Friday, April 27, 2018

Thursday, April 26, 2018

RISIKO "MATI MENGEJUT" KETIKA BERSUKAN...

Gambar sekadar hiasan...

Kebelakangan ini semakin ramai masyarakat khususnya generasi muda mula gemar melakukan aktiviti riadah dan bersukan untuk menjalani gaya hidup lebih sihat serta aktif. 

Biasanya ia dilakukan pada hujung minggu, ada yang cenderung berjoging di taman, mengunjungi gimnasium, berbasikal mahupun memilih sukan lasak yang mencabar adrenalin mereka menerusi aktiviti berakit berarus deras dan mendaki gunung untuk kekal cergas. 

Kecenderungan minat dalam aktiviti mengeluarkan peluh ini sebenarnya dari satu sudut dilihat sebagai suatu yang sangat positif. Apatah lagi, sebelum ini kita sering kali gusar mengenai peningkatan statistik kadar obesiti negara dalam kalangan generasi muda. 

Akan tetapi, tahukah anda aktiviti fizikal yang sinonim dengan gaya hidup sihat' ini juga sebenarnya sangat berisiko mengancam nyawa seseorang itu tanpa disedari? 

Tahap kesedaran masyarakat untuk membabitkan diri dalam aktiviti riadah dan sukan sangat bagus tetapi adakah mereka melakukan dalam keadaan selamat? Lebih buruk lagi, apabila mereka yang sudah lama tidak bersukan. 

Menurut Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Kanan Pembedahan Kardiothorasik, Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Seri Dr Jeffrey Jeswant Dillon, ia sangat berbahaya kerana seseorang itu mungkin sudah penat ketika melakukan aktiviti fizikal tetapi tetap memaksa diri sekali gus mendedahkannva kepada risiko 'mati mengejut'. 

Hakikatnya, isu mati mengejut ketika melakukan aktiviti fizikal bukanlah perkara baru, malah sudah beberapa kes berhubung dengannya dilaporkan dalam media sekali gus memerlukan permasalahan ini diambil perhatian serius dan tidak dipandang remeh. 

Misalnya pada awal Mac tahun ini, seorang guru lelaki berusia 39 tahun maut ketika bermain badminton di Dewan Gerakan Masyarakat Teluk Kumbar, Balik Pulau akibat serangan jantung. 

Dalam bulan sama juga, hasrat seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang mahu menyambung pelajaran di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tidak kesampaian apabila disahkan meninggal dunia ketika bermain futsal di Taman Cahaya, Sabak Bernam. 

Pada tahun lalu, lelaki berusia 49 tahun rebah dan tidak sedarkan diri kctika bermain futsal sebclum disahkan meninggal dunia di gelanggang futsal di Seksyen 15, Bandar Baru Bangi. 

Begitu juga pada 2016, seorang lelaki berusia 33 tahun tiba-tiba rebah dan meninggal dunia akibat sesak nafas selepas bermain futsal bersama rakannya di Subang Jaya. 

Ini sebahagian kes mangsa mati mengejut dan apa yang membimbangkan kebanyakan mereka masih muda dan berusia bawah 50 tahun. 

Kematian ini sekali gus membuktikan usia muda bukan jaminan seseorang itu selamat daripada risiko mati mengejut ketika melakukan aktiviti riadah. 

Mengulas lebih lanjut mengenainya, Dr Jeffrey berkata punca utama mati mengejut dalam kalangan masyarakat pertengahan umur dan warga emas yang bersukan disebabkan serangan jantung akibat penyumbatan salur darah koronari jantung. 

"Keadaan ini dapat dikenal pasti dengan pemeriksaan doktor dan ujian jantung yang teliti sebelum giat bersukan untuk mencegah kematian di gelanggang sukan. 

"Bagaimanapun, kebanyakan masyarakat mengambil ringan pemeriksaan kesihatan sedangkan adalah sebaiknya seseorang itu mengetahui status kesihatan mereka sebelum bersukan. Ini kerana bukan semua aktiviti fizikal sesuai untuk kita." 

"Ada sesetengahnya ikut kawan. Apabila kawan pergi berlari marathon, kita pun hendak buat juga, apabila dia daki bukit, kita pun nak juga. Tetapi, kita tidak periksa kesihatan dan tidak tahu tahap apa atau setakat mana keupayaan diri." 

