Sunday, January 31, 2021

LAWATAN KE ISTANO BASA PAGARUYUNG, BUKITTINGGI, PADANG, INDONESIA...

Lawatan kami seramai 8 orang ke Bukittinggi, Padang, Indonesia ni sebenarnya dah 2 tahun berlalu iaitu pada 5-8/10/2018 tapi baru sekarang aku berkesempatan untuk berkongsi kisahnya. 

Penerbangan kami dari KLIA ke airport Minangkabau hanya mengambil masa 1 jam 13 minit sahaja itupun jika tiada sebarang halangan yang tidak dijangka. 

Ketibaan kami tepat pada waktunya dan telah disambut oleh 2 orang pemandu pelancung yang nama mereka akupun dah lupa dan kedua mereka ni lah yang akan menemani kami sepanjang kami berada di sini selama 4 hari 3 malam.

  

Selamat tiba ke destinasi...

Menguruskan bagasi ke dalam Urvan...

Acara pertama kami adalah
bergambar ramai dahulu di dataran Padang...

Kami seterusnya di bawa ke rumah makan untuk lunch...

Lepak kejap di luar surau selepas solat Zohor
sementara menunggu wife kami siap solat...

Antara 2 view cantik kami lihat sepanjang
perjalanan kami ke Istano Basa Pagaruyung...

Walaupun banyak tempat lawatan yang akan kami pergi seperti di dalam jadual tapi untuk laporan kali ini aku hanya akan memfokuskan kepada lawatan ke Istano Basa Pagaruyung sahaja manakala untuk destinsi lain aku akan menceritakannya pada keluaran akan datang.

Pada awalnya ketika aku dihubungi oleh Norli (kawan sekolah dulu) untuk mengikut lawatan ke sini bersama suaminya Alias, kakaknya Zaerah dan abang iparnya Abg Halim yang mengatur program ini yang diturut sama oleh Abang Zainal dan isterinya Kak Rahmah, aku kurang berminat sebab aku dan isteri telah mempunyai satu program lain iaitu untuk melancung ke negara Eropah sebab teruja sangat bila tengok kawan-kawan berkongsi kegembiraan di dalam facebook dan instagram mereka yang memaparkan pengalaman serta gambar-gambar menarik semasa mereka di sana. disebabkan itu maka akupun dah berkira-kira hendak ke sana jugak la bagi merasai pengalaman seperti mereka. 

Selain alasan di atas mengapa aku kurang berminat ke negara jiran, adalah kerana aku menganggap Bukittinggi, Padang adalah lokasi biasa seperti juga pemandangan di kota-kota lain di negara jiran-jiran terdekat yang pernah aku sampai. Walaubagaimanapun selepas dipujuk isteri, akupun bersetuju selepas diberitahu yang antara lokasi yang akan kami lawat adalah rumah kelahiran ulamak, pemimpin dan penulis terkemuka Indonesia iaitu Professor Dr Haji Abdul Malik Syeikh Karim Abdullah atau lebih dikenali dengan panggilan ringkasnya HAMKA, lawatan ke Istano Basa Pagaruyung, Lembah Harau, Lubang Jepang, Pandai Sikek (pusat tenunan songket) dan banyak lagi  membuatkan aku terbuka hati untuk berwisata ke bumi Minangkabau tersebut. 

Tanggapan aku sebelum ini bahawa kota ini hanyalah lokasi biasa seperti di tempat lain ternyata meleset sebaik saja aku sampai dan melihat sendiri dengan mata kepala akan keindahan kawasan yang dilalui yang bergunung ganang, sawah ladangnya yang luas terbentang, lembahnya yang hijau serta cuacanya yang nyaman tidak seperti di Kuala Lumpur kecuali jika kita ke Cameron Highland dan Genting Highlang. 

Gambar-gambar pemandangan indah aku kongsikan seperti di bawah...














Berbalik kepada tujuan asal rencana iaitu fokus kepada lawatan ke Istano Basa Pagaruyung. Jauhnya istana ini yang terletak di Batu Sangkar dari Bukittinggi adalah 55km sahaja. Istana ini adalah antara tarikan pelancong di daerah Sumatera Barat kerana keunikan dan keindahan senibina Minangkabaunya.


Bergambar ramai di depan
 Istano Basa Pagaruyung...


Istano Basa Pagaruyung yang berdiri sekarang ni sebenarnya adalah replika dari yang asli yang terletak di atas Bukit Batu Patah yang telah dibakar habis pada tahun 1804 oleh kaum paderi yang kala itu memerangi para bangsawan dan kaum adat istana. Istana ini kemudiannya dibangunkan semula dan kembali terbakar pada tahun 1966. 

Proses pembangnan semula Istano Basa Pagaruyung dilakukan dengan perletakan Tunggak Tuo (Tiang Utama) pada 27 Disember 1976 oleh Gabenor Sumatera Barat waktu itu Harun Zain sebagai cara untuk membangkitkan kembali kebanggaan masyarakat Minang terhadap budayanya setelah peristiwa pemberantasan gerakan Pemerintahan Revolusioner Republik Indonesia (PRRI). Bangunan baru ini tidak didirikan di tapak istana lama tetapi didirikan di lokasi baru di sebelah selatannya dan dibuka untuk lawatan umum pada akhir tahun 1970an. 


Lawatan dibuka untuk umum 
di akhir tahun 1970an...

Bergambar ramai bersama sepasang pelawat 
yang mengenakan baju pengantin...

Pemandangan ke bawah dari tingkat 3 Istano... 

Di pintu masuk istano terdapat 2 lagi pasangan pelawat
 yang mengenakan baju pengantin bagi mendapatkan
 aura sultan atau raja pemerintah di zaman silam. 

My wife Salina (kanan sekali) 
bergambar dengan pelawat 
dari salah satu perkumpulan wanita Indonesia 
yang tidak dipastikan dari mana mereka datang 
(lupa nak tanya)... 


Pada malam tanggal 27 Feb 2007, Istano Basa ini mengalami kebakaran hebat akibat petir yang menyambar di puncak istana. Akibatnya bangunan tiga tingkat ini hangus terbakar termasuk sebahagian dokumen serta lain-lain barang perhiasan. Dianggarkan hanya 15% sahaja barang-barang berharga yang dapat diselamatkan.

Akhirnya Istano Basa Pagaruyung ini didirikan semula yang memakan masa selama 6 tahun dengan kos Rp20 miliar dan dirasmikan oleh Presiden Republik Indonesia ketika itu Susilo Bambang Yudhoryono pada Oktober 2013.


Minangkabau berasal dari perkataan Menangkerbau. Mengikut sejarah telah berlaku satu pergaduhan yang melibatkan penduduk 2 buah kampung menyebabkan ramai yang terkorban. Bagi mengelakkan berlakunya banyak kematian maka kedua belah pihak bersetuju supaya pergaduhan dihentikan dan digantikan dengan perlawanan kerbau. Dalam pertarungan tersebut salah seekor darinya telah berjaya membunuh lawannya hingga mati dan telah menggembirakan penduduk kampong yang menang. Dari peristiwa tersebutlah timbulnya perkataan Menangkerbau yang akhirnya lama kelamaan disebut Minangkabau...Wallahuaklam... 

On the way balik ke hotel aku telah merakam
sebatang pokok kelapa yang rare  
batangnya berbentuk keris berlok...

Saturday, January 30, 2021

HIKAYAT 1001 MALAM EPISOD 34 - 40...

