Showing posts with label Sejarah Islam. Show all posts
Showing posts with label Sejarah Islam. Show all posts

Saturday, May 8, 2021

KISAH SAYYIDINA UMAR R.A. DIBUNUH DI DALAM MASJID...

Amr bin Maimun berkata:" Ketika Umar r. a. mendapat musibah aku berdiri dekat beliau, dekat dengan aku ialah Abdullah bin Abbas. Umar r.a. melalui dua saf dan didapatinya ada saf yang kosong kemudian beliau menyuruh penuhkan ruang saf yang kosong itu, dan merapatkan saf-saf."

Amr bin Maimun berkata lagi: "Ketika Umar r.a. membaca surah Yusuf maka makin banyaklah orang berkumpul. Kemudian aku mendengar kata-kata yang berbunyi: "Dibunuh aku atau aku dimakan oleh anjing." Setelah kedengaran kata-kata itu maka melurulah Abu Lu'luah dengan pisau yang mempunyai dua mata lalu menikam Umar r.a. Sewaktu Abu Lu'luah hendak menikam Umar r.a., dia telah berada dalam saf seolah-olah dia juga hendak sembahyang. Untuk melepaskan dirinya Abu Lu'luah menikam seramai 13 orang yang sedang sembahyang, sembilan dari mereka itu mati. Ada riwayat yang mengatakan tujuh orang yang mati. Umar r.a. ditikam ketika dia hendak memulakan sembahyang.

Apabila keadaan menjadi kelam kabut maka orang kafir ajam yang bernama Abu Lu'luah itu itu cuba melarikan diri, tetapi orang-orang muslim menarik baju jubahnya, apabila orang kafir itu menduga bahawa orang muslim telah melemparkan pakaian jubahnya itu maka dia pun membunuh diri. Umar r.a. memegang Abdurrahman bin Auf dan menyuruh beliau naik menjadi imam, hal ini hanya diketahui oleh orang-orang yang berdekatan dengan di sudut masjid tidak tahu apa-apa. Dan selain itu tidak lagi kedengaran suara apa-apa kecuali ucapan: "Subhanallah, Subhanallah."

Setelah selesai Abdurrahman bin Auf mengimami solat maka orang ramai pun bersurai, mereka tidak tahu apa yang terjadi kepada Umar r.a. Abdurrahman bin Auf menghampiri Umar r.a.

'Kata Umar r.a.: "Wahai Ibnul Abbas, kamu tolong siasat siapakah yang telah menikam aku tadi."

Kemudian Abdurrahman bin Auf pergi, seketika kemudian dia datang kepada Umar r.a. dan berkata: "Wahai Amirrul mukminin , orang yang menikam kamu adalah dari hamba Al Mughirah bin Sya'bah."

Kata Umar r.a.: "Kalaulah dia dibunuh oleh Allah, sesungguhnya aku menyuruhnya yang baik."

Kata Umar r.a. lagi: "Syukur aku kepada Allah S.W.T. kerana aku tidak dibunuh oleh orang muslim."

Al-Abbas banyak sekali berkawan rapat dengan or­ang kafir Ajam di Madinah, berkata Al-Abbas: "Wahai Amirul mukiminin, kalau kamu menghendaki, kami sedia membunuh mereka semua."

Kata Umar r.a.: "Apakah kita hendak membunuh mereka setelah mereka berkata-kata dalam bahasa kamu, apakah mereka mengerjakan solat ke kiblat kamu? Dan mengerjakan haji seperti haji kamu?"

Setelah Umar r.a. berkata demikian maka diamlah mereka buat seketika, Umar r.a. lalu dibawa ke rumah beliau dalam keadaan parah."

Amr meneruskan cerita: "Pada hari itu manusia merasakan seolah-olah telah menimpa satu musibah yang belum menimpa mereka sebelum hari itu. Ada pula yang mengatakan: "Aku sangat takut akan keadaan nasib Umar r.a.". Ada pula yang berkata: "Tidak ada apa-apa yang membahayakan pada diri Umar."

Apabila Umar r.a. berada di rumahnya beliau diberikan oleh para sahabat yang lain meminum air nabiz (yakni sejenis air yang diperbuat dari buah tamar dan ianya tidak memabukkan). Umar r.a. pun meminum air tersebut, tetapi air itu keluar dari perutnya. Kemudian diberikan pula susu, susu juga keluar dari perut Umar r.a. Tahulah para sahabat bahawa Umar r.a. akan wafat.

Oleh kerana keadaan Umar yang makin tenat maka ramailah yang datang menziarahi beliau. Seorang lelaki menghampiri Umar r.a. dengan berkata: "Gembiralah wahai Amirul mukminin dengan khabar gembira dari Allah Azza wa Jalla, engkau telah masuk Islam dengan persahabatan Rasulullah S.A.W., engkau dijadikan wali negeri . Kamu berlaku adil dan mati kamu adalah syahid."

Kata Umar r.a.: "Bagi aku yang demikian itu adalah sudah cukup. Tidak atasku dan tidak bagiku."

Apabila lelaki itu undur ke belakang maka kain yang dipakainya itu telah turun ke bawah, lalu Umar r.a. berkata: "Wahai anak saudaraku, angkatlah kainmu, sesungguhnya itu akan mengekalkan kainmu dan lebih mentaqwakan kepada Tuhanmu."

Setelah itu Umar r.a. berkata: "Wahai Abdullah, sila perhatikan berapa banyakkah hutang-hutang yang aku belum jelaskan?"

Lalu Abdullah pun mengira hutang-hutang yang belum dijelaskan oleh Umar r.a., setelah mengira beliau pun berkata: " Wahai Amirul mukminin, hutangmu itu ada sebanyak 86,000 dirham."

Kata Umar r.a.: "Kalau harta Umar ini cukup untuk menyelesaikan hutang itu maka kamu selesaikan, kalau hartaku ini tidak cukup mintalah kepada kabilah Bani 'Adi bin Kaab. Kalau harta mereka juga tidak cukup maka mintalah kepada kabilah Quraisy dan janganlah engkau melampaui mereka dengan orang lain dan selesaikan hutangku."

Kata Umar r.a. lagi: "Pergilah kamu kepada Ummul-mukminin 'Aisyah, katakanlah kepadanya bahawa Umar sampaikan salam dan jangan kamu katakan Amirul mukminin, sebab pada hari ini aku bukan lagi Amirul mukminin. Katakanlah bahawa Umar bin Al-Khattab meminta izin untuk dikuburkan bersama kedua temannya." (yang dimaksudkan kedua temannya ialah supaya diizin untuk dikuburkan jenazah Umar di sebelah Rasulullah S.A.W. dan Abu Bakar r.a.).

Setelah Abdullah menerima arahan dari Umar r.a. maka beliau pun pergi ke rumah 'Aisyah , setelah memberi salam dan diizinkan masuk maka Abdullah mendapati 'Aisyah sedang menangis. Abdullah pun berkata Umar menyampaikan salam dan beliau meminta izin dari kamu supaya beliau dapat dikuburkan bersebelahan dengan kedua temannya."

Kata 'Aisyah r.a.: "Wahai Abdullah, sebenarnya aku menghendaki tempat itu untuk diriku , tetapi pada hari ini aku lebih utamakan Umar dari diriku sendiri."

Setelah Abdullah mendapat izin dari 'Aisyah r.a. maka beliau pun kembali ke rumah dan berkata: "Ini Abdullah bin Umar telah datang."

Kata Umar r.a.: "Tolong angkat aku." Lalu Umar r.a. pun diangkat dan disandarkan kepada Abdullah oleh salah seorang para sahabat.

Kata Umar r.a.: "Wahai Abdullah, bagaimana dengan kerja yang aku suruh?"

Kata Abdullah: "Apa yang kamu ingin wahai Amirul mukminin 'Aisyah telah izinkan."

Kata Umar r.a.: "Alhamdulillah, tidak ada sesuatu yang lebih penting padaku dari pada itu, apabila ajalku telah sampai bawalah aku. Kemudian ucapkan salam dan kebumikan aku bersama temanku, kalau tidak diizinkan maka hendaklah kamu membawa aku keperkuburan kaum muslimin."

Anak perempuan Umar yang bernama Ummul mukminin Hafshah datang menziarahi bapanya, Hafshah masuk melihat keadaan ayahnya dan dia menangis. Kemudian kaum lelaki meminta Hafshah masuk ke dalam sedikit sebab kaum lelaki hendak menziarah, Hafshah pun masuk dan menangis. Lalu berkata kaum lelaki pada Umar: "Wahai Amirul mukminin, berilah wasiatmu."

Kata Umar r.a.: "Aku tidak nampak yang lebih berhak dengan urusan ini dari mereka, sewaktu Rasulullah S.A.W. wafat, Rasulullah S.A.W. redha kepada mereka. Lalu dia menyebut: "Ali, Usman, Az-Zubair, Thalhah, Saad dan Abdurrahman." Kata Umar r.a.: "Abdullah bin Umar naik saksi, dan tiada baginya sesuatu dari urusan itu seperti, cara ta'ziah baginya."

Kata Umar r.a.: "Aku wasiatkan kepada Khalifah sesudahku bagi orang-orang muhajirin yang pertama, bahawa diakui mempunyai kelebihan bagi mereka dan jagalah kehormatan mereka. Dan aku wasiatkan kepada Khalifah itu agar sentiasa membuat kebaikan bagi orang-orang Ansar yang telah mendiami negeri dan iman sebelum dari kaum muhajirin itu, bahawa ihsan dari mereka diterima dan perbuatan buruk mereka dimaafkan."

Kata Umar r.a. lagi: "Aku wasiatkan kepada Khalifah itu akan kebajikan penduduk-penduduk kota bahawa mereka itu kurang baik Islamnya, mereka mengumpulkan harta dan bersikap kasar terhadap musuh. Janganlah ambil pemberian mereka melainkan pemberian dengan hati yang ikhlas. Dan aku wasiatkan kepada Khalifah itu akan kebajikan terhadap orang-orang Arab desa. Sesungguhnya mereka itu Arab asli dan unsur Islam dan bahawa dia mengambil harta mereka dan diberikan kepada orang- orang miskin di kalangan mereka juga. Aku wasiatkan kepada Khalifah itu supaya setia kepada Allah 'Azza wa jalla dan setia kepada Rasulullah S.A.W. Bahawa diperangi mereka kerana mereka mementingkan hak mereka, dan tidak diberatkan kepada mereka selain menurut kemampuan mereka."

Kata Amr: "Ketika Umar r.a. telah wafat lalu kami membawa jenazah Umar r.a. dengan berjalan kaki, kemudian Abdullah bin Umar memberi salam dan berkata: "Umar A1 Khattab meminta izin." Kemudian 'Aisyah r.a. berkata: "Bawalah dia masuk."

Lalu mereka membawa jenazah Umar r.a. masuk dan dikebumikan bersebelahan denga kedua temannya.

Jibrail A.S. berkata: "Islam itu menangis kerana meninggalnya Umar."

