Showing posts with label penyakit. Show all posts
Showing posts with label penyakit. Show all posts

Monday, August 4, 2014

PAKU KARAT BOLEH LUMPUHKAN BADAN...


Kecederaan akibat terpijak paku atau apa saja objek tajam yang berkarat tidak boleh dipandang ringan. Tanpa rawatan yang sesuai, ia bukan sahaja membawa kemudaratan serius tetapi juga boleh membawa maut.

Sekalipun paku atau objek tajam yang dipijak itu bersih dan tidak berkarat, tetapi kesannya tetap membahayakan. Paku itu mungkin terdedah kepada tanah, habuk atau najis yang boleh memudaratkan kesihatan jika pengubatan diabaikan. Kecederaan akibat terpijak paku boleh membawa kepada berbagai-bagai komplikasi yang mengancam nyawa. Ia membawa risiko diserang penyakit tetanus dan juga infeksi di bahagian kaki termasuk gangrene yang menyebabkan kaki terpaksa dipotong.

Menurut Dr. Hyzan Mohd. Yusuf, pensyarah dan pakar bedah ortopedik dan trauma dari Jabatan Ortopedik dan Traumatologi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, kecederaan akibat terpijak paku berkarat mendedahkan seseorang itu kepada sejenis organisme berbahaya dikenali sebagai Clostridium tetani yang membawa kepada tetanus.

 

Penyakit itu biasanya menyerang dalam tempoh empat hingga empat belas hari dan menyebabkan seseorang itu mengalami gangguan saraf dan kekejangan otot, bermula di bahagian muka sebelum merebak ke leher, badan, tangan dan kaki.

Clostridium tetani, yang juga terdapat pada serpihan besi, jarum dan objek-objek lain yang berkarat atau terdedah pada tanah, debu atau najis, masuk ke dalam tubuh manusia melalui luka-luka kecil. Ia mengeluarkan sejenis toksin dikenali sebagai exotoxin tetanospasmin dan exotoxin tetanolysin yang menyerang saraf dan mengakibatkan kekejangan otot.

Menurut Dr. Hyzan, mereka yang diserang tetanus biasanya berkeadaan gelisah, sukar mengunyah makanan, rahang terkunci atau apa yang biasa disebut terkancing gigi dan mengalami kontraksi otot-otot muka menyebabkan mulut berkeadaan herot dikenali sebagai risus sardonicus.

Di samping itu, pesakit tetanus juga menghadapi risiko diserang sawan dan sakit-sakit otot. Jika pengubatan terus diabaikan atau kaedah rawatan tidak sempurna, gangguan pernafasan akan berlaku berpunca daripada kekejangan otot di bahagian pernafasan dan akhirnya membawa maut.

Selain daripada tetanus, mereka yang terpijak paku berkarat juga terdedah pada infeksi di bahagian kaki. Kecederaan seumpama itu boleh menyebabkan tapak kaki bernanah.


Tanpa rawatan yang sesuai, penanahan boleh merebak ke bahagian tulang dikenali sebagai osteomyelitis, satu komplikasi yang biasanya berlaku dalam jangka panjang dan mengambil masa bertahun-tahun lamanya untuk diubati.

Tanda-tanda awalnya ialah bahagian yang luka terasa sakit, bengkak dan bernanah hingga menyebabkan seseorang itu demam. Rawatan segera melibatkan pembedahan memotong tulang yang rosak merupakan satu-satunya cara untuk mengubatinya.

Kesan akibat terpijak paku berkarat adalah lebih teruk jika pesakit menghidap penyakit diabetes kerana komplikasi akibat terlebih gula dalam darah menyebabkan pesakit tidak berasa sakit walaupun kakinya luka teruk.

Keadaan itu boleh membawa kepada gangrene, iaitu kematian di bahagian kaki. Infeksi di tapak kaki menyebabkan luka cepat bernanah dan melarat ke bahagian atas hingga mengganggu fungsi-fungsi saluran darah. Kurang daya tahan tubuh badan akibat diabetes juga menyebabkan luka cepat merebak tetapi tidak terasa sakit kerana kesemua tisu di bahagian kaki mati.