 EPISOD 34 : KEDATANGAN KHALIFAH

Malam berikutnya Dinarzad berkata kepada kakaknya, Syahrazad, "Kak, jika engkau belum mengantuk, teruskanlah ceritamu yang indah dan aneh itu!" Syahrazad menyahut, "Dengan senang hati."

Hamba mendengar, wahai sang Raja, para sufi itu, yang telah terpengaruh dengan minuman anggur, minta diambilkan alat-alat musik. Si penjaga pintu membawakan mereka sebuah rebana, sebuah suling dan sebuah alat musik Parsi. Sufi-sufi itu bangkit, masing-masing mengambil alat-alat musik itu dan mula memainkannya dan menyanyi, hingga gadis-gadis itu pun turut bernyanyi bersama mereka dengan suara yang sangat keras. Ketika mereka sedang bermain musik dan bernyanyi, mereka mendengar ketukan di pintu. Si penjaga pintu pergi untuk melihat apa yang terjadi.

Nah, penyebab dari ketukan itu, adalah pada malam itu juga Khalifah Harun Ar-Rasyid dan Jaafar   datang ke kota itu, sebagaimana yang biasa mereka lakukan sekali-sekala. Ketika mereka sedang berjalan-jalan, mereka melewati pintu itu dan mendengar musik yang berasal dari suling dan rebana serta nyanyian gadis-gadis itu, juga suara orang-orang yang seolah-olah sedang berpesta dan tertawa riang. Sang Khalifah berkata, "Jaafar, aku ingin masuk ke rumah itu dan mengunjungi orang-orang di dalamnya."

Jaafar menyahut, "Wahai Pemimpin Kaum Beriman, mereka ini adalah orang-orang yang sedang mabuk dan yang tidak mengenali siapa kita. Hamba khuatir mereka mungkin akan menghina kita dan bersikap kasar terhadap kita kerana tidak mengenali kita."

Sang Khalifah menjawab, "Jangan membantah. Aku harus masuk dan aku mempunyai alasan supaya kita dapat masuk."

Jaafar menyahut, "Hamba mendengar dan patuh"

Lalu Jaafar mengetuk pintu. Ketika si penjaga pintu datang dan membuka pintu, Jaafar melangkah maju, mencium tanah di hadapannya dan berkata, "Wahai tuan, kami adalah pedagang-pedagang dari kota Mosul, dan kami telah berada di Baghdad selama sepuluh hari. Kami telah membawa serta barang-barang dagangan kami dan menginap di sebuah rumah penginapan. Malam ini seorang pedagang dari kota tuan menjemput kami ke rumahnya dan menawarkan kami makanan dan minuman. Kami minum dan bersenang-senang dan menjemput sekelompok pemusik dan gadis-gadis penyanyi dan menjemput kawan-kawan kami lainnya untuk bergabung dengan kami. Mereka semua datang dan kami bergembira-ria, mendengarkan gadis-gadis itu meniup seruling, memukul rebana dan bernyanyi. Tetapi ketika kami sedang bersenang-senang, ketua polisi menyerang tempat itu, dan kami berusaha melarikan diri dengan melompat dari dinding. Sebahagian dari kami ada yang patah tangan dan kakinya dan ada pula yang ditahan untuk disoal siasat, sementara sebahagian yang lain berjaya melarikan diri dengan selamat. Kini kami datang untuk mencari perlindungan di rumah tuan, sebab sebagai orang-orang asing di kota tuan, kami khuatir jika kami terus berjalan di jalanan, polis akan menangkap kami. Jika kami masuk ke rumah penginapan, kami akan terkunci di luar, sebab telah menjadi peraturan di sana, bahawa penginapan itu tidak akan dibuka hingga matahari terbit.

Ketika kami melewati rumah tuan, kami mendengar suara musik dan keributan sebuah pesta dan berharap agar tuan bermurah hati untuk membiarkan kami ikut menikmati sisa malam, walaupun kami harus membayarnya. Jika tuan menolak kami, biarkanlah kami tidur di lorong sempit hingga pagi, dan Tuhan akan memberi pahala kepada tuan. Kami menyerahkan masalah ini pada tuan yang bermurah hati dan keputusannya tergantung tuan, tetapi kami tidak akan pergi dari pintu tuan."

Setelah si penjaga pintu mendengar apa yang dikatakan Jaafar, memandaag pakaian mereka, dan melihat bahawa mereka wajar dihormati, dia kembali menjumpai saudara-saudaranya dan mengulangi kisah Jaafar. Gadis-gadis itu merasa kasihan pada mereka dan berkata, "Biarkan mereka masuk," dan dia menjemput mereka untuk masuk

Ketika sang Khalifah, bersama dengan Jaafar dan *Masrur memasuki ruangan, semua orang termasuk gadis- gadis, para sufi dan pemuda tersebut bangkit untuk menyambut mereka, kemudian mereka duduk kembali....

Tetapi fajar menyingsing, dan Syahrazad menghentikan ceritanya. Lalu adiknya berkata, "Kak, alangkah indah dan menariknya kisah itu!" Syahrazad menyahut, "Ini belum apa- apa jika dibandingkan dengan apa yang akan kuceritakan kepadamu esok malam, jika sang raja mengizinkanku membiarkan aku hidup."

 *Masrur : Seorang yang berkulit hitam, pengawal peribadi Khalifah Harun Ar-Rasyid.

*********************************

­­­­­­­­­­­­­­­­­EPISOD 35 : KISAH DUA EKOR ANJING

Malam berikutnya Dinarzad berkata kepada kakaknya, Syahrazad, "Kak, jika engkau belum mengantuk, teruskanlah ceritamu yang indah dan aneh itu!" Syahrazad menyahut, "Dengan senang hati."

Dikisahkan, wahai sang Raja, ketika sang khalifah bersama dengan Jaafar dan Masrur masuk dan duduk, gadis itu menatap mereka dan berkata, "Tuan-tuan diterima dengan senang hati, dan kami gembira menjadikan tuan-tuan sebagai tamu kami, tetapi dengan syarat-syarat."

Mereka bertanya, "Apakah syarat tuan?"

Gadis itu menjawab, "Bahawa tuan boleh melihat tetapi tidak boleh berbicara dan tidak boleh menanyakan apa pun yang tuan saksikan. Tuan tidak boleh membicarakan apa yang tidak ada hubung kaitnya dengan diri tuan; kalau tidak, maka tuan akan mendengar apa yang tidak akan menyenangkan hati tuan."

 Mereka menyahut, "Ya, sekehendak tuan, sebab kami tidak merasa perlu ikut campur."

Setelah puas dengan penjelasan mereka, gadis-gadis itu duduk menghibur mereka, minum dan bercakap-cakap dengan mereka. Sang Khalifah merasa hairan ketika melihat ketiga sufi itu, yang masing-masing mata kanannya buta. Lebih-lebih lagi Khalifah merasa hairan melihat gadis-gadis dengan kecantikan, daya tarik dan kemurahan hatinya, berada di sebuah tempat yang begitu indah, dengan sekelompok pemusik yang terdiri dari tiga orang sufi bermata satu. Tetapi dia merasa bahawa pada saat itu dia tidak dapat mengajukan pertanyaan apa pun.

Mereka terus berbincang-bincang dan minum, kemudian para sufi itu bangkit, membungkuk, dan kembali memainkan musik lalu mereka duduk dan mengangkat cangkir itu berkeliling. Ketika anggur itu telah menunjukkan pengaruhnya, tuan rumah bangkit, membungkuk, dan sambil menggandeng tangan si gadis yang berbelanja, ia berkata, "Saudaraku, mari kita lakukan tugas kita."

