Showing posts with label kampungku. Show all posts
Showing posts with label kampungku. Show all posts

Saturday, August 11, 2012

AL QURAN (WAQAF & IBTIDA')...

Klik pada imej untuk lebih jelas...





Al Quran diatas adalah diantara Al Quran terbaru yang berada di dalam koleksiku. Ianya baru kubeli dan harganya cuma RM65.00 sahaja. Bagi sesiapa yang mengalami masalah tidak tahu di mana hendak waqaf dan menyambung semula bacaannya, maka Al Quran ini dapat membantu mereka dalam menyelesaikan masaalah tersebut. Disamping itu, ayat-ayatnya bersaiz besar dan mudah juga bagi mereka yang mengalami masalah penglihatan jarak dekat.
  • Apakah maknanya tulisan yang berwarna merah? 

Tulisan berwarna merah itu bermaksud bahawa kita boleh memberhentikan (waqaf) diakhir perkataan yang berwarna merah dan memulakan bacaan (ibtida') diawal perkataan yang berwarna merah...
  • Apakah maknanya tulisan yang berwarna hijau?

Tulisan berwarna hijau itu bermaksud bahawa kita boleh memberhentikan bacaan diakhir perkataan yang berwarna hijau dan memulakan bacaan di awal perkataan hijau...
  • Apakah pula maknanya tulisan yang berwarna biru?

Tulisan berwarna biru pula bermaksud bahawa kita boleh memberhentikan bacaan diakhir perkataan yang berwarna biru dan memulakan bacaan selepas perkataan itu...

KISAH AKU DAN AL QURAN...

Aku mula mempelajari Al Quran ketika aku berusia 9 tahun dan rasanya sudah terlalu lewat bagi kanak-kanak yang berusia sepertiku pada masa ini. Tapi bagi tahun-tahun 1960an, kesedaran dalam mempelajari Al Quran sangatlah kurang dan guru-guru agama pula sukar di dapati di sesebuah perkampungan tersebut. Kalau adapun, bacaan yang diajar hanyalah sekadar bacaan sahaja dan seterusnya menghafal tanpa memperdulikan tajwidnya, sebutan huruf serta harakatnya. (janji bunyinya betul sahaja).

Tetapi Alhamdulillah juga bagi diriku kerana semasa disekolah rendah, mata pelajaran agama yang diajar oleh ustaz atau ustazah adalah dengan menggunakan tulisan jawi. Ini menyebabkan kami semua mengenal huruf jawi iaitu huruf-huruf Al Quran.

Ketika aku berusia 11 tahun, aku terus mendalami membaca Al Quran dengan guruku yang baru iaitu Makcik Pah yang tinggal berhampiran dengan rumahku. Setelah hampir setahun belajar dengannya, aku belajar pula mengaji Al Quran dengan Hj. Yahya yang lebih dikenali sebagai Pak Ya. Beliau mendapati aku, kakakku dan seorang kawanku lancar dalam membaca Al Quran. Oleh sebab itu, ia telah memilih kami bertiga untuk mewakili kampung kami dalam pertandingan membaca Al Quran diantara kampung-kampung yang ada disekitar mukim kami. Biasanya pertandingan diadakan pada   setiap kali tibanya sambutan Maulidur Rasul.    

Pada pertama kali memasuki pertandingan, aku hanya menduduki tempat keempat dimana aku masih ingat lagi bahawa hadiah yang aku terima pada masa itu (awal tahun 1970an) adalah berupa sebuah kain pelikat sahaja. Walaubagaimanapun aku tetap bersyukur diatas hadiah yang aku terima dan ianya sangat bernilai bagiku.

Pada tahun berikutnya, guru mengajiku meminta aku memasukinya lagi dan aku bersetuju dengan permintaannya itu. Pada pertandingan kali ini, aku mendapat tempat ke 3 dan hadiah yang aku terima pula berupa wang tunai bernilai RM12 sahaja. Ketika itu aku berusia 12 tahun.      

