Wednesday, April 20, 2011

TUKANG SANTAU NAZAK TERIMA AZAB



Suatu petang, saya melawat seorang tua di kampung kami bernama Pak Mat yang sedang nazak di rumahnya. Badan orang tua itu tidak ubah seperti mayat hidup. Tubuhnya sangat kurus macam papan sekeping.
Menurut anaknya, ayahnya sudah beberapa bulan terlantar di rumah. Sudah beberapa kali ayahnya seakan-akan hendak meninggal dunia tetapi masih bernyawa.
Pada hari pertama ayahnya sakit, keluarganya menyangka ayahnya hampir saat hendak meninggal. Jiran-jiran membacakan surah Yasin di rumah. Tetapi keadaannya tetap begitu sehingga berbulan-bulan.
Masa mula-mula sakit dulu orang ramai berkunjung melawat Pak Mat. Tapi sekarang tiada lagi sesiapa melawat sebab orang kampung menganggap Pak Mat sakit tua.
Balik dari melawat Pak Mat saya ceritakan keadaan itu kepada mak. Mak terkejut mendengar berita Pak Mat sedang sakit tenat tetapi masih bernyawa.
“Huh! Padan muka dia. Dulu jahat sangat. Sekarang rasakanlah!” balas mak.
Saya terkejut mendengar kata-kata mak. Kenapa pula mak marah-marah kepada Pak Mat sedangkan orang tua itu sedang bertarung nyawa. Tak patut mak cakap begitu!
“Kenapa pula mak cakap macam tu? Kan orang tua tu tengah nazak, nak meninggal!” kata saya.
Saya mengagak tentu ada sesuatu peristiwa pernah terjadi pada mak. Mungkin Pak Mat pernah lakukan perbuatan yang dibenci mak. Kalau tidak, takkanlah mak boleh keluarkan kata-kata kesat seperti itu.
“Dia buat apa dulu mak?” soal saya.
“Kau tengok bapak kau tu. Kau ingat dia tergaru-garu tu sebab penyakit kulit biasa ke? Kalau kau nak tau, orang itulah yang buat bapak kau jadi macam ni!” balas mak.
Saya jadi pelik memikirkan apa sebenarnya yang terjadi. Bapa saya dari dulu memang mempunyai penyakit kulit yang tidak pernah sembuh. Puas berubat. Jumpa berpuluh bomoh pun tak dapat menyembuhkannya. Habis ubat hospital dicuba tetapi masih tidak berkesan.
Saya Tanya mak lagi, apa Pak Mat buat pada ayah dulu?
“Panjang ceritanya… kisah ni masa mak muda-muda dulu!” beritahu mak.
Mengikut cerita mak, semasa zaman muda dulu, isteri Pak Mat pernah tergila-gilakan ayah. Tetapi ayah tidak berminat dengan cinta isteri Pak Mat. Cinta isteri Pak Mat ditolak oleh ayah. Tapi isteri Pak Mat tetap gila bayang. Mak bercerita isteri Pak Mat pernah membayangkan sedang berasmara dengan ayah ketika bersama suaminya.
Sewaktu mula terkena santau, mak memberitahu ayah terlangkah sesuatu yang pelik di luar rumah. Rupa benda yang dilangkah ayah seperti paku, miang buluh, kaca dan beberapa lagi peralatan bomoh.
Pada sebelah malamnya sesuatu yang pelik berlaku pada ayah. Seluruh tubuh ayah terasa gatal. Ayah menggaru-garu sampai ke siang. Sepanjang malam ayah tak boleh tidur.
Esoknya, mak memberitahu badan ayah dipenuhi luka dan darah akibat digaru. Serata badan habis dipenuhi bintik-bintik gatal. Badan ayah terasa bisa seperti dilumur dengan miang buluh.
Mak bercerita, ayah melarang abang supaya jangan melangkah benda yang dilangkahi ayah semalam yang masih terdapat di luar rumah kami. Tetapi abang berdegil dan tidak mengendahkan larangan ayah.
Kata mak, abang tidak percaya dan menganggap semua itu karut dan dongeng belaka. Tapi, sebaik abang melangkah, berlaku pula satu kejadian pelik. Mak memberitahu, abang pula mengadu sakit ari-ari dan tidak boleh kencing.
Pelik! Puas abang meneran tidak juga kencing sepanjang hari. Esoknya sama. Hampir seminggu abang tidak kencing. Akhirnya kata mak selepas berubat dengan seorang ustaz, abang boleh kencing semula.
