Showing posts with label tumbuhan. Show all posts
Showing posts with label tumbuhan. Show all posts

Thursday, July 2, 2015

MENIKMATI SECAWAN KOPI...


Di zaman yang serba moden ini terdapat pelbagai lapisan masyarakat yang amat meminati minuman kopi sebagai hidangan santai. Ada juga antara mereka yang menjadikan kopi sebagai minuman harian kerana mempunyai khasiat dan aroma tersendiri. Gaya hidup hari ini memperlihatkan orang ramai mula menikmati kopi dalam kehidupan seharian.

Kopi sebenarnya adalah minuman yang sangat unik. Ini kerana kebiasaannya minuman jus atau herbanya diperolehi daripada daun, atau pati buah-buahan. Kopi pula didapati dari hasil bijinya yang dipanggang dan dikisar halus. Proses memanggang dan mengisar akan menghasilkan serbuk kopi yg lebih halus. Proses itu selalunya mengambil masa.

Serbuk kopi dibancuh dengan air panas menjadikan air minuman itu enak dan berkhasiat. Walaupun pada asalnya rasa kopi ini adalah pahit,

Tetapi dengan penambahan gula, susu atau krim, minuman ini menjadi sangat istimewa terutama sekali aromanya yang enak. Tidak hairanlah jika minuman ini terus menjadi pilihan ramai di seluruh dunia. Malah, sesiapa sahaja boleh menikmati kopi setiap hari samada semasa berada di pejabat, rumah mahupun ketika sedang bersantai bersama keluarga atau rakan.

Pokok kopi adalah dalam golongan tanaman saka, la mampu hidup sehingga melebihi 25 tahun dan membesar sehingga paras ketinggian 6 hingga 15 meter sekiranya tidak dikawal.

Di Malaysia, penanaman pokok kopi mengambil masa selama beberapa tahun untuk mencapai tahap kematangannya. Pokok-pokok yang matang akan menghasilkan biji-bijian kopi yang amat berkualiti dan menarik. Terdapat dua kaedah dalam penanamannya di negara ini iaitu yang ditanam mengguna biji benih dan pokok kopi yang ditanam menggunakan kaedah baka cantuman.

Salah seorang pengusaha ladang kopi di Banting, Selangor, Muhaimin Kassim berkata, perusahaan kopi kini semakin dilupakan oleh golongan muda. Dahulu, kawasan sekitar Banting adalah kawasan yang amat popular dengan penanaman kopi tetapi kini telah bertukar ke tanaman ubi untuk dijadikan rempeyek.

Pengusaha ladang kopi, Muhaimin Kassim...

Encik Muhaimin juga memberitahu bahawa pokok kopi yang menggunakan kaedah benih akan mula mengeluarkan bunga lebih kurang setahun selepas ditanam. Ini berbeza daripada anak benih yang ditanam menggunakan kaedah baka cantuman di mana ia mula mengeluarkan bunga dalam masa yang lebih pantas iaitu pada peringkat umur 6-10 bulan selepas ditanam.

Selain itu, hanya dua spesis kopi sahaja yang sesuai ditanam di negara ini, iaitu kopi Liberica dan kopi Robusta. Menurut beliau, kopi jenis Liberica amat sesuai ditanam di Semenanjung Malaysia terutama di Johor dan Selangor manakala kopi jenis Robusta pula banyak ditanam di Sabah dan Sarawak.

Pokok kopi boleh ditanam di kebanyakan jenis tanah di negara ini. Ini termasuk tanah yang berasal daripada lahar, granit serta batu pasir. Pokok kopi amat sesuai ditanam di kawasan tanah gembur yang mempunyai bahan organik dan bahan mineral yang tinggi kandungan pH iaitu diantara 4.5 sehingga 6.5. serta tanah yang mempunyai saliran air yang baik.

