Showing posts with label Jin dan Syaitan. Show all posts
Showing posts with label Jin dan Syaitan. Show all posts

Sunday, September 12, 2021

KISAH JIN DAN BUNIAN...

"JIKA "DIA" IKUT, SAYA TAK AMBIL"...

Gadis itu terpana. Deretan pinggan mangkuk porselin yang disusun rapi dalam ruangan itu mudah menggamit pandangan mata. Pelbagai koleksi barangan antik lain yang sukar ditemui membulatkan lagi bola matanya.

"la bermula tahun 2005. Sewaktu ibu saya mula membuang set pinggan mangkuk porselin yang telah lama disimpannya. Dalam diam, saya kutip semula dan sembunyikan dalam bilik.

"Lama-kelamaan, bilik sudah mula penuh hingga tiada ruang hendak menyimpan. Hinggalah suatu hari ibu masuk ke bilik dan terkejut lihat koleksi pinggan yang telah dibuangnya semua tersimpan dalam bilik  saya," jelas lelaki yang mesra dipanggil ustaz oleh si gadis.

Dari situ, hobinya berkembang. Bukan sekadar ping­gan mangkuk, tapi dia mula mengumpul pelbagai koleksi barangan antik lain yang sukar ditemui. Daripada keris, pedang, tombak, andik, lesung batu, ukiran kayu, jam, teko, seterika, barangan tembaga, perhiasan zaman dulu dan banyak lagi.

Apabila ruangan dalam rumah tidak lagi mampu memuatkan ko­leksi simpanannya, lantas lelaki bernama Haji Mahadhir Ab. Rah­man, 32, membina sebuah rumah kecil berasingan di belakang rumahnya. 

Ruangan itu dikhaskan untuk menyimpan segala koleksi barangan klasik kepunyaannya. Bagaikan sebuah mini muzium.

Segala koleksinya dalam ruangan itu dijaga rapi. Malah, jangankan sesawang, habuk pun tiada. Begitu bersih. Hampir kesemua barangan antik itu masih baik dan boleh digunakan.

Bagaimana ustaz muda yang masih bujang dan bekerja dalam sektor kerajaan itu mampu menjaga ribuan koleksinya ini? Gadis itu bertanya.

Dia tertawa dan menjawab:"Masa terluang saya memang dihabiskan dalam ruangan ini. Seminggu sekali, saya akan bersihkan barang-barang ini. Tapi, tak laratlah kalau seorang diri. Selalunya saya minta tolong pada murid-murid yang datang mengaji di sini."

Melihat pelbagai barangan lama itu, si gadis terus bertanya. Bagaimana agaknya ustaz muda ini berdepan dengan para 'penjaga' barangan itu? Sekali lagi empunya diri tertawa. Kemudian menyambung cerita,,,

"Susah nak buang pendamping!"

Sebenarnya, Mahadhir tidak habis modal yang banyak. Jarang dia membeli sebaliknya, koleksi yang dimilikinya kebanyakannya diberikan orang. Malah, acap kali juga dia mendapat pemberian melalui alam ghaib sama ada melalui mimpi atau separuh sedar.

Mahadhir pernah bermimpi didatangi seorang lelaki berjubah putih yang berpesan agar menjaga sebatang tombak lama yang pernah digunakan sewaktu zaman Kesultanan Selangor pada abad ke-18. "Keesokannya bila saya bangun, saya lihat tombak itu sudah ada di tempat seperti yang diberitahu lelaki itu. Malah, sering kali juga saya mendapat keris dan batu melalui cara begitu. Kadangkala bila jaga dari tidur, batu yang diberikan dalam mimpi itu sudah ada dalam genggaman tangan," ceritanya lagi.    
 
Apa khasiatnya? Entahlah... Guru mengaji itu tidak berminat untuk mengetahuinya. Yang penting, barang yang sampai ke tangannya biarlah 'bersih' dan tidak mendatangkan gangguan. 

"Memang saya akui barang-barang lama begini ada pendamping. Selalunya kalau barang itu ada penjaga', saya akan tinggalkan barang itu di suatu tempat dahulu untuk dua atau tiga hari. 

"Adalah interaksi saya dengan ‘penjaga’ itu. Jika ia minta tinggalkan di suatu tempat, di situlah saya akan letakkan barang itu. Bila sudah 'bersih', baru saya bawa pulang ke rumah. Jika 'benda' itu tak mahu pergi, saya akan tinggalkan saja barang itu," ujarnya yang tidak mahu barangan yang 'berpenghuni' kelak mengganggu ketenteraman keluarganya.

Ada sekali Mahadhir mendapat sebiji labu air dari sebuah rumah lama yang terbiar. Ada banyak 'penghuni' dalam labu itu. Setelah 'berbincang' dengan penghuni itu, Mahadhir kumpulkan kesemua mereka dan letak dalam bungkusan untuk dihanyutkan dalam air mengalir.

Lalu dia menyuruh salah seorang anak muridnya untuk mencampakkan bungkusan itu ke dalam sungai. Tetapi, anak muridnya hanya meletakkan bungkusan tersebut di bawah jambatan di tepi sungai. Akibatnya, malam itu anak muridnya menelefon kerana tidak tahan diganggu.

"Memang agak susah nak buang 'pendamping'. Tapi, disebabkan setiap hari saya dan murid-murid mengaji dan buat bacaan ratib di sini, 'benda' itu pun tak tahan hendak tinggal lama di sini sebab panas," katanya lagi.

Jadi, barangan lama ini semuanya bersih'?

Mahadhir anggukkan kepala pada pertanyaan gadis itu.

Fuhh! Gadis itu tarik nafas lega. Bolehlah jari jemarinya menyentuh barangan di situ. Kalau tidak, gerun juga dibuatnya. Tak pasal-pasal nanti ada pendamping ikutnya pulang ke Kuala Lumpur pula.

Kemudian, mata gadis itu terpandang bilik kecil di bahagian belakang. Dalam bilik itu hanya muat-muat sebuah katil lama bagai zaman dulu kala. Tanya si gadis lagi, apa pula cerita katil itu?

"Oh! Katil itu saya bawa pulang dari sebuah rumah pusaka yang terbiar di Kuala Pilah. Saya minta izin dari warisnya. Kata pewarisnya, mereka sendiri takut hendak masuk apatah lagi mengambil barangan lama dalam rumah itu," jawab Mahadhir.

Dia yang tertarik dengan katil besi klasik itu membawanya pulang ke rumahnya di Pasir Panjang, Port Dickson. Malam itu semasa tidur, Mahadhir bermimpi didatangi lembaga hitam yang besar yang marah kerana mengambil katil itu. Lembaga itu memijak-mijak tubuhnya.

