Siapa yang tidak tahu dengan Teluk Guatanamo di Cuba?
Pastinya bagi yang sering mengikuti perkembangan dunia Islam mengenali dengan
jelas tempat ini. Di sinilah berdirinya bangunan penjara yang sangat mengerikan
dengan penjagaan yang begitu ketat dan terkawal.
Bangunan yang dibina oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS)
bertujuan memenjarakan para tokoh dan mujahidin Islam yang dianggap sebagai
manusia paling berbahaya di dunia sebagai pengganas.
Sebahagian besar daripada tahanan di penjara ini adalah
Muslim, dengan latar belakang yang pelbagai berasal dari Negara Iraq dan
Afghanistan serta kepulauan Arab. Di penjara ini jugalah dunia telah dikejutkan
dengan pelbagai kisah penyeksaan, penghinaan, pembunuhan dan pelbagai lagi
bentuk kezaliman yang dilakukan terhadap banduan-banduan hanya kerana mereka
membawa satu identiti... Islam.
Mereka yang menjadi penghuni di dalam bangunan ini dipandang
jijik, dihina dengan layanan melangkau fitrah seorang manusia hatta sekalipun
seekor haiwan. Itulah nasib yang diterima oleh mereka yang bergelar banduan di
penjara ini.
Walaupun begitu, mujur sebahagian besar masyarakat dunia
memandang dengan reaksi negatif kewujudan penjara Guatanamo. Tuntutan agar
penjara ini ditutup mengalir deras terhadap kerajaan AS sehingga Presiden AS,
Barrack Obama menyambut baik tuntutan tersebut.
Sekalipun dilingkari dengan kisah-kisah yang jelik dan pahit
dari penjara tersebut, namun masih terdapat lagi beberapa kisah indah yang menjadi
penawar bagi umat Islam. Kisah yang berlaku terhadap salah seorang pengawal
penjara, Terry Holdbrooks menjadi satu yang bermakna pada dirinya.
Kehidupan para tahanan banduan dalam penjara itu sememangnya
memberi kesan dan pengaruh yang besar dalam hidup Terry yang pada mulanya hidup
terumbang-ambing, sementalah lagi kedua-dua ibu bapanya yang berpisah sejak dia
berusia tujuh tahun.
Dilahirkan di Phoenix, Arizona iaitu salah sebuah negeri di
Amerika Syarikat dan terkenal dengan gurunnya pada 32 tahun yang lalu, dia sama
sekali tidak pernah mendengar tentang Islam. Apatah lagi mengetahuinya sebagai
sebuah agama.
Ini kerana dia tidak pernah kenal tentang kewujudan tuhan
selama membesar di sana. Kehidupan junkies yang dilaluinya saban waktu telah
membawanya kepada dunia yang penuh dengan maksiat.
Memasuki usia dewasa seusai pendidikan menengah, dia memohon
kerja sebagai tentera kerana timbul kesedaran untuk berubah. Akhirnya dia
diterima menyertai badan beruniform tersebut tetapi ditugaskan ke Guatanamo
pada tahun 2003. Ketika itu usianya baru 19 tahun.
Walaupun itu merupakan tugasan yang pertama sebagai tentera,
Terry tetap menerimanya sekalipun tahu tempat tersebut merupakan tempat paling
berbahaya kerana dihuni oleh manusia paling buruk di antara yang terburuk.
Hal ini disebabkan dia sebelumnya telah menyaksikan rakaman
video peristiwa 11 September 2001 yang menyaksikan umat Islam membuat serangan
terhadap bangunan World Trade Center.
Dia juga turut berasakan di penjara itu nanti akan bertemu
dengan orang-orang yang AS anggap sebagai musuh yang kejam dan berbahaya. Di
benak fikirannya hanya satu, dia pasti bertemu dengan pemandu Osama bin Laden,
jurumasaknya serta orang-orang yang akan membunuhnya jika mereka punyai
peluang dan kesempatan.
GUANTANAMO AKU DATANG...
