Showing posts with label Agama. Show all posts
Showing posts with label Agama. Show all posts

Friday, September 10, 2021

GANJARAN SOLAT JUMAAT...

Diriwayatkan bahawa Nabi Musa a.s. pergi ke Bukit Baitul Muqaddis. Sampai di sana, Nabi Musa a.s itu melihat satu kumpulan sedang beribadat kepada Allah s.w.t dengan penuh khusyuk.

Nabi Musa a.s kemudian bertanya dan mereka menjawab :

“Kami termasuk umat Tuan. Kami telah beribadat kepada Allah s.a.w. sejak 70 tahun dengan bersungguh-sungguh. Pakaian kami adalah kesabaran, makanan kami adalah tumbuh-tumbuhan dan minuman kami adalah air hujan.”

Melihat perkara itu Nabi Musa a.s. berasa senang hati.

Kemudian Allah s.w.t. mewahyukan kepadanya :

“Hai Musa, ada suatu hari untuk umat Nabi Muhammad s.a.w yang solatnya dua rakaat pada hari itu lebih utama daripada semuanya ini.”

“Ya Tuhan ku, hari apakah itu?”, Nabi Musa a.s bertanya. 

Allah s.w.t. kemudian memberitahu bahawa hari yang dimaksudkan itu adalah hari Jumaat.

Sabda Rasulullah yang bermaksud :

“Apabila tiba hari Jumaat, Allah s.w.t. mengutuskan Malaikat turun ke bumi sedang pada tangan mereka memegang pena dari emas dan kertas-kertas dari perak.”

Malaikat berdiri pada pintu masjid dan mencatat nama orang yang masuk ke dalam masjid dan bersolat Jumaat.

Apabila selesai solat, Malaikat pulang ke langit. 

Mereka berkata :

“Hai Tuhan kami, kami telah mencatat orang yang masuk ke masjid dan solat Jumaat.”

Maka Allah s.w.t. berfirman :

“Wahai Malaikat-malaikatKu, demi keperkasaan dan keagunganKu, sesungguhnya Aku benar-benar mengampuni mereka semua dan dosa-dosa mereka tiada lagi walau sedikitpun.”

"Wahai orang-orang yang beriman!

Apabila di serukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkan berjual beli yang demikian itu adalah lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenar) nya."

Friday, October 4, 2013

PENENTUAN ARAH KIBLAT DI SURAU FELCRA BERHAD...


Hari ni 4 Oktober 2013, pihak surau Ibu Pejabat telah menjemput Ustaz Mohd Marngi b. Wasim dan krewnya dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk menyemak semula dan menentukan kedudukan arah kiblat yang tepat di Wisma FELCRA Berhad.

Penentuan arah kiblat sangat penting kerana Kiblat merupakan yang menunjuk arah apabila seseorang Muslim solat. Asalnya, mengarah ke Baitulmuqaddis atau kini Jerusalem (dan dengan itu dikenali sebagai Pertama dari Dua Kiblat). Pada tahun 624M, semasa penghijrahan Nabi Muhammad SAW di Madinah, arah Kiblat ditukar ke arah Kaabah dan kekal sehingga kini.

Apabila seseorang Muslim itu mengerjakan solat dari dalam Kaabah, seseorang Muslim boleh menghadap di mana-mana dinding keluar yang terdapat dalam Kaabah semasa solat namun disunatkan untuk solat pada tapak dan arah di mana Nabi Muhammad SAW bersolat di dalam Kaabah, manakala bagi mereka yang berada di luar Kaabah pula, mereka boleh menghadap mana-mana dinding atau penjuru pada binaan Kaabah untuk bersolat kerana pusingan Kaabah itu 360 darjah.

Kiblat, merupakan titik rujukan di Bumi, ke arah Kaabah. Dalam amalan agama Islam, solat mesti menghadap ke arah Kaabah. Perlu diingatkan bahawa seseorang Muslim tidak menyembah Kaabah atau kandungannya, Kaabah hanya merupakan titik rujukan untuk solat.