Beliau juga berharap industri penanaman kopi di Malaysia akan menjadi salah satu hasil ekonomi negara pada masa akan datang. Justeru, golongan usahawan, perternak serta golongan muda khususnya diharap dapat menceburkan diri dalam industri ini kerana dilihat mempunyai masa depan yang cerah dan cemerlang. Kerjasama daripada pihak kerajaan juga diharap dapat membantu menaiktaraf dalam penanaman dan pemprosesan hasil kopi sekaligus menghidangkan hasil tanaman dan pulangan lumayan kepada para petani dan pelabur dalam industri ini.

Kini penyediaannya juga tidak lagi hanya sebagai minuman panas, tetapi juga boleh hidangan sejuk. Kopi yang dicampurkan bersama susu dan krim boleh mencipta banyak variasi minuman seperti Cappuccino, kopi berkrim serta Latte iaitu campuran kopi dan susu yang semakin popular di kalangan masyarakat kini.

Di samping itu, aromanya yang luar biasa ia juga kini digunakan sebagai sebahagian daripada bahan untuk membuat pelbagai jenis roti, kek dan biskut kering. Dalam pembuatan kek dan kuih, kopi yang digunakan biasanya adalah dari jenis kopi segera kerana ia tidak mengotori penampilan kek dan kuih.

Sokongan kerajaan dalam industi ini bukan sahaja bermakna ia memberi sokongan kepada petani dan penanam kopi semata-mata. Lebih daripada itu, ia juga bermaksud, kerajaan turut memberi sokongan kepada industri asas tani yang berkaitan dengannya.

Sumber rujukan : Majalah Agro Malaysia Sept - Dis 2011... 

Thursday, October 23, 2014

RAHSIA KAYU KOKKA DAN KELEBIHANNYA SEBAGAI PENAWAR...

Pokok Kokka...


Setiap ciptaan Allah subhanahu wa taala mempunyai pelbagai rahsia dan kelebihan yang tersurat dan tersirat. Sinaran matahari dan titisan hujan menyuburkan bumi yang tersimpan padanya pelbagai rahsia unik. Kemudian dari pelbagai ciptaanNya itu disertakan khasiat yang tersendiri. Tiada suatu pun makhluk yang Allah ciptakan di alam ini melainkan bersamanya turut tersimpan seribu satu rahsia. Allah subhanahu wa taala memerintahkan manusia mencari dan mengkaji bagi mengetahui hikmah dan khasiat terkandung di dalamnya. Berkat taufik dan hidayahNya, manusia mampu berfikir dan mendapat petunjuk dalam usaha mereka menerokai khazanah Allah subhanahu wa taala lalu menemui pelbagai hasil galian dan tumbuhan semulajadi yang bermanfaat.


Sepertimana yang kita sedia maklum, platinum, emas, dan perak merupakan bahan logam yang paling berharga. Platinum merupakan logam yang paling mahal dan antara kelebihannya adalah kemampuan menyingkirkan haba. Bagi wanita misalnya, emas adalah sangat tinggi nilainya. Antara logam yang bernilai tinggi dalam industri pembinaan pula adalah titanium yang digunakan untuk membina pesawat dan seumpamanya kerana sifatnya yang keras dan ringan. Terdapat pelbagai logam lain yang mempunyai kelebihan dan keistimewaannya yang tersendiri. Namun dalam kebanyakan logam, besi berani atau magnet adalah logam yang paling aneh dan unik. Manakala merkuri atau raksa pula adalah satu-satunya logam dalam bentuk cecair. Subhanallah!!! 


Di dalam kategori kayu pula, kajian saintifik mendapati tongkat Ali mengandungi khasiat sebagai penawar bagi menguatkan tenaga dalam tubuh badan manusia. Terdapat juga aneka jenis akar kayu yang boleh dijadikan ramuan sebagai penawar dan penyembuh penyakit. Kayu Tas pula mempunyai kelebihan sebagai pelindung sepertimana yang digunakan oleh pengendali pertunjukan sarkas bagi menakut dan menundukkan binatang buas. Manakala kayu kokka pula merupakan kayu paling tinggi mutunya dalam segala jenis kayu yang terdapat di muka bumi Allah ini. Kayu kokka telah digunakan sejak zaman Nabi-Nabi terdahulu. Contohnya seperti bahtera Nabi Nuh alaihis salam iaitu dalam pembinaan tiang utamanya, tongkat Nabi Musa alahis salam, tongkat Nabi Syuaib alaihis salam dan diriwayatkan juga tongkat Nabi Muhammad sollallahu alaihi wa sallam juga diperbuat daripada kayu kokka!!!

