Showing posts with label KEPERCAYAAN. Show all posts
Showing posts with label KEPERCAYAAN. Show all posts

Tuesday, December 2, 2014

MAJLIS GOTONG ROYONG MEMASAK BUBUR ASSYURA...

Setiap tahun, tanggal 10 Muharram, umat Islam (biasanya orang Melayu) yang masih kuat mengamalkan tradisi keagamaan akan menyambut Hari Assyura. Tradisi turun temurun yang dilakukan ialah membuat dan memasak bubur Assyura. Biasanya ia dilakukan secara bergotong royong.

Bubur Assyura ialah sejenis makanan yang diperbuat daripada pelbagai campuran ramuan sempena 10 Muharram. Ada yang mengatakan, campuran ramuan hendaklah terdiri daripada 10 jenis bahan makanan, jangan dikurang dan jangan dilebih. Jika tidak, ia tidak dinamakan bubur Asyura.

Mengimbau zaman kanak-kanak di hari Assyura, aku masih ingat lagi, arwah emak adalah orang yang paling sibuk apabila tibanya Hari Assyura. Sebagai ketua, ia bersama jiran-jirannya seramai 4 atau 5 orang akan berpakat dan berkongsi sejumlah wang untuk membeli bahan-bahan bagi memasak Bubur Assyura ini. Tempat memasak biasanya dilakukan di kawasan lapang di hadapan rumah kerana ramai yang akan menjadi penonton terutamanya kanak-kanak riang. 

Apabila bubur telah masak, ia akan diagih-agihkan kepada jiran-jiran yang lain. Aku sangat suka memakan bubur Assyura kerana rasanya yang sedap dan enak lebih-lebih lagi kalau arwah emak yang buat. Pada aku, bubur Assyura yang arwah emak buat rasanya tidak sama macam orang lain buat sebab ramuannya tak sama kerana mereka suka mencampur ramuan yang berlebih-lebihan dan terkeluar dari spek asal.

Itulah nostalgia yang kami adik beradik tidak dapat lupakan. Kenangan bersama arwah emak dan ayah semasa kami kecil sentiasa segar dalam ingatan.

Waktu itu, tidak pernah terlintas di fikiran aku, sempena apakah bubur Assyura itu dibuat? Adakah ia satu amalan keagamaan atau sekadar adat bangsa? Ketika aku di sekolah menengah, guru-guru turut menganjurkan acara gotong-royong memasak bubur Assyura dengan memilih satu tarikh dan hari yang sesuai supaya ia tidak mengganggu sessi pembelajaran kami. Oleh kerana ia mendapat sambutan dari semua pihak termasuk ibu bapa lalu ia dijadikan acara tahunan.

Dari apa yang aku pernah dengar, bubur Asyura  dibuat sempena mengambil kisah Nabi Noh a.s. semasa peristiwa banjir besar dan juga kisah bahteranya.

Banyak laman web menyebut tentang kisah ini. Dinukilkan dalam kitab “Nihayatuz Zain” karangan Syeikh Nawawi Al Banteni, dan di dalam kitab “Nuzhatul Majalis” karangan Syeikh Abdur Rahman Al Ushfuri serta di dalam kitab “Jam’ul Fawaid” karangan Syeikh Daud Al Fathoni. Yang antara lainnya menceritakan bahawa, ketika mana bahtera Nabi Nuh a.s. berlabuh di bukit Judi pada Hari Asyura’, maka berkatalah ia pada umatnya :

“Himpunkan apa yang kamu miliki daripada makanan yang lebih-lebih”. Maka, dibawalah satu genggam daripada kacang Baqila’ iaitu kacang ful (kacang poi) dan satu genggam kacang Adas, Ba’ruz dan hinthoh dan tepung sehingga menjadi tujuh bagai biji-bijian yang dimasak. 

Maka berkatalah Nabi Nuh a.s: “Masaklah sekeliannya kerana kamu sudah mendapat kesenangan sekarang”.

