Thursday, June 11, 2015

DALAM DAKAPAN KINABALU...

Op Kinabalu ditamatkan secara rasmi. 
Semua 18 disah meninggal ditemui...
 Op Kinabalu selama enam hari bagi menjejak mangsa gempa bumi secara rasmi ditamatkan semalam selepas identiti dua warga Singapura yang dilaporkan hilang dikenal pasti pasukan perubatan Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu.


Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, susulan pengesahan itu, pihaknya menghentikan kerja mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar lokasi kejadian pada jam 12 tengah hari semalam. "Semua operasi SAR ditutup selepas semua mangsa yang dilaporkan hilang sudah disahkan identiti mereka manakala proses pembersihan di lokasi kejadian sudah selesai.


"Bagaimanapun, polis sentiasa bersiap sedia mengaktifkan semula pusat gerakan sekiranya diperlukan atau berlaku gempa bumi susulan,"katanya ketika sidang media di Taman Kinabalu, semalam.


Mohd Farhan berkata, sebanyak 56 gegaran susulan termasuk gegaran pertama bermagnitud 5.9 pada jam 7.15 pagi jumaat lalu direkodkan sepanjang enam hari Op Kinabalu dilancarkan.


"Polis akan sentiasa berhubung dengan agensi berkaitan termasuk Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) Sabah untuk memantau keadaan dari semasa ke semasa."Saya mengucapkan terima kasih kepada semua agensi yang terbabit dalam operasi ini antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Renjer Taman-Taman Sabah (TTS), malim gunung dan penduduk kampung,"katanya. Sementara itu, kejadian gempa berkenaan juga menaikkan nama malim gunung sebagai individu yang paling penting dalam menyelamat semua mangsa yang terperangkap di atas gunung sebaik gempa berlaku.


Dinobatkan sebagai wira tidak didendang, malim gunung ini tanpa mengira keselamatan sanggup mendaki antara gunung tertinggi di Asia Tenggara itu selepas usaha menyelamat menggunakan helikopter tidak dapat dijalankan akibat cuaca buruk.


Malah, dalam kalangan mereka juga empat malim gunung turut terkorban. Setakat ini, 14 mayat mangsa sudah diserahkan kepada waris dan ahli keluarga masing-masing untuk dikebumikan manakala empat lagi mayat termasuk dua dalam bentuk cebisan masih disimpan di HQE manakala dua mayat lagi iaitu warga China dan Jepun masih menunggu waris membuat pengecaman.


Jumlah kematian akibat gempa bumi di Gunung Kinabalu berjumlah 18 orang terdiri enam rakyat Malaysia iaitu empat malim gunung dan dua pendaki, Singapura (10), Jepun, China dan Filipina masing-masing satu.

Laporan Oleh :

Mohd Razlan Salleh, Junaidi Ladjana,
Fardy Bungga dan Erdiehazzuan
Harian Metro...

No comments:

Post a Comment