Masa-masa seterusnya berlalu pantas dan zaman kanak-kanak telah aku tinggalkan dan seterusnya aku memasuki alam remaja pula. Setelah tamat persekolahan, aku meninggalkan kampung halamanku di Taiping, Perak untuk merantau ke Kuala Lumpur bagi mencari pekerjaan.

Oleh kerana sibuknya aku di kota raya mencari rezeki, pembacaan Al Quran telah mula aku tinggalkan dan akhirnya aku tidak membacanya lagi sehinggalah bertahun-tahun lamanya dan sampailah aku berumahtangga. 

Selepas tersedar yang aku sudah tidak lagi lancar dalam membaca al Quran sehingga hendak membaca surah Yassin di malam Jumaat pun aku tergagap dan tidak tahu lagi membezakan panjang pendeknya serta tempat waqaf dan ibtida'nya menyebabkan bertambah lagi lah malasnya aku hendak membaca Al Quran.   

Begitulah seterusnya hari-hari berlalu dan aku pula pada ketika itu sibuk menguruskan keluarga yang semakin bertambah dari tahun ke tahun. Bacaan Al Quran terus dilupakan. Pada kali ini aku makin parah kerana sukar hendak membunyikan sebutan huruf dengan tepat dan ada kalanya tak kenal huruf pula.

Pada tahun 2000, ketika bulan puasa, aku balik menziarahi ibu di kampung. Masuk waktu Asar, aku menuju ke Masjid untuk bersembahyang Asar. Masjid itu ialah masjid yang menjadi kenang-kenanganku seumur hidup kerana di masjid itulah aku membaca Al Quran semasa memasuki pertandingan membaca Al Quran dulu. Tidak ku sangka pula yang aku akan bertemu dengan Pak Ya, guru yang bertanggungjawab mengajar aku mengaji semasa aku kecil sehingga aku pandai pada ketika itu. Usianya telahpun lanjut iaitu kira-kira 80 tahun dan kelihatannya sangat uzur. walaubagaimanapun ia tetap mengerjakan solat 5 waktu di masjid.       

Hampir 30 minit aku bersamanya bertanya khabar dan bercerita kisah-kisah lama, aku akhirnya meminta diri untuk pulang semula kerumah ibuku untuk menyediakan apa yang patut sewaktu berbuka puasa nanti. Walaubagaimanapun ingatanku kepada Pak Ya selepas bertemu sebentar tadi masih dalam ingatanku, dan aku agak bernasib baik kerana Pak Ya tidak bertanya samada aku masih membaca Al Quran atau tidak lagi.

Kira-kira seminggu selepas pulang ke Kuala Lumpur, aku mendapat khabar yang Pak Ya telah meninggal dunia kerana sakit tua. Aku bersyukur kerana diakhir hayatnya aku dapat bertemu dengannya guru Al Quranku yang banyak berjasa. Dengan pertemuan itu juga aku dengan tidak semena-mena teringat akan Al Quran yang telah lama aku tinggalkan. Timbul keazamanku semula untuk membaca Al Quran, tapi aku tidak mahu membaca Al Quran dalam keadaan aku sekarang yang sudah tidak lancar membacanya lagi.

Pada suatu hari dalam tahun 2001, isteriku memberitahu yang ada satu kelas Al Quran yang telah di buka di tingkat 8 di sebuah bangunan di belakang pejabatnya di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. Katanya ramai yang telah mendaftarkan diri untuk belajar termasuklah dirinya. Kelasnya dikatakan bermula seawal 8 pagi sehingga 10 malam. Peserta boleh memilih sendiri masa yang sesuai untuk mereka belajar. 

