Showing posts with label kemalangan. Show all posts
Showing posts with label kemalangan. Show all posts

Tuesday, November 5, 2013

8 TIPS MEMANDU KETIKA HUJAN...

Sekarang musim hujan. Sekolahpun dah nak bercuti panjang, ramai ibu bapa yang telah merancang untuk membawa anak-anak mereka berjalan dan melancung di dalam ataupun di luar Negara. Bagi yang berada, mungkin mereka lebih berminat keluar Negara. Tapi!!! tak kisahlah, ikut kemampuan masing-masing, yang penting, happy dan enjoy.

Bagi yang merancang nak melancung di dalam Negara dengan menaiki kereta, perlulah berhati-hati kerana hujan yang melanda Negara sejak 3 minggu yang lalu boleh menyebabkan perjalanan kita tergendala dan merbahaya terutama bagi mereka yang kurang berpengalaman memandu di dalam hujan lebat.

Jika kebetulan, semasa kita hendak memulakan perjalanan atau semasa kita sedang memandu menuju kedestinasi, tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya, 8 tips di bawah ini boleh dijadikan panduan untuk kita mengelak dari berlakunya kemalangan. 

1.  Elakkan menekan brek apabila kereta tergelincir- Ini boleh menyebabkan kereta terbabas. Cara terbaik ialah kawal pemanduan menggunakan stereng, namun ia hanya berkesan untuk kereta yang dipandu perlahan sahaja. 

2.  Kurangkan memandu di lorong paling kanan bagi mengelakkan percikan air apabila kenderaan dari arah berlawanan melalui lopak air. Ini bagi mengelakkan percikan air berkenaan menghalang pandangan ke depan, dan ia boleh menyebabkan risiko kemalangan meningkat sekiranya memandu laju.

3. Jika keadaan hujan semakin lebat dan keadaan gelap dan kabus mengganggu penglihatan, berhenti seketika di kawasan rehat bagi mengelakkan kecelakaan atau kemalangan.

4. Jangan memandu mengekori terlalu rapat dengan kereta hadapan. Ini akan membantu kita lebih bersedia untuk berhenti sekiranya kenderaan berkenaan menekan brek secara mengejut.

5. JANGAN menyalakan lampu kecemasan(hazard), kerana lampu itu sepatutnya dinyalakan apabila BERHENTI sahaja.

6. Selepas meredah jalan yang dinaiki air, elakkan memandu laju kerana ia boleh menyebabkan bahagian enjin dimasuki air, begitu juga dengan penunggang motosikal dan pejalan kaki yang akan terkena tempias atau percikan air.

7. Selepas meredah jalan dinaiki air, elakkan terus memandu laju kerana sistem brek tidak berfungsi sepenuhnya berikutan permukaan brek yang basah.

8. Bagi mengatasi masalah ini, ada beberapa panduan yang boleh dipraktikkan iaitu:
  • Gunakan gear 2 bagi kenderaan menggunakan sistem gear manual dan gear 1 bagi sistem automatik. 
  • Tekan pedal brek serentak dengan pedal minyak bagi menghasilkan kepanasan pada permukaan brek.
  • Bagi kenderaan pacuan 4 roda, gear automatik sama seperti gear manual. Hadkan kelajuan antara 5 hingga 15 kmj dan jarakkan kenderaan anda dengan kenderaan di hadapan. Proses ini akan mengeringkan permukaan brek. 
  • Uji tindakan di atas berulangkali pada jarak 20 hingga 30 meter sahaja.
  • Uji sistem brek pada kelajuan 20 kmj.
  • Sekiranya brek gagal berfungsi, ulangi proses di atas. Selepas itu uji lagi sistem brek sehingga prestasinya memuaskan sebelum memandu laju.
Berhati-hatilah ketika memandu. 'PANDU CERMAT JIWA SELAMAT...'         

Saturday, June 22, 2013

ARAHAN MEMADAMKAN ARTIKEL KEMALANGAN MAUT DI BUKIT 7, KUALA LIPIS MERAPOH, PAHANG...

