Wednesday, March 27, 2013

KEMALANGAN NGERI DI JALAN PAHANG, KUALA LUMPUR...

Setiap hari jam enam petang aku akan pulang ke rumah selepas tugas-tugas di pejabat selesai pada hari tersebut dan aku akan menuju ke Kg. Baru bagi menjemput 'mem' yang bertugas di salah sebuah bank yang terletak disitu. 

Sebenarnya waktu bertugas aku adalah dari jam 8 pagi hingga 5 petang sahaja, tetapi di sebabkan 'mem' lambat, maka akupun relaks la dulu di pejabat sehingga pukul 6 petang. Kadang-kadang boring duduk di pejabat, aku akan ajak kawan-kawan yang masih belum balik untuk pergi lepak di foodcourt D' Rejang berhampiran sambil makan goreng pisang panas atau nasi lemak sambil menghirup nescafe tarik yang menyegarkan.  

Selesai semuanya, aku pun dengan menaiki sebuah kereta terus menuju ke Kg. Baru melalui jalan Pahang untuk mengambil 'mem' yang mungkin sudah menunggu. Biasanya, Jalan Genting Kelang menuju ke Jalan Pahang dan seterusnya ke Kg. Baru tidaklah sesak berbanding mereka-mereka yang akan pulang kerja dari Kuala Lumpur menuju ke Jalan Pahang dan seterusnya ke Jalan Genting Kelang yang akan menempuh kesesakan yang amat kronik.Tambahan pula di situ terdapat sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hwa di mana bermula jam 6 petang, bas-bas sekolah sudah mula bersusun di tepi-tepi jalan untuk mengambil pelajar-pelajar pulang. Tapi nasib baik sekolah sekarang ini sedang cuti seminggu.

Tetapi pada hari ini, kesesakan jalanraya menuju ke Kuala Lumpur dan Kg. Baru sesak teruk yang mana pada kebiasaannya tidaklah begitu. Dalam hati, aku tertanya-tanya juga sebab apa? Mungkin jalan rayanya dinaiki air akibat hujan lebat sebentar tadi. Tapi tak mungkin juga, sebab, jalan Pahang tidak pernah banjir walaupun hujan lebat.

Di kedua-dua arah pun begitu, sesak teruk. Hampir setengah jam aku memandu dengan beringsut-ingsut, akhirnya jawapan mengapa keadaan itu berlaku telahpun aku ketahui kerana, sebaik-baik sahaja aku menghampirinya, aku lihat seorang gadis yang bertugas sebagai jururawat berdasarkan uniform yang dipakainya telah terbaring betul-betul di  tepi tayar belakang sebuah lori pembancuh simen yang aku agak telah melanggarnya. 

Tanpa membuang masa, aku pun mencari satu tempat yang boleh aku parking kereta untuk menuju ke kawasan kemalangan tersebut bagi mengetahui keadaan yang sebenar-benarnya. Setelah memastikan yang tempat aku parking kereta itu selamat dan tidak mengganggu lalulintas, maka dengan berbekalkan sebuah kamera yang sentiasa dibawa, akupun berjalan pantas menuju tempat kejadian.  

Aku pun menyusup masuk kecelah-celah orang ramai untuk melihat apakah nasib gadis mangsa kemalangan itu. Adakah ia masih bernyawa atau sebaliknya? Setelah aku berjaya hampir kedepan, aku dapati mangsa masih bernyawa, matanya terkebil-kebil hanya memandang keatas dan dadanya kelihatan berombak. Kakinya nampak lembik macam telah patah. Disisinya kelihatan seorang lelaki dalam lingkungan umur 50an sedang mengawasinya mungkin ia ayah kepada gadis itu ataupun bukan. Aku pun tidak pasti. Aku lihat pakcik itu sedang bercakap melalui telefon bimbitnya mungkin sedang menghubungi seseorang atau keluarga gadis itu yang dikenalinya untuk memaklumkan akan kejadian.  

Orang ramai semakin tidak terkawal dan anggota polis pula sibuk mengawal lalulintas. Penunggang motosikal seperti biasa tidak pernah mempunyai etika yang baik ketika berada di jalanraya. Mereka akan memberhentikan motosikal dan meninggalkannya sesuka hati sehingga menghalang lalulintas. Keadaan ini menambahkan lagi suasana kelam kabut yang telah sedia berlaku.

Ambulance masih belum tiba dan gadis itu semakin lemah, Aku lihat Pakcik itu juga semakin cemas dan resah. Apakah Tuhan masih memberikan kesempatan kepada gadis itu untuk terus menghirup udara-Nya? atau Ia lebih menyayangi gadis itu dan menjemput ke sisi-Nya. Ada beberapa orang pemuda yang  turut memberikan bantuan kecemasan sekadar yang mampu. 

