Showing posts with label Tamadun. Show all posts
Showing posts with label Tamadun. Show all posts

Wednesday, June 10, 2015

KAUM YANG TERCICIR...

Dari udara, ia kelihatan seperti pulau indah dengan pantai yang menakjubkan dan hutan tebal yang masih belum diteroka.

Bagaimanapun pelancong atau nelayan tidak berani menjejakkan kaki di pulau yang terletak di Lautan Hindi ini disebabkan reputasi penduduknya yang menakutkan.

Pelancong yang mendarat atau menghampiri Pulau Sentinel Utara berisiko diserang suku kaum yang menolak peradaban moden serta memilih untuk tidak berhubung dengan dunia luar.Setiap kali penduduk pulau itu berinteraksi dengan orang luar, ia akan membabitkan keganasan. Pada 2006 suku pribumi Sentinel ini membunuh dua lelaki yang menangkap ikan secara haram berhampiran pulau itu.


Kaum ini juga pernah memanah dan merejam batu terhadap pesawat dan helikopter yang terbang rendah untuk misi pemantauan.


 

Terletak di Teluk Benggala, Pulau Sentinel Utara adalah milik India dan kekal misteri walaupun berpenghuni sejak kira kira 60,000 tahun lalu.

Tidak banyak yang diketahui mengenai penduduk Sentinel ini, termasuk bahasa, amalan ritual dan pulau yang mereka anggap sebagai hak mutlak mereka.

Terlalu bahaya bagi orang luar untuk mendekati mereka kerana sikap permusuhan mereka terhadap pendatang. Ini bermakna gambar mereka jarang dirakam dari jarak dekat dan hampir tidak dilihat dalam klip video. Kebanyakan gambar dan rakaman video yang ada mengenai mereka kurang berkualiti.




Laporan mengenai jumlah penduduk pulau itu juga bercanggah. Kebanyakannya menganggarkan mereka berjumlah antara puluhan hingga beberapa ratus.

Sehingga ini, masih belum jelas kesan tsunami 2004 ke atas penduduk pulau ini yang membentuk sebahagian daripada rangkaian Kepulauan Andaman India.


Bagaimanapun, tsunami berkenaan dipercayai tidak memusnahkan semua kaum itu. Seorang daripada mere­ka dirakam cuba memanah helikopter pengawal pantai India sejurus selepas bencana berkenaan.

Sering digelar 'Stone Age tribe' (kaum Zaman Batu) gelaran yang biasanya akan mencetuskan kemarahan penduduk Sentinel mungkin kaum yang paling terpencil di dunia dan kerajaan India memilih untuk tidak mencampuri urusan mereka.


Sebelum ini, kerajaan India pernah cuba menjalinkan hubungan dengan mereka tetapi gagal. Ia mendorong India melarang sebarang usaha untuk berhubung dengan penduduk pulau berkenaan di samping mengharamkan mana mana pihak untuk berada dalam lingkungan lima kilometer dari pulau itu.

Sementara penduduk lain perlu bekerja dan membelanjakan wang untuk makanan serta pakaian, penduduk Sentinel masih bercawat dan memburu untuk mendapatkan makanan, baik di darat mahupun laut. Bagaimanapun, perairan sekeliling pulau itu kini di lihat terancam oleh kegiatan penangkapan ikan secara haram. Survival International, pertubuhan sukarela yang memperjuangkan hak suku kaum, menyifatkan pendu­duk Sentinel sebagai 'masyarakat paling terdedah kepada ancaman di dunia' kerana mereka tidak mempunyai perlindungan terhadap wabak seperti selesema dan demam campak.



Memandangkan mereka hidup begitu terpencil, peluang penduduk pulau ber­kenaan untuk pupus sama sekali akibat jangkitan sangat tinggi.

Dalam satu kenyataan, Pengarah Survival Interna tional Stephen Corry berkata: "Suku kaum Kepulauan Andaman India pupus akibat penyakit sewaktu British menjajah kepulauan itu pada 1980an.

