Showing posts with label doa ibu. Show all posts
Showing posts with label doa ibu. Show all posts

Monday, December 14, 2015

MERAIH REZEKI DARI LAUT...

Dang Damit dibantu suaminya Jumat menjemur ikan masin 
yang menjadi sumber pendapatan mereka sejak lebih 10 tahun lalu...

Masyarakat Malaysia amat menggemari ikan masin dalam juadah harian, namun ramai tentunya tidak tahu mengenai ikan kicap atau 'manyung berkicap'.

Diperbuat daripada ikan duri atau disebut 'manyung' dalam bahasa tempatan di Sabah, ia adalah makanan unik sama fungsinya sebagai lauk sampingan seperti ikan masin yang dihasilkan penduduk, khususnya wanita di Pulau Tanjung Aru, sebuah perkampungan nelayan terletak kira-kira tiga batu nautika dari bandar Sandakan.

Berpeluang berkunjung ke pulau itu yang bukan saja dikenali kerana produk hasil ikan dan udang, malah sebagai destinasi mengintai kelibat sang monyet serta kelip-kelip.

Banyak jeti disediakan

Selepas 15 minit perjalanan menaiki bot penambang dari jeti berhampiran Pasar Umum Sandakan, bot mula memasuki kawasan kuala dan tidak sampai lima minit, perkampungan atas air yang mempunyai kira-kira 150 rumah didiami lebih 1,200 penduduk mula kelihatan.

Uniknya, di pulau itu yang sebahagian besar didiami etnik Brunei, banyak jeti disediakan iaitu selang empat atau lima rumah bagi memudahkan penduduk menaiki bot dan mengangkut produk serta hasil tangkapan tanpa perlu berjalan jauh, berbanding pulau lain yang cuma ada satu atau dua jeti.

Pemandangan sekitar pulau disajikan dengan bot pukat tunda dan rawai yang berlabuh di jeti sambil dua atau tiga penduduk memukat di tengah kuala, manakala bot kecil nelayan dan bot penambang bersilih ganti memudik ke hulu serta hilir kuala.

Sara keluarga


Di situ, wartawan bertemu Dang Damit Aliusin, 57, seorang daripada tujuh wanita gigih yang menjadikan aktiviti memproses ikan sebagai pekerjaan bagi membantu suami menyara keluarga.

Jauh daripada kesibukan bandar, ibu kepada enam anak berusia 17 hingga 27 tahun itu giat mengerah tulang empat kerat, membakar diri di bawah terik matahari untuk menjemur ikan demi mencari rezeki.


Selepas setengah jam berjemur di pantaran, dia masuk ke rumah menyiang ikan dan keluar semula selang sejam untuk memeriksa keadaan ikan dan memastikan sumber pendapatannya itu tidak diganggu kucing.

Wanita separuh usia itu kelihatan cergas biarpun kulit agak kehitaman mungkin kerana kerap dipanah panas matahari.

Memulakan ceritanya, Dang Damit yang menggunakan nama 'Puan Armah' dalam produk tertera di setiap bungkusan ikan masin dan ikan kicap, berkata beliau memulakan perniagaannya sejak 10 tahun lalu dengan awalnya, cuma berniaga dari rumah seperti wanita lain di pulau itu.

Pelanggan mereka membabitkan rakan dan saudara-mara, selain pelancong yang berkunjung ke perkampungan air itu hampir setiap hari.

Pasaran hingga ke luar negara


Bermodalkan RM2,000 pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Dang Damit memberanikan diri memulakan perniagaan di pasar tani bandar Sandakan dan tamu mingguan bagi penduduk yang diadakan pada setiap Ahad, bermula tahun 2002.

Katanya, ikan kicap iaitu makanan tradisi masyarakat etnik Brunei yang kebanyakan mendiami daerah di pantai barat Sabah, Labuan dan Brunei adalah paling laris dengan peminatnya bukan saja dalam kalangan penduduk tempatan, malah dari Semenanjung yang mahu mencuba makanan istimewa itu.