Selain dari kisah Nabi Noh a.s, Peristiwa Assyura juga berkait dengan peristiwa Nabi Musa a.s., Ibn Abbas r.a. menceritakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. tiba di Madinah dan melihat orang Yahudi berpuasa pada hari 10 Muharam. Nabi Muhammad s.a.w. bertanya apa yang yang mereka lakukan? Orang Yahudi menjawab bahawa hari ini (10 Muharam) ialah hari soleh (baik). Allah s.w.t. menyelamatkan pada hari ini Musa a.s. dan Bani Israel daripada musuh mereka. Maka Musa berpuasa pada hari tersebut. Maka Nabi Muhammad s.a.w. bersabda bahawa baginda lebih berhak dengan Musa daripada kamu (orang Yahudi). Nabi Muhammad s.a.w. berpuasa pada hari itu dan mengarahkan sahabatnya berpuasa. (Riwayat Bukhari).

Puasa hari Asyura pula merupakan sunah Nabi Muhammad s.a.w. Ini ditegaskan dalam satu sabda maksudnya: "Sesungguhnya hari ini hari Asyura dan tidak diwajibkan atas kamu puasa padanya. Sesiapa yang mahu maka berpuasalah, dan sesiapa yang tidak mahu maka berbukalah". (Riwayat Bukhari).

Membuat bubur Asyura ini kalau setakat dijadikan adat, tanpa ada kepercayaan keagamaan, ia bukanlah satu yang salah. Kalau orang Melayu suka berbuka puasa dengan bubur Assyura, buatlah bubur Assyura. Tetapi elakkan  kepercayaan yang kurang sahih, seperti mengaitkannya dengan makanan Nabi Nuh a.s. sewaktu berlabuhnya bahtera baginda.

Sempena kedatangan 10 Muharam 1436H, kami warga kerja Syarikat telah berpakat untuk mengadakan acara gotong royong memasak bubur Assyura, acara yang dibuat ini adalah yang pertama kalinya dan tidak melibatkan Pengurusan Syarikat. Ia dibuat secara santai dan relaks. Pada asalnya, staf terdiri dari anak-anak Kelantan sahaja yang berpakat sesama mereka untuk membuat program ini, tetapi apabila staf yang lain tahu, mereka pun nak ikut turut sama dan kehendak mereka sangat dialu-alukan ibarat kata pepatah Melayu, ""Kecik tapak tangan, nyiru kami tadahkan"

Pada hari Sabtu 22 November 2014, bertempat di kawasan 'parking' motosikal, maka berlangsunglah acara gotong royong memasak Bubur Assyura ini. Kehadiran staf yang ramai telah menjadikan acara ini sangat meriah dan tidak hairanlah apabila ada yang mengesyurkan supaya program sebegini  dijadikan acara tahunan.

Saksikan gambar-gambar yang sempat dirakam pada program gotong royong itu.


Kehadiran ramai staf menjadikan acara gotong royong 
memasak bubur Asyura ini sangat meriah...

Tugas-tugas memotong bahan-bahan masakan sedang dibuat...

Tn. Hj. Ahmad Salleh (kanan) bersama seorang lagi petugas 
sedang mengacau bubur di dalam kuali...

Cik Oya tetap bergaya dan maintain ayu, 
walaupun di mana saja ia berada...

Sambutan dari orang muda sangat dialu-alukan....

Dari kiri: Abdullah Sohaini, Ali Sidek dan Rafia Ol Husni yang turut
mengambil bahagian. Biasanya kalau hari cuti macam ni, mereka biasanya
akan menghabiskan masa dirumah samada dengan mengaji al-Quran 
membaca kitab-kitab, atau menolong isteri memasak di dapur...



Dari senyum simpul Puteri Waslina tu, 
kami dah tahu yang bubur Asyura ni mesti sedap...



En. Noslan (kiri) pun turut menyumbang tenaga dalam acara ini...

Semua gambar-gambar dalam program ini disumbangkan oleh Zack (kiri)...