Kedua saudaranya menyahut, "Baiklah."

Si penjagapintu bangun, membersihkan meja, membuang sisa makanan dan kotoran, mengisi kemenyan dan membersihkan ruangan itu. Lalu dia menyuruh sufi-sufi itu duduk di atas sebuah sofa pada satu sisi ruangan, dan mengarahkan sang Khalifah, Jaafar dan Masrur duduk pada sofa lainnya. Lalu dia berteriak kepada si pemuda, "Engkau sangat malas. Bangunlah dan bantu kami, sebab engkau menjadi anggota rumah tangga ini."

Si pemuda bangun dan sambil mempersiapkan dirinya, ia bertanya, "Ada apa?"

Gadis itu menjawab, "Berdirilah di tempatmu."

Lalu si gadis yang berbelanja meletakkan sebuah kerusi di tengah-tengah ruangan, membuka sebuah lemari dan berkata kepada si pemuda, "Ke sinilah dan bantu aku."

Ketika si pemuda mendekat, dia melihat dua ekor anjing pemburu betina berwarna hitam dengan rantai di lehernya di dalam sebuah lemari. Gadis itu mengeluarkan anjing tersebut dan menuntunnya ke tengah-tengah ruangan. Sambil mengatakan, "Inilah saatnya melakukan tugas kami," si tuan rumah maju, menggulung lengan bajunya, mengambil cambuk anyaman, dan memanggil si pemuda, "Bawakan aku salah seekor anjing itu."

Si pemuda mengheret salah seekor anjing itu pada rantainya dan membawanya maju, sementara haiwan tersebut meratap dan menggeleng-gelengkan kepalanya ke arah gadis itu. Ketika si pemuda berdiri memegang rantai, si gadis mendatangi anjing itu dengan cambukan keras pada pinggangnya, sehingga haiwan tersebut meraung dan meratap. Si gadis terus mencambuki anjing itu sampai tangannya letih. Lalu dia berhenti, melempar cambuk itu, dan sambil meminta rantai dari si pemuda, memeluk anjing itu dan mulai menangis. Anjing itu pun mulai menangis, hingga keduanya menangis bersama dalam waktu yang cukup lama. Lalu gadis itu mengusap air mata si anjing dengan sapu tangannya, mencium kepalanya dan berkata kepada si pemuda, "Bawalah dia kembali ke tempatnya, dan bawakan aku anjing yang satu lagi."

Si pemuda membawa binatang itu ke lemari dan mengeluarkan anjing yang seekor lagi kepada gadis itu, yang memperlakukannya sebagaimana dia memperlakukan terhadap anjing yang pertama tadi, mencambukinya hingga pengsan. Lalu dia mengambil anjing itu, menangis bersamanya, mencium kepalanya, dan menyuruh si pemuda membawanya kembali pada saudaranya, dan si pemuda membawanya kembali.

Ketika orang-orang yang berada di situ melihat apa yang terjadi, bagaimana gadis itu mencambuki anjing tersebut hingga si anjing pengsan, dan bagaimana dia menangis bersama anjing itu dan mencium kepalanya, mereka benar-benar hairan dan mulai berbicara dalam hati masing-masing. Sang Khalifah sendiri merasa terganggu perasaannya dan kehilangan kesabaran ketika dia terbakar oleh rasa ingin tahu untuk mengetahui kisah tentang kedua anjing itu. Dia melirik kepada Jaafar, tetapi Jaafar berbicara dengan isyarat,

"Ini bukan waktunya untuk bertanya."

Ketika gadis itu selesai menghukum kedua anjing tersebut, si penjaga pintu berkata kepadanya, "Tuan puteriku, pergilah duduk di dipanmu, sehingga pada giliranku, aku dapat memenuhi hasratku."

Sambil berkata, "Baiklah," gadis itu pergi ke hujung ruangan dan duduk di atas dipan, dengan sang Khalifah, Jaafar, dan Masrur duduk berdampingan di sebelah kanannya dan para sufi serta pemuda itu di sebelah kirinya. Walaupun lampu-lampu menyala, lilin-lilin dibakar dan kemenyan memenuhi tempat itu, orang-orang itu merasa tertekan dan menyedari bahawa malam mereka telah terganggu. Lalu si penjaga pintu duduk di atas kerusi…

Tetapi fajar menyingsing, dan Syahrazad menghentikan ceritanya. Lalu Dinarzad berkata kepada kakaknya, "Kak, betapa aneh dan menariknya kisah itu!" Syahrazad menyahut, "Ini belum apa-apa jika dibandingkan dengan apa yang akan kuceritakan kepadamu esok malam, jika aku masih hidup!"

 *****************************************************

EPISOD 36 : GADIS YANG MEMAINKAN KECAPI

Malam berikutnya, ketika sang raja telah bermesra dengan Syahrazad, Dinarzad berkata, "Kak, jika engkau belum mengantuk, ceritakan kepada kami salah satu ceritamu yang indah untuk mengisi malam." Syahrazad menyahut, "Dengan senang hati."

Hamba mendengar, wahai sang Raja, si penjaga pintu duduk di atas kerusi dan berkata kepada saudaranya si gadis yang berbelanja, "Bangunlah dan berikan hakku."

Gadis itu bangkit, memasuki sebuah bilik dan segera kembali dengan membawa sebuah beg dari kain kuning dengan dua helai sutera berwarna hijau yang dihiasi dengan emas merah dan dua biji ambergris asli. Dia duduk di depan si penjaga pintu, mengeluarkan alat musik sejenis kecapi dari beg itu, dan dengan satu sisi kecapi melekat di atas lututnya, dia memegang kecapi di atas pangkuannya. Kemudian dia memainkan kecapi itu dan, sambil menariknya dengan jari-jemarinya, ia mulai memainkannya dan menyanyikan syair berikut ini:

Cintaku, engkaulah tujuan hidupku,
Dan engkaulah hasratku.
Bersamamu adalah kegembiraan ahadi.
Ketidakhadiranmu, api neraka.
Engkaulah kegilaan hidupku,
Satu-satunya berahiku,
Suatu cinta yang tak kenal malu,
Suatu pemujaan tak bercela.
Baju kesedihan yang kupakai
Mengungkapkan nafsuku yang tersembunyi,
Menghancurkan hatiku yang tergerak
Dan meninggalkanku dalam kebingungan.
Air mataku pada semua orang menyatakan cintaku.
Sebagaimana di atas pipiku mereka mengalir,
Air mataku yang curang menghancurkanku
Dan seluruh rahsiaku terbongkar.
Wahai, sembuhkan aku dari penyakitku yang mematikan;
Engkaulah penyakit dan ubatnya,
Tetapi dia yang kau obati akan lebih menderita lagi.
Matamu yang cemerlang telah menyia-nyiakan diriku,
Rambutmu yang hitam legam telah memperhambaku,
Pipimu yang kemerahan telah menaklukkanku
Dan menceritakan kisahku pada semua orang.
Penderitaanku adalah kesyahidanku,
Pedang cinta, kematianku.
Betapa sering orang yang paling baik
Menghentikan nafas mereka dengan car a ini?
Aku tidak akan berhenti mencintaimu,
Atau membuka apa yang tertutup.
Cinta adalah hukum dan ubat bagiku,
Entah tersembunyi entah terbuka.
Terpujilah mataku yang menatapmu,
Wahai pengungkapan yang mulia;
Yang telah meninggalkanku
dalam kebingungan, kesendirian,
Dalam pemujaan yang sia-sia. 