"Pengalaman saya aktif bersukan basikal sejak lima tahun lepas mendapati ada beberapa rakan mengadu sakit dada apabila buat aktiviti sukan. Apabila saya tanya adakah mereka buat pemeriksaan kesihatan terlebih dulu, ramai kata tidak," katanya. 

Trend semasa orang ramai yang ingin menyertai sukan ekstrem atau yang memerlukan daya kctahanan, kecergasan fizikal tinggi seperti larian marathon, berbasikal boleh membahayakan sekiranya ada kelainan jantung yang tidak dikenal pasti terlebih dulu. Bagaimanapun, permasalahan ini tidak hanya berlaku dalam kalangan mereka yang baru berjinak-jinak dalam sukan bahkan golongan aktif aktiviti fizikal juga tidak terkecuali. Malah, sudah beberapa atlet tempatan mahupun luar negara yang masih muda meninggal dunia secara mengejut ketika beraksi di padang.

Pada September 2017, Ketua Jurulatih Bola Sepak Remaja, Majlis Sukan Negeri Kelantan berusia 48 tahun rebah secara tiba-tiba semasa mengendalikan klinik bola sepak Rexcoco di padang Sekolah Menengah Sains Gua Musang sebelum meninggal dunia di Hospital Gua Musang. 

Manakala pada Disember 2007, Kapten Kelab Bola Sepak Scotland, Motherwell, Phil O'Donnell, 35, rebah selepas jantungnya gagal berfungsi semasa perlawanan antara Motherwell menentang Dundee United. 

O'Donnel sempat diberi rawatan oleh paramedik sebelum dibawa ke hospital bagaimanapun disahkan meninggal dunia tidak lama selepas itu. 

"Masih ada tanggapan orang yang aktif sukan tidak akan diserang penyakit tetapi realiti adalah sebaliknya. Kebanyakan atlet atau ahli sukan kompetitif berusia muda yang mati mengejut di gelanggang sukan disebabkan hypertrophic obstructive cardiomyopathy' iaitu suatu kelainan jantung di mana otot jantung bengkak dan menghalang pengaliran darah keluar dari jantung. 

"Biasanya pesakit yang dilahirkan dalam keadaan ini (kongenital) ada kaitan genetik. Boleh menyebabkan mati terkejut semasa aktiviti sukan ekstrem akibat daripada otot jantung yang bengkak menutup jalan keluar pcngaliran darah dari jantung. 

"Disebabkan itu, amat penting pemcriksaan kesihatan. Misalnya, seseorang atlet akan tahu status kesihatan mereka sebelum terlibat dalam sesuatu perlawanan, sama ada mempunyai kapasiti untuk tingkatkan lagi tahap kecergasan mereka atau sebaliknya," katanya. 

"Setiap lelaki berusia lebih 40 tahun dan wanita yang berusia lebih 45 tahun wajib melakukan pemeriksaan kesihatan. Ini kerana, wanita menopaus terdedah kepada risiko sakit jantung disebabkan hormon estrogen dan progesterone yang melindungi mereka sebelum ini sudah berakhir. 

"Lelaki pada peringkat umur 40 tahun turut berisiko sakit jantung terutama mereka yang ada darah tinggi, kencing manis, kolesterol lemak yang tinggi dalam badan, hisap rokok dan faktor genetik," katanya. 

Pemeriksaan kesihatan secara berkala sama ada bagi atlet, golongan yang aktif bersukan mahupun baru berjinak-jinak dalam aktiviti fizikal dapat mengelak sebarang risiko kesihatan yang tidak dijangka ketika bersukan. Bernama

Artikel ini dipetik dari Harian Metro 26 April 2018...


Wednesday, April 25, 2018

AZAN NABIL TUSUK KALBU...

Video Nabil test suara melaungkan azan
di bilik karaoke yang viral sekarang ni...

Sejak kecil saya memang gemar laungkan azan. Mungkin sebab itu saya dikurniakan kebolehan melaungkan azan dalam lapan taranum (lagu) berbeza. 