"Kami membawa 40 hingga 60 bungkus ikan masin dan kicap ke tamu, biasanya habis dijual. Kami juga menjual keropok ikan dan udang yang turut diborong peniaga dari Kota Kinabalu untuk dijual di sana.

"Selain tamu, ada juga pelanggan dari luar yang menempah sehingga 50 bungkus dan minta kami pos. Bukan dari Kota Kinabalu saja, ada dari Semenanjung, Sarawak dan Singapura. Tak mengapa perniagaan kecil, sampai juga ke luar negara.

"Alhamdulillah hasil jualan dapat tampung keluarga dan pendidikan anak-anak. Dua anak makcik masih belajar di universiti, tiga lagi sudah tamat pengajian, ada yang kerja dalam bidang perubatan dan kerja bank. Mujur tak ikut macam kami," katanya sambil memberitahu pendapatan bersihnya kira-kira RM2,000 sebulan.

Tidak harap duit suami


Tambah Dang Damit lagi, untuk mengharapkan gaji suaminya, Jumat Mayasin, 62, sebagai imam kariah, tidak memadai menampung kehidupan dan menghantar anaknya ke menara gading dengan kos barang di pulau yang jauh lebih mahal berbanding di bandar.

Wartawan juga berpeluang melihat bagaimana ikan kicap dihasilkan. Proses bagi menghasilkan ikan kicap sama seperti ikan masin iaitu memerlukan ia dijemur beberapa hari, namun membezakannya cuma ikan masin menggunakan garam, manakala ikan kicap dicampur kicap.

Ikan duri yang sudah dibuang perut dipotong kepada beberapa bahagian untuk mengasingkan isi ikan daripada tulangnya sebelum dicampur kicap pekat manis yang digaul bersama ketumbar sebelum dijemur.

Dang Damit berkata, ikan kicap dijemur antara tiga atau empat hari sehingga isinya kering sebelum boleh dijual, namun makanan itu tidak selalu ada.


"Ikan kicap cuma boleh buat pada musim laut berombak, sebab waktu itu banyak ikan manyung. "Kalau suami tidak turun ke laut sebab tugas, saya beli ikan daripada nelayan atau beli di pasar," katanya sambil menambah akan membeli antara 60 kilogram (kg) hingga 100kg ikan untuk diproses menjadi ikan kicap, ikan masin atau keropok.

Kini selepas lebih 10 tahun berniaga, wanita dan penduduk pulau itu boleh berbangga kerana bukan saja mampu meningkatkan pendapatan, malah membolehkan pulau itu menjadi terkenal sebagai pengeluar produk ikan.

Sebut saja nama pulau itu kepada penduduk setempat, pasti semua mengatakan ikan kicap dan ikan masin datang dari Pulau Tanjung Aru.

----------------------------------------------------------------------------------------------------


Ana Liana Abdullah, 41, ibu kepada tiga anak adalah suri rumah pertama yang terawal berkecimpung dalam perniagaan ikan masin di Pulau Tanjung Aru.

Idea untuk menghasilkan ikan masin timbul apabila melihat banyak ikan berkualiti rendah seperti gelama dan pari kecil ditangkap suaminya menggunakan pukat rawai yang tidak dapat dijual ke pasar.

Dia kemudian mempelajari cara membuat ikan masin daripada keluarganya sebelum suri rumah lain di kampung itu mengikut jejak langkahnya.

"Daripada buang begitu saja, bagus buat ikan masin. Dulu kurang jual ikan masin di bandar. "Jika ada pun kebanyakan diusahakan orang Cina dan mahal sebab daripada ikan jenis berkualiti. Orang berpendapatan rendah mana mampu makan," katanya.


Ana Liana berkata, melihat kepada permintaan penduduk terhadap ikan masin daripada pulau berkenaan memberi peluang kepadanya untuk membuka gerai di pasar mingguan sekitar tahun 2000.

Ada saingan

Katanya, dia mampu meraih pendapatan sekitar RM600 hingga RM800 dalam masa setengah hari menjual ikan masin di tamu ketika itu.