Ketika gadis itu selesai dengan sajaknya, saudaranya menjerit keras dan meratap, "Oh, oh, oh!" Lalu dia menarik bajunya dan merobeknya, menelanjangi seluruh tubuhnya, dan jatuh pengsan. Ketika sang Khalifah memandangnya, dia melihat bahawa seluruh tubuhnya, mulai dari kepala hingga tumitnya, menunjukkan tanda-tanda hitam bekas cambukan. Kerana menyedari keadaan si gadis dan tidak tahu apa yang menyebabkannya begitu, sang Khalifah merasa terganggu, lalu dia berkata kepada Jaafar, "Demi Tuhan, aku tidak mahu menunggu sesaat pun hingga aku mengerti betul masalah ini dan minta penjelasan atas apa yang telah berlaku, mulai dari pencambukan gadis itu, pencambukan ke atas kedua anjing tadi, kemudian tangisan dan ciuman itu."

Jaafar menyahut, "Tuanku, kini bukan waktunya untuk meminta penjelasan, terutama kerana mereka telah mengajukan syarat kepada kita bahawa kita tidak boleh membicarakan apa yang tidak berkaitan dengan kita, sebab sesiapa yang membicarakan apa yang tidak berkaitan dengan dirinya, akan mendengar apa yang tidak akan menyenangkan hatinya."

Kemudian si gadis yang berbelanja bangkit dan, setelah memasuki sebuah bilik, membawa keluar sebuah baju indah yang dipakaikannya pada saudaranya, menukarkan baju yang telah dirobek saudaranya, dan duduk. Gadis itu berkata kepada saudaranya, "Demi Tuhan, berilah aku minuman lagi," dan saudaranya mengambil cangkir, mengisinya, dan menyerahkannya padanya. Lalu ia memegang kecapi itu di pangkuannya, mencuba sejumlah nada, dan menyanyikan sajak berikut ini:

Jika aku menangisi kepergianmu, apa yang akan kau katakan?
Jika aku didera rindu, jalan mana yang kutempuh?
Jika aku mengirim seseorang untuk menceritakan kisahku,
Keluhan sang kekasih tak seorang pun dapat menyampaikan.
Jika aku dengan sabar berusaha menahan deritaku,
Setelah kehilangan cinta,
tak dapat kutahan hentaman itu.
Tiada yang tinggal kecuali kerinduan dan penyesalan
Dan air mata yang mengalir deras di pipi.
Engkau, yang telah lama menghilang dari pandanganku,
Dalam hatiku yang penuh cinta akan tinggal selamanya.
Engkaukah itu yang telah mengajariku bagaimana bercinta,
Dan janji cinta tak pernah menyimpang?

Ketika saudaranya menyelesaikan lagunya, gadis itu berseru, "Oh, oh, oh!" dan, masih dikuasai oleh perasaannya, sekali lagi ia menarik bajunya hingga robek. Lalu dia menjerit dan jatuh pengsan. Sekali lagi si gadis yang berbelanja memasuki bilik dan keluar dengan baju yang lebih indah lagi daripada sebelumnya. Lalu dia memerciki wajah saudaranya dengan air mawar, dan ketika saudaranya sedar, dia memakaikan baju itu padanya. Lalu saudaranya berkata, "Demi Tuhan, saudaraku, selesaikanlah tugasku ini, sebab hanya tinggal satu lagu ini saja."

"Dengan senang hati," sahut saudaranya, dan dia mengambil kecapi itu dan mulai bermain dan menyanyikan syair berikut ini:

Berapa lama aku harus menahan kehinaan yang kejam ini?

Tidakkah aku cukup membayarnya
dengan air mata dan ratapan?
Untuk berapa lama penderitaan ini sengaja kau abaikan,
Seakan-akan ia seorang musuh
yang penuh dendam dan iri hati?
Berhati-hatilah!
Cara-cara jahatmu mendatangkan derita pahit,
Tuan, kali ini tunjukkan belas kasihmu.
Wahai tuan, tuntutlah rasa cinta ini,
Yang kini tak kenal tidur atau sabar.
Adakah itu hukum cinta yang dinikmati cintaku,
Sementara aku sendiri pergi dengan tangan hampa?
Tuanku, biarkan dia menjadi rajaku yang tak adil;
Banyak kesukaran dan cubaan yang kualami,
Mungkin esok akan bertambah sukar
atau sebaliknya,
terserah kepada takdir
kurenungi nasib diriku yang lemah
Ketika dia selesai menyanyikan lagu itu.

Tetapi fajar menyingsing, dan Syahrazad menghentikan ceritanya. Lalu Dinarzad berkata, "Kak, alangkah menghairankan dan menariknya kisah itu!" Syahrazad menyahut, "Esok malam aku akan menceritakan kepadamu sesuatu yang lebih aneh, lebih menghairankan dan lebih menarik, jika sang raja mengizinkanku dan membiarkan aku hidup!"

 ***********************************************

EPISOD 37 : TUJUH ORANG LELAKI HITAM

Malam berikutnya, ketika sang raja telah bermesra dengan Syahrazad, Dinarzad berkata, "Kak, jika engkau belum mengantuk, ceritakan kepada kami salah satu ceritamu yang indah untuk mengisi malam." Syahrazad menyahut, "Dengan senang hati."

Dikisahkan, wahai sang Raja, ketika gadis itu mendengar lagu ketiga, dia berseru, "Demi Tuhan, ini bagus." Lalu dia menarik bajunya dan merobeknya, dan ketika dia jatuh pengsan. dia menunjukkan pada dadanya tanda-tanda hitam dan biru akibat cambukan. Para sufi itu bergumam, "Kami berharap tidak pernah memasuki rumah ini, dan lebih suka melewatkan malam di atas tumpukan sampah di luar kota, sebab kedatangan kami telah dikotori oleh pemandangan yang begitu mengganggu perasaan."

Sang Khalifah menatap mereka dan bertanya, "Bagaimana boleh begitu?"

Mereka menyahut, "Wahai tuan yang terhormat, fikiran kami dikacaukan oleh masalah ini."

Khalifah bertanya, "Tetapi kalian adalah anggota rumah tangga ini; barangkali kalian dapat menjelaskan padaku kisah tentang dua ekor anjing dan gadis-gadis ini."

Mereka menyahut, "Demi Tuhan, kami sama sekali tidak mengetahui dan kami tidak pernah melihat tempat ini sebelumnya."

Dengan penuh kehairanan, Khalifah berkata, "Kalau begitu orang yang duduk di sampingmu ini mestinya mengetahui perkara ini."

Mereka mengalihkan pandangan kepada si pemuda, untuk menyoalnya. Tetapi pemuda itu menyahut, "Demi Tuhan Yang Maha Besar, dalam cinta semuanya sama, sebab meskipun saya dibesarkan di Baghdad, belum pernah seumur hidup saya memasuki rumah ini hingga hari ini. Saya memang melewatkan hari yang menakjubkan dengan mereka. Walaupun begitu, saya tetap tertanya-tanya bagaimana keadaan mereka, semua wanita ini, hidup tanpa lelaki."

Mendengar itu para sufi berkata kepada pemuda itu, "Demi Tuhan, kami anggap engkau sebagai salah satu dari mereka, tetapi kini kami mengetahui bahawa engkau berada dalam kesukaran yang sama dengan kami."