Aku tanpa membuang masa telah mendaftarkan diri untuk belajar sama. Masa yang aku pilih ialah selepas waktu peiabat jam 5 hingga 6 petang pada hari Isnin dan Selasa setiap minggu. Bermula dari Ikraq 1 hingga ikraq 6 dan akhirnya aku memasuki Al Quran. Selama setahun aku belajar Al Quran lengkap dengan tajwid serta hukum-hukumnya. Kini aku dapat membaca Al Quran semula dengan lancar walaupun aku masih susah  nak mengingati hukum-hukumnya, walaupun aku tidak tahu nama-nama hukum disesuatu ayat tapi aku dapat membunyikan ayat tersebut dengan tepat.    

Kini aku telah mula rajin membaca Al Quran serta terjemahannya dan setiap kali selepas waktu sembahyang aku berusaha meluangkan sedikit masa untuk membaca Al Quran. Aku berharap dan berdoa kepada Allah, supaya aku diberi kekuatan dan sentiasa istiqomah dalam membaca Al Quran serta melakukan ibadat-ibadat yang lain.

Sesiapa yang membaca Al Quran, di akhirat nanti Al Quran akan menjadi saksi dan pelindung bagi dirinya.Al Quran juga adalah mukjizat yang paling besar dianugerahkan kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. Baginda telah bersabda bahawa baginda telah meninggalkan 2 perkara untuk umat-umatnya dan menjamin jika diamalkan dengannya maka umatnya tidak akan sesat selama-lamanya iaitu berpegang kepada Al Quran dan Sunahnya.  

        
 Inilah masjid tempat aku masuk
 pertandingan membaca Al Quran dulu...
Masjid ini juga adalah tempat Ulama terkenal Negeri Perak iaitu
Ustaz Mat Saman Kati mengajar agama pada setiap minggu...

 Kini masjid lama ini sudah tidak digunakan lagi kerana telah diganti
dengan masjid baru yang dibina di belakangnya (kubah biru)...

Tuesday, October 11, 2011

MARILAH MEMBACA CERITAKU INI...

Untuk kesekian kalinya, aku pulang lagi ke kampungku di Simpang 4, Taiping, Perak pada 8, 9 dan 10 Oktober, 2011. Kali ni, Afif, anakku yang sulung dan Alia yang no. 2, tidak ikut serta kerana masing-masing ada komitmen lain.

Mengetahui yang keretaku kosong, Azizah (Jah) kakak ku no. 8 dalam keluarga, ingin menumpang, katanya dah lama tak balik ziarah emak. Kami semua faham bahawa Jah bukanlah sihat sangat sebab baru saja menjalani pembedahan jantung di Institiut Jantung Negara (IJN) baru-baru ni.

Kepulangan kami kali ini bukan setakat untuk menziarahi emak, tapi teruja sangat-sangat kerana adik kami yang bongsu iaitu Shamsiah (Sham) menjemput kami ke majlis doa selamat yang dia adakan sempena berpindah kerumah yang baru dibelinya. Jarak rumah barunya dengan rumah emak cuma kira-kira 1.5 km. sahaja.

Aku memulakan perjalanan dari rumahku di Serdang, Selangor, kira-kira jam 1 petang dan akan menjemput Jah di Batu Gajah, Perak. Aku memaklumkan kepadanya bahawa aku akan tiba kira-kira jam 3 petang nanti dan meminta dia bersedia kerana aku nak cepat sampai di kampung.

Aku terlewat setengah jam kerana 3.30 pm aku baru sampai, Abang iparku, yang kami panggil Abang D (Ahmad Rashidi), memaksa aku makan tengahari dirumahnya (Walaupun dah petang). Aku pada mulanya menolak tapi akur dengan kesungguhannya mengajak kerana katanya Jah dah bersusah payah memasak untuk kami (Aku dah bagitau dah yang aku taknak makan, tapi dia paksa juga). Untuk tidak menghampakannya, akupun makanlah...