Kaki akhirnya menjadi hitam dan terpaksa dipotong demi menyelamatkan nyawa. Ia dipotong sama ada di bahagian bawah atau di atas lutut bagi mengelakkan infeksi merebak ke organ-organ penting lain seperti hati, pundi ginjal, buah pinggang dan jantung.

Satu lagi komplikasi berbahaya akibat kecederaan terpijak paku berkarat ialah gas gangrene, iaitu sejenis jangkitan yang kerapnya berlaku di kalangan pesakit-pesakit diabetes berpunca daripada sejenis organisme dipanggil Clostridium welchii.

Jangkitan di tapak kaki cepat merebak ke paha dalam masa satu atau dua hari sahaja dan menjadi punca penanahan otot dikenali sebagai myonecrosis. Pesakit yang diserang gas gangrene biasanya demam panas dan tidak sedarkan diri. Mereka juga mengalami dehidrasi serta ketidakseimbangan elektrolit atau garam dalam tubuh badan.


Satu-satunya cara untuk mengubati penyakit itu ialah dengan melakukan pembedahan dan memberi ubat antibiotik. Bagi kes-kes yang ekstrem, pesakit terpaksa menjalani rawatan rapi di wad rawatan intensif. Tanpa rawatan yang sesuai, komplikasi yang lebih teruk boleh berlaku seperti koma dan pesakit akhirnya meninggal dunia.

Insiden terpijak paku berkarat boleh berlaku di mana-mana sama ada di dalam atau di luar rumah, di pejabat, di tapak-tapak pembinaan atau tempat pembuangan sampah atau di taman permainan atau perumahan yang baru dibuka.

Dr. Hyzan menekankan betapa pentingnya setiap individu memakai kasut setiap kali berada di luar rumah demi keselamatan diri sendiri.

"Luka akibat terpijak paku berkarat mungkin nampak kecil pada mata kasar tetapi kesannya boleh mengancam nyawa," katanya.

Sumber : Mastika, di tulis oleh Pn. Azizah Ismail...

Monday, November 11, 2013

APA ITU SAKA...


Jin dan iblis punca penyakit saka - gambar hiasan...


Saka berpunca daripada dendam iblis kepada manusia. Cara iblis membalas dendam adalah dengan menyesatkan manusia mengikut kepercayaan penduduk setempat, misalnya penduduk di Nusantara percaya dengan batu, kayu pokok, gunung dan busut. Sebagaimana yang diketahui sebelum dijadikan manusia, bumi ini telah dihuni oleh jin. Merekalah yang duduk di gunung, batu, kayu, pokok dan busut. Kemudian nabi Adam diutus dan umat manusia menyebar di seluruh muka bumi. Apabila benda-benda itu disembah secara tidak langsung ia memuja jin.

Disebabkan janji iblis pada Allah untuk menyesatkan manusia seperti yang disebut di dalam surah alA'raaf ayat 16-17, bermaksud, Iblis berkata: Oleh sebab Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus. Kemudian aku datangi mereka dari hadapan mereka serta dari belakang mereka dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur."

Dengan alasan itu iblis terus menyesatkan manusia setelah dihalau keluar dari syurga kerana keengganannya sujud pada nabi Adam. Di bumi, iblislah yang mengajar jin bagaimana untuk menguasai manusia. Dialah yang mengajar kepada jin ilmu tentang kebal, kekuatan, pendinding, perdukunan, perbidanan dan rawatan.

Perjanjian manusia dan jin pun bermula. Jin berjanji akan membantu orang yang memujanya termasuklah menjaga rumah keluarga, jadi kebal menjadi pendekar, hulubalang atau orang yang hebat serta luar biasa.

Orang Melayu, apabila ia berdamping dengan jin mereka memberinya nama mengikut tugasan yang diberikan seperti polong, puntianak, hantu raya, toyol dan lain-lain lagi. Tapi sebenarnya itu semuanya adalah jin yang termasuk di dalamnya syaitan dan iblis. Ia jelas disebut di dalam surah al-Khafi ayat 50, “Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat; Sujudlah kamu kepada Adam, maka sujudlah mereka kecuali iblis. Dia adalah daripada golongan jin maka ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya."