Tapi penyakit ayah terasa bisa dan miang seluruh badan tetap tidak juga sembuh. Kata mak, sudah berpuluh orang bomoh dicuba untuk berubat tetapi tiada yang berjaya. Ayah pernah pergi sampai ke Terengganu untuk berubat.
Di sana kata mak, ayah berubat dengan seorang bomoh. Melalui bomoh itulah ayah diberitahu terkena santau perbuatan orang yang dengki hendak menghancurkan keluarga kami.
Walaupun mak tahu siapa orang yang menyantau ayah tapi perkara itu sengaja didiamkan. Mak tidak mahu kecoh. Mak tidak mahu bergaduh dan mengeruhkan keadaan. Bagi ayah biarlah Allah saja yang membalas perbuatan orang yang menyantaunya.
Begitulah kisah yang diceritakan mak. Saya termenung mendengarnya. Paling mengejutkan kejadian santau ini berlaku kepada ayah saya sendiri.
Bayangkanlah sampai hari ini ayah masih menderita akibat disantau 18 tahun lalu. Rupa-rupanya kisah santau ini benar-benar wujud. Selama ini saya sendiri tidak percaya. Malah saya percaya ramai lagi orang tidak percaya apabila diberitahu ada yang terkena santau.
Malah ada orang tidak percaya apabila diberitahu azab santau begitu dahsyat sekali.
Tapi yang paling mengejutkan saya, orang yang terlibat membuat kerja santau kepada ayah ialah lelaki tua yang pernah saya melawatnya. Saya mula terasa marah. Mengapa orang tua itu sanggup membuat kerja yang dilaknat lagi dikutuk Allah itu? Tidak terfikirkah orang tua itu akibat buruk yang akan menimpanya kelak, menerima balasan Allah?
Tanpa diduga beberapa hari selepas saya melawat, anak-anak Pak Mat datang beramai-ramai ke rumah kami. Anak-anaknya dengan rendah hati menjemput kami sekeluarga ke rumah mereka.
Menurut anak-anak Pak Mat ada perkara penting yang hendak dibincangkan mengenai orang tua mereka yang sedang azab. Kami sekeluarga bersetuju untuk datang.
Sampai di rumah Pak Mat, kedua-dua orang tua saya terkejut melihat keadaannya. Tulang rusuk Pak Mat boleh dibilang dengan jari. Pipinya cengkung dan bunyi dengkuran nafasnya begitu kuat.
Mak lalu bertanya mengapa keluarga Pak Mat menjemput kami. Anak-anak Pak Mat memberitahu ayah mereka ingin meminta maaf kepada keluarga kami di atas perbuatan lampaunya.
Isteri dan anak-anak Pak Mat menangis teresak-esak memujuk kami supaya memaafkan saja perbuatan tersebut. Anak-anaknya menyatakan mungkin ayah mereka susah hendak meninggal selagi kesalahannya tidak dimaafkan oleh ibu dan ayah saya.
Mak pada mulanya agak dingin. Mak tidak mahu memaafkan Pak Mat apabila mengenangkan perbuatannya menyeksa ayah melaui santau. Tapi mak kalah dengan pujukan ayah.
Kata ayah tidak ada gunanya berdendam dengan orang yang tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Biarkanlah rohnya pergi dengan aman dan tenang. Selagi mak dan ayah tidak memaafkan Pak Mat selagi itulah orang tua itu hidup seperti mayat bernyawa.
Lagipun kata ayah perbuatan yang dilakukan Pak Mat sudah berbelas tahun berlalu. Tiada guna dendam mendendam. Akhirnya mak dan ayah bersetuju memaafkan perbuatan Pak Mat.
Bagi mak biarlah kisah ini menjadi pengajaran dan teladan bagi anak-anaknya yang masih hidup. Mak mengingatkan biar betapa kuat seseorang setiap yang hidup pasti akan mati.
Dua minggu selepas mak dan ayah memaafkan perbuatan Pak Mat, orang tua itu meninggal dunia. Biarpun orang tua itu sudah dimaafkan dan meninggal tetapi ayah saya masih lagi menderita akibat perbuatannya.
Walaupun kisah ini sebenarnya telah lama berlaku tetapi elok saya ceritakan untuk kita bersama-sama mendapat iktibar dan tidak melakukan kerja-kerja syaitan.
Bukankah Allah telah berfirman, sihir itu adalah perbuatan keji dan mengikut jejak langkah syaitan?