Setiap orang yang mengalami tragedi yang melibatkan keluarga tersayang akan trauma dan menanggung kesedihan yang amat sangat apatah lagi jika kemalangan yang berlaku telah meragut nyawa. Itulah yang berlaku kepada En. Azman Ghani yang merupakan anak kepada Allahyarham Hj. Ghani serta isterinya yang maut dan anak perempuan mereka yang mengalami cedera parah dalam kemalangan yang berlaku antara kereta Wira dan lori balak pada 15 Mei 2013 lalu ketika pulang dari menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah.

Kejadian yang berlaku, sempat aku rakamkan ketika pasukan bomba, Polis dan Ambulance belum tiba di lokasi. Video rakaman serta gambar-gambarnya telah aku siarkan di blog ini pada malam itu juga apabila pulang ke hotel dalam rangka lawatan kerja ke Wilayah Pahang.  

Dua klip video yang diupload ke Youtube telah menjadi perhatian ramai dan dalam masa sebulan sahaja seramai 11,000 pelayar telah menontonnya apatah lagi video yang dirakam sangat jelas dan berstatus HD apabila diproses oleh pengendali Youtube.

Komen-komen yang diberi oleh penonton samada melalui youtube atau dibaca didalam blog rata-ratanya sangat bersimpati kepada mangsa dan keluarga manakala sebahagiannya pula memberi nasihat kepada pemandu-pemandu lain supaya sentiasa berhati-hati ketika berada di jalanraya dan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

Sebagai seorang blogger, aku sentiasa bersedia dengan kamera, buku catatan, beberapa batang pen dan pensil serta alat perakam suara walau kemanapun aku pergi kerana setiap saat dan ketika bahan-bahan berita sentiasa menanti secara sedar atau tidak untuk dilaporkan.

Setiap laporan yang akan aku keluarkan telah diambilkira dari segi kesan kepada orang ramai serta tidak menjatuhkan maruah serta mengaibkan mereka. Walaubagaimanapun ada masa-masanya bahan yang aku keluarkan, pada pandanganku tidak ada apa-apa yang boleh dipersoalkan tetapi sebaliknya menjadi sensitif kepada orang lain dan aku akur jika sekiranya ia minta dipadamkan.    

Begitulah yang terjadi kepada berita kemalangan itu. Suatu hari aku menerima komen melalui blog di mana salah seorang keluarga mangsa meminta supaya gambar-gambar mangsa kemalangan yang auratnya telah terbuka secara tidak sengaja ketika kemalangan terutamanya 'tudung kepala' atau selendang yang tercabut semasa dirakam dipadam dan aku telah membuang beberapa keping gambar yang menggambarkan keadaan itu.

Kemuncaknya pada semua laporan kemalangan yang disiarkan itu ialah apabila aku menerima satu email  menerusi gmail daripada anak Allahyarham yang meminta dan merayu supaya aku memadamkan rakaman tersebut di dalam Youtube.

Email yang disampaikan berbunyi seperti berikut:

salam ahmad jais,saye selaku anak arwah mintak budi bicara saudara untuk keluarkan videos kemalangan dekat bukit 7 antara kerata dgn lori balak pada 15-5-2013 di youtube.kemalangan itu membabitkan arwah ayah dan mak saya serta adik saya.mak saya meninggal dunia pada 16-5-2013 di wad ICU hospital termerloh.saudara boleh menghubungi atau sms sy di no....... untuk kepastian.nama saya azman.saya harap dan merayu agar en ahmad jais boleh mengeluarkan video itu.sekian terima kasih.


Bagi menghormati permintaan tersebut, aku segera memadamkan kesemua klip video kemalangan didalam youtube dan artikelnya sekali di dalam blog walaupun ketika itu artikel mengenainya menduduki ranking yang ke 3 terbaik berdasarkan dibuka dan dibaca oleh pelayar dan termasuk di dalam 10 popular post daripada semua artikel aku berjumlah sebanyak 378 buah.



Setelah memadamkan artikel tersebut, aku lantas menghantar SMS kepada anak Allahyarham Azman Ghani yang berbunyi seperti berikut:


Assalam. Semua video dlm youtube dan artikel dlm blog saya dah delete. berbanyak maaf dan keampunan saya pohonkan diatas penyiaran tersebut. tujuan saya hanyalah utk berkongsi pengalaman dan maklumat. Salam persahabatan dari saya Ahmad Jais. Tq.