"Sekarang sudah ramai yang proses ikan masin dan buka gerai di tamu, saingannya bertambah. "Pendapatan pun tidak terlalu lumayan macam dulu, tapi syukur masih dapat bantu suami untuk sara kehidupan seharian berbanding hanya bergantung pendapatan hasil tangkapan ikan," katanya.


Ana Liana berkata, ikan masin dari Pulau Tanjung Aru agak diminati terutama golongan pertengahan umur kerana rasanya tidak terlalu masin, berbanding produk ikan masin yang dijual di pasar umum atau pasar raya.


"Kami di sini ambil kira mengenai pelanggan yang ada masalah kesihatan. Kalau terlalu masin, orang ada penyakit darah tinggi tak dapat makan," katanya.

Sumber : BH Famili...
Wartawan : Poliana Ronnie Sidom...

Tuesday, July 12, 2011

BERBAKTI KEPADA ORANG TUA...



Kedua-dua gambar diatas adalah wajah terbaru ibuku yang dirakam pada 11 Julai, 2011. Namanya ialah Habsah bt. Man, umurnya kini adalah 78 tahun. Menurut catatan di surat beranak, Ketika aku dilahirkan, umurnya 28 tahun.

Ketika rencana ini ditaip, aku berada dirumah emak di Taiping dan mengambil cuti rehat selama dua hari iaitu pada 11 dan 12 Julai, 2011 untuk menziarahinya.

Semenjak ayah meninggal pada 17 Mei, 1999 iaitu kira-kira 12 tahun lalu, hidup emak sunyi. Tetapi apabila ada anak-anak yang datang menziarahinya, maka hatinya sangat gembira dan wajahnya menjadi ceria seperti dalam gambar.

Dapatkah aku menjadi seperti Uwais Al-Qarni yang dikisahkan dibawah ini...(jawapannya...tentulah tidak, kerana siapalah aku ini yang sentiasa sibuk dengan urusan duniaku sahaja sehinggakan kadang-kadang aku terlupa akan ibu di kampung.)

Ikuti kisah Uwais Al-Qarni.

Pada zaman Nabi Muhammad SAW. Ada seorang pemuda bernama Uwais Al-Qarni. Ia tinggal di Negeri Yaman. Uwais adalah seorang pemuda fakir lagi yatim. Dia tinggal bersama ibunya yang telah tua serta lumpuh, bahkan mata ibunya juga buta.


Untuk sara hidup mereka berdua, Uwais bekerja mengembala kambing orang pada waktu siang hari. Masyarakat setempat mengenal Uwais sebagai anak yang taat kepada ibunya dan juga taat beribadah. Siang hari dia selalu berpuasa dan pada malamnya pula dia selalu berdoa memohon petunjuk dari Allah.


Setiap kali melihat jirannya yang baru tiba dari Madinah setelah bertemu Nabi Muhammad SAW. Dia merasa sedih kerana dia sendiri belum pernah berjumpa dengan Rasulullah SAW.


Hari demi hari berlalu dan kerinduan Uwais untuk menemui Nabi semakin dalam. Hatinya selalu bertanya-tanya, bilakah dia dapat bertemu Nabi Muhammad dan memandang wajah baginda dari dekat.


Satu-satunya yang menghalangi keinginannya untuk pergi ke Madinah adalah tanggung jawabnya merawat ibunya yang telah tua, buta dan lumpuh. Dia tidak akan meninggalkannya dalam keadaan yang demikian. Hatinya selalu gelisah. Siang dan malam fikirannya diliputi perasaan rindu memandang wajah Nabi Muhammad.


Akhirnya, kerinduan kepada Nabi yang selama ini dipendamkannya tidak dapat ditahannya lagi. Pada suatu hari, ia datang mendekati ibunya lalu mengeluarkan isi hatinya dan mohon izin kepada ibunya agar ia dibenarkan pergi menemui Rasulullah SAW di Madinah.