Pegangan kita 


Kesemua ciptaan Allah subhanahu wa taala hanyalah merupakan perantaraan semata-mata. Allah subhanahu wa taala jualah yang berkuasa mutlak atas segalanya. Yakin dan berserahlah kepada Allah sahaja secara tuntas. Sekiranya kita meyakini bahawa mana-mana makhluk boleh memberi manfaat dan mudarat secara mutlak maka ini dikenali sebagai 'syirik jalli' ataupun syirik secara terang-terangan. Maka seseorang yang mensyirikkan Allah akan gugurlah imannya dan taubatnya tiada terampun.


Adapun kayu kokka hakikatnya terdapat pelbagai rahsia dan kelebihan sebagai penawar, penyembuh dan pelindung. Apatah lagi jika digunapakai sebagai tasbih. Boleh juga dipakai dalam bentuk cincin dan loket. Kayu kokka juga boleh menjadi lebih tinggi harga dan nilainya dari semasa ke semasa. Kayu kokka wajar dimiliki oleh setiap individu sepertimana perlunya kotak 'First Aid' sebagai persediaan pada saat kecemasan dan darurat.


Falsafah dan konsep penggunaan kayu ini seumpama seorang pesakit yang pening kepala berikhtiar memakan dan 'menggunakan' panadol sekadar dalam agenda berusaha meringan atau menyembuhkan sakitnya. Memanglah; hakikatnya Allah yang menjadi Yang Maha Penyembuh kepada sekalian penyakit.


Begitulah juga penggunaan kokka. Cuma yang berbeda hanyalah metod dan cara penggunaannya. Tambahan pula, cara yang kita guna sebenarnya mengambil berkat daripada barang dan bahan yang pernah digunakan oleh Nabi-Nabi terdahulu sabagai satu pengamalan akan 'sunnah' mereka.

Asal usul kayu kokka


Kayu kokka yang paling baik adalah daripada Turki dan Cyprus. Terdapat juga dari negara-negara lain seperti Nigeria, Iran dan Mesir. Kayu kokka langsung tidak terdapat di mana-mana negara selain daripada negara-negara yang telah disebutkan di sini. Inilah antara faktor yang menyebabkan kayu kokka begitu mahal harganya; disebabkan kurangnya kuantiti kayu ini dipasaran.


Terdapat dua jenis kayu kokka iaitu kokka laut dan kokka darat. Ada kayu kokka yang berwarna kuning bertompok merah, hijau tua dan koko berjalur agak tua warnanya. Ini adalah daripada spesis kokka Iran. Jenis Nigeria pula berwarna hitam apabila telah tua. Kuning tua dan berwarna coklat cerah dikatakan jenis kokka yang betina. Kokka ini juga tidak ditembusi cahaya.


Jenis Mesir mempunyai satu warna sahaja iaitu coklat muda. Harganya murah sahaja dan bukan original. Jenis Turki pula akan senantiasa berkilat walaupun dalam pelbagai suasana. Kebanyakannya berwarna coklat tua dan bercampur hitam dan sedikit kekuningan. Kayu ini juga tidak ditembusi cahaya sekiranya dibelah dua. Inilah yang paling baik dan paling mahal!!!