Dipetik Dari Buku Himpunan Kisah-Kisah Teladan...

Thursday, December 14, 2017

AN-NASR SURAH TERAKHIR DITURUNKAN...

Video bacaan surah An-Nasr

Turun Pada Hari Tasyrik

Surah an-Nasr merupakan surah terakhir yang diturunkan berdasarkan beberapa hadis. Menurut Imam Nasa'i, sebagaimana dinukilkan oleh Ibn Abbas al-Sahabi, beliau (Ibn Abbas) bertanya kepada Ibn 'Utbah, "Wahai Ibn 'Utbah, tahukah engkau, apakah surah terakhir yang diturunkan?" Ibn 'Utbah menjawab, "Ya, aku tahu,"lantas membacakan Surah an-Nasr. Lalu dinyatakan oleh Ibn Abbas dengan katanya, "Benar." (Riwayat Muslim)

Hadis di atas menjelaskan bahawa surah terakhir yang diturunkan ialah Surah an-Nasr. Surah ini diturunkan sewaktu hari-hari tasyrik iaitu antara 11 hingga 13 Zulhijjah. la diturunkan sewaktu Baginda SAW melaksanakan haji yang diistilahkan dalam sejarah peradaban Islam dan sirah Rasul sebagai haji wada' atau haji perpisahan kerana inilah kali terakhir Rasulullah ' SAW mengerjakan ibadah haji. Rasulullah SAW wafat selepas beberapa minggu/bulan Baginda kembali ke Madinah.

Kenyataan ini dapat dilihat melalui hadis yang diriwayatkan oleh al-Bazar dan al-Baihaqi daripada Ibn 'Umar dengan katanya: "Surah ini diturunkan ke atas Rasulullah SAW pada pertengahan hari-hari tasyrik. Justeru, Baginda mengetahui bahawa ia adalah simbolik kepada Perpisahan. Maka Baginda mengarahkan tungganganya yang dinamakan al-Qaswa', agar bergerak mencari tempat yang strategik untuk memberi khutbah kepada manusia yang bersamanya pada waktu itu. Di sinilah baginda mengucapkan khutbah terakhirnya yag masyhur itu. Dalam khutbah tersebut Baginda menggariskan secara kasar garis panduan bagaimana seharusnya manusia hidup selepas ketiadaannya nanti.

Dalam satu hadis lain yang juga diriwayatkan oleh al-Baihaqi, daripada 'Ikrimah dan Ibn Abbas, Ibn Abbas berkata: "Apabila turunnya Surah an-Nasr ini maka Baginda SAWmemanggil anak kesayangannya, Fatimah r.a. dan bersabda: 'Wahai anakku Fatimah, Sesungguhnya ayahanda melihat dengan turunnya ayat ini maka sekarang adalah merupakan saat-saat terakhir ayahanda bersamamu sebelum kematianku.' Kemudian Fatimah r.a. menangis dan setelah beberapa ketika kemudian dilihat beliau tersenyum. Beliau berkata setelah tersenyum, Aku diberitahu oleh ayahandaku mengenai saat kewafatannya (dengan turunnya Surah an-Nasr, kemudiaan Rasulullah SAW bersabda dengan berkata, 'Sabarlah wahai anakandaku Fatimah kerana sesunguhnya anakanda nanti merupakan individu pertama yang akan mengiringiku'. Lantas Fatimah r.a. berkata 'justeru, aku tersenyum'."

Fatimah r.a. menangis kesedihan kerana beliau akan ditinggalkan oleh ayahandanya, Rasulullah SAW namun setelah diberitakan bahawa beliaulah orang pertama dari kalangan keluarga dan juga Sahabat-sahabat Baginda yang akan mengiringi Baginda, maka kesedihan bertukar dengan kegembiraan.

Demi Allah, benar bahawa sesungguhnya tiada kesedihan dan dukacita yang paling tinggi selain daripada kewafatan Rasulullah SAW. Justeru, individu yang menyintai Allah dan Rasul-Nya akan berusaha menjadikan Rasulullah SAW sebagai ikutannya, sunnah Rasulullah akan diturutinya dan sirah Rasulullah akan ditatapinya. Namun, bagi individu yang angkuh dan sombong, lagi jahil dan dungu pastinya tidak menganggap sunnah dan ajaran Rasulullah SAW sebagai sesuatu yang bernilai lagi berharga.

Apa gunanya hidup selepas kewafatan Baginda sekiranya sunnah Baginda tidak kita ikuti? Apa nilainya nafas kehidupan yang diberikan andainya ajaran Baginda kita kesampingkan? Namun persoalan-persoalan ini hanya diinsafi dan diketahui jawapannya bagi individu-individu yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.

Tiada lagi satu surah yang lengkap diturunkan setelah turunnya surah ini. Oleh itu, ia dikira sebagai surah terakhir yang diturunkan. Terdapat beberapa ayat diturunkan selepas surah Ini, namun satu surah yang lengkap ialah Surah an-Nasr ini. Manakala ayat terakhir yang diturunkan ialah daripada Surah al-Baqarah ayat 281: "Dan takutlah kamu kepada hari (ketika) kamu semua dikembalikan kepada Allah. Kemudian setiap orang diberi balasan yang sempurna sesuai dengan apa yang telah dilakukan dan mereka tidak sekali-kali dizalimi."

Walaupun terdapat pandangan yang mengatakan bahawa ayat terakhir ialah daripada Surah al-  Ma'idah ayat tiga, kebanyakan jumhur ulama berpendapat bahawa ayat 281, Surah al-Baqarah itu adalah yang terakhir. Wallahualam.

Tuesday, August 9, 2016

HAJAR ASWAD DARI SYURGA?...


HAJAR ASWAD adalah "batu hitam" yang terletak di sudut sebelah Tenggara Ka'bah, iaitu sudut dari mana Tawaf bermula. Hajar Aswad merupakan jenis batu 'RUBY' yang diturunkan oleh Allah dari syurga melalui malaikat Jibril.

Hajar Aswad terdiri dari lapan keping yang terkumpul dan diikat dengan lingkaran perak. Batu hitam itu sudah licin kerana terus menerus di kucup. dicium dan diusap-usap oleh jutaan bahkan berbilion manusia sejak Nabi Adam, iaitu jemaah yang datang ke Baitullah, baik untuk haji mahupun untuk tujuan umrah. Panggilan Haji telah berlaku sekian lama iaitu sejak Nabi Adam AS. Bahkan masyarakat jahilliah yang musyrik dan menyembah berhala pun masih secara setia melayani jemaah haji yang datang tiap tahun dari berbagai belahan dunia.

Nenek moyang Rasulullah, termasuk datuknya Abdul Muthalib adalah para ahli waris dan pengurus Kaabah. Atau secara spesifik adalah penanggung jawab air zam-zam yang selalu menjadi minuman para jemaah haji dan para penziarah. Hadis Sahih riwayat Tarmizi dan Abdullah bin Amir bin Ash men- gatakan bahawa Rasul SAW bersabda:

"Rukun (HajarAswad) dan makam (Batu / Makam Ibrahim) berasal dari batu-batu ruby syurga yang kalau tidak kerana sentuhan dosa-dosa manusia akan dapat menyinari antara timur dan barat. Setiap orang sakit yang memegangnya akan sembuh dari sakitnya"

Hadis Sahih riwayat Imam Baihaqie dan Ibnu 'Abas RA. bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Allah akan membangkitkan Al-Hajar (Hajar Aswad) pada hari kiamat. la dapat melihat dan dapat berkata. la akan menjadi saksi terhadap orang yang pernah memegang dengan ikhlas dan benar".

Hadis Siti Aisyah RA mengatakan bahawa Rasul SAW bersabda:

"Nikmatilah (peganglah) Hajar Aswad ini sebelum diangkat (dari bumi). la berasal dari syurga dan setiap sesuatu yang keluar dari syurga akan kembali ke syurga sebelum kiamat".

Berdasarkan bunyi Hadis itulah antara lain, maka setiap jamaah haji baik yang mengerti atau tidak mengerti akan sentiasa menjadikan Hajar Aswad sebagai 'target' memburu "Saya harus menciumnya"

Tapi bolehkah? Dua juta jemaah, datang di musim haji secara bersamaan dan beratur untuk keperluan dan target yang sama. Begitu padatnya, maka anda perlu bersedia dan ikhlas untuk hanya boleh memberii 'kucupan' jarak jauh sambil melafazkan basmalah dan takbir : Bismillah Wallahu Akbar.

Hadis tersebut mengatakan bahawa disunatkan membaca doa ketika hendak istilam (mengusap) atau melambainya pada permulaan tawaf atau pada setiap pusingan, sebagai mana, diriwayatkan oleh Ibnu Umar RA. Ertinya: "Bahawa Nabi Muhammad SAW datang ke Ka'bah lalu diusapnya Hajar Aswad sambil membaca Bismillah Wallahu Akbar".

Lanjutannya dikisahkan bahawa batu hitam tersebut pernah terkubur pasir selama beberapa waktu.

SEJARAH BATU HITAM

Dalam riwayat lain bahawa batu hitam tersebut pernah terkubur pasir selama beberapa lama dan secara ajaib dijumpai kembali oleh Nabi Ismail AS ketika ia berusaha mendapatkan batu tambahan untuk menutupi dinding Ka'bah yang masih sedikit kurang. Batu yang dijumpai inilah rupanya yang sedang dicari oleh Nabi Ibrahim AS, yang serta merta sangat gembira dan tak henti-hentinya men- cium batu tersebut. Bahkan, ketika sudah tiba dekat ka'bah. batu itu tak akan diletakan di tempatnya. Nabi Ibrahim AS dan Ismail AS menggotong batu itu sambil mengelilingi Kaabah tujuh pusingan.

DIANGKAT DENGAN SERBAN RASULULLAH

Di antara peristiwa penting yang berkenaan dengan batu ini adalah yang terjadi pada tahun 16 sebelum Hijrah (606 M) iaitu ketika suku Quraisy melakukan penyelenggaraan Kaabah. Pada ketika itu hampir saja terjadi pertumpahan darah yang hebat kerana sudah lima hari lima malam mereka dalam situasi gawat, kerana ke empat kabilah dalam suku Quraisy itu terus bertelingkah tegang pada pendapat dan kehendak masing-masing siapa yang mengangkat dan meletakkan kembali batu ini ke tempat semula kerana pemugaran Kaabah sudah selesai.

Akhirnya muncul usul dari Abu Umayyah bin Mughirah Al-Mukhzumi yang mengatakan

"Alangkah baiknya kalau keputusan ini kita serahkan kepada orang yang pertama kali masuk masjid pada hari ini."

Pendapat Abu Umayyah ini disepakati. Dan ternyata orang pertama masuk pada hari itu adalah Muhammad bin Abdullah (Nabi Muhammad) yang waktu itu masih berusia 35 tahun. Menjadi bualan umum pada masa itu bahawa akhlak dan budi pekerti Muhammad telah terkenal jujur dan bersih se- hingga digelar Al-Amin (orang yang dipercayai).