Mastika Sept. 2010

Monday, April 18, 2011

GADIS BERUBAH SECANTIK BIDADARI SEBELUM AJAL

Sejak saya bertugas sebagai tukang mandi mayat peneroka lebih 20 tahun, bermacam-macam jenis mayat telah saya sucikan termasuk kanak-kanak, orang tua dan penagih dadah.

Saya juga pernah memandikan mayat empat orang HIV. Tapi bagi saya, pengalaman begitu biasa saja tanpa sedikit pun meninggalkan apa-apa kesan kepada diri saya.

Tapi, ada beberapa kejadian yang tidak dapat saya lupakan berlaku pada 1990. Ketika itu saya memandikan mayat seorang peneroka bekas Special Constable (SC) pencen yang berbadan besar.

Apabila saya selak kain penutup mayat, muka arwah senyum. Lalu saya tanya jiran-jirannya. Apa amalan pakcik ini, mayatnya senyum!

Jirannya memberitahu saya, semasa hayatnya, arwah kalau balik dari kebun membawa seikat rambutan dia akan memberi kepada budak-budak sehingga tinggal tangkai. Inilah amalan harian bekas SC pencen itu apabila balik ke rumahnya. Kalau dia balik bawa buah tangan, dihadiahkan kepada anak jiran-jirannya dahulu sebelum masuk rumah.

Kadang-kadang, tiada apa yang dibawa untuk anak-anak dan isterinya.

Apabila imbas diri ini, saya rasa kedekut sikit berbanding arwah. Biasanya kita bungkus, jangan ternampak anak-anak jiran sebab hendak bawa balik beri makan anak dan isteri. Tetapi arwah tidak begitu.

Sifat pemurahnya sukar ditandingi sesiapa. Kalau kebetulan hari itu arwah bawa kuih-muih, dia akan bagi semua anak jirannya merasa sehingga kosong plastik.

Rupa-rupanya amalan bekas SC ini ikhlas. Arwah bersedekah ikhlas walaupun sebesar biji zarah. Maka itu, tidak hairanlah wajah arwah tersenyum manis semasa saya memandikan jenazahnya. Inilah pertama kali saya lihat mayat tersenyum!

Kejadian mayat tersenyum berikut juga amat berkesan kepada saya. Saya termenung dan merasa insaf dengan apa yang dilihat. Mayat yang saya bakal uruskan ini seorang peneroka biasa.

Biasanya orang akan bersangka buruk sebab si polan ini bukanlah kaki masjid. Semasa hayatnya, boleh tahan jugalah…

Selepas sakit kira-kira lima tahun, arwah jarang muncul di khalayak ramai.

Arwah asingkan diri. Dulu kerap minum di kedai. Pada hari-hari terakhir sebelum meninggal, arwah tidak suka bercampur orang ramai lagi. Kalau minum, cepat-cepat balik macam ada urusan penting.

Pada malam Khamis, beliau nazak. Esoknya, anak lelaki peneroka ini memberitahu ayahnya sudah meninggal dunia pukul 5.00 pagi sebelum solat Subuh. Saya pun pergi menziarahi jenazahnya dan membacakan al-Fatihah.