Kiblat menunjukkan arah terpendek ke Kaabah. Di sebabkan Bumi berbentuk seperti bebola, laluan ini membentuk bulatan besar seperti laluan kapal terbang. Lokasi Kaabah (di 21° 25' 24" N, 39° 49' 24" E) boleh ditentukan secara geometri (sfera) untuk menentukan arah Kiblat di mana-mana sahaja di muka Bumi ini.

Hanya satu kes khas wujud: apabila bersolat dalam Kaabah sendiri, seseorang Muslim menghadap ke arah dinding keluar semasa solat.

Pada masa silam, umat Islam yang mengembara menggunakan astrolob untuk menentukan arah Kiblat. Pada tarikh tertentu dalam tahun apabila Matahari berada tepat di atas Kaabah, arah bayang di semua tempat akan menunjukkan dengan tepat arah Kiblat.

Kiblat penting bukan semata-mata sebagai arah solat, tetapi juga dalam upacara harian/keagamaan. Kepala haiwan yang disembelih (untuk korban mengikut kepercayaan Islam) diselaraskan dengan kiblat. Selepas meninggal dunia, seseorang Muslim dikebumikan dengan muka menghadap kearah Kiblat.

Semua empat mazhab iaitu Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali bersepakat bahawa menghadap kiblat adalah syarat sah solat. Mazhab Syafie menetapkan tiga syarat yang boleh diguna pakai bagi memenuhi syarat menghadap kiblat.

PANDUAN MENENTUKAN ARAH KIBLAT


Terdapat beberapa kaedah bagi menentukan arah kiblat seperti berpandukan kepada matahari selain daripada menggunakan kompas penunjuk. Panduan ini amat perlu dipelajari kerana mungkin pada suatu masa kita akan berhadapan dengan situasi yang terdesak seperti di tengah-tengah hutan belantara, pada malam yang gelap gelita, atau pada musim cuaca yang tidak menentu maka bagaimanakah kita hendak menentukan arah kiblat?

Di bawah ini beberapa panduan yang boleh digunakan bagi tujuan menentukan arah kiblat :


Kaedah 1 :

Pada waktu malam yang gelap maka carilah bintang tiga sederet dalam bentuk Buruj Belatik (Badabur Orion). Namun kaedah ini memerlukan kepada pengetahuan ilmu bintang.

Kaedah 2 :

Dengan memandang ke arah langit pada malam gelap gelita dan carilah bintang Qutbi (Polaris) . Inilah satu-satunya bintang paling tepat arah utara bumi. Dengan berpandukan bintang ini, arah kiblat boleh dicari tetapi kaedah ini juga memerlukan pada pengetahuan ilmu bintang.

Kaedah 3 :

Jika pada waktu siang hari bolehlah merujuk kepada posisi matahari dengan memerhatikan arah ia terbit dan juga terbenam. Arah terbit adalah pada sebelah timur dan arah terbenam pada sebelah barat. Sebelah barat adalah arah kedudukan Makkah secara rawak dan ianya boleh dijadikan panduan bagi menentukan arah kiblat.

Kaedah 4 :

Dengan menggunakan posisi awal matahari di Kaabah. Kaedah ini adalah berpandukan kepada kedudukan matahari yang akan berada tepat pada suatu tempat. Bagaimanapun kaedah ini hanya boleh berlaku dua kali sahaja dalam setahun dalam pergerakan matahari.

Sekali apabila matahari bergerak menuju titik utara iaitu pada 28 Mei setiap tahun dan sekali lagi pada 16 Julai apabila matahari kembali ke ekuinok.

Penzawalan matahari dengan Kaabah pada waktu hampir zohor akan menyebabkan sebarang objek menjadi tegak di seluruh dunia dan ianya bersamaan dengan arah kiblat.

Mengikut hisab waktu berkenaan ialah 16:16 tengahari waktu di makkah dan bersamaan 5:16 petang waktu di Malaysia. Pacakkan sebarang tiang di kawasan yang lapang untuk menentukan arah kiblat.

Tepat jam 5:16 petang bayang matahari yang jatuh itu adalah bertepatan dengan arah kiblat. Oleh kerana matahari jatuh di sebelah barat maka bayangnya adalah disebelah timur,jadi arah kiblat ialah arah yang berlawanan dari arah timur iaitu sebelah barat.