"Saya hanya terjaga bila ibu mengejutkan kerana mendengar saya terjerit-jerit. Walaupun mimpi, tapi tubuh saya terasa sakit-sakit. Pernah saya pujuk lembaga itu untuk pergi, tapi dia enggan," jawabnya lagi.

Jadi, katil besi itu masih ada 'tuannya'? Si gadis mula rasa seram seram sejuk.

"Katil itu sudah 'bersih'. Jangan risau," jawabnya dalam senyuman. Tunggu sebentar. Dahi si gadis berkerut. Bukankah tadi Mahadhir memberitahu dia gagal memujuk lembaga hitam itu pergi. Jadi, siapa yang berjaya mengusirnya?

"Penghulu bunian!" Pantas mulut Mahadhir menjawab membuat mulut si gadis melopong kembali.

Mengajar Anak Bunian...

Lalu cerita baru pula disampaikan. Perihal penghulu bunian yang dimaksudkan. Mahadhir pun bercerita, dulu sekitar penghujung tahun 1990-an, dia pernah belajar di sebuah madrasah tidak jauh dari rumahnya. Di situlah bermula perkenalannya dengan penghulu bunian itu.

"Dia datang apabila saya berseorangan di madrasah itu. Dia beritahu, dia pun belajar di madrasah itu juga. Mulanya, saya hairan sebab tak pernah nampak dia pun. Tapi, akhirnya baru saya faham dia dari alam lain," kata Mahadhir.

Malah, penghulu yang bernama  'Kamis' itu juga pernah membawanya 'melawat' perkampungannya. Jelas Mahadhir, ia tidak menghairankan kerana kawasan di situ memang dikenali banyak perkampungan  bunian.     
  
"Kampung mereka macam kita manusia juga. Cuma seni bina rumah mereka seperti rumah zaman dulu. Surau mereka tinggi-tinggi. Masyarakatnya juga sangat warak. Para wanitanya bertelekung. Yang berbeza hanyalah usia mereka yang lebih panjang daripada manusia. Seperti penghulu itu, usianya sudah lebih 300 tahun. Tapi kalau lihat wajahnya hanya seperti lelaki yang berusia 40an," ceritanya lagi.

Okey. Habis sebentar kisah penghulu bunian itu.  
           
Berbalik kisah barangan antik tadi, Mahadhir mendirikan sebuah bilik kecil di belakang rumah sebagai tempat penyimpanan koleksi barangan antiknya pada tahun 2007.

Malah, di ruangan itu juga Mahadhir mengajar kanak-kanak mengaji pada sebelah petang manakala sebelah malam, beliau mengajar kitab-kitab lama (kitab kuning) kepada golongan dewasa.

"Sejak saya mula mengajar di ruangan ini, selalu ada bunyi seperti kehadiran sesuatu di atas bumbung. Malah, ada pak cik-pakcik yang belajar di sini berkata, mereka rasa lain macam. Kadangkala mereka  perasan ada bunyi seperti orang masuk ke dalam.

"Di waktu lain sewaktu solat, terasa seakan ada orang lain yang menyusup di saf mereka. Tapi tidak nampak kelibat sesiapa. Ada juga yang berasa bagai ada orang duduk di samping mereka tatkala mendengar pembelajaran.

"Saya sebenarnya tahu ada 'benda' yang turut sama dalam kelas saya. Tapi, saya tidak tahu siapa kerana ia tak pernah memperkenalkan diri. Setahun perkara itu berlalu hinggalah suatu hari, penghulu bunian yang pernah saya temui dulu datang berjumpa saya semula. Dia beritahu dia mahu dua anak lelakinya turut belajar dengan saya," cerita Mahadhir panjang lebar.

Dengan dahi berkerut, gadis itu bertanya lagi. Mengapa golongan ghaib itu mahu belajar daripada manusia?

Jawab Mahadhir, kerana dia satu-satunya orang yang mampu mengajarkan ilmu kitab-kitab lama di kawasan itu. Atas dasar itulah penghulu bunian itu menghantar anaknya untuk turut sama belajar sekali.

Hanya dia yang tahu kehadiran anak-anak penghulu itu setiap kali dia mengajar walaupun pada pandangan mata kasar manusia, ia tidak kelihatan. Dan katil di belakang ruangan itulah menjadi tempat anak-anak penghulu itu duduk atau berbaring.

Macam mana boleh tahu? Mahadhir tertawa.

"Kadangkala tilam katil itu mendap seperti ada orang sedang duduk di atasnya. Pernah juga orang yang tangkap gambar katil itu tanpa sengaja merakamkan bayangan dua orang kanak-kanak di situ."

Si gadis yang sedang asyik mengarahkan kamera pada katil itu segera berhenti. Gulpp! Berdiri pula bulu roma jadinya.

Gadis itu bertanya lagi, berapa usia anak penghulu bunian itu?

"Lebih kurang 80 tahun, tapi seperti kanak-kanak usia 8 ta­hun. Dah lima tahun saya mengajar mereka. Nama mereka Kuhais dan Khaisyah," tenang Mahadhir memberitahu.

Oh! Ya, kata Mahadhir lagi, peng­hulu bunian itulah yang berinteraksi dengan lembaga pendamping katil itu agar pergi dan tidak membuat onar.

"Tak tahulah apa perjanjiannya. Lembaga itu tak pernah muncul lagi selepas buat 'deal' dengan penghulu bunian itu," terangnya.

Okey. Habis kisah-kisah mistik.  Akhir sekali, gadis itu bertanya, antara ribuan koleksinya ini, yang mana paling disayanginya? Koleksi pinggan porselin! Itu jawab Mahadhir. Walaupun dia lelaki, set porselin itu benar-benar disayanginya. Apatahlagi dia punyai set lengkap porselin bunga kangkung yang dihasilkan pada tahun 60an dan sukar ditemui sekarang.

"Lihat teko bunga kangkung ini. Satu teko ini kini boleh mencecah RM600. Manakala teko British ini pula mencecah RM1,000. Pernah ada pihak tawarkan RM250 ribu untuk membeli koleksi milik saya tapi saya tolak," katanya lagi. Lantas si gadis terus mengusik, patutlah ustaz masih bujang. Melainkan jika ada gadis punya minat yang sama. Menghabiskan banyak waktu di mini muzium ini. Untung sabut timbul, boleh 'bertemu' Kuhais dan Khaisyah. 

XXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXX

CERITA KEDUA:
JIN TAAT KERANA SEMANGKUK DARAH

Ketika sampai di rumah mereka, saya sudah nampak hampir 20 ekor jin sedang menunggu di hadapan rumah. Mereka mundar-mandir sekitar rumah seolah-olah sedang marah sebab saya nak ubatkan keluarga tersebut.

Semakin diamati terserlah rupa jin yang menunggu itu dalam pelbagai bentuk. Tapi berbentuk lembaga. Ada yang betul-betul tinggi, setinggi pokok kelapa. Ada yang bentuknya pendek dan gemuk. Ada yang sederhana dan kurus. Ada juga yang berbadan sasa dan tegap.

