Wednesday, June 10, 2015

KAUM YANG TERCICIR...

Dari udara, ia kelihatan seperti pulau indah dengan pantai yang menakjubkan dan hutan tebal yang masih belum diteroka.

Bagaimanapun pelancong atau nelayan tidak berani menjejakkan kaki di pulau yang terletak di Lautan Hindi ini disebabkan reputasi penduduknya yang menakutkan.

Pelancong yang mendarat atau menghampiri Pulau Sentinel Utara berisiko diserang suku kaum yang menolak peradaban moden serta memilih untuk tidak berhubung dengan dunia luar.Setiap kali penduduk pulau itu berinteraksi dengan orang luar, ia akan membabitkan keganasan. Pada 2006 suku pribumi Sentinel ini membunuh dua lelaki yang menangkap ikan secara haram berhampiran pulau itu.


Kaum ini juga pernah memanah dan merejam batu terhadap pesawat dan helikopter yang terbang rendah untuk misi pemantauan.


 

Terletak di Teluk Benggala, Pulau Sentinel Utara adalah milik India dan kekal misteri walaupun berpenghuni sejak kira kira 60,000 tahun lalu.

Tidak banyak yang diketahui mengenai penduduk Sentinel ini, termasuk bahasa, amalan ritual dan pulau yang mereka anggap sebagai hak mutlak mereka.

Terlalu bahaya bagi orang luar untuk mendekati mereka kerana sikap permusuhan mereka terhadap pendatang. Ini bermakna gambar mereka jarang dirakam dari jarak dekat dan hampir tidak dilihat dalam klip video. Kebanyakan gambar dan rakaman video yang ada mengenai mereka kurang berkualiti.




Laporan mengenai jumlah penduduk pulau itu juga bercanggah. Kebanyakannya menganggarkan mereka berjumlah antara puluhan hingga beberapa ratus.

Sehingga ini, masih belum jelas kesan tsunami 2004 ke atas penduduk pulau ini yang membentuk sebahagian daripada rangkaian Kepulauan Andaman India.


Bagaimanapun, tsunami berkenaan dipercayai tidak memusnahkan semua kaum itu. Seorang daripada mere­ka dirakam cuba memanah helikopter pengawal pantai India sejurus selepas bencana berkenaan.

Sering digelar 'Stone Age tribe' (kaum Zaman Batu) gelaran yang biasanya akan mencetuskan kemarahan penduduk Sentinel mungkin kaum yang paling terpencil di dunia dan kerajaan India memilih untuk tidak mencampuri urusan mereka.


Sebelum ini, kerajaan India pernah cuba menjalinkan hubungan dengan mereka tetapi gagal. Ia mendorong India melarang sebarang usaha untuk berhubung dengan penduduk pulau berkenaan di samping mengharamkan mana mana pihak untuk berada dalam lingkungan lima kilometer dari pulau itu.

Sementara penduduk lain perlu bekerja dan membelanjakan wang untuk makanan serta pakaian, penduduk Sentinel masih bercawat dan memburu untuk mendapatkan makanan, baik di darat mahupun laut. Bagaimanapun, perairan sekeliling pulau itu kini di lihat terancam oleh kegiatan penangkapan ikan secara haram. Survival International, pertubuhan sukarela yang memperjuangkan hak suku kaum, menyifatkan pendu­duk Sentinel sebagai 'masyarakat paling terdedah kepada ancaman di dunia' kerana mereka tidak mempunyai perlindungan terhadap wabak seperti selesema dan demam campak.



Memandangkan mereka hidup begitu terpencil, peluang penduduk pulau ber­kenaan untuk pupus sama sekali akibat jangkitan sangat tinggi.

Dalam satu kenyataan, Pengarah Survival Interna tional Stephen Corry berkata: "Suku kaum Kepulauan Andaman India pupus akibat penyakit sewaktu British menjajah kepulauan itu pada 1980an.

"Kaum terbaru yang pupus ialah suku Bo. Orang terakhir dari suku Bo mati empat tahun lalu. Satu cara pihak berkuasa Andaman boleh menghalang kepupusan suku lain ialah memastikan Pulau Sentinel Utara dilindungi dari anasir luar."

Menurut pertubuhan itu, penduduk pulau Sentinel Utara 'sangat sihat, sentiasa berwaspada dan hidup makmur' walaupun mendapat ancaman dari luar dan menjalani kehidupan cara kuno. Pemusuhan mereka terha­dap orang luar berpunca daripada konflik lalu. Survival International berkata, 'dunia luar mendedahkan me­reka kepada keganasan dan penghinaan.'


Sumber :Harian Metro.

No comments:

Post a Comment