"Selain itu sejak usia lima tahun lagi ibu dan ayah sudah ajar saya cara bertaranum serta berzanji," kata Muhammad Nabil Fahmi Yusuf, 21, penuntut Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH). 

Bakat remaja itu mendapat perhatian hampir dua juta netizen yang menonton videonya melaungkan azan taranum Makkah dan Nahawand selepas dimuat naik rakannya di Facebook (FB). 

Muhammad Nabil Fahmi kini berkhidmat sebagai bilal separuh masa di masjid berhampiran kediamannya di Batu Pahat. Johor berkata, rakannya tidak memaklumkan kepadanya ketika memuat naik video berkenaan di FB.

Muhammad Nabil Fahmi...

Katanya, dia bersyukur kerana majoriti netizen memberi komen positif, malah ada yang mencadangkan agar dia menjadi bilal sepenuh masa. 

"Selepas video itu tular, saya menerima tawaran sebagai bilal daripada pihak pengurusan beberapa masjid, tapi kena fikir dulu kerana belum habis belajar. 

"Paling mengejutkan ada orang bukan Islam hubungi saya secara peribadi bertanyakan mengenai ca­ra memeluk Islam dan saya akan bantu dia berdasarkan kepada pengetahuan dimiliki," katanya ketika dihubungi. 

Menurutnya, dia melaungkan azan di dalam sebuah bilik di pusat karaoke kerana mahu menunaikan permintaan 10 rakan yang bersamanya ketika itu termasuk seorang yang berketurunan India dikenali sebagai Kumar. 

Menjelaskan mengenai perbuatannya melaungkan azan di dalam bilik karaoke, pemuda itu memberitahu, terdahulu mereka menghadiri majlis tahlil rakan yang meninggal dunia. "Ketika dalam perjalanan pulang kami singgah di pusat karaoke berkenaan kerana rakan termasuk Kumar amat teringin mendengar saya laungkan azan. 

Selepas mendengar azan saya laungkan, Kumar beritahu, dia berasa sayu malah seluruh tubuhnya menggigil. "Saya sebak kerana rakan berada di dalam bilik berkenaan kelihatan insaf selepas mendengar azan, lalu mereka minta saya berkongsi pengetahuan mengenai cara membaca al Quran dan ibadat lain," katanya. 

Anak keempat daripada enam adik beradik itu berkata, bagi membaiki bacaan al Quran dan laungan azan dia kerap merujuk video di YouTube. 

"Insya Allah, jika diberi peluang saya akan kembangkan ilmu dan kebolehan dimiliki kepada orang ramai kerana ini salah satu bentuk dakwah," katanya.

Sumber : Harian Metro

Monday, April 23, 2018

PROGRAM LAWATAN ORANG DI PAROL (ODP)...

Gambar kenangan selepas taklimat penggunaan ODP
 oleh Jabatan Penjara Malaysia kepada YBhg. Datuk CEO 
dan Pengurusan Tertinggi di Wisma FELCRA, Kuala Lumpur... 

Bagi menyahut seruan Kerajaan supaya Syarikat FELCRA Berhad tidak bergantung kepada Tenaga Kerja Asing (TKA) khususnya dari Negara Indonesia dan Bangladesh di sektor perladangan, maka tercetuslah idea supaya pihak syarikat cuba mengalihkan perhatian dan memberi peluang kepada Orang Di Parol (ODP) dari rakyat tempatan bagi mengisi kekosongan tenaga buruh di ladang-ladang yang diuruskan oleh syarikat di seluruh negara. 

Telah diketahui sebelum ini, banyak syarikat telah menggunakan khidmat ODP terutamanya di sektor perkilangan dan hasilnya tidaklah mengecewakan dan ternyata mereka ini mampu melaksanakan tugas yang diberi dengan baik jika sekiranya diberi tunjuk ajar dan dipantau secara berterusan.

Melihatkan kepada kejayaan ini maka Syarikat FELCRA Berhad yakin jika ODP diberi peluang, mereka juga boleh melaksanakan tugas di sektor perladangan sepertimana kejayaan di sektor perkilangan. 