Dikatakan yang idea mengadakan program ini diilhamkan oleh 
En. Abdullah Othman (Pak Lah) yang pakai baju biru tu...




Diantara bahan-bahan yang mesti ada...
















Diantara Mek Kelate yang hadir ialah Pn. Azahani dari Bhg. Usahawan Desa....








Bubur yang sudah masak akan diletakkan di dalam daun pisang 
sebelum diagihkan kepada semua staf...

Kehadiran En. Mohd Fauzi Pengurus Besar Kumpulan (PBK) Hal Ehwal Peserta
 menambahkan lagi kemeriahan program ini...


Wednesday, August 6, 2014

PAK RAIS GUNA TUKUL BESI RAWAT SAKIT GIGI...


Seorang wanita berguling-guling mengerang kesakitan di ruang tamu rumahnya. Dia menahan azab yang amat sangat. Telah seminggu gigi gerahamnya berlubang.

"Aduh bang, tolonglah, sakit benar gigi ni! Dah tak tahan lagi, berdenyut-denyut," ngomel wanita itu. Kedua-dua belah tangannya menekup pipi. Mukanya berkerut-kerut dan kadangkala mengeluh menahan sengsara.

Sejak beberapa hari lalu, si isteri telah mula sakit tetapi tidaklah seteruk hari ini. Kasihan melihat isterinya, si suami mengambil keputusan menemui seorang dukun sakit gigi berdekatan rumahnya di Gemas, Negeri Sembilan. Tambahan pula di kampung itu kemudahan klinik gigi hanya seminggu sekali. Tiada pilihan, terpaksalah menemui dukun itu.

"Abang ke rumah Pak Rais," kata si suami lantas menunggang motosikalnya menuju tempat tinggal dukun sakit gigi itu yang hanya beberapa kilometer dari rumahnya.

"Pak, orang rumah saya sakit gigi. Teruk nampaknya. Tengah berguling-guling di rumah tu," kata si suami selepas salam yang diberi disambut Pak Rais.

"Dah berapa lama?" tanya Pak Rais.

"Seminggu... gigi tu berlubang. Tapi hari ini yang teruk sangat sakitnya sampai meraung-raung," kata lelaki itu lagi.

Pak Rais terus bertanyakan nama penuh isterinya. Suami itu pun memberikannya.

"Tunggu ya. Aku ke dalam sekejap," kata Pak Rais kepada lelaki itu.

Beberapa minit kemudian dia keluar semula dengan membawa sekeping papan selebar 10 cm x 20 cm. Di tangan sebelah lagi dipegangnya sebatang paku lebih kurang 10 sentimeter panjang bersama tukul besi. Di atas papan itu tercacak beberapa batang paku lain. Ada di antaranya telah pun berkarat.

Pak Rais duduk membetulkan sila. Dia meletakkan papan itu betul-betul di depannya. Tangan kiri memegang sebatang paku sementara di tangan kanan tukul besi.

Dengan mulut terkumat-kamit, Pak Rais mengetuk paku di tangan dengan tukul besi tiga kali. Tok! Tok! Tok! Paku melekat dan tercacak pada papan.

"Sekarang balik, isteri kamu tak ada apa-apa. Tapi papan dan kayu ni biarkan di sini sampai dia sembuh betul. Kalau dah baik nanti cakap dengan aku, boleh dicabut pakunya," kata Pak Rais kepada lelaki itu.

Selepas mengucapkan terima kasih, lelaki itu bergegas ke rumah. Setibanya, dia terperanjat mendapati isterinya telah pulih malah boleh melakukan kerja harian seperti biasa.

"Kaedah yang pakcik gunakan ini dapat menghilangkan sakit gigi dengan cepat. Lebih kurang setengah jam saja," kata Pak Rais ketika ditemui baru-baru ini. Aneh sungguh caranya mengubat sakit gigi.