Setelah beberapa minit menunggu, di kejauhan sana, sudah terdengar sayup-sayup bunyi siren ambulance yang menandakan mereka sudah tiba untuk memberikan pertolongan. Tetapi pergerakan ambulance telah terhalang oleh kesesakan lalulintas yang berlaku. Dengan kecekapan polis yang bertugas, akhirnya ambulance pun dapat menghampiri mangsa kemalangan dan segera memberikan bantuan. 

Aku terus merakamkan gambar-gambar sambil mulut terkumat kamit membaca ayat-ayat suci Al-Quran yang di hafal untuk disedekahkan kepada gadis tersebut mudah-mudahan ia selamat dan beroleh kesejahteraan.

Akhirnya, setelah melalui detik-detik kecemasan yang panjang, petugas-petugas HKL pun selamat memasukkan mangsa kemalangan itu ke dalam ambulance dan terus memecut laju menuju ke HKL bagi tindakan selanjutnya.

Orang ramai yang berkerumun dan memenuhi jalanraya beransur-ansur meninggalkan tempat kejadian dengan seribu persoalan terutamanya tentang nasib gadis itu, apakah ia selamat atau sebaliknya?. Di samping itu aku berharap, dengan kejadian yang berlaku ini, sedikit sebanyak akan dapat menginsafkan pengguna-pengguna jalanraya yang lain agar sentiasa lebih berhati-hati kerana 'Malang tidak berbau' dan 'Maut sentiasa menanti'

Sebagai orang yang beriman, marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah Subhanahuwata'ala semoga gadis itu selamat dan dapat meneruskan kehidupannya yang masih panjang itu dan apabila dewasa nanti ia akan dapat berbakti kepada kedua ibubapanya, Agama dan Negara. 

Amin...Amin...Ya Robbal Alamin.....

Saksikan rakaman video dan gambar-gambar yang sempat dirakam supaya ia dapat memberikan manafaat kepada kita semua....          


Rakaman video yang menunjukkan ketibaan 2 buah ambulance 
untuk membawa mangsa kemalangan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) 
yang terletak lebih kurang 2 km dari tempat kemalangan....

Mangsa kemalangan merupakan seorang jururawat HKL yang dikatakan
terjatuh dari motosikal ketika mengelak air yang bertakung di jalanraya dan
 kebetulan sebuah lori simen menuju ke arahnya dan tidak diketahui
samada ia sudah dilanggar atau tidak....


Kelihatan orang ramai yang ingin 
menyaksikan kemalangan yang berlaku..... 

Kemalangan berlaku semasa hujan lebat yang sedang melanda
 Ibu Negara  semenjak seminggu yang lalu terutama di waktu petang.... 
"Lihatlah! di mana motosikal mereka letakkan...?"  




Kelihatan polis trafik sedang mengawal lalu lintas...

Air yang bertakung di atas jalanraya selepas hujan 
menambahkan lagi kesesakan jalanraya... 

Mangsa sedang menunggu ketibaan ambulance
 dan berada di dalam keadaan parah .... 

Mangsa sedang ditenangkan oleh seorang yang mungkin ayahnya
 tetapi tidak dapat dipastikan kesahihannya... 



Ketibaan ambulance kira-kira jam 6.20 pm...  




Lokasi kemalangan adalah berhampiran Sekolah Rendah Kebangsaan Cina
 dan juga berhampiran susur masuk ke Lebuhraya DUKE (Duta Ulu Kelang Expressway). 
di sebelah DUKE terletak sebuah masjid Jami'ul Ehsan dan di belakang masjid itu terdapat sebuah  
Restoran Hussin Sup Kambing dan Popiah yang amat popular di Jalan Pahang.   
2 kali seminggu, aku dan kawan-kawan penggemar sup kambing 
akan menjamu selera di situ... 



Petugas dari HKL sedang berusaha untuk
 membawa mangsa masuk kedalam ambulance....  




Mangsa telah selamat dimasukkan ke dalam ambulance jam 6.23 pm 
dan seterusnya dibawa ke HKL untuk rawatan selanjutnya...

Orang ramai bersurai selepas semuanya selesai dengan membawa
 satu kenangan yang tidak dapat dilupakan...

3 comments:

  1. i feel sorry for her family..n hope she getting well asap...

    ReplyDelete
  2. owh.. terjawab sudahh, aku juga melalui jln tersebut... smoga mangsa selamat dan diharapkan agar dapat menjalani kehidupan seperti biasa...

    ReplyDelete
  3. TQ Natasha & Ieza Zaslia semoga kalian berdua di dalam peliharaan Allah...
    Berhati-hati di jalanraya...

    ReplyDelete