Muhammad muda yang organ tubuhnya iaitu hatinya pernah dibersihkan melalui pembedahan oleh Malaikat. memang sudah dikenali Muhammad tidak pernah bohong dan tidak pernah ingkar janji. Lalu apa jawapan dan tindakan Muhammad terhadap usul itu?

Muhammad menuju ke tempat pernyimpanan Hajar Aswad itu lalu membentangkan serbannya dan meletakkan batu mulia itu ditengah-tengah serban kemudian meminta satu orang wakil masing-masing kabilah yang sedang bertengkar untuk memegang sudut serban itu dan bersama-sama membawa ke sudut dimana batu itu hendak diletakkan. Supaya adil, Muhammad pulalah yang mema- sang batu itu ke tempatnya semula.

RAHSIA HAJAR AL-ASWAD

Kita semua tahu bahawa Hajar Aswad hanyalah batu yang tidak memberikan mudarat atau faedah, begitu juga dengan Kaabah, ia hanyalah bangunan yang diperbuat dari batu. Akan tetapi apa yang kita lakukan dalam proses ibadah haji tersebut adalah sekadar mengikuti ajaran dan sunnah Nabi SAW. Jadi apa yang kita lakukan bukanlah menyembah batu, dan tidak juga menyembah Kaabah.

Umar bin Khatab berkata "Aku tahu bahawa kau hanyalah batu, kalaulah bukan kerana aku melihat Nabi SAW menciummu dan menyentuhmu, maka aku tidak akan menyentuhmu atau menciummu"

Allah memerintahkan kita untuk Thawaf mengelilingi Ka'bah dan Dia pula yang telah memerintahkan untuk mencium Hajar Aswad. Rasulullah juga melakukan itu semua, dan tentu saja apa yang dilakukan oleh beliau pastilah berasal dari Allah, sebagaimana yang terdapat dalam firmanNya: "Dan tiadalah yang diucapkannya itu menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (QS. An-Najm:53)

Thursday, February 26, 2015

DENDAM DAN IRI HATI SEORANG KHALIFAH...

Memang tidak ramai manusia apabila sudah memegang kuasa, kadang-kadang menggunakan kekuasaannya itu untuk membalas dendamnya kepada orang yang diperintahnya. Tidak kurang pula orang yang menjadi korban itu adalah manusia yang tidak berdosa, bahkan manusia yang berjasa kepada negara.

Pada masa Khalifah Al-Walid memerintah Daulat Bani Umaiyah, terdapat seorang panglima perang yang gagah berani dan cerdik bernama Musa bin Nusair. Panglima perang ini sudah berusia 60 tahun namun gerakan dan kecergasannya tidak kalah dengan orang muda. Panglima besar ini bercita-cita untuk menyebarkan syiar Islam di daratan Eropah melalui pantai Afrika Utara. Untuk tujuan ini, beliau memujuk orang bawahannya bernama Tarik bin Ziyad seorang panglima perang dari suku Barber memimpin pasukan Islam ke sana.

Setelah menyeberangi laut sempit dari pantai Afrika Utara, Tarik bin Ziyad berhasil mendarat di daratan Eropah. Sebaik saja mendarat di daratan Eropah itu, Tarik memerintahkan agar semua kapal-kapal yang digunakannya untuk menyeberang, dibakar kesemuanya. Dengan cara demikian, walau apapun yang terjadi tentera Islam tidak akan lari dari peperangan. Tarik berpidato di hadapan pasukannya: "Al-Aduwwu amamakum! Wal bahru wara-akum! Fakhtaruu ayyuma syiktum!" Yang ertinya: "Musuh ada di hadapanmu! Sedangkan di belakangmu terbentang lautan! Maka pilihlah yang mana satu yang engkau mahu!"

Setelah bertempur dengan hebat dan berani, terpacaklah panji-panji Islam di sana.

Tiada berapa lama kemudian panglima besar Musa bin Nusair mendarat di Eropah bersama pasukannya setelah mendengar kemenangan yang dicapai oleh Tarik bin Ziyad. Beliau datang dengan melalui jalan berasingan dengan jalan yang dilalui oleh Tarik bin Ziyad. Beliau menakluk kota-kota dan benteng yang belum sempat ditakluk oleh Tarik, dengan demikian penyebaran Islam di tanah Sepanyol itu berjalan dengan cepat.

Dengan usaha gigih panglima Musa bin Nusair ini, kini empayar Islam terbentang luas dari Asia ke Afrika sampai ke Eropah. Tibalah masanya bagi panglima besar ini untuk balik ke Damaskus setelah melakukan penaklukan bertahun-tahun. Beliau akan melaporkan hasil kejayaan besarnya dan menyerahkan harta rampasan yang tak ternilai harganya kepada Khalifah Walid bin Abdul Malik.

Ketika panglima Musa bin Nusair sampai di Palestin, dalam perjalanannya itu, Khalifah Walid bin Abdul Malik sedang sakit tenat dan menunggu ajal. Di sebalik kejayaan yang dicapai oleh Musa dan di sebalik penderitaan yang sedang dialami oleh Khalifah Walid yang sedang sakit, rupanya ada manusia yang bersifat aneh. Orang itu ialah Sulaiman bin Abdul Malik saudara kepada Khalifah Walid, dan dia pula yang akan menjadi Khalifah apabila Khalifah Walid wafat. Sulaiman merasa iri hati terhadap kejayaan yang telah dicapai oleh Panglima besar Musa bin Nusair. Dia ingin agar kejayaan Musa dalam memperluas empayar Islam di Afrika dan di Eropah berpindah kepada dirinya. Dengan kata lain dia ingin mencari populariti di atas titik peluh dan darah pengorbanan orang lain. Maka Sulaiman yang sudah dipastikan akan menjadi Khalifah sebaik saja Khalifah Walid wafat, menghantar surat kepada panglima Musa yang sedang berada di Palestin. Dalam surat itu Sulaiman menyuruh agar panglima Musa melambat-lambatkan perjalanannya atau menangguhkan kemasukannya ke Damaskus. Permintaan Sulaiman ini dapat disedari oleh Musa yang alim ini. Dia sedar bahawa Sulaiman ingin mengambil alih kepopularannya untuk dirinya yang akan menjadi Khalifah. Tetapi panglima Musa yang sudah berjuang berpuluh tahun itu tidak mahu diperbodohkan oleh Sulaiman yang bakal jadi Khalifah.

Dengan berani dan terus terang, panglima Musa menyampaikan pesanan kepada Sulaiman: "Anda telah mengkhianat! Demi Allah, anda telah membuat tipu helah dan tidak jujur. Demi Allah, aku tidak akan berhenti untuk menunggu, aku juga tidak akan berjalan dengan melambat-lambat dan juga tidak akan tergopoh-gapah. Tapi aku akan berjalan sebagaimana biasa saja, jika aku ditakdirkan menemui Amirul Mukminin dalam keadaan masih hidup, maka aku pasti sampai ke sana sebelum beliau wafat. Tapi jika sekiranya ajalnya sampai lebih dahulu sebelum aku tiba, maka itu adalah kehendak Allah."

Utusan itu segera pulang dan memberitahu pesanan Musa kepada Sulaiman. Maka tercabarlah Sulaiman sebelum menjadi Khalifah. Tiada berapa lama Musapun sampai ke Damaskus dan disambut dengan besar-besaran oleh para pegawai dan rakyat sebagai panglima yang telah berjasa. Ternyata Khalifah Al-Walid masih hidup. Musa segera melaporkan hasil perjalanan dan penaklukan pasukan perang yang dipimpinnya sambil memperlihatkan harta rampasan yang sangat banyak dan sangat berharga kepadanya. Khalifah masih sempat menyaksikan kejayaan itu dan menerima seperlima dari harta rampasan tersebut.

Sayangnya, tiga hari kemudian Khalifah Al-Walid wafat dalam usia 43 tahun.

Dengan wafatnya Khalifah Al-Walid, maka saudaranya Sulaiman bin Abdul Malik memegang jawatan Khalifah Daulat Bani Umaiyah yang ketujuh. Khalifah yang satu ini lain daripada yang lain. Kalau Khalifah yang sebelumnya sangat membanggakan dan menyanjung para pahlawan yang telah berjasa kepada negara serta menempatkan mereka pada jawatan-jawatan yang patut, Khalifah Sulaiman bersifat sebaliknya. Dia sangat benci dan iri hati terhadap kepopularan para panglima perangnya. Maka sebaik saja dia menjawat Khalifah, pro­gram utama yang dilaksanakannya ialah melepaskan rasa dendam, iri hati dan dengkinya. Untuk itu dia telah memanggil, mengugut, mengancam dan menurunkan beberapa orang berjasa dari jawatannya. Padahal di tangan merekalah Daulat Bani Umaiyah dapat bertahan dan semakin luas. Dan berkat merekalah para datuk-datuk dan ayahnya dapat bersenang-lenang di atas kerusi tahta kerajaan, sehinggalah dirinya mewarisi kemewahan pula.

Khalifah Sulaiman memanggil panglima Musa bin Nusair untuk meluahkan dendam hatinya: "Wahai Musa! Engkau ini sudah melampau. Engkau telah berani melanggar perintahku. Demi Allah, akan kukurangkan bilangan pasukanmu, kumpulanmu akan kucerai beraikan, hartamu akan kumusnahkan,. lalu aku akan menurunkan engkau dari kedudukanmu yang sekarang. Kerana dia, kau telah salah gunakan untuk memperolehi cita-cita kebesaranmu, malah engkau telah mengatasnamakan keluarga Abu Sufyan dan keluarga Marwan dengan sesuka hatimu."

Musa bin Nusair bukannya budak kecil, bukan pula orang bodoh seperti kerbau dicucuk hidung. Beliau tahu dari mana datangnya kebesaran Daulat Bani Umaiyah. Oleh kerana itu dengan sangat beraninya dia menjawab ugutan Khalifah itu dengan terus terang.

Kata Musa: "Wahai Amirul Mukminin, aku tidak merasa melakukan sebarang dosa kepada siapapun, kerana aku telah memberikan taat setiaku kepada khalifah-khalifah sebelum anda. Dan aku patut menjaga hati orang yang mendudukkan aku di tempat yang sepatutnya aku duduki."

Kemudian dia berkata lagi: "Adapun apa yang anda sebutkan tadi bahawa bilangan pasukanku akan dikurangkan, kumpulanku akan diceraiberaikan, hartaku akan dimusnahkan dan aku akan diturunkan dari kedudukanku, adalah kuasa Allah semata-mata dan akan kembali kepadaNya. Dialah yang mengurniakan nikmat dan kebaikan kepada aku, jadi kepadaNyalah sepatutnya aku mohon pertolongan."

Kata-kata panglima Musa itu sebenarnya adalah merupakan nasihat orang tua yang telah banyak makan garam kepada anak muda yang baru melangkah agar menyedari dirinya. Namun bagi Khalifah Sulaiman yang di dalam hatinya sudah tertanam benih-benih kedengkian dan dendam, nasihat itu dianggapnya suatu cabaran lagi atas kedudukannya. Maka dendam dan dengki Khalifah Sulaimanpun segera dinyatakan dalam bentuk pemberhentian para pegawai yang mempunyai populariti tinggi di mata rakyat kerana jasanya.