Semuanya jin ini menjelma dalam bentuk asal iaitu seperti bentuk manusia tapi berwarna Hitam Iegam. Rupa mereka pula tak nampak sebab hitam. Senang cakap bentuk asal jin ini seperti bayang-bayang manusia saja. Tak ada rupa.

Kalau jin itu lelaki, bentuknya seperti bayang-bayang lelaki. Kalau jin itu perempuan, bentuknya se­perti bayang-bayang perempuan. Itulah bentuk asal mereka.

Yang jadikan jin tadi menjelma pelbagai bentuk seperti langsuir, pocong atau penanggalan, sebenamya disebabkan oleh kita sendiri atau tugas mereka.

Contohnya bila kita melalui satu tempat di mana kita pernah dengar di situ ada pocong. Bila kita fikir dan takut pada pocong, maka jin yang mendiami kawasan itu akan menjelma sebagai 'pocong' untuk menakutkan kita.

Kenapa saya kata begitu?

Sebenarnya jin, iblis atau syaitan ini boleh membaca atau tahu apa isi hati kita atau apa saja kita cakap. Pernah satu kejadian di mana jin masuk ke dalam badan adik kepada rakan saya.

Mulanya saya ubatkan ibu kepada rakan saya itu. Akibat marah, jin tadi keluar sebelum masuk ke dalam badan adik rakan saya. Selepas masuk, menggunakan tubuh badan budak perempuan tadi, jin itu berdialog dengan saya.

"Celaka engkau. Jangan kacau kerja aku," maki jin tadi pada saya.

Mendengar cacian jin itu saya diamkan saja. Saya langsung tak melawan sebaliknya terus membaca ayat-ayat suci al-Quran.

Akibat tak tahan, jin itu bersuara lagi.

"Sebenarnya budak ni sudah mati. Roh budak ni sudah keluar dari badan. Aku keluarkan roh budak ni. Aku letak pada sebuah kubur. Sekarang tubuh budak ni bergerak sebab aku yang kuasai," kata jin tadi dengan angkuh dan cuba menunjukkan kehebatannya.

Mendengar bebelan dan kata-katanya, saya berkata dalam hati: "Ini semua bohong! Penipu!"

Selepas saya berkata begitu di dalam hati, jin tadi terus bersuara marah-marah: "Mana ada bohong. Memang aku dah keluarkan!"

Mendengarnya jawapan jin itu baru saya tahu rupanya apa yang terdetik dalam hati, jin tersebut boleh dengar. Selepas itu, saya tanya pada jin tersebut benarkah dia boleh dengar apa yang saya ucapkan dalam hati?

"Memang aku boleh dengar," jawab jin itu dengan angkuh.

Sebab itulah saya kata, bila kita niat atau kita fikirkan sesuatu, itulah yang akan kita nampak. Jadi bila makhluk ini tahu apa yang kita fikirkan, jin ini akan ambil kesempatan untuk kalahkan kita. Sebab itu, apabila berhadapan dengan jin, kita kena selalu ingat pada Allah dengan cara berzikir dalam hati.

Jin Islam

Selain itu saya juga pernah didatangi jin Islam. Jin Islam biasanya akan menjelma sebagai lelaki yang warak, berjubah dan berserban putih. Rupa paras mereka lebih elok berbanding jin kafir atau jin Islam yang fasik.

Kejadian ini berlaku ketika saya sedang makan di rumah. Sedang menjamu selera, tiba-tiba saya terdengar seseorang memberi salam. "Assalamualaikum," ucap suara lelaki itu.

Saya menjawab salam tadi dan berpaling ke belakang. Kelihatan seorang lelaki tua, berjubah putih dan berserban berdiri di belakang saya.

Saya tahu, jin itu Islam sebab dia memberi salam. Kemudian jin itu beritahu hajat kedatangannya. Kata jin itu, dia hendak membantu saya apa yang patut terutamanya dalam merawat orang sakit.

Mendengar hajatnya, saya be­ritahu kalau dia hendak bantu saya, bantulah. Tapi biarlah kerana Allah semata-mata. Jangan dia mengharap sesuatu daripada saya. Selepas saya kata begitu, jin tadi terus ghaib.

Sebenarnya jin itu datang untuk berdampingan dengan saya dan mahu menjadi khadam. Kalau saya terima dan mengambilnya sebagai khadam lambat laun jin itu boleh jadi saka. Itu semua sebenarnya akan menyusahkan saya dan keluarga satu hari nanti.

Kenapa saya kata begitu? Saya ada satu pengalaman melibatkan saka ketika me­rawat sebuah keluarga. Ketika berubat, saya nampak jin itu menjelma sebagai seorang lelaki berpakaian pahlawan zaman dahulu. Siap dengan tanjak dan keris terselit kemas di badannya. Mukanya juga kelihatan bengis.

Mulanya, saya paksa jin itu keluar sendiri. Tapi jin itu tidak mahu dan masih berkeras. Bila saya ceritakan asal usulnya, jin itu mula berlembut sedikit dan mula takut. Kemudian jin itu bersuara: "Disebabkan engkau tahu asal usul engkau dan kau juga tahu asal usul aku, aku tak boleh buat apa-apa pada engkau."

"Kalau dah tahu kenapa tak berundur, engkau keluar!" pekik saya.

"Aku tak boleh keluar sebab aku dah berjanji dengan tuan aku," jawab jin tadi.

"Siapa tuan kamu? Apa yang dia nak kamu buat?" tanya saya lagi.

"Tuan aku ialah waris keluarga ni. Dia bagi aku semangkuk darah. Sampai mati aku terpaksa ikut dia," jawab jin di dalam badan wanita itu.

Mendengar jawapannya, saya kata bahawa dia makhluk yang paling bodoh sebab berjanji dengan manusia. Sepatutnya dia berjanji dengan Allah dan ikut suruhan Allah.

Selepas saya kata begitu, saya lihat jin tadi menjelma pula sebagai hantu raya. Matanya merah, badan­nya berbulu hitam dan bertubuh sasa. Beritahu jin tadi itulah bentuk asalnya ketika menjelma menghadap bekas tuannya.

Bila saya berdialog lagi, jin itu mengaku yang ia diperintahkan untuk menjaga keturunan keluarga tersebut sampai bila-bila. Tapi selepas tuannya mati, tiada waris yang mahu mengambil dan menjaganya. Akhirnya jin itu menyusahkan keluarga tadi dengan memakan bahagian tertentu dalam badan salah seorang waris.

Sebab itulah saya katakan kalau kita bersahabat dengan jin, akhir­nya ia hanya menyusahkan keluarga kita.

