Sunday, June 14, 2015

MALIM GUNUNG WIRA YANG TIDAK DIDENDANGKAN...


Gempa bumi yang melanda Sabah 5 Jun lalu meragut nyawa 18 individu termasuk empat malim gunung. Sebelum ini, tidak ramai yang ambil tahu mengenai tugas malim gunung, namun bencana alam berkenaan mengubah persepsi masyarakat terhadap mereka. 
 
Daripada 18 yang terkorban, empat adalah malim gunung iaitu Velarian Joannes, 27, Ricky Masirin, 28, Joseph Selungin, 32, dan Roby Sapingi, 31.

Wira tidak didendang ini mempertaruhkan nyawa untuk menjaga keselamatan pendaki, namun takdir menentukan mereka akhirnya bersemadi di Gunung Kinabalu, tempat mereka mencurah masa dan tenaga untuk membantu orang lain mencapai cita-cita mendaki puncak antara gunung tertinggi di Asia Tenggara.

Pada masa sama, operasi mencari dan menyelamat dijalankan pasukan keselamatan pada mulanya menemui jalan buntu akibat faktor cuaca dan ketika itulah malim gunung menunjukkan sikap bertanggungjawab mereka untuk membantu dengan mendaki Gunung Kinabalu bagi mengesan serta membantu pendaki yang selamat.


 
 Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin

Hasil bantuan malim gunung, Op Kinabalu yang di­jalankan sejak gempa melanda akhirnya mencapai kejayaan. Kafe Ahad mengambil peluang untuk menemubual pendaki termuda Gunung Everest dari Asia Tenggara yang juga pendaki tujuh puncak Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin untuk mengulas berkaitan malim gunung.

 
Siapa malim gunung?

Bagi orang luar, istilahnya ialah penunjuk arah, namun di sini mereka digelar malim gunung. Me­reka akan membawa peserta selain menjaga kese­lamatan peserta sepanjang tempoh pendakian atau ke­tika turun.


Peserta pula hendaklah sentiasa mendengar arahan malim gu­nung atau taklimat diberinya. Biasanya, sebelum menjadi malim gunung, mereka terlebih dulu bertugas sebagai pengangkut barangan atau porter.


Malim gunung di Gu­nung Kinabalu ini saya akui memang kuat daripada fizikal serta mental kerana mereka perlu berada di lokasi setinggi kira-kira 3,000 meter pada setiap tiga hari iaitu ketika membawa pendaki naik atau turun. Setiap tahun, mereka mendaki Gunung Kinabalu antara 80 hingga 120 kali.


Tahap kecergasan menjadi faktor utama untuk mendaki gunung. Bagaimana saudara melihat faktor ini dalam kalangan malim gunung bertugas di Gunung Kinabalu?

Malim gunung di Gunung Kinabalu mampu memikul beban sehingga 80 kilogram dan ia menun jukkan betapa cergasnya mereka.

Mereka melakukan perkara sama hampir setiap hari selama belasan atau puluhan tahun dan tidak pernah gagal melaksanakan amanah diberi oleh pengurusan atau pendaki.

Malim gunung di Gunung Kinabalu memang terkenal dalam kalangan pendaki sebagai memiliki tahap kecergasan tinggi serta tidak pernah mengeluh dengan beban kerja.

Saya sendiri akan mendapatkan nasihat atau berbincang dengan malim gunung di situ jika ke sana kerana mereka lebih arif tentang laluan juga keadaan cuaca di pergunungan berkenaan.

 
Sebelum ini, masyarakat tidak sedar peranan malim gunung, namun mula membuka mata sejak gempa melanda Sabah. Apa kepentingan mereka dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi di Gunung Kinabalu?

Malim gunung penting dalam pendakian, malah mereka juga sebenarnya adalah aset berharga negara berdasarkan kepakaran yang dimiliki. 

Berdasarkan apa yang berlaku, kita boleh lihat bahawa malim gunung ini lebih terkedepan dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa di Gunung Kinabalu.
Dari segi kudrat, malim gunung memang sukar untuk ditandingi dalam operasi berkenaan, kita mung kin boleh memberi mereka nasihat tentang sesuatu perkara, namun daripada segi kudrat untuk operasi, mereka tetap yang terbaik.
Malim gunung boleh di serap ke dalam Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana mereka sebenarnya pakar dalam hal berkaitan pergunungan dan jika ada bencana di lokasi seperti itu, golongan inilah yang perlu dihantar terlebih dulu bagi operasi mencari dan menyelamat.

Apakah keupayaan malim gu­nung di Gunung Kinabalu boleh diketengahkan?

Sudah tentu, mereka memang mampu menaikkan imej Malaysia di luar negara. Saya berpendapat golongan ini terasa kerana mereka tidak diberi peluang untuk menunjukkan kebolehan seperti terbabit dengan pendakian Gunung Everest.

Pada saya, mereka perlu diberi peluang untuk melakukan pendakian seperti itu. Sebahagian daripada mereka berbakat untuk diketengahkan bagi mendaki Gunung Everest, namun tidak berpeluang berbuat demikian.
Saya bukan malim gunung, namun ada kepakaran dalam pergunungan Alpine yang bersalji serta berais.

Keadaan berkenaan berbeza dengan Gunung Kina­balu, namun secara asasnya teknik serta skil pendakian hampir sama.

Jika mereka diberi peluang, saya pasti tiada masalah untuk malim gunung berkenaan mencipta nama sekali gus menaikkan imej Malaysia.


Apa yang menyebabkan malim gunung kuat daripada segi flzikal dan mental?


Saya biasa bersama-sama dengan malim gunung di Gunung Kinabalu dan mereka juga seperti kita. Bezanya ialah tugas mereka menyebabkan golongan berkenaan perlu mendaki sebelum turun dengan kerap. 