Dan selang beberapa minit kemudian En. Azman telah membalas SMS yang dikirimkan berbunyi seperti berikut:

wslm. terima kasih byk kerana sudah delete video itu. sy sebagai wakil keluarga sekali lg ucap berbyk terima kasih. salam persahabatan dari sy. fb sy ...........add sy.

Semoga keluarga En. Azman tabah menghadapi dugaan ini dan didoakan semoga roh kedua-dua ibu bapa mereka di tempatkan bersama-sama orang yang soleh.....Alfatihah.....Amin...

Wednesday, March 27, 2013

KEMALANGAN NGERI DI JALAN PAHANG, KUALA LUMPUR...

Setiap hari jam enam petang aku akan pulang ke rumah selepas tugas-tugas di pejabat selesai pada hari tersebut dan aku akan menuju ke Kg. Baru bagi menjemput 'mem' yang bertugas di salah sebuah bank yang terletak disitu. 

Sebenarnya waktu bertugas aku adalah dari jam 8 pagi hingga 5 petang sahaja, tetapi di sebabkan 'mem' lambat, maka akupun relaks la dulu di pejabat sehingga pukul 6 petang. Kadang-kadang boring duduk di pejabat, aku akan ajak kawan-kawan yang masih belum balik untuk pergi lepak di foodcourt D' Rejang berhampiran sambil makan goreng pisang panas atau nasi lemak sambil menghirup nescafe tarik yang menyegarkan.  

Selesai semuanya, aku pun dengan menaiki sebuah kereta terus menuju ke Kg. Baru melalui jalan Pahang untuk mengambil 'mem' yang mungkin sudah menunggu. Biasanya, Jalan Genting Kelang menuju ke Jalan Pahang dan seterusnya ke Kg. Baru tidaklah sesak berbanding mereka-mereka yang akan pulang kerja dari Kuala Lumpur menuju ke Jalan Pahang dan seterusnya ke Jalan Genting Kelang yang akan menempuh kesesakan yang amat kronik.Tambahan pula di situ terdapat sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hwa di mana bermula jam 6 petang, bas-bas sekolah sudah mula bersusun di tepi-tepi jalan untuk mengambil pelajar-pelajar pulang. Tapi nasib baik sekolah sekarang ini sedang cuti seminggu.

Tetapi pada hari ini, kesesakan jalanraya menuju ke Kuala Lumpur dan Kg. Baru sesak teruk yang mana pada kebiasaannya tidaklah begitu. Dalam hati, aku tertanya-tanya juga sebab apa? Mungkin jalan rayanya dinaiki air akibat hujan lebat sebentar tadi. Tapi tak mungkin juga, sebab, jalan Pahang tidak pernah banjir walaupun hujan lebat.

Di kedua-dua arah pun begitu, sesak teruk. Hampir setengah jam aku memandu dengan beringsut-ingsut, akhirnya jawapan mengapa keadaan itu berlaku telahpun aku ketahui kerana, sebaik-baik sahaja aku menghampirinya, aku lihat seorang gadis yang bertugas sebagai jururawat berdasarkan uniform yang dipakainya telah terbaring betul-betul di  tepi tayar belakang sebuah lori pembancuh simen yang aku agak telah melanggarnya. 

Tanpa membuang masa, aku pun mencari satu tempat yang boleh aku parking kereta untuk menuju ke kawasan kemalangan tersebut bagi mengetahui keadaan yang sebenar-benarnya. Setelah memastikan yang tempat aku parking kereta itu selamat dan tidak mengganggu lalulintas, maka dengan berbekalkan sebuah kamera yang sentiasa dibawa, akupun berjalan pantas menuju tempat kejadian.  

Aku pun menyusup masuk kecelah-celah orang ramai untuk melihat apakah nasib gadis mangsa kemalangan itu. Adakah ia masih bernyawa atau sebaliknya? Setelah aku berjaya hampir kedepan, aku dapati mangsa masih bernyawa, matanya terkebil-kebil hanya memandang keatas dan dadanya kelihatan berombak. Kakinya nampak lembik macam telah patah. Disisinya kelihatan seorang lelaki dalam lingkungan umur 50an sedang mengawasinya mungkin ia ayah kepada gadis itu ataupun bukan. Aku pun tidak pasti. Aku lihat pakcik itu sedang bercakap melalui telefon bimbitnya mungkin sedang menghubungi seseorang atau keluarga gadis itu yang dikenalinya untuk memaklumkan akan kejadian.  

