Pada artikel yang lepas, Tn. Ramlan Morad telah memberikan tutorial tentang kutipan buah relai melalui klip video yang dirakam. Kepada pelayar blog yang belum mengikuti tutorial tersebut mereka boleh klik di sini supaya mereka tidak terlepas maklumat-maklumat yang telah disampaikan oleh beliau berkaitan dengan Pengurusan Ladang Sawitnya di FELCRA Seberang Perak 10.
Untuk artikel kali ini, aku telah memuat naik 5 lagi klip video ke dalam blog iaitu tutorial tentang tatacara Komposing, Langkah-langkah untuk mengawal kelembapan tanah, Plot Contoh (Kawasan Tumpuan), Infrastuktur ladang (Penyelenggaraan jalan pertanian serta jalan utama) dan Pengurusan hasil yang berkesan...
Sepatutnya ada lagi beberapa video yang Tn Ramlan hendak membuat tutorial tetapi oleh kerana memori kad kamera aku dah penuh dan aku pulak tak bawak spare maka setakat ini sahajalah video yang boleh aku kongsikan di dalam blog...
Video 1 : Tatacara komposing...
Video 2 : Langkah2 utk mengawal
kelembapan tanah...
Video 3 : Plot contoh (Kawasan tumpuan)...
Video 4 : Infrastruktur ladang dengan memberi penekanan
tentang penyelenggaraan jalan pertanian di ladang
dan jalan utama....
Video 5 : Pengurusan hasil yang berkesan...
Ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Tn Ramlan b. Morad, Pengurus Kawasan (ketika rakaman dibuat) dan teamnya yang gigih berusaha tanpa mengenal erti penat dan lelah dalam melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada beliau dalam menguruskan ladang sawit FELCRA Berhad Seberang Perak 10.
Kini Tn Ramlan Morad dan aku yang bertindak sebagai pelapor telahpun bersara dari perkhidmatan. Kenangan semasa melaksanakan tugas hingga terhasilnya video ini akan menjadi satu kenangan manis sepanjang perkhidmatan kami berdua.
Adalah diharapkan semoga FELCRA Berhad Seberang Perak 10 khasnya dan FELCRA Berhad amnya terus maju dalam misi dan visinya sebagai Plantation House No. 1 dalam negara. In Shaa Allah.
Semasa kami buat lawatan ke FELCRA Berhad Seberang Perak 10 satu ketika dulu kami telah dibawa ke ladang sawit kawasan berkenaan kerana Tn Ramlan Morad, Pengurus Kawasan ketika itu ingin menunjukkan satu kaedah bagaimana hendak mengutip buah relai dengan cepat dengan menggunakan alat yang direka khas menggunakan bahan terbuang.
Menurut Tn Ramlan dengan kreativiti yang ada pada seorang 'jaga ladang kawasan' beliau telah berjaya mencipta alat mengutip buah relai dengan menggunakan bekas tong racun yang sudah tidak digunakan lagi.
Mari kita lihat video yang sempat aku rakam semasa kerja-kerja mengutip buah relai dibuat.
Video 2 : Tn. Ramlan memberi sedikit penerangan
tentang kaedah mengutip buah relai
dengan alat yang direka khas
Video 3 : buah relai dimasukkan ke dalam guni
dan diangkut keluar menggunakan trektor...
Video 4 : buah relai di dalam guni
dikumpul terlebih dahulu ke dalam sebuah tong
sebelum dihantar ke kilang untuk proses selanjutnya...
Video 5 : Motosikal digunakan untuk
mengangkut keluar buah relai dari ladang
dan masukkan ke dalam trektor utk
dihantar ke pusat pengumpulan...
Apa itu Buah Relai?...
Bagi sebahagian staf yang tidak bertugas di Bahagian ladang, mereka selalu dengar tentang buah relai ini tetapi mereka tidak berapa jelas akan kepentingan buah tersebut dalam menyumbang kepada pendapatan kawasan. Bagi menjelaskan perkara tersebut maka di bawah ini di terangkan apa itu buah relai.
Matlamat penuaian sawit adalah untuk mendapatkan kadar perahan minyak (KPM) yang tinggi dan mutu minyak yang terbaik daripada tandan sawit yang telah masak.
Tandan masak boleh ditentukan dengan melihat warna mesokarp. Tandan dikira masak apabila bahagian mesokarp buah sawit berwarna oren kemerahan atau sekurang-kurangnya satu biji buah sawit telah tertanggal dari soket tandan dan jatuh.
Nilai kemasakan buah sawit...
Kebiasaannya, jika tandan telah masak dan setiap kali proses penuaian dilakukan, sekurang kurangnya 10 hingga 20 buah relai akan terhasil daripada satu tandan. Buah relai ialah buah yang berwarna oren kemerahan yang gugur daripada tandan segar yang telah masak. Ia merupakan buah daripada bahagian luar tandan, bersaiz besar dan mempunyai kandungan minyak yang tinggi.
Buah relai dikumpulkan ke dalam tong...
Kajian menunjukkan buah di bahagian luar tandan menyumbang hampir 50% daripada jumlah peratusan minyak daripada tandan. Manakala sumbangan daripada buah daripada bahagian tengah dan dalam tandan adalah masing-masing 30% dan 20%. Buah relai perlu dikutip dan dikumpulkan bersama dengan tandan masak yang dituai. Ia hendaklah dihantar ke kilang dalam masa 24 jam selepas tandan dituai.
Kehilangan 20 buah relai untuk satu tandan sawit boleh mengurangkan KPM sebanyak 0.92%, 0.46% dan 0.37% bagi pokok sawit dalam tahun tuaian 1 hingga 5 tahun, 6 hingga 15 tahun dan lebih dari 15 tahun. Ini bermakna jika buah relai tidak dikutip dan diproses bersama dengan tandan segar, ia akan menurunkan kadar KPM dan kesannya lebih ketara bagi hasil daripada pokok sawit muda berbanding dengan pokok sawit tua kerana pokok sawit muda mempunyai saiz tandan yang kecil dan bilangan buah yang kurang untuk setiap tandan.
Buah relai yang tidak dikutip akan mendatangkan masalah kepada pengurusan kebun sawit. Ia akan tumbuh menjadi anak sawit liar yang perlu dihapuskan di mana kos merumpai akan meningkat. Jika dibiarkan hidup, akan menjadi saingan kepada pokok sawit dengan mengambil baja yang dibekalkan kepada pokok sawit. Anak sawit liar juga boleh disalah guna oleh sesetengah pihak, di mana dijadikan sumber benih untuk ditanam semula di ladang.
Buah relai kebiasaannya dikutip secara manual menggunakan tangan atau pencakar iaitu alat pengutip buah relai bagi memudahkan kerja-kerja mengutip buah relai dengan lebih banyak dan menjimatkan masa. Pekebun kecil yang tidak mengutip buah relai akan mengalami kerugian sama ada dari segi kehilangan berat jualan BTS ataupun pemotongan KPM.