Mendengarkan permintaan Uwais, ibunya merasa terharu lalu berkata, “Pergilah wahai Uwais, anakku! Temuilah Nabi dirumahnya dan bila telah berjumpa dengan Nabi, segeralah engkau kembali pulang.”


Betapa gembiranya Uwais mendengar ucapan ibunya. Dia segera berkemas untuk berangkat. Namun, ia tidak lupa menyiapkan keperluan ibunya yang akan ditinggalkannya, serta berpesan kepada jirannya agar dapat menemani ibunya selama ia pergi.


Sesudah mencium ibunya, berangkatlah Uwais Al-Qarni menuju Madinah. Setelah menempuh perjalanan jauh, akhirnya Uwais Al-Qarni sampai juga ke kota Madinah. Tiba di depan rumah Nabi, diketuknya pintu rumah itu sambil mengucapkan salam.


Keluarlah seorang sahaya membalas salamnya. Uwais lalu segera menanyakan Nabi yang ingin ditemuinya. Namun Nabi pada ketika itu tiada dirumah kerana berada di medan perang. Uwais hanya bertemu Siti Aishah, isteri Nabi.


Kerinduan hatinya pada Nabi membuatkan hatinya bergolak dan ingin menunggu Nabi pulang dari medan perang. Tetapi ketaatan Uwais kepada ibunya mengalahkan suara hati dan kemahuannya untuk menunggu Nabi pulang. Akhirnya Uwais berangkat pulang dengan perasaan yang amat haru.


Peperangan telah selesai dan Nabi pulang menuju Madinah. Sesampainya di rumah, Nabi bertanyakan kepada Siti Aishah tentang orang yang mencarinya sebelum sempat Aishah menceritakannya terlebih dahulu.


Nabi mengatakan bahawa Uwais adalah penghuni langit. Mendengar perkataan Nabi, Siti Aishah dan para sahabat terpegun. Nabi Muhammad seterusnya menceritakan dengan selanjutnya tentang Uwais Al-Qarni penghuni langit itu kepada para sahabatnya.


“Kalau kalian ingin berjumpa dengannya, perhatikanlah, dia mempunyai tanda putih di telapak tangannya.”


Sesudah itu, Nabi memandang Ali dan Omar seraya berkata: “Suatu ketika nanti, jika kalian bertemu dengan dia, mintalah doa dan istighfarnya, dia adalah penghuni langit, bukan orang bumi.”


Waktu terus berganti, dan Nabi kemudian wafat. Kekhalifahan Abu Bakar pun telah digantikan dengan Omar Al Khatab.


Suatu ketika, Khalifah Omar teringat akan sabda Nabi tentang Uwais, penghuni langit. Baginda segera mengingatkan kembali sabda Nabi itu kepada sahabatnya Ali Ibni Abi Thalib. Sejak saat itu setiap ada kafilah dagang yang datang dari Yaman, Khalifah Omar dan Saidina Ali selalu menanyakan tentang Uwais, si fakir yang tidak punya apa-apa itu, yang kerjanya hanya mengembala kambing dan unta setiap hari. Mengapa Khalifah Omar dan Saidina Ali selalu menanyakan dia?


Suatu ketika, Uwais turut mengikuti salah satu rombongan yang akan berangkat ke Madinah. Melihat ada rombongan yang baru tiba dari Yaman, Khalifah Omar dan Saidina Ali mendatangi mereka dan bertanyakan apakah Uwais turut bersama mereka?


Apabila dimaklumkan bahawa Uwais ada bersama mereka dan sedang menjaga unta-unta mereka di luar kota, Khalifah Omar dan Saidina Ali segera pergi berjumpa Uwais.


Sesampainya di khemah, tempat Uwais berada, Khalifah Omar dan Saidina Ali memberi salam, tapi rupanya Uwais sedang solat. Setelah mengakhiri solatnya dengan salam, Uwais lantas menjawab salam Khalifah Omar dan Saidina Ali sambil mendekati kedua sahabat Nabi itu dan menghulurkan tangannya untuk bersalaman.