Selain itu, saya juga pernah nam­pak jin yang paling besar. Jin ini setinggi pokok kelapa dan sangat besar. Badannya tegap, sasa dan berwarna hitam legam. Jin ini tinggal di tepi Lebuh Raya Utara Selatan menghala ke Kuala Lumpur. Lokasinya beberapa kilo­meter sebelum Hentian Rehat dan Rawat (R&R), Tapah dan kerjanya mengganggu pengguna jalan raya.

Dalam banyak-banyak kes, berhadapan dengan jin saka raja amat menyusahkan saya. Mulanya se­mua proses berjalan dengan baik. Namun semasa saya hendak duduk selepas menarik 'benda' itu dari­pada badan pesakit, saya hilang keseimbangan dan pemandangan berubah menjadi gelap gelita.

Zikir! Zikir! Zikir! Kata hati saya. Saya tenangkan hati dan langsung berzikir kemudian barulah saya pulih dan dapat berunding dengan raja saka itu untuk meninggalkan pesakit saya itu. Syukur Alhamdulillah, saka jin itu akur.

Baiklah pembaca sekalian, apa yang saya ceritakan ini berdasarkan pengalaman sendiri dan apa yang saya 'nampak'. Hendak percaya atau tidak, terpulang pada pembaca sendiri untuk menilainya.

Kisah ini diceritakan oleh se­orang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Rahman, 30 tahun. Identiti Rahman terpaksa dirahsiakan atas permintaannya untuk mengelakkan sebarang fitnah.

Sumber : Mastika

Sunday, August 22, 2021

PENANGGAL IRINGI KELUARGA DI TANAH PERKUBURAN...

HUJUNG minggu itu aku bersama keluarga pergi melawat seorang makcik yang tinggal di satu daerah di utara, Perak. Kebetulan pula makcik aku baru sahaja kematian suami setelah hampir setahun arwah menderita dengan pelbagai penyakit kronik.

Hampir setengah hari juga kami sekeluarga menghabiskan masa di rumahnya. Dan sebelum pulang ke Kuala Lumpur, kami singgah ke tanah perkuburan kerana di samping ziarah pusara arwah dapat jugalah kami sedekahkan bacaan yasin untuknya.

Tanah perkuburan di kampung itu terletak berhampiran ladang kelapa sawit dan jaraknya agak jauh dari jalan besar. Kalau nak sampai ke situ terpaksa berjalan kaki lebih kurang 10 minit.

Selepas ayah meletakkan kereta di bahu jalan besar, kami berjalan melalui jalan kecil tanah merah ke arah perkuburan. Aku lihat jam di tangan, sudah hampir jam 6.30 petang. Sebentar lagi akan masuk waktu Maghrib. Suasana di sekitar pun sudah beransur gelap.

Kami bentang tikar dan baca surah yasin di sebuah wakaf berdekatan kubur arwah. Suasana ketika itu cukup sepi. Yang kedengaran hanyalah suara kami bersilih ganti mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran.

Sedang khusyuk membaca, tiba-tiba rimbunan semak berhampiran bergoyang kuat seperti ada binatang buas yang meranduknya. Kami sekeluarga berpandangan, namun mulut masih meneruskan bacaan yasin. Dalam hati kami risau juga. Manalah tahu kalau ada binatang buas atau babi hutan yang muncul..

Ketika hampir menamatkan bacaan yasin, tiba-tiba kedengaran sesuatu di bumbung zink pondok kami berteduh. Seolah-olah ada ribuan batu-batu kecil menghujani bumbung tersebut. Pelik. Aku tinjau ke langit. Cuaca baik dan tidak ada pula hujan. Sedang kami leka bermain dengan perasaan masing-masing, tiba-tiba sekali lagi kami dikejutkan dengan bunyi kuat dari semak tersebut.

Kali ini jelas kedengaran bunyi ranting kayu yang seolah-olah sedang dipatahkan. Sekali lagi kami berpandangan. Aku lihat ayah bergegas bangkit dan menggulung tikar sambil mulutnya kumat-kamit membaca sesuatu.

"Dah, cepat jirus air dan tabur bunga. Lepas ni kita balik, hari pun dah gelap, takut kalau ada binatang buas pula." kata ayah sedikit keras.

Kami lantas buat apa yang disuruh. Bunyi kuat berhampiran semak berdekatan masih jelas kedengaran. Aku juga berasa cuak. Sebaik selesai mengemas barang, cepat-cepat kami angkat kaki siap untuk beredar. Ayah beri isyarat untuk bergerak pulang.

Kami berhati-hati menyusuri lorong kecil menuju ke jalan besar. Lebih kurang 50 meter kami melangkah meninggalkan tanah perkuburan, tiba-tiba hidung aku terhidu bau yang amat busuk. Aku ingat hanya aku seorang saja menghidu bau itu, rupa-rupanya kami semua menghidu bau yang sama.

"Hah, cepat sikit jalan. Tak ada-apa. Itu bau sawit busuk je." kata ayah sambil mengepit tikar di celah ketiaknya.

Aku, kakak dan adik berjalan di hadapan, manakala emak dan ayah di belakang. Adakalanya kami bertolak- tolakan sesama sendiri kerana dalam fikiran ada tersemat perasaan takut yang sukar digambarkan. Aku jeling ayah. Mulutnya masih berkumat-kamit membaca sesuatu.

"Jalan terus. cepat sikit. Jangan toleh-toleh dah," kata ayah kepada kami.

Aku tersentak bila dengar arahan keras ayah. Jantungku berdegup kencang. Hati tertanya-tanya kenapa ayah berkata demikian. Seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena.

"Jalan...jalan cepat sikit," kata ayah sedikit cemas sambil memaut lengan emak di belakang. Hati berdetik penuh persoalan. Pasti ada sesuatu yang dilihatnya sehinggakan beria-ia dia menyuruh kami meninggalkan kawasan tersebut dengan tergesa-gesa.

Sebagai anak lelaki, jiwaku cukup memberontak ingin tahu. Lalu dalam keadaan kelam kabut itu aku memberanikan diri untuk toleh ke belakang. Sebaik sahaja aku memalingkan muka, alangkah terkejutnya apabila mataku terpandang sesuatu yang yang tidak pernah ku duga sama sekali. Di belakang ayah aku nampak satu kepala tanpa tubuh sedang terawang-awang di udara. Wajahnya cukup mengerikan. Rambutnya putih dan panjang mengerbang. Isi perutnya terkeluar merah berjuntai. Makhluk tersebut hanya berlegar-legar di belakang ayah, seolah-olah mengekori kami sepanjang perjalanan keluar dari tanah perkuburan itu.

Tanpa berlengah aku melangkah pantas untuk sampai cepat ke kereta. Sebaik sampai di jalan besar, ayah bergegas menghidupkan enjin dan berlalu pergi meninggalkan kawasan itu.