Bila saya tengok, muka arwah tersenyum. Matanya tertutup rapat. Pukul 8.30 pagi saya mandikan mayatnya. Jenazahnya lembut. Bila saya bersihkan, muka lebih manis selepas dimandikan. Selepas dikapan dan disembahyang jenazah, arwah selamat dikebumikan.

Selepas habis bacaan talkin saya tanya anak lelaki arwah, mengapa muka ayahnya tersenyum? Sebab arwah ayahnya bukan kaki masjid, kadang-kadang Jumaat pergi… saya cemburu, sebab saya rasa lebih bagus dari arwah.

Anaknya memberitahu pada malam sebelum meninggal ayahnya tiba-tiba saja meminta supaya menghantar balik ke Kelantan untuk belajar pondok, mengaji al-Quran dan kitab. Niat arwah sebelum meninggal hendak belajar mengaji, menghafaz al-Qurandan belajar kitab-kitab. Saya merasa malu apabila mendengar pengakuan anak arwah ini.

Biarpun niat arwah tidak kesampaian, tapi Allah tetap mencatat pahala untuk niat baiknya. Patutlah arwah jarang muncul di kedai kopi, rupa-rupanya arwah sedang mendalami agama, membaca al-Quran, beribadat kepada Allah.

Nasihat saya, jangan kita bersangka buruk kepada seseorang. Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Allah tetap menerima taubat kita selagi belum tiba saat sakaratulmaut mencabut nyawa kita.

Kejadian berikut juga amat menginsafkan saya. Kira tahun lepas itu, saya memandikan jenazah seorang penagih tegar yang baru keluar pusat serenti.

Saya tengok kaki, tangan pucat lesi. Tapi mukanya tersenyum! Lalu saya tanya mak arwah pemuda ini, kenapa muka anaknya tersenyum?

Emaknya dengan lelehan air mata memberitahu sebelum anaknya meninggal, arwah meminta ampun, cium kakinya, cium tangan. Arwah suruh ibunya peluk erat-erat. Arwah beritahu dia tak lama lagi hendak pergi! Ibunya beritahu dia redha dunia akhirat dan ampunkan segala kesalahan arwah.

Saya terharu mendengar cerita ibu ini. Arwah meninggal di atas pangkuan ibunya.

Saya terperanjat, sebab penagih tegar orang benci. Tapi nasib arwah dapat keredhaan ibunya. Nasihat saya kepada pembaca jangan kita perasan kita ini rajin buat ibadat. Jangan kata orang lain tak elok, kononnya aku orang baik, jangan! Sekali lagi saya nasihat, jangan hukum orang begini. Hanya Allah yang tahu nasib kita di akhirat kelak!

Tiga kejadian di atas banyak memberi keinsafan kepada saya. Tapi saya ingin ceritakan dua lagi kisah yang melibatkan wanita sebelum meninggal dunia.

Pada tahun 2009, pukul 9.00 pagi kebetulan saya sengaja lalu ke rumah orang kenduri kahwin. Pagi itu saya berselisih dengan seorang isteri peneroka berusia 40-an berbaju kurung berwarna pink. Isteri peneroka ini memang lawa. Kulit kuning langsat.

Lama saya pandang. Cantik betul. Pada pendapat saya kecantikannya sungguh luar biasa , macam bidadari. Saya berkata dalam hati, hari ini lawa sungguh. Pelik.

Kira-kira pukul 1.00 tengah hari, saya mendapat tahu isteri peneroka yang berselisih dengan saya pagi tadi telah meninggal dunia.

Saya terperanjat! Saya jumpa suaminya secara peribadi dan bercerita tentang kecantikan luar biasa isterinya sebelum meninggal dunia.

Rupa-rupanya bukan saya seorang melihatnya. Seorang lagi peneroka bercerita perkara yang sama melihat kecantikan wanita itu.

Semasa hayatnya isteri peneroka ini rajin bergotong-royong, suka bersedekah dan ikhlas kerana Allah.

Kejadian terakhir yang sungguh berkesan berlaku pada tahun 2000. Petang berkenaan selepas Asar saya lihat seorang anak dara yang belum kahwin sungguh cantik.