Rahsia dan kelebihan kayu kokka 


Antara rahsia dan kelebihan kayu kokka menurut pengalaman mereka yang pernah memakainya adalah seperti berikut:

  • Rumah yang memiliki dan menyimpannya akan aman daripada gangguan pelbagai makhluk; insya Allah.
  • Anak menangis tidak dapat tidur; letak di bawah bantal atau rendam ke dalam air lalu diberi minum; insya Allah akan tidur.
  • Sakit gigi-rendam sebahagiannya ke dalam air suam kemudian berkumur dengannya dan minum. Insya Allah sembuh.
  • Sakit kepala, sakit urat atau otot- Gosok-gosokkan ke bahagian yang sakit. Insya Allah lega.
  • Demam, sakit kuning, kerongkong, tongsil, guam dan ruam- Rendam di dalam air lalu diberi minum atau titiskan ke mulut. Insya Allah sembuh.
  • Ibu dalam pantang- Bawa bersama ketika tidur, rendam di dalam air suam dan minum. Insya Allah akan segera sembuh.
  • Termakan santau atau terkena racun serta batu karang- Rendamkan ke dalam air dan diberi minum. Insya Allah sembuh.
  • Sekiranya dipakai pada tubuh badan- Insya Allah akan terhindar daripada binatang liar dan bintang berbisa.
  • Terkena gigitan binatang berbisa- Letakkan pada bahagian yang terkena gigitan. Insya Allah akan hilang segala bisanya.
  • Jika dibawa bersama ketika berjumpa orang zalim- Insya Allah akan tenang dan aman.
  • Sekiranya memakai ketika orang hendak menyusahkan kita- Insya Allah mereka tidak akan terdaya.

Thursday, June 26, 2014

KENANGAN BERMAIN DI BAWAH POKOK KERIANG YANG HAMPIR PUPUS...

Bergambar bersama pokok Keriang...

Hampir 44 tahun aku tidak bertemu dengan pokok keriang, dulu masa kecik-kecik kami selalu bermain guli, gasing atau jengket di bawah pokok ini. Bila buah keriang gugur dari atas pokok, kami berebut-berebut untuk mendapatkannya sampai ada yang bertolak-tolak. Pokok keriang ni tinggi, kami malas nak panjat, jadi sambil main guli sambil tunggu buah ni gugur, siapa cepat dia dapat.

Dulu ayah bekerja di Jabatan Kerja Raya (JKR), jadi, kami sekeluarga tinggal di kuarters yang disediakan. Setiap kuarters ada lebih kurang 5 buah pintu bercampur Melayu dan India. Setiap pagi dan petang di hari cuti sekolah, kami adik beradik dan anak-anak jiran yang sebaya selalu bermain guli, gasing atau jengket di kuarters yang bersebelahan dengan blok kami sebab di situ ramai kawan-kawan. Di belakang rumah Pak Cik Daud tempat kami bermain guli itulah tumbuhnya pokok keriang ni. Pokoknya cuma sebatang tapi buahnya sangat lebat.  Rasanya kelat tetapi jika nak rasa lebih sedap dan manis, kena rendam dalam air garam dulu dan kemudian baru makan. Buah ini juga sangat enak dan rupanya seakan-akan buah anggur.

Buah Keriang seakan-akan buah anggur apabila sudah masak...

Bila ayah membeli sebuah rumah teres dan mengambil keputusan untuk berpindah maka kami terpaksa akur walaupun berat untuk meninggalkan kuarters ini yang banyak meninggalkan kenangan. Bukan itu sahaja, ayah dan emak terpaksa meninggalkan banyak tanam-tanaman yang diusahakanya di belakang rumah seperti pokok pisang, ubi kayu, jagung, pokok keladi dan sayur-sayuran, apa yang ayah dan emak tanam semua menjadi dan hidup subur. Di samping itu ayah dan emak juga ada menternak ayam dan itik. Aku tidak tahu kenapa ayah nak berpindah ke rumah baru kerana aku tengok rumah baru kami di kelilingi hutan yang menyeramkan berbanding di kuarters JKR yang kehidupan di zaman kanak-kanak yang lebih menyeronokkan. 

Oleh kerana masa tu aku masih kecil lagi, maka aku tidak pernah tanya kenapa ayah nak pindah ke rumah baru sedangkan di kuarters ini kami hidup selesa dengan segala kemudahan yang ada. Nak buat tilam dan bantal, di belakang rumah ada pokok kekabu, nak buat tikar mengkuang, ada banyak pokok mengkuang yang tumbuh meliar, nak cari kayu api, kami pergi ke kilang kayu yang berhampiran untuk mengambil kulit kayu balak yang baru diturunkan dari lori. Tauke kilang tidak pernah menghalang atau memarahi sewaktu kami mengopek kulit kayu balak tersebut. Nak memancing ikan pula, aku dan kawan-kawan akan pergi ke lombong-lombong yang banyak terdapat di persekitaran rumah walaupun selalu kena marah dengan emak.