Tn. Hj. Mohd Marngi Wasim, Pegawai dari Pejabat Mufti Wilayah (Unit Falak) 
sedang membuat perkiraan arah kiblat dengan disaksikan oleh Pegawai Syarikat...




Peralatan yang digunakan untuk mengukur arah...





Tn. Hj Abdullah Othman, Pegawai Kanan Syarikat yang berpengalaman luas 
dalam bidang ukur turut membantu tugas-tugas menentukan arah kiblat...

Salah seorang krew Pejabat Mufti Wilayah sedang melakukan tugas-tugas 
menentukan arah kiblat dengan peralatannya di surau Syarikat...



Pemandangan di dalam surau Syarikat...

En. Khawarri b. Anuar, Eksekutif Ukur Syarikat memberikan penerangan 
kepada kawan-kawan yang berminat nak tahu tentang ilmu falak...
 

Setiap bacaan dicatatkan oleh En. Fadzrin dari Pej. Mufti Wilayah...








Arah kiblat sebenar telah dapat di tentukan...
Pukul 4.15 pm nanti kita turun ramai-ramai ke surau untuk  menunaikan solat Asar. 
Lepas tu jangan lupa cover balik masa 15 minit yang diambil untuk sambung tugas..


Arah kiblat surau kita selepas diukur...

  
Diakhir tugas, pihak Syarikat menyampaikan sedikit cenderahati dan
ucapan terima kasih kepada Tn. Hj. Mohd Marngi, En. Fazrin dan En. Nordin...

Thursday, July 4, 2013

SOLAT JEMAAH KENA RAPAT-RAPAT UNTUK MENDAPAT RAHMAT...

Solat jamaah sedang didirikan di sebuah masjid di Kuala Lumpur...

Sabda Rasulullah s.a.w. lagi; Daripada Abdullah b. Umar r.a, katanya: Sesungguhnya Rasulullah saw telah bersabda: "Betulkan, penuhkan dan rapat-rapatkan saf-saf solat kamu, samakan kedudukan antara bahu-bahu kamu, penuhkan ruangan-ruangan kosong yang terdapat dalam saf, bersopan santunlah dengan saudara-saudara kamu ketika melurus dan merapatkan saf dan jangan sesekali membiarkan ruangan-ruangan kosong saf terdedah kepada syaitan. Sesiapa yang memenuhkan saf dan merapatkannya, nescaya Allah menyambungkan rahmat-Nya bagi orang tersebut dan sesiapa yang memutuskan saf, nescaya Allah SWT akan memutuskan rahmat dan inayah-Nya dari orang tersebut" (Riwayat Abu Daud).

Dalam hadith ini, Rasulullah s.a.w. menegaskan bahawa saf yang tidak rapat akan membawa kepada putusnya rahmat dari Allah SWT. Ini berlaku kerana apabila saf solat tidak rapat maka syaitan akan datang mengisi di antara ruang tersebut, apabila syaitan masuk ia akan melalaikan ahli jamaah sehingga mereka tidak lagi mengingati Allah SWT dalam solat. Di Negara Arab, Mesir dan sebagainya, apabila solat berjamaah, saf mereka cukup rapat, bahu akan bersentuh, jari kaki juga akan bersentuh dengan jamaah di kiri kanan. 

KEAJAIBAN DARI SUDUT SAINS

  
Seorang professor fizik di Amerika Syarikat telah membuat satu kajian tentang kelebihan solat berjamaah yang disyariatkan dalam islam. Katanya tubuh badan kita mengandungi dua cas elektrik iaitu cas positif dan negatif. 

Dalam aktiviti harian kita samada bekerja, beriadah atau berehat, sudah tentu banyak tenaga digunakan. Dalam proses pembakaran tenaga, banyak berlaku pertukaran cas positif dan cas negatif yang menyebabkan ketidakseimbangan dalam tubuh kita.

Ketidakseimbangan cas dalam badan menyebabkan kita rasa letih dan lesu setelah menjalankan aktiviti seharian. Oleh itu cas-cas ini perlu diseimbangkan semula untuk mengembalikan kesegaran tubuh ke tahap normal.

