Dang Damit dibantu suaminya Jumat menjemur ikan masin
yang menjadi sumber pendapatan mereka sejak lebih 10 tahun lalu...
Masyarakat Malaysia amat menggemari ikan masin dalam juadah harian, namun ramai tentunya tidak tahu mengenai ikan kicap atau 'manyung berkicap'.
Diperbuat daripada ikan duri atau disebut 'manyung' dalam
bahasa tempatan di Sabah, ia adalah makanan unik sama fungsinya sebagai lauk
sampingan seperti ikan masin yang dihasilkan penduduk, khususnya wanita di
Pulau Tanjung Aru, sebuah perkampungan nelayan terletak kira-kira tiga batu
nautika dari bandar Sandakan.
Berpeluang berkunjung ke pulau itu yang bukan saja dikenali
kerana produk hasil ikan dan udang, malah sebagai destinasi mengintai kelibat
sang monyet serta kelip-kelip.
Banyak jeti disediakan
Selepas 15 minit perjalanan menaiki bot penambang dari jeti
berhampiran Pasar Umum Sandakan, bot mula memasuki kawasan kuala dan tidak
sampai lima minit, perkampungan atas air yang mempunyai kira-kira 150 rumah
didiami lebih 1,200 penduduk mula kelihatan.
Uniknya, di pulau itu yang sebahagian besar didiami etnik
Brunei, banyak jeti disediakan iaitu selang empat atau lima rumah bagi memudahkan
penduduk menaiki bot dan mengangkut produk serta hasil tangkapan tanpa perlu
berjalan jauh, berbanding pulau lain yang cuma ada satu atau dua jeti.
Pemandangan sekitar pulau disajikan dengan bot pukat tunda
dan rawai yang berlabuh di jeti sambil dua atau tiga penduduk memukat di tengah
kuala, manakala bot kecil nelayan dan bot penambang bersilih ganti memudik ke
hulu serta hilir kuala.
Sara keluarga
Di situ, wartawan bertemu Dang Damit Aliusin, 57, seorang
daripada tujuh wanita gigih yang menjadikan aktiviti memproses ikan sebagai
pekerjaan bagi membantu suami menyara keluarga.
Jauh daripada kesibukan bandar, ibu kepada enam anak berusia
17 hingga 27 tahun itu giat mengerah tulang empat kerat, membakar diri di bawah
terik matahari untuk menjemur ikan demi mencari rezeki.
Selepas setengah jam berjemur di pantaran, dia masuk ke
rumah menyiang ikan dan keluar semula selang sejam untuk memeriksa keadaan ikan
dan memastikan sumber pendapatannya itu tidak diganggu kucing.
Wanita separuh usia itu kelihatan cergas biarpun kulit agak
kehitaman mungkin kerana kerap dipanah panas matahari.
Memulakan ceritanya, Dang Damit yang menggunakan nama 'Puan
Armah' dalam produk tertera di setiap bungkusan ikan masin dan ikan kicap,
berkata beliau memulakan perniagaannya sejak 10 tahun lalu dengan awalnya, cuma
berniaga dari rumah seperti wanita lain di pulau itu.
Pelanggan mereka membabitkan rakan dan saudara-mara, selain
pelancong yang berkunjung ke perkampungan air itu hampir setiap hari.
Pasaran hingga ke luar negara
Bermodalkan RM2,000 pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM),
Dang Damit memberanikan diri memulakan perniagaan di pasar tani bandar Sandakan
dan tamu mingguan bagi penduduk yang diadakan pada setiap Ahad, bermula tahun
2002.
Katanya, ikan kicap iaitu makanan tradisi masyarakat etnik
Brunei yang kebanyakan mendiami daerah di pantai barat Sabah, Labuan dan Brunei
adalah paling laris dengan peminatnya bukan saja dalam kalangan penduduk
tempatan, malah dari Semenanjung yang mahu mencuba makanan istimewa itu.
"Kami membawa 40 hingga 60 bungkus ikan masin dan kicap
ke tamu, biasanya habis dijual. Kami juga menjual keropok ikan dan udang yang
turut diborong peniaga dari Kota Kinabalu untuk dijual di sana.
"Selain tamu, ada juga pelanggan dari luar yang
menempah sehingga 50 bungkus dan minta kami pos. Bukan dari Kota Kinabalu saja,
ada dari Semenanjung, Sarawak dan Singapura. Tak mengapa perniagaan kecil,
sampai juga ke luar negara.