Kemudian Khalifah berkata, "Ditambah dengan Jaafar dan Masrur, kita adalah lelaki bertujuh, sedangkan mereka wanita hanya bertiga tanpa ada seorang lelaki pun. Marilah kita minta penjelasan kepada mereka; jika mereka tidak mahu menjawab dengan suka rela, mereka akan menjawab kerana terpaksa."

Mereka bersetuju untuk melaksanakan rancangan itu, tetapi Jaafar berkata, "Ini tidak benar; biarkan saja mereka, sebab kita menjadi tamu mereka dan, sebagaimana tuan-tuan ketahui, mereka telah menetapkan satu syarat yang harus dipatuhi. Lebih baik kita tetap berdiam diri mengenai hal ini, sebab malam tinggal sebentar lagi, dan segera kita akan mengambil jalan sendiri-sendiri."

Lalu Jaafar menujukan pandangannya kepada sang Khalifah dan berbisik padanya, "Wahai Pemimpin Kaum Beriman, bersabar- lah selama satu jam terakhir malam ini, dan esok pagi hamba akan datang kembali dan membawa mereka ke hadapan Paduka untuk menceritakan kisah mereka."

Tetapi sang Khalifah berteriak padanya, "Jahanam kau, aku tidak dapat lagi menunggu untuk mendapatkan penjelasan tentang

mereka. Biarkan para sufi itu menyoal mereka."

Jaafar menyahut. "Ini bukan gagasan yang baik." Lalu mereka bercakap-cakap beberapa lama dan mempermasalahkan siapa yang pertama-tama harus mengajukan soalan. Akhirnya mereka semua setuju si pemudalah yang harus maju. Ketika gadis-gadis itu mendengar keributan mereka, salah seorang dari mereka bertanya, "Tuan-tuan, apa yang terjadi?"

Si pemuda mendekatinya dan berkata, "Tuan puteriku, tuan- tuan ini mengungkapkan keinginan mereka agar kalian menceritakan kisah tentang kedua anjing hitam itu dan mengapa engkau menghukum mereka dan kemudian meratapi mereka. Mereka juga ingin mengetahui kisah saudaramu dan bagaimana kejadiannya sehingga tubuhnya terkena luka cambukan, seperti seorang lelaki. Itulah semuanya; itulah yang ingin mereka ketahui."

Sambil berpaling kepada mereka, gadis itu bertanya, "Benarkah apa yang dikatakan pemuda ini tentang tuan-tuan?"

Mereka semua menjawab, "Ya," kecuali Jaafar yang tinggal diam dan tidak menjawab sepatah kata pun. Ketika gadis itu mendengar jawaban mereka, dia berkata, "Wahai tamu-tamuku, kamu semua telah menyalahi kami. Bukankah kami telah mengemukakan pada tuan-tuan syarat-syarat kami, bahawa siapa yang membicarakan apa yang tidak berkaitan dengan dirinya, akan mendengar apa yang tidak akan menyenangkan hatinya. Kami membawa tuan-tuan ke dalam rumah kami dan menyediakan makanan untuk tuan-tuan, tetapi tuan-tuan ikut mencampuri urusan kami dan menyalahi kami. Walaupun demikian kesalahan tuan-tuan tidak sebesar kesalahan pemuda ini yang membiarkan kalian masuk dan membawa kalian kepada kami."

Lalu gadis-gadis itu menggulung lengan bajunya dan menghentakkan lantai tiga kali sambil berteriak, "Segeralah keluar," dan sebuah pintu terbuka, maka keluarlah tujuh orang lelaki hitam, dengan pedang terhunus di tangan mereka. Lalu dengan gagang pedang, setiap lelaki hitam itu memukul salah seorang tamu hingga terjatuh dengan wajahnya menghadap lantai, dan dalam sekejap mata ketujuh tamu itu telah diikat tangannya dan diikat satu sama lainnya. Kemudian mereka mengheret para tamu tersebut berbaris menuju ke tengah-tengah ruangan. Masing- masing lelaki hitam itu berdiri dengan pedang terhunus di atas kepala tamunya. Kemudian mereka berkata kepada si gadis, "Wahai tuan puteri yang paling terhormat dan paling berbudi, izinkan kami memenggal kepala mereka."

Gadis itu menjawab, "Tunggu sebentar sampai aku menyoal mereka, sebelum engkau memenggal kepala mereka."

Si pemuda berseru, "Tuhan melindungiku. Wahai tuan puteri, jangan membunuhku kerana kesalahan orang lain. Semua orang ini telah membuat kesalahan dan melawan, kecuali aku. Demi , Tuhan, kita telah mengalami hari yang menyenangkan. Kalau saja kita dapat membebaskan diri dari para sufi bermata satu ini, yang kedatangannya ke setiap kota mendatangkan kutukan padanya, menghancurkannya, dan menjadikannya puing!" Lalu dia mulai meratap dan mengumandangkan sajak berikut ini:

Adillah ampunan dari orang-orang besar,
Dan yang paling adil,
jika ampunan ini diberikan kepada yang paling lemah.
Jangan putuskan persahabatan yang pertama
demi yang terakhir,
Dengan ikatan cinta yang telah tumbuh di antara kita.

Si gadis, walaupun sedang marah, tertawa dan sambil mendatangi tamu-tamunya itu, ia berkata, "Katakan padaku siapa kamu, sebab kamu hanya mempunyai waktu satu jam untuk hidup. Jika kalian bukan tokoh terkemuka di kalangan masyarakat-atau penguasa yang kuat, pasti kalian tidak akan berani menyalahi kami."  

Khalifah berkata kepada Jaafar, "Celaka engkau! Katakan padanya siapa kita, sebab silap sedikit saja kita akan terbunuh!"

Jaafar menyahut, "Inilah bahagian yang patut kita terima."
Sang Khalifah berteriak padanya, "Kini bukan waktunya engkau melucu."
Lalu gadis itu mendekati para sufi dan berkata, "Apakah kamu bersaudara?"
Mereka menjawab, "Demi Tuhan, wahai gadis, kami tidak bersaudara, juga kami bukan kaum faqir."
Lalu gadis itu menyoal salah seorang di antara mereka, "
Apakah engkau dilahirkan buta sebelah?"

Sufi itu menjawab, "Tidak, demi Tuhan, tuan puteri. Adalah suatu kejadian yang aneh dan menghairankan yang menyebabkan aku kehilangan mataku, mencukur janggutku, dan menjadi seorang sufi. Kisahku adalah kisah yang, jika ia dilukiskan dengan jarum di sudut mata, akan menjadi peringatan bagi mereka yang mahu berfikir."

Lalu gadis itu menyoal sufi kedua, dan dia mengatakan hal yang sama. Lalu disoalnya pula sufi ketiga, ia pun mendapat jawaban yang sama.

 Lalu mereka berkata, "Demi Tuhan, tuan puteri, kami masing- masing berasal dari kota yang berbeza, dan kami masing-masing adalah putera seorang raja, penguasa yang berkuasa ke atas seluruh kerajaan dan rakyatnya."

Si gadis mengarahkan pandangannya kepada lelaki hitam itu dan berkata, "Siapa pun yang menceritakan kisahnya dan menjelaskan apa yang ada padanya dan apa yang telah membawanya ke tempat tinggal kita ini, biarkan dia menghusap kepalanya dan pergi, tetapi siapa pun yang menolaknya, penggallah kepalanya...."