Dalam aku dok menolak tu, tak sedar yang aku makan sampai 3 pinggan kerana Jah tau masakan kegemaranku iaitu kari ikan duri, ikan kembong goreng, ikan masin bulu ayam, kerang rebus, sayur campur, ulam timun dengan sambal belacan serta minuman jus oren.

erk...erk...erk, aku sendawa sampai 3 kali...Adoi...perut dah kenyang, mata pun mula lah mengantuk, macam mana aku nak drive ni...?, perjalanan jauh lagi iaitu kira-kira 100 km yang akan mengambil masa lebih kurang 1 1/2 jam lagi...

Melihatkan yang mataku dah layu, Jah lalu membuatkan aku secawan kopi O panas yang cukup dengan kepekatannya serta manis-manis buah sehingga mata aku yang dah layu tadi kembali segar selepas meneguknya sampai habis.

Kami meneruskan perjalanan pada pukul 5 petang didalam keadaan hujan lebat. Akhirnya pada pukul 6.30 petang, kami pun tiba dikampung, sedia menanti kami dipintu rumah ialah, Emak, Romina (adikku) dan Fatimah (kakakku). Mereka sedang rancak berbual. Emak macam biasalah, gembira dengan kepulangan anak-anaknya.

Selepas Maghrib, kami semua berkunjung kerumah baru Sham, Katanya majlis doa selamat telah selesai diadakan selepas Zohor tadi dengan jemputan lebih kurang 100 orang terdiri dari jemaah surau, jiran-jiran yang belum ramai lagi, kawan-kawan sekerja dan adik beradik.

Sham menyediakan makan tengahari menggunakan khidmat 'catering' dengan menunya nasi puteh, daging masak hitam, ayam goreng berempah, gulai ikan talang masin, ulam-ulam, laksa, kueh mueh dan minuman sejuk serta panas.

Gulai ikan talang masin sangat-sangat membuka seleraku, walaupun dah kenyang makan dirumah Jah tadi, di rumah Sham, aku hentam 3 pinggan lagi...erk...erk.erk...aku terus sendawa dan tersandar dikerusi tak boleh nak bergerak lagi.

Kira-kira setengah jam kemudian, tenagaku pulih kembali. Aku tanpa membuang masa menyertai yang lain melawat kesetiap pelusuk rumah Sham. Wah!!! besar sungguh rumahnya, dengan 4 bilik, hall dan diningnya sungguh luas, begitu juga dapurnya, bukan setakat ruang memasak, peti ais, mesin basuh serta kitchen kabinetnya yang ada disitu, tapi meja serta komputer dan sebuah TV dengan mejanya juga masih boleh diletakkan disitu dengan penuh selesa. Aku dapat merasakan yang Sham dan suaminya Azman (Man) berbesar hati dengan kedatangan kami pada malam itu. Anak-anak mereka seramai 3 orang pula sibuk melayan anakku Amsyar dan Asfarini bermain komputer...biasalah tu budak-budak sekarang ni .... tak habis-habis dengan facebooknya...

Rumah Sham adalah rumah Semi D, porchnya boleh memuatkan 2 buah kereta dalam satu masa dan masih ada tanah lagi untuk beliau menanam bunga serta bercucuk tanam. Nampaknya Sham sudah termasuk dalam Gred A, manakala aku masih kekal dalam gred C.

Setelah selesai semuanya, kami pun pulang kerumah emak untuk bermalam. Esok kira-kira jam 11 pagi kami seramai 6 orang berkunjung ke rumah Aishah (Esah) seorang lagi kakakku yang tinggal di Kota Tampan Air, Lenggong, Perak kerana suaminya Abdullah (Abg. Lah) tidak sihat. Perjalanan dari Taiping kerumahnya mengambil masa 1 1/2 jam dengan jaraknya 80 km melalui lebuhraya Kuala Kangsar -Grik.

Kami singgah di Restoran Tasik Raban yang terkenal dengan masakan ikan sungai dan ikan pekasam untuk dibawa kerumah Esah. Kira-kira jam 2 petang kami pun tiba dan terus menikmati hidangan tengahari. Esah sempat menggoreng ikan dan menyediakan beberapa jenis ulam dan sambal belacan bagi menambah dan membuka selera kami. Aku makan 3 pinggan lagi dan erk...erk...erk, aku terus sendawa...