Sewaktu berjabat salam, Khalifah Omar dengan segera membalikkan tangan Uwais untuk membuktikan kebenaran tanda putih yang berada di telapak tangannya seperti yang pernah dikata oleh Nabi.


Memang benar, nampaklah tanda putih itu di telapak tangan Uwais Al-Qarni. Wajah Uwais nampak bercahaya. Benarlah sabda Nabi itu bahawa dia adalah penghuni langit.


Khalifah Omar pun menanyakan namanya dan dijawab olehnya “Abdullah.” Mendengar jawapan Uwais, merekapun tertawa dan mengatakan bahawa, “Kami juga Abdullah, yakni hamba Allah. Tapi siapakah namamu yang sebenarnya.? Uwais kemudiannya berkata, “Nama saya Uwais Al-Qarni.”


Dalam perbualan mereka, ketahuilah bahawa ibu Uwais telahpun meningal dunia, itulah sebabnya ia dapat turut bersama rombongan kafilah dagang ketika ini. Akhirnya Khalifah Omar dan Saidina Ali memohon agar Uwais dapat membacakan doa dan istighfar untuk mereka. Uwais enggan dan lalu berkata, “Sayalah yang harus meminta doa dari kalian.”


“Kami datang kesini untuk memohon doa dan istighfar dari tuan.” Atas desakan dari kedua-dua mereka maka Uwais lalu mengangkat tangan dan terus membacakan doa dan istighfar, setelah itu Khalifah Omar berjanji untuk menyumbang wang negara dari Baitulmal kepada Uwais untuk jaminan hidupnya. Segera Uwais menolak dengan berkata, “Hamba mohon supaya hari ini saja hamba diketahui orang. Untuk hari-hari selanjutnya, biarlah hamba yang fakir ini tidak diketahui orang lagi.”


Beberapa tahun kemudian, Uwais Al-Qarni pun kembali ke rahmatullah. Anehnya, pada saat dia akan dimandikan, tiba-tiba sudah banyak orang yang berebutan untuk memandikannya. Dan ketika dibawa ketempat pembaringannya untuk dikafankan, disanapun sudah ada ramai orang menunggu untuk mengkafankannya. Demikian pula ketika orang pergi untuk menggali kuburnya, disana sudah ada orang-orang yang menggali kuburnya hingga selesai. Ketika jenazahnya diusung kekuburan, luar biasa banyaknya orang yang berebutan untuk mengusungnya.


Meninggalnya Uwais, telah menggemparkan masyarakat kota Yaman. Banyak terjadi hal-hal yang amat menghairankan. Sedemikian, banyaknya orang-orang yang tidak dikenali berdatangan untuk mengurus jenazah dan permakamannya, padahal Uwais adalah seorang fakir yang tidak dihiraukan orang. Sejak dimandikan sampai ketika jenazahnya hendak diturunkan ke dalam kubur, disitu telah siap ada orang yang akan melaksanakannya.


Penduduk kota Yaman tercengang, meraka saling tertanya-tanya, “Siapakah sebenarnya engkau wahai Uwais Al-Qarni? Bukankan Uwais yang kita kenal hanyalah seorang fakir yang tidak memiliki apa-apa yang kerjanya hanya mengembala kambing dan unta-unta? Tapi, ketika hari wafatnya, engkau telah menggemparkan penduduk Yaman dengan hadirnya manusia-manusia asing yang tidak pernah kami kenal. Mereka datang dalam jumlah yang sedemikian banyaknya. Agaknya mereka adalah para Malaikat yang diturunkan kebumi untuk menguruskan pemakaman makhluk langit ini.


Kesimpulan dari kisah ini ialah betapa begitu pentingnya berbakti kepada orang tua hingga Rasulullah menyamakan berbakti kepada mereka menyamai dengan jihad.


Ketika ada seorang pemuda yang mengadap Nabi untuk ikut berjihad, baginda bertanya:


“Apakah kedua orang tuamu masih hidup,” pemuda itu menjawab: “Masih.” Baginda pun bersabda, “Kalau begitu, berjihadlah dengan berbuat baik terhadap keduanya.” (HR. Bukhari dan Muslim).