Tetapi fajar menyingsing, dan Syahrazad menghentikan ceritanya. Lalu Dinarzad berkata kepada kakaknya, "Kak, betapa aneh dan menariknya kisah itu!" Syahrazad menyahut, "Ini belum apa-apa jika dibandingkan dengan apa yang akan kuceritakan kepadamu esok malam, jika aku masih hidup!"

*******************************************

EPISOD 38 : DI SEBUAH MAKAM DI TANAH PERKUBURAN

Malam berikutnya, ketika sang raja telah bermesra dengan Syahrazad, Dinarzad berkata, "Kak, jika engkau belum mengantuk, ceritakan kepada kami salah satu ceritamu yang indah untuk mengisi malam." Syahrazad menyahut, "Dengan senang hati."

Hamba mendengar, wahai sang Raja, setelah gadis itu berbicara, yang pertama maju adalah si pemuda sambil berkata, "Wahai gadis, engkau tahu bahawa alasan saya datang ke tempat ini adalah kerana saya dipekerjakan untuk memikul barang-barang belanjaan, yang membawa saya mulai dari pedagang anggur ke tukang daging, dan dari tukang daging ke penjual sayur, dan dari penjual sayur ke penjual buah-buahan, dan dari penjual buah-buahan ke penjual makanan kering, lalu ke penjual manisan, penjual ubat, dan akhirnya ke rumah ini. Itulah kisah saya."

Gadis itu berkata, "Usaplah kepalamu dan pergi."

Tetapi dia menjawab, "Demi Tuhan, aku tidak akan pergi sebelum mendengar kisah-kisah yang lain."

Lalu sufi yang pertama maju dan berkata "Tuan puteri, penyebab mataku buta dan janggutku dicukur adalah sebagai berikut:

Ayahku adalah seorang raja, dan dia mempunyai seorang saudara yang juga menjadi raja, yang mempunyai seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Setelah bertahun-tahun berlalu dan kami tumbuh membesar, kadangkala aku mengunjungi bapa saudaraku, tinggal bersamanya selama sebulan atau dua bulan dan kembali menemui ayahku. Sebab di antara aku dan anak bapa saudaraku telah tumbuh persahabatan yang erat dan rasa kasih sayang yang mendalam.

Suatu hari aku mengunjungi saudara sepupuku dan dia memperlakukan aku dengan kebaikan yang luar biasa. Dia menyembelihkan untukku banyak kambing, menawariku anggur yang jernih, dan duduk bersamaku untuk minum. Ketika anggur itu telah menghangatkan badan kami, sepupuku berkata, "Saudara sepupu, aku ingin menunjukkan kepadamu sesuatu yang telah aku persiapkan selama setahun penuh, asalkan engkau tidak berusaha untuk menghalangiku."

Kujawab, "Dengan senang hati." Setelah dia menyuruhku bersumpah, dia bangkit dan dengan cepat menghilang, tetapi sebentar kemudian dia kembali dengan seorang wanita yang memakai mantel, sehelai sapu tangan dan hiasan kepala yang berbau sangat harum hingga membuat kami menjadi semakin mabuk. Lalu dia berkata,

"Saudara sepupu, bawalah gadis ini dan pergilah di depanku menuju sebuah makam di tanah perkuburan ini," sambil melakarkannya hingga aku mengetahui tempat itu.

Lalu dia menambahkan, "Masuklah bersamanya ke dalam makam itu dan tunggulah aku di sana."

Tanpa dapat mengajukan pertanyaan atau protes disebabkan sumpah yang telah kuucapkan, kubawa gadis itu dan berjalan bersamanya sampai kami memasuki tanah perkuburan dan duduk di dalam makam. Tak lama kemudian sepupuku tiba, dengan membawa semangkuk air, satu beg mortir dan sebuah cangkul besi. Dia langung menuju ke pusara, membongkarnya, lalu menyusun batu-batunya di satu sisi. Dia meneruskan lagi penggaliannya ke dalam tanah pusara itu hingga dia menemukan sebuah pelat besi, berukuran sebuah pintu kecil, yang menutupi sepanjang dan selebar pusara. Dia mengangkat pelat itu, dan bawahnya muncullah sebuah tangga berputar. Lalu dengan menatap kepada gadis itu, dia berbicara dengan isyarat, "Tetapkan pilihanmu," lalu gadis itu menuruni tangga dan menghilang. Kemudian sepupuku menatap wajahku seraya berkata, "Saudara sepupu, ada satu lagi pertolongan yang kuminta."

Aku bertanya, "Apakah itu?"

Dia berkata, "Setelah aku turun ke tempat ini, letakkan semula pelat besi dan tanah itu seperti semula...."

Tetapi fajar menyingsing, dan Syahrazad menghentikan ceritanya. Lalu Dinarzad berkata kepada kakaknya, "Kak, betapa aneh dan menariknya kisah itu!" Syahrazad menyahut, "Ini belum apa-apa jika dibandingkan dengan apa yang akan kuceritakan kepadamu esok malam, jika aku masih hidup!"

 ************************************

EPISOD 39 : SEPASANG MUDA MUDI YANG TELAH JADI ARANG

Malam berikutnya, ketika sang raja telah bermesra dengan Syahrazad, Dinarzad berkata, "Kak, jika engkau belum mengantuk, ceritakan kepada kami salah satu ceritamu yang indah untuk mengisi malam." Syahrazad menyahut, "Dengan senang hati."

Hamba mendengar, wahai sang Raja, sufi pertama berkata kepada gadis itu: Setelah aku melaksanakan petunjuk-petunjuknya, aku merasa pening dan goyang, lalu bermalam di salah satu rumah bapa saudaraku, yang diserahkannya padaku untuk kugunakan sebelum dia meneruskan perjalanan berburu.

Ketika aku bangun keesokan harinya dan mengingat kembali kejadian-kejadian di malam sebelumnya, aku menyangka bahawa semua itu hanya ada dalam mimpi. Kerana ragu-ragu dan bimbang, aku bertanya tentang saudara sepupuku, tetapi tak seorang pun dapat memberitahukan tentang dia. Lalu aku pergi ke tanah perkuburan dan mencari makam itu, tetapi aku tidak dapat menemukannya atau mengingat apa pun tentang hal itu. Aku terus berjalan dari satu makam ke makam lainnya dan dari satu pusara ke pusara lainnya, tanpa berhenti untuk makan atau minum, hingga malam menjelang. Aku mulai khuatir mengenai saudara sepupuku,

dan sementara aku tertanya-tanya dalam hati ke manakah tangga berputar itu mengarah, aku mulai ingat akan kejadian-kejadian itu sedikit demi sedikit, sebagaimana orang ingat akan apa yang terjadi dalam mimpi. Akhirnya aku kembali ke rumah, makan sedikit, dan melewatkan malam yang menggelisahkan. Setelah mengingat apa yang aku dan dia kerjakan malam itu, keesokan harinya aku kembali ke tanah perkuburan dan berkeliling, mencari- cari sampai malam tiba, tanpa menemukan makam itu atau mendapatkan jalan yang mungkin akan menuntunku ke sana. Aku pun kembali ke tanah perkuburan untuk ketiga dan keempat kalinya dan mencari-cari makam itu sejak pagi-pagi hingga malam hari tanpa hasil, hingga aku hampir kehilangan akal karena sedih dan khuatir.