Berkaitan dengan solat berjemaah, timbul persoalan di minda professor ini mengapa islam mensyariatkan solat berjemaah dan mengapa solat lima waktu yang didirikan orang islam mempunyai bilangan rakaat tidak sama. Hasil kajiannya mendapati bilangan rakaat yang berbeza dalam solat kita, bertindak menyeimbangkan cas-cas dalam badan kita. Semasa kita solat berjamaah, kita disuruh meluruskan saf, bahu bertemu bahu dan bersentuhan tapak kaki. Tindakan-tindakan yang dianjurkan semasa solat berjemaah itu mempunyai berbagai kelebihan. 

Kajian sains mendapati sentuhan yang berlaku antara tubuh kita dengan tubuh ahli jemaah lain yang berada di kiri dan kanan kita akan menstabilkan kembali cas-cas yang diperlukan oleh tubuh kita. Ia berlaku apabila cas yang berlebihan samada negatif atau positif akan dikeluarkan manakala yang berkurangan akan ditarik ke dalam tubuh kita. Semakin lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang cas dalam tubuh kita. Menurut beliau lagi, setiap kali kita bangun dari tidur, badan kita akan merasa segar dan sehat setelah berehat beberapa jam.

Ketika ini tubuh kita mengandungi cas-cas positif dan negatif yang hampir seimbang. Oleh itu, kita hanya memerlukan sedikit lagi proses pertukaran cas agar keseimbangan penuh dapat dicapai. Sebab itu solat Subuh didirikan 2 rakaat.

Seterusnya setelah seharian kita bekerja kuat dan memerah otak, semua cas ini kembali tidak stabil akibat kehilangan cas lebih banyak daripada tubuh. Oleh itu, kita memerlukan lebih banyak pertukaran cas. 

Solat jemaah yang disyariatkan Islam berperanan untuk memulihkan keseimbangan cas-cas berkenaan. Sebab itu, Solat Zohor didirikan 4 rakaat untuk memberi ruang yang lebih kepada proses pertukaran cas dalam tubuh. Situasi yang sama turut berlaku di sebelah petang.Banyak tenaga dikeluarkan ketika menyambung kembali tugas.

Ini menyebabkan sekali lagi kita kehilangan cas yang banyak. Seperti solat Zohor 4 rakaat, solat Asar yang dikerjakan akan memberikan ruang proses pertukaran cas dengan lebih lama. Lazimnya selepas waktu Asar dan pulang dari kerja, kita tidak lagi melakukan aktiviti-aktiviti yang banyak menggunakan tenaga. Masa yang diperuntukkan pula tidak begitu lama, maka solat Maghrib hanya dikerjakan sebanyak 3 rakaat adalah lebih sesuai dengan penggunaan tenaga yang kurang berbanding 2 waktu sebelumnya.    

Timbul persoalan di fikiran professor itu tentang solat Isyak yang mengandungi 4 rakaat. Logiknya, pada waktu malam kita tidak banyak melakukan aktiviti dan sudah tentu tidak memerlukan proses pertukaran cas yang banyak. Setelah kajian lanjut, didapati terdapat keistimewaan mengapa Allah mensyariatkan 4 rakaat dalam solat Isyak.

Kita sedia maklum, umat islam amat digalakkan untuk tidur awal agar mampu bangun menunaikan tahajjud di sepertiga malam. Ringkasnya, solat Isyak sebanyak 4 rakaat itu akan menstabilkan cas dalam badan serta nmemberikan tenaga untuk kita bangun malam (qiamulail). Dalam kajiannya, professor ini mendapati bahawa islam adalah satu agama yang lengkap dan istimewa.

Segala amalan dan suruhan Allah Taala itu mempunyai hikmah yang tersirat untuk kebaikan umat islam itu sendiri. Bila kita perhati dan amati, kita dapat membuat kesimpulan bahawa umat islam sekarang dalam keadaan yang sangat menyedihkan. Di sana sini mereka dihina, dibunuh, tanah air mereka dijajah, dirampas dan sebagainya samada perkara ini berpunca daripada tindakan dan strategi pihak musuh atau disebabkan budaya hidup umat islam itu sendiri.

Kita dapat lihat di mana sahaja, mereka hidup berpecah-pecah dan jauh dari rahmat Allah SWT. Ini semua terjadi tidak lain tidak bukan adalah kerana mereka meninggalkan sunnah Rasulullah s.a.w. pada umumnya dan solat berjamaah khasnya.