Kata Pak Rais, dia membayangkan papan tempat paku dicacak itu adalah gigi pesakit dan paku pula adalah 'pembunuh' ulat yang terdapat dalam lubang gigi. Menurut beliau lagi, dia mempelajari cara-cara mengubati sakit gigi dari Tok Batin suku kaum Orang Asli di Pahang dan Negeri Sembilan.


"Semasa belajar tu, Tok Batin beritahu pakcik supaya makrifatkan (membayangkan) papan itu sebagai gigi pesakit. Pakcik juga dinasihatkan supaya membayangkan pesakit itu sedang menganga ketika paku diketuk.

"Kemudian pakcik bayangkan yang pakcik ketuk tu adalah lubang gigi yang ada 'ulat'. Ketuk supaya 'ulat' tu mati. Ketuk ni sebagai syarat saja. Tapi pak cik kena tahu dulu nama penuh pesakit," katanya lagi.

Menurut Pak Rais lagi, telah beribu-ribu pesakit yang sembuh melalui cara rawatannya itu. Tapi apabila diminta melihat papan-papan lama yang dipenuhi paku, Pak Rais hanya tersenyum.

"Ini saja yang ada. Selepas pesakit sembuh papan tu tak ada guna lagi. Lalu isteri pak cik buat pelapik siang ikan," katanya terkekeh-kekeh ketawa kelucuan.


Menurut Pak Rais selepas dirawat pesakit tidak akan diserang sakit gigi lagi walaupun berlubang. "Biasalah gigi luruh apabila umur meningkat," tambah Pak Rais.

Tentang pantang larang Pak Rais berkata, "sikit saja..., cuma jangan sekali-kali dicabut paku yang tercacak pada papan sebelum sakit gigi tu sembuh. Kalau dah baik, cabutlah, tak apa-apa," katanya ringkas.

Pak Rais berkata, jika dicabut paku itu sebelum sakitnya sembuh, gigi yang sakit itu akan lebih parah. Kerana itulah Pak Rais tidak mengizinkan pesakit membawa pulang papan itu.

"Dulu Pak Rais bagi bawa balik, tapi sekarang tak lagi. Takut kalau paku tu tertanggal, bertambah teruk sakitnya, pak cik juga yang susah," katanya lagi.

Pak Rais lalu menceritakan kisah bagaimana seorang pesakitnya yang meminta membawa balik papan itu dan dengan tidak sengaja paku pada papan itu tertanggal.

"Pesakit tu ingin sangat menyimpan papan yang berpaku itu. Mulanya pakcik tak mahu beri tapi dia mendesak. Dengan hati yang berat pak cik bagilah," katanya.

Bagaimanapun beberapa hari selepas itu Pak Rais didatangi suami pesakit itu menjemputnya ke rumah. "Sakit gigi isteri saya tambah parah," katanya.

Pak Rais kaget mendengarnya. Dia bergegas ke rumah wanita itu. Terperanjat besar dia apabila melihat pesakit itu menonggeng-nonggeng menahan sakit.

Apabila ditanya, wanita itu memberitahu Pak Rais, papan yang berpaku itu terjatuh secara tak sengaja dan pakunya tercabut.

"Papan tu dia letak atas almari, ingatkan selamat, tak ada orang ambil. Tapi entah macam mana, pagi tu masa dia nak cari mancis atas almari. Ketika meraba-raba itulah papan berpaku itu jatuh dan pakunya tercabut," katanya lagi.

Sejak itu Pak Rais amat berhati-hati mengenai papan dan paku yang digunakannya. Dia akan menyimpannya baik-baik dan hanya menanggalkan paku itu apabila mendapat tahu pesakitnya telah betul-betul sembuh.

Sehingga kini telah lebih 30 tahun Pak Rais merawat beribu-ribu orang yang menderita sakit gigi di sekitar Gemas melalui kaedah itu.