Orang ramai semakin tidak terkawal dan anggota polis pula sibuk mengawal lalulintas. Penunggang motosikal seperti biasa tidak pernah mempunyai etika yang baik ketika berada di jalanraya. Mereka akan memberhentikan motosikal dan meninggalkannya sesuka hati sehingga menghalang lalulintas. Keadaan ini menambahkan lagi suasana kelam kabut yang telah sedia berlaku.

Ambulance masih belum tiba dan gadis itu semakin lemah, Aku lihat Pakcik itu juga semakin cemas dan resah. Apakah Tuhan masih memberikan kesempatan kepada gadis itu untuk terus menghirup udara-Nya? atau Ia lebih menyayangi gadis itu dan menjemput ke sisi-Nya. Ada beberapa orang pemuda yang  turut memberikan bantuan kecemasan sekadar yang mampu. 

Setelah beberapa minit menunggu, di kejauhan sana, sudah terdengar sayup-sayup bunyi siren ambulance yang menandakan mereka sudah tiba untuk memberikan pertolongan. Tetapi pergerakan ambulance telah terhalang oleh kesesakan lalulintas yang berlaku. Dengan kecekapan polis yang bertugas, akhirnya ambulance pun dapat menghampiri mangsa kemalangan dan segera memberikan bantuan. 

Aku terus merakamkan gambar-gambar sambil mulut terkumat kamit membaca ayat-ayat suci Al-Quran yang di hafal untuk disedekahkan kepada gadis tersebut mudah-mudahan ia selamat dan beroleh kesejahteraan.

Akhirnya, setelah melalui detik-detik kecemasan yang panjang, petugas-petugas HKL pun selamat memasukkan mangsa kemalangan itu ke dalam ambulance dan terus memecut laju menuju ke HKL bagi tindakan selanjutnya.

Orang ramai yang berkerumun dan memenuhi jalanraya beransur-ansur meninggalkan tempat kejadian dengan seribu persoalan terutamanya tentang nasib gadis itu, apakah ia selamat atau sebaliknya?. Di samping itu aku berharap, dengan kejadian yang berlaku ini, sedikit sebanyak akan dapat menginsafkan pengguna-pengguna jalanraya yang lain agar sentiasa lebih berhati-hati kerana 'Malang tidak berbau' dan 'Maut sentiasa menanti'

Sebagai orang yang beriman, marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah Subhanahuwata'ala semoga gadis itu selamat dan dapat meneruskan kehidupannya yang masih panjang itu dan apabila dewasa nanti ia akan dapat berbakti kepada kedua ibubapanya, Agama dan Negara. 

Amin...Amin...Ya Robbal Alamin.....

Saksikan rakaman video dan gambar-gambar yang sempat dirakam supaya ia dapat memberikan manafaat kepada kita semua....          


Rakaman video yang menunjukkan ketibaan 2 buah ambulance 
untuk membawa mangsa kemalangan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) 
yang terletak lebih kurang 2 km dari tempat kemalangan....

Mangsa kemalangan merupakan seorang jururawat HKL yang dikatakan
terjatuh dari motosikal ketika mengelak air yang bertakung di jalanraya dan
 kebetulan sebuah lori simen menuju ke arahnya dan tidak diketahui
samada ia sudah dilanggar atau tidak....


Kelihatan orang ramai yang ingin 
menyaksikan kemalangan yang berlaku..... 

Kemalangan berlaku semasa hujan lebat yang sedang melanda
 Ibu Negara  semenjak seminggu yang lalu terutama di waktu petang.... 
"Lihatlah! di mana motosikal mereka letakkan...?"  




Kelihatan polis trafik sedang mengawal lalu lintas...

Air yang bertakung di atas jalanraya selepas hujan 
menambahkan lagi kesesakan jalanraya... 