"Kaum terbaru yang pupus ialah suku Bo. Orang terakhir dari suku Bo mati empat tahun lalu. Satu cara pihak berkuasa Andaman boleh menghalang kepupusan suku lain ialah memastikan Pulau Sentinel Utara dilindungi dari anasir luar."

Menurut pertubuhan itu, penduduk pulau Sentinel Utara 'sangat sihat, sentiasa berwaspada dan hidup makmur' walaupun mendapat ancaman dari luar dan menjalani kehidupan cara kuno. Pemusuhan mereka terha­dap orang luar berpunca daripada konflik lalu. Survival International berkata, 'dunia luar mendedahkan me­reka kepada keganasan dan penghinaan.'


Sumber :Harian Metro.

Thursday, December 26, 2013

NEGARA BERPENDUDUK PALING SEDIKIT DI DUNIA...





PULAU PITCAIRN


Bancian penduduk yang dijalankan pada tahun 2011 mendapati negara yang paling sedikit penduduknya di dunia ialah Pitcairn Islands yang terletak di Lautan Plasifik.

Negara bekas jajahan British ini hanya memiliki jumlah penduduknya seramai 67 orang sahaja. Namun negara ini mempunyai empat buah pulau gunung berapi.

Penduduknya adalah bekas kelasi kapal perang British yang pemabuk, sehingga sering berlakunya pembunuhan dan penyakit sosial lainnya mengurangkan lagi jumlah penduduknya.

Berikut negara-negara yang memiliki 
jumlah penduduk paling sedikit di dunia.


PULAU COVOS 

 
 
Covos (Keeling) Island jatuh di tempat kedua sebagai negara yang paling sedikit penduduknya di dunia. Negara ini terletak di Lautan Hindi bahagian barat daya Christmas Island antara Australia dan Sri Lanka, tanah jajahan Australia ini mempunyai 27 buah pulau terumbu batu karang. Jumlah penduduk dalam kajian 2011 ialah 596 orang sahaja. Namun yang uniknya sebahagian besar penduduknya beragama Islam dan menggunakan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris untuk berkomunikasi.

 VATICAN CITY
 
 
Vatican City pula berada di tempat ketiga dengan jumlah jumlah penduduk harnya seramai 800 orang sahaja meskipun ia terletak di Bandar raya Rom. Keluasan negara ini hanya 44 hektar sahaja. Negara ini tidak mempunyai  lebuh raya, landasan kereta api dan kapal terbang. Ia telah diiktiraf sebagai warisan dunia oleh UNICEF. Pendapatan negaranya bergantung pada penjualan setem, penjualan cenderahati, kutipan muzium dan daripada penganut Katolik seluruh dunia.

Sunday, June 16, 2013

MENJEJAKI KESULTANAN MELAYU KUTARINGIN...

Di Wilayah Kalimantan Tengah, (Indonesia), pernah terdiri sebuah Kerajaan Melayu yang bernama Kutaringin. Kadangkala, nama negeri ini juga dieja sebagai Kota Waringin.

Kerajaan ini merupakan satu-satunya Kerajaan Melayu yang bertahan agak lama di Indonesia iaitu sejak abad ke 16 hinggalah ke abad ke 19 dengan 14 orang Sultan kesemuanya yang pernah memerintah.   

Walaubagaimanapun, nama Kutaringin ini sebenarnya telah disebut lebih awal iaitu dalam kitab 'Negarakertagama' iaitu apabila Negeri Kutaringin dinyatakan sebagai sebahagian daripada Wilayah Tanjung Negara yang tunduk kepada empayar Majapahit. 

Pada asalnya, Wilayah Kutaringin ini adalah di bawah pengaruh Kerajaan Banjar yang berpusat di Kalimantan Selatan. Sebelum wujudnya sultan yang memerintah kawasan tersebut, Raja-raja Kerajaan Banjar yang menguasai kawasan pantai selatan dan tenggara Pulau Borneo telah mengirimkan wakil-wakilnya untuk mengutip cukai termasuklah di Wilayah Kutaringin.