Berkali-kali saya berbisik, cantik sungguh anak dara ini. Saya tidak pernah tengok anak dara secantik ini. Manis! Saya merasa pelik sunguh.

Esoknya, saya diberitahu anak dara cantik yang saya lihat petang semalam telah meninggal dunia selepas Subuh. Gadis berusia 20-an itu terjatuh di bilik air akibat tumor otak. Pagi itu isteri saya, Fatimah Mohd., 63, yang tolong memandikan mayat arwah anak dara ini. Wajahnya macam bermekap. Cantik betul, kata isteri saya.

Kenapa wajah arwah ini secantik bidadari?

Saya pernah jumpa ayah arwah dan beritahu anaknya cantik sungguh sebelum meninggal. Menurut ayahnya, pagi itu sebelum masuk bilik air, arwah beri makan kucing, peluk kucing.

Selepas itulah arwah jatuh pengsan. Selama ini arwah sayang sangat kepada kucing. Arwah tidak pernah berpisah dengan kucing kesayangannya.
Bukankah kucing antara binatang kesayangan Nabi Muhammad s.a.w. Sesiapa yang kasihankan kucing akan diberi pahala oleh Allah.

Mudah-mudahan segala cerita ini dapat memberi serba sedikit pedoman dan iktibar sebelum kita dipanggil menghadap Allah, meninggalkan dunia yang fana ini!
Mastika Jan 2011

FENOMENA CIKGU SHIDA

KUALA LUMPUR: “Selagi tidak melanggar etika perguruan dan mengabaikan pekerjaannya, dia boleh melakukan apa saja kerana itu haknya.
“Bagi saya, tindakannya tidak salah kerana dia tidak mengganggu individu lain, sebaliknya hanya mencari hiburan sendiri,” kata Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan ketika diminta mengulas penghasilan klip video miming Cikgu Syida.

Menurutnya, dia tidak melihat apa dilakukan guru itu boleh merosakkan profesyen guru, sebaliknya ia adalah perkembangan sihat.
Katanya, jika dilihat daripada sudut positif, ia menunjukkan daya kreativiti guru berkenaan kerana mampu melakonkan pelbagai aksi di depan kamera mengikut kesesuaian lagu.

“Meraih populariti sejuta pengunjung adalah luar biasa bagi individu biasa dan secara tidak langsung membuktikan guru zaman kini serba boleh.

“Walaupun buat masa kini dia lebih terarah menghasilkan klip video berbentuk hiburan, mungkin satu hari nanti dia mampu merakam video yang mempunyai unsur ‘edutainment’,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad.

Katanya, melihat populariti diterimanya, dia percaya guru berkenaan ada peminat sendiri dan ia mungkin boleh dijadikan ruang untuk menerapkan elemen positif melalui penghasilan klip videonya.

Hashim berkata, laman Youtube mampu dilayari sesiapa saja dari seluruh dunia dan ini bererti video itu boleh ditonton pelbagai golongan, sekali gus menaikkan institusi perguruan.

Adik terkejut!!!


IPOH: “Dia pinjam baju Melayu dan songkok saya tanpa pengetahuan. Saya hanya menyedarinya apabila melihat aksi kakak saya di laman sosial Youtube,” kata adik Roshida Abd Aziz, Khairil Aizat, 22.
Menurutnya, dia dan keluarga langsung tidak tahu ‘aktiviti sampingan’ Roshida sehingga diberitahu rakan baiknya.

“Pertama kali melihat aksinya menyanyi lagu miming di laman web Youtube, saya terpegun dan terkejut. Saya tidak sangka dia sungguh berani.
“Malah, aksinya yang dilakukan di bilik tidur itu turut tidak disedari ibu bapa dan adik-beradik lain,” katanya.

Menurutnya, walaupun mulanya berasa aneh, mereka sekeluarga menganggap apa dilakukan Roshida tidak lebih daripada aktiviti hiburan dan keseronokan.