Dalam konteks solat fardhu berjamaah, mereka bukan sahaja memutuskan atau membengkang-bengkokkan solat, malah langsung tidak mewujudkan apa-apa saf kerana mereka tidak menghadiri solat berjemaah. Ini membawa maksud mereka sekarang berada dalam perpecahan dan perselisihan yang dahsyat.

Untuk keluar dari kepompong masalah ini, formula terbaiknya ialah semua umat islam perlu kembali berlumba-lumba menunaikan solat berjamaah. Kita perlu menghormati sesiapa sahaja yang berjuang mengajak umat islam kepada solat berjamaah, memberi kerjasama yang padu dan sebaik-baiknya kepada mereka.

Maknanya, kalau kita benar-benar ingin mengamalkan ajaran islam yang syumul dalam seluruh kehidupan kita, maka asasnya adalah bermula dengan solat berjamaah. Bila kita mampu beristiqamah dengan solat berjamaah barulah kita mampu kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah dalam perkara-perkara ekonomi, sosial politik, ketenteraan dan sebagainya.

Bila kita sudah mengamalkan Islam dalam seluruh sistem kehidupan kita, maka pada saat itu terserlah kehebatan umat Islam. Pada ketika itu barulah kita dapat mencapai matlamat yang utama iaitu keredhaan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Bertitik tolak dari sinilah maka hidup di dunia dihormati kawan dan digeruni lawan, hidup di akhirat mendapat syurga Allah SWT.  

Dipetik dari buku Islam itu Indah...

Wednesday, June 27, 2012

ABU HANIFAH MENANGKIS SERANGAN PARA ATHEIS...


Pada waktu Abu Hanifah sedang berguru kepada Sheikh Hamad, ia pernah bermimpi melihat seekor babi ingin mengukir batang pohon, lalu cabang pohon itu menundukkan rantingnya dan memukul babi itu dengan pukulan yang keras sehingga ia lari dan menjerit-jerit kesakitan.

Abu Hanifah ra lalu pergi menemui gurunya dan menceritakan mimpinya itu. Ternyata gurunya sedang sedih. Maka ia bertanya kepada gurunya, “Apa yang menyebabkan engkau bersedih hati, wahai Sheikh Hamad?”
Sheikh Hamad menjawab, “Ada beberapa orang atheis datang menemui raja negeri ini yang menyatakan keyakinannya bahawa alam semesta ini terjadi dengan sendirinya tanpa diciptakan oleh Allah.  Lalu raja memerintahkan kepadaku agar aku mengirimkan para ahli yang dapat menjelaskan permasalahannya kepada mereka, apakah alam ini mempunyai Tuhan atau tidak. Kami sudah bersepakat akan mengadakan perdebatan di suatu tempat tertentu. Hanya yang sangat menyedihkanku, aku takut hal ini menimbulkan fitnah di tengah-tengah masyarakat.”

Mendengar penuturan gurunya, Abu Hanifah berkata, “Ya Sheikh Hamad, kini aku tahu tafsir mimpi yang hendak aku tanyakan kepada guru. Seekor babi yang mendekati pohon itu ialah atheis itu, sedangkan pohonnya adalah tok guru sendiri, dan ranting pohon yang mengusir babi itu, InsyaAllah aku yang melakukannya dengan bukti. “Serahkan hal itu kepadaku, wahai guru. Kalau mereka mengalahkan aku maka wajar saja kerana aku murid guru yang terkecil. Kalau mereka berdebat dengan guru tentu mereka akan dikalahkan. 

Sheikh Hamad menyetujui usul muridnya itu. Maka berangkatlah Abu Hanifah ketempat yang dituju sebagai wakil gurunya. Setibanya di tempat yang dimaksud, orang-orang atheis telah berkumpul. Abu Hanifah lalu berkata kepada mereka, “Sesungguhnya Sheikh Hamad merasa masalah ini tidak harus ditanganinya sendiri , kerana itulah dia mengutusku. Aku adalah salah seorang muridnya yang terkecil. Aku diberi amanat untuk melanjutkan perdebatan dengan kamu semua. Mudah-mudahan kamu akan mendapatkan jawapan yang jelas dan memuaskan.”