Selepas berehat sebentar, kira-kira jam 5 petang kami mengambil keputusan untuk menziarahi keluarga adik arwah ayah iaitu Chu Hendon yang terletak di kampung Luat, kira-kira 5 km dari rumah Esah di Kota Tampan Air tadi. Kebetulan pula ketika kami sampai , Chu Hendon diserang demam manakala suaminya iaitu Chu Ariffin juga demam akibat disengat tebuan. Walaubagaimanapun keadaannya telah beransur pulih walaupun kakinya masih bengkak lagi...

Ramai kaum keluarga berkumpul untuk menziarahi ibu bapa mereka. Kebetulan pula hari itu adalah hari minggu maka anak-anak dan menantu yang berdekatan pun pulang . Disitu juga dapatlah kami semua bertemu dengan keluarga disebelah arwah ayah. Kali akhir aku bertemu mereka adalah kira-kira 3 atau 4 tahun dahulu dimana ketika itu aku menziarahi Chu Hendon yang telah selamat menjalani pembedahan bagi membuang selaput dimatanya.

Setelah meluangkan masa hampir 1 jam di Luat, kami akhirnya pulang semula kerumah emak diTaiping dan tiba kira-kira jam 8 malam untuk bermalam dimalam yang kedua. Kira-kira jam 9 malam selepas itu, Abangku Shamsuddin (Din) dan isterinya Kak Asni serta seorang lagi abangku iaitu Mohd Izhar (At) dan isterinya Hamidah (Kak Midah) datang untuk berjumpa dan bertanya khabar dengan kami semua. Adik kami Romina dan Sham yang baru berpindah rumah tadi juga datang sebab besok iaitu hari Isnin, kami akan pulang semula ke Kuala Lumpur.

Sepanjang 3 hari 2 malam dirumah emak, aku lihat emak sedikit uzur dan moodnya kurang untuk berbual dengan kami, terutamanya pada malam terakhir sebelum kami pulang ke Kuala Lumpur. Setiap patah perkataan yang kami tanya kepadanya, tiada respon darinya dan dia terus mendiamkan diri membuatkan kami semua merasa sedih. Kemuncak pada malam itu ialah apabila ia terkencing diatas tilam dikatilnya dan diwaktu tengahari pula ia terkencing diatas sofa diruang tamu. Nasib baik kami ramai pada hari itu dan bergotong royonglah kami membersihkannya.

Sebelum pulang Ke Kuala Lumpur pada hari Isnin, makan tengahari kami ditaja oleh adikku Amri (Bris) di RNR Batu 2 1/2, Simpang, Taiping. Selesai makan, kami melawat rumah baru Sham sekali lagi sebelum Din menghantar Timah ke stesyen bas Kemunting untuk ia pulang ke Pulau Pinang. Aku pula menghantar Jah pulang ke Batu Gajah, Perak sebelum aku meneruskan perjalanan balik ke Kuala Lumpur dan akhirnya tiba dirumah kira-kira jam 10 malam. Walaupun letih tapi hati aku gembira dan puas dapat berjumpa emak dan adik beradik yang tinggal disana...

Itulah dia ceritanya..., semoga kalian semua terhibur membacanya....hee...hee...hee...

Monday, April 19, 2010

KAMPUNG KU

Hari Jumaat 16 April, 2010, pukul 8 malam, aku seisi keluarga pulang ke kampung di Simpang, Taiping, Perak bagi menziarahi ibu yang telah uzur. Perjalanan dengan kereta melalui lebuhraya mengambil masa selama 3 jam. Kali terakhir aku pulang ialah pada bulan lepas.