"Insya-Allah boleh baik. Setakat ini mereka puas hati dengan khidmat saya," kata Pak Rais sambil tersenyum. —

Artikel oleh Khairunnisa Sulaiman. 
Foto: Jaffri Rahman. 
Mastika

Sunday, July 27, 2014

BUKAN KOTAK HITAM YANG KAMI SEMBAH...


Suatu hari berlaku dialog di antara seorang pemuda Islam dengan pemuda Yahudi.

Pemuda Yahudi: Mengapakah orang Islam sembah Kaabah?

Pemuda Islam: Salah tu, orang Islam bukan sembah Kaabah, tapi sembah Allah.

Pemuda Yahudi: Kan orang Islam sembahyang menghadap Kaabah, bukankah ia cuma satu kotak hitam yang besar. Tuhan kamu ada di dalam kotak itu ke?

Belum sempat pemuda Islam menjawab, telefon bimbit kepunyaan pemuda Yahudi berdering. Dia pun menjawab panggilan dengan lembut lalu berbual sambil ketawa. Beberapa minit kemudian, talian dimatikan. Dia berpaling semula kepada pemuda Islam tadi. 

Pemuda Yahudi: Ha, jawablah soalan aku tadi.

Pemuda Islam: Perlukah aku menjawabnya?

Pemuda Yahudi: (Tertawa mengejek.) Mesti kamu tak boleh jawabkan?

Pemuda Islam: Bukan begitu. Kamu sendiri tahu teorinya, tapi kamu masih bertanyakan soalan itu. Rasanya kamu yang tidak sedar bahawa jawapan sudah ada pada dirimu sendiri

Pemuda Yahudi : (Kehairanan) Aku tak faham.

Pemuda Islam: Tadi aku melihat kamu menjawab telefon. Lepas tu kamu ketawa dan bercakap seorang diri. Sebelum memutuskan talian, kamu mencium telefon itu sambil berkata I love you.

Pemuda Yahudi: Aku bukan bercakap sendiri, aku berbual dengan teman wanitaku.

Pemuda Islam: Di mana dia? Aku tak nampak pun teman wanita yang kamu katakan itu.

Pemuda Yahudi: Dia ada di rumah, nak berbual, kenalah telefon. Apa masalahnya?

Pemuda Islam: Boleh aku lihat telefon kamu tu?

Si Yahudi memberikan telefon bimbitnya kepada pemuda Islam dengan rasa hairan, pemuda Islam membelek-belek telefon si Yahudi tadi. Tak cukup sekadar itu, dia menggoncang-goncangkan telefon itu. Sesekali, dia mengetukkan telefon itu ke atas meja. Akhirnya dia menghempaskan telefon itu ke atas lantai hingga pecah berderai.

Pemuda Yahudi: Apa kau buat ni? (Menjerit marah)

Pemuda Islam: Aku cuba hendak mencari teman wanita yang kamu katakan tadi dalam telefon ini. Walau dipecahkan sekalipun, buah hati yang engkau ceritakan itu tidak muncul juga.

Pemuda Yahudi: Kamu ni ketinggalan zaman ke? Inikan teknologi moden, kita boleh bercakap dengan orang lain dari jarak jauh hanya dengan menggunakan telefon. Takkan itu pun tak tahu!

Pemuda Islam: (Tersenyum). Kan sudah aku katakan tadi, kamu pun sudah tahu jawapannya tapi masih bertanya. Bukankah teori telefon itu lebih kurang sama dengan Allah s.w.t. Kami solat menghadap Kaabah bukan bermakna kami menyembah kotak hitam. Kami sembahyang atas arahan Allah. Umat Islam diarahkan sembahyang menghadap Kaabah bukan bererti Allah ada dalam kotak hitam itu.

Begitu juga teorinya antara kamu dan girlfriend kamu itu. Dia menghubungi kamu menggunakan telefon bukan bererti dia ada di dalam telefon itu. Prinsip telekomunikasi itu kena ikut peraturan. Nak bercakap melalui telefon, harus mendail nombor yang betul, barulah akan tersambung dengan orang yang hendak dihubungi, dengan itu, kamu mampu berbicara dengannya walaupun dia tiada dalam telefon itu.