Maka perdebatan pun bermula dengan para atheis memulakan pertanyaan.

BILA ALLAH ADA?

Atheis : Pada tahun berapa Tuhanmu dilahirkan?

Abu Hanifah : Allah berfirman, “Dia (Allah) tidak melahirkan dan tidak dilahirkan.

Atheis : Pada tahun berapa dia berada?

Abu Hanifah : Dia berada sebelum adanya segala sesuatu.

Atheis : Kami mohon diberi contoh yang lebih jelas dari kenyataan!

Abu Hanifah : Angka berapa sebelum angka empat?

Atheis : Angka tiga

Abu Hanifah : Angka berapa sebelum angka tiga

Atheis : Angka dua.

Abu Hanifah : Angka berapa sebelum angka dua?

Atheis : Angka satu.

Abu Hanifah : Angka berapa sebelum angka satu?

Atheis : Tidak ada angka (kosong).

Abu Hanifah : Kalau sebelum angka satu tidak ada angka lain mendahuluinya, kenapa kamu hairan kalau sebelum Allah yang Maha satu yang hakiki, tidak ada yang mendahului-Nya?

MAKSUD ALLAH MENGHADAPKAN WAJAH

Atheis : Ke mana Tuhanmu menghadapkan wajahnya?

Abu Hanifah : Kalau kamu membawa lampu di gelap malam, kemana lampu itu menghadapkan wajahnya?

Atheis : Ke seluruh penjuru.

Abu Hanifah : Kalau demikian halnya dengan lampu yang cuma buatan itu, bagaimana dengan Allah Ta’ala, nur cahaya langit dan bumi?

ZAT ALLAH

Atheis : Tunjukkan kepada kami tentang zat Tuhanmu, apakah ia benda padat seperti besi, atau cair seperti air atau mengwap seperti gas?

Abu Hanifah : Pernahkah kamu mendampingi orang sakit yang akan meninggal?

Atheis : Ya pernah.

Abu Hanifah : Bermula ia berbicara dengan kamu dan menggerak-gerakkan anggota tubuhnya, lalu tiba-tiba ia diam dan tidak bergerak. Nah! Apa yang menimbulkan perubahan itu?

Atheis : Kerana rohnya telah meninggalkan tubuhnya.

Abu Hanifah : Apakah waktu keluarnya roh itu kamu masih ada di sana?

Atheis : Ya masih ada.

Abu Hanifah : Ceritakanlah kepadaku, apakah rohnya itu benda padat seperti besi atau cair seperti air atau mengwap seperti gas?

Atheis : Entahlah, kami tidak tahu.

Abu Hanifah : Kalau kamu tidak mengetahui bagaimana zat maupun bentuk roh yang hanya sebuah makhluk, bagaimana kamu dapat memaksaku untuk mengutarakan zat Allah Ta’ala?!!!

DI MANA ALLAH  

Atheis : Dimana kira-kira Tuhanmu itu berada?

Abu Hanifah : Kalau kami membawa segelas susu segar kesini, apakah kamu yakin kalau dalam susu ini terdapat zat minyaknya (lemak)?

Atheis : Tentu

Abu Hanifah : Tolong perlihatkan kepadaku, dimana adanya zat minyak itu?

Atheis : Membaur (bercampur) dalam seluruh bahagiannya.

Abu Hanifah : Kalau minyak yang makhluk itu tidak mempunyai tempat khusus dalam susu tersebut, apakah layak kamu meminta kepadaku untuk menetapkan tempat Allah Ta’ala?

TAKDIR ALLAH

Atheis : Kalau segala sesuatu sudah ditakdirkan sebelum diciptakan, lalu apa Tuhanmu buat sekarang?

Abu Hanifah : Ada pekerjaan-Nya yang dijelaskan dan ada pula yang tidak dijelaskan.

Atheis : Kalau ada orang masuk ke syurga itu ada awalnya, kenapa tidak ada akhirnya? Kenapa di syurga kekal selamanya.

Abu Hanifah : Hitungan angka pun ada awalnya tapi tidak ada akhirnya.

Atheis : Bagaimana kita dapat makan dan minum di syurga tanpa buang air besar dan kecil?