Setelah berpindah kerumah baru pada tahun 1970, aku jarang ke kuarters JKR tempat kami tinggal dahulu kerana tiada kenderaan, lagipun nak naik bas, aku tak pandai dan takut maklumlah umur dalam lingkungan 9 tahun. Disebabkan itu aku tidak lagi dapat makan buah keriang dan bermain-main di bawah pokoknya. Lama kelamaan, aku terus lupa akan kewujudan pokok keriang ini.

Pokok Keriang yang berbuah lebat...

Dua minggu lepas, iaitu pada 17 Jun 2014, aku mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Kawasan Lubuk Sireh yang beralamat di Kaki Bukit, Perlis, Selepas mengadakan sedikit perbincangan dengan Pengurus Kawasan di pejabatnya, Beliau membawa kami meninjau di persekitaran pejabat dan kuarters staf yang hendak dilupuskan. 

Ketika tiba di belakang salah sebuah rumah yang tiada lagi berpenghuni dan perlu dilupuskan, aku terpandang akan sebatang pokok yang berbuah lebat. Aku tidak tahu apa nama pokok ini, buahnya seperti buah anggur, tapi takkan pokok anggur kerana pokoknya besar dan tinggi. Aku lalu bertanya kepada Pengurus tersebut. Kata Pengurus, pokok itu ialah pokok keriang, buahnya boleh dimakan tapi kelat sedikit, kalau nak sedap kena rendam dalam air garam, baru terasa keenakkannya. 

Aku lantas teringat pokok yang aku pernah bermain di bawahnya di sekitar penghujung tahun 1960an dahulu yang ketika itu aku masih berusia kanak-kanak. Tak salah lagi, inilah pokoknya, pokok dan buah keriang yang aku tidak berjumpa hampir 44 tahun lalu.

Pokok Keriang yang tinggi dan besar...

Tanpa membuang masa, aku terus memetik buahnya lalu makan, sebaik mencecah di lidah, seakan-akan terasa apa yang aku rasakan 44 tahun dahulu. Tak semena-mena aku teringatkan kawan-kawan yang sama-sama bermain di bawahnya suatu ketika dahulu. Airmataku lantas menitik kerana terkenangkan mereka. Mungkin di antara kami sudah tiada lagi kerana telah pergi menyahut seruan Ilahi. Aku bersyukur kerana aku masih sihat dan dapat menatap pokok yang banyak memberikan kenangan. Tanpa membuang masa, aku mencapai kamera lalu merakam gambar pokok Keriang dan buahnya untuk tatapan generasi yang akan datang. Jika tidak dipelihara, tidak mustahil pokok ini akan pupus di muka bumi.     

 Buah Keriang yang telah dipetik dan sudah masak...

 Sedikit fakta mengenai pokok Keriang :-
  • Pokok ini hanya terdapat di utara Tanah Air. 
  •  Generasi sekarang tidak mengenali pokok/buah ini kerana pokok/buah ini semakin lama semakin sukar diperolehi
  •  Jika dahulu buah ini mudah didapati di kawasan hutan dan pinggir kampung, kini buah ini semakin lama semakin berkurangan.
  •  pokok/buah keriang berbuah sekali dalam setahun sekitar bulan April hingga Mei.dan buahnya akan bertukar menjadi warna hitam apabila betul-betul masak.
  •  Dari segi perubatan ia dipercayai mempunyai pelbagai khasiat.
  •  Buah ini apabila betul-betul masak gugusannya adalah seperti buah anggur
Khasiat Buah Keriang :-
  • Mengurangkan kadar gula dalam darah bagi pesakit kencing manis.
  • Mengeluarkan cacing kerawit di dalam perut. 
  • Biji buah keriang boleh dikeringkan, ditumbuk dan dibancuh dengan air panas untuk diminum.
Aku berharap suatu hari nanti akan ada pasukan penyelidik samada di bidang perubatan mahupun bidang kosmetik untuk membuat penyelidikan tentang buah ini kerana aku pasti banyak khasiatnya yang boleh diperolehi darinya. Jika berjaya dikomersialkan, sudah tentulah pokok ini akan banyak ditanam semula dan dapat mengelakkan ia dari terus pupus di muka bumi ini.

