berita ini.

Tiada apa yang dapat aku sumbangkan kepada roh beliau melainkan bacaan Alfatihah dan berdoa semoga roh beliau ditempatkan bersama-sama orang yang Soleh....Amin.

Ikuti berita penuh laporan akhbar mengenainya dibawah...


PENDAKWAH MAUT DI PANAH PETIR (VERSI HARIAN METRO)

NUSAJAYA: “Ini hari kedua abang berpuasa enam, tidak sangka hajatnya menghabiskan ibadat berkenaan tidak kesampaian selepas meninggal dunia akibat dipanah petir,” kata Azizah Yahya, 44, di sini, semalam.

Azizah ditemui di kediaman abang iparnya, Mat Desa Hassim, 52, di Taman Nusa Perintis, petang semalam, yang meninggal dunia selepas dipanah petir ketika memancing ikan berhampiran perairan Puteri Harbour.


Menurut Azizah, abang iparnya sepatutnya pulang jam 5 petang semalam untuk persediaan berbuka puasa.

“Abang gemar melakukan ibadat sunat dan kerap memaklumkan mahu menghabiskan puasa enam ini, saya tidak sangka tahun ini abang gagal menyudahkan ibadat berkenaan.


“Hubungan saya dengan abang rapat kerana sebagai seorang pendakwah bebas, saya banyak belajar ilmu agama daripadanya,” katanya.


Menurut Azizah, pada Ramadan lalu, Mat Desa sempat ke Kedah berdakwah selama dua minggu di sana.

“Walaupun sedih, saya reda dengan ketentuan Tuhan ini,” katanya.


Hamidon Mohamed, 31, yang bersama Mat Desa ketika kejadian berkata, kejadian berlaku amat pantas.

“Saya dan seorang lagi rakan, Tarmizi, 50-an, duduk dalam bot apabila tiba-tiba terdengar dentuman kuat.


“Sejurus kemudian, saya dapati Tarmizi dalam keadaan bingung manakala Mat Desa yang berada di belakang bot tercampak ke laut,” katanya.


Hamidon terjun dan sempat mencapai kaki Mat Desa sebelum menarik mangsa ke dalam bot sebelum bergegas ke Jeti Tanjung Nelayan.


Menurut Hamidon yang juga kakitangan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), dia sempat menghubungi isterinya dan meminta wanita itu menghubungi ambulans.


“Namun, sebaik tiba di jeti, petugas perubatan yang ada di situ mengesahkan Mat Desa sudah meninggal dunia,”

NELAYAN MAUT DI PANAH PETIR
KETIKA BERSIAP MEMANCING
(UTUSAN MALAYSIA)

NUSAJAYA 20 Sept. - Kegembiraan tiga sahabat menjala udang dan memancing ikan di Puteri Harbour di sini bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut akibat dipanah petir.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa, Mat Desa Hashim, 52, yang bekerja sebagai nelayan mati di tempat kejadian manakala dua lagi rakannya, Hamidun Mohamed, 31, dan Tarmizi Jailani, 50, terselamat.

Hamidun ketika menceritakan kejadian itu berkata, mereka bertiga keluar ke laut kira-kira pukul 10 pagi dengan menaiki bot fiber milik mangsa.

"Selepas sejam kami menjala udang, hujan turut dengan lebat menyebabkan kami terpaksa berteduh di rumah rakit berhampiran tempat kami menjala.

"Sebaik sahaja hujan reda, kami ke laut semula untuk memancing ikan. Sedang kami sibuk menyiapkan kelengkapan memancing, saya terdengar dentuman kuat beserta cahaya petir," katanya ketika ditemui di kediaman Mat Desa di sini hari ini.

Hamidun yang bekerja sebagai operator Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) berkata, akibat dentuman itu, mangsa tercampak ke laut manakala Tarmizi terjatuh atas bot.

Dia kemudian segera terjun untuk mencapai kaki mangsa dan menariknya semula ke dalam bot sebelum menghubungi isteri mangsa untuk memaklumkan kejadian itu.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Razak Md. Said ketika dihubungi mengesahkan kejadian ini dan mengklasifikasikan kematian mangsa sebagai mati mengejut.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika pergi memancing terutama dalam keadaan cuaca buruk dan disertai hujan lebat serta petir.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kulaijaya untuk dibedah siasat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Perintis.

Mangsa meninggalkan seorang isteri, Fauziah Yahya, 49, dan dua anak lelaki, Mohd Amirul, 15, dan Mohd Ashraf, 10 tahun.


Pak Cik Hashim, ayah Allahyarham Mat Desa (tengah)
berbual bersama abangku Omar (kiri) dan abang iparku Abg. Lah
semasa satu majlis khenduri arwah dirumah ibu kami
di Taiping, Perak, kira-kira 3 tahun lalu.

Surah Al Fatihah.