Setiap kali pulang ke kampung, aku selalu berharap untuk berjumpa kawan-kawan sekolah dahulu tetapi tidak pernah dapat menemui mereka dan tak pasti dimana mereka sekarang ini berada. Aku juga mencuba mengesan mereka melalui facebook tetapi tetap juga hampa.

Pekan Simpang terletak kira-kira 6 km dari Bandar Taiping, 4 km ke Kuala Sepetang, 30 km ke Kuala Kangsar dan 80 km ke P. Pinang. Sebelum Lebuhraya Utara Selatan dibina, Pekan Simpang adalah laluan utama semua kenderaan dari Selatan menuju ke Utara. Pada sebelah malam kelihatan berpuluh-puluh lori treler membawa muatan melalui jalan ini menuju ke Pelabuhan Pulau Pinang. Manakala pada waktu siang bas-bas express pula beroperasi sehingga keawal pagi.

Kemalangan maut juga banyak berlaku disepanjang jalan ini menuju ke utara terutamanya di musim -musim perayaan. Kemalangan ngeri yang pernah aku saksikan telah berlaku pada tahun 70an dulu dimana sebuah kereta telah melanggar penunggang basikal dan penunggang basikal tersebut telah tercampak lalu tertusuk besi jambatan yang kebetulan dilaluinya. Tubuh beliau telah terlekat selama beberapa minit pada besi tersebut dan meninggal dunia sebaik-baik sahaja di tarik keluar. Pak cik 'malang' itu kami semua kenal kerana ia berniaga 'sayur-sayur dan ulam-ulam kampung' dengan menunggang basikal sehinggalah tragedi meragut nyawanya berlaku. Alfatihah untuk beliau.



Rumah keluarga aku di alamat no. 28,
Rancangan Perumahan Awam, 34700 Simpang, Taiping, Perak

Anakku yang sulung dan yang bongsu
sedang 'bergumpal' di rumah opah mereka



Surau Al Hidayah dulunya dua tingkat
diperbuat dari kayu dibina pada tahun 1975.
Kini telah dibina semula kira-kira 3 tahun lalu.
Terletak 10 meter dari rumah mak

Gambar dirakam pada hari Sabtu 17 April, 2010
selepas selesai sembahyang Zohor.
Dari kiri : Tn. Hj Zahari Yusof, Sdra. Bahadrolsham Rashid,
Ahmad Jais dan Tn. Hj. Ahmad Yacob

Dari Kiri : Tn. Hj. Zahari Yusof, Sdra. Bahadrolsham Rashid,
Tn. Hj. Ismail Salleh dan Tn. Hj. Ahmad Yacob

Pekan Simpang yang pesat membangun




Pasar Simpang yang dibina pada tahun 1965.
Kini telahpun berusia 45 tahun

Balai Polis Simpang terletak
bersebelahan Surau Al Hidayah

Sekolah Kebangsaan Simpang yang juga berwajah baru

Masjid lama Pekan Simpang yang tidak digunakan lagi.
Dibiar kekal sehingga ke hari ini

Masjid baru Pekan Simpang menggantikan masjid lama.
Dikenali sebagai Masjid Al Ikhwaniah

Gambar menunjukkan masjid lama dan baru.
Kedua-duanya terletak berhampiran

Tanah perkuburan Islam wakaf 2
yang terletak bersebelahan masjid Al Ikhwaniah

Tanah perkuburan Islam Wakaf 2
yang sentiasa dijaga kebersihannya

Kubur ayahku yang dimakamkan pada 17 Mei, 1999

Sekolah Kebangsaan Matang
yang terletak 2 km dari pekan Simpang

Inilah kedai mee udang Mak Teh yang terkenal
dan telah dipromosikan oleh TV3. Ianya terletak
kira-kira 2.5 km dari Pekan Simpang.
Ini adalah kunjungan ku bagi kali ke 3


Mee goreng udang

Mee Udang banjir

Muzium Matang atau lebih dikenali dengan Kota Ngah Ibrahim