Sekali lagi aku toleh ke arah lorong kecil menuju ke tanah perkuburan tadi. Walaupun hari sudah gelap, namun aku masih nampak dengan jelas kelibat makhluk tersebut yang masih berlegar-legar berterbangan berhampiran deretan pokok kelapa sawit di situ.

Ketika dalam perjalanan pulang, emak dan adik perempuanku bertanya kepada ayah tentang apa yang berlaku. Kenapa ayah meminta supaya kami berjalan cepat dan tidak toleh ke belakang. Namun ayah tidak menjawab pertanyaan mereka. Sebaliknya dia menyuruh mereka bertanyaku.

"Cuba tanya Along apa yang dia nampak tadi. Sebab ayah perasan dia toleh ke belakang," kata ayah sambil tangannya erat memaut stereng. Ibu, kakak dan adik memandangku dengan seribu persoalan.

"Along nampak apa tadi di belakang ayah?" Tanya ibu kepadaku.

"Iya, Along tengok tadi. Along ada nampak .. .err... err…err” kataku sedikit gugup. Along nampak apa?" Tanya adikku seakan tidak sabar menunggu jawapan.

"Along nampak hantu penanggal berlegar-legar di belakang ayah," kataku sedikit gugup.

Semua yang berada di dalam kereta ketika itu diam membatu.

Dipetik dari Mingguan Malaysia Ahad 22 Ogos 2021
Oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB
roshihan.annuar@mediamulia.com.my

Saturday, May 8, 2021

KISAH TEMPAT TINGGAL IBLIS...

Gambar Hiasan...
 
Salah seorang sahabat, Anas bin Malik r.a. berkata: "Iblis laknat telah bertanya kepada Allah S.W.T. antaranya ialah:-

Kata Iblis kepada Allah S.W.T.: "Ya Tuhanku, Engkau telah memberikan kepada anak Adam itu tempat kediaman yakni rumah untuk berzikir kepadamu. Tunjukkanlah kepadaku tempat kediamanku."

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: 'Wahai Iblis, tempat kediamanmu ialah di dalam bilik air (tandas).'

Iblis berkata: "Ya Tuhanku, Engkau telah memberikan kepada anak Adam itu tempat mereka berkumpul (masjid, surau). Di manakah tempat bagiku berkumpul ?"

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: "Wahai Iblis, tempat untuk kamu berkumpul ialah di pasar-pasar (di pusat-pusat membeli belah, pesta-pesta, kelab-kelab malam, majlis-majlis maksiat, tempat-tempat hiburan dan sebagainya)."

Iblis berkata lagi: "Ya Tuhanku, Engkau telah memberikan pada anak Adam itu kitab untuk mereka membaca (Al-Quran). Tunjukkanlah kepadaku apakah bahan bacaanku?"

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: "Wahai Iblis, bahan bacaanmu ialah Syair (sajak dan yang bersangkutan dengannya)."

Kata Iblis: "YaTuhanku, Engkau telah berikan kepada mereka cerita-cerita (kata-kata benar), apakah cerita-cerita bagiku?"

Firman Allah S.W.T.: " Wahai Iblis, cerita bagimu ialah kata-kata dusta (bohong dan yang bersangkutan dengannya)."

Kata Iblis: "Ya Tuhanku, Engkau telah memberikan azan pada anak Adam untuk mereka mengajak orang datang (mengumpulkan orang untuk solat berjamaah). Apakah azanku (untuk mengumpulkan orang)."

Firman Allah S.W.T. : "Wahai Iblis, azan untukmu ialah seruling."

Kata Iblis: "Ya Tuhanku, Engkau telah mengutus para utusanmu (para nabi dan para Rasul) kepada anak-anak Adam. Siapakah yang akan menjadi utusan bagiku."

Firman Allah S.W.T.: "Wahai Iblis, para utusanmu ialah terdiri dari para dukun (dan yang lebih kurang sama dengannya)."

Kata Iblis: "Ya Tuhanku, Engkau telah berikan kitab bertulis (ayat-ayat Al-Qur'an) kepada anak-anak Adam, apakah tulisan bagiku?"

Firman Allah S.W.T. : "Wahai Iblis, tulisan mu ialah tulisan gincu yang palsu di badan (seperti lukisan-lukisan dilengan, tahi lalat yang diada-adakan dan yang lebih kurang sama dengannya)".

Kata Iblis: "Ya Tuhanku, Engkau telah memberikan kepada anak-anak Adam itu perangkap-perangkap. Apakah perangkap bagiku."

Firman Allah S.W.T.: "Wahai Iblis, perangkap untuk mu ialah wanita-wanita."

Kata Iblis: "Ya Tuhanku, Engkau telah memberikan makanan (yang disebut dengan namaMu) kepada anak-anak Adam. Apakah makanan untukku?"

Firman Allah S.W.T. : "Wahai Iblis, makanan untukmu ialah sesuatu yang tidak disebut nama Allah."

Kata Iblis: "Ya Tuhanku, Engkau telah berikan minuman (minuman yang halal dan yang sentiasa dimulakan dengan bismillah) kepada anak-anak Adam. Apakah minuman bagiku?"

Firman Allah S.W.T.: "Wahai Iblis, minuman untukmu ialah sesuatu yang memabukkan (seperti arak, yang lebih kurang sama dengannya dan minuman yang tidak dimulakan dengan bismillah)."

Ibnu Mas'uud r.a: berkata: "Kalau seseorang itu makan dengan tidak membaca bismillah, maka syaitan akan makan bersamanya. Apabila seseorang itu makan dan dimulai dengan bismillah maka syaitan tidak akan dapat makan bersama bahkan syaitan akan memuntahkan kembali apa-apa yang sudah dimakannya.

Ibrahim Annakhaai berkata: "Kalau seseorang itu masuk ke rumahnya dan memberi salam, maka syaitan akan berkata: Tidak ada tempat bagiku di sini.' Dan kalau seseorang itu hendak makan atau minum lalu dimulai dengan bismillah maka syaitan akan berkata: 'Tidak ada tempat dan tidak ada makanan dan minuman untukku di sini.' Akan keluarlah syaitan dengan rasa kecewa."

Dipetik Dari Buku Himpunan Kisah-Kisah Teladan...

Sunday, August 4, 2019

PEREMPUAN SERBA PUTIH DI JERAI BETINA...


POKOK besar itu sudah tiada. Tunggulnya pun sudah tidak kelihatan lagi. Tapi apabila berulang-alik melalui jalan Banggol Jerai ini, saya sering teringatkan pokok besar itu. Saya juga akan teringat pada Aini, Pak Hamzah, Fatimah dan cerita-cerita itu.

Cerita apa? Saya mulakan dengan kisah ini.