Jin itu pula ada beberapa jenis iaitu yang duduk di langit, tanah, sungai, pokok semuanya berbeza fungsinya. Ada juga orang dahulu-dahulu hendakkan cantik, ketika itulah iblis datang mencucuk dan memberi ilham kepada manusia dalam bentuk mimpi. Maka bermimpilah orang itu berjumpa seorang puteri di Gunung Ledang atau sebagainya. Maka di dalam mimpi itu dikatakan bahawa ada barang yang disorokkan di satu-satu tempat maka disuruh mengambilnya tapi bersyarat. Apabila syarat itu dituruti maka jin itu akan meresap ke dalam tubuh dan ia akan bergerak mengikut aliran darah. Rasulullah bersabda, "Sesungguhnya syaitan itu meresap masuk di dalam diri manusia itu menerusi aliran darahnya." (HR Bukhari dan Muslim).

Dan situlah jin membiak di dalam diri anak Adam. Harus maklum bahawa pembiakan jin ini berbeza dengan pembiakan manusia. Jika manusia mesti ada pasangan dan pernikahan dan boleh melahirkan zuriat tetapi jin tidak begitu. Di dalam hadis juga ada disebutkan, jin juga beranak pinak sebagaimana halnya anak Adam bahkan jumlah mereka jauh lebih banyak.

Begitu juga halnya dengan syaitan, mempunyai keturunan dan Allah mengecam golongan manusia yang menjadikan keturunan syaitan sebagai pemimpin. Hal itu secara jelasnya disebut di dalam surah al-Khafi ayat 50 bermaksud, "..Patutkah kamu mengambil dia dan keturunan-keturunannya sebagai pemimpin selain daripada-Ku sedang mereka adalah musuhmu? Amat buruklah iblis itu sebagai pengganti (dari Allah) bagi orang-orang yang zalim."

"Di situ memang sudah jelas bahawa jin mempunyai keturunan dan beranak pinak. Jin akan membiak apabila terangsang dengan sikap manusia walaupun sekadar mengatakan bersetuju untuk didampingi. Perasaan gembira kita menerima pendamping itu pun sudah cukup untuk menyebabkan jin itu terangsang maka ia membiaklah," 

Jin juga boleh membiak apabila manusia seronok dengan maksiat, terhibur dengan majlis tari-menari, pesta-pesta dan bersorak kegembiraan. Maka ketika tepuk sorak manusia bergema, itulah saatnya jin terangsang dan ia akan membiak. Begitu juga halnya dengan pergaduhan adik-beradik, suami isteri dan perkelahian akan membantu jin. Tenaga atau getaran yang dikeluarkan dari pergaduhan itu akan menyebabkan jin beranak pinak.

Selain itu sikap, tingkah laku dan perbuatan seharian yang negatif adalah pil kesuburan untuk jin terus membiak. Setiap sesuatu yang disarankan Rasulullah agar jangan marah, bertelagah, tergesa-gesa, waswas dan semua sifat negatif ada sebabnya. Salah satu sebabnya adalah untuk mengelakkan jin itu terus membiak di dalam badan manusia.

SAKA ITU SEPERTI DNA

Saka ada tiga jenis iaitu yang diwarisi dari keturunan, saka yang dipelajari dan saka dari sihir yang tidak dibuang. Saka boleh datang dengan mempelajari silat kebatinan, ilmu perdukunan, perbidanan, mengurut dan mengandam. Kebanyakan silat memang ada saka mengikut ritual yang dijalankan.

Saka juga boleh datang apabila seseorang kena sihir. Hal itu terjadi apabila sihir itu tidak dibuang, lama kelamaan ia akan menjadi saka. Misalnya kena santau berubat tetapi tidak dihabiskan. Jin santau itu yang sudah beranak pinak di dalam badan akan masuk ke dalam aliran darah akan dipindahkan pula kepada anak dan generasi yang seterusnya.