Akhirnya, kerana menyedari bahawa aku tidak menemukan jalan lain, kuputuskan untuk kembali ke kota ayahku. Ketika aku tiba di sana dan memasuki gerbang kota, tiba-tiba aku diserang, dipukuli, dan diikat. Ketika aku bertanya, "Apa sebabnya?" aku diberitahu, "Wazir telah mengadakan perlawanan terhadap ayahmu dan mengkhianatinya. Melalui komplotan dengan seluruh bala tentara, dia telah membunuh ayahmu dan merebut kekuasaannya dan memerintahkan kami untuk mencarimu."

Lalu mereka membuatku pengsan dan membawaku ke hadapan sang wazir.

Wahai gadis yang mulia, telah menjadi kenyataan bahawa wazir itu dan aku saling bermusuhan, sebab akulah yang menyebabkan kebutaan salah satu matanya. Kerana senang bermain panah, suatu hari aku berdiri di atas atap istana, ketika seekor burung hinggap di istana wazir, yang secara kebetulan juga sedang berdiri di atas atap istananya. Ketika aku menembak burung itu, pelurunya tidak mengenainya tetapi justeru mengenai wazir dan menembus sudut matanya. Itulah penyebab dendamnya terhadapku. Oleh itu, ketika mereka membawaku ke hadapannya, dia mencucukkan jarinya ke mataku, mencongkelnya keluar hingga darah mengalir di pipiku. Lalu dia mengikatku, menempatkanku dalam sebuah peti, dan menyerahkan aku kepada ahli pedang ayahku sambil berkata, "Tunggangi kudamu, hunus pedangmu dan bawa orang ini bersamamu ke hutan belantara. Lalu bunuhlah dia dan biarkan haiwan-haiwan dan burung-burung hutan memakan dagingnya."

Pengawal itu mengikuti perintah wazir dan membawaku ke hutan belantara. Lalu dia turun dari kudanya, mengeluarkan aku dari peti dan memandangku serta bersiap sedia untuk membunuhku. Aku meratap dengan sedih atas apa yang telah terjadi pada diriku hingga membuatnya ikut meratap bersamaku. Lalu sambil memandang padanya, aku mengumandangkan sajak berikut ini:

Kau kujadikan perisai dari anak panah musuh,

Tetapi ternyata engkaulah anak panah itu sendiri. Kuharapkan bantuanmu ketika aku celaka, Sebagaimana tangan kiri membantu si tangan kanan, Tapi berdirilah kau sebagai orang bebas, jauh dariku, Dan membiarkan musuh membidikkan panah mereka, Dan jika kau tak dapat mempertahankan persahabatan kita, Antara dirimu dan aku tidak ada pertalian lagi.

Ketika pengawal itu mendengar sajakku, dia merasa kasihan kepadaku lalu membatalkan niatnya untuk membunuhku dan membebaskanku sambil berkata, "Larilah dan jangan kembali ke negeri ini, sebab mereka akan membunuh engkau dan juga membunuhku. Sebagaimana sang penyair berkata:

Jika engkau mengalami ketidakadilan,
selamatkan dirimu,
Dan tinggalkan rumah
untuk berkabung atas pendirinya
Negerimu akan kau gantikan dengan yang lain,
Tetapi untuk dirimu,
engkau tak akan menemukan diri yang lain.
Atau dalam suatu tugas,
Jangan mempercayai orang lain,
Sebab tidak ada yang setia seperti dirimu.
Dan tidakkah singa berjuang sendiri,
la tak akan mencari mangsa sendiri.

Hampir tidak dapat mempercayai keselamatanku, kucium tangannya sambil berfikir bahawa kehilangan mata bagiku jauh lebih baik daripada harus kehilangan nyawa.

Lalu aku melakukan perjalanan perlahan-lahan hingga aku mencapai kota bapa saudaraku. Ketika aku menemuinya dan menceritakan padanya tentang kematian ayahku dan kehilangan mataku, dia berkata kepadaku, "Aku pun mengalami dukacita yang cukup berat, sebab anakku hilang. Hingga kini aku tidak tahu apa yang telah terjadi kepadanya, juga aku tidak menerima berita apa pun tentang dirinya." Lalu dia meratap dengan sedih, menghidupkan kembali kesedihan lamaku dan menimbulkan belas kasihanku. Kerana tidak mampu berdiam diri, kuceritakan kepadanya apa yang telah dilakukan anaknya, dan dia merasa sangat senang dan berkata, "Mari tunjukkan padaku makam itu."

Aku menjawab, "Demi Tuhan, bapa saudaraku, aku telah lupa jalan ke sana, dan aku tidak tahu lagi yang mana satu makam itu."

Dia berkata, "Marilah kita pergi bersama."

Lalu aku dan bapa saudaraku mendatangi tanah perkuburan itu dengan diam-diam. Ketika kami tiba di tengah-tengahnya, tiba-tiba saja aku mengenali makam itu hingga merasa sangat gembira dengan harapan akan menunjukan apa yang ada di sebalik tangga berputar itu dan apa yang terjadi terhadap saudara sepupuku. Kami memasuki makam, membuka pusara, dan setelah membersihkan tanahnya, menemukan pelat besi itu.

Bapa saudaraku berjalan di depan, dan kami menuruni

sekitar lima puluh anak tangga. Ketika kami mencapai anak tangga yang paling bawah, kami melihat gulungan asap yang besar yang hampir membutakan mata kami. Bapa saudaraku berseru, "Tidak ada kekuatan dan kekuasaan, kecuali di tangan Tuhan Yang Maha Besar, Maha Kuasa."

Lalu kami melihat sebuah lorong. Ketika kami maju sedikit, kami tiba di sebuah ruangan dengan tiang-tiang besar yang disinari oleh atap yang terbuat dari kaca yang sangat tinggi. Kami berkeliling dan melihat sebuah tangki air di tengah-tengahnya, melihat kendi-kendi besar dan karung-karung yang penuh dengan tepung, biji-biji padi dan biji-bijian lainnya. Di hujung ruangan pula kami melihat sebuah tempat tidur yang ditutupi dengan sebuah kain cadar. Bapa saudaraku mendekati tempat itu, dan ketika dia mengangkat cadar itu, dia menemukan anaknya dan gadis yang dahulu pergi bersamanya, berbaring saling berpelukan, tetapi keduanya telah menjadi arang. Seakan-akan mereka telah dilempar ke dalam api yang berkobar-kobar, yang membakar mereka hingga mereka berubah menjadi arang.

Ketika bapa saudaraku melihat pemandangan ini, dia mengungkapkan kepuasannya dan meludahi wajah anaknya sambil berkata, "Inilah hukumanmu di dunia ini, tetapi masih ada hukuman yang menantimu di dunia mendatang."

Lalu dia melepaskan kasutnya dan memukuli wajah anaknya sekeras-kerasnya…

Tetapi fajar menyingsing, dan Syahrazad menghentikan ceritanya. Lalu Dinarzad berkata, "Kak, alangkah menghairankan dan menariknya kisah itu!" Syahrazad menyahut, "Esok malam aku akan menceritakan kepadamu sesuatu yang lebih aneh, lebih menghairankan dan lebih menarik, jika sang raja mengizinkanku dan membiarkan aku hidup!"

 **********************************************************

EPISOD 40 : MENCUKUR JANGGUT DAN ALIS MATA...

Malam berikutnya, ketika sang raja telah bermesra dengan Syahrazad, Dinarzad berkata, "Kak, jika engkau belum mengantuk, ceritakan kepada kami salah satu ceritamu yang indah untuk mengisi malam." Syahrazad menyahut, "Dengan senang hati."