Mereka yang jadi mangsa dan diturunkan dari jawatannya itu antaranya panglima Musa bin Nusair, putera-putera panglima Musa bin Nusair iaitu panglima Abdul Malik bin Musa dan panglima Abdul Aziz bin Musa, panglima Kutaibah dan keluarga panglima Al-Hajjaj.

Pada suatu hari kepala mayat Abdul Aziz bin Musa yang terbunuh di Andalusia dibawa orang ke Damsyik dan diserahkan kepada Khalifah. Khalifah Sulaiman memanggil Musa bin Nusair dan mencampakkan kepala panglima itu ke hadapan Musa.

"Kenalkah engkau kepala siapa ini?" Tanya Khalifah kepada Musa.

Musa menjawab: "Ya. Ini adalah kepala Abdul Aziz bin Musa."

Rombongan yang membawa kepala Abdul Aziz berdiri dan menceritakan kepada orang ramai tentang pembunuhan panglima itu. Setelah mereka bercakap, berdirilah Musa sambil berkata: "Rahmat Allah ke atas kepala Abdul Aziz ini, wahai Khalifah! Demi Allah, sesungguhnya usia manusia ada di dalam ketentuanNya. Saya mengenali Abdul Aziz ini sebagai seorang yang pada siangharinya berpuasa dan malamnya bersembahyang serta lemah lembut kepada kaum Muslimin yang ada di bawah pimpinannya. Senang bagi siapa saja yang mengenalinya untuk memberikan persaksian begini kepadanya, akan tetapi engkau telah bunuh orang seperti dia."

Kebencian Khalifah Sulaiman terhadap panglima Musa tidak pernah habis-habis, ada saja sesuatu yang kata-kata perli yang ditujukan kepadanya. Pada suatu hari di sekeliling Khalifah Sulaiman ada ramai orang. Musa datang ke situ. Tiba-tiba saja Khalifah berkata: "Telah hilang sengat orang tua itu." sambil berkata demikian, tangannya menunjuk kepada Musa yang baru datang itu. Musa yakin bahawa kata-katanya ditujukan kepada dirinya, namun dia tidak jelas apa yang dikatakan. Maka setelah mengucapkan salam, Musa berkata: "Tadi Khalifah mengatakan sesuatu ketika saya baru masuk ke sini, dan saya percaya bahawa kata-kata itu ditujukan kepada saya."

Dengan sombongnya Khalifah Sulaiman berkata: "0...ya. Aku mengatakan, telah hilang sengat orang tua itu."

Dengan tegas pula Musa berkata: "Demi Allah, meskipun engkau katakan demikian, tapi mesti diingat, bahawa orang tua itu telah memberikan sumbangan besar pada agamanya, hidupnya telah ditumpukan sepenuhnya untuk jihad di jalan Allah dan telah menyiarkan agama Allah di merata ceruk dunia. Di tangan saya Allah telah menyempurnakan janjiNya kepada NabiNya. Memang saya tidak dapat bekerjasama dengan engkau, tapi saya telah bekerjasama dengan ayah dan datuk anda dalam jangka masa yang lama."

Khalifah Sulaiman tidak berani membantah keterangan Musa itu. Kerana di sekelilingnya ramai saksi-saksi hidup yang benar-benar mengetahui apa yang dikatakan oleh Musa itu memang benar belaka.

Supaya tidak dianggap membisu, Khalifah Sulaiman berkata: "Benarkah demikian?" Berulang kali, dan berulangkali pula Musa menjawab: "Memang demikian kenyataannya."

Menurut catatan sejarah, panglima Musa bin Nusair telah disingkirkan oleh Khalifah Sulaiman ke Madinah Al-Munawwarah. Di situlah pahlawan dan panglima besar Islam itu mengakhiri hayatnya pada tahun 98 Hijrah.

MIMPI SEORANG SAHABAT...

Tufail bin Amr Ad-Dausy adalah seorang yang mempunyai kedudukan tinggi di zaman jahiliyah. Di samping terkenal sebagai orang yang dermawan, penyair dan gagah berani, dia juga menjadi ketua kabilah Daus. Ketika pergi ke Makkah untuk mengerjakan haji, dia telah terpegun apabila mendengar seseorang membaca kalimah-kalimah yang sangat indah yang tak pernah didengarnya sebelum ini. Setelah sekian lama memasang telinganya untuk menyemak kalimah demi kalimah yang didengarnya, akhirnya dia membuat kesimpulan bahawa kalimah itu bukan buatan manusia. Maka diapun menghampiri orang yang sejak tadi menarik perhatiannya itu kerana beribadah dengan cara lain dari yang lain. Ternyata orang itu memang seorang Nabi yang menerima wahyu dari Tuhan Pencipta alam ini. Ketika itu juga Tufail mengucapkan: "Aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah. Dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah."

Sebagaimana sahabat-sahabat lain, sebaik sahaja Tufail memeluk Islam dia telah menyediakan dirinya untuk kepentingan Islam selama 24 jam, siap maju ke medan tempur bila semboyan perang berbunyi.

Suatu hari Tufail pernah memohon kepada Rasulullah: "Hai Rasulullah! Tempatkanlah kami di sayap kanan pasukan tuan dalam setiap peperangan yang tuan pimpin."

Permintaan ini diterima oleh Rasulullah. Maka Tufail Ad-Dausy bersama anak buahnya yang terdiri dari putera-putera kabilah Dausy telah membentuk satu pasukan kecil yang diberi nama 'Pasukan Mabrur". Tufail bersama anak buahnya terus menerus ikut dalam setiap peperangan yang dipimpin oleh Rasulullah S.A.W. sehingga hari pembebasan kota Makkah. Di zaman Khalifah Abu Bakar, Tufail dan anak buahnya yang belum menemui syahid tetap mengikuti setiap peperangan. Pada waktu peperangan melawan beberapa orang murtad dan nabi palsu, Tufail bersama anak buahnya masuk di dalam senarai tentera yang di hantar ke Yamamah untuk memusnahkan Musailamah Al-Kazzab. Berangkatlah Tufail bersama anak buahnya. Anaknya sendiri Amr bin Tufail pun ikut dalam pasukan itu.


Dalam perjalanan menuju Yamamah itulah Tufail sempat tidur ketika rehat di waktu malam, pada malam itu dia bermimpi. Pada pagi esoknya dia bercerita kepada teman-teman sepasukannya yang juga dihadiri oleh anaknya. "Malam tadi aku bermimpi". Kata Tufail memulakan ceritanya. : "Cuba kalian tafsirkan mimpiku ini!".

Sahabat-sahabatnyabertanya: "Bagaimana mimpimu itu?"


Tufail menjawab: "Aku bermimpi kepalaku dicukur. Seekor burung keluar dari mulutku. Seorang perempuan memasukkan aku ke dalam perutnya. Anakku Amr menuntut dengan sungguh-sungguh agar dia dibenarkan ikut bersamaku, tetapi dia tidak dapat berbuat apa-apa kerana antaraku dan dia ada dinding."

Sahabat-sahabat Tufail tidak ada yang dapat menyusun kata-kata untuk mentafsirkan mimpinya itu. Tetapi di dalam hati mereka ada jangkaan bahawa mimpi itu baik.

"Itu sebuah mimpi yang baik." Begitulah komen yang dapat keluar dari mulut sahabat-sahabat Tufail.

Kerana di antara mereka tidak ada yang mengeluarkan penafsiran yang sebenar, Tufail berkata: "Sekarang aku akan cuba tafsirkan sendiri.

Kepalaku dicukur, ertinya kepalaku akan dipotong. Burung yang keluar dari mulutku, ertinya nyawaku akan keluar dari mulutku. Seorang perempuan memasukkan aku ke dalam perutnya, ertinya tanah digali orang, lalu aku dikuburkan."

Kemudian Tufail berkata lagi: "Aku berharap semoga aku tewas sebagai syahid. Adapun anakku, dia juga berharap supaya mati syahid seperti aku, tetapi permohonannya akan dikabulkan kemudian."

Demikianlah Tufail mentafsirkan mimpinya sendiri dan dia sangat berharap agar mimpinya itu menjadi kenyataan.

Apabila pasukan kaum Muslimin sampai di Yamamah, terjadilah pertempuran hebat antara tentera kaum Muslimtn dan pasukan Musailamah. Ternyata pasukan Musailamah sangat kuat dan jumlahnya sangat ramai hingga kaum Muslimin terdesak dan khemah-khemahnya sempat musnahkan oleh tentera Musailamah. Tetapi berkat kepandaian dan kecerdikan Khalid bin Walid yang memimpin pasukan Islam, pasukan nabi palsu itu dapat dikalahkan setelah mengorbankan nyawa yang sangat banyak dan Musailamah sendiri terbunuh.

Dalam peperangan yang dahsyat itu, Tufail bin Amr Ad-Dausy mendapat luka parah dan tewas di medan tempur. Sementara anaknya yang meneruskan perjuangan ayahnya, terkena hentakan pedang musuh hingga kudung tangan kanannya.

Setelah peperangan berakhir, Amr bin Tufail balik ke Madinah dengan meninggalkan ayah dan tangan kanannya terbang terlebih dahulu ke syurga dari Yamamah. Separuh mimpi Tufail telah jadi kenyataan, dia telah syahid dalam memerangi nabi palsu.

Dengan hanya mempergunakan tangan sebelah kiri, Amr bin Tufail masih tetap mengikuti perjuangan Islam sampai pada masa Khalifah Umar bin Al-Khattab. Pada suatu hari Amr bin Tufail menghadiri majlis Khalifah. Apabila makanan dihidangkan, orang di dalam majlis itu menjemput Amr agar makan bersama, tetapi dia menolak dan bahkan menjauhkan diri.
Melihat itu Khalifah bertanya: "Mengapa? Barangkali engkau lebih suka makan kemudian. Atau mungkin engkau malu kerana tanganmu itu?"

Amr menjawab: "Betul, ya Amirul Mukminin!"

Khalifah berkata: "Demi Allah, aku tidak akan makanan ini, sebelum dianya disentuh oleh tangan kudung itu. Demi Allah, tidak seorangpun, yang sebahagian tubuhnya telah berada di dalam syurga, melainkanengkau.

Pada zaman Khalifah Umar Al-Khattab pula tentera Islam berangkat ke Yarmuk untuk memerangi pasukan Rom yang jumlahnya 240,000 orang. Peperangan ini memakan masa yang panjang. Kalah dan menang silih berganti dikuasai oleh kedua-dua belah pihak. Namun pada akhirnya pasukan Islam dapat memenangi perang ini setelah mengorbankan putera-putera Islam yang berjumlah 3,000 orang. Setelah perang selesai, tentera Islam memeriksa dan mengumpulkan mayat-mayat syuhada' yang bergelimpangan di sana-sani. Dari sekian ribu syuhada' yang meniarap itu terdapat satu di antaranya pahlawan sebelah tangan. Dia itu adalah Amr bin Tufail yang telah kudung tangan kanannya. Sempurnalah tafsir mimpi Tufail bin Amr. Dua anak beranak Tufail bin Amr Ad-Dausy dan Amr bin Tufail dan Amr bin Tufail telah sama-sama syahid di medan perang.