Cerita Aini, sekitar pukul 9 pagi, dia membonceng ayahnya. Mereka mahu ke kampung sebelah untuk mengambil upah memanjat pokok petai. Biasanya mereka mengambil dan mengutip petai sehingga lewat petang. Petai itu ayah Aini, Pak Hamzah, bahagikan sama rata dengan empunya pokok, kemudian menjualnya di kedai berhampiran.

Langit mula bertukar warna ketika Pak Hamzah dan Aini bergerak pulang. Memandangkan jarak ke rumah masih jauh, Pak Hamzah memecut motosikalnya dan semasa melalui kawasan berbukit, suasana semakin dingin.

Ketika berada di tengah-tengah laluan berbukit, enjin motor tiba-tiba mati dan tidak dapat dihidupkan. Pak Hamzah meminta anak perempuannya itu turun dan mereka menolak motosikal.

Mujur tidak lama kemudian, enjin motosikal berjaya dihidupkan. Pak Hamzah bagaimanapun meminta Aini jangan naik dahulu kerana bimbang nanti tidak lepas pula naik bukit tinggi. Dia akan menunggu di depan.

Aini berjalan mendaki bukit itu. Tapi sewaktu melangkah, Aini terasa seperti ada sesuatu yang sedang mengekorinya. Telinganya bagaikan terdengar langkah seseorang di belakangnya.

Aini segera menoleh. Apa yang dilihatnya cukup menakutkan. Ada seorang wanita berpakaian serba putih sedang membawa payung dan mendukung seorang bayi. Dan... wanita itu sedang bergerak ke arahnya!

Siapa dia? Aini cuba melihat wajahnya, tapi terselindung di sebalik rambut yang panjang dan kusut. Pelik, bagaimana ada perempuan bawa bayi di tengah belukar pada waktu senja begini? Manusia, atau...

Macam lipas kudung Aini berlari mengejar motosikal ayahnya dan terus melompat naik. Sebaik sahaja duduk di kerusi dan memaut pinggang ayahnya, Aini menoleh ke belakang. Wanita itu dilihat menyusup masuk ke dalam perdu buluh.

"Kenapa ni?" Pak Hamzah terkejut apabila Aini melompat naik ke atas motor.

"Tak ada apa. Jom pak, kita balik!" Aini cuba menahan air mata. Tubuhnya menggigil. 

Setibanya di rumah, Aini terus berlari masuk mendapatkan ibu dan kakaknya sambil menangis teresak-esak. Bila ditanya, dia hanya menggeleng. Segelas air diberikan, kemudian barulah Aini dapat menceritakan apa yang berlaku. Cerita itulah yang kemudiannya disampaikan kepada saya. 

Wanita berpakaian serba putih yang diceritakan Aini itu muncul hampir dengan sebatang pokok besar. Di situlah pada suatu hari selepas maghrib, Fatimah bersama anak bongsu dan juga adiknya berjalan menuju ke rumah saudara mereka yang mengadakan kenduri. 

Sekeliling gelap dan sunyi. Api daripada pelita minyak tanah pula meliuk-liuk mengikut arah angin. Fatimah sedaya-upaya mengawal api itu supaya tidak padam. Kalau padam, nanyalah. Fatimah melangkah dalam keadaan tangan kanan memegang pelita manakala tangan kiri memimpin tangan anak bongsunya yang berusia 11 tahun. Adiknya tak lepas daripada memegang hujung bajunya. 

Jalan kampung yang kecil dan belum berturap membuatkan kawasan yang di kelilingi hutan itu terasa begitu menyeramkan. Tiada bintang yang kelihatan di dada langit. Langkah mereka semakin laju. 

Ketika mahu melalui sebatang pokok besar, Fatimah mula berasa tidak sedap hati. Angin tiba-tiba bertiup dari serata arah. Desirannya kuat kedengaran. Langkah mereka semakin dipercepatkan. Daripada berjalan, bertukar kepada berlari anak. 

"Kak, dengar tak?" tiba-tiba adiknya bertanya. 

"Jangan tegur..." bisik Fatimah. 

Ya, Fatimah juga dengar. Selepas saja melintasi pokok besar itu, dia dengar langkah mereka diekori. Bila mereka berhenti, bunyi itu turut berhenti. Ini sudah masuk kali ketiga. Adiknya tiba-tiba memaut lengannya dan hampir saja pelita terlepas daripada tangan! 

"Mu kenapa? Nasib baik tak jatuh pita selek ni, tidak bergelaplah kita!" Suara Fatimah sedikit meninggi. 

"Bunyi apa tu kak?" "Syhhh.." Fatimah menyuruh adiknya mendiamkan diri. Jangan tegur apa-apa! 

Daripada takut, akhirnya bertukar menjadi marah apabila bunyi langkah itu semakin kuat. Seperti hanya beberapa langkah saja di belakang. Seolah-olah sengaja mahu menakutkan mereka! 

Datang keberanian, lantas Fatimah menoleh ke belakang sambil menghalakan pelita. Kosong! Tiada sesiapa di belakang mereka. Namun baru saja Fatimah mengalih pandangan ke hadapan dan melangkah, bunyi itu, kedengaran lagi. 

"Apa tu kak?" Si adik bertanya lagi. Suaranya bergetar. 

Fatimah yang sudah naik marah, lantas menjawab dengan kuat, "HANTU!". 

Sengaja dia meninggikan suara supaya didengar makhluk yang mengekori mereka. 

"Hah? Hantu?" Semakin kejap lengan Fatimah dipaut. 

Selepas Fatimah kata begitu, bunyi itu serta-merta hilang! 

JENTOLAK

SUDAH tiga hari bunyi jentolak kedengaran dari arah jalan berbukit. Fatimah maklum, pihak kerajaan mahu menebang pokok besar itu bagi membesarkari jalan. Dia tahu, pokok itu bukan pokok biasa. Ada 'sesuatu' yang tinggal di situ. Malah bentuk pokok itu mirip bentuk tubuh seorang wanita. Itulah pokok jerai betina. Besar dan lain daripada pokok lain.  

Fatimah melihat suaminya mengayuh basikal memasuki halaman rumah. 

"Dari mana?" 

"Tengok dema nak tebang pokok jerai tu. Tak boleh-boleh lagi. Semua yang digunakan langsung tak berhasil. Macam ada yang tak kena." 

Fatimah terdiam. "Habis tu, tak jadilah buat jalan?" 

"Tadi "semua bincang dan sepakat nak buat kenduri. Mohon doa supaya dipermudahkan. Moga apa yang tertinggal, dikembalikan ke tempat asal," suami Fatimah berkias. 

"Bila nak dibuat kenduri tu? Di mana?" 

"Lepas zuhur esok. Seberang jalan pokok jerai tu." 

Selepas beberapa hari kenduri diadakan, kerja menebang pokok jerai betina pun dijalankan. Dengan izin Allah, ia berjaya ditumbangkan. Pada tahun 1984, jalan tanah merah itu pun disodok. 