Dia berkata, ayah dan ibunya hanya tersenyum dan ketawa bila ditunjukkan aksi menggelikan hati kakaknya.

“Yang saya lihat, karakter kakak saya berbeza berbanding di dalam klip video terbabit. Dia sebenarnya pendiam dan banyak menghabiskan masa di depan komputer.

“Dia juga kreatif kerana pandai melukis, aktif dalam kegiatan seni tarian selain serius dalam mendidik anak murid,” katanya.
Khairil berkata, populariti kakaknya menyebabkan mereka sekeluarga dikenali seluruh penduduk kampung yang turut tertarik dengan klip video berkenaan.

“Mungkin pada mulanya ada yang memandang sinis hobinya, namun lama kelamaan mereka mula menerima kelainan yang cuba ditonjolkan kakak saya,” katanya.
Metro Ahad

FIRAUN RAMSES II (BUKTI AL-QURAN ITU BENAR)


Pada pertengahan tahun 1975, Presiden Perancis menawarkan kerajaan Mesir bantuan untuk meneliti, mempelajari, mengkaji dan menganalisis mumia Firaun, Ramses II iaitu Firaun yang mati tenggelam dalam Laut Merah ketika mengejar Nabi Musa dan para pengikut baginda.

Tawaran itu disambut baik, lalu Mesir membenarkan mumia Ramses II di terbangkan ke Paris. Setibanya di Paris mumia itu disambut dengan penuh meriah sebelum ditempatkan di ruang khas Pusat Arkeologi Perancis.

Di situ menanti para pakar, doktor bedah dan pakar autopsy Perancis yang dipimpin oleh doktor yang sangat terkenal iaitu Prof. Dr. Maurice Bucaille untuk menyiasat punca kematian Ramses II.

Doktor Maurice Bucaille merupakan seorang pakar bedah Perancis yang dilahirkan di Pont-L Eveque pada 19 Julai 1920. Pada tahun 1945, beliau diiktiraf sebagai pakar dibidang gastroenterology.

Khidmat Dr. Bucaille banyak digunakan oleh kenamaan Perancis, termasuk Raja Faisal Arab Saudi dan pemimpin Mesir, Anwar Sadat.

Dengan pengalaman dan kehebatannya, Dr. Bucaille yakin mampu membongkar misteri disebalik penyebab kematian Ramses II itu.

Setelah dikaji, hasilnya sangat mengejutkan. Dr. Bucaille menjumpai sisa-sisa garam yang masih melekat pada jasad mumia tersebut. Ini bukti terbesar bahawa Firaun itu mati akibat tenggelam di dalam laut.

Ini bermaksud, jasad Ramses II telah dikeluarkan dari laut, sebelum diawet menjadi mumia supaya jasad itu kekal. Tapi penemuan itu menimbulkan persoalan besar kepada Dr. Bucaille.

Bagaimana jasad tersebut masih berkeadaan sangat baik berbanding jasad-lasad yang lazimnya tenggelam dan di keluarkan dari laut?

Tanpa berlengah, Dr. Bucaille menyiapkan sebuah laporan akhir yang diyakininya sebagai penemuan baru, iaitu proses menyelamatkan mayat Firaun dari laut dan kaedah pengawetannya.

Laporan itu diterbitkan dengan tajuk: Les Momies Des Pharaons El La Midecine (Mumia Firaun: Sebuah Penelitian Perubatan Moden).

Hasil laporan itu Dr. Bucaille telah menerima anugerah penghargaan tertinggi kerajaan iaitu Le Prix Diane Potier-Boes (Penghargaan Dalam Sejarah) oleh Academie Frantise dan anugerah Prix General daripada Academie Nationale De Medicine, Perancis.

Namun seorang rakannya sempat membisikkan kepada Dr. Bucaille bahawa penemuan itu sebenarnya bukan sesuatu yang baru.

“Jangan tergesa-gesa kerana sesungguhnya umat Islam telah berbicara mengenai peristiwa Firaun yang mati lemas dan mayatnya dipelihara sehingga hari ini!”