Saturday, November 20, 2010

DOA UNTUK SEORANG IBU

12 November 2010 hari Jumaat, ketika aku sampai di kampung, hari sudah semakin senja. Ketika aku terpandang emak yang sedia menanti, dia kelihatan tersenyum walaupun dia belum mengetahui siapa yang pulang pada hari itu untuk menziarahinya.

Sebaik aku bersalam dan mencium tangan serta pipinya baru ia mengecam bahawa aku yang pulang pada hari itu. Emak sentiasa gembira apabila anak-anaknya datang menziarahinya samada mereka datang dari dekat atau jauh.

Emak yang duduk menunggu di kedai makan Amri, adikku pada petang itu nampak manis pada pandanganku

"Emak apa kabar, sihat ke?" tanyaku dengan nada yang terpaksa dikuatkan kerana emak kurang pendengaran.

"Aku sihat, hang macammana, pompuan hang dengan anak-anak mana, depa tak datang ka?' tanya emak sambil mencari-cari kelibat isteri dan anak-anakku.

"Lina kirim salam, dia dengan anak-anak tak ikut sebab sekolah ada buat penyampaian hadiah esok. Jadi 'oghang' balik 'soghang' ja lah" jawab aku yang membahasakan diriku sebagai 'oghang' bila bercakap dengan emak. Walaupun kami tinggal di Taiping, Perak, kami bercakap menggunakan loghat utara.

"Emak dah makan koeytiaw goreng, dia dah kenyang, ubat untuk malam pun dia dah makan" kata Amri adikku yang membuka perniagaan kedai makan berhadapan rumah emak.

"Jom masuk rumah, aku dah tak 'laghat' kata emak lagi...

Emak yang dahpun berusia 84 tahun masih lagi boleh berjalan dengan menggunakan tongkat tapi dalam jarak yang dekat sahaja, kami tidak menggalakkan emak menggunakan kerusi roda takut emak jadi manja dan tak nak berdikari lagi. Mandi dan ketandas pun emak boleh berjalan sendiri dengan berpaut pada dinding atau kerusi yang diletakkan berhampiran. Kami hanya mengiringinya atau mengawasinya sahaja takut dia terjatuh.

Dulu emak tinggal dengan Sham, adik perempuan aku yang bongsu, tapi selepas ia berpindah ke rumah sendiri, emak tak nak ikut, dia nak tinggal dirumah sendiri. Kami adik beradik pun bermesyurat dan telah menetapkan untuk bergilir-gilir menjaga emak.

Bagi yang tinggal dekat dengan rumah emak, mereka diminta bergilir-gilir menjaga emak bermula Ahad petang sehingga Jumaat malam.

Bagi kami yang tinggal jauh di Kuala Lumpur seramai empat orang , diminta balik bergilir-gilir untuk menjaga emak bermula pada hari Jumaat malam sehingga ke Ahad petang. Ini bermakna siapa yang kena gilirannya akan pulang sebaik-baik sahaja habis kerja pada petang Jumaat tu. Dari Kuala Lumpur ke Taiping, Perak mengambil masa 4 jam melalui lebuhraya Utara Selatan.

Setakat ini Alhamdulillah, kami semua dapat menjalankan tanggungjawab sepertimana yang telah diamanahkan. Kami semua amat bersyukur kerana semasa kami semua seramai 16 orang masih kecil, emak dan ayah dapat membela dan menjaga kami dengan segala susah payah dan sempurna sehinggalah kami semua sekarang dah agak berjaya, mempunyai pekerjaan dan tanggungjawab sendiri. Sekarang kami adik beradik tinggal 15 orang sahaja kerana adikku yang ke 12 meninggal dunia semasa ia masih kecil.