Sampai sahaja di Guatanamo, seribu pertanyaan dan persoalan
berlegar di benak fikirannya. Ketika itu buat pertama kalinya, dia bertemu
dengan seorang tahanan yang usianya baru menjangkau usia 16 tahun. Tahanan
tersebut menyatakan bahawa dia sama sekali tidak pernah melihat laut dan tidak
pun mengetahui yang bumi ini berbentuk bulat. Lalu timbul persoalan adakah anak
muda itu tahu tentang rencana dunia gagasan pemerintah As iaitu 'War of Terror'
(gerakan global memerangi pengganas).
Daripada persoalan kecil yang timbul itu akhirnya membawa
satu perubahan yang besar dalam hidupnya. Perlahan-lahan dia Cuba mengenali
Islam yang mula bercambah dalam jiwanya. Ketika para pengawal lain menyibukkan
diri dengan alkohol dan gambar porno, Terry banyak memanfaatkan waktunya untuk
berinteraksi dengan tahanan yang selama ini dianggap oleh pemerintah AS sebagai
pengganas.
Dengan bermodalkan senyuman, membuatnya cepat ramah dengan
warga penghuni Guatanamo hingga dia dikenal sebagai pengawal yang baik. Terry
mula membicarakan soal latar belakang politik, etnik, moral, agama dan juga
budaya mereka. Hasil daripada diskusi itu memberinya banyak pencerahan. Dan
daripada para warga Guatanamo inilah, dia mulai mendapatkan informasi tentang
Islam secara mendalam.
Keadaan ini secara tidak langsung membuatkan dia mengalami
kejutan budaya kerana selama ini dia tidak tahu sama sekali tentang Islam
apatah lagi konsep ketuhanan.
Setahun sebagai pengawal penjara ia telah mengubah hidupnya
secara total. Satu malam, Terry memberanikan diri berjumpa dengan jeneral
penjara buat kali kedua menyatakan hasratnya untuk memeluk Islam.
Terry tidak puas hati kerana pertemuan pertamanya dengan
jeneral penjara, hasratnya ditolak mentah-mentah. Namun untuk kali kedua, dia
mahu berbicara panjang lebar.
"Dengar adik! Adakah awak faham perkara ini akan
mengubah keseluruhan hidup awak? Awak tidak boleh lagi minum arak, merokok dan
makan babi. Melakukan persetubuhan di luar nikah, serta menonton porno. Awak
kena belajar bahasa Arab, perlu solat lima kali sehari, belajar agama dan perlu
ikut segala yang disuruh Allah. Bukan itu sahaja, awak tidak boleh lagi bersama
kami di sini, rakan dan keluarga awak pasti akan membenci dan hidup awak akan
susah," amaran Jeneral.
Suatu petang pada 29 Disember 2003, setelah hampir setahun
mengkaji dan memahami tentang Islam, dia akhirnya membulat tekad dengan membuat
satu keputusan yang sangat besar mengucapkan syahadah. Dengan disaksikan
beberapa orang rakan, Terry akhirnya kembali kepada fitrah seorang manusia.
Seorang tahanan yang menjadi mentornya selama di sana telah
memimpin upacara sederhana pengucapan syahadahnya. Lantas dengan ucapannya itu
dia memutuskan untuk tidak lagi melakukan segala jenis maksiat termasuk
kebiasaannya mengambil minuman keras yang selama ini menjadi rutinnya.
Terry berasakan ia seperti lahir kembali seusai kalimah
syahadah meniti di bibir. Dengan pengislamannya, maka dia menukar namanya
kepada Mustafa Abdullah. Baginya sesuatu itu tidak mudah buatnya, apalagi untuk
mendirikan solat lima waktu di penjara Guatanamo. Namun begitu ia tidak
membuatnya menyerah bahkan bertambah mantap untuk tetap kukuh berada dalam
Islam.
Sesaat dia merasa dirinya terlalu kerdil di hadapan tahanan
Guatanamo. Lantas hatinya berbisik, selama aku bergelar pengawal penjara,
berasa malu bertimpa-timpa.
Walaupun tubuh mereka berada di balik jeriji besi, akan
tetapi sebenarnya para tahanan itu jiwanya jauh lebih merdeka dariku. Aku ni
fizikalnya bebas tetapi jiwa terpenjara dengan peraturan tentera. Sampai
bila...?"
Terry bergambar bersama isteri tercinta...
Sumber : Al Islam
Susunan : Mohd Azrin Wahid
No comments:
Post a Comment