Begitu juga dengan umat Islam, kami sembahyang menghadap Kaabah kerana itulah kiblat kami sebagai ‘peraturan’ untuk kami 'bersambung' dengan Allah, begitulah teorinya dan jugalah jawapan untuk pertanyaan kamu di awal tadi.

Sunday, May 11, 2014

RAHSIA MATA WANITA...


DARI mana datangnya cinta? Dari mata turun kehati. Mata juga mengungkap pelbagai makna dan firasat tersirat. Namun firasat ini hanyalah sekadar menambah pengetahuan dan siapa tahu, mungkin ia bertepatan dengan ciri isteri anda sendiri? Sejauhmana kebenarannya tidaklah diketahui dan mungkin juga sekadar kebetulan semata-mata....

Saiz Mata Kecil 

 
Seorang yang peramah tetapi suka berleter dan kurang pertimbangan. Lelaki boleh jadi kelam kabut akibat mulutnya itu. Bersikap periang tapi bila marah lambat sejuknya. Hatinya tidak pernah puas terhadap apa yang telah dimilikinya. Salah satu cara untuk memuaskan hati wanita begini ialah dengan memberi layanan dan kepuasan maksimum bila berhubungan dengannya.

Saiz Mata Sederhana



Seorang yang serba sederhana, tidak banyak berahsia, mempunyai pertimbangan dalam kehidupan dan bertanggungjawab. Wanita jenis ini akan cukup gembira walaupun hanya sekadar mendapat pelukan dan belaian daripada suaminya.


Saiz Mata Lebar 


Cukup kuat berahsia, kurang cergas dan lebih berfikiran pendek dalam membuat sesuatu keputusan. Juga seorang pemarah. Dia juga suka bertindak tanpa berfikir panjang, kurang teratur dan tiada arah tujuan. Malah, cepat putus asa. Suami kepada wanita ini harus sentiasa memberi yang terbaik dan mampu melayan kehendaknya di ranjang kerana dia mempunyai nafsu yang cukup tinggi.


Mata Selalu Berkedip



Seorang yang pemaaf walaupun dia telah dianiaya. Senang dibawa berbincang, seorang yang memahami dan sabar dalam segala tindak tanduknya. Wanita begini adalah seorang isteri yang cukup setia dan orang yang paling sesuai untuk dijadikan teman sewaktu dalam kesedihan


Mata Sesekali Berkedip




Wanita ini istimewa, bijaksana dan baik budi pekertinya. Dalam perhubungan, dia seorang yang setia. Dari segi sikapnya pula, dia seorang yang adil, bertanggungjawab, tidak cerewet dan ringan tulang membantu orang lain. Bila bersuami, dia akan sentiasa mempastikan kehidupan keluarganya bahagia.


Mata Cengkung 


Sikapnya kurang memuaskan. Seorang yang materialistik dan hanya memandang kebendaan semata-mata. Hidup dengannya boleh jadi sengsara. Kata-katanya manis belaka tetapi sebenarnya pembohong. Dia ingin senang dengan jalan yang mudah. Curang dalam perhubungan dan tidak suka membantu mereka yang memerlukan.

Mata Redup


Wanita ini mudah dipermainkan kerana terlalu lurus, jujur dan baik hati. Dia seorang yang tidak dapat mengawal emosi, hatinya tidak tetap, ramai kenalan tetapi kurang sahabat. Dia juga suka menyimpan rasa dengki dan suka mencemuh dalam hati.


Matanya Seolah Tersembul Keluar



Sifatnya baik hati, rela dengan setiap kejadian yang ditentukan Tuhan, tabah menghadapinya, dan menyenangkan. Tapi ada juga sikap negatifnya iaitu sering tidak tepati janji, suka berdendam dan sedikit tamak. Namun, dia seorang yang patuh pada suami tetapi cukup marah jika nafsunya tidak dipenuhi.