Tiga puluh lima tahun sudah berlalu, kini laluan tanah merah sudah bertukar ke jalan tar. Bekalan elektrik sudah memenuhi rumah-rumah di kawasan sekitar. ' Juga terdapat gerai makan di situ, tidak jauh dari tapak pokok jerai betina. 

TUTUP 

"Berani ya mak cik berniaga malam-malam macam ni?" tanya seorang anak muda yang menjadi pelanggan terakhir kedai makan yang kecil itu. 

"Nak berniaga, kenalah berani walaupun sini tapak asal pokok yang mak cik ceritakan tadi." 

Pemuda itu mengangguk sambil mengagumi keberanian mak cik itu. "Sekejap ya mak cik, saya ambil duit. Tertinggal dalam kereta pula beg duit." Dia bangun lalu menuju ke kereta. Mujur ada kedai yang masih buka untuk dia mengisi perut sebelum tiba di rumah orang tuanya di Klian Gunung. 

"Mak cik..." 

Namun suara pemuda itu terhenti dan terbuntang matanya melihat keadaan kedai yang kini gelap. Malah ada tanda kedai ditutup di hadapan kedai. 

Angin tiba-tiba menerjah kasar. Hangat. Tanpa membuang masa, pemuda tersebut terus masuk ke dalam kereta dan segera meninggalkan tempat itu! 

(Affieyza Isahak, Kulim, Kedah. Kejadian di atas berlaku di Ijok, Batu Kurau, Perak. Lokasi kejadian ini sekarang dinamakan Banggol Jerai. Pita Selek - Lampu Suluh.)

Dipetik dari Mingguan Malaysia, Ahad 4 Ogos 2019
Pengarang : Zulkarnain Zakaria. 

Monday, December 25, 2017

AWAS! TAMBAH AURA BUKAN UNTUK TAMBAH 'CAWANGAN' YA...


WANITA tua berusia 60an itu duduk di depan Fariza Ahmad. Anak wanita itu yang bernama Jamilah duduk di sisi ibunya. Fariza kemudian mengeluarkan dua batang rod besi kuning. Kedua-dua besi itu ditarik memanjang, bagaikan batang antena. Kemudian, Fariza memegang kejap kedua-dua besi dan dihalakan tepat kepada wanita tua di hadapannya.

Perlahan-lahan besi itu bergerak. la bergerak ke depan dan akhirnya bersilang antara satu sama lain. Fariza kemudian mengeluarkan sebotol minyak kecil. Dititiskan beberapa titisan minyak ke tapak tangan wanita tersebut.

Dia menyuruh wanita itu membaca selawat, hidu bau-bauan minyak pada tangannya dan kemudian sapukan pada wajah hingga ke rambut. Wanita itu menurut apa yang disuruh Fariza.

Kemudian, untuk kali kedua Fariza halakan lagi dua batang rod besi itu. Sama seperti tadi, batang besi itu bergerak ke depan sehingga bersilang antara satu sama lain.


"Bersilang lagi, macam tadi juga...." bisik Fariza dalam hati. Dia syak ada sesuatu pada wanita itu. Selalunya selepas memakai minyak yang diberi, 'bacaan' pada batang rod yang digunanya akan berubah. Tapi berbeza pada wanita tua ini.

"Suruh mak terus pakai minyak ni. Jangan lupa mandikan juga mak dengan titisan minyak ni," beritahu Fariza kepada Jamilah.

Malam itu, Jamilah menghubungi Fariza. Dia beritahu ibunya tak senang duduk, sentiasa gelisah dan mengadu panas. Esoknya, selepas mandi dengan campuran minyak yang diberi Fariza, ibu Jamilah muntah-muntah sehingga badannya lemah tak bermaya.

"Saya rasa ada sesuatu yang ganggu ibu awak. Kesan minyak itu selalunya akan berlawanan jika seseorang itu ada gangguan jin atau makhluk halus. Bawa ibu awak berjumpa ustaz atau pengamal perubatan alternatif," beritahu Fariza.

Jamilah menurut saranan tersebut. Setelah berubat, barulah dia tahu rupa-rupanya ada gangguan saka pada ibunya. Selepas saka itu berjaya 'di-buang', nampak perubahan ketara pada ibu Fariza. Paling penting, ibunya sudah lembut hati untuk solat dan melakukan amal ibadah.

Kisah ibu Jamilah salah satu antara kes yang ditemui Fariza. Sudah ramai orang yang ditemuinya ada kaitan dengan gangguan makhluk halus. Malah, kebanyakannya tidak sedar ada entiti lain yang 'menumpang' dalam diri mereka.

Pernah seorang wanita marah-marah pada Fariza. Katanya, badannya sakit-sakit dari kepala hingga ke pinggang selepas memakai minyak yang diberi Fariza. Bila diselidik, barulah tahu ada makhluk halus yang mengikut wanita itu sejak sekian lama.

Ada juga beberapa kes, mereka terdengar bunyi-bunyi aneh di dalam rumah. Bunyi itu hanya mula kedengaran sejak penghuninya membawa pulang dan memakai minyak yang dihasilkan oleh Fariza.

Bila dipanggil ustaz untuk 'melihat', rupa-rupanya ada 'benda' lain yang sudah lama menumpang di dalam rumah mereka. Pernah juga Fariza gunakan rod besinya untuk menguji kehadiran entiti di rumah tersebut. Bila dihalakan ke arah bilik yang selalu datang bunyi- bunyi aneh, rod dipegang Fariza bersilang. Itu tandanya ada aura negatif di situ.

Selalunya bila dapat tahu tanda-tanda begitu, Fariza akan syorkan pada orang tersebut agar segera berubat.

"Maaf, saya tak boleh mengubat. Saya bukan perawat. Cuma, saya ada sejenis minyak yang membantu untuk mengesan jika ada unsur lain atau sesuatu yang tak kena pada badan atau sekeliling kita," ujar Fariza.

BEGINI permulaan ceritanya. Lebih kurang dua tahun lalu, Fariza mempelajari ilmu tentang aura atau simulasi cakra dalam tubuh manusia. Antaranya untuk membuka titik-titik positif dalam tubuh bagi menghasilkan tenaga positif dalam kehidupan. Dari situ, Fariza menghasilkan sejenis minyak yang membantu untuk meningkatkan aura positif si pemakai. Minyak ini dihasilkan daripada gabungan ekstrak bunga-bunga berserta sitrus limau dan lemon.

Mula-mula, Fariza hanya memberi rakan-rakannya untuk memakai minyak yang dihasilkan sendiri di rumah. Lama-kelamaan, semakin ramai orang bertanyakan minyak tersebut. Kebanyakan mereka meminta minyak itu untuk tujuan dipermudahkan urusan pencarian rezeki. Menurut mereka, selalunya selepas memakai minyak aura ini, rezeki senang masuk.