Orang Di Parol (ODP) adalah mereka yang terdiri daripada banduan yang menjalani hukuman penjara di luar penjara. Kebanyakan mereka ini terlibat dalam penyalahgunaan dadah. Mereka perlu diberi peluang kedua untuk kembali kepada masyarakat bagi menebus kesilapan lalu. Jika diberi peluang tidak mustahil mereka ini boleh berjaya dan pada masa itu barulah masyarakat boleh melihat mereka ini sebenarnya boleh dibentuk semula atas kesedaran mereka sendiri. Sistem Parol yang akan diamalkan ini diharapkan dapat membantu pihak berkuasa dalam mengurangkan kadar jenayah berulang di Malaysia.

Bagi merealisasikan kaedah ini, beberapa siri perbincangan peringkat atasan Syarikat dengan Jabatan Penjara Malaysia telah bermula pada awal Disember 2016 dan diikuti dengan beberapa lagi siri perbincangan dari semasa ke semasa.

Sebelum program ini hendak dilaksanakan, pihak Syarikat perlulah memastikan terlebih dahulu kemudahan logistik di lapangan terutamanya rumah pekerja, kemudahan bekalan air bersih, bekalan letrik dan prasarana dapat memenuhi standard yang ditetapkan. Disamping itu aspek keselamatan serta penerimaan masyarakat di sekeliling lokasi penempatan ODP ini juga perlu dihormati.

Kronologi bagaimana bermulanya idea untuk pihak syarikat menggunakan khidmat ODP di ladang-ladang syarikat boleh dilihat melalui beberapa 'slide' yang ditunjukkan di bawah.


Setelah hampir dua tahun program ODP ini dilaksanakan maka pada 19 April 2018, Pengerusi Lembaga Pengarah Parol III, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Pn. Y.A Joennily @ Siti Badariah bt. Mohd Yusof bersama rombongannya terdiri dari Pengarah Penjara Negeri Pahang, Dato' Ab. Basir b. Mohamad, Timbalan Pengarah Penjara Negeri Pahang, Tn. PKK Osman b. Lehan, Anggota Lembaga Parol III, Tn. PKK Sazali b. Ismail, Pn. Sabarina bt. Abu Hassan, Tn. Mustapha b. Abdul Rahman, Tn Rosni b. Mansor serta Setiausaha Bidang Lembaga Parol Pn. Siti Hajar bt. Yahya telah melakukan lawatan kerja bagi melihat, meninjau dan beramah mesra dengan ODP yang bekerja di Kawasan Paya Laman ini.

Pengurus Besar FELCRA Berhad Wilayah Pahang, Dato' Haji Abdul Mutalib b. Tais, bersama Pengurus Besar Pengurusan dan Guna Tenaga, Tn. Haji Mohd Hanafiah b. Ambar, Ketua Bahagian Perladangan Wilayah Tn. Haji Nor Zahari b. Zakaria, Pengurus Kawasan Paya Laman, En. Kholid b. Osman serta Pengurus-pengurus Kawasan di Wilayah Pahang yang berhampiran telah menyambut ketibaan rombongan pegawai KDN ini untuk diberi satu taklimat tentang ODP.

Dalam taklimat yang diberikan, Dato' Haji Mutalib turut menyentuh tentang kebaikan pengambilan ODP untuk bekerja di ladang FELCRA kerana selain mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing, syarikat juga dapat menjimatkan kos kemasukan TKA dari negara sumber seperti Indonesia dan Bangladesh dan tempoh masa yang diambil untuk kemasukan ODP tidak lama berbanding TKA, manakala keburukannya pula adalah kerana produktiviti kerja ODP rendah berbanding TKA, bilangan ODP tidak tetap/masuk dan bebas, tempoh masa juga tidak tentu bergantung tempoh bebas hukuman dengan penjara dan selepas bebas ramai ODP akan berhenti kerja untuk pulang kepangkuan keluarga.

Diakhir taklimat, Pengurus Besar Wilayah mengharapkan supaya program kerjasama penggunaan ODP sebagai tenaga kerja ladang diteruskan demi kesinambungan program pemulihan dalam komuniti yang mampu memberikan jaminan pendapatan kepada ODP.