Allahu Akbar.

Wednesday, February 25, 2015

PERMOHONAN SEORANG PAHLAWAN...

Gambar hiasan...

Salah seorang keluarga terdekat Rasulullah S.A.W. yang beruntung adalah Abdullah bin Jahsy. Dia yang masih sepupu baginda memeluk Islam sebaik saja agama Allah ini dikumandangkan. Dengan demikian dia termasuk As-Sabiqunal Awwalun (golongan orang yang mula-mula masuk Islam.)

Sebagai As-Sabiqunal Awwalun, Abdullah bin Jahsy telah banyak mengalami penderitaan yang dilakukan oleh kaum Quraisy, hingga terpaksalah dia berhijrah dua kali. Pertama ke Habasyah dan yang kedua ke Madinah. Sewaktu hijrah ke Madinah itulah rumahnya yang banyak dengan barang-barang berharga telah dicuri oleh Abu Jahal dan kuncu-kuncunya. Mereka dengan seronok dan rakusnya menceroboh rumah Abdullah dan mengaut barang-barangnya.

Setelah di Madinah, Abdullah bin Jahsy sentiasa bersiap sedia untuk menentang orang kafir Quraisy. Pertama sekali dia ditugaskan oleh Rasulullah ialah memimpin pasukan kecil yang bertugas merisik gerak-gerik orang Qjuraisy Makkah. Dalam gerakan ini Abdullah dan para sahabatnya berhasil membunuh dan menawan pihak musuh walaupun tidak direstui oleh Rasulullah. Setelah itu Abdullah ikut terlibat dalam perang Badar dan perang Uhud.

Dalam perang Uhud ini, ada satu peristiwa penting yang sangat mengharukan telah dialami Abdullah. Peristiwa itu dituturkan oleh teman seperjuangan Abdullah yang sentiasa berdampingan dengannya iaitu Saad bin Abi Waqas yang termasuk juga As-Sabiqunal Awwalun. Saad bin Abi Waqas yang sempat hidup lama setelah wafatnya Rasulullah tidak pernah melupakan pengalamannya ketika bersama Abdullah.

Ketika perang Uhud itu, Abdullah bin Jahsy menemui Saad bin Abi Waqas dan bertanya: "Apakah engkau tidak berdoa?"

Saad bin Abi Waqas menjawab: "Tentulah berdoa."

Kemudian kedua-dua sahabat itu pergi mencari tempat yang agak jauh dari pandangan mata untuk bermunajat kepada Allah. Pertama sekali Saad berdoa: "Ya Tuhanku! Jika kami akan dipertemukan dengan musuh, pertemukanlah saya dengan musuh yang sangat jahat dan buas. Saya akan bertempur melawannya. Berilah saya kemenangan, sehingga musuh itu tewas di tangan saya kemudian akan kurampas kelengkapannya."

Ketika Saad bin Abi Waqas berdoa, Abdullah bin Jahsy ikut mengaminkannya dengan khusyuk. Kini giliran Abdullah sendiri berdoa untuk dirinya:

"Wahai Allah! Berilah saya rezeki seorang musuh yang sangat jahat dan buas. Saya akan melawannya demi Engkau, tetapi kemudian dia kembali menewaskan saya pula. Kemudian dia memotong hidung dan telinga saya. Apabila saya berjumpa dengan Engkau esok, Engkau akan bertanya kepada saya: "Mengapa hidung dan telingamu kudung wahai Abdullah?" Saya akan menjawab: "Kerana membela agama Allah dan Rasul Engkau!" Lalu Engkau berkata: "Benar engkau."

Selepas berdoa itu Abdullah terus maju ke medan tempur. Mula-mula kaum muslimin dapat mengundurkan tentera kaum Quraisy, namun kemudian kaum Muslimin terdesak dan kaum musyrikin mengganas. Beberapa orang islam yang syahid mereka cincang-cincang sebagai meluahkan rasa dendamnya di medan Badar. Apabila perang telah selesai, di dapatinya Abdullah bin Jahsy menemui syahid. Rohnya telah dibawa naik oleh Malaikat sementara badannya betul-betul seperti apa yang dia minta kepada Allah iaitu hidung dan telinganya telah dipotong oleh orang kafir Quraisy. Bukan hanya setakat itu sahaja, hidung dan telinga yang telah dipisahkan dari badannya itu didapatinya ditusuk dengan seutas tali dan digantungkan pada sebatang pokok. Allah telah mengabulkan doa pahlawanNya, esok Dia pula yang akan mengganti hidung dan telinga itu.

Sunday, March 10, 2013

BEBERAPA PEPERANGAN YANG BESAR TENTERA ISLAM...


Peperangan demi peperangan yang berlaku di akhir zaman nanti adalah sebahagian dari 10 tanda besar kiamat. Mengikut rentetan peperangan yang dikaji oleh Syaikh Amin Muhammad Jamaluddin, mula-mula wujudnya perang besar antara orang Islam dan kafir yang disebut Armageddon (mengikut istilah Barat).

Manakala menurut istilah hadis ia disebut huru-hara besar yang banyak berlaku pembunuhan. Apabila berlaku banyak huru-hara di kalangan umat Islam maka barulah muncul Imam Mahdi. Maka Imam itulah yang akan menyatukan umat Islam.

Di bawah pimpinannya akan berlaku peperangan besar melawan Rom iaitu menentang Amerika Syarikat dan Eropah. Imam Mahadi juga akan memimpin tentera Islam untuk berperangan dengan Jazirah Arab (memerangi seorang lelaki). Kemudian peperangan dengan Parsi (Iran) iaitu puak Syiah. Di Iran sekarang, sedang dijalankan penghapusan etnik ibaratnya atau secara jelasnya mereka akan menghapuskan puak sunni.

Dari segi sejarahnya mereka akan menghapuskan orang sunni. Sebenarnya apa yang dilakukan oleh presidennya hanya lakonan semata. Mereka sebenarnya menyokong Amerika Syarikat. Contohnya seperti yang berlaku di Syria sekarang. Apabila Iran mendapat tahu bahawa Bashar adalah orang Syiah, mereka membekalkan senjata dan tentera untuk membantai rakyat Syria.

Sebenarnya memerangi Syiah bukan memerangi orang kafir sebaliknya mereka adalah orang Islam tetapi berpegang kepada bidaah tertentu yang mengelirukan orang ramai. Malah Syiah juga tidak termasuk di dalam mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah. Syiah memang anti sunni. Pemerintahan Iran tidak mengalang orang Yahudi membina rumah ibadat begitu juga menggalakkan orang Kristian membina gereja. Tetapi apabila orang sunni hendak membina  masjid maka ia akan dihalang.

Sekarang, Masaalahnya orang Yahudi menggunakan Syiah untuk membantai orang Islam itu sendiri. Orang Syiah menjadi boneka bagi orang Yahudi dan Kristian. Orang Islam itu akan pecah dari dalam  yang disebabkan oleh pengaruh Syiah. Antara orang sunni dan Syiah ini memang tidak boleh bertemu. Jika adapun titik pertemuan hanya di dalam al-Quran saja. Namun, itu pun boleh diragui kerana dipercayai Syiah ada al-Qurannya sendiri.

Dari Nafi bin Umaiyah. Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Kamu sekalian akan menyerbu jazirah Arab, sehingga ia ditakluki oleh Allah. Kemudian (kamu menyerbu) Parsi sampai negeri itu ditakluki Allah. Kemudian kamu menyerbu pula Rom sampai negeri itu ditakluki Allah. Kemudian kamu menyerbu Dajjal sampai ia ditakluki Allah (HR Muslim). 

Setelah berperang dengan negara Arab, Parsi dan bangsa Rom, barulah munculnya Dajjal yang mana ia akan dibunuh oleh Nabi Isa. Apabila Dajjal mati barulah orang Yahudi ini lemah. Orang Yahudi kuat kerana adanya Dajjal. Ketika itu barulah orang Islam berjaya mengalahkan Yahudi. Apabila Yahudi kalah maka tentera Islam akan memerangi bangsa Turk. Selepas menewaskan bangsa Turk barulah munculnya Yakjuj dan Makjuj. Mereka adalah satu bangsa yang sangat kuat sehingga Nabi Isa pun tidak mempunyai kekuatan untuk mengalahkannya.

Saat itu adalah saat yang paling getir sekali sehinggakan orang Islam berhimpun di satu kota hanya bertahan saja dan tidak boleh melawan. Sehinggalah Nabi Isa berdoa agar Allah hapuskan Yakjuj dan Makjuj. Maka dihantar satu penyakit di kalangan bangsa tersebut. Mereka adalah bangsa yang berasal dari manusia yang kuat dan bahaya. Setiap yang ditempuh akan dimusnahkan dan setelah mereka mati barulah aman.

Dari Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Demi Allah yang menggenggam jiwaku, tidak lama lagi Isa putera Maryam akan turun kepadamu sebagai hakim yang adil. Dia akan mematahkan salib, membunuh babi dan membatalkan ufti. Dan waktu itu harta melimpah ruah sehingga tidak ada seorangpun yang mahu menerima zakatnya sehingga sekali sujud, nilainya lebih baik dari dunia seisinya." (HR Bukhari).

Jelasnya, sebelum kedatangan Nabi Isa, orang Kristian sangat kuat, boleh minum arak dan makan babi. Apabila Nabi Isa turun dia akan membunuh babi dan musnahkan salib. Ketika itu orang Kristian sudah lemah. Kemudian barulah terbitnya matahari dari barat. Inilah batas habisnya orang Islam. Allah hantarkan satu asap apabila dihidu oleh orang Islam maka semuanya mati. Yang tinggal hanya orang jahat dan kafir. Ketika itu sudah tidak diterima taubatnya. Dahsyatnya kiamat itu tidak dirasakan oleh orang beriman.

Semua huru hara yang berlaku bermula di Timur Tengah bukan bermakna kita yang berada di sebelah Asia Tenggara tidak akan mengalaminya. Dalam hal itu pula, adalah diingatkan bahawa Dajjal ada kenderaan yang amat hebat. Dalam masa satu hari Dajjal boleh menjelajah keseluruh tempat, ia termasuklah Malaysia dan negara-negara di sebelah Asia Tenggara. Sebagaimana yang disebut di dalam hadis bahawa Dajjal akan pergi kesemua tempat kecuali dua saja yang tidak dilalui iaitu Mekah dan Madinah.

Kenapa puncanya bermula di sana? Untuk pertanyaan itu, dijelaskan dengan ringkas, kerana di Timur Tengah berdirinya negara Israel. Dan, negara Israel itu ibarat bom jangka yang bila-bila masa saja akan meletup. Ia adalah pencetus segala peperangan besar.