Hamba mendengar, wahai Raja yang bahagia, sufi pertama itu berkata kepada sang gadis:

Tuan puteri, ketika bapa saudaraku memukuli wajah anaknya dengan kasut, sementara dia dan gadis itu terbaring di sana dalam tumpukan arang, aku berkata kepadanya, "Demi Tuhan, bapa saudaraku, jangan membuatku merasa semakin sedih. Aku merasa khuatir dan menyesal atas apa yang menimpa anakmu. Namun sepertinya dia masih kurang cukup menderita, sehingga engkau memukuli wajahnya dengan kasutmu."

Dia menyahut, "Wahai anak saudaraku, hendaklah engkau mengetahui bahawa anakku ini tergila-gila kepada saudara perempuannya sendiri, dan aku sering melarangnya untuk menemuinya tetapi sambil selalu berkata kepada diriku sendiri, 'Mereka cuma anak-anak' Tetapi setelah mereka dewasa, mereka melakukan perbuatan terkutuk seperti suami isteri dan aku mendengar tentang hal itu, hampir tidak mempercayai telingaku sendiri. Aku mengheretnya dan memukulinya tanpa belas kasihan sambil mengatakan, "Hati-hati, hati-hatilah dengan perbuatan itu, kalau-kalau cerita kita menyebar ke mana-mana bahkan ke wilayah-wilayah dan kota-kota yang jauh dan engkau akan dipermalukan dan kehilangan maruah di kalangan para raja hingga akhir zaman. Hati-hati, hati-hatilah, sebab gadis ini adalah saudaramu sendiri, Tuhan telah melarangnya untuk kau miliki."

"Lalu, wahai anak saudaraku, aku memisahkan anak perempuanku itu darinya. Tetapi gadis itu telah jatuh cinta kepadanya, sebab syaitan telah membalikkan matanya dan membuat percintaan itu memikat hatinya. Ketika mereka menyedari bahawa aku telah memisahkan mereka satu sama lain, puteraku membangun dan mempersiapkan tempat di bawah tanah ini, menggali sumur dan membawa apa pun yang mereka perlukan sebagai perbekalan sebagaimana yang engkau lihat di sini. Kemudian, dengan memanfaatkan kepergianku berburu, dia mengambil saudara perempuannya dan melakukan apa yang engkau saksikan dahulu itu. Dia yakin bahawa dia akan bersenang-senang dengannya untuk jangka waktu yang lama"

Lalu bapa saudaraku meratap, dan aku pun meratap bersamanya. Lalu dia memandangku dan berkata, "Engkau menjadi anakku sebagai penggantinya," dan ketika dia memikirkan tentang apa yang telah terjadi kepada kedua anaknya itu, pembunuhan abangnya, dan kehilangan mataku, dia kembali meratap dan aku meratap bersamanya atas cubaan-cubaan hidup dan kemalangan- kemalangan di dunia ini. Lalu kami memanjat keluar dari pusara itu dan aku memasang kembali tutup pelat besi itu di atas kuburan sepupuku dan saudara perempuannya, dan tanpa diketahui oleh seorang pun, kami pulang kembali. Tetapi baru saja kami mahu duduk, tiba-tiba kami mendengar suara-suara genderang, terompet, hiruk-pikuk manusia, gemerincing pedang, ringkik kuda dan perintah-perintah berbaris untuk berperang, sementara udara tertutup debu yang mengepul akibat larinya kuda-kuda dan derap kaki manusia. Kami kebingungan dan terkejut, dan ketika kami bertanya, kami diberitahu bahwa wazir yang telah merebut kerajaan ayahku telah mengarahkan pasukan dan mempersiapkan tenteranya dan mengambil banyak kaum Badwi untuk bekerja padanya bagi menyerang kami dengan tenteranya yang bagaikan pasir gurun yang tak dapat dihitung dan tak dapat ditahan oleh siapa pun kemaraan mereka. Mereka menguasai kota dengan begitu cepat sekali, menawan seluruh penduduknya, yang tidak mampu mengadakan perlawanan sedikit pun hingga mereka menyerahkan kawasan itu pada si wazir. Bapa saudaraku mereka tangkap dan bunuh, sedangkan aku sendiri berjaya melarikan diri ke luar kota sambil berfikir, jika aku jatuh ke tangan wazir itu, dia pasti akan membunuhku dan membunuh Sayir, ahli pedang ayahku yang telah bermurah hati membebaskan aku dahulu."

Kesedihanku bertambah-tambah dan kekhuatiranku semakin besar, ketika aku memikirkan tentang apa yang telah menimpa bapa saudaraku dan saudara-saudara sepupuku dan tentang kehilangan mataku, dan aku meratap dengan sedih. Aku bertanya kepada diri sendiri, "Apa yang harus kulakukan? Jika aku menunjukkan diriku di muka umum, penduduk kota dan seluruh tentera ayahku akan mengenaliku sebagaimana mereka mengenali matahari dan akan berusaha menunjukkan jasa kepada wazir dengan membunuhku."

Aku tidak dapat memikirkan cara lain untuk melarikan diri dan menyelamatkan nyawaku kecuali mencukur janggut dan alis mataku. Maka aku mengambil cara itu, menukar pakaianku dengan pakaian sufi pengemis, dan menjalani kehidupan sebagai seorang sufi. Lalu aku meninggalkan kota tanpa diketahui seorang pun dan mengadakan perjalanan ke negeri ini, dengan tujuan mencapai Baghdad, dengan harapan bahawa aku mungkin cukup beruntung menemukan seseorang yang mahu membantuku menemui Pemimpin Kaum Beriman, Khalifah yang bijaksana, sehingga aku dapat menceritakan kepadanya kisahku dan mengajukan persoalanku ke hadapannya. Aku tiba malam itu juga, dan ketika aku sedang berdiri dengar ragu-ragu di gerbang kota, tanpa mengetahui ke mana aku harus pergi, sufi di sampingku ini mendekatiku, menunjukkan tanda-tanda sedang berada dalam perjalanan, dan menyapaku. Aku bertanya padanya, "Apakah Anda orang asing?"

Dia menjawab, "Ya."

Aku berkata lagi, "Aku pun orang asing di sini."

Saat kami sedang bercakap-cakap, seorang sufi lain muncul dan ikut bergabung bersama kami di gerbang itu, sambil berkata, "Aku orang asing di sini."

Kami menyahut, "Kami pun orang asing di sini."

Lalu kami bertiga berjalan sampai malam, tiga orang asing yang tidak tahu mahu pergi ke mana. Tetapi Tuhan menuntun kami ke rumah ini, dan tuan puteri cukup baik dan bermurah hati membiarkan kami masuk dan membantuku melupakan kehilangan mataku.

Mendengar itu, sang gadis berkata, "Usaplah kepalamu dan pergilah."

Sufi pertama itu menyahut, "Demi Tuhan, aku tidak akan pergi sehingga aku mendengar kisah yang lain..."

Tetapi fajar menyingsing, dan Syahrazad menghentikan ceritanya. Lalu Dinarzad berkata kepada kakaknya, "Kak, betapa aneh dan menariknya kisah itu!" Syahrazad menyahut, "Ini belum apa-apa jika dibandingkan dengan apa yang akan kuceritakan kepadamu esok malam, jika aku masih hidup!" 

Kembali ke Episod 1&2 di sini