Monday, September 13, 2021

LAWATAN KE RUMAH KELAHIRAN BUYA HAMKA

PADANG dan Bukit Tinggi antara destinasi menarik untuk dilawati di Sumatera Barat. Provinsi berkenaan mempunyai lima juta penduduk.

Di situlah berakarnya budaya Minangkabau. Masyarakat Minangkabau terkenal sebagai golongan yang berpegang teguh kepada ajaran Islam.

Selain itu, mereka berjaya menyatukan sinergi antara Islam dan adat yang mereka amalkan yang turut sarat dengan nilai keislaman.

Memperkatakan mengenai kedua-dua tempat itu, nama ulama tersohor, Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai Hamka pasti akan dikaitkan.

Hamka berasal dari Padang Panjang iaitu kawasan terletak kira-kira satu jam perjalanan dari Bukit Tinggi.

Bergambar ramai di hadapan tembok 
muzium rumah kelahiran Buya Hamka...




“Hamka bukan sekadar ulama tersohor, beliau juga seorang penulis, pendakwah, sejarawan, pemimpin politik dan pejuang nasionalis.

Perjalanan kami dari Bukit Tinggi ke Nagari Sungai Batang iaitu kampung kelahiran Hamka akan menempuh dan melalui 44 selekoh tajam serta lereng sempit.

Kelok 34 dari 44 kelok yang telah kami lalui
sebelum tiba di rumah kelahiran HAMKA..

Sepanjang perjalanan, mata kami ‘dijamu’ pemandangan kawasan sawah padi, bukit-bukau serta pinggiran Tasik Maninjau yang cantik.

Di pertengahan perjalanan 
kami singgah untuk melihat 
pemandangan yang indah 
di bawah sana...




Begitu juga kelihatan tersergam Gunung Merapi dan Singgalang dari kejauhan.


Gunung Merapi dari kejauhan...

Ketika memasuki Muzium Hamka, kami melihat banyak barangan peninggalannya yang dijaga dengan rapi. Antaranya, buku, mesin taip, barangan peribadi, sijil serta anugerah yang diterimanya.

Melangkah masuk ke muzium Hamka...

Bertemu dengan waris yang menjaga...

Bergambar kenangan bersama
photo Buya Hamka...


Buku-buku karangan beliau
disimpan rapi di muziumnya...

Kami juga dapat mendengar taklimat daripada warisnya yang bercerita mengenai sumbangannya sebagai seorang pejuang nasionalis.

Kami berkesempatan mendengar
kisah Hamka dari warisnya

Buya Hamka sentiasa memberi kata-kata semangat kepada golongan muda serta penggiat Parti Masyumi.

Beliau dengan beraninya pernah pergi ke hadapan istana Presiden untuk melahirkan tentangan terhadap Presiden dalam isu komunisme.

Akibatnya, beliau dipenjarakan. Bukunya yang terkenal termasuk Tafsir Al-Azhar, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijk, Merantau Ke Deli, Di Bawah Lindungan Kaabah, Sejarah Umat Islam dan Tasawuf Moden.

Begitulah hebatnya cendekiawan Islam kelahiran Indonesia yang juga terkenal di seluruh Nusantara termasuk Malaysia.

Malah, Tafsir Al-Azhar iaitu tafsir al-Quran setebal 30 jilid dihasilkan ketika beliau di dalam penjara.

Kitab itu dianggap antara karya tafsir al-Quran bermutu dan menjadi khazanah umat Islam sehingga ke hari ini.

Sumbangannya mengembangkan syariat Islam di Nusantara dan dunia Islam memang tidak dapat disangkal.

Sungguhpun tidak setuju dengan sikap Presiden Sukarno, Presiden pertama republik itu berwasiat supaya Hamka dapat menyembahyangkan jenazahnya apabila beliau meninggal dunia nanti.

Hamka bersetuju berbuat demikian. Itulah tanda seorang insan yang pemaaf terhadap orang yang pernah memenjarakannya.

No comments:

Post a Comment