Kata-kata itu ditentang keras oleh Dr. Bucaille. Baginya membongkar sesebuah misteri lama tidak mungkin dapat diketahui kecuali dengan menggunakan teknologi moden, peralatan dan makmal canggih.

Kawannya terus bercerita bahawa al-Quran yang diyakini dan menjadi pegangan umat Islam telahpun menceritakan kisah tenggelamnya Firaun dan kemudian mayatnya diselamatkan.

Kata-kata itu sekali lagi menimbulkan persoalan kepada Dr. Bucaille. Adakah ia dapat diterima akal kerana mumia itu baru sahaja ditemui sekitar tahun 1898. Tapi al-Quran telah ada di tangan umat Islam sejak ribuan tahun sebelumnya.

“Apakah masuk akal di hadapanku ini adalah Firaun yang cuba menangkap Musa (Nabi)? Apakah masuk akal Muhammad (Nabi) mengetahui hal sejarah ini? Padahal kejadian Firaun mengejar Musa berlaku sebelum al-Quran diturunkan,” kata hati kecilnya.

Akibat masih tidak berpuashati, Dr. Bucaille mendapatkan sebuah kitab Injil. Tapi di dalamnya hanya membicarakan Firaun yang tenggelam di tengah laut saat mengejar Nabi Musa tetapi tidak diceritakan mengenai mayat Firaun.

Dia menyelak pula Kitab Perjanjian Lama (Injil Lama). Tapi kitab itu hanya menceritakan: “Air (laut) pun kembali seperti sebuah lautan yang berombak dan beralun, menenggelamkan kereta-kereta (chariot) kuda, pasukan berkuda dan seluruh bala tentera Firaun tanpa ada seorang pun yang berjaya menyelamatkan diri. Tetapi anak-anak Israel dapat menyelamatkan diri atas daratan kering di tengah-tengah laut itu.” (Exodus 14:28 dan Psalm 136:15).

Dr. Bucaille semakin bingung kerana pencariannya belum berhasil. Apa seterusnya yang terjadi kepada mayat Firaun selepas tenggelam masih belum ditemui.

Selepas mumia dikembalikan ke Mesir, Dr. Bucaille terus berjumpa dengan para ilmuwan Islam untuk mengetahui sejarah Nabi Musa, kekejaman Firaun sehinggalah Bani Israel meninggalkan Mesir dan di kejar Firaun dengan seluruh bala tentera di belakang mereka.

Maka salah seorang ilmuwan Islam yang ditemuinya telah membacakan surah Yunus, ayat 92, berhubung kisah Firaun yang tenggelam itu.

“"Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa daripada ditelan laut) untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang dibelakangmu (supaya mereka mengambil iktibar). Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada memerhati dan memikirkan tanda-tanda kekuasaan Kami!” (Yunus :92).

Apabila mendengar ayat itu, Dr. Bucaille terkedu. Hatinya benar-benar tersentuh. Al-Quran telah menjelaskan bahawa jasad Firaun tidak reput ditelan laut sebagai peringatan kepada umat seterusnya.

Akhirnya Dr. Bucaille mengakui kebenaran ayat tadi kerana logic, dapat diterima akal dan memberikan satu inspirasi serta dorongan kepada sains untuk maju meneroka lebih jauh lagi.

Tanpa berlengah dengan hati yang begitu bergetaran menahan sebak dan terharu, Dr. Bucaille bangun. Dengan suara lantang, Dr. Bucaille bersuara: “Sesungguhnya aku masuk Islam dan beriman dengan al-Quran ini.”

Selepas pulang ke Perancis, Dr. Bucaille terus mengkaji al-Quran. Akhirnya beliau Berjaya menerbitkan buku yang sangat mengejutkan seluruh dunia dan sehingga kini telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa pada tahun 1976, iaitu The Bible, The Qur’an and science . The Holy Scriptures Examined in the Light of Modern Knowledge.

Melalui buku ini, Dr. Bucaille yang telah menukar namanya kepada Dr. Yahya Maurice Bucaille Berjaya membuktuikan bahawa al-Quran adalah selari dengan fakta –fakta sains sementara kitab Injil adalah sebaliknya.