Abu Hanifah : Kamu sudah mengamalkannya ketika kamu ada di dalam perut ibu kamu. Hidup dan makan minum selama Sembilan bulan, akan tetapi tidak pernah buang air kecil dan besar di sana. Baru kita melakukan dua hajat tersebut setelah keluar berapa saat ke dunia.

Atheis : Bagaimana kebaikan syurga akan bertambah dan tidak akan habis-habisnya jika dengan dinafkahkan?

Abu Hanifah : Allah juga menciptakan sesuatu di dunia, bila dinafkahkan bertambah banyak seperti ilmu, semakin diberikan ilmu kita, ianya semakin berkembang dan tidak berkurang.

BUKTI ADANYA ALLAH

Atheis : Perlihatkan bukti keberadaan Tuhanmu kala memang Dia ada!

Abu Hanifah ra berbisik kepada khadamnya agar mengambil tanah liat lalu dilemparkannya tanah liat itu ke kepala pemimpin orang atheis itu. Para hadirin gelisah melihat peristiwa itu, khuatir terjadi keributan. Tetapi Abu Hanifah menjelaskan bahawa hal ini dalam rangka untuk menjelaskan jawapan yang diminta kepadanya. Hal ini membuat orang atheis itu mengerutkan dahi. 

Abu Hanifah : Apakah lemparan itu menimbulkan rasa sakit di kepala tuan?

Atheis : Ya, tentu saja.

Abu Hanifah : Dimana letaknya sakit?

Atheis : Ya, ada pada lukanya ini.

Abu Hanifah : Tunjukkanlah kepadaku kalau sakitmu itu memang ada, baru aku menunjukkan kepadamu dimana adanya Tuhanku!

Kaum atheis tidak dapat menjawab dan tentu saja tidak dapat menunjukkan rasa sakitnya kerana itu adalah sesuatu rasa dan ghaib tapi rasa sakit itu memang ada.

Atheis : Baik dan buruk sudah ditakdirkan sejak azali tetapi kenapa ada pahala dan siksa?

Abu Hanifah : Kalau tuan sudah mengerti bahawa baik dan buruk itu bahagian dari takdir, mengapa tuan kini menuntut agar aku dihukum kerana telah melempar tanah liat ke dahi tuan? Bukankah perbuatanku itu sebahagian dari takdir. 

Akhirnya perdebatan itu berakhir dengan masuk islamnya para atheis tersebut di tangan Imam Abu Hanifah Radhiallahuanhu.

Tuesday, June 26, 2012

KEUTAMAAN SAHABAT...

Pada suatu hari, Abu Bakar As Siddiq ra dan Ali bin Abi Talib ra, pergi berkunjung ke rumah Rasulullah saw. Setiba keduanya di depan pintu rumah nabi, satu sama lain saling mendorong rakannya untuk masuk terlebih dahulu.

Maka terjadilah dialog diantara keduanya:

Abu Bakar   : Majulah kau, ya Ali!