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. bahawa jin itu masuk ke dalam badan manusia melalui aliran darah. Jadinya apabila jin sudah berada di dalam badan maka ia akan mengikut peredaran darah kita ke seluruh badan. Aliran darah itu umpama lebuh raya bagi jin. Seperti mana lebuh raya yang ada R&R, maka aliran darah itu pun ada benda yang sama. Bagi aliran darah, R&R adalah organ penting, kelenjar dan nadi yang terdapat pada seluruh badan. Pada titik itulah syaitan atau jin akan duduk kerana pada tempat itu ada getaran.

Yang pastinya apabila jin bersarang di organ penting, ia akan menimbulkan kepincangan fungsi organ. Jin akan menguasai tubuh badan manusia menerusi organ yang menjadi sarang. Misalnya jika ia duduk di bahagian pankreas maka akan terjadi kencing manis. Begitu juga halnya jika duduk pada kelenjar maka ia akan mengganggu hormon. Manakala di jantung akan menyebabkan sakit jantung dan singgah di payu dara akan menjadi kanser. Begitulah hal seterusnya amat licik permainan jin itu.

Sebagaimana yang telah diterang­kan pada awal tadi, jin itu masuk ke dalam tubuh manusia melalui aliran darah. Maka apabila anak-anak Adam itu berkahwin dan mempunyai zuriat maka jin itu secara tidak langsung akan diturunkan kepada generasi seterusnya. Ia seumpama genetik yang boleh diturunkan daripada nenek moyang hinggalah kepada anak cucu dan cicit.

"Jin itu akan diturunkan kepada keturunan kita secara spontan tanpa ada persetujuan waris atau syarat. Selama ini ramai yang menyangka, saka itu tidak akan melekat kepada waris jika dia menolak untuk menjadi tuannya. Sebenarnya anak pinak jin itu sudah pun mendiami tubuh keturunan manusia yang mempunyai saka sejak awal lagi. Meminta tuan itu hanya sebagai tipu helah saja.

"Ia diturunkan kepada anak cucu dan cicit tanpa disuruh atau dipaksa. Saka itu ada pada semua keturunan nenek moyang yang pernah berjanji setia dengan jin. Hanya yang mengelirukan apabila jin itu bermain-main dengan meminta tuan pada anak sulung. Saka itu akan diwarisi segenap keturunan pemiliknya sampai kiamat jika tidak dibuang," terangnya.

Bagi yang merasakan saka itu karut dan ingin terus menyimpannya kerana tidak mendatangkan mudarat, iblis tidak akan pemah putus asa untuk menyesatkan manusia. Itu janji yang termaktub di dalam al-Quran. Mungkin hari ini tidak nampak kesannya walaupun sedar di badan mempunyai saka. Kita masih lagi boleh beribadat, tidak pernah tinggal solat, alim, tok guru, tok imam tapi kita tidak menyedari bahawa iblis mencucuk jarumnya perlahan-lahan.

Mungkin bukan hari ini ataupun tahun depan. Bagaimana kalau ia terjadi di saat kematian datang menjemput? pada pengakhiran hidup ini apabila tua, jatuh sakit dan membawa kepada strok kemudian sakit tua hingga nyanyuk. Apabila nyanyuk, koma dan strok ketika tua nanti bila masanya kita hendak beribadat dan mengucap? 

Akhir kalam, bukankah kita akan sesat kerana tidak mampu lagi mengucap Yang menjadi kuncinya adalah pada akhir hidup kita, sesat itulah tujuan iblis. Walaupun ulama besar, imam, tok guru tetapi pada akhir kehidupan terlantar koma. Jadi, bila masanya kita hendak mengucap ketika hendak menghadap Allah. 

Memang benar ada yang mengatakan bahawa orang strok pun boleh mendengar apabila diajar mengucap. Masalahnya, bolehkah kita pastikan bahawa dia juga turut mengucap seperti yang diajarkan. Itulah sebenarnya permainan syaitan untuk menyesatkan manusia pada saat kematian.