Mangsa sedang menunggu ketibaan ambulance
 dan berada di dalam keadaan parah .... 

Mangsa sedang ditenangkan oleh seorang yang mungkin ayahnya
 tetapi tidak dapat dipastikan kesahihannya... 



Ketibaan ambulance kira-kira jam 6.20 pm...  




Lokasi kemalangan adalah berhampiran Sekolah Rendah Kebangsaan Cina
 dan juga berhampiran susur masuk ke Lebuhraya DUKE (Duta Ulu Kelang Expressway). 
di sebelah DUKE terletak sebuah masjid Jami'ul Ehsan dan di belakang masjid itu terdapat sebuah  
Restoran Hussin Sup Kambing dan Popiah yang amat popular di Jalan Pahang.   
2 kali seminggu, aku dan kawan-kawan penggemar sup kambing 
akan menjamu selera di situ... 



Petugas dari HKL sedang berusaha untuk
 membawa mangsa masuk kedalam ambulance....  




Mangsa telah selamat dimasukkan ke dalam ambulance jam 6.23 pm 
dan seterusnya dibawa ke HKL untuk rawatan selanjutnya...

Orang ramai bersurai selepas semuanya selesai dengan membawa
 satu kenangan yang tidak dapat dilupakan...

Sunday, June 20, 2010

KEMALANGAN JALANRAYA

Petang itu, 17 Jun 2010 semasa pulang dari tempat kerja kerumah, dan ketika tiba berhampiran susur keluar ke Sri Petaling dan ke Bukit Jalil, kira-kira jam 7 petang, aku telah menemui satu kemalangan jalanraya yang melibatkan sebuah motosikal berkuasa tinggi dengan sebuah kereta.

Melihatkan keadaan penunggang motosikal itu yang terbaring kaku, aku menjangkakan bahawa ia telah mengalami kecederaan yang amat serius dan mungkin tidak dapat diselamatkan lagi.

Dengan tidak membuang masa, aku telah mengeluarkan sebuah kamera digital dari beg dan mula menjalankan tugas-tugas sebagai jurugambar.

Lebuhraya Kuala Lumpur ke Seremban telah mula sesak teruk walaupun kemalangan baru sahaja beberapa minit berlaku. Ini adalah disebabkan oleh sikap penunggang-penunggang motosikal yang berhenti di bahu jalan dan meninggalkan motosikal mereka dengan sesuka hati untuk menyaksikan kemalangan itu dari dekat dan menghalang lalu lintas.

Walaubagaimanapun satu sikap penunggang motosikal yang boleh dipuji ialah kerana ada diantara mereka yang secara sukarela membantu memberikan pertolongan cemas kepada mangsa, ada yang mengawal lalu lintas, ada yang menghubungi ambulan melalui telefon bimbit mereka dan yang penting sekali ada yang merakamkan gambar-gambar tersebut untuk dikongsikan bersama dengan para pembaca (macam aku buat nilah....).

Sehingga berita ini ditulis, aku tidak tahu akan nasib penunggang motosikal tersebut sama ada masih hidup atau pun telah meninggal dunia.

Jadi pesan aku kepada semua pengguna-pengguna lebuhraya supaya berhati-hati dan ikut peraturan yang telah ditetapkan. Ingat "jangan biarkan orang tersayang menantikan kepulangan anda'. Selamat Memandu.

Mat-mat motor sedang membantu mangsa kemalangan.

Salah seorang mat motor membantu mengawal lalulintas.

Ada mat motor yang memerhatikan dari jauh
sambil menghalang lalulintas.

Mangsa kemalangan terbaring dan sedang
dibantu oleh mat-mat motor.
(Sorry..gambar kurang jelas).

Sebuah kereta telah berhenti secara sukarela
untuk membawa mangsa ke hospital yang berhampiran
samada hospital Serdang atau hospital Putra Jaya atau hospital Kajang.

Salah seorang mat motor memberikan arahan
kepada seorang pemandu kereta (wanita baju biru)
yang berhenti secara sukarela untuk membawa mangsa ke hospital.
(Sorry... kedua-dua gambar diatas juga kurang jelas)

Keadaan jalanraya yang masih sesak

Kesesakan hampir pulih

Motosikal mangsa yang belum dialhkan