Ali : Mana mungkin aku akan mendahuluimu ya Abu Bakar, sedangkan Rasulullah saw. sendiri pernah bersabda tentang engkau: "Belum pernah matahari terbit atau terbenam atas seseorang sesudah para nabi lebih utama dari Abu Bakar."
Abu Bakar : Mana mungkin aku akan mendahuluimu, ya Ali, sedang Rasulullah saw. juga pernah bersabda: "Aku telah menikahkan wanita terbaik kepada lelaki terbaik, aku nikahkan puteriku Fatimah dengan Ali bin Abi Talib."
Ali : Mana mungkin aku akan mendahuluimu ya Abu Bakar, sedang Nabi saw pernah bersabda: "Kalau iman umat ini di timbang dengan iman Abu Bakar, tentu akan lebih berat timbangan iman Abu Bakar."
Abu Bakar : Mana mungkin aku akan mendahuluimu ya Ali, sedang Rasulullah saw pernah bersabda tentang engkau: "Dikumpulkan Ali bin Abi Talib di Mahsyar di hari kiamat kelak berkenderaan bersama dengan Fatimah, Al Hassan dan Al Husain, lalu orang-orang tertanya-tanya: "Nabi manakah gerangan itu?" Lalu ada yang menjawab: "Ia bukan Nabi, tetapi Ali bin Abi Talib dan keluarganya."
Ali : Mana mungkin aku akan mendahuluimu ya Abu Bakar, sedang Rasulullah saw. pernah bersabda tentang engkau: "Kalau aku harus mempunyai kekasih selain dari Tuhanku, tentu aku akan memilih Abu Bakar sebagai kekasihku."
Abu Bakar : Mana mungkin aku akan mendahuluimu ya Ali, sedang Rasulullah saw. pernah bersabda: "Pada hari kiamat aku akan bersama Ali, lalu Allah berfirman kepadaku: "Wahai kekasihKu, aku telah pilihkan untukmu Ibrahim Al Khalil sebagai ayah terbaikmu dan aku telah pilihkan untukmu Ali sebagai saudara dan sahabat terbaikmu." 
Ali : Mana mungkin aku akan mendahuluimu ya Abu Bakar, sedang Allah Ta'ala pernah berfirman tentang engkau: "Dan orang yang datang membawa kebenaran dan orang yang membenarkannya, mereka itu adalah orang-orang yang bertaqwa." (Az Zumar 33).
Abu Bakar : Mana mungkin aku akan mendahuluimu ya Ali, sedang Allah Ta'ala juga telah mengisyaratkan tentang engkau dalam firmanNya: "Dan diantara manusia, ada orang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah: dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hambaNya." (Al Baqarah 207).
Pada waktu keduanya sedang asyik memperbincangkan keutamaan rakannya, malaikat Jibril Alaihissalam datang berkunjung kepada Rasulullah saw. seraya berkata: "Ya Rasulullah, diluar sana ada Abu Bakar dan Ali hendak menemuimu. Pergilah songsong keduanya..."

Maka Rasulullah saw. segera bangkit dari duduknya lalu menyambut mesra dan mempersilakan masuk kedua sahabatnya yang mulia itu. Baginda saw. menempatkan Abu Bakar disebelah kanannya dan Ali disebelah kirinya, seraya berkata kepada mereka: "Demikianlah kami kelak dibangkitkan di hari kiamat. 

Wednesday, March 16, 2011

3 GOLONGAN DISOAL

Dalam hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Hurairah diceritakan bahawa pada hari Kiamat, akan diadili lebih dahulu 3 golongan iaitu pejuang, orang berilmu dan hartawan.


Digambarkan dalam hadis bahawa proses terhadap setiap golongan itu adalah untuk memberi gambaran mengenai niat mereka semasa di dunia dan tempat mereka di akhirat.


Terhadap pejuang ditanyakan : “Apakah yang telah engkau kerjakan di dunia?”


“Aku berjuang dan bertempur pada jalan Allah s.w.t. sehingga aku tewas dalam medan peperangan.” Katanya.


Allah berfirman : “Engkau berdusta. Engkau tewas bukan kerana mempertahankan agama atau berjuang ke jalan Allah, tetapi kerana hanya mengharapkan supaya engkau bergelar pahlawan. Oleh itu tempat mu adalah di neraka.”


Kemudian di soal pula orang yang berilmu :


“Apakah amalan yang engkau kerjakan semasa di dunia?”


“Aku menuntut ilmu kemudian aku ajar ilmu itu kepada orang lain. Dalam pada itu aku sentiasa membawa Al Quran.”


Allah berfirman : “Engkau berdusta sebab engkau belajar dan mengajar supaya dikatakan bahawa engkau ulama dan cendikiawan dan engkau selalu membaca Al Quran supaya engkau disebut sebagai qari. Kerana itu tempatmu juga di neraka.”


Yang terakhir disoal adalah golongan hartawan :


“Tuhan telah melapangkan hidupmu dan mengurniakan rezeki dan harta yang banyak kepadamu. Apakah yang engkau lakukan dengan nikmat-nikmat itu dalam kehidupanmu di dunia?”


Jawab si hartawan itu : “Aku nafkahkan harta yang dikurniakan itu ke jalan Allah.”

Allah berfirman : “Engkau berdusta kerana engkau nafkahkan harta itu hanyalah supaya engkau disebut orang sebagai dermawan. Oleh itu tempatmu juga di neraka.