Selain itu program ini juga diharapkan dapat mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja ladang, mampu membantu pihak penjara mengatasi masalah kekurangan tempat bagi penempatan banduan, dapat membentuk sahsiah diri yang baik terhadap ODP bagi meneruskan kehidupan selepas mendapat peluang kedua apabila bebas kelak dan akhir sekali sama-sama mendapat amal jariah yang berterusan melalui usaha murni ini.

Ketibaan Y.A Joennily @ Siti Badariah Mohd Yusof, 
Pengerusi Lembaga Parol III
disambut oleh Dato' Ab. Basir Mohamad, 
Pengarah Penjara Negeri Pahang dan 
En. Kholid Osman, Pengurus Kawasan Paya Laman

Dato' Ab. Basir Mohamad memperkenalkan 
pegawai-pegawainya yang turut hadir... 

Para pelawat sedang menikmati sarapan pagi 
yang disediakan oleh pihak kawasan.

Ketibaan Dato' Haji Abdul Mutalib Tais, 
Pengurus Besar Wilayah Pahang disambut oleh 
pengurus Kawasan yang hadir



Sessi taklimat yang akan disampaikan oleh
Dato' Haji Abdul Mutalib Tais, 
Pengurus Besar Wilayah Pahang...



Dari kiri: En. Kholid Osman, Pengurus Kawasan Paya Laman, 
Tn. Hj. Mohd Hanafiah Ambar, Pengurus Besar 
Bhg. Pengurusan dan Guna Tenaga 
dan Dato' Ab. Basir Mohamad, 
Pengarah Penjara Negeri Pahang 
sedang memberikan perhatian 
terhadap taklimat yang disampaikan...

Dato' Hj. Abdul Mutalib b. Tais, Pengurus Besar Wilayah Pahang 
sedang memberikan taklimat tentang ODP...


Y.A Joennily @ Siti Badariah Mohd Yusof, 
Pengerusi Lembaga Parol III mengajukan beberapa 
pertanyaan berkaitan ODP... 


Selepas selesai sessi taklimat, semua pelawat dibawa ke ladang 
untuk melihat rumah pekerja yang menempatkan ODP... 

Tn. Haji Nor Zahari b. Zakaria, 
Ketua Bahagian Perladangan Wilayah Pahang 
sebagai pegawai pengiring dalam lawatan ini...




Bahagian dapur rumah pekerja turut ditinjau...






Projek RTK Semantan, Kawasan Paya Laman...




Bahagian tandas...


Y.A Joennily @ Siti Badariah Mohd Yusof, 
Pengerusi Lembaga Parol III sedang beramah mesra dengan ODP...

 Sebahagian dari Orang Dalam Parol (ODP) yang diberi peluang 
untuk bekerja dalam program ini...

Bergambar ramai dengan ODP...


Bergambar bersama Pengurus-Pengurus Kawasan.
dari kiri: AJ, En. Yahya Bohari (PK Paya Puyu), 
En. Azizan Ashaari (PK Phg Tenggara), 
En. Zaki Musa (PK Jemuru), En. Rohimie Mat (PK Ulu Jenut) 
dan En. Dahlan Kamaruzaman (PK Permatang Besar) 



En. Kholid b. Osman, (tengah), PK. Paya Laman 
menggalas tugas berat bagi memastikan 
program ODP di kawasanya beroleh kejayaan...


Pegawai pelawat menikmati jamuan 
makan tengahari selepas selesai sessi lawatan ke ladang... 






Dato' Ab. Basir Mohamad, 
Pengarah Penjara Negeri Pahang menerima cenderahati
dari Dato' Haji Abdul Mutalib Tais, PBW Pahang sebagai 
tanda kenang-kenangan...

Tn. Hj. Mohd Hanafiah Ambar, Pengurus Besar 
Bahagian Pengurusan dan Guna Tenaga 
turut menerima cenderahati dari Dato'...

 Bergambar ramai di hadapan Pejabat 
Kawasan Paya Laman sebelum bersurai...

Ucapan terima kasih kepada para petugas yang bertanggugjawab 
dalam menguruskan penyediaan sarapan pagi dan makan tengahari...

Sebahagian dari Pengurus-Pengurus Kawasan Wilayah Pahang 
yang hadir dalam lawatan ini.