Saturday, February 20, 2010

KENALI TUMBUHAN DI NEGARA KITA

Tidak dapat dinafikan bahawa Negara kita Malaysia adalah sebuah Negara yang dikurniakan Allah dengan berbagai-bagai nikmat berbanding sesetengah Negara yang selalu ditimpa musibah atau di takdirkan menjadi sebuah negara yang miskin.

Antara nikmat yang Allah kurniakan kepada Negara kita ialah keadaan muka buminya yang subur dengan bermacam-macam spesis tumbuhan merangkumi pokok buah-buahan, sayur-sayuran, herba serta bunga-bungaan yang cantik dan berseri. Sebahagiannya pula telah menjadi sumber pendapatan Negara.

Berbanding generasi dahulu dengan generasi sekarang bahawa kebanyakan mereka dan juga kita tidak berapa mengenali akan nama-nama tumbuhan seperti yang disebutkan diatas dan ada sebahagian yang mengenalinya setelah tumbuhan tersebut telah di proses menjadi bahan makanan, minuman, ubat-ubatan, kuih muih dan sebagainya.

Bagi memberikan satu informasi dan maklumat yang berguna kepada semua, maka di bawah ini aku perturunkan gambar-gambar dan nama-nama pokok tumbuhan yang terdapat di Negara kita, nama saintifiknya, kegunaan serta faedah yang kita boleh perolehi darinya.

Harapan aku supaya maklumat ini nanti akan dapat menambahkan pengetahuan yang berguna kepada kita semua dan dapat di manfaatkan dalam kehidupan seharian kita.
Gambar-gambar adalah Copyright dari buku keluaran MARDI, Serdang, Selangor.
BELIMBING BULUH

Nama Saintifik : Averrhoa Bilimbi
Nama Tempatan : Belimbing Buluh
Family : Geraniaveae
Kegunaan : Perisa dalam makanan

POKOK BETIK

Nama Saintifik : Carica Papaya
Nama Tempatan : Betik
Family : Caricaceae
Kegunaan : Dimakan secara segar, masakan

CEKUR

Nama Saintifik : Kaempferia galanga
Nama Tempatan : Cekur
Family : Zingiberaceae
Kegunaan : Ubat Sakit otot, sendi, sakit tekak, malaria

DAUN KARI

Nama Saintifik : Murraya koenigii
Nama Tempatan : Daun kari, karipulai
Family : Rutaceae
Kegunaan : Perasa makanan

GAJUS

Nama Saintifik : Anacardium occidentale
Nama Tempatan : Gajus, ketereh, janggus, jambu golok
Family : Anacardiaceae
Kegunaan : Ulaman dan ubat sakit tekak

CILI API

Nama Saintifik : Capsicum frutescens
Nama Tempatan : Cili api, cili padi
Family : Solanaceae
Kegunaan : Masakan dan di proses

KANGKUNG

Nama Saintifik : Ipomoea reptans
Nama Tempatan : Kangkung
Family : Convolvulaceae
Kegunaan : Masakan dan ubatan
(rawat buasir, sakit kepala, sukar tidur)

HALIA

Nama Saintifik : Zingiber officinale
Nama Tempatan : Halia
Family : Zingiberaceae
Kegunaan : Perisa dalam makanan dan minuman

KANGKUNG PUTERI

Nama Saintifik : Neptunia prostrata
Nama Tempatan : Kangkung puteri
Family : Leguminosae
Kegunaan : Masakan, rawat sakit telinga,
ulser hidung, resdung