"Seperkara lagi yang amat membimbangkan dewasa ini, menularnya penyakit kanser. Saya percaya bahawa kanser adalah satu penyakit moden yang ada hubung kaitnya dengan saka. Ia memang berasas, jika kita kaji semula kebolehan jin yang boleh menjelajah ke langit untuk mencuri dengar berita dari langit. Hanya setelah Rasulullah diutus barulah aktiviti itu terhalang.

"Dengan pengetahuan itulah mereka menjadikannya senjata untuk menyesatkan manusia. Tidak mustahillah jika jin sudah mengetahui hal yang akan berlaku pada masa akan datang. Iblis tahu pada akhir zaman nanti ada satu teknologi moden dalam bidang perubatan iaitu kimoterapi. Dan pengetahuan itulah jin saka itu mencipta satu penyakit yang boleh dirawat dengan kimo.

"Memanglah kimo itu untuk membunuh sel kanser tapi bukan sekadar itu, ia juga membunuh sel yang sihat. Apabila semua sel sihat pun mati, apa lagi yang tinggal? Tidak ada apa-­apa. Akhirnya kimo membawa pada keadaan yang menyedihkan iaitu koma dan meninggal. Soalnya sempatkah kita mengucap saat nyawa dicabut? Jika tidak, faham-faham sajalah. Itulah sebabnya saka itu harus dibuang agar di akhir hayat nanti ia tidak akan menyesatkan kita.

TANDA-TANDA ORANG YANG MEMPUNYAI SAKA

  • Menderita penyakit yang tidak ada punca. Sakit tetapi apabila pergi ke hospital doktor kata tidak sakit. Begitu juga halnya dengan sakit jantung tanpa diketahui puncanya tiba-tiba dapat serangan jantung.

  • Sakit yang dideritai berpanjangan dan berulangulang. Misalnya gastrik, kencing manis, darah tinggi, migrain yang tidak akan sembuh dan kekal di dalam badan penghidapnya. Hilang hanya seketika kemudian datang semula.

  • Menderita penyakit misteri yang berpanjangan. Asyik terkena sihir saja, nampak sihat tetapi sebenarnya sedang sakit. Ada ketikanya tidak boleh tengok matahari, sentiasa hendak tidur, lemah, lesu dan sakit pada badan yang tidak diketahui sebabnya.

  •  Penyakit keturunan seperti kemurungan, gout dan gila.

  • Jodohnya panas. Bertunang putus, susah dapat jodoh, ada orang suka tetapi akhirnya tidak jadi, kadang­kadang sama-sama suka tapi akhirnya tidak jadi kahwin. Semua itu ada kaitannya dengan saka, ia mengganggu perasaan orang lain.

  •  Sukar mendapat zuriat, kadang-kadang sudah kahwin bertahun-tahun tetapi masih tidak mendapat cahaya mata. Apabila saka itu sudah ada di dalam badan maka ia tidak mahu berkongsi dengan orang lain apabila sudah dapat makan dari tubuh manusia. Ada yang boleh mengandung, tetapi sering keguguran, biasanya dari pengalaman mengatasi masalah saka biasanya perempuan yang menghadapi masalah itu berhadapan dengan saka jin nenek. Anak hilang di dalam kandungan itu juga disebabkan oleh saka itu dinamakan saka bunian atau saka kayangan, ia jenis hanuman.

  • Mempunyai emosi yang tidak stabil, sering beremosi, / cepat merajuk, cepat marah, sensitif yang keterlaluan, cemburu keterlaluan dan cepat naik angin.

  • Jauh daripada Allah, semakin lama makin liat untuk melakukan ibadat. Ada juga kes yang apabila diberi sepotong ayat al-Quran dan zikir untuk diamalkan mereka tidak mampu mengamalkannya, rasa panas, malas, mengantuk sangat hingga tidak mampu melakukannya.

  • Di dalam keluarga ada anak-anak yang sangat nakal, kecil-kecil sudah melawan orang tua dan terlalu degil.