Semenjak ayah meninggal kira-kira 11 tahun yang lalu, emak kesunyian dan sering merindui ayah, ini kerana semasa ayah masih hidup, ayah seorang yang penyayang dan rajin menguruskan rumahtangga, hobi ayah mengecat rumah, berkebun, dan rajin berbual-bual dengan mak sebelum mereka tidur. Apabila ayah berbual dengan emak, kami semua dapat mendengar apa yang mereka bualkan itu sebab perbualan mereka agak kuat. Kami dah tak hairan sebab dah lali... Ayah juga seorang imam di surau berhampiran rumah kami.

Sesekali bila balik kami dapat mendengar melalui speaker suara ayah mengalunkan Tarhim sebelum masuknya waktu subuh. Ayah juga seorang yang pandai melukis dan menulis seni khat jawi. Semasa aku bersekolah, banyak kali juga aku tengok ayah buat sepanduk yang diupah oleh kawannya yang bekerja di Jabatan Kerja Raya (JKR) Taiping untuk pertandingan perarakan Maulidur Rasul di Bandar Taiping sekitar tahun 1980an dulu. Ayah juga sesekali diupah untuk membuat papan tanda untuk kawan-kawannya yang ingin membuka warung.

Berbalik kisah mak, malam aku jaga emak tu ...pukul 3 pagi emak kencing tilam...kebetulan Amri ada sekejap dirumah selepas habis berniaga, kami sama-sama menguruskan emak dan membasuh tilamnya.

Ahad pagi , aku tengok mak tak bermaya dan nampak letih, berbanding pagi Sabtu emak masih ceria dan mengikut aku kekedai untuk bersarapan pagi..tapi pagi Ahad, aku rasa lain macam...emak tidak bergerak-gerak dan tidur dengan nyenyaknya. Mungkin letih selepas kencing pada malam tu. Tapi emak bangun kencing tengah malam banyak kali dah jadi perkara biasa pada kami sebab mak pengidap penyakit kencing manis, selalu ia sempat ke tandas, cuma malam tu saja ia kencing tilam..."Allah nak uji aku kot..." kata aku didalam hati.

Ahad petang, sebelum aku balik ke Kuala Lumpur, Din seorang lagi abang aku yang tinggal berhampiran datang untuk mengambil alih tugas aku menjaga emak. Aku, Din dan emak kerumah 'At' seorang lagi abangku yang tinggal berhampiran yang baru menerima cucu dan secara tak langsung emak juga menerima cicit baru. Mereka datang dari Sabah kerana pulang bercuti. Mak kembali ceria dan mukanya manis semula sepertimana yang aku lihat semasa aku baru sampai dari Kuala Lumpur petang Jumaat itu.

Sebelum balik, aku, Din dan emak sempat makan koeytiaw yang digoreng oleh Amri....aduh...sedapnya.....

Tepat pukul 8 malam, aku pun bertolak pulang ke Kuala Lumpur dan selamat tiba di rumah jam hampir 12 tengah malam.

Ini lah gambar ayahku beserta sijil kematiannya.
Ia meninggal pada 17 Mei 1999 ketika berusia 77 tahun

Tulisan tangan ayah. bacaan surah dalam sembahyang
mengikut susunan harinya

Ini lah gambar ibuku. Habsah bt. Man
berusia 84 tahun, beranak 16 kali.
Teror ke tak teror emak aku ni...

Album keluarga. Cuba kira ada berapa orang?
Yang sulung duduk kiri sekali dan yang bongsu berdiri di kiri sekali.
Emak duduk di tengah berkain biru.
Gambar dirakam pada tahun 2002

Amri sedang menggoreng koeytiaw untuk kami.


Kereta yang membawa aku pulang...
Avanza 1.5E tahun 2007.
Kereta ini merupakan kereta aku yang kelima
selepas Mazda, Saga, Iswara dan Ford Laser.
Semasa memakai Ford Laser aku mempunyai saman
bernilai RM780.00 dan telahpun dijelaskan kesemuanya.

Kereta Proton Saga yang aku pakai tahun 1993 dahulu.
Kemalangan yang berlaku pada tahun 1995
sewaktu ketempat kerja diawal pagi Jumaat
dalam hujan renyai hampir meragut
nyawaku dan isteri.