KELOR

Nama Saintifik : Moringa oliefera
Nama Tempatan : Kelor, remunggai
Family : Moringaceae
Kegunaan : Perasa makanan dan ubatan
(masakan, rawat sakit kebas badan, sakit kulit)

KESUM

Nama Saintifik : Polygonum minus
Nama Tempatan : Kesum
Family : Polygonaceae
Kegunaan : Ketumbuhan, basir,
kurang sel darah merah, lemah syahwat

KUCAI

Nama Saintifik : Allium fistulosum
Nama Tempatan : Kucai cabut
Family : Liliacaea
Kegunaan : Sayur, ubat buasir, ekzema,
gatal kulit, ulser kaki, oliguria, selsema

KUNYIT

Nama Saintifik : Curcuma domestica
Nama Tempatan : Kunyit
Family : Zingiberaceae
Kegunaan : Perasa makanan dan
ubat kembong, tonik, tambah selera makan

CEKUR MANIS

Nama Saintifik : Sauropus androgynus
Nama Tempatan : Cekur manis
Family : Euphorbiaceae
Kegunaan : Sayur dan ubat leukimia, batuk, demam

SELOM

Nama Saintifik : Oenanthe javanica
Nama Tempatan : Selom
Family : Apiaceae
Kegunaan : Ulaman, selera makan,
demam, bengkak pada anak tekak

LIMAU PURUT

Nama Saintifik : Citrus hystrix
Nama Tempatan : Limau purut
Family : Rutaceae
Kegunaan :Perisa dan ubatan
(sakit kepala, reumatik, aromaterapi, wangi-wangian)

LIMAU NIPIS

Nama Saintifik : Citrus aurantifolia
Nama Tempatan : Limau nipis
Family : Rutaceae
Kegunaan :Pewangi aroma, disentri, industri minuman

LIMAU KASTURI

Nama Saintifik : Citrus microcarpa
Nama Tempatan : Limau kasturi, limau sambal
Family : Rutaceae
Kegunaan :Perisa makanan, minuman

LENGKUAS

Nama Saintifik : Alpinia galanga
Nama Tempatan : Lengkuas
Family : Zingiberaceae
Kegunaan :Perasa makanan,
ubat cirit birit, penghadaman, sakit sendi

TENGGEK BURUNG

Nama Saintifik : Euodia ridlevi
Nama Tempatan : Tenggek burung
Family : Rutaceae
Kegunaan :Ulam dan ubatan seperti ejakulasi pramatang,
kejang, darah tinggi, menyegarkan badan

SERAI MAKAN
Nama Saintifik : Cymbopogon citratus
Nama Tempatan : Serai makan
Family : Graminae
Kegunaan : Perasa makanan
dan ubatan (gangguan ginjal, batuk, tonik)

PETAI BELALANG

Nama Saintifik : Leucaena leucocephala
Nama Tempatan : Petai belalang
Family : Leguminosae
Kegunaan : Perasa makanan
dan ubatan (gangguan ginjal, batuk, tonik)

PANDAN WANGI

Nama Saintifik : Pandanus Odorus
Nama Tempatan : Pandan wangi
Family : Pandanaceae
Kegunaan : Pewarna kuih, perasa,
pertumbuhan rambut, mandian herba, demam campak

TURI

Nama Saintifik : Sesbania grandiflora
Nama Tempatan : Turi
Family : Leguminosae
Kegunaan : Sayur

UBI KAYU

Nama Saintifik : Manihot esculenta
Nama Tempatan : Ubi kayu
Family : Euphorbiaceae
Kegunaan : Masakan

UBI KELEDEK

Nama Saintifik : Ipomoea batatas
Nama Tempatan : Ubi keledek, ubi stelo
Family : Convolvulaceae
Kegunaan : Makanan, sayur pucuk

ULAM RAJA

Nama Saintifik : Cosmos caudatus
Nama Tempatan : Ulam raja
Family : Compositae
Kegunaan : Ulaman dan ubatan
(cuci darah, gastrik, menguatkan tulang, tonik)

TERUNG PIPIT

Nama Saintifik : Solanum torvum
Nama Tempatan : Terung pipit
Family : Solanaceae
Kegunaan : Masakan