Walaupun negara itu telah membentengi negaranya dengan senjata nuklear dan bom, namun bukan bermakna ia akan terselamat.. Dilaporkan juga bahawa senjata nuklear di negara tersebut adalah paling banyak ketika ini. Senjata nuklear yang disangka menjadi penyelamat itulah nanti yang menjadi punca peperangan besar.

Dipetik dari Majalah Al-Islam....

Sunday, January 20, 2013

KISAH SEORANG AHLI PERNIAGAAN YANG TABAH...

Berita tentang dirinya telah tersebar. Tadi Abdurrahman bin Auf tidak bersedih mendengar ucapan Aishah. Ia sendiri juga tahu, perkataan Aishah itu benar. Memang Rasulullah saw. pernah menyatakan: "Aku melihat Abdurrahman bin Auf masuk syurga dengan merayap."

"Ucapan tersebut disampaikan Rasulullah saw. berulang kali." Ujar Aishah kepada beberapa sahabat baiknya.

Padahal Rasulullah saw. berkata sejumlah sahabat lainnya akan masuk syurga dengan kecepatan seperti kilat, atau sambil berjalan dengan kepala tegak. Mengapa Abdurrahman bin Auf yang begitu mulia budi pekerti dan sangat besar jasanya itu dikatakan bakal masuk syurga sambil merangkak? Apa kesalahannya.?

Kehairanan Aishah semakin menjadi-jadi pada waktu ia menyaksikan Abdurrahman bin Auf membawa barang dagangan terdiri atas berbagai macam keperluan hidup yang dimuat oleh 600 ekor unta beban dari Syam, lalu barang dagangan itu diberikannya dengan percuma kepada penduduk Madinah di masa Othman bin Affan menjadi Khalifah. Alangkah dermawannya Abdurrahman bin Auf, namun mengapa nasibnya sebegitu.?

Pada suatu kesempatan, Abdurrahman bin Auf berjumpa Ummul Aishah dan berkata: "Ummul Mukminin telah mengingatkan saya tentang sebuah hadis yang takkan pernah terlupakan seumur hidupku."

"Betul, itulah yang dikatakan Rasulullah saw tentang nasib Tuan di hari pembalasan." Ujar Aishah.

"Kerana itulah saya mengubah diri supaya lebih banyak lagi beramal soleh dan lebih ikhlas bersedekah. Sebab saya tahu, hadis yang semacam itu bukanlah merupakan ramalan, melainkan peringatan kepada saya untuk membesarkan ibadah dan pengabdian kepada Allah agar nasib saya tidak seburuk itu." Sahut Abdurrhman bin Auf.

Aishah termenung memikirkannya. Ia terkesan oleh jawapan Abdurrahman bin Auf yang bermakna. Dan Aishah menyaksikan sendiri, betapa setelah itu Abdurrahman bin Auf lebih tekun melakukan kebajikan-kebajikan dengan pelbagai cara dan kesempatan.

Itulah keikhlasan Abdurrahman bin Auf sejak pertama kali memeluk agama Islam. Ia mendengar seruan Islam dari Abu Bakar As-Siddiq bersama Othman b. Affan, Zubair b. Awwam, Sa'ad b. Abi Waqqash dan Talhah b. Ubaidillah. Mereka tidak berdalih-dalih lagi sebab yakin benar akan kejujuran Abu Bakar dan kebenaran ajaran Muhammad sebagai utusan Tuhan.

Sejak itu, saudagar yang kaya raya dan cerdik itu tidak pernah surut membela Rasululah saw. dalam perjuangan menyiarkan Islam. Abdurrahman bin Auf termasuk sahabat yang tiga kali menjalankan hijrah demi agamanya.

Selaku sahabat dekat Nabi, Abdurrahman bin Auf dipercayai oleh para sahabat lainnya dalam menyelesaikan beberapa perkara. Diantara masaalahnya ialah semasa penrlantikan Khalifah selepas Rasulullah saw. wafat. Kepercayaan ini tidak dikhianatinya. Ia bertindak adil dan bersikap jujur kerana kepercayaan para sahabat tersebut juga di dasari keistimewaan-keistimewaan Abdurrahman bin Auf sepanjang mendampingi Rasulullah saw. semasa hayatnya.

Umpamanya dalam peristiwa Perang Tabuk yang terjadi pada tahun kesembilan dalam bulan Rejab. Ekspedisi ini terkenal amat sukar dan sengsara hingga kedatangan Nabi terlambat, sudah didahului Abdurrahman bin Auf  bersama beberapa ratus anak buahnya. Di tempat perhentian, Abdurrahman bin Auf mengimami solat fardhu Zohor. Ketika ia sedang bertakbir, Rasulullah saw. pun tiba bersama pasukannya lalu berdiri di belakang Abdurrahman bin Auf sebagai makmum.

Dengan demikian, Abdurrahman bin Auf adalah satu-satunya sahabat yang pernah mengimami solat tanpa mendapat perintah dari Rasulullah saw. Bahkan Abu Bakar sendiri hanya dua kali menjadi imam di depan Nabi, itupun atas perintah beliau kerana Nabi sedang sakit.

Sikapnya yang terpuji adalah kesehajaan dan ketulusannya. Pada waktu tiba di Madinah sebagai Muhajirin, seperti para sahabat dari Makkah lainnya, Abdurrahman bin Auf tidak membawa hartanya sedikitpun. Sahabatnya dari pihak Ansar menawarkan bantuan kepadanya.

Sahabat itu, Sa'ad bin Rabi', berkata: "Saya memiliki kekayaan melimpah. Tuan ambillah sebahagian, buat saya masih tersisa amat banyak. Dan saya juga mempunyai beberapa sahaya cantik. Silakan ambil salah seorang untuk isteri tuan."

Abdurrahman bin Auf dengan terharu menyambut baik tawaran itu. Namun, secara halus ia berkata. "Maaf, bila Tuan hendak menolong saya, tunjukkan saja jalan ke pasar."

"Mengapa begitu?" Tanya Sa'ad kehairanan.

"Saya ini seorang pedagang dan bagi pedagang, tempat untuk mencari penghidupan adalah pasar, bukan di gudang Tuan," Sahut Abdurrahman bin Auf seadanya.

Maka demikian yang terjadi, setelah beberapa lama menetap di Madinah, Abdurrahman bin Auf telah berkembang menjadi hartawan kembali.

Saturday, January 19, 2013

KETIKA MAUT TELAH DATANG...

Khalifah Umar bin Al Khattab, adalah khalifah yang paling masyhor dalam sejarah Islam. Bukan hanya kerana keberanian dan kekuatannya tetapi juga kerana keluhuran budinya yang tiada tara. Oleh sebab itu selama memerintah (634-644 M), banyak sekali kisah-kisah yang menarik tentang keluhuran budinya. Tetapi sayang, akhirnya Khalifah yang mengkagumkan itu terbunuh dalam keadaan yang mengharukan. Beliau di bunuh dengan pisau oleh Abu Lu'luah, seorang Majusi yang telah lama menaruh dendam.

Ketika Khalifah Umar hendak mengerjakan solat subuh, tiba-tiba dalam keremangan pagi, datanglah Abu Lu'luah menikam sehingga perutnya robek. Tetapi untunglah, tubuhnya masih sempat di bawa ke rumah. Bahkan beliau masih sempat menjelaskan garis-garis politik yang harus di tempuh oleh penggantinya. Beliau juga sempat menanyakan siapa yang menikamnya.

Dan ketika maut telah mendekat, Khalifah Umar bin Al Khattab masih sempat berdoa...

"Ya Allah, Wahai Tuhan kami, usiaku telah lanjut dan tubuhku pun telah lemah. Islam telah tersebar ke seluruh pelusuk. Maka aku memohon pada-Mu, Ya Rabbi, kalau sekiranya Engkau akan mencabut nyawaku maka cabutlah daku pada saat yang tidak melalaikan kewajipanku dan tidak di pengaruhi oleh soal-soal dunia. Masukkanlah diriku, Ya Tuhan ke dalam golongan orang-orang yang syahid di jalan-Mu dan biarkanlah tubuhku terbaring di samping makam Rasulullah saw, junjunganku...Amin"

Saturday, December 8, 2012

KEEGOAN TENTERA ISRAEL TERGUGAT...


Pejuang Hamas Briged Al-Qassam...

GAZA: Kemampuan anggota Komando Qassam melancarkan serangan ke atas tentera Israel hingga menggugat keegoan mereka terbukti apabila akhbar utama Israel, ‘Yediot Aharonot’ menyiarkan laporan berhubung kemusnahan teruk dialami pihak Israel walaupun tiada kematian penduduknya dilaporkan.

Seorang anggota Qassam, Mohamed Saad, 28, berkata, menurut laporan akhbar itu sebanyak 1,143 bangunan di Tel Aviv mengalami kerosakan akibat diserang dengan roket unit Qassam sepanjang konflik lapan hari bermula 14 November lalu.

“Kejayaan Qassam ini memberi tamparan hebat kepada pemimpin Tel Aviv yang selama ini begitu yakin terhadap sistem pertahanan negara itu yang digelar ‘Iron Dome System’ (sistem kubah besi).

“Mereka menyangka negara haram mereka terlalu kebal sedangkan pihak kami akhirnya mampu menembusi sistem itu walaupun dengan hanya menggunakan roket buatan sendiri M75,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan laporan akhbar sama, sistem pertahanan itu hanya mampu menjatuhkan 2 dari 70 roket yang dilancarkan pihak Hamas pada satu satu masa.

Menurutnya, perkara ini tidak pernah berlaku sebelum ini namun tentera Hamas membuktikan mereka kini semakin hebat dan mampu menimbulkan rasa gerun lawan. “Akibatnya pihak tentera dan kerajaan Israel dikritik teruk rakyatnya atas kegagalan sistem pertahanan negara itu yang gagal menangkis peluru dilancarkan dari Tebing Gaza.

“Mereka kini ketakutan dan mula tidak mempercayai kemampuan diri sendiri. Padahal apa berlaku itu hanyalah permulaan. Kami kini lebih bersedia untuk memerangi Zionis,” katanya penuh yakin.

Harian Metro 8 Dis 2012

TEROWONG GEMPUR PEJUANG HAMAS...

 
 Gambar hiasan...

GAZA: Jika tentera Israel dilengkapi pelbagai senjata moden, tentera Komando Qassam yang membela dan melindungi nasib rakyat Palestin di sini juga tidak kurang hebatnya apabila menggunakan taktik peperangan terowong bawah tanah dalam menjalankan operasi mereka.

Taktik peperangan menggunakan terowong ini ada persamaan dengan terowong Chu Chi yang diguna pakai tentera Vietnam ketika menentang tentera Amerika Syarikat yang menyerang negara mereka pada 1950-an dulu.

Terowong rahsia itu mula digali tentera Hamas dan komando Qassam selepas Gaza diserang secara besar-besaran oleh tentera Israel pada 27 Disember 2008 yang mengakibatkan 1,314 terbunuh.