  • Salah satu tanda lelaki yang mempunyai saka ialah isteri orang sangat tertarik kepadanya dan bukan anak dara. Lelaki itu dipandang manis, sekali pandang sudah terpikat terutamanya isteri orang. Itu semuanya kerja saka, jika berjaya maka satu kejayaan besar bagi iblis memporak-perandakan rumah tangga anak Adam. Berhati-hati dengan lelaki yang mempunyai daya penarik!

Saturday, July 10, 2010

5 JENIS CACING YANG MERBAHAYA

1. HOOKWORM
  • Hookworm adalah cacing nematod parasit yang tinggal didalam usus kecil perumahnya yang terdiri dari mamalia seperti kucing, anjing dan manusia. Risiko paling ketara bagi jangkitan cacing ini ialah anemia dan kehilangan mineral besi serta protin didalam perut.

Cacing Hookworm

Kaki yang terkena larva Hookworm

2. ASCARIS
  • Ascaris adalah genus bagi cacing nematod parasit yang biasanya dikenali sebagai cacing bulat usus gergasi. Ia boleh menjangkiti manusia dan haiwan ternakan terutamanya babi di kawasan sub-tropika dan tropika yang tidak mempunyai sistem sanitasi yang baik. Jangkitannya boleh menyebabkan kesihatan sentiasa terganggu dan kadangkala boleh membawa maut.
  • Cacing ini akan mengurangkan nilai-nilai pemakanan yang diambil, mengganggu proses kognetif dan menimbulkan kekangan pada usus dan dubur
Cacing Ascaris

Cacing Ascaris yang menyerang usus dan dubur


3. GUINEA WORM

  • Nama asalnya Dracunculiasis dan juga dipanggil Medina Worm. Ia adalah jangkitan parasit disebabkan oleh cacing nematod Dracunculus medinesis.
  • Cacing Guinea adalah satu parasit manusia yang paling banyak didokumentasikan. Dari abad kedua sebelum Masehi dalam cacatan ahli sejarah Greek, penyakit Cacing Guinea hanya dijangkiti apabila manusia meminum air bertakung yang sudah mempunyai telur cacing ataupun melalui kawasan berair yang dijangkiti tanpa sebarang perlindungan.

Cacing Guinea Worm

Kaki yang terkena Cacing Guinea Worm

Cacing Guinea Worm
juga menyerang di bahagian betis


4. TAPEWORM
  • Tapeworm adalah cacing rata yang bersifat parasit yang menetap didalam saluran pencernaan Vertebrata bagi yang dewasa dan didalam tubuh bagi yang kecil. Ada sesetengah jenis tapeworm boleh membiak sehingga 30 meter (100 kaki) panjang.
  • Telur tapeworm biasanya dicernakan bersama makanan ataupun melalui tanah yang dicemari dengan najis manusia atau haiwan. tapeworm juga boleh diterima dengan memakan makanan mentah berupa daging dan ikan sekiranya mengandungi larva tapeworm
  • Setelah masuk kedalam tubuh, tapeworm akan membesar menjadi dewasa didalam usus dan boleh bertahan sehingga 20 tahun lamanya. Tapeworm juga boleh berjangkit semula sekiranya kita tidak membasuh tangan dengan sempurna apbila selesai membuang najis.



Pastikan anda membasuh tangan dengan sempurna
setelah menggunakan tandas. Jangan sampai
tapeworm memasuki tubuh anda

5. FILARIAL WORM
  • Penyakit Filariasis adalah penyakit berjangkit dan parasit dikawasan tropika disebabkan oleh cacing Filarial yang berbentuk seperti benang. cacing ini mempunyai variasi yang menetap didalam sistem limfa, lapisan lemak tubuh dan ruangan didalam abdomen. Cacing ini juga boleh disebarkan melalui nyamuk.
  • Penyakit yang paling terkemuka bagi cacing ini ialah kaki gajah atau elephantiasia, satu penyakit yang akan menebalkan kulit dan lapisan tisu di bawahnya dan disebarkan melalui nyamuk. kaki gajah adalah hasil apabila cacing Filarial memenuhi sistem limfa.

Penyakit untut atau kaki gajah
adalah disebabkan oleh cacing Filarial Worm