Bahkan para Sultan Kutaringin sebenarnya adalah berketurunan dari Dinasti Banjar. Raja Pertamanya iaitu Pangeran Dipati Anta-Kasuma merupakan anak keempat kepada Sultan Banjar ke 4 iaitu Sultan Mustain Billah.

Pangeran Dipati Anta-Kasuma telah menggantikan bapa mertuanya, Dipati Ngganding yang sebelum itu merupakan Adipati (lebih kurang seperti Gabenor) untuk menjadi penguasa Negeri Kutaringin tetapi masih di bawah pengaruh Kerajaan Banjar. 

Disebabkan itulah Raja-raja Negeri Kutaringin kebiasaannya memakai gelaran Pangeran jika berada di Negeri Banjar, tetapi menggunakan gelaran Sultan di negerinya sendiri. Kerajaan Kutaringin ini mencapai zaman kemuncaknya ketika era pemerintahan rajanya yang ke 7 iaitu Pangeran Ratu Bengawan sekitar kurun ke 18.

Semasa fasa awal pasca kemerdekaan Indonesia, iaitu pada awal Januari 1946, Negeri Kutaringin telah diduduki oleh Belanda dan kemudiannya dimasukkan sebagai sebahagian daripada wilayah Negara Dayak Besar, sebuah negara yang disokong oleh penjajah Belanda bagi memecahbelahkan republik tersebut.

Walaubagaimanapun Negeri Kutaringin secara rasminya telah bergabung semula dalam kesatuan Republik Indonesia pada 1 Mei 1950 dan negeri ini ditukar statusnya menjadi sebuah Kabupaten di dalam Wilayah Kalimantan Tengah.

Dengan berakhirnya kedaulatan Kutaringin, maka para bangsawan dan kerabat Di Raja Kutaringin tidak lagi memegang jawatan-jawatan dalam pemerintahan. Hanya beberapa keturunan sultan dan bangsawan sahaja yang sebelum ini sudah bekerja sebagai pegawai pemerintahan tetap memegang jawatan di dalam pemerintahan Indonesia yang merupakan sebuah negara bercorak Republik.

Pada hari ini, sebagaimana yang berlaku di Wilayah lain di Indonesia, para waris Kerajaan Kutaringin telah sepakat untuk mengangkat salah seorang zuriat kerabat mereka untuk bertindak sebagai Sultan Kutaringin yang baru bagi tujuan melestarikan budaya tempatan dan sebagai penjaga kepada pusaka Kerajaan Kutaringin termasuklah adat istiadat dan peninggalan leluhur mereka.

Pangeran Alidin Sukma Alamsyah, zuriat kanan kesultanan tersebut telah terpilih dan telah ditabalkan secara rasminya sebagai Sultan Kutaringin ke 15 dengan gelaran Sultan Alidin Sukma Alamsyah pada 16 Mei 2010 yang lalu.

Pangkalan Bun adalah ibukota Kabupaten Kotawaringin Barat, wilayah Kalimantan Tengah. Menurut sejarahnya, kawasan ini awalnya dikenali dengan nama Pangkalan Bun yang ertinya pelabuhan (pangkalan) di tepi Sungai Bun. Salah satu bangunan peninggalan Kesultanan Kutaringin di Pangkalan Bun ialah bangunan-bangunan berbentuk rumah kayu berukuran besar tersebut memberi nilai sejarah tersendiri bagi kota yang memiliki kebun kelapa sawit terbesar di Kalimantan itu.

Bangunan Kesultanan Kutaringin menjadi salah satu tumpuan pelancong bukan hanya untuk masyarakat luar Kalimantan, tetapi juga masyarakat sekitar.

Dipetik dari Variasari Jun 2013.