Seorang komander Komando Qassam yang hanya mahu dikenali sebagai Sheikh berkata, terowong bawah tanah itu mula dibina selepas menyedari pergerakan mereka di kawasan luar mudah dijejaki dan diawasi pesawat tanpa juruterbang Drones selain satelit ketenteraan Israel.

“Semua terowong ini digali dengan hanya menggunakan penyodok kecil dan tangan. Setiap terowong itu digali dengan kedalaman sehingga 125 meter sebelum dinding terowong diletakkan simen mengelakkan runtuh.

“Terowong ini sengaja digali sedalam mungkin bagi mengelak ia runtuh sekiranya tentera Israel menjatuhkan bom berangkai di atas permukaan tanah,” katanya.

Menurutnya, setakat ini terdapat lebih 100 terowong dibina bawah bandar Gaza dengan setiap satunya bersambung antara satu sama lain.

“Terowong ini yang mampu memuatkan tubuh seorang dewasa digunakan tentera Qassam untuk bergerak bebas tanpa disedari tentera Zionis.

“Kami pernah dapat membunuh sekumpulan tentera Israel yang menaiki sebuah pacuan empat roda selepas mereka tidak menyedari kemunculan kami melalui terowong berhampiran kawasan sempadan,” katanya.

Sheikh berkata, kewujudan terowong itu memudahkan mereka melakukan serang hendap gerila selain menyukarkan tentera Zionis mengesan pergerakan tentera Hamas terutama unit Qassam.

“Kedudukan lubang untuk memasuki terowong ini pula sulit dan ia dikawal ketat bagi mengelakkan kebocoran maklumat,” katanya kepada wartawan Harian Metro yang dibawa melihat satu dari laluan rahsia berkenaan.

Wartawan mendapati kebanyakan terowong rahsia itu dibina di lokasi strategik tidak mungkin mampu dikenal pasti melalui mata kasar.

“Saya amat yakin taktik peperangan menggunakan terowong ini mampu memberi tamparan hebat kepada tentera Zionis yang begitu angkuh dengan kecanggihan senjata mereka,” katanya.

Harian Metro 8 Dis 2012

Monday, August 6, 2012

KEMENANGAN YANG TELAH DI JANJIKAN...




Gambar hiasan

Di zaman Khalifah Umar b. Khattab ra, pasukan kaum muslimin sudah ada di ambang pintu negeri Parsi. Pada waktu itu, rajanya adalah Kisra Yazdajrid. Mereka adalah beragama Majusi penyembah api.

Umar b. Khattab ra, di ibukota pemerintahannya di Madinah segera mengadakan pengumuman dan mengundang semua umat Islam untuk mengikuti latihan tentera mempersiapkan pasukan kaum muslimin ke medan perang di Al Qadisyiah (perbatasan negeri Kisra).

Dalam waktu singkat, kaum muslimin berbondong-bondong mendaftarkan diri untuk ikut berperang memerangi bangsa Parsi yang menyembah api itu. Jumlah mereka yang mendaftar hingga mencapai 30 ribu mujahidin.

Khalifah Umar ra. akan memimpin sendiri pasukan itu ke Al Qadisyiah. Tetapi niat tersebut di tolak oleh Ali b. Abi Talib dan beberapa orang penasihat lainnya. Akhirnya pilihan jatuh kepada Sa'ad b. Abi Waqqash salah seorang sahabat yang hatinya selalu terpaut dan teringat kepada kenikmatan syurga (akhirat).

Demikianlah, Sa'ad pergi memimpin pasukan itu menuju perbatasan negeri Kisra. Pada waktu itu negeri Iraq dan Iran merupakan kawasan negeri Kisra.

Tetapi sebelum Sa'ad dan pasukannya bergerak meninggalkan kota Madinah, Amirul Mukminin memberikan pesanannya dengan berkata:

"Bismillah wa'ala berkatilah. Wahai Sa'ad b. Abi Waqqash, janganlah engkau tertipu dan sombong lantaran engkau adalah paman Rasulullah saw. dan salah seorang sahabatnya. Ketahuilah, semua orang di mata Allah, baik bangsawan mahupun yang miskin, sama saja. Di sisi Allah, hamba yang paling mulia adalah yang paling bertaqwa kepada-Nya.

Ya Sa'ad, aku wasiatkan kepadamu dan kepada orang-orangmu supaya sentiasa bertaqwa kepada Allah. Kalau kita melanggar perintahnya maka bererti kita telah sama dengan musuh-musuh kita dalam melakukan maksiat. Padahal musuh-musuh kita jauh lebih besar jumlah pasukan dan perlengkapan perangnya. Dengan demikian, bila kita telah bermaksiat maka dengan mudah mereka akan dapat menghancurkan kita.

Ya Sa'ad, aku tidak takut pasukan kita akan di kalahkan oleh musuh-musuhnya, tetapi yang ku takuti adalah bila mereka melakukan perbuatan dosa.  

Selamat jalan, ya Sa'ad, semoga Allah selalu memberkati dan melindungimu!"

Akhirnya Sa'ad b. Abi Waqqash dan pasukannya pergi mengharungi gurun pasir hingga mencapai Al Qadisyiah, pintu negeri Parsi. Ketika pasukan kaum muslimin tiba di sana, beritanya sudahpun sampai terlebih dahulu kepada Kisra di ibukota kerajaannya di Al Mada'in. Kisra mengangkat panglima tertinggi angkatan bersenjatanya seorang yang masih muda dan sangat dicintai bangsanya iaitu Rustum.

Sebelum peperangan berlangsung, Kisra Yazdarjid mengirim seorang utusan kepada panglima pasukan Islam untuk merundingkan hal-hal yang sekiranya masih boleh dirundingkan. Untuk itu Sa'ad memilih empat tokoh pasukan Islam. Mereka di kirim sebagai utusan pasukan kaum muslimin ke istana Al Mada'in tempat Kisra bertahta. Keempat-empat tokoh tersebut adalah An-Nu'man b. Muqrin, Al Mughirah b. Syu'bah, Ashim b. Amru dan Al Asy'ats b. Qais.

Setiba di istana Kisra yang amat megah itu, Kisra Yazdarjid bertanya kepada mereka: "Apa yang kamu bawa?"

Juru bicara delegasi kaum muslimin menjawab, "Kami datang kesini hendak mengajak tuan dan rakyat tuan menganut agama tauhid!"

Kisra menunjukkan sikap marahnya mendengar perkataan tersebut. Dengan nada bongkak dia bertanya, "Kalau kami menolak?"

Juru bicara delegasi kaum muslimin menjawab, "Kerajaan tuan harus membayar jizyah (ufti) kepada kami!"

Emosi Kisra semakin meluap. Ia bertanya lagi dengan dengusan marah. "Kalau kami menolak juga?"

Dengan tenang, salah seorang delegasi kaum muslimin menjawab. "Akan terjadi peperangan antara pasukan kami dengan pasukan tuan.

Sebelumnya, Kisra mengira kedatangan kaum Muslimin ke negerinya hanya untuk menjajah negerinya seperti yang di lakukan para penjajah lain di sepanjang sejarah dunia , kerana itulah ia memerintahkan kepada salah seorang pengawalnya supaya mengambilkan tanah negeri Parsi sekarung dan memberikannya kepada juru bicara delegasi itu untuk di bawa pulang. Tetapi tidak lama kemudian, sesudah para delegasi itu pulang, menteri penasihat Kisra ada yang menyalahkan tindakan tersebut.

Mereka bertanyakan, mengapa Kisra memberikan tanah negeri Parsi kepada kaum Muslimin. Bukankah ini merupakan suatu petanda kalau negeri Parsi akan di serahkan dan di kuasai oleh kaum Muslimin? Setelah mengetahui perihal tersebut, Kisra amat menyesal dengan perbuatan yang telah di lakukannya, tetapi apa daya semua telah terjadi.

Setelah delegasi kaum Muslimin kembali ke tempat pasukannya, mereka segera menghadap komandan tentera kaum Muslimin, Sa'ad b. Abi Waqqash. Saad bertanya kepada mereka, "Apa yang telah di capai dari hasil perundingan itu dengan Kisra?"

Delegasi kaum Muslimin menjawab, "Dia menyerahkan kunci negerinya." Lalu tanah negeri Parsi yang di berikan Kisra itu di serahkan kepada Sa'ad b. Abi Waqqash.  

Namun beberapa hari kemudian, pasukan Parsi di bawah pimpinan panglima tertingginya Rustum, bergerak tidak jauh dari Al-Qadisyiah. Dari khemahnya yang mewah, Rustum mengirim surat kepada Sa'ad b. Abi Waqqash supaya dia mahu mengirimkan delegasinya untuk kembali berunding. Dengan demikian, perundingan berpindah dari Kisra ke Rustum, dari raja ke panglima tertinggi pasukan Parsi.

Saad b. Abi Waqqash mengirimkan Rub'i b. Amir sebagai perutusan tunggal kaum muslimin yang berangkat ke khemah panglima pasukan bersenjata Kisra. Setibanya di sana, beliau di tanya oleh Rustum: "Apa yang mendorong kamu hendak menyerang negeri kami?"

Rub'i menjawab: "Allah Ta'ala telah membangkitkan kami untuk mengeluarkan orang-orang yang Dia kehendaki dari menyembah hamba kepada menyembah Tuhannya. Seluruh hamba hendaklah keluar dari zalimnya agama-agama kepada adilnya Islam, dari sesaknya dunia kepada luasnya dunia dan akhirat.

Dari percakapan itu, Rustum berkesimpulan bahawa tidak ada gunanya berunding dengan Rub'i kerana menurutnya Rub'i kurang boleh di ajak berunding. Maka Rustum meminta kepada Sa'ad agar mengirim seorang lainnya dari kaum Muslimin yang "lebih lunak dan tidak kaku" agar boleh di ajak berunding.

Tidak lama kemudian, delegasi Sa'ad yang kedua pun tibalah. Sa'ad mengirimkan Al Mughirah b. Syu'bah sebagai pengiring Rub'i. Setelah berhadapan dengan panglima Parsi itu, dia di tanya: "Apa yang mendorong kamu hendak menyerang negeri kami?"

Al Mughirah menjawab: "Untuk mengeluarkan tuan dan bangsa tuan dari kegelapan musyrik kepada nur cahaya La lla ha illallah!"

Rustum agak terperanjat dengan jawapan tersebut kerana ternyata delegasi pertama dan keduapun sama tegasnya. Maka dia bertanya lagi: "Kalau kami menolak?"

Al Mughirah menjawab: "Tuan harus membayar jizyah kepada kami"

Rustum bertanya lagi: "Kalau kami menolak membayarnya?"

Al Mughirah menjawab kembali: "Akan berkecamuk peperangan antara pasukan kami dengan pasukan tuan!"