Ia umpama peribahasa alah bisa tegal biasa. Apabila sudah biasa, mereka mampu mendaki dengan lebih pantas. Malim gunung tinggal di kawasan pergunungan sejak kecil dan pada umur berkenaan, mereka sudah dibiasakan dengan keadaan persekitaran gunung.

Bagi individu normal seperti kita, mungkin kita cergas kawasan bawah pergunungan, namun tidak ketika di atas kerana tekanan graviti selain paras oksigen yang semakin menipis.

Namun bagi malim gu­nung, ia keadaan biasa dan kerana itu mereka mampu menghabiskan pendakian hingga ke puncak dalam tempoh tiga jam saja berbanding kita iaitu sehingga lapan jam.


Mungkin ada pantang larang yang diberi oleh malim gunung kepada pendaki yang boleh saudara kongsikan dengan pembaca?

Setiap pendaki perlu hormat pada adat atau budaya malim gunung. Tidak perlu kita bersikap lebih sudu dari kuah atau mempertikaikan perkara yang mereka lakukan.

Ini kerana, kita tidak perlu mengikut upacara dijalankan sebaliknya hanya perlu hormat saja kerana mereka juga punya pegangan tersendiri.

Contoh, di Gunung Ever­est sendiri, sherpa di situ tidak membenarkan ayam disembelih apabila sudah melepasi paras 4,000 meter.

Kita juga tidak perlu bercakap besar atau bersikap kurang ajar kepada malim gunung kerana apa yang kita tahu mengenai lokasi berkenaan sangat sedikit berbanding mereka.

Apa yang kerajaan boleh beri atau iktiraf peranan malim gunung?


Bukan setakat pingat atau sumbangan, kebajikan ma­lim gunung perlu diberi perhatian. Kerajaan juga perlu memberi peluang kepada golongan ini untuk mengikuti pelbagai kurus keselamatan di dalam dan luar negara. Pada masa sama, kera­jaan juga harus beri mere­ka peluang untuk mencipta nama di luar negara seperti menghantar mereka mengikuti pendakian di Everest dan sebagainya.

Melaluinya, sekurang kurangnya ada ikon dari Gunung Kinabalu yang boleh dilahirkan, mereka inilah yang akan menjadi ikon ke­pada rakyat Sabah.

Pada masa sama, jangan hanya beri pengiktirafan kepada malim gunung mengikut musim seperti ketika tragedi saja. Ini kerana, pe­ranan mereka tidak pernah habis seperti dalam membantu menjana ekonomi negara melalui kehadiran pelancong di Gunung Kinabalu.

Ada pihak mencadangkan hanya pendaki berusia 18 tahun ke atas dibenarkan mendaki Gunung Kinabalu?


Saya tidak setuju dengan cadangan ini kerana ia merencatkan pembangunan golongan muda khasnya remaja. Di luar negara, kanak kanak berumur 10 tahun sudah digalakkan untuk terbabit dengan aktiviti mendaki gunung.

Mendaki Gunung Kinabalu sebenarnya tidak berisiko jika kita patuh pada arahan, undang-undang ditetapkan, berpakaian sesuai, ikut laluan dibenarkan se­lain menurut arahan malim gunung.

Kematian membabitkan kanak-kanak di Gunung Kinabalu sebenarnya akibat gempa bumi dan bukan kerana kecuaian.

Gempa bumi boleh berlaku di mana-mana dan tidak setakat hanya di gunung. Mengapa perlu ada cadangan seperti ini kerana ia sebenarnya tidak logik serta tidak masuk akal.

Dalam hidup, kita perlu berani mendepani cabaran dan belajar untuk menikmati anugerah yang Tuhan kurniakan.

Undang-undang ditetapkan di Gunung Kinabalu sendiri ketat dan ia antara yang terbaik membabitkan undang-undang di pergunungan di seluruh dunia.

Kita bukan sepatutnya menghalang aktiviti sihat ini sebaliknya menggalakkan remaja menyertainya tetapi dengan kaedah yang betul dan tidak menyalahi undang undang.


Bantuan untuk malim gunung yang terjejas?

Kerajaan boleh membantu dengan menggaji atau memberi elaun kepada mereka untuk membina semula laluan di Gunung Kinabalu yang terjejas kerana mereka pakar serta faham dengan selok-belok disitu.

Malim gunung ini pasti mampu membantu anggota tentera atau pihak berkaitan yang diamanahkan untuk membina semula laluan.

Dengan bantuan malim gunung, kerja berkenaan pasti menjadi semakin mudah selain mempercepatkan tem­poh baik pulih laluan. 


Gunung Kinabalu adalah gunung tersibuk di dunia dengan setiap hari, tidak ku­rang 200 pendaki mendaki gunung berkenaan. Jika laluan tidak dibina dengan cepat, bukan saja negara akan rugi daripada segi kemasukan pelancong, malah malim gunung juga sukar untuk menyara keluarga.

Apa yang boleh dilakukan untuk meningkatkan taraf malim gunung?


Malim gunung memiliki kepakaran tersendiri dan ia pasti bertambah baik jika ke­rajaan menyediakan tempat khas untuk mereka menjalani pelbagai kursus kemahiran bersesuaian daripada agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta agensi lain yang berkaitan.

Semua kepakaran ini jika digabungkan bakal menjadikan malim gunung lebih menyerlah dan sempurna.

Mereka juga boleh diberi kursus bahasa kerana pelancong yang datang ke situ turut membabitkan warga Eropah dan negara lain.  


Ditulis oleh Nazarali Saeril, Metro Ahad.

No comments:

Post a Comment