"Alhamdulillah hasil jualan dapat tampung keluarga dan
pendidikan anak-anak. Dua anak makcik masih belajar di universiti, tiga lagi
sudah tamat pengajian, ada yang kerja dalam bidang perubatan dan kerja bank.
Mujur tak ikut macam kami," katanya sambil memberitahu pendapatan
bersihnya kira-kira RM2,000 sebulan.
Tidak harap duit suami
Tambah Dang Damit lagi, untuk mengharapkan gaji suaminya,
Jumat Mayasin, 62, sebagai imam kariah, tidak memadai menampung kehidupan dan
menghantar anaknya ke menara gading dengan kos barang di pulau yang jauh lebih
mahal berbanding di bandar.
Wartawan juga berpeluang melihat bagaimana ikan kicap
dihasilkan. Proses bagi menghasilkan ikan kicap sama seperti ikan masin iaitu
memerlukan ia dijemur beberapa hari, namun membezakannya cuma ikan masin
menggunakan garam, manakala ikan kicap dicampur kicap.
Ikan duri yang sudah dibuang perut dipotong kepada beberapa
bahagian untuk mengasingkan isi ikan daripada tulangnya sebelum dicampur kicap
pekat manis yang digaul bersama ketumbar sebelum dijemur.
Dang Damit berkata, ikan kicap dijemur antara tiga atau
empat hari sehingga isinya kering sebelum boleh dijual, namun makanan itu tidak
selalu ada.
"Ikan kicap cuma boleh buat pada musim laut berombak, sebab waktu itu banyak ikan manyung. "Kalau suami tidak turun ke laut sebab tugas, saya beli ikan daripada nelayan atau beli di pasar," katanya sambil menambah akan membeli antara 60 kilogram (kg) hingga 100kg ikan untuk diproses menjadi ikan kicap, ikan masin atau keropok.
Kini selepas lebih 10 tahun berniaga, wanita dan penduduk pulau itu boleh berbangga kerana bukan saja mampu meningkatkan pendapatan, malah membolehkan pulau itu menjadi terkenal sebagai pengeluar produk ikan.
Sebut saja nama pulau itu kepada penduduk setempat, pasti
semua mengatakan ikan kicap dan ikan masin datang dari Pulau Tanjung Aru.
----------------------------------------------------------------------------------------------------
Ana Liana Abdullah, 41, ibu kepada tiga anak adalah suri
rumah pertama yang terawal berkecimpung dalam perniagaan ikan masin di Pulau
Tanjung Aru.
Idea untuk menghasilkan ikan masin timbul apabila melihat
banyak ikan berkualiti rendah seperti gelama dan pari kecil ditangkap suaminya
menggunakan pukat rawai yang tidak dapat dijual ke pasar.
Dia kemudian mempelajari cara membuat ikan masin daripada
keluarganya sebelum suri rumah lain di kampung itu mengikut jejak langkahnya.
"Daripada buang begitu saja, bagus buat ikan masin.
Dulu kurang jual ikan masin di bandar. "Jika ada pun kebanyakan diusahakan orang Cina dan
mahal sebab daripada ikan jenis berkualiti. Orang berpendapatan rendah mana
mampu makan," katanya.
Ana Liana berkata, melihat kepada permintaan penduduk
terhadap ikan masin daripada pulau berkenaan memberi peluang kepadanya untuk
membuka gerai di pasar mingguan sekitar tahun 2000.
Ada saingan
Katanya, dia mampu meraih pendapatan sekitar RM600 hingga
RM800 dalam masa setengah hari menjual ikan masin di tamu ketika itu.
"Sekarang sudah ramai yang proses ikan masin dan buka
gerai di tamu, saingannya bertambah. "Pendapatan pun tidak terlalu lumayan macam dulu, tapi
syukur masih dapat bantu suami untuk sara kehidupan seharian berbanding hanya
bergantung pendapatan hasil tangkapan ikan," katanya.
Ana Liana berkata, ikan masin dari Pulau Tanjung Aru agak
diminati terutama golongan pertengahan umur kerana rasanya tidak terlalu masin,
berbanding produk ikan masin yang dijual di pasar umum atau pasar raya.
"Kami di sini ambil kira mengenai pelanggan yang ada
masalah kesihatan. Kalau terlalu masin, orang ada penyakit darah tinggi tak
dapat makan," katanya.
Sumber : BH Famili...
Wartawan : Poliana Ronnie Sidom...
Sumber : BH Famili...
Wartawan : Poliana Ronnie Sidom...
No comments:
Post a Comment