Akhirnya perundingan tersebut menemui jalan buntu. Rustum, panglima tertinggi pasukan Parsi yang memimpin 120 ribu pasukan dengan persenjataan yang lengkap dan moden (untuk ukuran pada masa itu) berhadapan dengan pasukan Sa'ad b. Abi Waqqash yang hanya terdiri dari 30 ribu pasukan dengan senjata yang seadanya.

Melihat jumlah dan perlengkapan senjata kaum Muslimin yang tidak sepadan dengan pasukan Parsi tersebut, Rustum mulai menyombongkan diri. Dia dengan angkuh dan meremehkan berkata kepada Sa'ad. "Perumpamaan kami dan kamu seperti seekor lalat yang berkata: "Siapa yang boleh menyampaikan aku ketempat madu akan ku bayar dua dirham. Tetapi setelah lalat itu tenggelam ke dalam madu, ia berkata pula: "Siapa yang boleh mengeluarkan aku dari dalam madu, akan ku bayar empat dirham."

Kerana itu sekarang, pulanglah kamu dan sampaikan kepada pemimpinmu, Rustum, panglima tertinggi tentera Parsi akan menanam kamu semua di bumi Al Qadisyiah!"

Namun dengan sikap tenang dan percaya diri, pasukan kaum muslimin tidak ambil peduli akan kesombongan panglima tertinggi Parsi itu.

Setelah perundingan tidak berhasil, masing-masing pasukan sudah mula mempersiapkan diri untuk bertempur mati-matian. Pasukan Parsi yang berjumlah 120 ribu perajurit siap melawan 30 ribu pasukan kaum muslimin. Mereka juga di perlengkapi dengan 33 pasukan bergajah.

Sesudah solat Subuh, Sa'ad kemudian memerintahkan pasukannya untuk menyerang kedudukan pasukan musuhnya. 

Pada hari pertama peperangan, pasukan unta kaum muslimin menghadapi pengejaran dari pasukah gajah musuh. Esok harinya Al Qi'qa b. Amru At Tamimi mempunyai idea supaya unta-unta itu di beri topeng (masker) sehingga membuat pasukan gajah itu takut. Tipu daya itu ternyata berhasil membuat pasukan gajah lari tunggang langgang dari medan pertempuran.

Pertempuran antara kedua pasukan itu masih berlarutan dengan seru dan sengit dari pagi hingga petang. Setelah tiga hari berturut-turut, barulah pada hari yang ketiganya pasukan berani mati kaum muslimin di bawah pimpinan Hilal b. Al Qamah ra. berhasil menerobos masuk ke dalam khemah Rustum lalu membunuhnya seperti seekor singa menerkam mangsanya.

Mendengar Rustum, panglima tertingginya tewas, semua tentera pasukannya patah semangat dan gentar. Mereka sudah tidak bernafsu lagi untuk meneruskan peperangan. Diantara mereka ada yang menyerah diri kepada pasukan Islam manakala sebahagiannya pula melarikan diri dari medan perang.     

Khalifah Umar b. Khattab ra, siang dan malam menunggu berita pasukan Islam di luar kota Madinah.

Pada suatu hari, ia melihat seorang penunggang kuda dari arah Parsi menuju ibukota Madinah dengan kecepatan tinggi. Khalifah Umar bertanya: "Bagaimana keadaan kaum muslimin, wahai saudaraku?"

Penunggang kuda itu tanpa memperlahankan pecutan kudanya menjawab: "Mereka mendapat kemenangan gilang gemilang dari Allah"

Si penunggang kuda yang merupakan utusan kaum muslimin dari medan perang yang di perintahkan untuk menyampaikan berita itu kepada Khalifah Umar b. Khattab tidak tahu bahawa orang yang bertanya dan mencegatnya di perjalanan itu adalah Amirul Mukminin Umar b. Khattab. Kerana itulah ia terus memacu kudanya meninggalkan Khalifah.. Ia mengira Khalifah Umar b. Khattab berada di kota Madinah.

Sementara itu Khalifah Umar terus mengejar penunggang kuda itu dari belakang kerana ia ingin tahu benar berita selanjutnya.

Setelah si penunggang kuda itu tahu bahawa orang yang mengejarnya dari belakang adalah Khalifah Umar, barulah ia cepat-cepat turun dari kudanya dan memohon maaf atas kealpaannya itu.

Si penunggang kuda itu lalu menyerahkan surat dari Sa'ad b. Abi Waqqash kepada Umar ra. Di dalam surat itu, Sa'ad menceritakan hal ehwal kaum Muslimin. Katanya:

Dari Sa'ad b. Abi Waqqash, panglima tertinggi pasukan bersenjata Islam di front Parsi kepada Amirul Mukminin Umar b. Khattab. ra.

Alhamdulillah, dengan pertolongan Allah, pasukan kita meraih kemenangan gilang gemilang atas musuh-musuh-Nya di medan perang. Mereka berperang bagaikan singa-singa yang tidak terkalahkan. Tetapi pada malam hari mereka bagaikan rahib. Mereka berdoa dan membaca Al Quran sehingga suara mereka seperti suara lebah di sarangnya. Banyak di antara tentera kita yang sudah mendahului kita dan kami pun akan segera menyusul mereka menemui Allah Robbul alamin sebagai para syuhada di jalan-Nya... 

Sesudah membaca surat itu, Umar b. Khattab langsung bersujud syukur sambil menangis atas kemenangan itu. Melihat Khalifah menangis, orang-orang yang berada di situ terhairan-hairan dan salah seorang diantara mereka berkata: "Ya Amirul Mukminin, dalam menyambut kemenangan ini seharusnya baginda bergembira bukannya menangis."

Khalifah Umar lalu berkata: "Aku menangis kerana aku khuatir kalau Allah Ta'ala membukakan pintu dunia untukmu sekalian, kamu semua tidak lagi saling mengenal diantara sesama kamu, lalu penghuni langit tidak sudi lagi mengenal kamu kerananya."

Pertempuran di medan Al Qadisyiah itu terjadi pada bulan Syawal tahun 14 hijrah. Pasukan beristirehat untuk memulai pertempuran yang lebih dahsyat dengan pasukan musuh iaitu menyeberangi sungai Dajlah untuk mengepung istana Kisra di Al Mada'in.

Sa'ad berunding dengan pimpinan pasukannya untuk mencari jalan bagaimana cara menyeberangi sungai Dajlah. Di sana tidak ada jambatan untuk menyeberanginya. Ketika tengah berunding, tiba-tiba salah seorang komandan pasukan, Ashim b. Amru At Tamimi mengacungkan tangan. Dia berkata: "Ya, Amir, aku akan mencuba menyeberanginya dengan kudaku ini, bila kaum Muslimin melihat aku berhasil, mereka tentu akan mengikut jejakku."

Lalu Ashim membentuk pasukan "Marabahaya", satu pasukan yang di kenal sejarah militer untuk penyeberangan. Ashim berdiri di atas kudanya di tepi sungai itu dan sebelum menyeberang, dia mengucapkan: "Bismillahi tawakkaltu Alallah. Lalu dia turunkan kudanya ke air dan mulai melakukan penyeberangan.

Penyeberangan itu diikuti oleh 60 pasukannya. Al Qi'qa b. Amru yang mengawasi penyeberangan itu lalu terlintas di dalam fikirannya, kenapa pasukanku tidak mengikut sama menyeberanginya. Maka iapun memerintahkan 600 anggota pasukannya untuk ikut sama menyeberangi di bawah pimpinannya. Akhirnya ribuan pasukan berkuda kaum Muslimin berhasil menyeberangi sungai Dajlah itu. Para sejarawan bersumpah dengan nama Allah, tidak seorangpun dari pasukan kaum muslimin yang menyeberangi sungai itu tewas.

Warga Parsi terhairan-hairan bercampur kagum melihat pasukan kaum muslimin berani menyeberang sungai Dajlah. Mereka bahkan berpendapat pasukan kaum muslimin seperti pasukan jin yang boleh berbuat segala-galanya. Ketika pasukan kaum muslimin sudah hampir menuju ke tepi sungai, tentera Al Qadisyiah segera lari untuk menghindarkan diri di serang.

Setelah mendengar berita bahawa pasukan Al Qadisyiah hancur dan pasukan kaum muslimin telah mendekati kota negerinya, Kisra amat ketakutan lalu lari meninggalkan istananya tanpa tujuan yang jelas.

Sa'ad b. Abi Waqqash dan pasukan beliau akhirnya berhasil memasuki istana Kisra dengan tanpa alas kaki. Sambil memegang janggut dan tombaknya, ia terhairan-hairan melihat kemegahan dan keindahan istana Kisra. Seluruh lantainya di hampari permaidani yang menenggelamkan kaki orang yang memijaknya dan dihiasi dengan perabut yang mewah dan mahal. Sambil melihat-lihat istana yang megah itu, Sa'ad tidak henti-hentinya mengucapkan firman Allah yang bermaksud:

"Bukankah kamu bersumpah dahulu (di dunia) bahawa sekali-kali kamu tidak akan binasa? dan kamu telah berdiam di tempat-tempat kediaman orang-orang yang menganiaya diri mereka sendiri, dan telah nyata bagimu bagaimana Kami telah berbuat terhadap mereka dan telah Kami berikan kepadamu beberapa perumpamaan." (Ibrahim 44,45) 

"Alangkah banyaknya taman dan mata air yang mereka tinggalkan, dan kebun-kebun serta tempat-tempat yang indah-indah, dan kesenangan-kesenangan yang mereka menikmatinya. Demikianlah, dan Kami wariskan semua itu kepada kaum yang lain. Maka langit dan bumi tidak menangisi mereka dan mereka pun tidak di beri tangguh." (Ad Dukhaan 25-29)

Ketika waktu solat tiba, Sa'ad b. Abi Waqqash ra memerintahkan kepada muazin untuk melaungkan azan. Inilah untuk pertama kalinya azan bergema di istana Kisra. Setelah dibacakan : Asyhadu alla ilaaha illallah" maka api kemusyrikan yang selalu di nyalakan di ruang tamu istana itu padam untuk selama-lamanya.

Tidak lama setelah itu, Sa'ad kemudian membahagi-bahagikan harta rampasan perang kepada pasukannya. Sementara sebahagian lagi di kirimkan kepada Amirul Mukminin Umar b. Khattab untuk di simpan di Baitulmal.

Setelah melihat semua kiriman harta tersebut, beliau lalu menoleh kepada Ali b. Abi Talib yang berada di sampingnya seraya berkata: "Orang yang mahu mengirimkan ini kepada kami sudah tentu orang-orang yang tinggi amanahnya."

Ali menjawab ucapan Khalifah Umar tersebut: "Ya! kerana engkau telah bersikap amanah kepada rakyat, sehingga rakyat pun meneladani sikapmu. Sekiranya engkau berkhianat, sudah tentu merekapun akan berbuat yang serupa pula."

Tidak lama selepas penaklukan itu, seluruh warga Iraq dan Iran (penduduk negeri Parsi) memeluk agama Islam dan menjadi kaum muslimin yang baik dengan izin Allah Taala.


di petik dari buku 'Kisah-Kisah Penghibur Hati'