"Setiap benda tak kira hidup atau mati ada aura tersendiri. Begitu juga dengan manusia, sentiasa ada aura dan aura setiap orang pula berbeza," ujar Fariza.

Untuk mengetahui tahap tinggi atau rendahnya aura seseorang itu, Fariza akan menggunakan 'besi ajaib' yang juga disebut sebagai dowsing rod. la adalah logam yang digunakan sebagai medium untuk mengesan tenaga positif atau negatif dan telah diamalkan sejak ribuan tahun lalu.

Konsepnya lebih kurang sama seperti antena yang boleh mengukur frekuensi. Bila dihalakan rod itu pada seseorang, rod itu akan bergerak untuk 'mengukur' aura orang tersebut, jika kecil bukaan rod, bermakna aura orang itu lemah. Jika lebar bukaannya, bermakna aura orang itu kuat. Tetapi, jika aura itu bersilang, ini yang agak susah. Bersilang tandanya kurang bagus. Orang itu lebih banyak dikelilingi aura negatif. Boleh jadi juga ada unsur lain seperti gangguan jin yang menyebabkan keadaan tersebut.


"Bila ada 'benda' yang menumpang dalam badan kita, frekuensi badan kita akan menurun. Makhluk halus ini frekuensinya halus dan rendah, berbeza dengan kita manusia yang berfrekuensi kasar dan tinggi.

"Bila ada makhluk halus, ia akan ganggu frekuensi manusia dan turunkan aura positif. Sebab itu bila ada orang pakai minyak ini, dia rasa tak selesa, panas, sakit badan dan marah-marah. Sebenarnya itu tindak balas 'makhluk' yang menumpang dalam dirinya sebab minyak ini fungsinya untuk menyeimbangkan semula aura manusia. Bermakna ia tingkatkan semula aura positif sedangkan 'makhluk' itu tak selesa berada dalam keadaan aura kita yang tinggi. Sebab itu 'dia' marah," ujar Fariza lagi.

Mungkin juga kerana minyak ini turut dibacakan dengan doa-doa ruqyah, makhluk halus yang ada pada si pemakai terasa 'panas'. Namun, Fariza tegaskan minyak ini hanya boleh digunakan sebagai pengesan jika benar ada gangguan halus pada si pemakai, bukan sebagai penawar.

"Sebab itu bila terbukti ada tanda-tanda gangguan makhluk halus selepas mereka pakai minyak ini, saya suruh mereka segera pergi berubat. Minyak ini bukan untuk merawat, tapi kalau digunakan se bagai pencegah atau 'pendinding' daripada makhluk halus, itu mungkin boleh," kata Fariza.

BUKAN hanya berkaitan gangguan makhluk halus, kebanyakan yang datang menemui Fariza meminta minyak ini untuk urusan kerja. Ada juga mereka yang sudah acap kali hadir temu duga kerja, tapi tiada satu pun yang berjaya. Setelah memakai minyak diberi Fariza, barulah dapat pekerjaan.

Ada pula yang kerjanya dalam bidang pemasaran, tapi selalu gagal membuat jualan. Ada yang berniaga, tapi sukar hendak mencari pelanggan. Tak kurang juga yang sering berdepan dengan majikan atau orang sekeliling yang panas baran sehingga menyukarkan kerjanya.

Tapi, semua itu berubah setelah mereka menggunakan minyak Fariza. Ibaratnya, mereka menggunakan minyak itu atas niat agar dipermudahkan urusan pencarian rezeki mereka.

Bukan itu saja, acap kali juga Fariza berjumpa dengan suami atau isteri yang menghadapi masalah ru mah tangga. Ada isteri yang mengeluh suami tidak mempedulikan mereka lagi. Ada yang hampir sampai bercerai kerana suami panas baran.

Tapi setelah memakai minyak Fariza, keadaan berubah. Aura positif yang terhasil bukan saja mengubah tenaga si pemakai, bahkan memberi kesan pada orang sekeliling. Suami yang sebelum itu panas baran mulai lembut hati dengan isteri.


"Pokok pangkalnya apa niat kita semasa pakai minyak itu. Caranya mudah saja, selawat sambil sapukan minyak itu dan niat mohon yang baik-baik dari Allah. Insya-Allah, semuanya akan jadi baik semula dengan izin-Nya," pesan Fariza.

Pernah juga seorang gadis yang tangan dan kakinya lebam-lebam datang berjumpa Fariza. Menurut gadis itu, lebam-lebam itu selalunya muncul selepas dia bangun tidur pada pagi hari, dan ia lebih banyak ketika dia sedang haid. Ada orang tua pernah beritahu gadis itu, lebam itu tanda pelesit suka padanya.

Alhamdulillah, selepas menggunakan minyak diberi Fariza, tanda lebam itu hilang dan tidak muncul lagi pada tangan dan kaki gadis itu. Bukan itu saja, ramai ibu-ibu yang minta minyak ini untuk anak-anak mereka. jika anak-anak itu degil, panas baran dan susah hendak belajar, mungkin minyak ini boleh dijadikan salah satu ikhtiar.

"Saya suruh ibu-ibu ajar anak mereka pakai minyak ini. Mana anak yang panas baran itu akan lembut hatinya. Yang susah belajar itu akan rasa tenang dan mula rasa mudah hendak belajar.

"Jangan silap, minyak ini bukan buat budak yang bodoh jadi pandai. Bukan macam tu. Bila anak pakai minyak ini, fikirannya akan tenang sebab aura positifnya sudah meningkat. Dia tidak akan cepat stres atau marah. Bila belajar, otaknya mudah beri tumpuan dan serap apa yang diajar," jelas Fariza.

Ada juga orang yang sukar lekat jodohnya mencuba minyak ini. Bila berkawan, ada saja masalah. Tak pernah dapat bertahan lama. Bila sudah pakai minyak aura Fariza, urusan jodohnya seperti dipermu- dahkan. Tak lama kemudian, akhirnya berkahwin.

Ha... kalau anda yang masih bujang di luar sana boleh lah cuba minyak ini. Kuatkan aura positif anda, mudah-mudahan bertemu jodoh dengan izin Allah.

Tapi, kalau ada suami-suami yang hendak tingkatkan aura mereka sebab nak tambah 'cawangan', err... yang itu Fariza tak galakkan.

Awas! Kalau aura positif meningkatpun, tak bermakna para suami yang ada hati nak tambah kuota akan selamat daripada balingan pinggan mangkuk. He he he...

• Nak tahu lebih banyak pasal minyak aura ini, hubungi Fariza di talian 019-7769900.

Sumber : Mastika Mac/2016
Wartawan : Desi Ernita Dahnin @ Nita