Sains dan Islam umpama saudara kembar yang tidak boleh berpisah. Ini kerana dalam Injil terdapat pelbagai kesilapan dari aspek saintifik tetapi tiada sedikitpun kesilapan seperti itu ada dalam al-Quran.

Al-Quran yang didalamnya diceritakan segala penjelasan mengenai fenomena alam semula jadi yang sangat bertepatan dengan sains moden,” luahnya.

Mastika April 2011

SIAPA IBU DUA BAYI INI?


Ada seorang doktor beragama Islam bekerja di sebuah hospital di Negara Barat. Namun doktor Muslim ini amat disenangi dan dihormati kerana mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi. Biarpun kesemua pakar di hospital berkenaan dari kalangan bukan Islam.

Doktor muslim ini berkawan baik dengan seorang doktor beragama Kristian. Biarpun berlainan agama, namun mereka tiada masalah bekerjasama dalam usaha merawat pesakit.

Suatu hari, dua orang wanita melahirkan bayi mereka pada waktu yang sama di hospital tempat doktor Krisrtian itu bertugas. Si ibu pertama melahirkan bayi lelaki dan ibu kedua mendapat bayi perempuan.

Masaalahnya, akibat kecuaian seorang jururawat, kedua-dua bayi tersebut telah bertukar. Peristiwa itu menimbulkan kebingungan para doktor berkenaan. Bagaimana mereka hendak mengenalpasti yang mana satukah ibu kepada kedua-dua bayi tersebut?

Doktor beragama Krristian tersebut tadi teringat kepada teman baiknya si doktor Muslim. Lantas beliau bertanya kepada temannya. “Dulu engkau pernah mengatakan bahawa Al Quran itu ada jawapan kepada segala persoalan dan mampu menjelaskan segala sesuatu kemusykilan. Oleh itu, cuba engkau tunjukkan kepadaku cara untuk mengetahui yang mana satukah ibu kepada kedua-dua bayi ini.”

Jawab doktor Muslim : “Benar. Al Quran telah menerangkan segala-galanya. Aku akan tunjukkan pada mu akan kebenarannya!”

Doktor Muslim pun meminta contoh air susu daripada kedua-dua ibu yang baru melahirkan itu. Tujuannya mahu menjalankan ujian terhadap kandungan air susu tersebut.
Setelah mendapat keputusan hasil ujian tersebut, doktor Muslim ini tanpa ragu memberitahu bahawa si ibu yang tinggi kandungan garam dan mineral dalam air susunya adalah ibu kepada bayi lelaki manakala kandungan mineral yang rendah bermakna wanita itu adalah ibu kepada bayi perempuan.

Doktor beragama Kristian itu kehairanan lalu bertanya: “Berdasarkan apakah engkau berjaya mendapat keputusan mengkagumkan ini ?”

“Allah telah mensyariatkan kepada kamu mengenai wasiat buat anak-anakmu di mana bahagian seorang anak lelaki adalah menyamai dua bahagian anak perempuan.” (Surah an-Nisa’. Ayat 11).

Lalu doktor Muslim membacakan sepotong Surah an-Nisa’ ayat 11, lantas menerangkan kepada rakannya itu. “Melalui ayat ini Allah menjelaskan bahawa satu bahagian lelaki adalah bersamaan dengan dua bahagian perempuan. Ini bermakna bahagian lelaki adalah dua kali ganda berbanding wanita.”

Perbandingan kadar garam dan mineral pada air susu kedua-dua ibu tersebut sudah jelas menunjukkan bahawa kandungan yang terdapat dalam air susu ibu bayi lelaki dua kali ganda banyaknya berbanding susu ibu bayi perempuan. Inilah yang membuktikan siapa ibu kepada bayi-bayi tersebut.”

Penjelasan itu membuatkan doktor Muslim beragama Kristian itu berasa amat kagum. Lantas, kerana sepotong ayat itulah, si doktor Kristian akhirnya memeluk Islam.

Mastika April 2011